Saturday, January 30, 2010

Jaya, gagal PTK bergantung penuh sokongan penjawat awam

TAHNIAH kepada pasukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri yang bertungkus lumus merangka dan menyiapkan buku Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Sekarang tiba masa menggerakkan pelan dan program yang dicatatkan pada buku itu dilaksanakan.

Rakyat ingin melihat hasil nyata dan bukan sekadar laporan yang dicantikkan dengan grafik dan gambar.

Kalau dibaca betul-betul ada pesanan Perdana Menteri di dalam Kata-kata Aluan buku tersebut. Najib sendiri cukup sedar bahawa bukan mudah untuk mengubah budaya kerja 'orang kerajaan.' Sebab program transformasi yang sedang digerakkan oleh beliau akan melalui cara baru yang radikal.

Dalam melaksanakan usaha-usaha PTK ini, yang ditakuti seperti yang dirasai oleh Perdana Menteri ialah halangan dan kekangan, termasuk sasaran yang tidak dicapai, inisiatif-inisiatif yang mungkin tidak mendatangkan hasil, penolakan segolongan masyarakat terhadap perubahan dan cabaran-cabaran baru yang tidak dapat dijangkakan.

Saya yakin walaupun ada cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan, kerajaan mampu mengatasinya dan akan mencapai matlamatnya. Tetapi ia memerlukan sokongan serta kerjasama daripada rakyat, sektor awam, sektor sosial dan semua segmen masyarakat.
Kita tidak mahu mendengar PTK dikatakan hanya slogan atau penjenamaan pada program-program kerajaan yang terdahulu. Soal kelemahan, kelembapan pada dasarnya melibatkan tahap pelaksanaan.

PTK tidak patut ada alasan jika prosesnya perlahan atau tidak berkesan.

Pada saya, maju, mundur, pantas atau lembab PTK bergantung kepada orang yang melaksanakannya. Sekarang sudah ada KPI dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang perlu dipenuhi oleh pemimpin kerajaan dan penjawat awam.

Apakah mereka prihatin kepada penilaian itu. Atau mereka buat-buat tidak ambil peduli kerana setiap bulan gaji pasti sudah ada di dalam bank.

Mungkin ada sebilangan penjawat awam yang membelakangkan soal prestasi mereka. Mereka tak peduli, tetapi kesannya boleh memberi imej buruk kepada kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional. Mereka tidak peduli kerajaan bertukar ganti atau tidak asalkan mereka menerima gaji hingga bersara.

Mereka tahu bila parti memerintah bertukar, kedudukan sebagai penjawat awam tidak terjejas. Sebab, sudah termaktub dalam perjanjian 'tanda tangan mati' itu, mereka adalah kakitangan awam yang tidak ada kena-mengena dengan parti politik yang memerintah kerajaan.

Sebab itu saya menyokong kerajaan membuat pendekatan baru pada sistem perkhidmatan awam.

Elok benar jika kerajaan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik.

Hanya orang yang betul-betul mahu berbakti dan berkhidmat untuk rakyat yang layak menerima gaji dan ganjaran. Golongan penumpang, harus mengubah sikap.

Sekarang bukan zaman rakyat tidak dapat berbuat apa-apa dengan kerenah dan sikap penjawat awam. Kerajaan sedar akan kuasa rakyat.

Jadi sudah tiba masanya menyedarkan penjawat awam bahawa mereka yang benar-benar berkhidmat pada tahap tertinggi sahaja patut diberi ganjaran dan bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.

Pada masa kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya, hanya ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", tetapi masih menerima gaji yang sama setiap bulan.
Dalam konteks PTK, kejayaan atau kegagalannya bergantung kepada kerjasama para penjawat awam. Mereka menjadi satu pra-syarat untuk PTK mencapai kejayaan. Ingat pada kata-kata Najib bahawa "Tiada apa pun akan berjaya dalam kerajaan tanpa sokongan daripada perkhidmatan awam."

Sokongan penuh mereka dalam PTK ini dan dalam gagasan 1Malaysia, Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan amat dituntut.

Utusan Online

Persaraan diluluskan dengan syarat

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan memutuskan persaraan pilihan anggota sektor awam akan diluluskan dengan syarat mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih, ketika bersara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata, bayaran selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib.

Katanya, bagaimanapun wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail menjelaskan bahawa ganjaran yang dimaksudkan akan dibayar kepada pesara selepas semua hutang piutangnya kepada kerajaan telah dijelaskan.

"Sekiranya ganjarannya didapati tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, maka baki hutang piutang akan ditolak daripada GCR, jika ganjaran dan GCR tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, bakinya akan ditolak daripada pencen pesara sehingga selesai," katanya.

Ismail berkata, kelonggaran boleh diberikan atas sebab anggota atau ahli keluarganya memerlukan rawatan perubatan (berdasarkan surat akuan bertulis oleh pegawai perubatan Kerajaan).

Katanya, anggota atau ahli keluarganya memerlukan perbelanjaan pendidikan (berdasarkan surat tawaran dan penerimaan pengajian) dan anggota yang memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan (berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Sekiranya anggota bersetuju dengan syarat bersara itu, mereka hendaklah mengisi dan mengemukakan Surat Persetujuan/Permohonan Pengecualian Syarat Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Berkaitan Persaraan Pilihan, katanya.

