Wednesday, July 29, 2009

Masih Pembantu Tadbir selepas 33 tahun berkhidmat

SAYA rasa terpanggil untuk meluahkan perasaan saya pula apabila terbaca luahan hati Kerani Setia 1981 dalam ruangan ini pada 26 Jun 2009.

Seperti juga Kerani Setia 1981, saya juga sangat gembira dan teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan kenaikan pangkat anggota kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun ke atas mulai 1 Julai 2009. Saya menjangkakan peluang saya mungkin lebih cerah kerana telah berkhidmat lebih daripada 33 tahun. Malah saya berkata kepada diri saya, “Akhirnya dapat juga gaji tingkatan kanan sebelum saya bersara.”

Sayangnya harapan saya hancur dan kecewa apabila JPA memaklumkan bahawa saya tidak layak kerana lulus PTK pada tahap II sahaja walaupun telah berkhidmat lebih 33 tahun. Dengan ini apa yang Perdana Menteri kita umumkan pada 14 Mei 2009 sempena Hari Pekerja Sektor Awam lalu, tiada memberi apa-apa makna buat orang tua yang hampir bersara seperti saya kerana syarat kenaikan pangkat itu masih menggariskan beberapa syarat lama untuk dipenuhi.

Kalau Kerani Setia 1981 berusia 53 tahun saya pula hampir 55 tahun. Dengan kelulusan MCE tahun 1973 saya telah dilantik sebagai Pegawai Kerani Am di pelbagai Jabatan Persekutuan pada 1 Januari 1976. Saya telah lulus Peperiksaan Perkhidmatan Pertama (1976) dengan sekali ambil. Manakala untuk melepasi sekatan kecekapan saya telah lulus Peperiksaan Perkhidmatan Kedua (1979).

Pada tahun 70-an Pegawai Kerani Am yang telah berkhidmat lebih daripada lapan tahun dan telah lulus semua peperiksaan adalah layak dipertimbangkan untuk jawatan Pegawai Kerani Kanan (ketika itu dikenali sebagai kerani besar atau CC).

Sayangnya waktu itu perkhidmatan saya belum cukup lapan tahun. Sekarang ini pula telah lebih dari 33 tahun perkhidmatan, saya didapati tidak layak pula kerana PTK hanya lulus tahap II sahaja.

Sebagai makluman, saya telah berkhidmat di pelbagai Jabatan Persekutuan dan pernah ditugaskan sebagai Kerani Kewangan, Kerani Pendaftaran, Kerani Perangkaan, Kerani Setor, Kerani Perkhidmatan, Kerani Audit dan terkini Kerani Kaunter. Manakala aktiviti luar menjadi bendahari kelab jabatan, juga wakil pejabat dalam sukan. Di peringkat aktiviti masyarakat, menjadi setiausaha JKKK, pengerusi kawasan Rukun Tetangga (KRT), ahli lembaga masjid dan juga setiausaha surau.

Sepanjang perkhidmatan, saya belum pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib walaupun di peringkat paling minimum dan seingat saya kad kedatangan warna hijau sekalipun belum pernah saya perolehi. Disebabkan terlalu komited terhadap tugas, saya terlepas menduduki PTK dan hanya dapat menduduki PTK pada tahun 2007 dengan kelulusan pada tahap 11 sahaja.

Saya rasa agak tidak bernasib baik kerana kebanyakan penyelia saya, Pegawai Penilai Pertama (PPP1) adalah terdiri daripada golongan hawa yang begitu lokek untuk memberi markah prestasi (LNKP) lebih daripada 90 peratus. Disebabkan itu saya tidak berupaya untuk mendapat anjakan gaji secara melintang mahupun secara menegak. Saya pula bukan golongan yang pandai mengampu, jauh sekali untuk merayu meminta pergerakan gaji melintang atau menegak. Pada saya jika penyelia merasakan saya seharusnya dinaikkan pangkat atau menerima apa-apa anugerah cadangkanlah, bukannya saya meminta dicadangkan diri saya sendiri.

Memandangkan perkhidmatan hanya tinggal dua hingga tiga tahun lagi dan untuk memujuk hati yang kecewa, saya perbanyakkan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Sekurang-kurangnya saya masih mempunyai pekerjaan dan mempunyai rekod bersih. Kalau umur panjang saya akan bersara pada usia 58 tahun pada 2013 dengan jumlah tahun perkhidmatan selam 37 tahun tanpa apa-apa anugerah, sama ada kenaikan pangkat atau anjakan gaji melintang mahupun menegak walau satu kali pun. Mungkin juga pingat khidmat lama (PKL) saya gagal perolehi, kerana kegagalan mencalonkan diri sendiri.

Rasanya tidak ramai yang senasib dengan saya. Justeru dapatlah kiranya pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenal pasti mekanisme lain dalam menentukan syarat untuk mereka yang senasib dengan saya untuk turut berpeluang merasai kenaikan pangkat tersebut. Pengalaman kerja lebih dari 33 tahun, telah lulus semua peperiksaan jabatan sebelum PTK wujud, hal-hal yang di luar jangkaan dan menghampiri usia persaraan boleh dijadikan ukuran.

Sekurang-kurangnya berilah mereka peluang. Panggillah mereka untuk ditemuduga dan lihatlah kebolehan dan keupayaan yang mereka ada. Saya tidak kisah dan reda jika setelah ditemuduga, saya didapati masih tidak layak untuk apa-apa anugerah atau kenaikan pangkat. Mungkin sudah suratan takdir.

Mengharap,
Bukit Senjuang, Melaka

Utusan Online

Tuesday, July 28, 2009

Cuepacs mohon kerajaan pertimbang beri bonus

JOHOR BAHARU 28 Julai - Cuepacs akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, perbincangan mengenai bonus itu akan diadakan menerusi mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

“Pemberian bonus ini sudah dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lepas. Kita setuju kalau pemberian Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini dapat menikmati ’duit raya’,” katanya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan SMS daripada penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain perkara-perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs.

Bernama Online

Rakyat kini lebih peka dengan masalah

PORT DICKSON 28 Julai — Rakyat kini didapati lebih peka dengan masalah yang mereka hadapi dan bersedia untuk membuat aduan mengenainya kepada kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata rakyat kini lebih berani dan bersedia untuk berdepan dengan sesiapa saja termasuk pegawai tinggi kerajaan dalam menyelesaikan masalah mereka.

“Perkembangan ini mungkin kesan daripada saranan dan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

“Sehubungan itu, semua kakitangan awam diminta lebih bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik mungkin dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah rakyat yang dikemukakan kepada sesebuah jabatan itu,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, Murugiah merasmikan seminar motivasi Pembantu Am Pejabat Gred N1/N4 anjuran Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia. Turut hadir presiden KPAP M. Ramachandran.

Murugiah turut mengingatkan kakitangan awam agar memberi layanan mesra dan cekap dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Bernama Online

Merevolusi pengurusan kerajaan

Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan kalimah dan rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Allah yang Maha Esa atas perkenannya jua kita dapat berhimpun dalam majlis perjumpaan yang penting ini. Sesungguhnya saya berasa sungguh sukacita kerana hasrat untuk bertemu langsung dan berucap kepada para penjawat awam dalam skala besar ini serta dipancarkan langsung kepada seluruh rakyat Malaysia dapat dilaksanakan.

Kendati itu, sebelum meneruskan ucapan ini, teringat saya kepada kata-kata hikmat oleh George Santayana seorang filusuf kawakan bahawa, orang yang gagal belajar daripada sejarah akan dihukum untuk mengulangi kekhilafan yang lalu. Justeru, sebuah bangsa yang progresif dan dinamik akan sentiasa berpedoman kepada falsafah dari mana mereka datang, di mana mereka sedang berdiri dan ke mana arah tuju mereka seterusnya.

Pepatah Inggeris berbunyi, Time and tide wait for no man. Benar sekali, sesungguhnya, masa terus berguling dan peristiwa silih berganti tanpa menunggu sesiapa pun. Menyingkap tirai sejarah, semenjak meraih kemerdekaan, Malaysia telah dihadapkan dengan pelbagai siri ujian yang telah menggoyah survival negara bangsa.

Bertitik tolak daripada kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosio ekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya.

Ternyata walau apa pun ranjau dan rintangan yang kita tongkahi, rakyat Malaysia dengan kepimpinan yang bingkas lagi tangkas telah berjaya keluar daripada segala kemelut dan kepayahan yang dialami dengan mencipta penyelesaian demi penyelesaian menurut acuan dan kaedah tersendiri.

Seperkara yang menjadi cap kempa atau hallmark cara Malaysia ialah kita tidak pernah bimbang atau gusar untuk bersikap non konvensional, bereksperimen menggunakan kaedah baru, sekalipun berfikir di luar kotak pemikiran yang lazim. Contohnya, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang berjaya menghapuskan ancaman keganasan komunis secara komprehensif melalui kaedah kreatif memenangi pertarungan minda serta lelubuk hati massa. Berbanding dengan kuasa gergasi dunia seperti Amerika Syarikat dan Perancis yang telah gagal di Vietnam melalui kaedah kekuatan persenjataan semata-mata.

Dalam membangunkan ekonomi negara, kerajaan tidak hanya menghadkan penggunaan kaedah ekonomi pasaran bebas sahaja. Kita juga mengguna pakai kombinasi kaedah central planning dan market economy seperti rancangan pembangunan lima tahun dan pengislahan tanah oleh FELDA. Terbukti, kita tidak pernah takut, tandus atau bersifat terlalu dogmatik untuk mengguna pakai apa-apa wahana yang praktikal demi mendatangkan penyelesaian terbaik kepada Malaysia selama puluhan tahun ini.

