Saturday, April 30, 2011

Sistem ganti PTK bermula 1 Julai

KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.

“Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.
Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.

Utusan Online

Menghargai pekerja

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEPERTI kebiasaan maka sambutan Hari Pekerja 2011 akan diraikan pada Ahad ini. Hari Pekerja mula diiktiraf kerajaan pada 1973 apabila ia mengisytiharkan 1 Mei setiap tahun sebagai cuti umum.

Mulai 1991, kerajaan turut menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja secara tetap setiap tahun sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan pekerja kepada pembangunan negara.

Perhimpunan yang disertai pekerja sektor awam dan swasta juga bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja.

Pada tahun ini, perhimpunan yang bertemakan 'Pekerja Merealisasi Transformasi Negara' akan diadakan pada 7 Mei di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sebagai penghormatan kepada golongan pekerja, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk menyampaikan amanat khas pada perhimpunan berkenaan.
Sebenarnya, keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap nasib golongan pekerja tidak boleh disangkal. Ini terbukti apabila kerajaan telah bersetuju menetapkan gaji minimum seperti yang dituntut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak lebih 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, golongan pekerja sudah tentu menantikan respons kerajaan terhadap beberapa tuntutan lain yang telah dibuat termasuk cadangan pekerja sektor swasta diberikan elaun sara hidup (COLA) RM300 sebulan berikutan kenaikan harga barangan.
Dalam pada itu, sambutan Hari Pekerja 2011 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan diadakan di Ipoh pada Ahad ini.

Satu lagi sambutan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Mei.Bagi penjawat awam mereka sudah pasti ternanti-nantikan apakah lagi berita baik yang akan diumumkan Najib sebagai respons terhadap permohonan CUEPACS sebelum ini.
Antaranya cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan daripada RM180 kepada RM300, jawatan Gred 1 hingga 16 dimansuhkan dan pekerjanya dinaik taraf ke Gred 17 dan diselaraskan kadar COLA kakitangan awam.

Walaupun bukan semua tuntutan berkenaan dapat dipenuhi berikutan kekangan kewangan kerajaan, ia tidak harus dijadikan alasan oleh pekerja untuk tidak bekerja kuat.
Pekerja sektor swasta dan awam sepatutnya terus meningkatkan lagi produktiviti masing-masing supaya matlamat untuk menjadikan Malaysia negara maju pada 2020 tercapai.

Utusan Online

Friday, April 29, 2011

Kecemerlangan SPRM letak pemberi rasuah dalam bahaya

SEKALUNG tahniah patut diberikan kepada pegawai dan penjawat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang 2010.

Ini terbukti apabila buat pertama kalinya SPRM berjaya melakukan tangkapan tertinggi dalam sejarah sejak agensi pencegahan rasuah ditubuhkan pada 1967 di negara ini. Anggota SPRM telah berjaya membuat 944 tangkapan atas kesalahan rasuah pada tahun lepas.

Transformasi dalam SPRM ini dilihat cukup berkesan apabila buat pertama kali juga jumlah pemberi rasuah yang ditangkap melebihi bilangan penerima rasuah.Sebelum ini laporan yang selalu kita baca di surat khabar ialah penerima yang paling ramai ditangkap kerana rasuah. Tetapi tahun lalu menunjukkan perubahan apabila 414 atau 43.8 peratus tangkapan melibatkan pemberi rasuah.

Sepanjang tahun lalu, SPRM berjaya menumpaskan kes-kes rasuah bersindiket seperti perlombongan haram dan penyeludupan pasir, pembalakan haram, pendatang asing tanpa izin dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi. Jika trend semakin ramai bakal penerima suapan menolak rasuah, kita percaya pemberi-pemberi rasuah akan berada dalam kedudukan bahaya. Mereka boleh terdedah untuk ditangkap dan didakwa di bawah undang-undang yang semakin berat.

Semua ini adalah hasil penerapan kesedaran menolak rasuah yang dijalankan di jabatan-jabatan kerajaan. Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, peningkatan yang besar itu kesan daripada langkah-langkah kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai dan penjawat perkhidmatan awam untuk mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah.

Ada baiknya jika buku laporan tahunan SPRM yang diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu diterbitkan untuk bacaan semua penjawat awam dan orang ramai. Dengan cara ini, mereka akan lebih memahami bentuk rasuah dan balasan hukuman jika melakukannya.Jelas sekarang, penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM bukanlah retorik. Anggota SPRM menunjukkan penguatkuasaan tanpa pilih bulu, telus dan menjalankan siasatan secara profesional.

SPRM telah bangkit memulihkan kewibawaan dan imej SPRM yang terjejas sepanjang tahun 2009 berikutan kes kematian Teoh Beng Hock. Sementara kes kematian pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed baru-baru ini diharap tidak mematahkan semangat warga SPRM meneruskan amanah. Hakikatnya, segala langkah dan perancangan strategik untuk meningkatkan pencegahan rasuah kurang berkesan jika tidak disertai kerjasama menyeluruh daripada masyarakat negara ini.

Hindarkan persepsi dan sikap prejudis yang ditiupkan oleh pihak yang tidak mahu SPRM melaksanakan tanggungjawabnya. Jika masalah sikap ini terus membelenggu masyarakat kita dan terus mempersoalkan kerja-kerja SPRM, maka usaha memerangi rasuah akan terjejas.Sebab itu SPRM perlu diberi ruang dan keyakinan untuk melaksanakan amanah merawat penyakit rasuah negara ini.
Jasa dan bakti warga SPRM menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan dedikasi sepanjang tahun 2010 wajar diberi pujian. Tabik hormat kepada SPRM.


Utusan Online

CUEPACS tolak hukuman dalaman

Oleh S Anand Kumar


Kesatuan mahu penjawat awam kena tuduh dapat perbicaraan secara adil

KUALA LUMPUR: CUEPACS tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan hukuman peringkat dalaman terhadap penjawat awam yang terbabit dalam rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa tanpa perlu menunggu perbicaraan atau disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Kesatuan yang mewakili lebih 1.2 juta kakitangan awam di negara ini, sebaliknya mahu pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji cadangan itu bagi memastikan penjawat awam yang dituduh mendapat perbicaraan adil sebelum dijatuhkan hukuman oleh majikan.

Timbalan Presidennya, Azih Muda, berkata CUEPACS bimbang jika dilaksanakan, ia akan menjejaskan keadilan yang sepatutnya dinikmati oleh tertuduh sebelum dijatuhi hukuman.

“Cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana jika penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib tanpa perlu menunggu perbicaraan atau disabitkan kesalahan oleh mahkamah, ia seolah-olah tertuduh tidak mempunyai hak membela diri.