Utusan Online

Thursday, January 28, 2010

Individu pertama dihadap ke makhamah

SHAH ALAM - Seorang Penolong Pegawai Daerah (Tanah) gred M44 menjadi orang pertama yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, berhubung isu curi pasir yang melibatkan tangkapan sebanyak 38 suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Norhanizatuazwin Samsuni, 29, yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, dekat sini didakwa memperoleh rasuah bernilai RM10,000 daripada seorang pengarah syarikat pemaju yang bergelar datuk.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.30 tengah hari, 17 Mac 2009 di nombor 45A, Jalan Bukit Mewah 11, Taman Bukit Mewah, Kajang, dekat sini dan suapan itu didakwa sebagai bayaran peringkat 2(a) dan sebahagian peringkat 2(b) untuk rumah C-4-25, Rumah Pangsa, Kajang Impian.


Suapan itu didakwa sebagai balasan untuk tertuduh membantu meluluskan Permohonan Tempoh Permit Bagi Kebenaran Khas untuk Mengalih Bahan Batuan (Mendapan Kelodak / Tanah Merah) ke atas tanah PN8602, Lot 7705, Mukim Hulu Langat bertarikh 5 Februari 2009 kepada syarikat pemaju itu.


Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Bagi tuduhan itu, tertuduh juga menghadapi satu pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan kerana didakwa menerima suapan yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.


Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.


Tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana statusnya sebagai ibu tunggal yang menyara seorang anak berusia setahun tiga bulan dan adik yang bersekolah di sekolah teknik.


“Saya dalam proses tuntutan nafkah selepas perceraian yang memerlukan kewangan bagi urusan guaman.“Saya juga ada tanggungan lain seperti bayaran kereta, sewa rumah, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan kad kredit,” katanya.


Tertuduh juga menyatakan, dia bekerjasama dengan SPRM sejak ditangkap 20 Januari lalu sehingga dilepaskan dengan jaminan Isnin lalu.


Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula 25 Februari untuk lantikan peguam.


Beliau juga membenarkan permohonan Siew Wee supaya mahkamah mengguna pakai Seksyen 101(2) Akta Mahkamah Rendah untuk perintah sekatan supaya nama pengarah dan syarikat tidak didedahkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan SPRM.



Sinar Harian

Penjawat awam yang gembira beri hasil terbaik - Idris Jala

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menggesa orang ramai mengubah pandangan negatif terhadap penjawat awam bagi menjadikan penyampaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) lebih berkesan.

Idris, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), berkata bahawa pada hari terbuka GTP yang diadakan bulan lepas, secara umumnya, komen orang ramai tentang penjawat awam amat negatif.

"Saya ingin meminta agar cakaplah benda baik-baik tentang penjawat awam apabila anda bertemu mereka.

Apabila mereka rasa gembira tentang diri mereka, lama kelamaan, mereka akan beri hasil yang baik," katanya semasa memberi penerangan tentang GTP kepada orang ramai di sini.

Seramai 200 orang menghadiri majlis berkenaan bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang pelan hala tuju GTP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.Idris berkata penjawat awam telah menunjukkan komitmen tinggi pada sesi makmal untuk mengumpul semua data yang diperlukan dalam mengenal pasti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi GTP.

Lapan makmal berkenaan, yang bermula awal Oktober dan selesai pada pertengahan November tahun lepas melibatkan 200 penjawat awam, menghasilkan 43 Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI), 104 program, 2,029 projek dan 7,307 aktiviti."

Dalam masa enam minggu itu, mereka melaksanakan tugas dengan cukup menakjubkan," kata Idris.

Wednesday, January 27, 2010

Tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan dicadang dilanjut

PUTRAJAYA 27 Jan. — Tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan dicadang dilanjutkan sehingga lima atau 10 tahun, berbanding tiga tahun pada masa ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan doktor di hospital-hospital kerajaan yang berlaku pada saban tahun.

Pada tahun lalu, katanya negara menghadapi masalah kekurangan doktor sebanyak 5,000 orang.

"Tiap-tiap tahun kita ada masalah kekurangan doktor kerana mereka ini hanya berkhidmat dengan kerajaan selama lima tahun, iaitu dua tahun untuk ”housemanship” (latihan) dan tiga tahun untuk perkhidmatan wajib, dan selepas itu mereka tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.

"Sistem ini digunapakai sejak 1971, jadi kita perlu ada mekanisme baru untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di sini hari ini.

Bernama Online

Tuesday, January 26, 2010

Usah pertikai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan polis bantuan

AGAK lucu membaca surat tulisan Koperal Mohd Zamzam Abdullah di ruangan ini Jumaat lalu, sehinggakan soal warna pakaian polis bantuan yang sama dengan anggota polis biasa dijadikan agenda utama perjuangannya yang mewakili Persatuan Pegawai Rendah Polis Di Raja Malaysia.

Alasan beliau polis bantuan menyalah guna kuasa kerana warna pakaian sama. Masalah salah guna kuasa bukan bergantung kepada warna pakaian, sebaliknya kepada individu itu sendiri.