Pasca tragedi 13 Mei pula telah menyebabkan banyak pihak meragui kemampuan perjalanan bahtera Malaysia sebagai sebuah negara bangsa apabila demokrasi terpaksa digendala. Namun kita telah berjaya mengesimakan para pengkritik dengan berjaya bangkit semula daripada debu rusuhan perkauman dalam tempoh lapan belas bulan selepas darurat diisytiharkan.

Selain itu, bagi menyelesaikan secara holistik masalah ketidakseimbangan ekonomi kita telah mengambil langkah di luar lingkungan pemikiran ekonomi lazim ketika itu dengan memperkenalkan kaedah equitable distribution of wealth melalui Dasar Ekonomi Baru.

Memang benar, banyak pihak yang was-was mengatakan bahawa ini ibarat dasar ekonomi 'Robin Hood' mengambil dari yang kaya untuk diberi kepada si miskin dan meramalkan ia akan hanya mendatangkan kesan yang negatif kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Namun terbukti sebaliknya. Selama 20 tahun dasar berkenaan berlangsung, pertumbuhan ekonomi telah berkembang dengan ampuh.

Bukan itu sahaja, melalui Dasar Ekonomi Baru kita juga telah berjaya memerangi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat secara tuntas. Alhamdullilah, bukan sahaja kita telah mencipta kelas menengah yang besar tetapi hari ini, hasilnya, kadar kemiskinan yang pernah mencengkam lebih 50 peratus isi rumah di Malaysia telah berjaya kita turunkan di bawah paras 4 peratus.

Apabila kemelesetan ekonomi pertengahan 1980-an menimpa negara pula, akibat harga komoditi dunia yang merudum, kita tidak goyang, sebaliknya telah melancarkan dasar industrialisasi dan pembangunan prasarana secara besar-besaran. Begitulah juga apabila menghadapi krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 dan 1998, kita telah mencipta kaedah kawalan modal dan tambatan mata wang yang kini menjadi salah satu kes kajian di Harvard Business School.

Kesimpulannya, Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembangunan semenjak kemerdekaan dicapai lebih lima dekad yang lalu. Kita akan meneruskan inisiatif-inisiatif di hadapan keluk bagi memastikan kejayaan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia dalam merealisasikan satu model ekonomi baru berteraskan kreativiti, inovasi dan nilai tinggi yang akan menjamin kelangsungan kemakmuran nasional.

Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.

Kira-kira tiga minggu selepas itu, pada 28 April, saya telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperi kementerian atau agensi kerajaan secara objektif.

Untuk makluman semua, KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisma ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.

Ini kerana kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.

Makanya, pada hari ke-100 pentadbiran saya baru-baru ini, Alhamdulillah, segala syukur ke hadrat Allah, saya telah mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

Jadi, sebetulnya pentadbiran saya mengambil daya usaha memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Puncanya ialah, saya tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan. Saya mahukan segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.

Lantas, hari ini saya akan meletakkan KPI kepada enam jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

Dengan ini saya akan memperincikan setiap satu dari enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang telah saya umumkan tempoh hari.

NKRA PERTAMA: MENGURANGKAN

KADAR JENAYAH

Tentunya sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari semasa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ia berlaku.

Di atas segalanya, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan dipecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Pertamanya, jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah 2008.

Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun 2010.

Keduanya, yakni dalam hal menambah baik persepsi rakyat terhadap keselamatan awam pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan.

Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaik taraf serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.

Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

NKRA KEDUA: MEMERANGI RASUAH

Saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ia terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004. Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu.

Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

NKRA KETIGA: MELUASKAN AKSES

KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI

DAN BERKEMAMPUAN

Seperti yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandel (lilin) penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelangsungannya. Dalam konteks ini saya merupakan seorang pendokong kuat falsafah pendemokrasian pendidikan, bahawa, kita tidak mungkin dapat menjanjikan outcome yang sama namun kita komited dalam menyediakan peluang yang saksama pada garis permulaan. Jelasnya, kita akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosio ekonomi.

Dari itu, dalam bidang pendidikan, saya mahu memastikan anak-anak kita akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini.

Lalunya, seiringan pesan orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

Laginya, suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.

Golongan yang akses pendidikan prasekolah, kerajaan menyedari hanya 60 peratus sahaja anak-anak kita yang dapat akses pendidikan prasekolah, jadi KPI menjelang 2012 pencapaian ini sekurang-kurangnya dapat dinaikkan kepada 80 peratus.

Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan ingin menawarkan new deal atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Selain itu, sebagai projek perintis, sebanyak 100 sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum penamat 2012.

NKRA KEEMPAT: MENINGKAT TARAF

HIDUP RAKYAT YANG

BERPENDAPATAN RENDAH

Dalam lapangan ini, sememangnya pentadbiran saya bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK-9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripadanya, lebih 11,000 telah disahkan status dan telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.

Sehubungan ini juga, sebagai kerajaan yang prihatin kita sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat. Kita tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Pokoknya, kita mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.

Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan tidak dinafikan. Kita juga akur kaum hawa membentuk separuh daripada penduduk Malaysia. Kerana itu, kerajaan berhasrat melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita. Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita yang berpotensi menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar (AIM) telah dikenal pasti.

Justeru, kerajaan menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita kepada 4,000 orang menjelang 2012 melalui program AIM.

NKRA KELIMA: MEMPERKASA

PRASARANA LUAR BANDAR

DAN PEDALAMAN

Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al-Quran, Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa janganlah harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara dan atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir daripada merasai mahsul kemakmuran. Lantaran itu, pentadbiran saya akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman.

Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 kilometer jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500 kilometer atau dua kali ganda perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat 2012.

Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir dua juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, lima kilometer dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.

Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62 peratus. Justeru, kerajaan menetapkan pada akhir RMK-9, liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri itu dipertingkatkan kepada 70 peratus. Kerajaan serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat. Jadi, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan sehingga 90 peratus di Sabah dan Sarawak pada penghujung 2012. Untuk itu, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi kemudahan kepada 60,000 buah rumah.

Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu sekitar 80 peratus berbanding 99 peratus di Semenanjung, kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan di kedua-dua negeri itu kepada 95 peratus pada akhir 2012.

Sejumlah RM3.9 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 rumah. Kerajaan juga menyasarkan bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir 2012.

Sesungguhnya, kerajaan amat prihatin serta berazam untuk terus membela nasib golongan miskin dan miskin tegar.

Oleh itu, kerajaan berhasrat menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan ini. Sehubungan itu, kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan itu sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.

NKRA KEENAM: MENAMBAH BAIK

PENGANGKUTAN AWAM

DALAM JANGKA MASA SEDERHANA

Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.

Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, hanya 16 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan menyasarkan peratusan ini ditingkatkan kepada 25 peratus pada penghujung 2012. Namun, kita semua harus menyedari, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaan, saya mengumumkan bahawa menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set "4-car-train" akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.

Demikianlah, secara terperinci hala tuju pentadbiran saya untuk tempoh sehingga 2012. Sesungguhnya saya berasa amat gembira kerana penggubalan NKRA dan KPI bagi anggota pentadbiran dan penjawat awam ini mendapat komitmen penuh daripada semua pihak bermula daripada Timbalan Perdana Menteri, para menteri, KSN, KPPA, KSP, KSU, ICU dan MAMPU.

Semua peringkat anggota pentadbiran dan penjawat awam pun berada pada helaian pemahaman yang sama. Mereka bukan setakat menyokong tetapi yang lebih utama meyakini, inilah kaedah terbaik Malaysia untuk bergerak secara progresif bagi merealisasikan masa depan yang lebih cemerlang.

Malah, saya ingin maklumkan sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, tiga bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Sesuatu yang belum pernah lagi dibuat.

Bengkel-bengkel tersebut tidak lain tidak bukan bagi merangka, memperinci dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.

Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir, rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.

Justeru, saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA seorang menteri akan dilantik sebagai Lead Minister atau Menteri Pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Bagi NKRA Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan, Menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin; NKRA Mengurang Kadar Jenayah, Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, NKRA Memerangi Rasuah, Menterinya Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

Sementara NKRA Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah, Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; NKRA Memperkasa Prasarana Luar Bandar Dan Pedalaman, Menterinya Datuk Seri Shafie Apdal dan NKRA Menambahbaik Pengangkutan Awam, Menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat.

Di atas semuanya, selaku Perdana Menteri saya akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI. Setiap minggu saya akan berjumpa dengan seorang Lead Minister bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti direncanakan.

Bagi anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA, mereka dan kementerian masing-masing tidak terkecuali daripada mempunyai KPI. Setiap Menteri selain daripada enam Lead Minister tadi tetap dipertanggungjawab mencapai KPI kementerian masing-masing. Saya sendiri akan memantau prestasi kementerian-kementerian tersebut pada setiap enam bulan.

Diakui pengenalan NKRA dan KPI ini bukanlah perkara baru namun the breadth and depth of the initiative yang ditekankan oleh pentadbiran sekarang adalah sesuatu yang unprecedented dan menjadi satu tanda aras yang terkini. Selain itu, sesuai dengan pengumuman ketika merasmikan perjumpaan bersama perkhidmatan awam mengenai cross fertilization, suka saya mengumumkan bahawa 20 nama kakitangan kerajaan dan 20 kakitangan GLC telah dikenal pasti untuk ditempatkan dalamprogram ini dijadualkan bermula 1 September ini.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Khazanah Nasional kerana sumbangan dalam membangunkan NKRA dan KPI ini. Saya gembira kerana di antara anggota pentadbiran, penjawat awam dan GLC, telah wujud satu bentuk pertautan atau seamless cooperation sebagai pemangkin kejayaan Malaysia.

