Thursday, January 30, 2014

Percepat kenaikan gred

IPOH 29 Jan. - Kerajaan digesa mempercepatkan kenaikan gred kira-kira 200,000 pembantu tadbir di seluruh negara yang didakwa tidak disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) lebih 40 tahun lalu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, golongan pembantu tadbir kini ternanti-nanti akan pelaksanaan skim tersebut setelah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyatakan persetujuan kerajaan untuk mengkaji semula 100 lagi skim perkhidmatan pada November tahun lalu.

"Kita tidak mahu perkara ini menyebabkan rasa ketidakpuasan hati yang berterusan. Mereka berasa kecewa, sebab itu CUEPACS minta perkara ini dipercepat sebelum Jun tahun ini. Tidak perlu tunggu sehingga pengumuman Bajet akan datang.

"Hari ini pun kita dapat meredakan rasa kesal mereka untuk berhimpun di setiap negeri serta di Kuala Lumpur. Kita harap perhimpunan besar-besaran ini tidak berlaku dan mengesyorkan mereka supaya menyerahkan perkara ini kepada CUEPACS untuk berunding dengan kerajaan," katanya sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani (AUEGCAS), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS turut mencadangkan agar semua semakan semula skim perkhidmatan awam dijalankan secara serentak, justeru tiada lagi isu berbangkit seumpama itu selepas ini.

Malah, katanya, kerajaan harus memberikan pertimbangan khusus dalam hal tersebut kerana semakan skim itu tidak menyebabkan banyak implikasi kewangan.

"Kalau boleh biarlah tiada lagi gelaran pembantu tadbir di Gred 17. Berilah nama baharu yang lebih bersesuaian selari dengan program transformasi negara seperti pegawai khidmat tadbir," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Thursday, January 23, 2014

Tiada pembekuan perjawatan sektor awam


PULAU PINANG 22 Jan. - Pembekuan jawatan dalam sektor awam tidak termasuk dalam 11 agenda penjimatan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam yang memaklumkan terdapat keperluan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam jabatan atau agensi tertentu seperti perubatan, farmasi dan pergigian.

Menurutnya, sepanjang tiga minggu pertama tahun ini sahaja sebanyak 5,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam telah diisi dan ia dijangka meningkat setiap bulan sehingga hujung tahun.

Selain itu katanya, dijangka kira-kira 20,000 penjawat awam akan bersara wajib pada penghujung tahun ini dan ini membuka ruang kepada tenaga kerja baru untuk mengisi kekosongan yang ada.

"Pada tahun lalu seramai 65,000 pemohon telah berjaya mengisi kekosongan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara daripada 2.1 juta permohonan.

"Jumlah pemohon pada tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding hanya 1 juta pada 2012 dan ini membuktikan semakin ramai masyarakat yang yakin dengan kerjaya di sektor kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi bersama kakitangan awam dan pertubuhan bukan kerajaan di Dewan Seri Pinang di sini hari ini.

Beliau turut mengadakan lawatan ke karnival pekerjaan yang disertai beberapa agensi seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia.

Tambahnya, di Pulau Pinang sahaja seramai 80,000 pemohon telah menghantar permohonan untuk mengisi kekosongan yang ada pada tahun lalu dan ia meningkat sekali ganda berbanding tahun 2012.

"Ini merupakan petanda positif apabila semua lapisan masyarakat kini semakin yakin untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan kerana pelbagai insentif yang ditawarkan.

"Malah kaum-kaum lain juga semakin menunjukkan minat dan persepsi bahawa jawatan dalam sektor kerajaan hanya untuk orang Melayu sahaja mula terhakis," ujarnya.

Selain itu katanya, pelbagai aktiviti seperti taklimat dan latihan percuma bagi menghadapi sesi temuduga, peperiksaan dan kursus turut ditawarkan kepada orang ramai yang berminat.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Wednesday, January 22, 2014

Kekosongan jawatan kerajaan tetap diisi

PULAU PINANG 22 Jan. - Pembekuan jawatan dalam sektor awam tidak termasuk dalam 11 agenda penjimatan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam yang memaklumkan terdapat keperluan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam jabatan atau agensi tertentu seperti perubatan, farmasi dan pergigian.

Menurutnya, sepanjang tiga minggu pertama tahun ini sahaja sebanyak 5,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam telah diisi dan dijangka meningkat setiap bulan sehingga hujung tahun.

Selain itu katanya, dijangka kira-kira 20,000 penjawat awam akan bersara wajib pada penghujung tahun ini sekali gus membuka ruang kepada tenaga kerja baru untuk mengisi kekosongan yang ada.

"Pada tahun lalu seramai 65,000 pemohon telah berjaya mengisi kekosongan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara daripada 2.1 juta permohonan.

"Jumlah pemohon pada tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding hanya 1 juta pada 2012 dan ini membuktikan semakin ramai masyarakat yang yakin dengan kerjaya di sektor kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi bersama kakitangan awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Seri Pinang di sini hari ini.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Tuesday, January 21, 2014

Langkah kurangkan perbelanjaan awam capai penjimatan RM400 juta

ALI Hamsa (barisan depan, tengah) bergambar bersama kakitangan awam yang lain sambil memegang buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 20 Jan. - Sebanyak RM400 juta perbelanjaan awam dapat dijimatkan pada tahun ini ekoran pengumuman 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, beberapa langkah penjimatan lain akan diumumkan tidak lama lagi bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan mengurangkan bajet defisit negara.

Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan penjawat awam turut berkongsi impak pengurangan perbelanjaan bersama selaras dengan konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam'.

"Satu garis panduan pengurangan kos utiliti elektrik akan diumumkan tidak lama lagi dan insentif khas akan diberikan jika berjaya dikurangkan sebanyak lima peratus.

"Langkah berhemat tersebut bagaimanapun tidak menyentuh soal kumpulan pelaksana perkhidmatan awam dan kebajikan mereka tidak akan diabaikan kerajaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanah Ketua Setiausaha Negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah.

Perdana Menteri pada 30 Disember lalu mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Menurut Najib, tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014.

Ali memberitahu, walaupun kerajaan menghadapi cabaran ekonomi, kebajikan dan nasib penjawat awam tetap dititikberatkan.

Antaranya kata beliau, pengenalan elaun untuk bekerja lebih masa, penambahbaikan 81 skim perkhidmatan dan pelaksanaan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan tindakan yang akan diambil terhadap salah laku penjawat awam ekoran Laporan Audit Negara pada hujung bulan ini.

"Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Civil service to save govt RM400m

PUTRAJAYA:   THE government estimates that it can save RM400 million this year with the implementation of 11 cost-cutting measures in the public sector.
Chief Secretary to the Government Tan Sri Dr Ali Hamsa said the savings would be part of civil servants' contributions to the country.
Delivering his New Year message to more than 1,000 civil servants from all ministries, departments and agencies, Ali said the effort reflected the public sector's commitment to cut costs.
"These measures show that civil servants share the effect of spending cuts with the people, consistent with the concept of Merakyatkan Perkhidmatan Awam (making the civil service people-oriented)."
Prime Minister Datuk Seri Najib Razak had announced the 11 measures to reduce public expenditure last year.
The measures include slashing toll and entertainment allowances for ministers and deputy ministers, reducing energy consumption in government premises and cutting down on meals at functions.
Najib also instructed government premises to slash their electricity bills by five per cent and cut senior officials' toll benefits by 30 per cent, or between RM50 and RM100.
Present were Treasury secretary-general Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, Public Service Department director-general Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal and newly appointed Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services president Azih Muda.
In his speech, titled "Meneruskan Momentum Transformasi, Merakyatkan Perkhidmatan Awam" Ali also touched on the government's transformation in its policies and delivery systems.
He also stressed the need for department heads to keep abreast with financing standards and procedures in approving contracts to improve the civil service's performance in the Auditor-General's Report.
He also launched a booklet outlining the principles in making the civil service people-oriented.
"It is the government's aspiration that these initiatives could be translated effectively by civil servants and delivered comprehensively and effectively to the people.
"I want you to provide outstanding service and, likewise, as Malaysians, you too expect excellent service."
The booklet's topics are: Making the Civil Service People-Oriented, Prosperity and Excellence, Six Principles of People-Oriented Civil Service, Civil Service Excellence Towards Realising Vision 2020, and Action Plan Towards Excellence and Prosperity.
The six principles of people-oriented civil service are openness and approachability; going down to the grassroots; engagement; soft skills -- striking a balance between spiritual and physical aspects and sense of belonging; and, public-private and non-governmental organisation partnership -- resource- sharing and collaboration.

From left) Public Service Department director-general Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Chief Secretary to the Government Tan Sri Dr Ali Hamsa and senior deputy secretary-general in the Prime Minister’s Office Datuk Othman Mahmood at the launch of the booklet outlining the principles in making the civil service people-oriented at the Putrajaya International Convention Centre. Pic by Ahmad Irham Mohd Noor

NST ONLINE


Konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam diperkenal

ALI Hamsa (tengah) melihat buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' selepas melancarkannya di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Mohamad Zabidi Zainal (kiri) dan Othman Mahmood. 

PUTRAJAYA 20 Jan. - Kerajaan memperkenalkan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam yang akan diterapkan kepada 1.4 juta penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tersebut menepati kehendak rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, konsep itu merupakan salah satu usaha transformasi kerajaan sebelum memasuki fasa Wawasan 2020 bagi menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan rakyat.

Beliau berkata, penjawat awam merupakan sebahagian daripada rakyat dan mereka lebih memahami kehendak dan keperluan masyarakat.

"Enam prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam seperti keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama bersama swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ialah satu pendekatan dalam mewujudkan penyampaian terbaik.

"Sudah pastinya kerangka baharu ini menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanah Bersama Ketua Setiausaha Negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Othman Mahmood.

Beliau kemudian melancarkan buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' yang akan dijadikan kerangka panduan penjawat awam ketika berurusan dengan rakyat.

Antara salah satu prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ialah turun padang yang dilihat sebagai pendekatan berkesan untuk mengenal pasti isu dihadapi dan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Sementara itu, Ali mengajak penjawat awam untuk berganding bahu dan berdiri teguh bersama kerajaan dalam memperkasakan agenda transformasi ke arah menjadi sebuah negara maju yang disegani di persada antarabangsa.