Dalam pasukan PDRM sendiri pun apa kurangnya masalah ini. Yang ditangkap kerana kes rasuah, dadah, skandal seks dan kesalahan lain, ramai juga tetapi itu individu, bukan pasukan.

Kalau Koperal Zam selalu baca akhbar dan tengok televisyen, banyak individu dalam pelbagai jabatan kerajaan, menyalah guna kuasa, dilaporkan.

Dalam akhbar Berita Harian di muka depan baru-baru ini misalnya, tajuk besar melaporkan 'Pasir kita ke Kota Singa'.

Kenapa berlaku begitu? Kerana ada individu terbabit tidak jujur dan ia tidak membabitkan semua anggota jabatan berkenaan.

Apa salahnya kerajaan mengiktiraf polis bantuan yang membantu polis menjaga harta kerajaan dan agensinya dengan warna pakaian sama dengan anggota biasa PDRM.

Sejarah polis bantuan membantu polis seperti yang digambarkan dalam filem Bukit Kepong agak besar juga pengorbanan mereka pada negara.

Jangan nafikan sejarah itu semata-mata kerana warna pakaian sama. Koperal jangan jadi orang yang buta sejarah. Jangan gah kerana anggota polis dianggap sebagai 'anak kandung' kerajaan dan jangan jadikan polis bantuan sebagai 'anak tiri' kerajaan.

Negara sudah lebih 50 tahun merdeka, koperal sepatutnya berfikiran terbuka. Kalau zaman penjajah dulu, polis bantuan tanpa pakaian seragam bantu polis ketika balai Bukit Kepong diserang komunis.

Itu masa orang lain memerintah negara kita. Sekarang kita sudah merdeka dan apa salahnya kerajaan mengiktiraf peranan polis bantuan dengan membenarkan warna pakaian sama.

Antaranya, di pangkal nombor polis, polis bantuan tertulis dua huruf iaitu (PB..........) tetapi polis biasa tidak. Perbezaan lain ialah logo korporat atau agensi kerajaan.

PUTERA SETIU,
Kemaman,
Terengganu.

Berita Harian Online

Sistem ganjaran dan hukuman untuk penjawat awam mungkin diperkenal

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata sudah tiba masanya penjawat awam dinilai dan diberi ganjaran berdasarkan prestasi masing-masing bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.

"Kami sedar bahawa bagi menjamin keberkesanan sesuatu sistem, perlu ada ganjaran dan hukuman.

Setakat ini, kami melihat kepada aspek ganjaran," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia ke-12 di sini hari Selasa.

"Kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas seperti yang sepatutnya, ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", dan menerima gaji setiap bulan, walaupun bekerja dengan tidak seberapa.

Tetapi, ia memberi kesan tidak baik terhadap rekod mereka," katanya.Beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji secara mendalam terhadap langkah mengguna pakai sistem ganjaran dan hukuman di bawah Program Transformasi Kerajaan (PTK), yang memasuki tahun pertama pelaksanaannya tahun ini.

"Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya, tumpuan kami ialah bagaimana hendak menggalakkan dan memberi sokongan kepada setiap orang supaya bertugas dengan lebih baik, bukan untuk mula melaksanakan hukuman...langkah ini jauh lebih penting ketika ini," katanya.

Koh berkata kerajaan sedang meneliti model yang diguna pakai di negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan China tentang pelaksanaannya.

Katanya sistem mengambil dan membuang pekerja yang diguna pakai oleh sektor swasta juga diberi pertimbangan.

Koh juga berkata bahawa Khamis ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan buku tentang Program Transformasi Kerajaan yang menampilkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), di samping beberapa rancangan utama yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan serta cadangan bagi menjayakan transformasi yang dimaksudkan.

Bernama Online

Kehilangan enjin jet TUDM tiada kaitan pegawai atasan - PAC

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menutup siasatan kes kecurian enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan memutuskan tidak ada pegawai kanan pasukan itu terlibat dalam kes berkenaan.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata kesimpulan itu dibuat setelah PAC mendapati tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan mana-mana pegawai kanan pasukan itu dalam kes berkenaan.

"PAC mendapati memang ada kelemahan dalaman (TUDM) berlaku tetapi kita tidak nampak ada penyelewengan di peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua PAC dengan Kementerian Pertahanan dan TUDM berhubung kes berkenaan di Bangunan Parlimen di sini.

Antara yang dilihat hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud.

Pada mesyuarat hari ini, PAC juga mengesahkan bahawa pemecatan seorang Brigedier Jeneral tahun lepas tidak ada kena-mengena dengan kes kecurian enjin jet berkenaan.

Azmi berkata berdasarkan siasatan, kehilangan enjin jet itu bukan berlaku semasa penghantaran sebaliknya hilang dalam simpanan berdasarkan tiada rekod penghantaran keluar.

Katanya enjin jet itu didapati hilang daripada Bangunan Material Processing Shed (MATRA 1), Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di mana kedua-dua enjin jet pejuang disimpan.Berdasarkan itu PAC tidak menafikan kemungkinan kes itu membabitkan kecurian terancang dengan kerjasama orang dalam.

"Ini melibatkan orang yang memang berniat untuk mencuri dan telah merancang rapi, telah mengkaji kelemahan dalaman dan menggunakan kelemahan itu untuk mengeluarkan barang-barang tersebut," katanya.

