Thursday, May 28, 2009

Kementerian Luar terima kritikan dengan hati terbuka

DAMSYIK, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata beliau menerima kritikan terhadap kementerian dan para pegawainya dengan fikiran terbuka kerana kemungkinan ia boleh menjadi satu pengajaran.

Beliau berkata kementerian itu menerima kritikan, komen dan idea yang konstruktif kerana keseluruhan objektifnya adalah bagi meningkatkan imej dan perkhidmatannya.

"Masih ada ruang untuk menjadi bertambah baik. Saya tidak berkata bahawa mereka tidak bagus. Apa yang saya katakan ialah kita mahu membawanya ke tingkat yang lebih baik (ke arah mencapai kecemerlangan).

"Jadi saya akan melihat kepada setiap satu kritikan, dan mungkin ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripadanya," katanya kepada Bernama di luar daripada sesi Majlis Menteri-menteri Luar (CFM) Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-36 yang dihoskan oleh Syria.

Anifah telah diminta mengulas berhubung surat yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian Malaysia berbahasa Inggeris baru-baru ini berhubung apa yang disifatkan sebagai "keadaan yang amat buruk" di kementerian.

Penulis itu mendakwa, antara lain, bahawa banyak pegawai kementerian luar dan duta-duta besar tidak mencapai mutu tertentu.

Anifah berkata: "Kami perlu menerima kritikan itu secara positif. Sekarang, ia mengenai negara kita, ia bukan mengenai kita sebagai individu."

Bernama

Penjawat awam perlu banyak membaca

LIMBANG 27 Mei - Penjawat awam perlu banyak membaca buku-buku ilmiah bagi menambah ilmu dan menguasai bahasa antarabangsa untuk memudahkan tugas harian mereka.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, melalui pembacaan pelbagai jenis buku itu, ia membolehkan mereka menjadi lebih cekap dan mempertingkatkan kredibiliti jabatan atau kementerian.

''Apabila jentera pentadbiran awam menjadi efisien, ia boleh berfungsi dalam apa keadaan sekalipun," katanya berucap di majlis pelancaran logo An Honour To Serve dan One Government At Your Service di sini semalam.

Beliau berkata, efisien amat penting supaya pentadbiran awam mampu memainkan peranan dalam menterjemahkan manifesto kerajaan menjadi realiti.

Selain itu tambahnya, mentadbir jabatan atau bahagian banyak bergantung pada pengurusan dan bukannya terhadap sistem yang diguna pakai semata-mata.

Malah beliau dalam hal ini menasihatkan kakitangan awam sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan iaitu rakyat.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wilson Baya Dandot dalam ucapannya berkata, kakitangan awam harus menerapkan amalan positif dan menjadikannya sebagai nilai dan etika budaya kerja mereka.

Beliau berkata, masyarakat kini telah meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada penjawat awam di negara ini.

''Sebagai penjawat awam, kita harus menerima penghormatan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan keikhlasan,'' kata beliau.

Wilson berkata, penghormatan yang diberikan itu harus dianggap sebagai cabaran kepada kakitangan awam dalam menjadikan perkhidmatan awam di negara ini bertaraf dunia.

Utusan Online

Tuesday, May 26, 2009

CUEPACS abaikan lulusan universiti

Saya secara peribadi berbangga menjadi seorang warga kakitangan Kerajaan Malaysia walaupun tidak berjawatan tinggi. Namun khidmat bakti, komitmen dan taat setia kepada kerajaan tidak pernah berbelah bahagi.

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Datuk Seri Najib bin Tun Razak yang dikenali pembela kakitangan kerajaan sejak menerajui Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran mahupun sebagai Perdana Menteri.

Namun persoalan saya apakah hala tuju perjuangan kepimpinan CUEPACS yang dilihat hanya memperjuangkan penambahbaikan bagi kakitangan sokongan sahaja. Adakah nasib kami lepasan universiti tidak layak untuk diperjuangkan?

Untuk makluman, golongan kami ibarat telah dijadikan anak tiri. Tuntutan pelarasan gaji yang diluluskan oleh kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, hasil perjuangan CUEPACS, telah menjadikan gaji antara kami lebih rendah berbanding gaji rakan yang tidak ke universiti.

Ini berlaku hasil gerakan mata gaji 25 peratus bagi kumpulan sokongan dan hanya 15 peratus untuk kami. Kemudian beberapa keistimewaan kenaikan pangkat dipermudahkan ke gred 32 dan sehingga ke gred 38 yang mana jumlah gaji hampir menyamai gaji Pengetua Gred DG 48!

Saya berpendapat kedudukan ini amatlah unik di mana golongan yang belajar tinggi mendapat gaji lebih rendah berbanding mereka yang tidak ke menara gading. Jika tidak, masakan heboh saban hari golongan guru DG 41 yang melanjutkan pelajaran meminta pihak berwajib menimbang kedudukan mereka yang rendah gaji, bukan oleh rakan yang sama keluar maktab, malah gaji junior dari maktab pun melebihi mata gajinya.

Memang lebih pelik jika berkhidmat di sekolah, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG 41, mahu pun DG 44, akan menerima arahan dan tugasan daripada pegawai di Pejabat Pelajaran yang mempunyai gred DG 29 atau DG 32 walau pun penstrukturan baru ada menunjukkan penambahan pegawai DG 41.

Berita terbaru menambahkan lagi keistimewaan kumpulan sokongan di mana 15 tahun berkhidmat automatik mendapat kenaikan pangkat. Itu belum lagi tuntutan yang akan dibuat untuk memohon penambahan Elaun Cola dan Elaun perumahan bagi kumpulan sokongan ini.

Tahniah diucapkan kepada kepimpinan CUEPACS yang menjadi pembela golongan sokongan. Namun pastikan mereka itu menjadi nadi penggerak utama dasar dan menjadi penyokong setia kerajaan di waktu senang dan susah serta tidak menjadi duri dalam daging kerajaan pada waktu pilihan raya nanti.

RIDZUAN MAHMUD
Kuala Lumpur

Utusan Online

Sunday, May 24, 2009

Tuntutan pesara ditimbang

PEKAN 23 Mei – Berita baik untuk pesara kerajaan. Kerajaan bersedia memperhalusi empat lagi tuntutan golongan itu untuk menjaga kebajikan mereka.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kerajaan pasti akan mempertimbangkan kesemua tuntutan tersebut.

Ini kerana, menurut beliau, kira-kira 90 peratus tuntutan yang dikemukakan oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) sebelum ini diterima dan diluluskan.

Empat tuntutan bagi menjaga kebajikan 48,000 pesara kerajaan adalah:

* Pemberian wang ihsan setiap pembayaran bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan;

* Pemberian pencen terbitan bagi wanita yang melangsungkan perkahwinan selepas bersara;

* Pemberian pencen RM720 sebulan kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun;

* Pelantikan senator di kalangan ahli PPKM.

Perdana Menteri berkata, PPKM boleh terus mengemukakan tuntutan tersebut kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dirundingkan.

Hasil rundingan itu, kata beliau, akan diperhalusi oleh Kabinet sebelum sebarang keputusan diambil mengenai tuntutan tersebut.

‘‘Saya pasti empat tuntutan tersebut akan dipertimbangkan kerana sebelum ini kira-kira 90 peratus daripada permintaan yang dibawakan oleh PPKM diterima dan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-15 di Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Kerajaan, menurut Najib, sentiasa memikirkan kebajikan golongan pesara supaya kehidupan mereka sentiasa terbela selepas menamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, katanya, sumbangan golongan pesara kepada negara dan masyarakat tidak terhenti meskipun mereka telah menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan.

‘‘Walaupun telah tamat perkhidmatan, tidak semestinya jasa dan bakti mereka kepada bangsa, agama dan negara sampai ke penghujungnya.

‘‘Saya masih menganggap setiap pesara boleh mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat dengan apa juga cara mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, ada pesara yang mempunyai kemampuan luar biasa seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih cergas dari segi minda dan fizikal walaupun umurnya mencecah 85 tahun.

‘‘Kemampuan ini lahir daripada bagaimana cara kita menguruskan diri walaupun selepas tempoh persaraan.

‘‘Oleh itu, setiap pesara harus sentiasa menjaga kesihatan diri agar dapat membentuk kecergasan fizikal dan menyuburkan minda,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kakitangan kerajaan mungkin boleh mencapai umur persaraan sehingga 60 tahun jika mempunyai badan dan minda yang sentiasa sihat dan cergas.

Sementara itu Yang Dipertua PPKM, Datuk Abdul Ghani Sulaiman berkata, pihak persatuan tidak menetapkan jumlah wang ihsan yang juga boleh disebut sebagai ‘bonus’ kepada pesara.

‘‘Jika kakitangan kerajaan mendapat habuan dalam bentuk bonus, maka pesara kerajaan juga tidak boleh dikecualikan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut Abdul Ghani, beliau yang mewakili Yang Dipertua PPKM kebangsaan, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh berharap empat tuntutan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri.

‘‘Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana selama ini begitu prihatin mengenai setiap isu yang diperjuangkan oleh PPKM,” katanya.

Utusan Online

Saturday, May 23, 2009

Polis bakal jalani pembedahan jantung didakwa terima rasuah

SHAH ALAM 22 Mei - Dalam tempoh 47 hari sebelum menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), seorang anggota polis hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000, empat tahun lalu.

Lans Koperal Shahruddin Baharim, 42, didakwa memperoleh suapan RM10,000 daripada seorang peniaga, Mohd. Abdul Kahar Md. Rani, 45, sebagai dorongan supaya membebaskan adik iparnya yang ditahan kerana dikatakan terlibat dalam kes samun bersenjata.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4.30 petang, 19 Februari 2005 di stesen minyak Projet Batu 3 di sini ketika bertugas di Cawangan Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Pada pukul 2 petang, dua hari kemudiannya, di tempat yang sama, tertuduh didakwa memperoleh suapan RM25,000 daripada Mohd. Abdul Kahar sebagai dorongan atas tujuan yang sama.

Shahruddin yang memakai baju T lengan panjang berwarna merah didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia kini hanya menerima separuh gaji setelah digantung kerja.

''Saya akan dimasukkan ke wad IJN pada 4 Julai dan akan dibedah pada 7 Julai. Saya asyik berulang alik ke hospital dan ia melibatkan kos yang tinggi. Isteri pula tidak bekerja dan saya menanggung dua anak yang masih bersekolah,'' kata Shahruddin.

Setelah meneliti surat-surat yang dikemukakan, Hakim M. Gunalan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Gunalan menambah, seandainya tertuduh ingkar dan tidak hadir ke mahkamah, jumlah jaminan akan dinaikkan.