"Adalah diingatkan bahawa masa depan kian mencabar, maka kita tidak mempunyai pilihan selain harus bertekad pada saat ini untuk melakukan perubahan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

"Dalam soal ini, semua penjawat awam perlu memainkan peranan dalam menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan selain menjelaskan agenda transformasi kepada rakyat," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Saturday, January 18, 2014

Menagih komitmen jitu penjawat awam laksana dasar, program kerajaan

SAMA ada hendak diakui atau tidak, ketika ini kerajaan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup.

Dalam masa sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi memastikan segala mandat yang diperoleh dalam pilihan raya umum lalu dapat dilaksanakan dengan jaya.

Tetapi sama ada pelaksanaan dasar atau program kerajaan itu berjaya atau tidak ia terletak kepada kira-kira 800,000 penjawat awam di seluruh negara. Di bahu merekalah terpikul amanah dan tanggungjawab untuk memastikan usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat akan terbela.

Sebab itulah, komitmen jitu daripada penjawat awam amat diharapkan dan bukannya mereka sahaja mengharapkan ganjaran daripada kerajaan seperti kenaikan gaji, elaun mahupun bonus.

Perkara ini dibangkitkan kerana sehingga hari ini masih terdapat rungutan bagaimana ada penjawat awam yang tidak melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan berkesan atau bersungguh-sungguh. Ada antara mereka masih bersikap sambil lewa biarpun ada antaranya melibatkan pelaksanaan dasar-dasar penting kerajaan.

Penjawat awam perlu memahami bahawa mereka nadi kepada kerajaan yang memerintah, jika mereka tidak menyempurnakan tugas dengan berkesan yang akan menanggung risikonya bukan sahaja kerajaan tetapi negara secara keseluruhannya.

Penulis difahamkan di jabatan-jabatan kerajaan tertentu masih ada penjawat awam yang begitu 'liat' untuk memastikan apa yang dibentang dan digariskan oleh kerajaan dalam soal memberi perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan sempurna.

Kerajaan mempunyai dasar, program dan perancangan yang baik serta sempurna tetapi ia menjadi sia-sia apabila ada dalam kalangan penjawat awam mengamalkan sikap 'melepas batuk di tangga sahaja' apabila menjalankan tugas mereka.

Sememangnya kita tidak berasa iri hati terhadap apa juga yang diperjuangkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi meningkatkan kebajikan penjawat awam tetapi biarlah ia berbaloi dengan ganjaran yang diterima.

Sebab itulah, penjawat awam perlu mendengar nasihat Presiden CUEPACS, Azih Muda yang meminta kakitangan awam meningkatkan daya saing serta memberikan khidmat terbaik sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Tetapi masalahnya penulis difahamkan masih terlalu banyak kelemahan di peringkat pelaksanaan oleh penjawat awam dalam melunaskan misi kerajaan. Malah di sesetengah jabatan atau kementerian ada pegawai kanan kerajaan yang merasakan dirinya lebih hebat daripada pak menteri.

Seorang anggota Kabinet pernah menceritakan kepada penulis bagaimana susahnya beliau hendak memastikan arahan yang dikeluarkan dipatuhi oleh pegawai kanan di kementeriannya. Ada sahaja alasan yang diberikan, kalau dilaksana pun ia mengambil masa berbulan-bulan biarpun melibatkan perkara kecil.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada penjawat awam begitu perlahan untuk memberi jawapan kepada anggota Kabinet terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan oleh media dan penting diketahui oleh rakyat.

Menyentuh soal ini, adalah wajar selain melaksanakan tanggungjawab membela kebajikan penjawat awam, CUEPACS juga perlu rajin untuk mengadakan pertemuan dengan menteri bagi mengetahui situasi sebenar bagaimana penjawat awam di sesebuah kementerian melaksanakan tugas mereka.

Tujuannya bukanlah untuk mencari kesalahan sebaliknya memperbaiki kelemahan kerana harapan rakyat terhadap kerajaan terlalu tinggi apatah lagi apabila ia berkaitan dengan kehidupan harian mereka.

Janganlah kerana sikap penjawat awam yang tidak komited dalam tugas mereka, akhirnya yang akan dihukum ialah kerajaan. Oleh itu masanya sudah tiba untuk semua pihak mengkaji secara teliti pelaksanaan tugas oleh penjawat awam, jika ada antara mereka sudah tidak mampu melaksanakan dasar, program dan arahan kerajaan maka 'tunjukkan pintu keluar' untuk mereka.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Thursday, January 16, 2014

Kad pegawai kerajaan diperkenalkan

PUTRAJAYA 16 Jan. - Inisiatif memperkenalkan kad pegawai kerajaan merupakan usaha transformasi sektor awam yang bertujuan mewujudkan keseragaman identiti kakitangan awam bersekuriti tinggi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, penggunaan kad tersebut akan mengelakkan masalah pemalsuan identiti dan penyamaran menerusi pengesahan maklumat secara berpusat.

Katanya, penggunaan kad itu akan diperluaskan untuk urusan perniagaan dan perbankan serta keistimewaan perkhidmatan awam pada masa akan datang.