Beliau berkata MATRA 1 menyimpan lebih 400 ribu alat ganti dan peralatan milik TUDM.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan siasatan tidak ada peralatan lain yang hilang daripada tempat simpanan berkenaan.

Dalam pada itu, Azmi berkata TUDM sedang menambah baik sistem pentadbirannya termasuk sistem pengurusan asetnya."Kita difahamkan mereka sedang dalam proses mempertingkatkan sistem pentadbiran mereka termasuk bertukar daripada sistem manual kepada perkomputeran sepenuhnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.

Selain itu Azmi turut menegaskan bahawa nilai enjin jet berkenaan adalah kira-kira RM300,000 setiap satu dan bukannya RM50 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Media baru-baru ini melaporkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan hilang sejak 2007 dan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu.

Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang dikesan di Uruguay.

Bernama Online

Sarawak minta JKR bertindak keatas kontraktor jalan raya abai keselamatan pengguna

KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak pada Selasa meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan terhadap kontraktor yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna ketika melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya di negeri itu.

Menteri Kemudahan Awam negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata berdasarkan pemerhatiannya ramai kontraktor yang melaksanakan projek membaiki dan menaiktaraf jalan raya di negeri itu mengambil mudah aspek keselamatan dan gagal memberi amaran secukupnya kepada pengguna jalan raya.

"Saya lihat ada kontraktor tak letak papan tanda atau pagar mahupun lampu pada persekitaran jalan yang sedang dibina atau diperbesarkan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya menggunakan jalan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di sini pada Selasa.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua berkata sikap sedemikian sudah tidak boleh diterima memandangkan ia melibatkan nyawa orang ramai.

"Di Australia misalnya walaupun ianya melibatkan pembaikan lopak kecil di jalan raya, kontraktor diarah untuk memasang pagar dan lampu dengan segera supaya pemandu mengetahui ada proses pembinaan berlaku," katanya.

Terdahulu semasa berucap merasmikan kempen tersebut, Awang Tengah berkata dalam tempoh lapan tahun sehingga tahun 2008, secara purata Sarawak mencatatkan 305 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan menyebabkan kerugian sekitar RM367 juta daripada segi sosio-ekonomi negeri.

"Saya dimaklumkan bahawa 45 peratus yang terkorban adalah pencari nafkah utama dalam keluarga," katanya.

Sarawak minta JKR bertindak keatas kontraktor jalan raya abai keselamatan pengguna

KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak pada Selasa meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan terhadap kontraktor yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna ketika melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya di negeri itu.

Menteri Kemudahan Awam negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata berdasarkan pemerhatiannya ramai kontraktor yang melaksanakan projek membaiki dan menaiktaraf jalan raya di negeri itu mengambil mudah aspek keselamatan dan gagal memberi amaran secukupnya kepada pengguna jalan raya.

"Saya lihat ada kontraktor tak letak papan tanda atau pagar mahupun lampu pada persekitaran jalan yang sedang dibina atau diperbesarkan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya menggunakan jalan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di sini pada Selasa.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua berkata sikap sedemikian sudah tidak boleh diterima memandangkan ia melibatkan nyawa orang ramai.

"Di Australia misalnya walaupun ianya melibatkan pembaikan lopak kecil di jalan raya, kontraktor diarah untuk memasang pagar dan lampu dengan segera supaya pemandu mengetahui ada proses pembinaan berlaku," katanya.

Terdahulu semasa berucap merasmikan kempen tersebut, Awang Tengah berkata dalam tempoh lapan tahun sehingga tahun 2008, secara purata Sarawak mencatatkan 305 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan menyebabkan kerugian sekitar RM367 juta daripada segi sosio-ekonomi negeri.

"Saya dimaklumkan bahawa 45 peratus yang terkorban adalah pencari nafkah utama dalam keluarga," katanya.

Bernama Online

Saturday, January 23, 2010

JPA nafi potong elaun COLA, ITKA

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan beberapa elaun dinikmati kakitangan kerajaan seperti elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) akan dipotong.

"JPA ingin memaklumkan bahawa tidak ada keputusan kerajaan untuk memotong elaun-elaun seperti COLA dan ITKA," menurut jabatan itu dalam kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan JPA itu sekali gus menyangkal desas-desus yang mengatakan bantuan sara hidup kepada kakitangan awam termasuk COLA dan ITKA akan ditarik sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Sejak beberapa hari lalu, kira-kira sejuta kakitangan awam berada dalam dilema berikutan tersebarnya berita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun kakitangan awam akan ditarik.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang turut menafikan khabar angin tersebut.

Utusan Online

Friday, January 22, 2010

CUEPACS nafi COLA ditarik balik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menafikan khabar angin kononnya elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan elaun perumahan akan ditarik balik oleh kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.

''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.

Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.

Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.

Utusan Online

Wednesday, January 20, 2010

Terengganu buat rombakan besar libatkan 48 Pegawai Tadbir

KUALA TERENGGANU, 20 Jan (Bernama)-- Kerajaan Terengganu membuat rombakan besar-besaran melibatkan 48 pegawai bagi memantapkan pentadbiran selain mengisi kekosongan jawatan, kata Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah pada Rabu.