“Jika tertuduh dibuang kerja berdasarkan tindakan peringkat dalaman dan kemudian didapati tidak bersalah oleh mahkamah, bayangkan kesan yang perlu dilalui olehnya dan keluarga selepas itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata ia adalah hukuman yang bakal dihadapi oleh penjawat awam yang terbabit melakukan kesalahan berkenaan apabila pindaan Pekeliling Perkhidmatan Awam (Tatatertib) yang ketika ini sedang diteliti pejabat Peguam Negara, diluluskan kelak.
Hisham berkata, hukuman akan diputuskan pada peringkat dalaman oleh agensi dan jabatan kerajaan tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah kerana perbuatan itu dianggap mencemar dan menjejaskan imej.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memperhalusi cadangan berkenaan secara terperinci.

“Cadangan ini memerlukan kajian mendalam kerana bentuk hukuman disyorkan amat berat. Bersalah atau tidak bersalah wajar diputuskan oleh mahkamah selepas melalui proses perundangan yang sewajarnya,” katanya.



Berita Harian Online

Minda Pengarang: Tindakan dalaman perlu dilaksana secara adil elak kakitangan teraniaya

KETEGASAN kerajaan membanteras penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah kalangan penjawat awam yang tidak amanah, termasuk mengenakan tindakan dalaman secara terus pada peringkat agensi dan jabatan perlu dilihat dari perspektif yang betul. Tindakan ini bukan semata-mata mahu menghukum atau menyusahkan kakitangan sektor awam, sebaliknya lebih kepada menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada, tetapi dilaksanakan sambil lewa oleh ketua jabatan atau agensi berkaitan.

Dalam membendung kegiatan rasuah yang semakin membimbangkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan kebelakangan ini, kita mengalu-alukan langkah kerajaan mahu menguatkuasakan pekeliling berkaitan tatatertib bagi membolehkan tindakan dalaman diambil secara terus pada peringkat agensi dan jabatan, bukannya menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan. Tindakan itu yang dicadangkan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Berkaitan Rasuah, Datuk Hisham Nordin bertujuan membendung gejala berkenaan yang bukan saja melanggar peraturan tatatertib, tetapi kerana dianggap sebagai kesalahan jenayah. Tindakan cepat pada peringkat jabatan boleh melindungi imej agensi atau jabatan daripada tercemar sebelum ia dibawa ke mahkamah.

Justeru, apabila Pekeliling Perkhidmatan Awam (Tatatertib) itu dipinda, kakitangan sektor awam terutama yang berkhidmat dalam kategori ‘panas’ perlu lebih berhati-hati kerana gerak geri mereka dipantau secara dekat oleh ketua di bahagian masing-masing. Langkah pemantauan itu selaras dengan pelbagai tindakan yang diambil kerajaan bagi memastikan kakitangan pada semua peringkat, termasuk pegawai atasan, menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa sebarang penyelewengan. Pelaksanaan program pembangunan kerajaan bergantung penuh kepada kakitangan sektor awam. Sudah tentu pentadbiran awam yang cekap dapat membantu mempercepatkan lagi urusan kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara. Pemimpin boleh merumuskan sesuatu program, tetapi pelaksanaannya memerlukan kerjasama dan sokongan erat barisan kakitangan yang bukan saja cekap tetapi jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Menerusi pindaan itu, tindakan menahan gaji, menurunkan pangkat dan dibuang kerja boleh dikenakan ke atas pegawai awam yang terbabit dalam rasuah, menyeleweng atau salah guna kuasa. Ketika ini mana-mana kakitangan awam yang didapati melakukan kesalahan berkenaan hanya diberikan amaran bertulis dan lisan. Mereka mungkin juga ditukarkan ke bahagian lain tanpa menjejaskan keistimewaan dan manfaat perkhidmatan, sedangkan ada peruntukan hukuman lebih tegas boleh dikenakan ke atas mereka mengikut pekeliling tatatertib. Apapun cadangan yang dikemukakan, kita harap ia hendaklah dilaksanakan secara adil tanpa prejudis. Sebarang tuduhan ke atas mana-mana kakitangan perlu disiasat rapi terlebih dulu agar ia tidak menyebabkan berlaku penganiayaan ke atas mana-mana pihak yang dituduh.

Selepas semua prosedur dipenuhi dan didapati ada bukti, barulah pihak terbabit dikehendaki menghadapi inkuiri dalaman. Jika dapat dibuktikan pembabitan mereka dalam sesuatu tuduhan, sewajarnya tindakan pada peringkat jabatan diambil, sementara menunggu pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Kita juga berharap cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan di kerusi panas sesebuah jabatan dilaksanakan segera. Berada terlalu lama di sesuatu tempat akan mendedahkan kakitangan kepada pelbagai elemen yang boleh mendorong kepada penyelewengan kuasa serta rasuah.


Berita Harian Online

Thursday, April 28, 2011

Minda Pengarang: Kenaikan gaji tentera dapat bantu tingkat profesionalisme ATM

CADANGAN Kementerian Pertahanan memperkenalkan skim gaji baru anggota tentera selepas kali terakhir disemak pada 2004 adalah wajar dan kena pada masanya. Sebagai pasukan keselamatan yang berada di barisan hadapan negara, adalah wajar kebajikan anggota tentera diberi perhatian serius oleh kerajaan. Semakan gaji anggota tentera yang dibuat pada Oktober 2004 membabitkan kenaikan antara satu hingga 42.85 peratus atau antara RM44.66 hingga RM719.01, bergantung kepada pangkat dan kelayakan.

Kita percaya anggota tentera mengharapkan skim gaji baru yang dicadangkan itu, jika tidak berlaku kenaikan tinggi sekalipun, setidak-tidaknya menyamai skim gaji penjawat awam lain. Dengan menyediakan skim gaji yang setimpal dengan bidang tugas, sudah pasti ia akan turut menaikkan moral setiap anggota tentera terbabit. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mengumumkan cadangan itu kelmarin, menjelaskan jika skim itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 115,000 anggota tentera. Skim baru itu dibuat bagi mengiktiraf sumbangan anggota tentera, terutama dengan kewujudan lebih ramai pegawai bertaraf profesional seperti juruterbang, jurutera, pegawai perubatan dan pelbagai bidang lain.

Kita yakin skim gaji baru yang dicadangkan itu bakal menguntungkan anggota tentera dari segi jangka panjang termasuk soal gaji pokok minimum, gaji maksimum, kenaikan gaji tahunan, penambahan tangga gaji dan kenaikan imbuhan tetap khidmat tentera bagi setiap peringkat, termasuk prebet hingga koperal. Ketika ini, gaji minimum yang diterima prebet hingga Pegawai Waran I (PWI) antara RM880 hingga RM2,303 sebulan masih rendah berbanding penjawat awam lain, termasuk yang diterima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, dengan kenaikan kos sara hidup semasa adalah perlu skim gaji baru itu diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan. Ini berdasarkan perbelanjaan isi rumah yang perlu ditanggung anggota tentera terbabit. Kita percaya anggota tentera dan keluarga masing-masing juga mahu hidup selesa, apatah lagi yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang mana kos sara hidupnya begitu tinggi.