Akhir kalam, sebagai ketua kerajaan saya insaf bahawa yang akan menilai kepemimpinan ini akhirnya adalah rakyat. Apa yang pasti saya dan rakan-rakan telah, sedang dan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sehabis baik dan sedaya mampu.

Saya sedar apa yang saya gariskan hari ini adalah sesuatu yang monumental. Ia melibatkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.

Nyatanya, amanah yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar. Jelas sekali kita tidak mempunyai pilihan, sama ada kita bergerak maju ke depan dengan penuh yakin atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit ini.

Kata orang dulu-dulu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya. Marilah bersama menghitung doa ke hadrat Allah yang Maha Kuasa agar kita diberi kekuatan dan ketabahan untuk melunaskan rancangan mulia ini. 1Harapan, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Utusan Online

Penyerapan penjawat awam, GLC mulai 1 Sept.

PUTRAJAYA 27 Julai - Bermula 1 September ini, seramai 20 kakitangan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) akan menyertai proses saling penyerapan di antara sektor awam dan swasta.

Mengumumkan perkara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia selaras dengan cadangan beliau untuk melaksanakan modenisasi dan pembaharuan struktural dalam perkhidmatan awam.

''Saya gembira kerana di antara anggota pentadbiran, penjawat awam dan GLC telah wujud satu bentuk pertautan sebagai pemangkin kejayaan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Pegawai Kerajaan di sini hari ini.

Semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di sini April lalu, Najib mencadangkan jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan GLC selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

Menurutnya, pembaharuan struktural perkhidmatan awam itu dicadangkan demi kepentingan rakyat.

Selain itu, Najib juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.

Dengan cara itu, pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Utusan Online

Monday, July 27, 2009

BPA Terima Aduan Kelewatan Agensi Perkhidmatan Awam

KOTA BELUD, 19 Julai (Bernama) -- Kelewatan atau tiada tindakan segera untuk menyelesaikan masalah berkaitan perkhidmatan awam merupakan aduan tertinggi yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah (Aduan) biro, Aziz Ismail berkata aduan tersebut merupakan 31.5 peratus daripada keseluruhan 6,337 aduan yang diterima.

Ia diikuti dengan aduan berhubung kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan termasuk perkhidmatan kaunter dan layanan telefon sebanyak 18.4 peratus, tindakan tidak adil (16.5 peratus) dan kegagalan penguatkuasaan (10 peratus), katanya.

"Perkara ini turut memberi persepsi buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara," katanya kepada pemberita semasa Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu anjuran BPA dengan Pejabat Daerah Kota Belud, di sini Ahad.

Program itu disertai oleh 21 agensi perkhidmatan awam di bawah naungan kerajaan negeri dan persekutuan.

Aziz berkata daripada 6,337 aduan yang diterima itu, 4,281 kes atau 67.6 peratus berjaya diselesaikan.

Utusan Online

Bukan 'gula-gula' kerajaan

PELAKSANAAN urusan kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun ke atas dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa tentunya menjadi hadiah paling berharga kepada lebih 200,000 kakitangan awam yang berpeluang menikmati faedah itu.

Keputusan itu sekurang-kurangnya dapat meredakan keresahan penjawat awam terutamanya gred N17 yang selalunya kurang berpeluang untuk naik pangkat.

Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr. Azhar Yahya menjelaskan, faktor utama mendorong kerajaan memberikan kemudahan itu adalah kerana mahu meningkatkan motivasi para penjawat awam.

Ungkapan penghargaan para penjawat awam selepas pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Mei lalu banyak diluahkan melalui kesatuan-kesatuan pekerja, kad ucapan dan yang paling popular menerusi e-mel.

Jika sebelum ini kakitangan kumpulan sokongan termasuk kerani terpaksa menunggu lama dan adakalanya sehingga pencen untuk naik pangkat tetapi kini dengan menunjukkan prestasi cemerlang, peluang tersebut pastinya dalam genggaman. Cuma, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

''Tanpa dasar ini macam mana mereka hendak naik pangkat, mereka terpaksa menunggu kekosongan jawatan, justeru dalam keadaan tertentu kita ada kenaikan pangkat khas untuk penyandang tetapi itu berdasarkan kepada kepakaran, kemudahan, kemahiran, pengalaman dan keperluan mengisi kekosongan jawatan itu.

''Asas pertimbangan untuk JPA menilai kenaikan pangkat masih macam biasa. Kita mengambil kira prestasi, kompetensi, sikap, integriti dan disiplin. Semua aspek ini dinilai melalui penilaian prestasi tahun setiap tiga tahun.

''Dalam tempoh tiga tahun itu mereka perlu mengekalkan kompetensi dengan lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), bertanggungjawab dan bebas daripada sebarang tindakan rasuah atau pinjaman. Inilah kriteria yang kita guna pakai dan ia perlu diperakukan oleh ketua jabatan," kata beliau dalam pertemuan lebih sejam di JPA, Putrajaya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr. Azhar berkata, penjawat awam perlu faham bahawa kenaikan pangkat tersebut bukan bersifat automatik sebaliknya mereka perlu melipatgandakan usaha agar diberikan pengiktirafan hasil kerja keras itu.

Kerajaan percaya apabila dinaikkan pangkat mereka akan berasa puas berkhidmat dengan kerajaan. Kesan daripadanya akan wujud tingkah laku positif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

''Ini bukan 'gula-gula' daripada kerajaan sebaliknya mekanisme untuk memotivasikan diri untuk menjadi yang terbaik kerana elemen penilaian tetap dilaksanakan dalam proses kenaikan pangkat ini," katanya.

Tidak dinafikan faedah tersebut menjadi faktor utama yang bakal menyemarakkan lagi minat orang ramai termasuk bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam kerana mereka akan terus berasa selesa selepas pencen walaupun berjawatan kerani.

Menyentuh aspek gaji pula, kata Dr. Azhar, berbanding awal tahun 1980-an, gaji kakitangan sokongan puratanya hanya sekitar RM395. Namun sekarang, dalam tempoh tiga bulan atau sekurang-kurangnya setahun bekerja mereka sudah mampu memandu kereta baru.

JPA menaungi jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), pegawai sistem maklumat, pegawai latihan vokasional, pegawai psikologi, kerani pegawai tadbir dan khidmat pelanggan.

Bagi menilai keberkesanan faedah tersebut, JPA kini akan membuat kajian hasil daripada dasar tersebut misalnya dari segi kepuasan bekerja, komitmen dan disiplin untuk memastikan terdapat peningkatan atau sebaliknya, yang mampu meningkatkan produktiviti.

''Kita mahu lebih baik daripada sektor swasta sekali gus menjadikan perkhidmatan awam Malaysia terbaik di dunia. Ini sejajar dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," kata beliau.

Dr. Azhar menambah, harapan kerajaan kepada kakitangannya ialah supaya mereka dapat menunjukkan kesungguhan sebagai tanda terima kasih dan menghargai usaha kerajaan.

Justeru, kakitangan awam perlu mempamerkan mutu kerja yang cemerlang, kreatif dan lebih berinovasi untuk meningkatkan sistem penyampaian tanpa mengira jawatan yang disandang.

Serentak itu, berkuat kuasa 2 Julai lalu, Bahagian Pembangunan Operasi (BPO) JPA turut berusaha menambah baik kerjaya semua pegawai kumpulan sokongan agar hala tuju mereka lebih terarah.

Pengarah BPO, Datuk Farida Mohd. Ali yang turut serta dalam pertemuan dengan akhbar ini menjelaskan, jika dulu ada kerani yang tidak menikmati kenaikan gaji sehingga pencen, tetapi kini mereka bakal menikmati sekurang-kurangnya sekali peluang kenaikan pangkat.

''Semakin ramai berminat bekerja dengan kerajaan tetapi peluang terhad kerana kita perlu mengawal saiz anggota. Kita bukan boleh ambil begitu sahaja, kena lihat juga kemampuan kewangan kerajaan sebelum mengisi satu-satu jawatan.

''Tetapi dalam bidang tugas yang kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan, kita memang ambil ramai," katanya.

Menurut beliau, daripada 1.27 juta kakitangan awam, 80 peratus daripadanya terdiri daripada anggota tentera, polis, petugas kesihatan dan guru kerana ia merupakan keperluan yang perlu diisi dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, katanya, jika sekolah baru dibina, sudah tentu JPA perlu menyediakan guru dan kerani untuk memenuhi keperluannya. Begitu juga dengan klinik kesihatan, hospital dan balai polis baru.

Farida memberitahu, sektor perkhidmatan awam di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain termasuk Thailand kerana mereka menggunakan kaedah yang berbeza dengan Malaysia yang meletakkan semua kumpulan di bawah satu bumbung.

''Skop kita luas, bukan hanya kerani, guru, polis, tentera sahaja yang terletak di bawah tanggungan kita tetapi juga tok-tok penghulu di kampung kerana mereka juga memainkan peranan penting untuk negara," katanya.

Agak sensitif dengan pandangan umum terhadap anggota polis, beliau memohon pengertian daripada orang ramai agar tidak memandang kesalahan rasuah yang dilakukan oleh segelintir anggota polis untuk menghukum jabatan itu secara total. Sebaliknya rakyat diminta menilai pengorbanan ribuan lagi anggota keselamatan itu yang bertarung nyawa tanpa mengira masa dan tenaga.

Bagi Farida, mereka sudah bertungkus lumus bekerja sehingga ada yang terkorban ketika bertugas memandangkan bidang tugas polis amat kompleks.

Sebab itu jika ada pihak tertentu mempersoalkan jumlah kakitangan awam yang dianggap terlalu besar di Parlimen, beliau menganggap perkara itu sangat subjektif untuk dibahaskan.