Mazlan yang juga Pegawai Kewangan Negeri berkata semua pelantikan dan pertukaran jawatan itu berkuatkuasa 1 Feb ini.Antara yang terlibat ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Adzlan Mohd Dagang yang akan saling bertukar jawatan, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.

Turut terlibat ialah beberapa pegawai daerah iaitu Pegawai Daerah Dungun Zulkifli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur, sementara tempatnya diisi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Mustofa Abdul Rahman.Tempat Mustofa akan diisi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Husein Embong, katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Setiu, Wan Nawawi Wan Ismail akan ditukarkan sebagai Pegawai Daerah Kuala Terengganu, menggantikan Datuk Mohd Alim Muda yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec).

Pengarah Institut Integriti Negeri, Mohd Akil Mat pula akan mengisi jawatan Pegawai Daerah Setiu, manakala Pegawai Daerah Hulu Terengganu Aziz Mamat dilantik sebagai Pengarah Yayasan Terengganu, dan tempat beliau akan disi Pegawai Daerah Besut Wan Mohd Wan Ibrahim.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar pula akan dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan tempatnya akan diganti Pengarah Yayasan Terengganu, Md Kamarul Al-Amin Ismail.

Sementara itu Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata pelantikan dan pertukaran jawatan tersebut dibuat berasaskan kemampuan dan merit pegawai terlibat.

Beliau juga menasihatkan pegawai yang berkenaan agar membuktikan keupayaan masing-masing dan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

"Bagi yang belum terpilih untuk kenaikan pangkat dan sebagainya, jangan berkecil hati kerana ada peluang lain," katanya sambil menambah masih terdapat 40 kekosongan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang akan diisi tidak lama lagi.

Bernama Online

Pembebasan bekas KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dikekalkan

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan dan melepaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad daripada pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah dan menipu.

Panel hakim terdiri daripada Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan itu.

Aziz, 65, kini seorang ahli perniagaan, pada awalnya disabitkan dan dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 2005 bagi kesalahan bersubahat dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tengah Terengganu (Ketengah) Datuk Alwi Said melakukan pecah amanah RM2 juta milik Ketengah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kewangan di Jalan Raja Chulan antara 27 April dan 31 Julai, 1999.

Dia juga dihukum penjara lima tahun bagi pertuduhan menipu Menteri Kewangan Kedua pada ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed, melalui pegawai Kementerian Kewangan, untuk mempercayai bahawa pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, berjalan lancar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Kewangan di Jalan Duta, Kuala Lumpur, antara 24 Jun dan 9 Ogos, 1999.Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman itu dilaksanakan serentak tetapi Mahkamah Tinggi pada 16 Nov, 2008 membebaskan dan melepaskannya selepas membenarkan rayuannya.

Bernama Online

Tuesday, January 19, 2010

Berita@INTURA Januari 2010

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar









Long See Wool dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian berkenaan mulai 26 Jan ini, menggantikan Datuk Seri Zakaria Bahari yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Jan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pelantikan Long, 55, dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan pengangkutan.

"Saya percaya pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau mengenai polisi dan pengurusan pengangkutan akan membolehkan Datuk Long See Wool mengetuai Kementerian Pengangkutan dengan penuh integriti dan efisien bagi mencapai 'outcome' yang dipertanggungjawabkan.

"Ini termasuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat, seperti yang digariskan di bawah salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)," kata Sidek.

Long yang dilahirkan di Bukit Fraser, Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah/Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya (UM).

Beliau telah bertugas di kementerian berkenaan pada keseluruhan karier perkhidmatannya sebaik saja menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 Nov 1979.

Antara jawatan yang dipegang Long di kementerian itu ialah Penolong Setiausaha (1979-1983), Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Udara (1983-2002), Setiausaha Bahagian Udara (2002-2006), dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) mulai 1 Nov 2006.

Bernama Online

Monday, January 18, 2010

NUTP minta garis panduan jelas berhubung isu penugasan semula guru

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelajaran diminta menyediakan garis panduan yang jelas berhubung isu penugasan semula guru-guru bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam proses penukaran seseorang guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata pihaknya menerima aduan terdapat segelintir guru besar atau pengetua mengambil kesempatan untuk mengeluarkan guru yang tidak disukai atau guru bermasalah di sekolah masing-masing.

Walaupun masih di peringkat awal pelaksanaan penugasan semula, NUTP telah menerima sejumlah 10 aduan di mana antara lima dan enam daripadanya membabitkan kes salah guna kuasa guru besar, katanya pada sidang media di pejabat NUTP di sini hari ini.

"Masalah besar timbul apabila berlaku penyalahgunaan kuasa di mana guru besar atau pengetua mengambil peluang untuk menukarkan guru sesuka hati sehingga menyebabkan berlakunya penganiayaan," katanya.

Selain salahguna kuasa disebabkan penugasan semula guru, NUTP turut menerima aduan berhubung bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh guru yang diarah berpindah dalam tempoh satu atau dua minggu, terutama bagi mereka yang telah berkeluarga dan menetap serta mengajar di sesebuah sekolah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun, katanya.