Setiap anggota tentera perlu sentiasa siap siaga bagi memastikan negara dapat menangkis sebarang ancaman musuh secara tiba-tiba, sama ada dari luar mahu pun dalam negara. Khidmat mereka juga boleh dimanfaatkan pada bila-bila masa sekiranya negara dilanda bencana.

Melalui skim gaji yang lebih baik, ia akan turut meningkatkan lagi tahap profesionalisme angkatan tentera kita. Ini secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai belia, terutama berpendidikan tinggi menyertai bidang ketenteraan. Kita tentunya tidak mahu melihat ada anggota tentera beralih ke sektor lain, termasuk swasta disebabkan skim gaji ditawarkan lebih menarik. Jika keadaan itu berlaku, ia sudah tentu merugikan negara kerana kehilangan anggota yang cekap dan berpengalaman.
Kita yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab mengumumkan perubahan struktur gaji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2004, dapat melihat perkara ini dari perspektif yang lebih luas demi menjaga kebajikan anggota tentera. Pada masa sama, kita juga mahu setiap anggota tentera pelbagai jawatan dapat meningkatkan tahap profesionalisme mereka, sekiranya skim gaji baru yang dicadangkan itu mendapat kelulusan kerajaan.




Berita Harian Online

Tak tunggu perbicaraan

Oleh Norfatimah Ahmad

Peguam Negara, JPA teliti pindaan pekeliling tatatertib garis tindakan terhadap penjawat awam tak amanah

PUTRAJAYA: Penjawat awam yang terbabit dalam kegiatan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa berhadapan tindakan sama ada ditahan gaji, diturun pangkat atau dibuang kerja tanpa menunggu mereka dibicara atau disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Peruntukan untuk tindakan dalaman itu dicadangkan dalam pindaan Pekeliling Perkhidmatan Awam (Tatatertib) yang sedang diteliti Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai ganti kepada hukuman ringan seperti amaran bertulis dan lisan sekarang.


Berita Harian Online

Lebih ramai pemberi rasuah ditangkap berbanding penerima

KUALA LUMPUR 28 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menahan lebih ramai pemberi rasuah berbanding penerima sepanjang tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, daripada 944 tangkapan rasuah yang dibuat tahun lalu, 430 daripadanya merupakan pemberi rasuah berbanding 380 penerima.

Jelas beliau, ia merupakan peningkatan sebanyak 298 peratus berbanding 108 tangkapan di kalangan pemberi rasuah pada 2009 manakala penerima rasuah pula sebanyak 294 tangkapan.

"Ini merupakan peningkatan yang amat besar hasil usaha kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai dan penjawat awam mengenai kesan dan tindakan sekiranya mengamalkan rasuah.

"Malah, ia juga boleh dijadikan indikator mengenai peningkatan integriti di kalangan pegawai perkhidmatan awam," katanya selepas majlis penyerahan Laporan Tahunan SPRM 2010 kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan sepanjang tahun lepas, 84 daripadanya membabitkan kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu peningkatan sebanyak 24 tangkapan berbanding tahun sebelumnya.

Bagi kesalahan penggubahan wang haram pula, jelasnya, empat tangkapan dibuat sepanjang 2010 berbanding hanya satu tangkapan pada tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 45 tangkapan pula dibuat tahun lepas membabitkan kesalahan lain termasuk di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan iaitu peningkatan berbanding 29 kes pada 2009.

Menurutnya, kesalahan menggunakan kedudukan dan jawatan merupakan satu-satunya jenis kesalahan rasuah yang menurun jumlah tangkapannya tahun lalu iaitu hanya satu tangkapan berbanding lapan pada 2009.

Utusan Online

SPRM catat 944 tangkapan tahun lalu, tertinggi sejak 1967

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat 944 tangkapan berhubung kesalahan rasuah sepanjang tahun lalu, tangkapan tertinggi dalam sejarah sejak agensi pencegahan rasuah diwujudkan pada 1967.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 414 atau 43.8 peratus tangkapan adalah di kalangan pemberi rasuah, peningkatan ketara berbanding tangkapan terhadap penerima rasuah seperti mana yang dicatatkan tahun-tahun sebelumnya. "SPRM memaklumkan bahawa buat pertama kali juga jumlah orang yang ditangkap kerana memberi rasuah dengan orang yang ditangkap kerana menerima rasuah sudah bersilang.

"Ini adalah peningkatan yang besar hasil daripada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam untuk mengambil tindakan atas mereka yang memberi rasuah," katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku laporan tahunan SPRM kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah tangkapan yang berbeza terhadap mereka yang memberi berbading yang menerima rasuah juga adalah satu indikator mengenai peningkatan integriti di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam bertambah baik sejak kempen "Hindar Menerima: Perangi Pemberi Rasuah" dilancarkan pada 26 April tahun lalu.

Abu Kassim berkata, jumlah 944 tangkapan keseluruhan itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 88 peratus berbanding 500 tangkapan yang dibuat tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 293 tangkapan adalah melibatkan penjawat awam, 102 kakitangan sektor swasta, 545 orang awam dan empat tangkapan membabitkan ahli parti politik.
Beliau berkata, seramai 381 orang dituduh di mahkamah tahun lalu, peningkatan 207 orang atau 119 peratus berbading tahun sebelumnya.

"Kadar sabitan kes di peringkat perbicaraan awal juga berjaya ditingkatkan dari 64 peratus pada 2009 kepada 71 peratus tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat selama lima hari antara 9 hingga 18 Mei depan bagi membuat analisa dan laporan sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selewat-lewatnya Jun ini bagi membolehkan ia dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sidang yang akan datang.

Ditanya mengenai status cadangan jawatankuasa itu kepada Perdana Menteri tahun lalu, supaya kuasa pendakwaan kes rasuah diletakkan bawah SPRM dan bukan bawah Jabatan Peguam Negara Mohd Radzi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima jawapan khusus mengenai perkara itu.

"Setakat ini tiada maklum balas khusus berkaitan cadangan itu, mungkin kerajaan melihat bahawa SPRM berkembang. Jawapan itu mungkin lebih pada indirect respon atau dalam kata lain memperluaskan skop SPRM dengan membekalkan lebih banyak pegawai pendakwaan yang senior bagi menjalankan kes-kes pendakwaan," katanya.

Jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Akta SPRM 2008 itu bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan SPRM dan menerima ulasan daripada Lembaga Penasihat SPRM.