"Kad ini bukan sahaja menyimpan data peribadi penjawat awam tetapi dilengkapi jaminan keselamatan melalui penggunaan teknologi ID (identiti) Forensik bagi mengelak pemalsuan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Menggunakan tiga teknologi terkini iaitu NexCode, Contactless Chip dan biometrik untuk mengesahkan identiti pemegang kad menerusi kaedah pengecaman dan pengesahan maklumat yang diuji keberkesanannya sebelum ini," katanya ketika berucap dalam majlis Pelancaran Kad Pegawai Kerajaan di sini hari ini.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Wednesday, January 15, 2014

Zainal Rahim Timbalan Ketua Pengarah JPA Baharu

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang baharu berkuat kuasa kelmarin.

Menurut kenyataan JPA di sini hari ini, Zainal Rahim, 57, yang mempunyai pengalaman luas selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam menggantikan Datuk Dr. Ismail Alias.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984 dan telah memegang beberapa jawatan penting dalam jabatan kerajaan antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Ketua Penolong Pengarah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang.

"JPA juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ismail atas sumbangan yang diberikan," menurut kenyataan itu.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Tuesday, January 14, 2014

Tambah baik 100 skim: Kakitangan awam diminta bersabar

PUTRAJAYA 13 Jan. - Semua penjawat awam diminta bersabar menunggu keputusan kerajaan terhadap usaha menambah baik 100 lagi skim perkhidmatan melibatkan kira-kira 800,000 penjawat awam seluruh negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, kakitangan awam sebaliknya perlu meningkatkan daya saing serta memberikan khidmat terbaik sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, pada masa ini proses penambahbaikan tersebut masih di peringkat penelitian.

"Kita berjaya membuat penambahbaikan bagi 81 skim melibatkan seramai 613,782 kakitangan tahun lalu dan tidak mustahil 100 skim lagi yang dicadangkan akan diluluskan.

''Justeru, saya minta semua ahli supaya bersabar dan menumpukan kepada usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar di pejabat JPA di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan Exco CUEPACS mengunjungi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Kunjungan pertama kali itu dibuat selepas Azih dilantik sebagai presiden yang baharu pada Disember lalu menggantikan Datuk Omar Osman yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Pada 22 November tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyatakan sebanyak 100 skim perkhidmatan sudah dikenal pasti untuk dikaji mulai awal tahun depan.

Sementara itu, Mohamad Zabidi di dalam sidang akhbar yang sama berkata, pihak JPA ketika ini sedang mendapatkan maklum balas daripada CUEPACS berhubung penelitian semula 100 skim perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata, penelitian itu melibatkan beberapa perkara yang terkandung di dalam skim perkhidmatan antaranya syarat kemasukan ke dalam perkhidmatan, tangga gaji serta faedah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, secara keseluruhan, kerajaan mempunyai 249 skim melibatkan 1.4 juta penjawat awam.

"Sebanyak 81 skim telah pun selesai melalui proses penambahbaikan (tahun lalu) antaranya membabitkan perkeranian dan penguat kuasa manakala 100 skim lagi sedang diteliti," ujar beliau.

Dalam pertemuan itu juga, beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengeratkan lagi kerjasama bagi memperjuangkan hak-hak kakitangan awam.

Selain itu, kata Mohamad Zabidi, mereka juga akan bersama-sama turun padang bagi memberi penerangan mengenai pelbagai isu termasuk kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan ketika ini.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Monday, January 13, 2014

JPA KUMPUL MAKLUMBALAS KAJIAN SEMULA 100 SKIM PERKHIDMATAN AWAM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi kajian semula 100 skim perkhidmatan awam. 
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata kajian penambahbaikan skim itu meliputi kumpulan penguatkuasa dan perkeranian dalam penyelarasan tangga gaji, syarat kemasukan dan juga kebajikan.
 


"Ini (kajian semula skim) masih dalam proses rundingan. Kami sedang membuat perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), kesatuan dan persatuan sekerja lain.
 


"Saya berharap mereka yang terlibat bersabar agar kajian semula skim perkhidmatan awam ini dapat dilaksanakan dengan cara terbaik," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat barisan anggota Majlis Tertinggi Cuepacs sesi 2013-2016 yang diketuai Presiden Azih Muda di sini Isnin.
 


Dalam ucapan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan bagi menarik dan mengekalkan modal insan terbaik dalam perkhidmatan awam, selain memantapkan fungsi perkhidmatan, menambah baik laluan kerjaya serta mobiliti pegawai awam.
 


Penambahbaikan 81 skim itu melibatkan 613,743 penyandang dengan peruntukan tambahan RM31 juta setahun.
 


Berikutan pindaan 81 skim perkhidmatan ini, kerajaan mengurangkan bilangan skim perkhidmatan yang sedia ada daripada 274 kepada 249 pada 1 Jan tahun ini yang merangkumi 1.4 juta penjawat awam.
 
Mengenai perjumpaan JPA dan Cuepacs hari ini, Mohamad Zabidi berkata pertemuan itu dapat mengeratkan hubungan dan jalinan kerjasama dalam memacu jentera perkhidmatan awam yang lebih mampan dan berdaya maju ke arah memenuhi agenda transformasi negara.
 