Beliau berkata ada juga guru mengadu ditukarkan ke sekolah yang terlalu jauh sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa dua jam ke tempat kerja setiap hari.

"NUTP mencadangkan supaya pampasan bulanan diberikan kepada guru-guru berkenaan seperti insentif yang ditawarkan kepada mereka yang sanggup bertugas di kawasan pedalaman," katanya.

Sehubungan itu, Hashim meminta kementerian turut memantau proses penugasan semula bagi memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan lebih sistematik.

Hashim berkata perkara itu juga harus dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati dengan mengambil kira faktor kemanusiaan seperti kepakaran seseorang guru yang telah mengajar sesuatu subjek sejak sekian lama.

"Kita mencadangkan supaya guru yang belum berkahwin atau mereka yang boleh dikategorikan sebagai `young family' atau baru berkahwin dan tidak mempunyai anak yang ramai, ditukarkan terlebih dahulu di bawah redeployment guru ini," katanya.

Selain itu, katanya, setiap pertukaran haruslah dilakukan berdasarkan keperluan subjek di sesebuah sekolah dan setiap kekosongan mesti diisi dengan segera.

Bernama Online

"We're P.As, not secretaries"

By Regina Lee

PUTRAJAYA: What's in a job title? Plenty, in so far as the administrative secretaries -- generally referred to as personal assistants -- in government departments are concerned.These PAs are unhappy because they are now called office secretaries, with some seeing it as a demotion.

Cuepacs, which represents more than 5,000 of these employees -- both administrative secretaries and assistant administrative secretaries, said the new term was announced in a circular on Dec 21 and came into effect on Jan 1.

Cuepacs president Omar Osman said the PAs have complained that the term does not reflect their image as the backbone of their bosses.

"It is not fair or befitting for the PAs, who have been in the position for so long, to suddenly need to have their title changed. This is very demotivating to them."

Cuepacs wants the old title to be restored.

Omar has also asked the Public Service Department to exempt PAs who have been in the service for 30 years from the Competency Level Evaluation (PTK) examination.

All 1.2 million government servants will have to take the PTK examination to qualify for a promotion.

"If the PAs don't pass their PTK, they are technically only known as 'acting administrative secretaries'."

Omar was speaking to reporters after a briefing with about 200 PAs from the Klang Valley yesterday.

He said he would be writing to the PSD director-general Tan Sri Ismail Adam on the matter.

A PA, who wishes to remain anonymous, said in her 30 years of service, she occasionally had to handle her boss' family matters and she does not deserve to simply be called an "office secretary".

"I have worked under so many government heads who have come and gone, and I certainly do not think that my job scope is just limited to the office as stated in the new title.

"When my boss wants to go on a vacation with his family, I am the one who has to do all the bookings."And if he has a wife who happens to be a socialite, who do you think does all the planning for her functions?"

NST Online

Give our docs a break they deserve

THE letter “Don’t Work Our Doctors to Death” (The Star, Jan 15), touched me personally.

I may not be a doctor but I have seen how these doctors work. Having been warded for almost a month in a government hospital, I have this to say. All the doctors I came across will always tell me that they are very busy working and they have no life.

Why is this? Yes, they always need to work seven days a week unless they apply for vacation leave. Even then, some are recalled when an emergency arises.

Then again, there is night duty and when they are on-call. They have to work throughout the night and continue working the next day from as early as 6am.

I was equally surprised when this same doctor on-call came to my ward and continued to check on the patients early next morning. I used to get annoyed when they come round so early. I even told them to be quiet because I wanted to get some sleep. They told me they would rather take my place and be the patient.

I noticed that they looked very tired and lethargic. So how are they going to give their best in their jobs when they don’t get proper rest and sleep? I hope the authorities would look into the problem and give our doctors a break!

JOY,
George Town.


The Star Online

Sunday, January 17, 2010

Kerajaan digesa ubah nama jawatan "PA" kepada Setiausaha Tadbir

PUTRAJAYA 17 Jan — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menggunakan istilah ”Setiausaha Tadbir” bagi jawatan pembantu perbadi (PA) yang kini digelar ”Penolong Setiausaha Tadbir” berbanding mengubah nama kepada ”Setiausaha Pejabat”.

Presiden CUEPACS Omar Osman berkata menurut surat Pekeliling Perkhidmatan Awam 2009 No.27, jawatan ”Pembantu Peribadi” telah dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun ini tetapi belum dilaksanakan.

“Oleh itu, kami akan mengadakan pameran bergerak dan akan meminta semua ahli-ahli negeri memberi taklimat mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai perkara itu kepada kira-kira 200 petugas awam di sini hari ini.

Bernama Online

Kerajaan digesa ubah nama jawatan "PA" kepada Setiausaha Tadbir

PUTRAJAYA 17 Jan — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menggunakan istilah ”Setiausaha Tadbir” bagi jawatan pembantu perbadi (PA) yang kini digelar ”Penolong Setiausaha Tadbir” berbanding mengubah nama kepada ”Setiausaha Pejabat”.

Presiden CUEPACS Omar Osman berkata menurut surat Pekeliling Perkhidmatan Awam 2009 No.27, jawatan ”Pembantu Peribadi” telah dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun ini tetapi belum dilaksanakan.