BERNAMA

Tiada lagi tapisan keselamatan untuk pegawai lantikan SPA

KUALA LUMPUR 28 April — Pegawai yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) ke perkhidmatan awam tidak lagi tertakluk dengan tapisan keselamatan untuk pengesahan pelantikan dan pengesahan dalam perkhidmatan.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Perhubungan Korporat SPA, Radziah Mohd. Sharif berkata, sehubungan itu, SPA telah membatalkan syarat tapisan keselamatan dalam surat tawaran yang dikeluarkan, berkuat kuasa serta-merta.

"Ia dibuat selaras dengan keputusan kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2011, yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam berkaitan Pindaan Pelaksanaan Tapisan Keselamatan Bagi Pegawai Yang Dilantik Dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 20 April 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pegawai terlibat masih perlu lulus tapisan keselamatan, sama ada sebelum atau setelah disahkan dalam perkhidmatan dan mereka yang tidak lulus boleh ditamatkan perkhidmatan, mengikut peraturan yang berkuat kuasa. — Bernama

Utusan Online

Amaran pentadbiran, hukuman ringan paling kerap ke atas penjawat awam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa hukuman amaran pentadbiran dan amaran merupakan kategori hukuman ringan paling kerap dikenakan terhadap penjawat awam berikutan kesalahan tatatertib.

"Hukuman ringan sedemikian dilihat tidak mencerminkan hasrat sebenar kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam benar-benar bersih dan bebas daripada segala amalan negatif," menurut Laporan Tahunan SPRM 2010. Menurut laporan itu, 260 keputusan tindakan tatatertib daripada Ketua Jabatan atau agensi diterima berbanding 182 keputusan diterima pada 2009.

Daripada jumlah itu, 135 dikenakan hukuman amaran pentadbiran dan amaran pada 2010, berbanding 90 pada tahun sebelumnya.

Sejumlah 27 kes diputuskan bebas tahun lalu walaupun Timbalan Pendakwa Raya SPRM memperakukan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat.

Mengenai hukuman berat, 12 kes dikenakan dikenakan tindakan buang kerja dan tiga kes diturunkan pangkat.

"Namun, jumlah tersebut mewakili hanya 5.8 peratus daripada jumlah keseluruhan hukuman dijatuhkan Pihak Berkuasa Tatatertib ke atas kesalahan tatatertib yang dilakukan," menurut laporan itu.
Pihak Berkuasa Tatatertib turut mengenakan hukuman selain daripada yang disenaraikan di bawah peraturan 38 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993.

Antaranya ialah penahanan kerja, penggantungan kerja, tindakan surcaj dan sebagainya di mana masing-masing melibatkan 27 hukuman pada tahun lepas dan 24 pada 2009.

Sementara itu, Laporan SPRM juga mendedahkan kesalahan perlanggaran tatakelakuan dan tatatertib yang sering dilakukan penjawat awam adalah tidak melaksanakan tugas dan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk kepentingan diri iaitu sebanyak 204 laporan.

Selain itu, 72 laporan SPRM dikemukakan kepada Ketua Jabatan kerana mengemukakan tuntutan palsu atau pengesahan yang mengandungi butiran palsu berbanding 64 pada 2009.

Sebanyak 51 laporan kerana tidak bersikap tidak jujur, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, cuai, melakukan penyelewengan dan kurang cekap melaksanakan tugas-tugas melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan jabatan berbanding 28 laporan pada tahun sebelumnya.



BERNAMA

Wednesday, April 27, 2011

Skim gaji baru manfaat 115,000 anggota tentera

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Mohammad Ishak

Draf cadangan akan serah kepada JPA untuk penelitian

JERTIH: Skim gaji baru anggota tentera yang dicadangkan Kementerian Pertahanan dijangka akan memberi pelbagai manfaat dan faedah kepada kira-kira 115,000 jika mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata draf cadangan skim gaji baru itu akan diserahkan kepada JPA untuk kajian dan penelitian sebelum dibentangkan ke Kabinet untuk proses kelulusan.

“Apa yang kita harapkan, skim gaji baru itu adalah bertujuan mengiktiraf sumbangan anggota tentera sama seperti penjawat awam yang lain, termasuk anggota polis yang akan menikmati skim gaji baru” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kali terakhir gaji anggota tentera dinaikkan ialah pada 1 Oktober 2004, membabitkan kenaikan gaji antara satu hingga 42.85 peratus atau antara RM44.66 hingga RM719.01, bergantung kepada pangkat dan kelayakan.

Skim gaji baru yang dicadangkan kementerian adalah lebih baik dan setimpal dengan tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pasukan tentera meliputi TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat dan lain-lain cabang dalam angkatan bersenjata negara.

Terdahulu pada majlis di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut, Terengganu, Ahmad Zahid berkata, kementeriannya sedang meneliti skim gaji baru anggota tentera untuk semua peringkat sesuai dengan transformasi sedang dilaksanakan kepada bidang ketenteraan.
Katanya, skim baru itu dirangka sebagai pengiktirafan kepada bidang ketenteraan yang sekurang-kurangnya diharapkan dapat menyamai skim gaji penjawat awam di lain-lain kementerian.

Beliau berkata, oleh kerana ada pegawai bertaraf profesional dalam angkatan tentera seperti juruterbang, jurutera, pegawai perubatan dan pelbagai bidang lain maka sewajarnya skim gaji baru dirangka sebagai pengiktirafan kepada golongan ini.

“Hampir separuh daripada anggota tentera terbabit dalam bidang profesional dan teknikal, jadi patutlah gaji anggota tentera tidak dibiarkan ketinggalan jauh berbanding profesional yang berada di luar kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, langkah memperkenalkan skim gaji baru itu juga bagi memastikan golongan profesional dalam angkatan tentera tidak mudah mengambil tindakan meninggalkan bidang kerja mereka semata-mata untuk mengejar gaji yang lebih baik di luar.

“Sekiranya berlaku sedemikian, ia akan merugikan kerajaan bagi mendapatkan pengganti yang berpengalaman untuk angkatan tentera kita,” katanya.

Beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini kerana banyak memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi anggota tentera dan keluarga mereka.



Berita Harian Online

LDM naik jawatan secara fleksibel

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

LUMUT 27 April – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melaksanakan proses naik taraf jawatan secara fleksibel bagi menjadikan kerjaya bersama pasukan itu lebih menarik dan diminati masyarakat.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, langkah itu juga perlu bagi memastikan TLDM mampu mengekalkan anggota yang berkemahiran tinggi menerusi penawaran gaji yang setimpal tanpa menukar jawatan.“Kalau perjawatan itu kekal pada satu-satu pangkat tetapi gaji sahaja naik, kita akan kerugian kerana kepakaran yang ada pada mereka tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Istiadat Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-77 di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut kepada tiga penerima iaitu Komander Nazri Sharif, Leftenan Komander Mohd. Maznan Mohd. Said dan Leftenan Komander Jason Salomon John.Ketiga-tiga pegawai tersebut menerima anugerah tersebut atas sumbangan dalam menjayakan Operasi Fajar di Teluk Aden, Somalia termasuk dalam peristiwa pembebasan kapal MT Bunga Laurel pada 21 Januari lalu.