"Dalam pertemuan strategik ini, kami telah berjanji bersama melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan juga menambah baik perkhidmatan-perkhidmatan awam untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih baik dengan adanya jalinan kerjasama antara JPA dan Cuepacs.
 


"Selain itu, JPA dan Cuepacs akan turun padang membantu kerajaan untuk menerangkan isu-isu dihadapi kerajaan pada hari ini khususnya dari segi kenaikan harga barang dan sebagainya," katanya.
 


Sementara itu Azih menyarankan penjawat awam yang belum terlibat dalam kajian penambahbaikan itu agar tidak panik dan tidak terlalu beremosi kerana proses itu dilakukan kerajaan secara berperingkat.
 


"Perkara ini sedang dilakukan JPA. Harap bersabar dan tidak terlalu beremosi. Kaedah perundingan dengan kerajaan adalah cara terbaik dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.
 


BERNAMA ONLINE

PSD gathering feedback for review of 100 civil service schemes

PUTRAJAYA: The Public Service Department (PSD) is gathering feedback from stakeholders to facilitate a review of another 100 civil service schemes involving over 800,000 civil servants.
Its director-general, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal said the review which entailed salary adjustment, entry requirements and welfare would also benefit those in the enforcement and clerical groups.
"The review is still at the negotiation stage. We are having engagement with stakeholders such as Cuepacs (Congress of Unions of Employees in the Civil Service) and other unions.
"I hope civil servants will be patient so that the review can be implemented to the level best," he told reporters receiving Cuepacs supreme council members led by its president, Azih Muda here today.
The improvements were in line with Prime Minister Datuk Seri Najib Razak's 2014 Budget announcement of 81 improved service schemes to retain the best talent in the public sector, and boosting the career path of public officials. 
Meanwhile, Azih urged civil servants, who were not under the 81 improved service schemes not to panic and become emotional.
"This is being done by PSD. Please be patient. Engagement with the government is the best way to resolve the problem," he said. 
On the courtesy call, he said it was aimed at enhancing ties and strategic collaboration with the PSD in efforts to take the public service to greater heights in fulfilling the national transformation. 
He said Cuepacs would also go down to the ground to help explain issues confronting the government, especially on price hike, apart playing its part in enhancing the delivery system

NST ONLINE

Friday, January 10, 2014

Guru sarjana, Ph.D gaji lebih tinggi

PUTRAJAYA 9 Jan. - Guru-guru baharu yang mempunyai kelulusan sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) akan menikmati gaji permulaan lebih tinggi bagi gred DG41 iaitu tambahan RM715 dan RM1,022 berbanding guru berkelulusan ijazah sarjana muda.

Sistem gaji baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu dan telah dimaklumkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 40/2013 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (gambar) bertarikh 16 Disember lalu.

Menurut pekeliling tersebut, guru-guru berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan serta Diploma Pendidikan menerima gaji permulaan mereka pada gred DG41 iaitu RM2,018.52.

Namun, guru yang berkelulusan sarjana serta Diploma Pendidikan, gaji permulaan pada gred DG41 adalah RM2,733.98 iaitu pertambahan sebanyak RM715.

Bagi guru yang mempunyai kelulusan Ph.D serta Diploma Pendidikan pula gaji permulaannya pada gred DG 41 pula sebanyak RM3,040.60.

Bagaimanapun, menurut pekeliling itu, bagi guru-guru berkelulusan ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang pendidikan atau ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang berkaitan serta Diploma Pendidikan, gaji permulaan pada gred DG41 yang ditawarkan ialah RM2,222.94.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Thursday, January 9, 2014

SPRM tahan penjawat awam palsukan dokumen

ALOR SETAR 8 Jan. - Seorang kakitangan Jabatan Laut di Langkawi dekat sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini atas kesalahan mengemukakan dokumen tuntutan perpindahan palsu bernilai RM1,900, tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun dari Melaka itu ditahan di pejabat SPRM negeri di sini kira-kira pukul 10 pagi.
Mengikut sumber SPRM, lelaki tersebut dikatakan membuat tuntutan palsu untuk perpindahan kenderaan dan barang miliknya menggunakan kapal kargo dari Kuala Kedah ke Langkawi.

"Lelaki tersebut mengemukakan dokumen tuntutan perpindahan palsu bernilai RM1,900 membabitkan perpindahan barangan termasuk dua motosikal, sebuah kereta dan sebuah lori tiga tan yang mengandungi barang rumah bagi kegunaannya yang baru berpindah untuk berkhidmat di Langkawi pada 14 Julai 2011.

"Dokumen palsu itu untuk mengelirukan ketuanya bagi mendapatkan tuntutan terbabit sedangkan perkhidmatan itu tidak disediakan," kata sumber itu di sini hari ini.

Katanya, suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Sementara itu Pengarah SPRM negeri, Raja Khan Raja Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Wednesday, January 8, 2014

KSN gesa perkukuh budaya kerja prestasi tinggi

PUTRAJAYA 7 Jan. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menggesa pegawai dan kakitangan awam memperkukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi kerana ia sangat penting dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

Menurutnya, pengukuhan itu meliputi peningkatan daya saing Malaysia di persada antarabangsa seperti mana dicapai oleh negara yang menduduki tempat keenam Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014.