“Oleh itu, kami akan mengadakan pameran bergerak dan akan meminta semua ahli-ahli negeri memberi taklimat mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai perkara itu kepada kira-kira 200 petugas awam di sini hari ini

Bernama Online

Saturday, January 16, 2010

Park & Ride gagal kerana penjawat awam

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

ENTAH di mana silapnya. Kemudahan Park & Ride (P&R) yang mampu memuatkan 3,000 buah kereta di Presint 1 dan 7, Putrajaya masih gagal menarik minat ribuan penjawat awam menggunakan perkhidmatan itu.

Walaupun kemudahan itu tidak mungkin diperoleh jika mereka bekerja di Kuala Lumpur, namun nampaknya penjawat awam di Putrajaya kelihatannya lebih selesa membawa kereta ke tempat kerja.

Tanpa perlu menunggu sehingga berjam-jam, mereka sebenarnya boleh menggunakan perkhidmatan bas NadiPutra ke tempat kerja yang terletak hanya beberapa kilometer dari lokasi P&R. Malangnya, kemudahan tersebut seolah-olah dipandang sepi.

Tindakan Perbadanan Putrajaya menguatkuasakan sistem tempat letak kereta berbayar di kawasan Kompleks Kerajaan di Presint 1 dan Presint Diplomatik sejak 1 Disember lalu hanya mampu 'mengajar' penjawat awam untuk tempoh yang singkat.

Buktinya, apabila mengetahui penguatkuasaan itu hanya membabitkan tempat letak kereta di sekitar Kompleks Perdana Putra, Laman Perdana, Kompleks B dan Kompleks C di Presint 1, kakitangan awam kembali bermaharajalela di Kompleks D dan E.

Pelawat yang sebelum ini boleh menarik nafas lega apabila puluhan petak letak kereta kosong di Kompleks D dan E, sebaliknya hanya mendapati kelegaan itu bersifat sementara.

Ini kerana sebaik menyedari pelaksanaannya di situ masih belum dikuatkuasakan, ratusan kereta penjawat awam kembali menyesakkan kawasan Kompleks D dan E terutama di tempat letak kereta pelawat. Ini menyebabkan tiada ruang langsung untuk pelawat meletakkan kereta.

Perbadanan Putrajaya dalam reaksinya memaklumkan pelaksanaan tempat kereta berbayar di Kompleks D dan E akan dapat dilakukan selepas proses tender berakhir kira-kira tiga bulan lagi.

Sepanjang tempoh itu, pelawat terpaksa bersabar dan menggunakan khidmat P&R walaupun urusan yang hendak dilakukan mungkin memakan masa sekitar 10 minit sahaja seperti memperbaharui lesen memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi pihak polis dan penguat kuasa Perbadanan Putrajaya pula, mereka tiada pilihan selain daripada terpaksa menyempurnakan tugas yang telah diarahkan iaitu menyaman mana-mana kenderaan yang diletakkan di bahu-bahu jalan.

Tanpa bersikap prejudis, tugas yang mereka lakukan memang betul tetapi amat menyakitkan hati bagi yang disaman kerana 'surat cinta' itu berpunca daripada sikap tidak bertimbang rasa penjawat awam yang meletakkan kereta di tempat pelawat.

Kakitangan awam sebenarnya sangat beruntung kerana jabatan masing-masing menyediakan bas khas untuk ke tempat kerja jika meletakkan kereta di P&R. Ini berbeza dengan pelawat yang perlu menaiki bas NadiPutra dan terpaksa berjalan jauh untuk ke tempat yang dituju.

Dan jika kakitangan awam menggunakan bas NadiPutra sekalipun, mereka hanya perlu membayar sekitar RM17 sahaja sebulan. Jumlah itu amat murah dan menguntungkan.

Pihak Perbadanan Putrajaya barangkali perlu lebih bersikap proaktif dalam mempromosikan P&R agar penjawat awam menggunakan perkhidmatan tersebut untuk memenuhkan ribuan tempat letak kereta yang terbiar kosong.

Timbalan Pengarah Perhubungan Awam Perbadanan Putrajaya, Zaharah Selamat sebelum ini memaklumkan bahawa langkah memperkenalkan tempat letak kereta berbayar bertujuan memberikan kemudahan kepada para pelawat mendapatkan tempat meletak kereta.

Selain itu langkah berkenaan bagi mengawal orang ramai meletak kereta di merata-rata tempat.

''Penguatkuasaan sistem bayaran itu dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di kawasan Kom pleks Pejabat Kerajaan di Putrajaya.

''Pemilik kenderaan dinasihatkan agar meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta berbayar yang ditetapkan bagi mengelak daripada dikompaun atau disaman oleh penguat kuasa trafik," katanya.

Barangkali, Perbadanan Putrajaya perlu membuat kaji selidik ke atas penjawat awam untuk mendapatkan punca mengapa mereka enggan menggunakan khidmat P&R.

Rumusan kaji selidik itu dapat membantu mereka mencari jalan penyelesaian, sekali gus memikirkan satu langkah yang lebih efisien untuk mendidik warga penjawat awam agar menggunakan perkhidmatan awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.