Ini kerana perkhidmatan awam Malaysia berbeza dengan negara lain yang mengasingkan sistem pentadbiran antara satu negeri dengan negeri yang lain seperti di United Kingdom (UK).

''Di UK, perkhidmatan awamnya bukan macam kita yang semua negeri disatukan. UK berasingan di bawah satu pihak berkuasa tempatan dan perangkaannya juga tidak termasuk tentera. Jadi, jangan ingat kakitangan kerajaan kita di bahagian perkhidmatan awam sahaja sebaliknya ia meliputi polis, tentera dan guru yang ramai," jelasnya.

Utusan Online

Sunday, July 26, 2009

Penjawat Awam Beri Projek Kepada Saudara Mara Juga Dikira Rasuah

KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Para penjawat awam yang didapati memberikan projek tertentu kepada saudara mara mereka boleh didakwa atas kesalahan jenayah rasuah mengikut tafsiran rasuah yang diperluaskan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Zakaria Jaafar berkata, ramai penjawat awam ketika ini dilihat tidak sedar dengan perluasan skop tafsiran jenayah rasuah mengikut akta terbabit.

"Tafsiran saudara mara itu meliputi mentua, menantu, anak saudara, bapa saudara, emak saudara dan sepupu orang tertuduh.

"Sekiranya SPRM dapat membuktikan penerima terbabit mempunyai hubungan saudara, kami tidak akan teragak-agak untuk mendakwa tertuduh yang memberikan projek berkenaan atas kepentingan-kepentingan tertentu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian peletakan Batu Asas Kompleks Pejabat SPRM Pahang di sini, Rabu.

Kompleks baru SPRM Pahang yang bernilai RM20 juta itu dijangka siap pada Mei tahun depan.

Turut hadir Pengarah SPRM Pahang Sutinah Sutan.

Bernama Online

Saturday, July 25, 2009

Mutu kerja selari prasarana kelas pertama

MUTU penyampaian perkhidmatan awam sekali lagi mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara. Kali ini Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mutu penyampaian perkhidmatan awam yang cekap lagi berkesan. Menurut beliau, mutu perkhidmatan perlu ditingkatkan selari dengan pembangunan prasarana pejabat yang selesa yang dibangunkan oleh kerajaan.

Gesaan tersebut disuarakan semasa berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Alor Setar baru-baru ini.

Peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam sentiasa diberikan perhatian yang serius dalam usaha untuk memenuhi keperluan orang ramai selaras dengan dasar dan matlamat pembangunan negara. Selari dengan wawasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', agensi-agensi perkhidmatan awam perlu meletakkan kepuasan rakyat atau pelanggan sebagai fokus utama.

Perubahan-perubahan persekitaran yang semakin mencabar serta keperluan untuk meningkatkan daya saing memerlukan kepada sektor awam yang bersedia dan mampu untuk berubah daripada segi sikap dan minda. Kerajaan telah mengeluarkan peruntukan yang begitu besar untuk meningkatkan kemudahan prasarana. Namun kemudahan prasarana kelas pertama belum mampu menjamin mutu perkhidmatan kelas pertama.

Dalam konteks penyelidikan akademik, secara umumnya kajian mendapati keberkesanan organisasi seperti mutu perkhidmatan yang tinggi memerlukan kepada dua perkara pokok iaitu aspek teknikal dan aspek sosial.

Usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan prasarana seperti menyediakan bangunan pejabat yang moden, sistem komputer yang canggih lagi mesra, prosedur-prosedur yang kemas sering kali dirujuk sebagai aspek teknikal.

Untuk membolehkan mutu perkhidmatan yang cemerlang memang tidak cukup sekadar bergantung kepada aspek teknikal semata-mata. Aspek teknikal perlu dilengkapi dengan aspek sosial yang merujuk kepada nilai dan sikap murni di kalangan kakitangan sesebuah organisasi.

Terdapat beberapa bentuk nilai murni yang telah dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan. Antaranya sifat suka membantu, keprihatinan, kesedaran sivik, ketelitian dan kesanggupan menghadapi kesukaran. Aspek sosial ini mampu bertindak melengkapi aspek teknikal yang sedia ada. Berikut dihuraikan secara ringkas nilai-nilai murni tersebut.

Sifat suka membantu melibatkan kemahuan kakitangan untuk menghulurkan bantuan kepada rakan sekerja untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan tugas, membantu menyelesaikan tugas rakan sekerja yang terpaksa bercuti, memelihara kebajikan rakan sekerja serta membantu pelanggan-pelanggan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera.

Keprihatinan pula melibatkan usaha untuk mengelak daripada timbulnya sebarang masalah dengan rakan sekerja serta memelihara hak-hak rakan sekerja. Seseorang kakitangan yang prihatin akan memaklumkan rakan sekerja atau ketua jabatan sebelum mengambil sesuatu tindakan yang akan memberi kesan kepada pihak lain, bersopan santun serta memberikan layanan terbaik kepada aduan-aduan atau masalah pelanggan.

Kesedaran sivik melibatkan keinginan untuk terlibat secara aktif memajukan organisasi. Kakitangan yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi berupaya melaksanakan idea atau kaedah baru yang boleh membantu dalam memudahkan kerja serta menjimatkan penggunaan sumber-sumber kewangan dan tenaga manusia.

Ketelitian pula melibatkan kesanggupan untuk bekerja melebihi waktu yang ditetapkan tanpa mengharapkan ganjaran serta kesanggupan untuk keluar rehat lebih lewat demi menyelesaikan masalah pelanggan.

Operasi sesebuah organisasi juga kadang-kadang terganggu akibat kerosakan alat penghawa dingin, kerja ubah suai pejabat, gangguan sistem komputer dan sebagainya. Untuk mempertahankan mutu perkhidmatan sudah tentulah memerlukan kakitangan yang mampu untuk bertoleransi, berfikiran positif serta tidak merungut dengan masalah atau kesukaran yang timbul. Biarpun berhadapan dengan ketidakselesaan, kakitangan masih meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan.

Jika sesebuah organisasi mampu memiliki kakitangan yang memiliki nilai-nilai yang disebutkan di atas, bukan sahaja mutu perkhidmatan dapat ditingkatkan malahan piagam pelanggan akan benar-benar dipenuhi.

Memiliki kakitangan yang kaya dengan nilai-nilai murni akan menjadi aset organisasi yang sangat berharga. Jika aspek teknikal seperti teknologi dan kemudahan prasarana boleh dibangunkan dengan sumber kewangan, aspek sosial merupakan aset yang perlu dipupuk dan akan menjadi salah satu kekuatan dan kelebihan mana-mana organisasi. Pada hari ini organisasi perniagaan yang mencapai taraf dunia mempunyai sumber manusia yang memiliki nilai-nilai tersebut.

Nilai-nilai murni tersebut akan menjadi lebih subur jika sesebuah organisasi memiliki kepimpinan yang adil lagi saksama, hubungan yang baik di antara pihak atasan dan bawahan dan sikap saling mempercayai. Keperluan-keperluan kakitangan juga sentiasa diteliti dan cuba dipenuhi. Jika wujud suasana yang sedemikian, kakitangan akan 'membalas' kebaikan organisasi dengan memantapkan amalan nilai-nilai murni yang membawa manfaat kepada semua pihak. Semoga usaha-usaha menyediakan kemudahan kelas pertama akan terus mendapat sokongan secara total kakitangan awam dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara Perlis

Utusan Online

Saturday, July 18, 2009

Bidang kuasa kerajaan negeri, Pusat berbeza

LUNDU 17 Julai - Masih terdapat masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak belum dapat membezakan bidang kuasa kerajaan negeri dan Pusat dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana mereka tidak menyedari sistem pentadbiran kerajaan terdiri daripada dua komponen iaitu Persekutuan dan negeri.

Namun jelasnya, dengan pelaksanaan cogan kata 'Satu Penghormatan Untuk Berkhidmat' dan 'Satu Kerajaan di Perkhidmatan Anda', usaha penerangan dan penambahbaikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat akan dibuat dengan lebih terperinci.

''Kita (kerajaan) tidak mahu rakyat tidak kenal kita. Kerajaan sama ada negeri mahupun Pusat sentiasa bertanggungjawab dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan (rakyat).

''Kita tahu kehendak rakyat sentiasa meningkat dan melalui cogan kata ini, saya percaya proses kerja dapat diperbaiki dan sistem penyampaian dapat dilakukan dengan mudah," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran cogan kata berkenaan bagi kawasan Kuching di Dewan Masyarakat Lundu di sini semalam.

Turut hadir Menteri Muda Alam Sekitar, Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina; ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie dan ADUN Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Dalam pada itu Abang Johari memberitahu, kakitangan kerajaan di negeri ini perlu peka dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menilai prestasi perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Perkhidmatan sektor awam negeri ini menurutnya, perlu berusaha mematuhi sasaran yang diamanahkan oleh kerajaan dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi maklumat (IT) terkini selaras dengan kehendak rakyat masa kini.

''Dengan mengadaptasi IT dalam perkhidmatan awam, kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian dapat ditingkatkan.

''Apabila kita dapat memenuhi kehendak rakyat dengan budaya kerja cemerlang, rakyat akan menghormati kita sebagai pelaksana dasar kerajaan yang disegani," tambah beliau.

Utusan Online

Friday, July 17, 2009

Pandang serius terhadap aduan awam

JITRA 16 Julai - Para penjawat awam perlu memandang serius terhadap aduan-aduan awam yang diterima dan bukan hanya menganggap ia sebagai perkara kecil yang kurang penting.

Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) Pulau Pinang, Kedah dan Perlis Jabatan Perdana Menteri, Md. Din Jusoh berkata, anggota masyarakat sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada agensi awam dalam sebarang urusan yang mereka lakukan.