Kes akan disebut semula pada 22 Jun untuk tertuduh melantik peguam.

Utusan Online

CUEPACS mahu kerajaan timbang kenaikan pangkat kumpulan Pengurusan & Profesional

SERDANG, 22 Mei (Bernama) -- Cuepacs meminta kerajaan menimbang kenaikan pangkat untuk pegawai kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang masih berada dalam gred lantikan walaupun sudah lama berkhidmat.

Presidennya Omar Osman berkata beliau telah membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam dan diberitahu perkara ini turut dalam kajian.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata permintaan itu adalah kerana terdapat kakitangan awam dalam kumpulan itu yang masih berada dalam gred lantikan, walaupun ada yang sudah lama berkhidmat tetapi kenaikan pangkat adalah terhad.

Beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri pada 14 Mei lepas bahawa pegawai Kumpulan Sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta yang masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan kenaikan ke gred lebih tinggi mulai 1 Julai ini, dan berharap pertimbangan yang sama diberi kepada pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

"Mungkin JPA nak selesaikan ini dulu (untuk pegawai sokongan) dan akan melihat kumpulan yang satu lagi (pengurusan dan profesional) kemudian," katanya.

Omar berkata dalam pertemuan semalam, Cuepacs turut meminta JPA menimbang mengadakan satu peperiksaan khas dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang lebih mudah bagi membolehkan mereka yang berkhidmat lebih 20 tahun dalam kumpulan sokongan dan terlibat dalam pengumuman perdana menteri itu, dapat peluang lulus dengan lebih baik dan seterusnya dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Antara syarat untuk kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun ke atas atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat ke gred lebih tinggi ini ialah mereka mesti mendapat markah 80 ke atas tiga tahun berturut-turut dalam penilaian prestasi dan mesti lulus PTK sekurang-kurangnya aras tiga.

"PTK sistem sekarang ini susah sikit untuk lulus bagi mereka yang sudah lama itu, macam sudah berkhidmat 20 atau 25 tahun. Mereka nampak seperti dah kecewa...jadi kalau ada ujian khas dalam konsep PTK tapi lebih mudah sikit, mereka ada peluang lulus dan peluang pertimbangan kenaikan pangkat," katanya.

Omar berkata kumpulan sokongan ini membabitkan 175,000 kakitangan sektor awam.

Mengenai pegawai kumpulan A yang ingin menceburi politik, Omar berkata kongres itu tetap tidak bersetuju dan mahu mereka meletak jawatan jika ingin berbuat demikian.

Bernama

Thursday, May 21, 2009

Peperiksaan PTK lulus, pangkat tetap tak naik

PEPERIKSAAN Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) telah diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan kenaikan gaji secara menegak dan melintang di bawah Sistem Saraan Baru (SSB). PTK lebih menjurus kepada pengetahuan, kebolehan dan kemahiran serta merit berbanding sistem lama (statik, mendatar, menegak dan melintang) yang lebih kepada penilaian Ketua Jabatan semata-mata.

Terdapat TK1 dan TK2 untuk PTK gred lantikan yang mana TK1 untuk pergerakan gaji P1 kepada P2 dan TK2 untuk pergerakan gaji P2 kepada P3 (gred lantikan ada 3 baris jadual gaji P1, P2, P3).

Sejak PTK diperkenalkan, ada kakitangan awam yang telah lulus TK1 dan TK2 aras IV dan telah dua kali mendapat anjakan gaji iaitu daripada P1 ke P2 (TK2) dan P3 (TK2).

Bermakna gaji mereka ini berada di P3. Namun demikian apabila diadakan temu duga kenaikan pangkat kakitangan yang cuma lulus PTK TK1 aras III dan gaji di P1 berjaya dinaikkan pangkat, manakala kakitangan yang telah lulus PTK TK1 dan TK2 aras IV dan dua kali menerima anjakan gaji gagal dalam urusan kenaikan pangkat.

Ini berlaku mungkin kerana kakitangan yang walaupun cemerlang dalam tugas tetapi agak gugup apabila menghadap lembaga temu duga.

Sepatutnya kakitangan yang telah berjaya mempamerkan kebolehan, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas masing-masing iaitu yang telah lulus aras IV PTK TK1 dan TK2 perlu dinaikkan pangkat, kalau pun tidak secara automatik berilah secara keutamaan.

Saya fikir 'permata-permata' ini iaitu kakitangan awam yang cemerlang dan berpotensi patut diberi peluang dan tidak harus dibiarkan begitu sahaja demi kebaikan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abd. Razak menitik beratkan gagasan 'pencapaian diutamakan'.

Penilaian berdasarkan penunjuk prestasi utama (KPI) bukan hanya kepada pegawai tinggi sektor awam bahkan tidak terkecuali para menteri Kabinet.

Atas semangat yang sama para penjawat awam juga perlu dinilai berdasarkan pencapaian, merit dan kebolehan.

Adalah diharapkan pihak kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam dapat meneliti perkara ini.

BASHARUDDIN HASHIM
Pendang, Kedah

Utusan Online

Guru bukan siswazah tidak disisih

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kementerian Pelajaran menafikan dakwaan guru-guru bukan siswazah yang berjumlah hampir 170,000 disisihkan daripada kenaikan pangkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, golongan guru berkenaan tidak pernah dilupakan malahan beberapa tuntutan dan cadangan kesatuan untuk menambah baik perkhidmatan guru terlibat sedang dirunding dan dipertimbangkan.

Beliau seterusnya meminta kumpulan guru terlibat supaya bersabar kerana rundingan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan beberapa pihak berkaitan masih diteruskan.

"Pengumuman akan dibuat sebaik sahaja tuntutan tersebut diputuskan bersama JPA," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas surat pembaca di ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini bertajuk "Guru lepasan diploma dilupakan."

Masalah yang sama turut dibangkitkan oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd. Sabri Mohd. Arshad baru-baru ini yang mendakwa kerajaan 'tidak bersikap adil' terhadap guru bukan siswazah yang sudah lama berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Kesatuan itu mendakwa demikian berikutan kerajaan mengumumkan kelulusan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah dan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah di sekolah rendah pada sambutan Hari Guru, Sabtu lalu.

Kesatuan itu seterusnya menyatakan tuntutan mereka belum kesampaian dan meminta kerajaan prihatin dan menyegerakan keputusan.

Sehubungan itu kata Alimuddin, kerajaan bukan sahaja membuat pengumuman seperti itu pada sambutan Hari Guru tetapi dari semasa ke semasa mengikut isu yang telah diluluskan.

Dalam pada itu katanya, bilangan guru bukan siswazah semakin berkurangan kerana perancangan kerajaan ialah selepas tahun 2010, semua guru sekolah menengah mestilah daripada lepasan siswazah sementara 50 peratus guru siswazah ditempatkan di sekolah rendah.

Walaupun sasaran itu belum tercapai jelasnya, guru bukan siswazah digalakkan melanjutkan pengajian di universiti secara sepenuh dan separuh masa.

Utusan Online

Tuesday, May 19, 2009

Pengarah JPAM Kedah didakwa memperaku butiran palsu

ALOR SETAR 18 Mei - Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Kedah, Mohamad Abdullah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan memperakukan dokumen berhubung bekalan makanan yang mengandungi butiran palsu, empat tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama Mohamad, 49, didakwa memberi satu dokumen bertarikh 16 Februari 2005 yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri.

Dalam dokumen itu, dia didakwa memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd. Roshid Hussain telah menyediakan makanan dan minuman pagi, tengah hari serta malam untuk Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang pada 17 hingga 20 Mac 2005 untuk 70 orang.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengulangi perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd. Roshid telah menyediakan makanan dan minuman pagi, tengah hari dan malam bagi 80 peserta Latihan Asas Intensif Untuk Unit Giat Mara Sungai Tiang pada 19 hingga 21 Mei 2005.

Walhal tertuduh mengetahui sebenarnya tiada bekalan sedemikian dibuat dan ia dilakukan hanya untuk mengelirukan.

Kedua-dua tuduhan tersebut didakwa dilakukan di pejabat JPAM negeri, Tingkat 6, Wisma Persekutuan, di sini pada 26 Jun dan 28 Julai 2005.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Di mahkamah yang sama, Mohd Roshid, 32, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan tertuduh untuk melakukan perbuatan tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mohd. Roshid didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta serupa yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.

Hakim Nor Sharidah Awang membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi setiap tuduhan dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi.

Utusan Online

Sunday, May 17, 2009

Minda Pengarang: Kerajaan tidak abai nasib pegawai kumpulan sokongan

KAKITANGAN awam sekali lagi mendapat perkhabaran gembira apabila kerajaan semalam mengumumkan kira-kira 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mulai 1 Julai ini. Pengumuman itu yang memang dinantikan oleh lebih 100,000 kakitangan dalam kumpulan terbabit sejak beberapa tahun lalu, sudah pasti menyuntik semangat baru kepada mereka. Kita tahu, sesetengah daripada kumpulan sokongan berkenaan sudah lama berkhidmat tetapi tidak merasai kenaikan pangkat berikutan had kategori jawatan mereka. Ada di antara mereka sudah berkhidmat dalam gred sama antara 20 hingga 30 tahun, tetapi sukar atau tidak boleh dinaikkan pangkat kerana jawatan yang disandang bukan jawatan kenaikan pangkat, kecualilah mereka melanjutkan pelajaran dan kemudian perlu memohon jawatan lebih tinggi yang sesuai dengan kelayakan akademik. Kita percaya keputusan itu akan turut diperluaskan kepada kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan. Kumpulan sokongan adalah tulang belakang perkhidmatan awam yang nasib mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan selama ini. Antara faedah kepada penjawat awam termasuk pegawai kumpulan sokongan sebelum ini ialah kenaikan gaji 35 peratus pada 2007, lanjutan umur persaraan daripada 56 ke 58 tahun, kadar kiraan pencen dipinda daripada 50 peratus gaji terakhir bagi perkhidmatan 25 tahun ke atas kepada 70 peratus gaji terakhir untuk perkhidmatan 30 tahun, Skim Elaun Kritikal sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok, pencen terbitan iaitu kadar pencen susut 30 peratus selepas 12 setengah tahun bersara dipinda kepada pencen 100 peratus tanpa susut sehingga meninggal dunia dan diwarisi isteri atau anak.