Anugerah Bintara Terbaik disandang Pegawai Waran 1, Nik Ezanee Nek Anom manakala Anugerah Laskar Terbaik menjadi milik Laskar Kanan, Luye Aru.
Abdul Aziz berkata, TLDM telah mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan lanjut.“Pada dasarnya JPA bersetuju dengan cadangan tersebut dan ia patut diguna pakai dalam perkhidmatan lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tegasnya.

Beliau menambah, antara perjawatan yang perlu diberi perhatian ialah anggota yang berkhidmat di kapal selam, juruteknik dan cawangan udara.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz memberitahu seramai 183 anggota TLDM telah diberhentikan kerja sepanjang tahun lalu kerana melanggar disiplin dan peraturan profesion.Katanya, tindakan tersebut diharap menjadi pengajaran kepada anggota lain supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej TLDM.

Utusan Online

Wednesday, April 20, 2011

Konsep 4P patut jadi budaya kerja warga PDRM

SAYA berpendapat konsep 4P (Pelindung, Proaktif, Prestasi dan Berorientasikan Masyarakat) yang diuar-uarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sempena Hari Polis ke-204 baru-baru ini bukan saja harus difahami sepenuhnya di semua peringkat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi perlu juga diserapkan sebagai budaya kerja setiap anggotanya.

Di sebalik kejayaan mengurangkan indeks jenayah jalanan 35 peratus dan indeks jenayah lain 15 peratus yang melebihi sasaran Bidang Keberhasilan Negara (NKRA), pihak polis sebenarnya tidak harus puas hati tetapi hendaklah terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memerangi jenayah. Pihak polis harus berterusan meningkatkan usaha menambahbaik persepsi awam dan memenangi hati rakyat, terutama mereka yang sinis dan curiga terhadap prestasi pasukan keselamatan itu. Wajarlah pihak polis menjadikan institusi berkenaan lebih mesra rakyat berorientasikan perkhidmatan dan sentiasa peka soal integriti.

Sebagai badan bukan kerajaan terbesar di Malaysia yang bertanggungjawab mencegah jenayah melalui kesedaran dan pendidikan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terus bekerjasama dengan pihak polis untuk mengurangkan jenayah di negara ini.

Di samping mengharapkan prestasi polis dipertingkat, keperluan meningkatkan skim gaji, faedah dan insentif lain perlu diambil kira agar kebajikan mereka sepadan pengorbanan diberikan.

TAN SRI LEE LAM THYE, Naib Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia.


Berita Harian Online

Minda Pengarang: Langkah KWSP permudah urusan pengeluaran patut dicontohi agensi awam lain

KEMAJUAN pesat negara dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini membolehkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan perkhidmatan kaunter lebih sistematik, cepat dan mudah kepada pelanggan. Ia juga menepati hasrat kerajaan memodenkan lagi pentadbiran awam menerusi pengenalan cara inovatif dan kreatif bertujuan memberi keselesaan kepada pelanggan, di samping memendekkan tempoh urusan yang sebelum ini mungkin mengambil masa yang lebih lama.

Pembaharuan kerajaan ini dimulakan sejak 1980-an lagi apabila pentadbiran negara ketika itu memperkenalkan Pusat Pembayaran Setempat bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran bil utiliti dan cukai pintu, yang masih wujud sehingga sekarang. Kelmarin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelaksanaan cara mudah bagi mereka yang mencapai usia 50 dan 55 tahun serta yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta untuk mengeluarkan simpanan tanpa perlu melalui proses lama yang rumit. Cara baru ini hanya memerlukan mereka membawa MyKad dan buku bank ke agensi berkenaan. Tiada borang perlu diisi dan tiada salinan dokumen perlu dihantar bersama.

Pencarum juga boleh membuat pengeluaran di mana-mana kaunter KWSP dan kelulusan diberikan serta-merta selepas kelayakan pengeluarannya disahkan. Tujuannya, seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, adalah untuk mempertingkatkan tahap penyampaian perkhidmatan untuk manfaat ahli. Bagaimanapun, pemegang kad pengenalan polis dan tentera atau mereka yang masih memegang kad pengenalan lama perlu melalui proses lama dengan mengisi Borang KWSP9 dan mengemukakan salinan kad pengenalan dan salinan buku bank. Sebelum ini beberapa jabatan, termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah melakukan perubahan bagi mempercepatkan urusan mereka dengan orang ramai. Pelbagai usaha dilakukan bagi memperkenalkan cara inovatif untuk memudahkan lagi urusan yang sebelum ini rumit dan mengambil masa lama untuk diproses.

Cara baru ini membuktikan urusan pentadbiran awam sebenarnya boleh dilakukan dengan cepat sekiranya ada usaha jabatan atau agensi terbabit melakukan perubahan dan pembaharuan. Penggunaan komputer dalam urusan kaunter sudah tentu dapat menjimatkan masa kerana maklumat diperoleh di hujung jari. Urusan memohon atau memperbaharui pasport yang sebelum ini mengambil masa sebulan atau lebih, kemudian dipendekkan kepada tiga hari dan kini boleh disiapkan dalam tempoh sejam selepas pembayaran dijelaskan. Selain itu, KWSP, imigresen dan JPN juga mempunyai banyak cawangan di bandar besar bagi mengurangkan kesesakan orang ramai bertujuan mengurangkan tempoh menunggu. Kita berharap sistem pengeluaran cara mudah diumumkan KWSP itu mampu dilakukan dengan berkesan tanpa masalah atau kelewatan.

Sebagai langkah memastikan kelancarannya, agensi simpanan wang pekerja itu hendaklah menentukan bahawa perkhidmatan terbarunya itu juga boleh dinikmati di semua cawangannya di seluruh negara. Adalah diharapkan pengeluaran cara mudah dan cepat itu tidak menyebabkan kesilapan yang mengakibatkan kerugian kepada pencarum. Seiring arus pemodenan negara dan pentadbiran awam, sistem baru yang diperkenalkan jabatan tertentu, termasuk KWSP wajar jadi contoh serta ikutan agensi lain, terutama yang berurusan dengan orang ramai.



Berita Harian Online

Tuesday, April 19, 2011

Syor henti ambil lulusan PMR

Oleh Azidan Nahar

CUEPACS mahu penjawat awam dengan Gred A diberikan gaji lebih tinggi

JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sudah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya tidak lagi mengambil penjawat awam berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ke bawah. Cadangan itu selaras dengan tuntutan CUEPACS sebelum ini, yang mahu kerajaan menghapuskan Gred 1 hingga 16 dalam Skim Perkhidmatan Awam bagi membolehkan mereka diberikan gaji lebih tinggi bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini 650,000 penjawat awam berada dalam Gred 1 hingga 16 merangkumi pelbagai jawatan membabitkan semua kementerian.