Katanya, mereka berhubungan dengan penjawat awam kerana perkhidmatan tertentu hanya boleh diberikan oleh agensi awam sahaja.

"Oleh itu sebagai anggota sektor awam, kita perlulah sentiasa berusaha memperbaiki meningkatkan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) di Dewan Utama, Pejabat Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Md. Shuhaime Ab. Rahman sebagai mewakili Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Che Barni Mohd. Noor.

Md. Din berkata, penjawat-penjawat awam boleh menjadikan aduan yang dikemukakan oleh orang ramai sebagai kayu pengukur dalam menilai mutu perkhidmatan yang telah diberikan, sama ada ia memuaskan atau sebaliknya.

Menurutnya, berpandukan kepada aduan-aduan yang diterima, BPA mendapati masih terdapat kekurangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam.

Katanya, keadaan itu jika tidak ditangani dengan baik atau dibiarkan berterusan boleh menimbulkan masalah lain dan menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada tahun lalu, BPA Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menerima sejumlah 128 aduan bagi negeri ini yang mana kesemua aduan berkenaan telah diselesaikan.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, katanya, sebanyak 121 kes aduan telah diterima dan jumlah itu menunjukkan peningkatan dipercayai kerana program turun padang yang dianjurkan oleh BPA.

"Insya-Allah, BPA dengan bantuan daripada jabatan negeri dan Persekutuan akan cuba menyelesaikan aduan-aduan yang diterima ini secepat mungkin," katanya.

Utusan Online

Thursday, July 16, 2009

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Cuepacs menuntut supaya elemen bonus digabungkan dalam skim perkhidmatan kakitangan awam bagi memastikan ia dibayar setiap tahun.

Pada masa ini, bonus diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya tidak seperti sektor swasta yang menjadikannya sebagai amalan tahunan.

Pada waktu yang baik, 1.2 juta penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Kongres itu juga mencadangkan supaya kadar faedah bagi pinjaman perumahan dikurangkan daripada empat peratus pada kadar sekarang kepada satu peratus setiap tahun.

Perkara itu merupakan antara beberapa cadangan baru kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan kepada penjawat awam dalam satu memorandum yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tidak lama lagi.

Sumber-sumber CUEPACS memberitahu Bernama hari ini bahawa memorandum itu diluluskan pada mesyuarat majlis kongres di Ipoh baru-baru ini juga akan menuntut perubahan bagi bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari pada masa ini kepada jumlah sebenar cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh para pegawai.

Gantian cuti rehat adalah bayaran tunai bagi cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh seseorang pegawai sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.

Satu lagi perubahan besar yang dituntut CUEPACS adalah berhubung pengiraan pencen.

Cuepacs mencadangkan supaya formula pencen yang ada sekarang dibuat berdasarkan gaji pokok terakhir ditukar bagi memasukkan juga semua elaun.

Ini bermakna apabila pengiraan pencen dibuat, semua elaun perumahan, kos hidup, makanan, perjalanan, pemandu, kesusahan dan keraian juga perlu dimasukkan kepada gaji pokok terakhir.

CUEPACS juga menuntut satu faedah baru dalam bentuk cuti tahun bagi menjaga anak yang sakit dengan tempohnya bergantung kepada tempoh keuzuran itu.

Satu lagi faedah baru yang diminta ialah bayaran balik bagi implan gigi dan rawatan mata.

Mengenai pelbagai skim perkhidmatan, Cuepacs menuntut supaya sistem kenaikan matriks digantikan dengan sistem linear dengan tambahan lima kenaikan.

Cuepacs juga mahu skim sub-profesional diwujudkan bagi pemegang diploma.

Sumber-sumber itu berkata para pemimpin Cuepacs begitu optimis bahawa kerajaan akan mempertimbang cadangan mereka dengan fikiran terbuka.

"Kami sedar bahawa cadangan itu, yang jika diterima keseluruhannya, akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dengan begitu besar tetapi apa yang kami harapkan ialah permintaan kami itu akan dipenuhi secara berperingkat," kata mereka.

Bernama Online

Tuesday, July 14, 2009

Bilangan Pegawai Awam Yang Dikenakan Tindakan Tatatertib Meningkat

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bilangan pegawai awam yang dikenakan tindakan tatatertib pada tahun ini meningkat berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 71 orang atau 20.1 peratus, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi tempoh suku pertama tahun ini antara Januari dan Mac, seramai 353 orang pegawai awam telah dikenakan tindakan tatatertib dan jumlah ini tidak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 282 orang penjawat awam, menurut kenyataan JPA di sini Selasa.

Menurut statistik klasifikasi perkhidmatan oleh kenyataan itu, pada tahun ini, Perkhidmatan Awam Persekutuan mencatatkan seramai 241 orang atau 68.3 peratus telah dikenakan tindakan tatatertib berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 213 (75.5 peratus).

Bagi Perkhidmatan Awam Negeri empat orang atau 1.1 peratus berbanding 12 orang (4.3 peratus) pada tahun lepas, Badan Berkanun Persekutuan 69 orang (19.5 peratus) berbanding tahun lepas dengan lima orang (1.8 peratus).

Badan Berkanun Negeri pula mencatatkan seramai lapan orang atau 2.3 peratus telah dikenakan tindakan tatatertib berbanding tahun lepas dengan satu orang atau 0.3 peratus manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencatatkan sedikit penurunan tahun ini dengan 31 orang atau 8.8 peratus berbanding tahun lepas dengan 51 orang atau 18.1 peratus.

Kenyataan itu juga turut menyatakan bahawa bagi suku pertama tahun ini, pegawai dalam kumpulan sokongan adalah yang paling ramai dikenakan tindakan tatatertib iaitu seramai 316 pegawai awam atau 89.5 peratus.

Menurut klasifikasi perkhidmatan jabatan itu, kumpulan sokongan bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan mencatatkan seramai 222 orang berbanding kumpulan pengurusan dan profesional dengan 19 orang telah dikenakan tindakan tatatertib.

Bagi Perkhidmatan Awam Negeri empat orang daripada kumpulan sokongan, Badan Berkanun Persekutuan 52 orang dari kumpulan itu manakala 17 orang adalah dari kumpulan pengurusan dan profesional serta Badan Berkanun Negeri pula mencatatkan seramai lapan orang dari kumpulan sokongan yang telah dikenakan tindakan tatatertib dan Pihak berkuasa Tempatan (PBT) pula mencatatkan sebanyak 30 orang berbanding kumpulan pengurusan dan profesional dengan satu orang.

Kebanyakan mereka yag dikenakan tindakan tatatertib adalah kesalahan tidak hadir bertugas yang mencatatkan sebanyak 179 kes atau 50.6 peratus, pelanggaran tatakelakuan iaitu 95 kes (26.8 peratus).

"Secara keseluruhannya, sebanyak 317 kes atau 89.5 peratus kesalahan dilakukan oleh pegawai awam daripada kumpulan sokongan.

"Tujuan utama peraturan adalah untuk menjaga imej kerajaan khasnya dan perkhidmatan awam amnya. Tindakan tatatertib merupakan langkah yang perlu diikuti bagi menghukum pegawai awam yang didapati melanggar mana-mana peraturan supaya dapat memperbaiki tingkah laku dan pada masa yang sama dapat dijadikan panduan kepada orang lain," kata kenyataan itu.

Bernama Online

Sektor awam harus cekap

ALOR SETAR 13 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mutu penyampaian perkhidmatan awam harus cekap dan berkesan sejajar dengan kemudahan ruang pejabat lebih selesa yang telah dibangunkan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, apa yang penting bukan sahaja bangunan fizikal kelas pertama tetapi khidmat yang diberikan kepada rakyat juga perlu bertaraf kelas pertama.

Katanya, sesuatu kejayaan yang diraih tidak diukur oleh besar atau hebatnya sesebuah bangunan tetapi faktor mutu kerja dan khidmat yang disampaikan oleh para penjawat awam.

"Dalam kata lain, mutu penyampaian perkhidmatan harus ditingkatkan demi memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai yang berurusan dengan pelbagai agensi ini.

"Ia sejajar dengan hasrat memberikan kepuasan kepada kesejahteraan rakyat sebagai pelanggan utama," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu'adzam Shah di sini hari ini.

Majlis perasmian kompleks yang dibina di atas tanah berkeluasan 16.1 hektar melibatkan kos sebanyak RM270 juta itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan beberapa menteri Kabinet.

Perdana Menteri turut menyeru para pegawai kerajaan agar mengguna dan menjaga kemudahan yang disediakan kepada mereka itu dengan penuh integriti.

Penjawat awam juga, katanya, harus menerapkan nilai dan budaya bekerjasama sebagai satu komuniti tanpa mengira perbezaan jabatan atau agensi, pangkat, bangsa serta agama dalam memelihara bangunan yang diduduki.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, pembaharuan dalam perkhidmatan awam yang akan dilakukan bukan bersifat 'dari atas ke bawah' tetapi sebaliknya melibatkan gabung jalin semua segmen bermula dengan kepimpinan atasan.

Beliau berkata, proses modenisasi tersebut memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini.

Utusan Online

Monday, July 13, 2009

Kakitangan awam jauhi rasuah

KUCHING 12 Julai - Kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini diminta supaya mengambil inisiatif dan memberi sepenuh komitmen untuk menyelesaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan segera.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kelewatan akibat sikap mengambil mudah, berlengah dan menangguhkan kerja akan memberi peluang kepada pegawai yang tidak jujur untuk melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Beliau berkata, setiap ketua jabatan dan pemimpin di Sarawak juga perlu memastikan tidak berlaku kepincangan di dalam agensi masing-masing yang boleh mengundang kepada amalan rasuah.