Malah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diberi opsyen menjadi skim pencen kepada mereka selain cuti berbayar dinaikkan daripada 120 hari kepada 150 hari. Ini adalah satu penghargaan kepada khidmat cemerlang kakitangan awam selama ini serta membuktikan keprihatinan kerajaan meskipun berdepan keadaan ekonomi yang agak muram sekarang ini. Sebenarnya, gaji terendah kakitangan awam kini sudah mencecah RM649.15 sebulan berbanding RM480.85 sebulan sebelum ini, manakala pendapatan terendah dicampur elaun tetap lain ialah RM1,024.15 sebulan berbanding RM805.85 sebulan. Kita berharap keadaan itu akan turut menggalakkan pekerja sektor swasta, yang sesetengahnya kini terpaksa diberhentikan kerana tekanan keadaan ekonomi semasa untuk menyertai perkhidmatan awam seperti dikehendaki Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kakitangan awam bukan saja perlu bersyukur dan berterima kasih, malah terus memberi khidmat yang sebaik mungkin. Bagi meningkatkan keupayaan mereka, setiap kementerian dan jabatan juga perlu memberi latihan semula kepada mereka seperti dilakukan majikan sektor swasta bagi mencapai nilai tambah ekonomi yang tinggi dalam situasi ekonomi yang agak lembap.

Berita Harian Online

Saturday, May 16, 2009

Kenaikan pangkat bukti kerajaan prihatin

PUTRAJAYA 15 Mei - Keputusan untuk memberi peluang kenaikan pangkat kepada 176,000 kakitangan awam seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap keperluan rakyat.

Beberapa kakitangan sektor awam yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini, begitu menghargai keprihatinan kerajaan itu.

Seorang pembantu tadbir di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rahanah Tarmizi, 22, berkata, keputusan kerajaan itu menunjukkan sumbangan kakitangan awam selama ini diiktiraf.

''Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang kenaikan pangkat dan gaji kepada kakitangan awam.

''Skim perkhidmatan sektor awam sentiasa mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa, ia merupakan satu petanda positif untuk negara ini," katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan, berkuat kuasa 1 Julai ini, pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,000 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan Persekutuan.

Penolong Pegawai Tanah dari Jabatan Tanah dan Galian, Salwan Shah Abd. Wahab, 27, pula yakin kerajaan akan menyediakan peluang kenaikan pangkat yang sama rata untuk semua kakitangan awam.

''Keputusan untuk memberi peluang kenaikan pangkat kepada 176,000 orang menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kumpulan dalam sektor awam.

''Saya juga yakin kerajaan akan menyediakan lebih banyak lagi peluang seumpama ini kepada kakitangan awam," katanya.

Pembantu am di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Mohd. Shahrin Roslan, 28, berkata, keputusan kerajaan itu akan meringankan lagi beban pegawai sektor awam kumpulan sokongan.

''Ini merupakan satu pengumuman yang menggembirakan buat kakitangan sektor awam dan membantu kita dalam menghadapi krisis ekonomi global yang amat mencabar," katanya.

Pegawai penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rafiza Abdul Rahman, 24, berharap kerajaan sentiasa mengkaji skim perkhidmatan yang ditawarkan kepada penjawat awam.

''Penambahbaikan skim perkhidmatan perlu untuk memastikan sektor awam di negara ini terus berdaya saing.

''Ia juga dapat menarik lebih ramai orang untuk menyertai perkhidmatan awam," katanya.

Utusan Online

Friday, May 15, 2009

176,000 naik pangkat

PUTRAJAYA 14 Mei – Berkuat kuasa 1 Julai ini, pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi.

Berucap pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan beberapa skim perkhidmatan akan dinaik taraf juga mulai 1 Julai.

Kata beliau, langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan persekutuan.

Kerajaan juga, katanya, bersetuju menggubal dua skim perkhidmatan yang baru iaitu pegawai penyediaan makanan dan pembantu laut serta menaik taraf lapan skim perkhidmatan termasuk skim perkhidmatan operator mesin prosesan data, pembantu tadbir rendah (PTR) dan jaga.

‘‘Langkah itu akan melibatkan 20,637 penjawat awam. Keputusan kerajaan ini akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM170.4 juta,” katanya.

Najib berkata, beliau yakin usaha yang diiringi keikhlasan demi menunaikan amanah kepada rakyat membolehkan perkhidmatan awam memberi perkhidmatan terbaik untuk negara.

‘‘Perkhidmatan awam mempunyai fungsi yang cukup signifikan dalam mencorakkan pembangunan negara dan usaha ini akan membawa negara megah di persada dunia,” katanya

Utusan Online

Thursday, May 14, 2009

MB tiada kuasa gantung lantikan suruhanjaya: KSN

PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid, bercanggah dengan Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata mengikut undang-undang itu Menteri Besar tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menggantung kerja Abdul Rahman dan Ahmad Kamal.

Sehubungan itu, beliau meminta Abdul Rahman dan Ahmad Kamal menjalankan tugas masing-masing seperti biasa sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

"Mengikut Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan termasuk kuasa untuk menggantung kerja dan memecat.

"Bagi Penasihat Undang-Undang kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan manakala bagi Setiausaha Kerajaan Negeri, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Sidek berkata, tindakan menggantung dan memecat penjawat awam tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

"Penggantungan kerja seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993.

"Sementara mengikut peraturan 45(1) TU(A395)/1993, seseorangg penjawat awam boleh digantung kerja jika pegawai itu sudah disabitkan oleh mana-mana mahkamah jenayah atau suatu perintah seperti mana yang dinyatakan dalam Peraturan 32 perintah tahanan, buang negeri, pengawasan, kediaman terhad dan sebagainya sudah dibuat terhadap pegawai itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penggantungan kerja terhadap Abdul Rahman dan Ahmad Kamal tidak membabitkan mana-mana alasan yang sudah dinyatakan, menyebabkan ia tidak sah mengikut peruntukan undang-undang.

Wednesday, May 13, 2009

Kenaikan pangkat berdasar merit

JABATAN Perkhidmatan Awam merujuk kepada surat Azahari Mohd. Salleh dari Selangor melalui akhbar Utusan Malaysia bertajuk Kami Pun Nak Naik Pangkat pada 5 Mei 2009.

Kerajaan sentiasa menghargai dan menggalakkan penjawat awam berusaha meningkatkan tahap pencapaian akademik atau melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara berterusan (life long learning).

Usaha tersebut boleh meningkatkan lagi keyakinan penjawat awam serta memperbaiki kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Kelayakan akademik yang lebih tinggi membolehkan penjawat awam memajukan diri dalam kerjaya melalui peluang kenaikan pangkat bagi skim perkhidmatan bersepadu atau dilantik ke jawatan lain yang lebih baik melalui kaedah kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL).

Pegawai yang sedang berkhidmat juga boleh diberi lantikan terus ke jawatan baru oleh pihak berkuasa melantik. Kerajaan juga sentiasa prihatin ke atas kebajikan semua penjawat awam dan dari semasa ke semasa mengkaji kaedah-kaedah terbaik untuk dilaksanakan.

Sementara itu, kerajaan tidak menetapkan kuota tertentu bagi penjawat awam mahu pun calon baru untuk membolehkan mereka dilantik ke jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.

Pelantikan adalah dibuat berdasarkan merit individu yang mana peluang untuk dilantik adalah lebih baik bagi pegawai awam yang memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi dan pengalaman kerjaya yang luas. Kelebihan ini sewajarnya dizahirkan semasa berhadapan dengan panel temu duga.

NIK NORAINI NIK YA
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Utusan Online

Bersyukurlah doktor, usah hanya sentiasa merungut

SAYA amat tertarik dengan luahan hati ibu kepada seorang doktor di negara kita yang menamakan diri beliau sebagai Ibu Yang Prihatin.

Beliau menyatakan kekesalannya meminta anaknya balik untuk menabur bakti di negara ini kerana dakwanya doktor di negara kita tidak dilayan dengan adil, tidak dibayar gaji yang setimpal serta tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

Mungkin semua dakwaannya itu benar belaka. Namun jika semua pihak hanya menyuarakan rasa tidak puas hati, maka tiada satu pun nikmat kita di dunia ini yang dapat kita syukuri.

Hayatilah kembali detik-detik ketika anak-anak kita atau kita sendiri mengisi borang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Tentulah pada waktu itu kita menyatakan: ''Aku ingin menjadi seorang doktor kerana aku ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pesakit. Aku ingin menjadi seorang doktor kerana ingin berbakti terutama kepada pesakit-pesakit yang miskin.'' Malah, bermacam-macam lagi impian murni mereka yang bakal bergelar seorang doktor.

Insaflah, daripada ratusan mereka yang layak, hanya segelintir sahaja yang berjaya melanjutkan pengajian mereka dalam bidang perubatan. Mereka yang berjaya ini haruslah mensyukuri segala nikmat yang Allah kurniakan .

Insaflah, ketika sebahagian besar rakan-rakan anda di dalam bidang lain bergelut untuk membuat pembayaran balik pembiayaan pendidikan mereka, anda para doktor tidak perlu memikirkan semua itu kerana pengajian anda 100 peratus dibiayai oleh kerajaan.

Insaflah, satu-satunya bidang pengajian yang memerlukan pembiayaan yang besar adalah bidang perubatan. Sebahagian besar perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak kerajaan untuk membiayai 100 peratus pengajian anda di bidang perubatan adalah hasil kutipan cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia. Nikmat yang mana satukah yang hendak kita dustakan?

Pihak kerajaan sudah pun melonggarkan syarat perkhidmatan wajib mereka di hospital-hospital kerajaan. Sehabis sahaja 'edah' mereka dengan perkhidmatan awam yang mungkin tidak sampai pun lima tahun, mereka akan dibenarkan untuk membuka klinik-klinik persendirian untuk mengutip hasil daripada setiap penyakit yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya.

Walaupun pengajian mereka selama ini dibiayai oleh rakyat Malaysia yang membayar cukai, tiada seorang pun rakyat di negara ini yang mengungkitnya setiap kali membuat pembayaran setelah mendapatkan perkhidmatan di klinik-klinik persendirian mereka.

Saya tidak nafikan, masih terdapat ramai di kalangan doktor kerajaan yang terus menabur bakti di hospital-hospital kerajaan sekali pun habuan yang menunggu mereka di luar sana begitu lumayan.

Mereka yang begitu ikhlas menabur bakti ini, yang bersengkang mata siang dan malam tanpa rehat yang mencukupi, telah melakukan jihad yang besar dalam hidup mereka.

Usahlah kecewa dengan sedikit rungutan atau kecaman yang diterima kerana sebaik-baik pemberian pembalasan adalah daripada Yang Maha Esa. Namun begitu yang akan menentukan ganjaran yang akan kita terima adalah keikhlasan kita sewaktu memberikan perkhidmatan.