“CUEPACS tidak mahu lagi ada kakitangan awam memegang sijil PMR, kita mahu semua Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita mahu kakitangan dengan Gred A... pemandu sudah ada SPM, banyak jabatan sudah naik taraf gred penjawat awam seperti tukang masak, operator sistem dan operator telefon.

“Semua sudah setaraf dan memiliki Gred 17,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bagi menerangkan isu semasa CUEPACS bersama penjawat awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

CUEPACS bulan lalu mengemukakan lima tuntutan baru kepada JPA termasuk penghapusan Gred 1 hingga 16 membolehkan penjawat awam berkenaan terus ditempatkan pada Gred 17 dengan gaji RM820 sebulan ketika ini atau RM920 jika cadangan gaji minimum yang dikemukakan pihaknya kepada JPA pada 1 Julai 2007, dipersetujui kerajaan dalam kajian semula Skim Saraan Malaysia (SSM).
Sehubungan itu, katanya, jika cadangan itu diterima JPA, kumpulan pekerja berkenaan akan mendapat suntikan baru apabila meraih pendapatan lebih tinggi berbanding sekarang.

Beliau berkata, pada ketika ini penjawat awam Gred 1 hingga 16 mempunyai gaji permulaan kira-kira RM647 dan apabila cadangan berkenaan diluluskan, kumpulan terbabit boleh menerima gaji permulaan dicampur elaun lain kira-kira RM900.

“Pendapatan gred pekerja ini di bawah RM3,000 sebulan, ia hanya cukup makan, jika mereka berkhidmat selama 25 tahun baru dapat RM3,000. Jika mereka terus ditempatkan pada Gred 17, gaji permulaan mereka ialah kira-kira RM820 sebulan dan boleh mencapai sehingga RM3,500 sebelum bersara.

“Kita tidak mahu terlalu ramai kakitangan kerajaan buat kerja sambilan kerana rakyat dan pelanggan akan mempertikaikannya, kita mahu mereka fokus kepada kerja, kita tidak mahu lihat lagi selepas ‘punch card’ terus mereka buat kerja sambilan kerana bimbang tidak cukup duit,” katanya.

Omar berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tuntutan terbabit dan menjadi hadiah bermakna buat penjawat awam menjelang sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei nanti.

Mengenai pekerja kontrak, Omar meminta jabatan kerajaan supaya tidak membuang pekerja terbabit kerana ia sesuatu yang tidak adil kepada mereka yang sebahagian daripada mereka sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

Katanya, ketika ini terdapat 45,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada antara mereka sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.

“Saya minta semua agensi kerajaan supaya jangan memberhentikan pekerja kontrak ini, biarlah perkhidmatan mereka terus disambung supaya tidak menjadi beban kepada keluarga, ada suami isteri yang berpisah kerana tidak ada kerja, umur sudah 50 tahun jika berhenti tiada siapa nak ambil bekerja lagi. Pekerja asing pun kita jaga dengan baik, tetapi pekerja tempatan sendiri kita tidak jaga.

“Saya juga merayu kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya dapat memberi ruang kepada mereka untuk menyambung kontrak, jika boleh sehingga 58 tahun,” katanya.




Berita Harian Online

Thursday, April 14, 2011

Hisan dilantik Ketua Polis Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai kanan bagi mengisi kekosongan beberapa jawatan ketua polis negeri selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam berkuat kuasa serta-merta.
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengumumkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Polis Selangor serta dinaikkan gred ke Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) B.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani dinaikkan pangkat menjadi Ketua Polis Pahang menggantikan Datuk Robiah Abd Ghani manakala kekosongan Ketua Polis Kedah diisi Datuk Ahmad Ibrahim yang sebelum ini Timbalan Pengarah Pengurusan-Perkhidmatan/Perjawatan, Bukit Aman.
Sementara itu, pertukaran pada Kontinjen Kuala Lumpur membabitkan jawatan Ketua Polis dengan Datuk Zulkifli Abdullah yang sebelum ini Ketua Polis Perak dinaikkan gred ke Jusa B menggantikan ketua polis sebelumnya, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

Timbalannya kini digantikan dengan Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol), Datuk Amar Singh menggantikan Datuk Abdul Samah Mat.

Tiga pengarah jabatan iaitu Pengarah Cawangan Khas, Datuk Akhil Bulat, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Khalid Abu Bakar dinaikkan ke gred Jusa A.
Di peringkat negeri, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Shariff dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob dinaikkan ke gred Jusa B

Harian Metro Online

Warga ATM dilatih di Perhebat sebelum bersara

KUALA LUMPUR 14 Jun - Setiap anggota tentera yang bakal bersara akan menjalani latihan peralihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) untuk mempersiapkan diri bagi mengharungi kehidupan sebagai orang awam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perhebat menawarkan 38 jenis kursus antaranya pembangunan keusahawanan, kejuruteraan automotif, kejuruteraan elektrik dan elektronik, binaan dan kejuruteraan serta pengurusan perkhidmatan katering.

"Ini sejajar dengan hasrat kerajaan membekalkan mereka dengan ilmu mengikut kecenderungan supaya dapat membina hidup baru selepas bersara," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Utusan Online

Monday, April 11, 2011

Najib saran SPRM cari alternatif

Oleh Norfatimah Ahmad

Konsep penugasan semula mampu tangani masalah kekurangan kakitangan

SUNGAI BULOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran mencari alternatif dan lebih kreatif dalam menangani masalah kekurangan anggota berkaitan keselamatan di agensi itu, termasuk melaksanakan konsep penugasan semula tanpa perlu menambah kakitangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah lebih berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelak birokrasi serta penjimatan wang rakyat perlu diambil kira dalam membuat keputusan berhubung perkara ini. Beliau berkata, tahun lalu, konsep penugasan semula dilaksanakan dalam pasukan polis apabila pegawai dan anggotanya yang sebelum itu bertugas di bahagian pentadbiran di pejabat, ditugaskan membuat rondaan bagi menambah anggota secara segera berbanding pengambilan baru. “Ada juga yang boleh dilakukan tanpa menambah jawatan. Ia sama seperti polis yang kini ada tambahan lebih 30,000 anggota untuk lakukan rondaan kerana ambil langkah berfikir secara kreatif dan ia menjimatkan wang negara.

“Pengambilan anggota baru adalah langkah terakhir yang sepatutnya dilaksanakan jika suruhanjaya berkenaan tidak mempunyai sebarang pilihan lain,” katanya selepas melancarkan 1Malaysia Cardiff City Junior Football League (1MCC-JFL), di Pusat Penyelidikan Getah Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaafar memaklumkan pihaknya memerlukan kira-kira 800 anggota lagi bagi memantapkan aspek keselamatan bangunan dan individu yang berurusan di pejabat suruhanjaya itu di seluruh negara.