Dalam masa yang sama, tambahnya, konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' yang mengandungi enam prinsip antaranya turun padang, keterbukaan, musyawarah dan sebagainya perlu menjadi teras budaya kerja pada hari ini.

"Harapan besar diletakkan terhadap penjawat awam kerana anda merupakan ejen transformasi paling hadapan serta perantara rakyat dan kerajaan dalam menterjemahkan wawasan negara," katanya ketika berucap dalam Majlis Penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) Tahun 2013 di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ali menyampaikan DPA kepada 735 Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang menamatkan kursus enam bulan.

Ali menambah, pengumuman 11 langkah perbelanjaan berhemat sektor awam baru-baru ini merupakan sumbangan kerajaan dalam usaha memastikan dana awam dibelanjakan secara berhemat dan berpatutan.
"Pelaksanaannya yang turut membabitkan pegawai kanan kerajaan menunjukkan kita sentiasa bersama rakyat dan selaras dengan konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam'," katanya.

Ali menegaskan, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang kuat kepada prinsip taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah serta tidak sesekali mengutamakan kepentingan diri sendiri.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Tuesday, January 7, 2014

PERHEBAT PERLAKSANAAN DASAR TRANSFORMASI NEGARA - PM



Perhebat pelaksanaan dasar transformasi negara: PM 
Najib menyampaikan amanat kepada warga kerja penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada perhimpunan bulanan JPM di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama Muhyiddin dan Ali Hamsa.

Putrajaya: Pelaksanaan dasar transformasi negara perlu diperhebatkan dalam 2014 dan tahun seterusnya kerana tempoh mencapai status negara maju berpendapatan tinggi semakin singkat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun tidak mahu lari daripada landasannya, perubahan yang dilakukan tetap akan mengambil kira pandangan dan hasrat rakyat supaya pelaksanaannya tidak membebankan mereka. Sebagai contoh, beliau berkata, rasionalisasi subsidi bukan bererti kerajaan mahu hapuskan subsidi secara terus, sebaliknya akan dilakukan secara berperingkat.

“Tak ada negara dalam dunia menyediakan peruntukan pembangunan RM49 bilion, manakala insentif subsidi berjumlah RM42 bilion. Dalam satu segi ini mencerminkan kerajaan prihatin terhadap rakyat tetapi ini tak b oleh diteruskan sebab tak mapan.

“Namun, kita perlu tolong golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah selain penjawat awam. Saya yakin kalau ekonomi lebih kukuh, kedudukan negara lebih mantap, maka projek pembangunan akan bertambah dan penambahan kebajikan untuk golongan yang memerlukan boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri yang pertama bagi tahun ini, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Akujanji tak dilupa
Najib juga berkata, akujanji ketika pilihan raya tidak pernah dilupakan, termasuk hasrat meningkatkan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lima peratus atau lebih, pembaharuan ekonomi yang bersifat strategik dan pembangunan modal insan, yang menjadi antara faktor penting dalam usaha mencapai status negara maju.

Sanggup laksana perubahan

Katanya, tanpa kesanggupan melakukan perubahan dari segi struktur dan strategik, negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan yang tidak mungkin dapat mencapai kadar pertumbuhan lima hingga enam peratus setahun.

Beliau berkata, hanya itu pilihan yang ada kerana keadaan sama turut dihadapi negara lain dan persekitaran ekonomi yang menentukan daya saing negara memerlukan Malaysia melakukan perubahan seperti digariskan dalam agenda serta dasar transformasi negara.

“Pada hemat saya, negara yang sanggup lakukan perubahan ekonomi dari segi struktur dan dasar dari semasa ke semasa melihat kepada pembangunan yang tumbuh secara mapan. Inilah keadaan yang dihadapi di seluruh dunia dan sudah tentu Malaysia tak ada kelainannya.

“Di Eurozone misalnya, walaupun krisis genting sudah berlalu, negara dalam zon ini diunjur akan melalui dekad di mana pertumbuhan ekonomi mereka akan berlaku pada tahap yang sangat rendah, malah ada yang menyifatkan dekad akan datang bagi Eropah sebagai ‘lost decade’ (dekad yang hilang).

“Jepun pula, 20 tahun alami ekonomi yang disifatkan sebagai tidak berubah sehingga Perdana Menteri baru, Shinzo Abe yang memegang jawatan akhir tahun lalu melaksanakan dasar perubahan ekonomi ‘Abenomics’,” katanya.

Najib juga membuat kesimpulan bahawa China yang dianggap sebagai enjin pertumbuhan ekonomi global pun tidak mungkin mencapai pertumbuhan sembilan hingga 10 peratus setahun, melainkan melakukan perubahan menyeluruh terhadap sistem ekonomi sedia ada.

BERITA HARIAN ONLINE

Penjawat awam berperanan penting jayakan agenda transformasi

PUTRAJAYA 7 Jan. - Penjawat awam diminta sentiasa melakukan penambahbaikan dalam perancangan, pelaksanaan dasar dan prosedur kerja untuk meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, ia antara faktor penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap penjawat awam dalam menjayakan agenda transformasi negara.

"Setiap penjawat awam telah diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk menjadi perintis dan ejen perubahan bagi memajukan negara ini.