RAKYAT PRIHATIN
Dungun, Terengganu

Utusan Online

MALAYSIA : Sosio Budaya

Malaysia terdiri dari 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan; sembilan dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah dibawah pemerintahan Raja-Raja Melayu (Sultan). Pemerintahan Raja Berperlembagaan diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dilantik di antara sembilan orang Raja-Raja Melayu mengikut susunan setiap lima tahun.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen yang diselenggarakan oleh Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri. Pilihan raya Umum diadakan setiap lima tahun sekali. Parti yang memerintah sekarang, Parti Barisan Nasional (National Front) merupakan parti campuran terdiri dari beberapa parti politik yang mewakili berbagai kumpulan etnik.

menara_lge

Menara Kuala Lumpur mercu kemegahan ibu kota.

Ibu Negara

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia. la ditubuhkan pada 1857 sebagai penempatan pedagang bijih timah Cina di muara Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Kuala Lumpur sebuah Bandar Raya Bercahaya mempunyai penduduk anggaran 1.5 juta. Pembangunan bandar raya ini terus berkembang pesat dengan bangunan pencakar langit dan salah sebuah bangunan tertinggi di dunia ialah Menara Berkembar Petronas. Terletak 25 km ke selatan Kuala Lumpur ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Manakala, mata wang Malaysia dikenali sebagai Ringgit Malaysia (RM). RM1 mengandungi 100 sen.

Sosio-Budaya

Penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa. Jumlah penduduk anggaran tahun 2003 ialah 25.04 juta, yang terdiri dari kaum Melayu 61%, kaum Cina 30%, kaum India 8% dan yang lain-lain 1%. Terdapat juga orang Asli, Eropah dan Serani.

boatpuj

Keunikan Masjid Putrajaya antara tarikan pengunjungke sini.

Malaysia sebuah negara yang penduduknya terdiri dari pelbagai kebudayaan. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah berasaskan kebudayaan orang-orang Melayu sebagai rakyat asal rantau ini. Kebudayaan Melayu itu sendiri berteraskan ajaran agama Islam. Kebudayaan orang Melayu mengutamakan nilai-nilai sopan-santun, kesederhanaan, keindahan dan keharmonian hidup antara ahli-ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Sikap tolak ansur antara kaum juga menjadi pegangan. Semua bentuk kebudayaan serta agama-agama lain adalah sentiasa dihormati. Sambutan hari-hari perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Thaipusam, Krismas, Gawai dan lain-lain dianggap sebagai perayaan penting.


Agama

Malaysia terdiri dari penduduknya yang berbagai keturunan dan menganuti berbagai agama, khususnya agama Islam, Buddha, Hindu, Tao dan Nasrani (Kristian), di samping lain-lain sistem kepercayaan yang diamalkan oleh berbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi di Malaysia, sementara agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas.

tarian-singa

Tarian Singa adalah sebahagian sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina.


Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) namun, bahasa-bahasa berbagai kaum dan suku kaum yang lain adalah bebas digunakan seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan dengan meluasnya di bidang-bidang perdagangan dan perindustrian. Kerajaan juga telah menggalakkan pekerja hotel dan ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan perhotelan supaya mempelajari lain-lain bahasa antarabangsa.

Festival Dan Perayaan

Masyarakat majmuk menjadikan kebudayaan negara ini lebih berwarna-warni. Penduduknya yang berbilang kaum menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun. Di negara ini, musim perayaan adalah masa untuk bergembira dan menjalin persahabatan serta muhibah antara kaum. Setiap kali perayaan, semua rakyat tanpa mengira keturunan, turut serta memeriahkan suasana dengan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Oleh itu, upacara 'rumah terbuka' adalah satu suasana yang tidak asing lagi di hari-hari perayaan.

Islam

Bagi umat Islam, tiga perayaan utama diraikan, iaitu Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Maulidul Rasul. Hari Raya Puasa diraikan bagi menandakan berakhirnya sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Hari Raya Haji (Aidiladha) dirayakan pada hari ke-10 bulan Zulhijjah (bulan Islam) ketika umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah berada di peringkat akhir ibadah mereka. Pada pagi hari tersebut umat Islam menunaikan sembahyang Hari Raya Aidiladha di masjid-masjid. Mereka yang berkemampuan akan mengerjakan ibadat korban. Perayaan Maulidur Rasul pada bulan Rabiulawal, dirayakan bagi memperingati perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Acara-acara seperti perhimpunan, syarahan dan bacaan berzanji biasanya diadakan.

Cina

Rakyat Malaysia berketurunan Cina merayakan Tahun Baru Cina pada hari pertama di dalam bulan pertama kalendar Cina pada bulan Januari atau Februari setiap tahun. Perayaan bermula dengan kaum keluarga berkumpul untuk makan malam bersama. Perayaan ini berlanjutan selama 15 hari hingga hari Chap Goh Mei yang dirayakan pada malam ke-15. Seperti biasa di perayaan ini, pemberian bungkusan merah "angpow" memeriahkan lagi suasana, terutama kepada kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga perayaan Kuih Bulan yang ada kaitannya dengan legenda bidadari dari bulan lapan kalendar Cina. Kuih-kuih bulan dan tanglung-tanglung adalah ciri-ciri utama perayaan tersebut.

Hindu

Bagi penganut agama Hindu, Deepavali atau perayaan Cahaya pada bulan Aippasi mengikut kalendar keturunan Tamil (OktoberNovember) merupakan masa untuk kaum keluarga dan sanak-saudara bergembira. la menandakan kemenangan, kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Perayaan bermula dengan upacara sembahyang dan diikuti dengan kunjungan ke rumah sanak saudara. Di waktu malam, pelita-pelita dipasang untuk memeriahkan lagi perayaan.

deepavali

Hiasan "kolam" rekaan burung merak merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi.


Para penganut agama Hindu di Malaysia juga merayakan Hari Thaipusam pada bulan Januari sebagai penghormatan kepada Dewa Muruga. Di perayaan tersebutlah, Batu Caves yang terletak di Kuala Lumpur menjadi tumpuan para penganut yang membawa persembahan-persembahan di atas kavadi untuk dipersembahkan kepada dewa tersebut.

Buddha

Bagi para penganut agama Buddha, bulan Mei menandakan tibanya Hari Wesak sebagai memperingati tiga peristiwa penting di dalam hidup Buddha, iaitu hari keputeraannya, hari mencapai kemantapan fikirannya dan juga hari kemangkatannya. Di perayaan tersebut, upacara-upacara bersembahyang dan perarakan diadakan.

Kristian

Pada Bulan Disember para penganut Kristian merayakan Hari Krismas sebagai menandakan kelahiran Nabi Isa a.s., dengan bersembahyang di gereja-gereja dan menziarahi suadara-mara dan rakan-rakan.

Perayaan Bagi Kaum-kaum di Sabah dan Sarawak

Di Sabah dan Sarawak, terdapat pula perayaan-perayaan tradisi orang Kadazan dan Dayak yang memperkayakan lagi kebudayaan masyarakat Malaysia. Pada bulan Mei setiap tahun di Sabah, orang-orang Kadazan mengadakan Perayaan Menuai yang merupakan satu acara penting untuk para petani mereka. Kemuncak perayaan ialah persembahan tarian Sumazau. Tamu Besar atau pasar tahunan pula merupakan satu pesta di mana acara-acara sukan tradisional diadakan.

Perayaan-perayaan tradisi orang-orang Dayak di Sarawak pula terdiri daripada Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Tarikh 1 jun adalah Hari Gawai di mana beberapa gawai dirayakan di negeri tersebut.

Tarian Sumazau dari suku kaum Dusun

Cuti Am

Selain perayaan-perayaan kaum yang dilangsungkan, cuti am juga diisytiharkan bagi beberapa acara penting di negara ini. Di antaranya ialah Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan yang disambut di seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun, Perayaan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Sabtu minggu pertama bulan jun, Hari Keputeraan Raja/Sultan di peringkat negeri bagi negeri-negeri yang berkenaan sahaja. Hari Pekerja pada 1 Mei, Maal Hijrah (Awal Muharram) dan perayaan-perayaan lain seperti "Good Friday" dan Nuzul Quran yang diraikan di beberapa buah negeri yang tertentu sahaja.

Dipetik dari Laman Web Kementerian Penerangan


Kementerian Pelajaran tak manfaat kebolehan, skil guru Sarjana & PHD

KEBELAKANGAN ini semakin ramai guru mengambil inisiatif sendiri melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) secara separuh masa atau luar kampus.

Kecenderungan golongan guru ini untuk memajukan diri sendiri amat dipuji seiring dengan peranan sekolah sebagai institusi keilmuan. Usaha ini memerlukan pengorbanan bukan sedikit selain menuntut perjuangan dan kesungguhan yang tinggi untuk melaksanakan tugasan di sekolah dan masa bersama keluarga. Tanggungjawab akademik di dewan kuliah memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit yang besar.

Namun, amat mengecewakan usaha dan kesungguhan mereka untuk meningkatkan tahap keilmuan mereka ini dipandang sepi oleh pihak Kementerian Pelajaran. Saya melihat kemahiran guru yang mempunyai pendidikan peringkat sarjana dan PhD tidak dimanfaatkan oleh kementerian.

Merekalah yang mengajar di kelas peralihan dan menengah rendah sama rutin dengan guru lain setiap hari. Ini satu kerugian besar kepada modal insan, selain menyebabkan kesarjanaan dan tahap keilmuan mereka akan semakin pudar dan hilang begitu saja.

Untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku, saya mencadangkan beberapa langkah yang dirasakan wajar diambil kementerian bagi faedah bersama:

  • Guru sarjana atau PhD mesti menghadiri sekurang-kurangnya tiga seminar akademik dalam setahun yang dianjurkan kementerian atau institusi pengajian tinggi awam atau swasta di dalam atau di luar negara. Input yang diperoleh daripada seminar itu mesti dikongsi dengan guru ketika Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan.

    Rasionalnya ialah golongan pendidik ini perlu didedahkan dengan maklumat baru di dalam kajian ilmiah supaya tahap ilmu mereka lebih berkembang dan mereka tidak muflis ilmu.

  • Mereka juga perlu menyediakan hasil kajian tindakan di dalam bilik darjah untuk dibentangkan di seminar kajian tindakan pada peringkat daerah atau negeri yang dianjurkan kementerian. Golongan ini mampu menggarap idea dengan lebih berkesan. Kemahiran penyelidikan mereka juga adalah lebih baik berbanding guru lain. Selain itu, ia juga latihan akademik yang baik untuk meningkatkan tahap kemahiran penyelidikan mereka. Mereka perlu dibekalkan dengan peralatan seperti laptop dan lain-lain kemudahan untuk melakukan penyelidikan itu.

