Tuesday, December 31, 2013

CUEPACS: Wujudkan kuota haji khas untuk penjawat awam

KOTA KINABALU 30 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan menyediakan kuota haji khas bagi memudahkan para penjawat awam menunaikan rukun Islam kelima itu mulai tahun hadapan.

Presidennya, Azih Muda berkata, penyediaan kuota khas itu perlu bagi memastikan penjawat awam tidak terpinggir untuk menunaikan ibadat tersebut selain mengambil kira pendapatan mereka yang rendah.
"Kalau hendak tunggu giliran kuota Tabung Haji mereka terutamanya yang hampir bersara tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah itu. Oleh itu CUEPACS mencadangkan kerajaan menyediakan kuota khas kepada para penjawat awam bermula tahun hadapan.

"Hal ini antara perkara yang ditekankan CUEPACS untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang selain semakan semula kadar semua jenis elaun, pencen dan tangga gaji," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin CUEPACS Sabah dan wakil agensi kerajaan negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS Sabah, Jamian Dom.

Tambah Azih, selain kuota haji khas, kerajaan diminta memberi kelulusan kepada kakitangan awam yang mencapai umur 55 tahun untuk mengeluarkan 20 peratus wang pencen yang bakal diterima untuk perbelanjaan menunaikan umrah, perubatan atau pendidikan anak-anak.

Menurut beliau, pihaknya turut menggesa kerajaan menaikkan ganjaran persaraan kepada 10.5 peratus daripada tempoh perkhidmatan berbanding 7.5 peratus ketika ini.

Selain itu, katanya, CEUPACS mencadangkan kerajaan menaikkan Gantian Cuti Rehat (GCR) kakitangan awam kepada 180 hari berbanding 150 hari sekarang selain menimbang kadar pencen bulanan penjawat awam yang bersara kepada 80 peratus daripada jumlah gaji terakhir mereka.

"Kita akan memastikan tangga gaji semua jenis jawatan dalam perkhidmatan awam dikaji semula selaras dengan peningkatan kos sara hidup yang dibebani mereka," katanya.

Sementara itu, beliau meminta Jabatan Kesihatan Sabah memberi penjelasan mengenai isu tuntutan elaun pakaian seragam kakitangannya yang menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai arahan meminta kakitangan jabatan itu membayar balik baki elaun tempahan pakaian seragam sejak tahun 2011.

Katanya, menerusi pekeliling yang dikeluarkan sebelum ini, kakitangan jabatan itu dibenarkan membuat tuntutan tempahan pakaian seragam sehingga RM690 setahun bagi tiga pasang pakaian.

"Bagaimanapun pada 6 September lalu, jabatan tersebut mengeluarkan arahan meminta kakitangan membayar balik baki elaun berdasarkan kadar jahitan ditetapkan Pejabat Kesihatan di seluruh negeri dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Friday, December 27, 2013

Kursus Pentauliahan i-Lead Park [24 Disember 2013]

Kursus ini dihadiri sepenuhnya oleh jurulatih dan fasilitator INTURA yang terlibat dengan aktiviti di i-Lead Park. Aktiviti ini merupakan pertama kalinya dijalankan di i-Lead Park untuk menguji kesesuaian aktiviti dan peralatan yang akan digunakan dalam kursus yang akan dijalankan kelak. Semua yang terlibat banyak memberi input untuk penambahbaikan pengisian aktiviti dan perjalanan kursus.





















Tuesday, December 24, 2013

Abd. Rahim ke KKMM, Khalid Shariff KSU baharu KDN

PUTRAJAYA 24 Dis. - Datuk Seri Abd. Rahim Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia baharu menggantikan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf yang tamat kontrak pada 4 Oktober lalu.

Sebelum ke perlantikan baharu bermula 1 Januari tahun hadapan itu, Abd. Rahim merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini berkata, kelayakan, pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Abd. Rahim membolehkan beliau memimpin serta meneruskan kecemerlangan kementerian tersebut.

"Abd. Rahim, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya (UM).

"Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 3 Januari 1983 serta berpengalaman dalam bidang keselamatan dan pengurusan menerusi karier perkhidmatanya," katanya.
Pada masa sama, Ali turut mengumumkan perlantikan Datuk Mohamad Khalid Shariff sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri baharu mulai 1 Januari tahun hadapan bagi menggantikan Abd. Rahim.

Sebelum ke perlantikan baharu Mohamad Khalid merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan.

"Mohamad Khalid, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari UM.

"Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 1 Disember 1981 dan berpengalaman dalam bidang keselamatan, perolehan dan kewangan, pembangunan serta pengurusan menerusi karier perkhidmatannya," katanya.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Monday, December 23, 2013

Kaji pinjaman ikut harga rumah


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan mahu mengemukakan tuntutan supaya pinjaman perumahan berdasarkan harga rumah dan bukan mengikut kadar gaji.

Selama ini kelulusan pinjaman membeli rumah berdasarkan gaji. Tujuannya supaya mereka mampu membayar ansuran bulanan pinjaman.

Bayangkan jika separuh daripada gaji diguna untuk membayar ansuran bulanan rumah. Cukupkah baki gaji yang tinggal untuk membiayai kos keperluan asas yang lain seperti makanan, pakaian, utiliti, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan?

Biasanya sesuatu pinjaman diluluskan setelah diteliti keupayaan si peminjam membayar balik supaya tidak membebankan terutama pegawai berpangkat rendah. Tujuannya supaya mereka tidak terperangkap dalam masalah keberhutangan yang boleh menjejaskan prestasi kerja dan reputasi sebagai penjawat awam. 

Berdasarkan Perkara 4(2)(d) Perintah Am, seseorang pegawai tidak boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan awam dengan kesusahan berat kerana hutang.

Pinjaman perumahan berdasarkan harga rumah dikhuatiri mendorong wujudnya kecenderungan menaikkan harga rumah. Eloklah CUEPACS memikirkan apakah peranan yang boleh dilakukan untuk membantu kerajaan mengawal harga rumah. Misalnya memperkasakan koperasi kakitangan awam supaya berupaya membina rumah mampu milik untuk memenuhi permintaan penjawat awam.

Bagaimanapun tuntutan CUEPACS ini mungkin didorong oleh kenaikan harga rumah yang melebihi daripada jumlah maksimum pinjaman rumah yang layak berdasarkan kadar gaji. Diharap tuntutan ini dipertimbangkan setelah diperhalusi dari segi keupayaan penjawat awam membayar balik pinjaman.

Sebab itulah langkah terbaik ialah kawal harga rumah dan binalah rumah mampu bayar dengan banyak.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Saturday, December 21, 2013

CUEPACS sokong rumah RM90,000

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik kesediaan kerajaan membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000.

Presiden CEUPACS, Azih Muda (gambar) berkata, projek perumahan rakyat itu sudah tentu menjadi khabar gembira kepada para penjawat awam terutama di peringkat kumpulan pelaksana untuk memiliki rumah sendiri.

"CUEPACS yang mewakili kira-kira 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara amat menyokong cadangan kerajaan untuk membina rumah dalam julat harga berkenaan.

"Penjawat awam dalam kumpulan pelaksana pastinya paling mendapat manfaat menerusi projek ini kerana sememangnya sebahagian besar daripada mereka tidak mampu untuk memiliki rumah melalui program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang sedang dibangunkan ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa semalam tentang kesediaan kerajaan membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000 bagi membolehkan semua peringkat golongan itu memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, Azih berharap projek perumahan tersebut bukan sahaja dibina di Putrajaya tetapi di bandar-bandar utama yang lain.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Friday, December 20, 2013

Certified Training For INTURA iLead-Park Trainers (Hikers Climber) [16 - 19 Disember 2013]

Kursus ini bertujuan untuk melatih semua tenaga pengajar dan fasilitator tentang keperluan dan pengisian slot untuk aktiviti teambuilding. Semua peserta telah diajar teknik komunikasi, fokus, penyelesaian masalah, kepimpinan dan kerjasama untuk digunapakai dalam aktiviti kursus. Peserta juga turut didedahkan dengan elemen rekreasi yang melibatkan kawasan hutan dan air.