''Sehubungan itu, kita mestilah mengekalkan faktor-faktor keutuhan untuk dijadikan benteng dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anti Rasuah Sarawak 2009 bertempat di Padang Merdeka di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah SPRM Sarawak, Shamsiah Abu Bakar.

Abdul Taib memberitahu, usaha pembanterasan rasuah akan lebih berkesan sekiranya ditangani secara menyeluruh, bersepadu dan terancang serta merangkumi aspek-aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat.

Namun katanya, usaha itu tidak akan berkesan tanpa sokongan dan kerjasama daripada setiap lapisan masyarakat yang menjadi benteng kepada penghapusan gejala rasuah di negeri ini.

''Kesan buruk jenayah rasuah bukan sahaja akan merosakkan pelakunya sahaja malah akan meruntuhkan negara itu sendiri," tegas beliau.

Abdul Taib berkata, menjadikan Malaysia sebagai negara maju, tumpuan mewujudkan pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam yang cekap, berdisiplin serta mempunyai integriti yang tinggi perlu dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut.

Beliau menambah, kewujudan pentadbiran awam yang berintegriti tinggi dan cekap sebelum ini membantu negara keluar daripada masalah kegawatan ekonomi bahkan meningkatkan ekonomi negara.

Utusan Online

Sunday, July 12, 2009

KPI Nasional diperkenal hujung bulan - Najib

KUALA LUMPUR 12 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Petunjuk Prestasi Utama Nasional (KPI), yang bertujuan meningkatkan prestasi perkhidmatan awam, kini dalam proses terakhir dan akan diumumkan pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, KPI kini dalam proses menentukan penanda aras dan sasarannya secara spesifik.

“Saya akan umumkan perkara itu selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kerajaan pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan khas ’Bual Bicara’ sempena 100 hari pentadbiran beliau yang disiarkan menerusi RTM1, di sini hari ini.

Najib, yang ditemubual Sayed Munawar Sayed Mustar, berkata, dalam menentukan sasaran KPI nasional itu, kerajaan harus bersikap berani dan yakin selain mengambil pendekatan realisitik agar ia dapat dicapai.

“Kita mesti berani meletakkan sasaran yang agak tinggi tetapi jangan sampai tidak realistik, jadi kita kena cari tahap yang sesuai.

“Kalau ia tidak memberangsangkan rakyat, mereka akan kata KPI tidak ada makna, tetapi kalau tinggi sangat, dalam setahun tidak tercapai, juga akan kena tempelak,” katanya.

KPI Nasional merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) iaitu mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasakan prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib berkata, dengan adanya KPI Nasional, tanggungjawab untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam bukan terletak di atas bahu beliau semata-mata, sebaliknya semua anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam perlu bersama-sama berkongsi tanggungjawab berkenaan.

Katanya, kejayaan kerajaan dan pentadbiran bergantung kepada pencapaian KPI Nasional itu.

“Mungkin lebih mudah bagi Perdana Menteri dan menteri jika kita tidak memilih cara ini (memperkenalkan KPI) kerana bila ada KPI, tekanannya lebih.

“Tetapi saya rasa inilah apa yang dikehendaki oleh rakyat gagasan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, kita mesti buat perkara ini sampai rakyat yakin bahawa ia bukan sesuatu yang retorik,” katanya.

Bernama

Peluang lebih baik, adil untuk semua

Semalam genap 100 hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin negara ini dan beliau telah membuktikan hanya dalam tempoh berkenaan banyak perubahan telah dilakukan demi untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Berikut adalah ucapan beliau sempena “100 hari Perdana Menteri bersama rakyat” yang diadakan di Exhibition Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam.

__________________________________________________________________________

Sesungguhnya hari ini adalah hari rakyat Malaysia, rakyat 1Malaysia sebab itulah sempena seratus hari saya memegang teraju pemerintahan negara saya mempunyai opsyen atau pilihan.

Mula-mula saya fikir elok saya buat ucapan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara siaran langsung tetapi bila saya fikir punya fikir kalau buat siaran langsung tidak ada di sisi rakyat maka saya tidak dapat mengiyakan konsep rakyat didahulukan.

Maka timbul cadangan supaya kita adakan satu perhimpunan yang bukan sebarangan perhimpunan tetapi satu perhimpunan yang bercorak yang mencerminkan dokongan 1Malaysia.

Satu perhimpunan yang mana kita tidak mementingkan duduk di mana kita tidak pentingkan soal protokol kita tidak penting ada kompang ada bunga manggar tetapi yang penting kita dapat bersama-sama dengan rakyat Malaysia.

Dan hari ini saya bersama rakyat saya melihat di dalam himpunan ini tidak ada batas antara kita menteri duduk bertimpuh di bawah.

Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Kira-kira seratus hari yang lalu, bersamaan 3 April, pada tarikh lantikan sebagai Perdana Menteri saya telah tampil menggariskan hala tuju pentadbiran kerajaan.

Dalam tempoh sebelum-sebelum ini saya telah banyak membuat ketetapan dan siri pengumuman berkisarkan usaha seperti merangsang ekonomi, langkah-langkah peningkatan daya saing negara dan inisiatif menarik minat pelabur asing, membebaskan tahanan-tahanan ISA dan beberapa inisiatif lain.

Namun, pada pagi yang ceria ini, saya mahu menumpu dan memberi fokus untuk bercakap tentang hal ehwal rakyat. Ucapan ini adalah ucapan yang cakna terhadap aspirasi rakyat Malaysia. ‘‘Hari ini merupakan hari yang membincangkan soal rakyat Malaysia’’. Teringat saya pantun orang tua-tua kita ‘‘Kalau tidak kelapa Puan, tidak juga kelapa bali, kalau tidak kerana tuan-tuan dan puan-puan, manakan saya berada di sini’’.

Jika diimbas, sejak mula mengambil alih pucuk pimpinan negara, saya telah menggagaskan pentadbiran kerajaan dipaksikan atas konsep 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa konsep 1Malaysia dan mengapa ia menjadi landasan pentadbiran saya?

Jawapannya mudah, kerana, bagi saya kita adalah satu keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya mahu pun kepercayaan. Justeru, setiap warga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan maju atau mundur, berjaya atau gagal negara yang tercinta ini. Hakikatnya, sama ada kita orang Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Orang Asli, kaum-kaum lain termasuk orang keturunan Siam yang menetap di sini adalah penting untuk kejayaan Malaysia.

Sebagai seseorang pemimpin saya boleh memilih pendekatan untuk duduk dan menunggu di bilik berhawa dingin dalam pejabat untuk mendengar taklimat atau sekadar menerima laporan yang belum tentu pasti ceritanya. Pada saya seorang pemimpin akan lebih dianggap prihatin dan berjiwa rakyat kalau kita sanggup sanggup turun ke bawah dan melihat dengan mata kepalanya sendiri penderitaan rakyat, mendengar rintihan, keluh kesah juga merasai gundah gulana mereka sekali gus mampu meresapi denyutan nadi rakyat yang dipimpinnya.

Sebab itu saya ambil pendekatan tinjauan mesra, jadi bermulalah pendekatan tinjauan mesra.

Lantas, saya telah turun padang bermula hari kedua saya menjadi Perdana Menteri untuk membuat tinjauan-tinjauan mesra. Ia bermula di Petaling Street untuk melihat keadaan peniaga-peniaga Cina kita.

Di sana, mereka memohon agar bumbung utama digantikan dan ditambah bumbung kepada gerai-gerai individu. Hasilnya, pada Isnin ini Menteri Wilayah Persekutuan akan mengumumkan perincian projek penggantian dan tambahan bumbung berkenaan.

Saya kemudian telah membuat tinjauan mesra ke pangsapuri Vista Angkasa kawasan Kerinci. Saya terkejut melihat keadaan suram dengan bangunan yang hitam. Masalahnya, bukan hitam manis tapi hitam kusam. Lebih mengejutkan saya lifnya berada dalam keadaan uzur. Mereka mengadu lif itu selalu rosak. Hal ini sungguh membuatkan saya berasa simpati dan terus mengarahkan tindakan diambil untuk pembaikan. Hasil tinjauan ini, saya boleh melaporkan bahawa 65 peratus kerja-kerja pembersihan dinding dan cat asas selesai, 95 peratus kerja mengecat bangunan parking selesai, 100 peratus kerja penyambungan kabel telefon di blok 2, 5 dan 8 selesai manakala kerja-kerja membaiki lif akan dimulakan dalam waktu yang terdekat.

Kemudian pula saya ke Brickfields pula bagi meninjau kebajikan peniaga-peniaga India. Mereka telah memajukan kepada saya permohonan untuk menambah baik prasarana di kawasan tersebut. Kita menyambut baik hasrat rakyat ini dan telah bersetuju bahawa kawasan ini nanti akan dibangunkan sebagai Little India yang lebih terancang.

Apa yang menarik, semasa di sana saya telah berkesempatan untuk menikmati teh tarik dan makan tosai di Restoran Sri Kortumalai. Saya cukup terharu apabila mengetahui bahawa tauke restoran iaitu Encik S. Paramasivam yang cekap dalam pemasarannya. Beliau menamakan sudut tempat saya minum itu sebagai Najib’s Corner.

Saya juga telah pergi untuk tinjauan mesra di Puduraya setelah mendengar rungutan ramai pihak sejak sekian lama mengenai pelbagai kemelut yang melanda nadi pengangkutan awam rakyat ini. Saya menyaksikan sendiri bagaimana keadaan bangunan yang sangat daif dan tidak selesa bukan sahaja untuk para penumpang tetapi juga syarikat-syarikat pengangkutan dan para peniaga yang telah beroperasi selama puluhan tahun. Keputusannya, saya telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM44 juta yang mana RM30 juta ialah untuk UDA bagi membaik pulih bangunan dan RM14 juta lagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya. Hasilnya, hari ini sudah jauh bertambah elok dari keadaan terdahulu.