  • Guru ini dihantar mengajar pada waktu cuti sekolah di Kolej Komuniti, Matrikulasi dan Politeknik melalui program pertukaran kemahiran dengan pensyarah supaya kemahiran pengajaran dan pembelajaran mereka meningkat. Ini juga sebagai persediaan awal jika guru ini dinaikkan pangkat untuk mengajar di institusi pendidikan guru atau IPT.

  • Gred gaji atau pangkat mereka perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya satu kenaikan supaya untuk menggalakkan lebih ramai guru melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi. Guru yang melepasi syarat yang dinyatakan itu diberi elaun khas sebagai galakan kepada mereka.

    Bagi saya, langkah ini adalah usaha positif yang perlu diambil kementerian untuk memartabatkan profesion perguruan selaras dengan matlamat PIPP 2006-2010.

    ABU SYIFA'
    Bagan Serai,
    Perak.

    Berita Harian Online

  • Gantung tugas SUK Perak bercanggah undang-undang


    PEGUAM pemerhati, Datuk Mohd Hafirizam Harun (kanan) menyatakan sesuatu kepada media selepas Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, semalam.

    Abdul Rahman, Ahmad Kamal diminta bekerja seperti biasa

    PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid bercanggah dengan Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata mengikut undang-undang itu Menteri Besar tidak mempunyai kuasa perundangan menggantung kerja Abdul Rahman dan Ahmad Kamal.

    Sehubungan itu, beliau meminta Abdul Rahman dan Ahmad Kamal menjalankan tugas seperti biasa sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

    "Mengikut Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan termasuk kuasa untuk menggantung kerja dan memecat.

    "Bagi Penasihat Undang-Undang, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, manakala bagi Setiausaha Kerajaan Negeri, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada lebih 650 kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

    Mengulas lanjut, Mohd Sidek berkata, tindakan menggantung dan memecat penjawat awam tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan.

    "Penggantungan kerja seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993.

    "Sementara mengikut peraturan 45(1) TU(A395)/1993, seseorang penjawat awam boleh digantung kerja jika pegawai itu sudah disabitkan mana-mana mahkamah jenayah atau suatu perintah seperti dinyatakan dalam Peraturan 32 perintah tahanan, buang negeri, pengawasan, kediaman terhad dan sebagainya sudah dibuat terhadap pegawai itu," katanya.

    Bagaimanapun, katanya, tindakan penggantungan kerja terhadap Abdul Rahman dan Ahmad Kamal tidak membabitkan mana-mana alasan yang sudah dinyatakan, menyebabkan ia tidak sah mengikut peruntukan undang-undang.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Mohammad Nizar yang dilaporkan menggantung tugas Abdul Rahman dan Ahmad Kamal selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau Menteri Besar Perak yang sah.

    Bagaimanapun, status penggantungan itu menjadi tanda tanya apabila Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan itu sehingga selesai rayuan.

    Tuesday, May 12, 2009

    SPRM siasat pegawai JUSA Kerajaan Selangor

    KUALA LUMPUR 11 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang lelaki yang tidak mempunyai pengalaman berkhidmat dalam sektor awam, tetapi memegang jawatan penting di Selangor bertaraf Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A.

    Lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu mula disiasat sejak dua minggu lalu tetapi tidak ditahan oleh pihak SPRM.

    Siasatan menjurus kepada bagaimana lelaki terbabit yang memiliki sebuah syarikat dipilih memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan Selangor.

    Menurut sumber, lelaki terbabit memegang jawatan tersebut selepas kerajaan negeri Selangor diambil alih oleh pakatan pembangkang yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu.

    Tambah sumber itu lagi, SPRM bagaimanapun masih menjalankan siasatan sama ada kes ini membabitkan jumlah sogokan yang diberi atau diterima pihak tertentu.

    "Untuk memegang jawatan gred JUSA A, setiap calon mesti mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam, tapi beliau dilihat tidak mempunyai kelayakan itu.

    "Oleh itu, kes tersebut mempunyai asas yang kukuh untuk disiasat oleh pihak SPRM," katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Moh Samsudin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan tetapi enggan mengulas lanjut.

    Utusan Online

    Wednesday, May 6, 2009

    Kukuhkan ikatan setia anggota sektor awam demi rakyat

    BERI perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Itu amanat pertama Datuk Seri Najib Tun Razak kepada penjawat awam selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.

    Dan semalam mereka diingatkan lagi perihal tanggungjawab itu. Menurut Perdana Menteri, rakyat yang akan menjadi jurunilai prestasi penjawat awam.

    Jika rakyat berpuas hati dengan kerajaan maka rakyat akan bersama-sama kerajaan. Jika sebaliknya, maka tidak mustahil penentangan secara terbuka termasuk melemahkan kerajaan sedia ada akan berlaku.

    Riak-riak seperti itu telah pun wujud sebelum ini. Jika tidak ditangani segera dengan menggunakan pendekatan yang berkesan maka tidak mustahil keputusan akhirnya kelak ialah rakyat akan menjauhi kerajaan.

    Sentimen rakyat membenci kerajaan itulah yang sedang dibendung supaya tidak menular. Riak-riak kecil mesti dikawal supaya tidak bertukar menjadi gelombang ganas.

    Semestinya tugas tersebut terletak di bahu penjawat awam yang tugas seharian mereka adalah berurusan dengan rakyat.

    Untuk membolehkan urusan 'luar' berjalan lancar maka perkara-perkara dalaman mesti diselesaikan terlebih dahulu.

    Dalam hal ini, seperti yang diingatkan Perdana Menteri perlu ada persefahaman erat antara anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam. Perlu ada ikatan setia antara kedua-dua pihak supaya segala urusan di peringkat dalam dapat diselesaikan.

    Dengan cara itu segala dasar yang disampaikan oleh barisan pemimpin kepada anggota pentadbiran seperti ketua-ketua jabatan dapat dipanjangkan kepada penjawat awam.

    Dalam erti kata lain, gerak kerja yang dirancang untuk keberkesanan sektor awam dapat berjalan lancar dengan adanya aliran kerja yang diikat menerusi janji setia.

    Paling penting adalah komitmen anggota pentadbiran menjaga kepentingan serta kebajikan penjawat awam.

    Untuk itu sindrom mementingkan diri sendiri dan 'akulah bos' mesti dijauhi supaya kalangan penjawat awam ada rasa ingin setia kepada ketua jabatan masing-masing.

    Jika anggota pentadbiran lepas laku dan tinggi lagaknya, maka timbul perasaan benci penjawat awam apatah lagi jika kebajikan mereka tidak dijaga.

    Senario itu pasti memberi kesan kepada sistem penyampaian awam sekali gus menjejaskan kepentingan rakyat. Penjawat awam yang tidak dijaga kebajikannya akan memberontak dan melepaskan rasa marah kepada orang ramai.

    Mereka juga akan mengabaikan tugas dengan membuat kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan sehingga akhirnya piagam perkhidmatan terbiar begitu sahaja.

    Maka apabila keadaan itu berlaku akan tercetuslah rasa tidak puas hati rakyat terhadap mutu perkhidmatan awam. Akan terdengar keluh kesah tentang layanan kurang memuaskan termasuk di kaunter-kaunter orang ramai.

    Apabila rakyat yang menjadi penilai mutu kerja perkhidmatan awam tidak dilayan sedemikian rupa, sudah tentu markah yang diberi di bawah paras lulus.

    Apabila keadaan itu berlaku mutu perkhidmatan awam akan kekal di takuk lama. Justeru peringatan Perdana Menteri supaya antara anggota pentadbiran dan penjawat awam perlu ada ikatan janji setia mesti dilaksanakan secara serius untuk mengangkat sektor awam ke tahap yang terbaik.

    Utusan Online

    Tuesday, May 5, 2009

    Perkhidmatan Awam Disaran Terap Prinsip 6M Bagi Perkasa Perkhidmatan

    KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Prinsip Musyaratah yang bermakna menepati syarat kejayaan yang menjadi sifat Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan amanah perlu dijadikan tanda aras oleh pemimpin perkhidmatan awam bagi memperkasakan perkhidmatan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika mengemukakan cadangan itu berkata, Musyaratah merupakan satu daripada enam prinsip dalam Islam yang boleh diaplikasikan dalam pentadbiran seharian.

    "Dengan wawasan, pemikiran yang jelas dan melangkaui masa, sifat dan keterampilan baginda seharusnya dijadikan asas dalam mentadbir bagi menzahirkan perkhidmatan berkualiti.

    "Prinsip Musyaratah menghendaki pemimpinnya mempunyai sifat-sifat unggul seterusnya berupaya menerajui organisasi ke arah kecemerlangan," katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran Dalam Perkhdimatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, Isnin.

    Jamil Khir berkata, prinsip dan pendekatan Islam lain yang boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran awam ialah Mua'tabah yang bermakna mengikis sifat buruk, Mu'aqabah mengekalkan tindakan benar secara berterusan, Muroqobah mengawal diri secara berterusan, Muhasabah yang bererti menilai diri dan Mujahadah yang bermakna berusaha bersungguh-sungguh.

    Beliau berkata, jika Prinsip 6M tersebut dipenuhi beliau yakin pemimpin-pemimpin jabatan akan berupaya menerajui dan membawa organisasi ke arah kecemerlangan yang berpanjangan.

    Memberikan prinsip Muroqobah atau mengawal diri secara berterusan sebagai contoh beliau berkata, pemimpin jabatan atau kakitangan perkhidmatan akan sentiasa mengawal tingkah laku dan tindakan supaya ketinggian martabat insan yang dianugerahkan Allah sentiasa terpelihara.

    Secara tidak langsung ia akan membantu kita untuk mengawal tindakan dan perlakuan daripada tamak, terlalu kebendaan dan melanggar undang-undang yang mana kecenderungannya lebih ke arah kemusnahan, katanya.

    Melalui prinsip Muhasabah diri, permasalahan seperti situasi di mana majikan atau pekerja menghadapi dilema dalam membuat penilaian, seringkali masalah keadilan, kejujuran dan maklumat yang tidak lengkap digunakan sebagai alasan untuk mempertahankan diri di samping menyalahkan pihak lain.

    Jamil Khir berkata, melalui prinsip Islam masalah itu cukup mudah untuk diselesaikan kerana sekiranya pegawai dan kakitangan bawahan sanggup dengan ikhlas bermuhasabah serta menjauhkan diri daripada sifat-sifat hipokrit, maka organisasi akan dapat mengenal pasti sahsiah, keterampilan dan kewibawaan sebenar pegawai dan secara tidak langsung akan dapat meletakkan seseorang pegawai pada posisi yang sebetulnya.