Utusan Online

Thursday, January 14, 2010

Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Negeri ditubuh

KOTA KINABALU 13 Jan. - Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) peringkat kerajaan Sabah hari ini menubuhkan Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Negeri bertujuan meningkatkan integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, antara peranan utama pasukan itu ialah melaksana, merangka strategi dan pelan tindakan menerusi program-program integriti.

"Laporan mengenai program integriti ini akan dibuat sebulan dan tiga bulan sekali dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja JKP.

"Bagi memastikan kejayaan setiap perancangan, pelaksanaan dan kejayaan program pembangunan, nilai integriti hendaklah mendasari apa juga tindakan seluruh anggota perkhidmatan awam," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat JKP di Wisma Innoprise, Likas, di sini hari ini.

Musa berkata, pasukan itu akan melakukan pemeriksaan mengejut di semua agensi kerajaan untuk menilai prestasi mereka sebelum dilapor kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Sukarti Wakiman dan ketua jabatan yang berkaitan.

Selain itu, katanya, pasukan tersebut juga akan mengesyor cadangan penambahbaikan kepada agensi-agensi kerajaan itu sekiranya terdapat kekurangan atau kelemahan.

Beliau memberitahu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Nordin Siman mengetuai pasukan itu dan dibarisi pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Pengaduan Awam Negeri dan Unit Pengurusan Integriti Jabatan Ketua Menteri.

Mengenai mesyuarat tersebut, Musa berkata, beberapa ketetapan dibuat bagi memantapkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri dari peringkat bawahan hingga atasan.

Jelasnya, bagi ketua jabatan, mereka perlu komited dalam usaha meningkatkan integriti dan kecekapan di kalangan pegawai di bawah kawalannya tanpa pilih kasih.

"Tindakan yang diambil perlu berasaskan aduan atau maklumat yang diterima. Pada masa yang sama ketua jabatan juga perlu sedia menerima teguran atau idea baru," ujarnya.

Menurut beliau, jika pegawai-pegawai melanggar peraturan, hukuman perlu dijatuhkan segera kerana keadaan itu akan mewujudkan kesedaran dan menguatkan lagi disiplin.

Bagi kakitangan yang melakukan kesalahan pula katanya, tindakan tatatertib akan dikenakan dan perkara itu diputuskan jawatankuasa tatatertib di jabatan masing-masing.

"Kita juga minta setiap aduan orang awam hendaklah diselesaikan dengan segera. Dalam hal ini, Biro Pengaduan Awam perlulah diperkasakan lagi," katanya.

Utusan Online

Tuesday, January 12, 2010

Penjawat awam perlu profesional

PUTRAJAYA 11 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sektor perkhidmatan awam negara berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong oleh kecenderungan politik.

Perdana Menteri berkata, keadaan itu akan membolehkan penjawat awam menterjemahkan dan menyokong hasrat serta dasar kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Ini satu prinsip yang suci dalam negara jika kita hendak menjadikan negara ini maju dan mencapai kejayaan.

"Penjawat awam tidak kira apa jua pandangan peribadi, mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional yang total," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.

Pada majlis yang sama, Najib menyampaikan Sijil MS ISO 9001:2008 kepada SPA dan melancarkan Kaedah Pengambilan Secara Profiling (MyRecruitment) suruhanjaya itu.

Menurut Perdana Menteri, perkhidmatan awam juga perlu berani mencuba kaedah-kaedah baru bagi melaksanakan program transformasi ke arah mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara moden.

Utusan Online

Sunday, January 10, 2010

Kemas hantar memorandum bela nasib 15,000 ahlinya

SEREMBAN 25 Dis. - Kesatuan Keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyerahkan memorandum kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini bagi membuat beberapa tuntutan dalam usaha membela nasib anggotanya.

Presidennya, Ali Majid berkata, langkah itu adalah bagi menyuarakan enam tuntuntan dalam menjamin kehidupan yang lebih bermutu terhadap 15,000 anggotanya yang berstatus kontrak di negara ini.

Menurutnya, memorandum yang telah diserahkan baru-baru ini itu merupakan cadangan terhadap kementerian berkenaan untuk tujuan pelaksanaannya.

''Antara isi kandungan memorandum itu termasuk cadangan memberikan kad kemudahan perubatan kepada anggota Kemas yang telah bersara dan pengkitirafan sijil dan diploma pendidikan awal kanak-kanak (guru Kemas) dari Universiti Malaya yang masih tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Selain itu, antara tuntuntan lain termasuk langkah menaikkan taraf jawatan anggota dari tangga N11 menjadi N17, menaikkan jawatan anggota bertaraf penyelia yang telah berkhidmat selama 30 tahun menjadi pegawai setaraf dengan penjawat awam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ali, memorandum itu juga turut menyuarakan cadangan agar pemberian bantuan turut diberi keutamaan kepada anggota yang telah bersara dalam menjalankan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya lagi, tuntuntan terakhir itu adalah permohonan jawatan tetap dan pencen kepada anggota kemas setelah bersara.

''Diharapkan semua cadangan itu dapat diteliti dan dilaksanakan demi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti kepada semua anggota di negara ini.

''Sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan, ia akan membawa satu perubahan besar kepada anggota dan keluarga kami pada masa akan datang," ujarnya.

Utusan Online