"Perkhidmatan awam kini terdedah pada penelitian kritikal daripada orang awam, apatah lagi apabila berhadapan dengan persepsi masih berlaku kerenah birokrasi, ketidakcekapan, prestasi di bawah tahap, ketidaktelusan dan kurangnya akauntabiliti," katanya pada majlis penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabanga Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Friday, January 3, 2014

Sektor awam: Amalkan kecekapan, keberkesanan dan ekonomi

KETIRISAN dan pembaziran di sektor awam sering menjadi perbualan di kalangan rakyat. Bagi rakyat, mereka tidak boleh menerima sebarang ketirisan dan pembaziran yang boleh menggugat kedudukan kewangan negara.

Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dunia, langkah kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan bermula tahun 2014 merupakan satu tindakan yang selama ini menjadi antara isu utama dalam kalangan rakyat.

Antara langkah yang diumumkan oleh kerajaan ialah mengurangkan kos utiliti elektrik sebanyak lima peratus di kesemua premis kerajaan. Selalu sahaja berlaku pembaziran elektrik seperti lampu-lampu masih menyala tatkala para pekerja sektor awam sudah pulang ke rumah.

Begitu juga, langkah kerajaan membekukan permohonan baru bagi mengubah suai ruang pejabat merupakan antara langkah yang boleh mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Pengubahsuaian ini kadang kala tidak memberi apa-apa erti kecuali bertujuan mencantikkan ruang pejabat. Tidak diketahui sejauh manakah produktiviti para pekerja dapat dipertingkatkan.

Satu perkara yang perlu diperhatikan adalah pembelian barangan pejabat yang harganya keterlaluan melebihi harga pasaran.

Bagi pembekal pula, inilah masanya untuk mengenakan harga yang mahal dan akhirnya yang rugi rakyat itu sendiri kerana terpaksa menanggung harga yang berlebihan. Walhal wang lebihan tersebut boleh digunakan untuk pelbagai manfaat kesejahteraan rakyat.

Kesemua yang disebutkan di atas merupakan antara 11 langkah yang diumumkan. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan perbelanjaan. Antaranya seperti penganjuran acara rasmi kerajaan yang mana sambutannya kadang kala menampakkan pembaziran.

Sebagai contoh, kos-kos untuk menyambut jemputan khas sewajarnya dikurangkan. Acara rasmi kerajaan kadang kala tidak sampai satu hari pun, tetapi dibimbangi perbelanjaan untuk menyambut jemputan khas antara kos yang tinggi untuk penganjuran acara rasmi kerajaan.

Sudah sampai masanya, kos persiapan untuk menyambut jemputan khas dibelanjakan secara bersederhana. Selain itu, majlis rasmi kerajaan sewajarnya diadakan secara bersederhana tanpa adanya tentatif program yang tiada kaitan dengan majlis berkenaan, misalnya acara hiburan yang tiada kena-mengena dengan acara rasmi berkenaan. Wang tersebut sebaiknya digunakan untuk kegunaan lain yang memanfaatkan rakyat.

Kerajaan dicadangkan melaksanakan program bekerja dari rumah bagi profesion yang tidak terlalu melibatkan pelanggan. Misalnya, suatu ketika dahulu Jabatan Kerja Raya telah membenarkan 39 pekerjanya bekerja dari rumah.

Selain boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan melalui pengurangan perbelanjaan, misalnya kos elektrik, ia juga dapat mengurangkan kos sara hidup kakitangan awam, contohnya, belanja petrol.
Bahkan, ia boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar besar selain dapat memudahkan para pekerja sektor awam menyelesaikan urusan keluarga dengan mudah.

Prestasi kakitangan sebegini diukur berdasarkan outcome yang mereka dapat berikan kepada jabatan. Ada kemungkinan produktiviti para pekerja sektor awam adalah lebih baik apabila bekerja dari rumah berbanding bekerja di pejabat.

Program ini perlu diperluaskan tetapi pada masa yang sama perlu dipantau rapi agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan.

Apa pun sasaran untuk mengurangkan perbelanjaan biarlah berpaksikan kepada kecekapan, keberkesanan dan ekonomik (3E). Kecekapan di sini bermakna kerajaan perlu menggunakan sumber-sumber yang ada secara optimum dan tidak berlakunya pembelian aset yang tidak diguna pakai.

Sumber-sumber ini pula sewajarnya boleh digunakan bagi memaksimumkan kualiti perkhidmatan awam untuk tujuan kebaikan rakyat. Apa akan terjadi jika pembelian aset mahal tetapi tidak boleh pula digunakan untuk kebaikan rakyat.

Menggunakan sumber pula mestilah bertujuan untuk mencapai sasaran, matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Ini menggambarkan keberkesanan sesuatu program kerajaan.

Dari sudut ekonomik pula ia menandakan kerajaan menggunakan wang rakyat berasaskan nilai untuk wang bagi setiap sen wang rakyat.

Apabila objektif dapat dicapai sepenuhnya (keberkesanan) menggunakan sumber-sumber secara optimum (cekap) pada kos yang ekonomik, insya-Allah kewangan negara akan berada pada tahap yang mampan. Di sini, pembaziran dan ketirisan dapat dibendung pada tahap paling minimum.