    Berikutan harapan yang tinggi diletakkan rakyat terhadap perkhidmatan awam Jamil Khir turut menyarankan prinsip Mujahadah iaitu berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua tugas.

    Kerajaan dan orang ramai hanya inginkan penjawat awam dapat mempersiapkan diri dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kehendak pengguna dapat dilaksanakan dengan berkesan, katanya.

    Dalam ucapannya Jamil Khir turut berharap proses penambahbaikan akan terus berlaku dalam perkhidmatan awam di Malaysia kerana sebagai sebuah negara sedang membangun, negara memerlukan perkhidmatan awam yang dinamik yang mampu mengambil, menyerap dan memberi tindak balas kepada perubahan sekeliling supaya tidak ketinggalan dan yang lebih penting terus kekal relevan dalam arus perdana yang semakin kompleks dan mencabar.

    Seminar selama dua hari yang bertujuan mendapatkan perspektif yang lebih jelas dan tepat berhubung konsep kepimpinan Islam dalam konteks perkhidmatan awam itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan anggota pentadbiran kerajaan.

    Bernama

    PM: Wujudkan ikatan janji setia

    PUTRAJAYA 4 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam mewujudkan satu bentuk perhubungan berasaskan ikatan janji kesetiaan dan komitmen padu bagi mengukuhkan pencapaian sektor berkenaan.

    Perdana Menteri berkata, perhubungan berasaskan konsep al-wa‘ad dan al-bai‘ah itu adalah lebih kukuh berbanding konsep perkongsian kerana ia mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih baik dan tenteram.

    Beliau menjelaskan, konsep tersebut bukan bermaksud satu sistem pengarahan kerja bersifat satu hala iaitu ‘suruh itu dan ini’ daripada pihak atasan, sebaliknya anggota pentadbiran turut berperanan menjaga kebajikan para penjawat awam.

    ‘‘Di atas bahu para anggota pentadbiran untuk menjaga penjawat awam agar mendapat kepuasan kerja, skim perkhidmatan yang boleh kita perbaiki dan menentukan latihan pembangunan kerjaya dilakukan dengan tersusun dan menjaga perasaan serta hati mereka dengan mengeluarkan arahan kerja secara bersopan dan berhemah.

    ‘‘Apabila kita dapat mengasaskan hubungan iaitu penjawat awam membuat kerja dengan komitmen dengan kesetiaan tidak berbelah bagi dan pentadbiran kerajaan menjaga kepentingan kebajikan penjawat awam, saya percaya akan wujud satu hubungan yang sangat baik dan tenteram dalam kalangan kita,” katanya.

    Beliau berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

    Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Di JPM, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Jamil Khir Baharom serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

    Dalam ucapan pertamanya pada majlis perhimpunan bulanan JPM sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, Najib turut mengelak daripada menggunakan istilah ‘kakitangan kerajaan’ sebaliknya lebih selesa memakai perkataan penjawat awam.

    Perdana Menteri berkata, tujuan mewujudkan perhubungan yang lebih kukuh dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam adalah bagi memastikan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan awam berasaskan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

    ‘‘Rakyat yang berpuas hati dengan kerajaan itulah rakyat yang akan bersama-sama dengan kerajaan, insya-Allah,” katanya.

    Katanya lagi, anggota pentadbiran dan penjawat awam harus sedar bahawa penanda aras muktamad ialah sejauh mana rakyat melahirkan rasa puas hati mereka terhadap kerajaan.

    ‘‘Kadang kala dalam rutin kerja, kita lupa sebenarnya analisis akhir ditentukan oleh rakyat. Di sebalik KPI, saya sebenarnya mengajak anda semua untuk sentiasa ingat bahawa penanda aras muktamad ialah memberikan kepuasan hati rakyat sama ada dari segi perkhidmatan, usaha menambah kekayaan dan selesaikan masalah.

    ‘‘Mudah-mudahan dengan usaha ini, kita akan beri tumpuan kepada cara-cara bagaimana kita boleh menambahkan lagi indikator kepuasan hati rakyat,” katanya.

    Perdana Menteri juga menekankan tentang pendekatan menggabungkan nilai produktiviti, inovatif dan kreativiti bagi memastikan sektor awam mampu mencapai lonjakan berganda dalam pelbagai bidang.

    ‘‘Kita tidak mungkin dapat menonjolkan Malaysia sebagai negara yang berjaya kalau kita tidak dapat membudayakan pemikiran inovatif dan kreatif.

    ‘‘Pendekatan ini mesti bermula dari sistem persekolahan kita, saya tahu Muhyiddin sedang mengkaji perkara ini,” katanya.

    Katanya, inovatif dan kreativiti bukan sahaja perlu ada dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagaimana yang dilakukan sektor swasta malah ia turut membabitkan sektor awam iaitu membentuk proses kerja dan penyelesaian masalah yang lebih inovatif.

    ‘‘Bila adunkan produktiviti dan kreativiti, kita akan dapat lonjakan berganda dari segi prestasi dan pencapaian untuk negara,” kata beliau.

    Utusan Online

    'Kami pun nak naik pangkat'

    SAYA amat tertarik dan menyokong pendapat yang diberikan oleh Calon Sarjana Tua melalui ruangan ini pada 30 April lalu.

    Sememangnya staf veteran yang mempunyai sarjana muda, sarjana dan PhD dalam Kumpulan Sokongan Gred N sering terpinggir dan diketepikan dalam arus kenaikan pangkat mengikut pencapaian akademik yang diperolehi semasa dalam perkhidmatan.

    Berbanding dengan guru, mereka telah dijanjikan pangkat yang lebih tinggi bersesuaian dengan kelulusan mereka walaupun mereka masih belum tamat pengajian.

    Alasan menaikkan pangkat guru berdasarkan guru ini bertungkus lumus dan berusaha melanjutkan pengajian dan banyak mengorbankan masa, tenaga, wang dan keluarga untuk mendapatkan segulung ijazah dan perlu diberi keutamaan bagi kenaikan pangkat.

    Persoalannya adakah golongan penjawat awam veteran seperti kami ini tidak berkorban masa, tenaga, wang dan keluarga untuk melanjutkan pengajian sehinggakan kami dipinggirkan dan dinafikan untuk dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi?

    Kami berusaha dengan gigih untuk mendapatkan ijazah dengan harapan untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi tetapi akhirnya, hampa.

    Saya bertugas selama hampir 27 tahun di dalam perkhidmatan awam dan mendapat segulung ijazah pada tahun 2004 walaupun menghadapi masalah kesihatan. Saya mencuba dan berusaha dengan menghadiri pelbagai temu duga dan peperiksaan untuk memohon jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional, malangnya semuanya hampa.

    Saya terpaksa 'bertarung' dengan generasi muda yang mempunyai kelebihan dari segi usia yang lebih muda walaupun dibandingkan dari segi pengalaman dengan mereka ibarat 'langit dengan bumi'.

    Pihak berwajib perlulah mengambil berat tentang perkara ini supaya staf veteran seperti kami tidak rasa dipinggirkan.

    Janganlah diamalkan layanan 'pilih kasih' yang mana staf kerajaan seperti guru, polis, askar, doktor dan jururawat diberi keistimewaan untuk kenaikan pangkat sedangkan golongan staf Kumpulan Sokongan gred N seperti kami diketepikan.

    AZAHARI MOHD. SALLEH
    Selangor

    Utusan Online

    Bomba: 2,843 perjawatan baru

    ALOR SETAR 4 Mei - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan 2,843 perjawatan baru kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada tahun ini bagi memperkasakan jabatan berkenaan.

    Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, kelulusan fasa kedua penstrukturan organisasi JBPM itu meliputi perjawatan di ibu pejabat bomba negeri dan penubuhan ibu pejabat zon serta di akademi latihan kebombaan di seluruh negara.

    Katanya, ia melibatkan pelbagai pangkat supaya perkhidmatan JBPM kepada masyarakat akan terus diperkukuhkan.

    "Saya amat menggalakkan agar lebih ramai rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyertai JBPM supaya dapat sama-sama menyumbang khidmat bakti dalam kerjaya ini.

    "Ini amat sejajar dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini," katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha bagi merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan 2009 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

    Turut hadir ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hamzah Abu Bakar.

    Dalam pada itu, Lajim berkata, pasukan bomba dan masyarakat perlu bergerak seiring supaya JBPM menjalankan tugas dengan lebih berkesan terutama dalam situasi kecemasan.

    Katanya, masyarakat pada masa ini masih kurang kesedaran terhadap bahaya kebakaran sehingga menjejaskan perancangan pihak keselamatan.

    "Bahaya kebakaran sekiranya tidak ditangani dengan baik akan mengundang bencana dan kerugian besar kepada nyawa dan harta benda," katanya.

    Menurut beliau, pada tahun lalu, JBPM terlibat dalam 21,712 operasi memadam kebakaran dan 27,442 kerja-kerja menyelamat dengan nilai kerugian akibat kebakaran menjangkau RM1.52 bilion.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, JBPM akan membuat tinjauan orang ramai bermula bulan ini sehingga Julai depan mengenai kesedaran terhadap aspek pencegahan kebakaran.

    Menurut beliau, tinjauan sebelum ini mendapati tahap itu masih perlu diperbaiki contohnya penyelengaraan bangunan oleh pemiliknya.

    Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan mengeluarkan lesen kepada pemilik jika premis berkenaan tidak mempunyai sijil kelulusan daripada JBPM.

    "Pemilikan sijil tersebut bagi setiap premis penting kerana ia salah satu langkah mencegah kebakaran," katanya.

    Utusan Online

    Abdul Karim didakwa kali ketiga tuduhan rasuah

    KLANG 4 Mei - Setelah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Abdul Karim Abu Hassan dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan sama.

    Dengan pendakwaan tersebut, bermakna Abdul Karim yang berpangkat Supritendan kini berhadapan dengan lima pertuduhan rasuah di tiga buah mahkamah sekitar Lembah Klang.

    Dalam prosiding yang bermula pada pukul 3.30 petang ini, Abdul Karim, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Anita Harun.

    Abdul Karim didakwa meminta rasuah RM65,000 daripada seorang suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket potong kereta.

    Dia didakwa meminta rasuah RM65,000 daripada Lim Ching Jing, 38, sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu.

    Abdul Karim didakwa meminta suapan tersebut menerusi panggilan telefon kepada Ching Jing pada Mei 2007 di sebuah rumah nombor 36, Jalan Kenanga, Rumah Murah 3, Pekan Meru di sini.

    Tertuduh yang diwakili peguam Shanta Kumari dan Jaspal Singh Mann didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana satu yang lebih tinggi.