Selanjutnya saya juga telah berkunjung ke Kampung Picin, Batang Ai, Lubuk Antu, Kampung Bintawa dan pasar malam di Sibu, Sarawak. Saya berkunjung ke Pasar Kraf dan Pasar Besar di Kota Kinabalu. Setiap tempat yang saya lawat, saya telah meluluskan peruntukan bagi memenuhi kehendak rakyat.

Terbaru saya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama anak-anak kita yang baru mendaftar. Saya dan isteri meluangkan masa bersenam dan melawat asrama serta tempat mereka belajar untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang dirasai oleh para pelajar institusi pengajian tinggi. Itulah antara siri tinjauan mesra saya. Ternyata siri tinjauan ini telah membolehkan saya secara langsung menyelami sendiri aspirasi dan keprihatinan rakyat di luar sana.

Dari itu Alhamdulillah, dengan rahmat yang Maha Esa jua, genaplah 100 hari ini, saya menjunjung amanah sebagai Perdana Menteri dan sekali lagi saya berdiri dengan penuh sukacita melaporkan beberapa kemajuan perkara yang telah dirancang dan sedang dilakukan sejak hari yang pertama. Segala rencana dan susunan agenda itu merangkumi pertamanya: Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi, keduanya: Hak asasi manusia dan kebebasan media serta ketiganya: Peningkatan kecekapan penjawat awam juga keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya.

Seterusnya pula, seawal memegang tampuk pentadbiran tertinggi negara, saya telah mengumumkan KPI atau Indeks Petunjuk Prestasi bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan. Tujuan saya mewujudkan KPI bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam ini adalah untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka.

Baru-baru ini pula, demi untuk mencapai matlamat KPI tersebut dengan lebih berkesan saya telah menggariskan NKRA atau bidang-bidang keberhasilan utama nasional yang meliputi 6 lapangan:

*Mencegah Jenayah.

*Memerangi Rasuah.

*Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

*Meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.

*Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.

*Menambahkan baik Pengangkutan Awam sebagai jangka masa sederhana.

Sesungguhnya, semua yang digagas dan dirangkakan ini, tidak lain dan tidak bukan untuk menjayakan kerangka maksud 1Malaysia. Sudah menjadi lumrah alam, tentu ada yang menyokong dan tentu ada yang menentang.

Waima apa pun, sebagai Perdana Menteri untuk semua saya berpegang teguh pada prinsip bahawa tugas besar ini adalah satu amanah daripada rakyat. Makanya, saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan menyingsing kudrat untuk mencari penyelesaian-penyelesaian seraya membuat keputusan-keputusan demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan.

Ertinya, sebagai Perdana Menteri yang dipilih, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada kebajikan tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, saya sentiasa bersikap objektif melaksanakan semua tugas mulia ini dengan penuh ketetapan. Jika tidak, negara dan rakyat akan terumbang ambing dengan ketidakpastian. Malah dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan saya tidak membuat sesuatu secara berwenang-wenang jauh sekali secara semberono.

Lantaran itu, melihat kepada tuan-tuan dan puan-puan, berkumpul dalam dewan ini, rata-rata terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, ditambah dengan ratusan wajah anak-anak cilik di depan saya, seakan meresap dan bersemarak ke seluruh anggota satu semangat dan keyakinan yang membumbung bahawa apa yang kita sedang gemblengkan ini bukanlah satu angan-angan atau fatamorgana.

Tugas kita adalah amat besar. Kita haruslah membina Malaysia di mana semua anak-anak kita mempunyai peluang untuk mengoptimumkan potensi masa depan mereka. Malaysia, di mana setiap anak-anak kita merasakan mereka dihargai dan mempunyai peluang untuk hidup berjaya di hari muka. Kerana merekalah sebenarnya generasi 1Malaysia.

Dalam hal ini juga saya ingin tegaskan, tidak ada rakyat kelas kedua atau ketiga. Semua berhak mendapat peluang yang sama sekiranya betul-betul berkebolehan. Kerana itulah, kita kini ingin mengiktiraf the best and the brightest. Saya beraspirasi mencipta satu sistem untuk mengiktiraf yang terbaik dan berbakat di kalangan anak-anak muda kita.

Hakikatnya, alangkah malang jika ada anak Malaysia terpaksa berhijrah untuk bakatnya di iktiraf. Alangkah ruginya negara kita. Oleh itu apa yang saya ingin katakan di sini adalah, kita boleh menyedia dan menjanjikan garis pemula yang sama tetapi mana mungkin kita dapat menghamparkan hasil pengakhiran yang sama. Maka dengan yang demikian, terpulanglah kepada rakyat Malaysia untuk merebut peluang yang terbentang.

Kendatipun, negara sedang berada di dalam kemelut ekonomi yang diakibatkan kemelesetan global tidak bermakna kita harus putus asa dan menyerah kalah dengan situasi. Pentadbiran saya komited untuk meringankan sedikit sebanyak beban yang sedang ditanggung oleh tuan-tuan dan puan-puan di samping menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pemulihan di peringkat kebangsaan.

Sehubungan dengan itu suka saya mengumumkan beberapa langkah yang akan kita ambil bagi membolehkan beban rakyat dikurangkan, kesejahteraan rakyat dipastikan dan kemakmuran negara dikongsi oleh semua.

Pengumuman pertama - Setelah mendengar rintihan rakyat yang menggunakan tol malah ada yang memberitahu saya yang dia pergi ke tempat kerjanya dengan bayaran tol hampir RM300 sebulan. Saya tanya berapa gaji, dia kata RM3,000 maknanya gajinya hanya 11 bulan dan bukan 12 bulan kerana satu bulan membayar tol.

Untuk itu kerajaan bersetuju memberi diskaun 20 peratus kepada pengguna kad pra bayar SmartTag dan Touch ‘N yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan. Pemberian diskaun ini adalah sebagai langkah sementara dan akan bermula pada 1 September 2009. Pengguna yang layak boleh menuntut diskaun tersebut semasa membuat tambah nilai di 136 Point of Sales (POS) di lebuh raya utama dan di Ibu Pejabat Touch ‘n Go Sdn. Bhd. Dalam tempoh enam bulan selepas itu, kemudahan ini boleh didapati di mesin-mesin ATM dan stesen minyak utama atau agen yang dilantik di Semenanjung Malaysia.

Program Perumahan Rakyat:

Pengumuman kedua: kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Namun dasar semasa di Wilayah Persekutuan hanya membenarkan mereka menyewa rumah-rumah ini. Bagi mengatasi masalah ini kKerajaan bersetuju membenarkan rumah-rumah tersebut dibuka untuk penjualan bagi penghuni yang sedang menyewa. Jumlah rumah yang ditawarkan untuk tujuan penjualan ini adalah sebanyak lebih kurang 44,000 unit.

Peniaga dan penjaja kecil:

Pengumuman ketiga - Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan semua 69,000 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus kepada pembaharuan dan lesen baru mereka yang berkuatkuasa serta merta. Ini bukan sedikit jumlah potongannya, ia melibatkan antara RM10 hingga RM700 setahun. Jadinya, saya menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga mengambil langkah yang sama.

Pengumuman keempat - Secara umumnya ke seluruh Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk skim TEKUN bagi faedah peniaga dan penjaja kecil. Manakala RM15 juta lagi diperuntukkan khusus untuk kegunaan masyarakat India melalui program pembangunan usahawan muda mereka.

Pengumuman kelima - Penambahan pengeluaran permit teksi. Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menambah permit teksi kepada individu. Setakat ini kerajaan telah memberikan lebih 7,000 permit teksi individu . Di sini, saya umumkan, jumlah permit ini akan ditambah sebanyak 3,000 lagi dalam masa tiga bulan akan datang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN):

Pengumuman keenam-Mencegah Jenayah dan memerangi rasuah. Dalam hal ini, kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah yang berleluasa seperti ragut dan pencurian kenderaan. Perincian langkah-langkah pencegahan konkrit akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

Pendaftaran Kelahiran:

Pengumuman ketujuh-Bersangkutan pendaftaran kelahiran. Saya sedar pendaftaran kelahiran merupakan satu isu yang dekat di hati rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, piak Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat didaftarkan dengan kadar segera.

Untuk Sabah, semenjak 2005 sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah tersebut 92 peratus telah diluluskan. Manakala di Sarawak, semenjak tahun 2005 sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Untuk itu, saya mahukan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus diperkemas bagi memberi bantuan dan kemudahan yang lebih luas kepada penduduk di pedalaman untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.

Pengumuman kelapan - Kewarganegaraan, dalam hal kewarganegaraan, untuk makluman, jumlah permohonan yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000. Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, pihak Kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan Permit Masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf Penduduk Tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan Permit Masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan.

Infrastruktur Luar Bandar:

Pengumuman kesembilan - Kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 dan di Semenanjung Malaysia, kerajaan akan meningkatkan pembinaan rangkaian jalan demi kemudahan rakyat. Bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80 peratus menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik.

Pengumuman kesepuluh- Saya dapati kos mendapatkan lesen memandu (B2) adalah tinggi iaitu di antara RM500 sehingga RM700. Sehubungan ini sebagai kerajaan yang memahami naluri anak muda, kita memutuskan untuk membantu secara keseluruhan pengguna motosikal mendapatkan lesen memandu mereka dengan mengurangkan kadar bayaran belajar dan kadar lesen memandu. Ini tidak akan menjejaskan kompitensi di mana ujian kelayakan masih lagi dikekalkan. Saya gembira, institut memandu menyambut baik hasrat kerajaan dan telah bersetuju mengurangkan caj bayaran latihan kepada sebanyak RM211. Inisiatif baru ini akan berkuatkuasa mulai 1 September 2009 sempena bulan kemerdekaan.