Sehubungan itu, pihaknya mengemukakan permohonan fasa pertama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengisi 134 jawatan berkenaan. Ketika ini, hanya 31 pegawai SPRM dan 90 pengawal keselamatan menjalankan tugas berkaitan keselamatan di seluruh negara membabitkan ibu pejabat SPRM, 15 ibu pejabat negeri dan 19 cawangan negeri di beberapa daerah.
Isu berkaitan keselamatan timbul berikutan kes Penolong Pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu, selepas datang ke pejabat SPRM pada kira-kira jam 8.30 pagi kerana hendak berjumpa pegawai penyiasat.

Perdana Menteri juga berkata, SPRM seharusnya membuat keputusan terbaik selepas terlebih dulu berfikir secara kreatif kerana matlamat kerajaan adalah untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang efisien dan produktif.

“Kita tidak boleh terus tambah perjawatan begitu saja kerana ini memerlukan perbelanjaan wang rakyat yang besar hingga menyebabkan kita tidak boleh gunakan wang itu bagi program lain untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Berkaitan inkues kematian Ahmad Sarbani, Najib berkata, ia akan dilaksanakan jika hasil siasatan menemui wujud keraguan atas kematian pegawai kastam terbabit.



Berita Harian Online

Sunday, April 10, 2011

SPRM perlukan 800 anggota

Oleh Norfatimah Ahmad dan Norakmah Mat Youb

Aspek keselamatan, individu berurusan di pejabat suruhanjaya dimantap

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan kira-kira 800 anggota lagi bagi memantapkan aspek keselamatan membabitkan bangunan dan individu yang berurusan di pejabat suruhanjaya itu di seluruh negara. Ketika ini, hanya 31 pegawai SPRM dan 90 pengawal keselamatan menjalankan tugas berkaitan keselamatan di seluruh negara membabitkan ibu pejabat SPRM, 15 ibu pejabat negeri dan 19 cawangan negeri di beberapa daerah. Selain itu, pejabat SPRM yang terletak di bangunan guna sama di tingkat atas dan tidak mempunyai aras bawah pula membabitkan Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Labuan, manakala pejabat cawangan pula di Sibu dan Miri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaafar, berkata sebagai permulaan, pihaknya mengemukakan permohonan fasa pertama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengisi 134 jawatan berkenaan.

“Kita mengharapkan tambahan 134 anggota untuk menjalankan tugas berkaitan keselamatan itu dapat segera dipenuhi bagi memastikan keselamatan fizikal membabitkan persekitaran bangunan pejabat SPRM termasuk dokumen dan harta benda di dalamnya serta individu yang berurusan dengan SPRM, terutama orang yang kena tuduh, orang yang disyaki, saksi atau pengadu sentiasa dalam keadaan selamat sepanjang tempoh masa berada di premis suruhanjaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Zakaria mengumumkan arahan terkini SPRM iaitu semua individu yang berurusan dengannya hendaklah diselesaikan di aras bawah pejabat milik sendiri SPRM atau diawasi sepanjang masa berada di premis suruhanjaya itu.
Ia menyusul berikutan kes Penolong Pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, Rabu lalu, selepas datang ke pejabat SPRM pada kira-kira jam 8.30 pagi kerana hendak berjumpa pegawai penyiasat.

Mengenai kerja-kerja pemasangan jeriji di pejabat SPRM, Zakaria berkata, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM sudah diarah supaya mengumpul maklumat berkaitan perkara itu, termasuk pejabat SPRM yang memerlukan struktur tambahan itu dengan segera.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Profesor Madya Dr P Sundramoorthy, berkata dasar membabitkan keselamatan saksi, pengadu dan orang kena tuduh dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh ditambah baik lagi bagi mengembalikan semula kredibiliti badan bebas itu.

“Ini termasuk memperbanyakkan lagi kamera litar tertutup (CCTV) terutama di bilik siasatan, memberi latihan lengkap berkaitan proses siasatan kepada setiap kakitangan terbabit dan memastikan hanya mereka yang layak dibenarkan bekerja di suruhanjaya itu,” katanya.


Berita Harian Online

Tambahan anggota jabatan kerajaan hanya jika tiada pilihan lain: PM

SUBANG: Datuk Seri Najib Razak berkata penambahan perjawatan bagi jabatan kerajaan hanya akan dilakukan sekiranya tiada pilihan lain.

Perdana Menteri berkata, selain mengelak birokrasi, pertambahan jawatan tidak boleh dilakukan begitu sahaja kerana ia memerlukan perbelanjaan wang yang besar.

"Saya minta kita fikir secara kreatif terlebih dahulu dan selepas itu barulah kita boleh membuat keputusan yang sebaik-baiknya sebab kita nak sebuah perkhidmatan awam yang efisien dan produktif. "Kita tak boleh nak terus tambah perjawatan begitu sahaja. Nanti, kita akan mendapatkan sebuah birokrasi yang paling besar dan ini memerlukan perbelanjaan wang rakyat yang besar dan kita tak boleh gunakan wang rakyat sewenang-wenangnya," katanya ketika mengulas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu penambahan 800 anggota.

Najib berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan 1Malaysia Cardiff City Junior Football League (1MCC-JFL) di Pusat Penyelidikan Getah, Sungai Buloh dekat sini, hari ini.Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi 1MCC Datuk Chan Tien Ghee dan jurulatih bola sepak kebangsaan K.Rajagobal. Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaafar dilaporkan berkata, penambahan anggota berkenaan diperlukan bagi memantapkan aspek keselamatan membabitkan bangunan dan individu yang berurusan di pejabat suruhanjaya itu di seluruh negara.

Najib berkata walaupun beliau tidak biasa membuat ulasan terhadap mana-mana permohonan yang dibuat oleh jabatan kerajaan namun beliau memberi jaminan untuk mengkaji dengan teliti permohonan tersebut dan kerajaan tiada masalah untuk meluluskannya sekiranya berasas.
Beliau berkata kerajaan kini menekankan kepada pemikiran secara kreatif apa yang boleh dilakukan tanpa pertambahan jawatan.

"Mungkin ini yang harus dilihat dahulu, maknanya apa program kita atau apa-apa perubahan yang hendak dilakukan sama ada dengan kekuatan yang sedia ada sudahpun memadai untuk kita melakukan apa yang dihasratkan," katanya.

"Itu langkah pertama, keduanya, sekiranya amat diperlukan kita juga mesti melihat sama ada kita boleh menugasi semula atau tidak anggota sedia ada. Langkah kreatif ini jika dilaksana boleh membantu menjimatkan wang negara," katanya.

Sekiranya semua pilihan itu tidak berjaya, barulah penambahan anggota akan dilakukan, katanya.