    Sepanjang tahun ini, Abdul Karim telah tiga kali didakwa atas tuduhan rasuah. Pada 7 Januari lalu, dia didakwa meminta suapan RM10,000 daripada orang yang sama.

    Pada 21 April lalu dia dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM75,000.

    Dalam pada itu, lelaki yang dikatakan menjadi orang perantara dalam kes itu, Soo Chong Man turut didakwa atas tuduhan yang sama di hadapan Anita.

    Chong Man, 40, pembantu di sebuah kedai peralatan elektrik didakwa meminta RM65,000 daripada Ching Jing sebagai dorongan untuk Abdul Karim supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap suspek terbabit.

    Tertuduh yang diwakili peguam Sritharan C. Nadarajan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Anita menetapkan 6 Mei ini sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Eylia Yunos agar kes terhadap Abdul Karim dan Chong Man dipindahkan ke mahkamah berkenaan untuk dibicarakan bersama.

    ''Ini kerana kes melibatkan saksi-saksi yang sama dan pertuduhan tersebut bertitik tolak daripada transaksi yang sama,'' kata Nurul Eylia.

    Sehubungan itu, Anita tidak membuat sebarang perintah berhubung ikat jamin meskipun Nurul Eylia mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Anita memutuskan demikian setelah mengambil kira bahawa kedua-duanya telah membayar jaminan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

    Utusan Online

    Berita@INTURA Mei 2009

    Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar




    Kesesuaian bidang, PNGK asas pemilihan calon isi jawatan kosong

    SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) ingin merujuk kepada tulisan 'Insan Kecewa' dari Puchong, Selangor dalam ruangan ini, pada 29 April yang menyebut 'SPA Patut Utamakan Pekerja Pengalaman Isi Jawatan Kosong' dan juga tulisan 'Sedih' dari Kuala Lumpur dalam ruangan sama bertarikh 30 April 'SPA Tidak Utama Pekerja Kontrak'.

    Bagi setiap urusan pengambilan untuk pengisian jawatan tertentu, SPA menerima permohonan yang begitu banyak berbanding kekosongan yang ada. Oleh itu, SPA boleh membuat pemilihan dengan memanggil calon terbaik untuk ditemuduga.

    Dalam hal ini, kesesuaian bidang dengan jawatan dimohon dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) adalah satu daripada cara digunakan untuk menyenarai pendek calon yang akan panggil temu duga selepas menilai kelayakan akademik mereka.

    Selain kesesuaian bidang dan PNGK yang digunakan dalam asas tapisan, kaedah peperiksaan juga diamalkan dalam tapisan ke atas 15 skim perkhidmatan tertentu. Semua calon yang layak akan dipanggil menduduki peperiksaan sebelum dipertimbang menghadiri temu duga.

    Peperiksaan yang dilaksanakan SPA adalah untuk mengenalpasti profil calon yang terbaik dan bersesuaian dari aspek minat, personaliti, kecerdasan dan kemahiran selaras dengan kehendak skim perkhidmatan.

    Justeru, pengalaman bekerja bukan bonus bagi calon untuk melepasi asas tapisan yang dikenakan untuk dipanggil temu duga. Ia tidak adil untuk calon lain yang tidak mempunyai pengalaman kerja. Namun, pengalaman kerja akan diambil kira apabila calon menghadiri temu duga dan sekiranya berjaya dilantik penyelarasan gaji akan dibuat berdasarkan kepada kesesuaian pekerjaan calon sebelum ini.

    Dakwaan pengadu bahawa SPA hanya melantik calon berumur antara 23 hingga 25 tahun tidak berasas kerana had umur untuk memohon berkhidmat dengan sektor awam hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup permohonan dan tidak melebihi 54 tahun pada tarikh lantikan.

    Bagi calon dilantik secara kontrak melalui prinsip persaingan terbuka dalam data bank SPA, mereka diberi keutamaan untuk lantikan ke jawatan tetap apabila ada kekosongan.

    Bagaimanapun, ada juga calon lantikan kontrak tidak menepati prinsip berkenaan di mana calon ini dikenal pasti pihak kementerian/Jabatan dan dilantik secara kontrak untuk keperluan tertentu.

    Calon ini tidak melalui proses tapisan seperti biasa ketika mereka dilantik secara kontrak. Sekiranya berlaku kekosongan jawatan tetap, calon sedemikian perlu melalui proses sama seperti calon lain iaitu berdaftar dengan SPA dan cuma akan ditawarkan jawatan tetap sekiranya melepasi tapisan untuk dipanggil temu duga seterusnya menunjukkan prestasi memuaskan ketika peringkat temu duga.

    Dengan cara ini, SPA dapat memastikan misi SPA iaitu memilih dan melantik anggota perkhidmatan awam yang berkualiti bagi memenuhi keperluan dan visi negara tercapai seterusnya mendukung prinsip adil dan saksama ketika menjalankan proses itu.

    RADZIAH MOHD SHARIF,
    Pegawai Perhubungan Awam SPA.

    Berita Harian Online

    Calon cemerlang boleh dipertikai

    ANUGERAH Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk kakitangan awam pelbagai jabatan bagi 2008 sudah diumumkan, termasuk dari Jabatan Pelajaran. Saya terpanggil untuk menyuarakan masalah pemilihan calon untuk APC membabitkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rompin, Pahang.

    Saya dapati pemilihan calon guru cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak mengecewakan. Timbul rasa tidak puas hati kerana guru yang lama berkhidmat dan berkaliber tidak menerima anugerah, sebaliknya mereka yang baru berkhidmat mendapat pengiktirafan. Sudah tentu ia menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat guru.

    Biasanya, pentadbiran peringkat sekolah akan mencalonkan beberapa guru yang berkemampuan dan berkelayakan. Namun dalam kes di PPD Rompin, didapati calon yang dihantar pihak sekolah tidak tersenarai sebagai penerima, sebaliknya PPD memilih calon pilihan mereka.


    Keadaan ini sekiranya berterusan boleh melunturkan semangat guru yang benar-benar berdedikasi dicalonkan untuk pemilihan berkenaan.

    Bagi mengatasi mengurangkan rungutan, PPD perlu lebih telus bagi pemilihan APC untuk tahun ini. Buatlah semakan semula dan berbincang dengan pihak sekolah sebelum pengumuman dibuat.


    TERKILAN ROMPIN 09,
    Temerloh, Pahang.

    Berita Harian Online

    Monday, May 4, 2009

    Penjawat awam terbaik dihantar melanjut pelajaran

    KUALA TERENGGANU 4 Mei — Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk menghantar pegawai-pegawai terbaik di kalangan penjawat awam di negeri ini bagi menyambung pelajaran dan mengikuti kursus di beberapa institusi tersohor di dalam dan luar negara.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata selain memberikan kebaikan kepada pegawai itu sendiri, ilmu yang diperoleh juga mampu meningkatkan prestasi dan mutu kerja dalam perkhidmatan awam di Terengganu.

    “Selain beberapa universiti di dalam negara, kerajaan negeri juga bercadang untuk menghantar pegawai yang terbaik menyambung pelajaran dan berkursus di luar negara seperti di New Zealand, Australia dan Singapura,” katanya dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2009 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

    Bernama

    Isteri lari antara aduan diterima CUEPACS

    KUALA LUMPUR 3 Mei - Isteri lari, anak terpaksa berhenti sekolah dan hutang keliling pinggang!

    Itu antara aduan yang diterima oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) saban hari sejak kebelakangan ini.

    Aduan seumpama itu diterima daripada kakitangan awam yang diberhentikan kerja atau ditamatkan kontrak sejak kegawatan ekonomi melanda dunia yang turut memberi kesan kepada majikan dalam negara.

    Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, ramai ahli yang kehilangan pekerjaan meminta bantuan kongres untuk membantu mengatasi masalah mereka.

    ''Ada yang mengadu isteri mereka sudah 'lari' kerana tidak sanggup mengharungi hidup susah selepas suami diberhentikan kerja. Ada yang tidak mampu menyambung persekolahan anak-anak. Ramai yang mengalami kesempitan hidup dan diburu hutang bank.

    ''Kes-kes ini berlaku di kawasan pedalaman Pantai Timur termasuk di Gua Musang, Kelantan. Mereka sendiri mengadu terus kepada saya untuk minta bantuan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Sehubungan itu, katanya, mulai minggu depan CUEPACS akan mengadakan lawatan untuk meninjau permasalahan ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan sambil menghulurkan sumbangan.

    ''Kami tidak akan melawat semua ahli tersebut. Hanya mereka yang benar-benar bermasalah seperti tidak mampu menyekolahkan anak- anak dan sakit akan diberi keutamaan,'' ujarnya.

    Katanya lagi, mereka akan diberikan bantuan wang dan barang-barang makanan.

    Beliau berkata, sejak 2008, sejumlah 3,000 ahlinya yang terdiri daripada kakitangan awam di seluruh negara telah ditamatkan kontrak atas alasan kegawatan ekonomi.

    Daripada jumlah itu, seramai 425 orang merupakan kakitangan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan dan 113 pula petugas di JPN Terengganu.

    ''Saya juga menerima laporan ramai lagi kakitangan awam yang bertugas secara kontrak bakal diberhentikan.

    ''Saya berharap tindakan memberhentikan pekerja-pekerja tersebut dapat dielakkan. Jumlah pengangguran yang bertambah akan mengakibatkan kesan sosial yang lebih berat,'' katanya.

    Utusan Online

    Saturday, May 2, 2009

    Peraturan kerja separuh masa dijangka diguna pakai

    MELAKA 1 Mei - Kementerian Sumber Manusia menjangkakan peraturan kerja sambilan atau Kerja Separa Masa untuk kakitangan awam dan swasta yang bekerja selepas waktu kerja biasa dapat dilaksanakan pada bulan depan.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.

    "Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

    Beliau berkata, peraturan baru tersebut perlu dilaksanakan segera bagi menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang dijangka timbul antara majikan dan pekerja berhubung dengan pekerjaan separuh masa.

    ''Peraturan itu akan mengandungi terma-terma dan syarat mengenai penggajian pekerja separuh masa serta perlindungan bagi pekerja dan majikan yang menghadapi sebarang isu yang timbul kelak.

    ''Kita harap Peguam Negara dapat meluluskan segera permohonan kementerian mengenai peraturan baru itu sebelum Jun ini," katanya.

    Lebih 5,000 kakitangan awam dari seluruh negara menghadiri perhimpunan pekerja itu yang turut dihadiri Presiden CUEPACS, Omar Osman.

    Menurut Subramaniam, peraturan baru itu digubal bertujuan menetapkan peraturan berkaitan penggajian pekerja separuh masa, menentukan faedah minimum kepada mereka, mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar.