Penumuman kesebelas - Dalam rangka untuk meratakan kemakmuran Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Skim Amanah Saham Wawasan terutamanya bagi golongan miskin tegar di bandar. Skim ini bertujuan untuk meringankan bebanan mereka terutama di hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak. Menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melabur, kerajaan telah bersetuju bagi PNB untuk menubuhkan satu lagi tabung unit amanah baru iaitu ‘‘Amanah Saham 1Malaysia (AS 1MALAYSIA)’’. Tabung unit amanah baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini akan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan akan mempunyai saiz sehingga 10 billion unit tertakluk kepada permintaan semasa.

Penubuhan tabung unit amanah baru pada ketika ini adalah sesuai selaras dengan jangkaan pemilihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini. Tabung ini dijangka akan memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang.

Akhir kalam, sesungguhnya langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula dalam perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin. Perjalanan kita ini ibarat sebuah sungai. Sama ada yang memimpin atau dipimpin semuanya mengalir ke arah yang sama. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak sekalian untuk bersama-sama melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan.

Utusan Online

Wednesday, July 8, 2009

58 pegawai perubatan letak jawatan tahun lalu

NUSAJAYA 7 Julai - Seramai 58 pegawai perubatan dan pakar perubatan di negeri ini telah meletakkan jawatan tahun lalu sekali gus menyumbang kepada peningkatan masalah kekurangan tenaga kerja pakar yang berkhidmat di hospital kerajaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, biarpun faktor berkenaan hanyalah penyumbang kecil kepada masalah kekurangan pakar, Kementerian Kesihatan tetap memandang serius dan akan mengambil beberapa inisiatif bagi menyelesaikan masalah ini.

Katanya, antara sebab lain yang menyumbang kepada masalah kekurangan pegawai perubatan dan pakar perubatan ialah bilangan graduan perubatan dan pakar perubatan yang menamatkan pengajian daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terhad, sedangkan keperluan bagi jawatan itu di hospital kerajaan semakin tinggi.

''Selain itu, tempoh program latihan pegawai perubatan siswazah yang sudah dilanjutkan dari setahun kepada dua tahun juga menyebabkan kekurangan pegawai perubatan di semua hospital kerajaan.

''Jumlah pegawai perubatan dan pakar perubatan yang berhijrah ke hospital swasta dan ke universiti tempatan semakin meningkat kerana mereka ditawarkan gaji lebih tinggi daripada hospital kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar di sini hari ini.

Robia menambah, sebagai langkah penyelesaian masalah tersebut, kementerian telah bersetuju mengekalkan pegawai perubatan dan pakar perubatan sedia ada di negeri ini, sementara pada masa sama akan membawa masuk pegawai perubatan dan pakar perubatan dari luar ke negeri Johor.

''Pengisian jawatan sehingga Mac tahun ini adalah 42.5 peratus. Dalam pada itu kementerian juga telah memberi peluang kepada 77 orang yang layan berkhidmat sebagai pegawai perubatan dan pakar perubatan kontrak,'' katanya.

Selain itu, langkah lain yang diambil oleh kementerian ialah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menambahkan kuota pengambilan mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang perubatan, menggunakan khidmat pegawai perubatan swasta untuk bertugas di hospital secara pada masa tertentu atau 'sessional', dan melantik semula secara automatik pegawai perubatan yang sudah bersara wajib dengan rekod dan prestasi perkhidmatan yang cemerlang dan kesihatan yang baik.

''Malah, kita turut menambah baik terma dan syarat perkhidmatan pegawai perubatan dan pegawai pakar perubatan dengan mewujudkan insentif,'' katanya.

Dalam pada itu, Robia menjelaskan bahawa kesemua 11 hospital kerajaan di negeri ini menyediakan rawatan hemodialisis dengan kemudahan 134 buah mesin dan mampu merawat 600 pesakit buah pinggan yang direkodkan di sini.

Katanya, biarpun begitu jumlah mesin hemodialisis tersebut masih lagi tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit buah pinggan yang semakin bertambah.

Utusan Online

Tuesday, July 7, 2009

Perkukuh hubungan istimewa

TRANSKRIP ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, pagi semalam.

Najib Tun Razak hadir di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (dari kiri) Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.


KITA selalu sebut tentang betapa pentingnya perkongsian di antara sektor awam dan sektor swasta yakni public-private partnership. Ini tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks ekonomi yang bersandarkan kepada market ekonomi, sudah tentu peranan private sector amat penting.

Kita selalu sebut the private sector as the engine of growth, the private sector merupakan punca utama penjanaan kekayaan untuk negara.

Pada saya, saya nak menekankan dua perkongsian sebenarnya, yang saya anggap sama penting selain daripada perkongsian public- private partnership, ada satu lagi perkongsian yang sangat penting dan sangat bermakna.

Perkongsian itu ialah perkongsian di antara anggota-anggota pentadbiran dan anggota- anggota perkhidmatan awam, yakni di antara members of the administration, ataupun administration as a whole, and the public service.

Saya ingin reemphasise, saya ingin acknowlegde semula betapa pentingnya hubungan dan perkongsian ini bukan sahaja sebagai satu statement of fact, tetapi hendaklah dihayati dan diperkukuhkan lagi kerana kalau perkongsian ini merupakan perkongsian yang amat mantap dan serasi, maka yang akan mendapat faedah ialah rakyat dan negara.

Tak mungkin agenda kerajaan ataupun agenda pentadbiran saya dapat dilaksanakan dan dapat dijayakan kalau perkongsian di antara pentadbiran dan perkhidmatan awam ini, tidak merupakan satu hubungan yang menjadi satu hubungan yang nyata sekali, yang kukuh dan amat berkesan.

Jika kita menyorot kembali, mengimbau kembali sejarah negara kita, kejayaan-kejayaan dalam kita membawa pembaharuan ataupun menyelesaikan apa jua krisis negara kita, ia tetap bersandar kepada this special relationship between the administration and the public service.

Sebab itulah dalam langkah ke hadapan, as you move forward, saya nak reemphasise betapa penting this relathionship ini diperkukuhkan lagi.

Lebih-lebih lagi, apabila dalam masa yang terdekat ini, saya akan membentangkan National Key Result Areas dan National KPI yang akan menjadi keutamaan bagi kerajaan dalam masa beberapa tahun yang akan datang ini.

Saya tidak bercadang hari ini, untuk menghuraikan apa yang akan termaktub sebagai National Key Result Areas dan National KPI, tetapi ini akan menjadi satu kaedah pembaharuan dalam cara kita mentadbir negara kita ini.

Ini merupakan satu pendekatan yang akan memberi nafas baru dalam usaha kita untuk membawa negara kita ke tahap yang lebih berjaya lagi.

Apa juga yang ingin kita jadikan sebagai, orang kata, the alternate goal for the nation, sama ada kita sebut negara maju, sama ada kita sebut high income country, sama ada kita nyatakan sebagai first world nation, ia akan bergantung kepada sejauh mana hubungan partnership ini dapat menterjemahkan agenda kerajaan dalam erti kata yang sebenarnya.

Oleh itu, marilah kita lihat kepada perkara ini sebagai satu komitmen kepada kita dan saya berharap perkongsian ini, partnership ini dan hubungan ini, tidak merupakan hubungan yang formal sahaja, di antara menteri dengan Ketua Setiausaha, atau di antara Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai tinggi, dan sebagainya, tetapi lebih daripada itu.

Ia mesti sampai kepada hubungan spiritual dan emotional relationship di antara kita, maknanya anggota-anggota perkhidmatan awam mempercayai bahawa agenda kerajaan ini adalah terbaik untuk negara.

You must have that the emotional and spiritual connection between yourself and the members of the government. Itulah kemuncak kepada hubungan di antara perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan.

Dan ini bukanlah about just winning the next general election, tapi jangan bagi kita kalahlah, lebih daripada itu, it's about transformation, it's about transforming Malaysia.

Saya nak tekankan another key word ialah transformasi, transformation.

Transformation bukan semata-mata pembaharuan tetapi perubahan, pembaharuan boleh jadi superficial, boleh jadi luaran sahaja, boleh jadi berdikit sahaja, tetapi transformasi adalah merupakan pembaharuan bersifat holistik, comprehensive dan menyeluruh.

Dan inilah dia perjalanan kita, this is our journey dan saya berharap this journey will be a journey the civil service and the adminsitration, kita bersama-sama berganding bahu, berganding tangan dalam perjalanan ke arah destinasi yang lebih bermakna untuk negara Malaysia kita yang tercinta.

Selamat menjalankan tugas.

Bernama Online

Berita@INTURA Julai 2009

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar











Monday, July 6, 2009

Najib umum KRA dan KPI dalam masa terdekat

PUTRAJAYA 6 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mengumumkan Bidang Keputusan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara yang akan menjadi keutamaan kerajaan bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dalam masa terdekat.

“Ini merupakan satu pendekatan yang akan memberi nafas baru dalam usaha kita membawa negara ke tahap yang lebih berjaya lagi,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Najib bagaimanapun berkata beliau tidak bercadang untuk menghuraikan apa yang termaktub sebagai KRA dan KPI, yang akan menjadi kaedah pembaharuan dalam cara untuk mentadbir negara, pada hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu hubungan dan perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk menjayakan agenda negara.

Selain pentingnya perkongsian di antara sektor awam dan sektor swasta, beliau berkata perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam perlu mantap dan serasi kerana yang akan mendapat faedah ialah rakyat dan negara.

Bernama Online