BERNAMA

Saturday, April 9, 2011

Bersara 60 tahun

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi menggesa kerajaan melanjutkan umur persaraan pekerja dalam perkhidmatan awam daripada 58 kepada 60 tahun.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata cadangan itu wajar ditimbang semula oleh kerajaan kerana beliau yakin golongan ini mampu menyumbangkan perkhidmatan dengan lebih efisyen bersandarkan pengalaman yang mereka miliki.

"Seperti negara maju yang lain, umur persaraan penjawat awam mereka antara 60 hingga 62 tahun dan kita hanya sembilan tahun lagi hendak mencapai sasaran negara maju pada tahun 2020. Jadi wajarlah kerajaan mempertimbangkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada kesihatan pekerja berkenaan iaitu mestilah mempunyai penglihatan, pendengaran, pemikiran serta fizikal yang baik untuk dipertimbangkan dilanjutkan umur persaraan mereka. - Bernama

Harian Metro Online

Thursday, April 7, 2011

Berita@INTURA Mac 2011

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar










Minda Pengarang: Langkah kejapkan khidmat awam wajar diperluas ke semua agensi kerajaan

LANGKAH untuk merasionalisasikan jawatan di bawah Kementerian Pelajaran bukan saja dapat mengatasi masalah pertindihan tugas, malah mampu memanfaatkan sepenuhnya kepakaran kakitangan sedia ada. Langkah itu sememangnya wajar kerana kini memang ada beberapa sektor memerlukan tambahan tenaga kerja, sedangkan ada sektor lain di kementerian itu mempunyai tenaga kerja pegawai yang tidak digunakan secara maksimum.

Justeru, perlu ada kajian terperinci atau melakukan audit terhadap semua tenaga kerja pegawai dengan bidang tugas jabatan atau agensi di bawah kementerian berkenaan bagi memastikan wujud keberkesanan dari segi prestasi. Ini selaras hasrat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu jumlah pegawai digunakan dengan optimum. Kita harap semua pihak di Kementerian Pelajaran akan menyahut saranan beliau dengan positif dan menyegerakan kajian bagi membolehkan perancangan lebih teliti dibuat dalam penyediaan tenaga sumber manusia. Muhyiddin kelmarin menegaskan jawatan di Kementerian Pelajaran akan dirasionalisasikan bagi menghasilkan perkhidmatan awam yang kejap dan memastikan tiada tenaga kerja yang tidak digunakan sepenuhnya. Ini boleh dilakukan melalui penjajaran fungsi bahagian yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong, pemansuhan jawatan serta pengagihan semula jawatan ke agensi lebih kritikal.

Perancangan tidak teliti atau tersalah sasar boleh menyebabkan berlaku lebihan kakitangan atau pegawai di kementerian berkenaan, selain kakitangan tidak efisien dan hanya sekadar menjadi ‘penumpang’. Kita percaya usaha rasionalisasi ini akan membantu menyelesaikan kedudukan 26,000 guru opsyen Sains dan Matematik yang ketika ini masih menunggu penempatan di sekolah, berikutan lebihan penawaran guru di seluruh negara. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan unjuran yang diputuskan oleh Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung pengambilan guru sehingga berlaku lebihan. Akibatnya, kira-kira 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik terpaksa mengajar subjek lain termasuk Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Islam, sekali gus menyebabkan mereka gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

Kita menyokong pandangan Muhyiddin bahawa perkhidmatan awam yang kejap perlu dibentuk di Kementerian Pelajaran bagi mewujudkan jentera pentadbiran yang cekap, produktif, kreatif dan inovatif, selain mementingkan hasil pencapaian. Sudah sampai masa Kementerian Pelajaran melakukan anjakan paradigma dari segi strategi, struktur pengurusan dan pewujudan kakitangan berkualiti yang berfikiran terbuka serta sanggup menerima pandangan dan cadangan. Selaras dengan strategi Lautan Biru yang diperkenalkan Perdana Menteri dalam pasukan keselamatan negara baru-baru ini, adalah diharapkan idea berkenaan boleh direalisasikan juga di beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang mana peranan dan fungsi jabatan dan pegawai tertentu boleh diselaraskan bagi mengatasi masalah pertindihan tugas, mengisi jawatan kosong, memansuhkan jawatan tertentu ataupun menukar pegawai tertentu ke agensi lebih kritikal.

Sebelum ini hanya ada sebuah kementerian bagi mengawasi hal ehwal pendidikan sehingga ke peringkat universiti. Perbincangan boleh diadakan kedua-dua kementerian berkenaan bagi menyelaraskan semula peranan mereka, bukan saja pada peringkat Persekutuan tetapi juga di negeri dan daerah. Menerusi konsep perkongsian ini, kedua-dua kementerian mampu mengurangkan kerenah birokrasi dan menangani masalah ketidakseimbangan tugas di kalangan kakitangan dan pegawai tertentu.



Berita Harian Online

Wednesday, April 6, 2011

Perkhidmatan awam lebih kejap

Oleh Sazarina Shahrim

Jawatan di Kementerian Pelajaran dirasionalisasikan, diguna sepenuhnya: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yasin mahu jawatan di Kementerian Pelajaran dirasionalisasikan bagi menghasilkan perkhidmatan awam yang kejap selain memastikan tiada tenaga kerja yang tidak digunakan sepenuhnya. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu boleh dilakukan melalui penjajaran fungsi bahagian bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong, pemansuhan jawatan serta pengagihan semula jawatan ke agensi yang lebih kritikal. “Kita ada ramai pegawai di kementerian dan kita mahu memastikan tenaga kerja pegawai kita digunakan sepenuhnya selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sesetengah sektor kita memerlukan tenaga manusia lebih tapi ada sesetengah sektor mempunyai tenaga kerja pegawai yang seolah-olah tidak digunakan sepenuhnya,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Pada majlis itu juga Muhyiddin melancarkan tema Hari Guru, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ yang akan disambut di Kuching, Sarawak, bulan depan.

Sebanyak 81.2 peratus atau 438,480 daripada kira-kira 540,000 kakitangan Kementerian Pelajaran adalah guru.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, perkhidmatan awam yang kejap perlu dibentuk di kementerian bagi mewujudkan jentera yang cekap, produktif, kreatif dan inovatif selain mementingkan hasil pencapaian.

Beliau berkata, kementerian juga memerlukan anjakan paradigma dari segi strategi, struktur pengurusan dan kakitangan berkualiti dengan sikap yang terbuka dalam menerima pandangan serta cadangan.

“Ini adalah perkara asas transformasi. Mungkin hari ini kita mencapai sasaran yang diletakkan tahun lalu tetapi jika tidak diusahakan secara berterusan mungkin tahun akan datang ia akan menurun, justeru, untuk menjadi lestari, kita perlu bekerja keras selalu,” katanya.


Berita Harian Online