    Tambahnya, kebenaran untuk bekerja separuh masa itu juga bertujuan membantu pekerja yang berpendapatan rendah menambah pendapatan mereka.

    Katanya, antara masalah yang dijangka timbul bagi kakitangan awam atau swasta yang bekerja separuh masa ialah mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kes kemalangan dan cuti sakit.

    ''Perlindungan ini penting bagi melindungi dan menepati keperluan serta hak antara pekerja dan majikan kerana kita tidak mahu kewujudan peraturan khas ini hanya melindungi kepentingan satu pihak," katanya.

    Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam meminta kakitangan awam dan swasta di negara ini bijak merebut peluang dengan mengikuti program latihan kemahiran yang disediakan oleh pelbagai pihak pada masa ini.

    Melalui usaha itu katanya, golongan tersebut mampu meningkatkan tahap kemahiran masing-masing ke peringkat lebih baik sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar tenaga kerja berkemahiran.

    Utusan Online

    SEBAGAI doktor yang sudah berkhidmat dengan masyarakat selama lima tahun, hati kecil saya sangat sedih dengan kecaman masyarakat yang selalu mencerca kami. Mungkin masyarakat tidak mengenal dunia kami seutuhnya. Mungkin masyarakat menganggap pekerjaan kami ini penuh glamor seperti digambarkan dalam drama yang disiarkan di televisyen. Tiada media atau drama yang memberi gambaran sebenar.

    Sejak hari pertama menjejakkan kaki di Fakulti Perubatan, semua kami mempunyai cita-cita untuk membantu masyarakat dengan memberi layanan kesihatan terbaik. Enam tahun bertungkus-lumus menimba ilmu siang dan malam untuk mempersiapkan diri mendampingi masyarakat nanti. Tiada waktu untuk bersuka ria seperti kawan di fakulti lain.

    Kami harus berusaha jadi yang terbaik daripada yang terbaik. Tiada ruang untuk gagal dan banyak daripada teman kami terkandas di tengah jalan, malah ada yang gila tidak mampu bertahan dengan tekanan ketika belajar.

    Untuk mendapat tempat di Fakulti Perubatan sangat susah tetapi untuk meneruskan pengajian sehingga selesai pengajian berkali ganda susahnya. Selepas selesai pengajian, menjejakkan kaki di alam pekerjaan sebagai doktor, hidup ini bagaikan tidak ada lagi. Dua tahun tidak dapat melihat matahari kerana sudah masuk bekerja pada jam 5.30 pagi dan habis bekerja sehingga 9 malam.

    Makan tidak menentu, kadang-kadang makan daripada makanan pesakit yang berlebihan dengan keadaan terburu-buru, pakaian pun tidak berganti dan ibadat pun tunggang-langgang. Tidak tidur sampai 36 jam adalah perkara biasa bagi kami. Hari Sabtu atau Ahad tiada maknanya bagi kami. Isteri dan anak pun tidak dipedulikan. Namun kami tetap tabahkan hati untuk masyarakat. Apa masyarakat pernah untuk melihat semua itu? Berapa nyawa yang kami selamatkan setiap hari pernah dihitung? Bagaimana dengan datuk, nenek, ayah, emak, kakak, abang, adik dan saudara mara yang diubati oleh tangan kami pernah dinilai? Bagaimana bayi yang baru lahir ke dunia ini disambut dengan penuh kasih sayang oleh kami, pernah dihargai?

    Tidak ada yang peduli pada apa yang kami lakukan, semua yang buruk diperbesar-besarkan. Kesalahan yang sentiasa dicari, peguam bagaikan 'jerung lapar' yang menanti untuk membaham kami. Media beratur-atur mencari berita sensasi tanpa perlu menyiasat kebenarannya. Seolah-olah kami ini tidak letih, tidak tidur, tidak makan, tidak memerlukan waktu untuk berehat atau pun sekadar melelapkan mata sekejap.

    Apa yang kami berikan untuk masyarakat adalah yang paling ikhlas. Tiada sambutan hari doktor perlu diadakan sebagai bukti atas keikhlasan kami pada masyarakat. Harapan pada teman seperjuangan, marilah kita terus berusaha untuk meningkatkan iltizam demi kesucian profesion kita sebagai doktor. Ingatlah selalu sumpah Hippocrates.

    SUARA DOKTOR,
    Pahang.

    Berita Harian Online

    Menteri jawab rintihan doktor

    KUALA LUMPUR 1 Mei - Kes rintihan seorang doktor yang terlalu penat akibat menjalankan tugas panggilan aktif (on call) melebihi 24 jam tanpa henti jarang berlaku di hospital kerajaan.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kes itu adalah terpencil dan ia mungkin terjadi di sesetengah hospital kerajaan yang kekurangan kakitangan perubatan.

    Bagaimanapun, beliau menjelaskan, setiap doktor yang diminta bertugas secara on call diperuntukkan masa berehat dalam tempoh tugasannya.

    "Sekiranya berasa terlalu penat, mereka dibenarkan untuk berehat.

    "Selain itu, hospital kerajaan mempunyai prosedur di mana setiap doktor hanya perlu bertugas secara on call sekali atau maksimum dua kali dalam masa seminggu,'' jelasnya.

    Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas rintihan seorang doktor yang mendakwa terlalu penat selepas menjalankan tugas on call selama 36 jam dan hanya dapat tidur selama sejam dua melalui ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini.

    Tiong Lai menambah, doktor terbabit berhak untuk memohon berehat sehari selepas menjalankan tugasnya.

    Oleh itu, katanya, tidak timbul masalah bagi mereka yang perlu bertugas secara on-call.

    Dalam pada itu, katanya, doktor berkenaan berhak membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati dengan aturan itu.

    "Kerajaan atau pihak pengurusan hospital tidak berhak memaksa doktor bekerja melebihi masa yang sepatutnya.

    "Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak puas hati dan berasa hak mereka dirampas, maka mereka boleh membuat aduan kepada kementerian," katanya.

    Ditanya mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan bilangan doktor dalam menangani masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan, Tiong Lai berkata:

    "Kami sedang berusaha mengambil lebih ramai doktor dari luar negara untuk berkhidmat di hospital kerajaan.

    "Masalah kekurangan doktor ini bukan satu masalah yang dapat diselesaikan dalam masa singkat, tetapi kami yakin bahawa ia dapat diperbaiki dalam tahun ini," jelasnya.

    Friday, May 1, 2009

    Peraturan kerja separa masa dijangka dilaksana bulan depan

    MELAKA 1 Mei — Kementerian Sumber Manusia menjangkakan Peraturan Kerja Separa Masa untuk pekerja sektor awam dan swasta bekerja selepas waktu kerja dapat dilaksanakan pada bulan depan.

    Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.

    “Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, hari ini.

    Turut hadir Presiden CUEPACS Omar Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna Negeri, R.Perumal.

    Dr Subramaniam berkata isu berkenaan antaranya berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bayaran kerja lebih masa dan cuti sakit.

    Bernama

    Bilakah elaun JPA akan saya terima?

    BUAT kali ketiga berturut-turut, nama saya tercicir daripada senarai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia ke Perancis, sedangkan pelajar-pelajar lain menghembuskan nafas lega.

    Telah berkali-kali saya menghantar e-mel kepada JPA mengharap penyelesaian kepada masalah ini. Mungkin tidak perlu saya bertanya lagi, di mana silapnya, di mana kurangnya. Pihak JPA telah meminta saya membuka akaun baru pada bulan November 2008. Saya telah buat dan saya telah maklumkan kepada pihak JPA. Sekarang sudah bulan Mei. Enam bulan sudah berlalu.

    Namun masalah yang sama masih menimpa. Atas nasihat pihak JPA sendiri, jangan tutup akaun lama, juga saya turuti. Sekarang saya membayar dua kali ganda caj bank. Tapi kenapa elaun saya masih mempunyai masalah? Apakah yang dibuat kepada maklumat elaun baru?

    Untuk pengetahuan, di Perancis hampir kesemua bayaran, iaitu sewa rumah, bil Internet, bil elektrik, bil telefon dan macam-macam bil lagi dibuat secara automatik pada penghujung bulan.

    Jika wang elaun masih belum dimasukkan sebelum hujung bulan ini, saya akan berdepan dengan akaun berbaki negatif. Jika lebih 300 Euro nilai negatif tersebut, akaun akan digantung. Saya akan disenarai hitamkan oleh Banque de France dan tidak akan mempunyai hak membuka akaun lain selagi fail belum ditutup.

    Banyak caj perlu saya tanggung. Caj untuk membuka dan menutup fail kenegatifan akaun, caj membayar dua akaun di mana salah satunya diminta oleh pihak JPA tapi tidak pernah digunakan dan entah berapa banyak lagi caj yang saya bayar semata-mata untuk mengharapkan pihak JPA melakukan sesuatu untuk membantu diri ini yang keseorangan di perantauan. Saya tiada bantuan ayah ibu. Kepada siapa lagi harus saya merayu?

    Namun saya masih cuba dan terus mencuba menghantar e-mel dan panggilan telefon kepada pihak JPA.

    Mungkin sebagai seorang pelajar, kata-kata saya tidak langsung akan dipedulikan. Mungkin juga e-mel yang saya hantar akan terus 'diauto-nyahkan' ke dalam tong sampah. Tapi saya tidak akan berputus asa meminta dan terus meminta selagi tangan ini masih berupaya menulis. Suara ini belum hilang dari petinya, selagi saya bergelar pelajar berbiasiswa JPA.

    MOHD. ZHAFRAN MAT JUSOH
    Niort, Pranchis

    Utusan Online

    Aduan rakyat dalam media nilai KPI

    PUTRAJAYA 30 April - Maklum balas daripada orang ramai berkaitan perkhidmatan sektor awam yang disiarkan dalam media massa adalah antara kaedah digunakan untuk menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang menteri dan timbalannya.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, langkah tersebut merupakan salah satu aspek penting yang diberi keutamaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sesebuah kementerian berupaya memenuhi kehendak serta keperluan rakyat.

    ''Pandangan, aspirasi dan perasaan rakyat merupakan salah satu aspek penting yang akan diberi keutamaan dalam usaha gigih kami ini, selaras dengan cogan kata 'rakyat didahulukan'.

    ''Kita akan baca dan lihat daripada media cetak serta elektronik untuk menjadikannya sebagai input bagi menilai prestasi sesebuah kementerian termasuk menterinya," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pertama mengenai KPI sejak dilantik dalam Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 9 April lalu.

    Beliau yang menggalas portfolio Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab menilai setiap menteri Kabinet menerusi KPI.

    Utusan Online