Sebarang perancangan sesuatu projek atau program perlu melalui analisis kos faedah di samping penerapan amalan pengurusan risiko dalam sektor awam.

Amalan pengurusan risiko ini bakal memberi kebaikan kepada negara kerana ia dapat mengurangkan risiko kegagalan sesuatu projek, justeru mengurangkan pembaziran wang rakyat.

Bahkan, pengurusan risiko juga boleh mengenal pasti bidang-bidang atau sektor-sektor yang memberi impak negatif ke atas kewangan negara di samping mengenalpasti potensi sesuatu projek tersebut ke atas pembangunan dan kemajuan negara.

Kebertanggungjawaban amalan pengurusan risiko perlu melibatkan keseluruhan pekerja sektor awam dalam sesebuah jabatan.

Misalnya, jika sebuah unit dalam jabatan kerajaan dikenal pasti sebagai paling banyak melakukan pembaziran sedangkan objektif unit tersebut tidak dapat dicapai, maka tindakan pembetulan perlu disegerakan.

Contoh lain, amalan pengurusan risiko amat berguna melibatkan projek-projek yang berkemungkinan besar berisiko terbengkalai atau melebihi kos sebenar. Sekali lagi tindakan pembetulan perlu disegerakan bagi mengelak berlakunya pembaziran secara besaran-besaran.

Kerajaan juga perlu menjadikan unit audit dalaman sebagai antara unit terpenting dalam memperkasakan sektor awam.

Ini kerana unit audit dalaman boleh membantu kerajaan dalam mengurangkan pembaziran, ketirisan, rasuah dan seterusnya membantu dalam hal ehwal 3E serta memperkasakan amalan pengurusan risiko dalam sektor awam.

Unit audit dalaman juga perlu diberi 'kuasa' menyeluruh tanpa perlu rasa bimbang kepada mana-mana pihak agar sebarang ketirisan dan penyelewengan serta pembaziran dapat dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Tujuannya tidak lain tidak bukan bagi memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dan pada masa yang sama kualiti perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan pada tahap terbaik.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Thursday, January 2, 2014

Langkah berjimat di sektor awam bersifat proaktif

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari 2014 dilihat sebagai langkah proaktif.
Isu inflasi atau kenaikan kos barangan berpunca daripada banyak faktor yang memerlukan tindakan pengawalan kerajaan, kerjasama daripada pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), peranan persatuan pengguna dan sikap rakyat sendiri.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan pasaran bebas, kadar inflasi sering menjadi petunjuk yang melibatkan kuasa beli yang semakin tinggi dan menyebabkan kelompok yang berpendapatan rendah atau di bawah paras kemiskinan merasakan keperitannya.

Kawalan harga daripada pihak yang berkuasa dan menentukan kecukupan bekalan barangan terkawal boleh membantu. Peniaga jangan dibiarkan menaikkan harga barangan sesuka hati. Dalam apa keadaan peniaga mahu mempertahankan keuntungan yang maksimum dan pengguna sering menjadi mangsa.

Kepada kerajaan, strategi berhemat dan bercermat harus dilipatgandakan. Sebelas strategi penjimatan diharap sebagai suatu permulaan dan banyak lagi dalam sektor awam penjimatan perbelanjaan harus berlaku kerana pemborosan dan pembaziran menyumbang kepada situasi yang terjadi.

Ketegasan pihak berkuasa melaksanakan pemantauan kenaikan harga yang melampau dan tidak munasabah perlu dilakukan dengan berkesan dan telus. Ia tidak harus bersifat bermusim dan berpilih. Selagi tindakan tidak dibuat dan hukuman tidak diberi, pengguna bakal terus menjadi mangsa dan peniaga akan bermaharajalela.

Pihak swasta juga harus respons terhadap langkah kerajaan supaya penjimatan menjadi agenda nasional. Dengan itu pembangunan negara terbina atas asas tanggungjawab bersama yang akhirnya membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Pihak swasta dan GLC lebih cenderung mengumumkan keuntungan yang berlipat ganda pada setiap tahun sedangkan rakyat dan pengguna terbeban dengan kos kepenggunaan dan perkhidmatan.

Harga rumah yang melambung naik umpamanya adalah contoh yang sangat ketara di mana-mana terutama di Lembah Klang. Ia menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan kuasa beli dalam kalangan rakyat menjadi kecil.

Keadaan yang tidak seimbang ini menyebabkan taburan demografi menjadi tidak seimbang juga apalagi membenarkan pihak luar memiliki harta kita. Mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi dan akhirnya mereka bakal melakukan monopoli harta dan menjadikan faktor harga rumah terus meningkat.

Aliran konsumerisme dalam kalangan negara yang sedang maju semakin membudaya. Malaysia tidak dapat mengelak dari situasi ini. Corak berbelanja kalangan rakyat semakin tidak terkawal dan mereka berbelanja tanpa perancangan yang baik dan ikut kesesuaian keperluan.

Rakyat hanya mengeluh mengenai kenaikan harga barang tetapi tidak memperlihatkan sikap protes yang berkesan terhadap kepenggunaan supaya berhemat dan bercermat menjadi amalan yang baik.

Persatuan Pengguna harus lebih aktif memainkan peranan supaya masyarakat pengguna diberitahu dan dididik supaya eksploitasi yang dilakukan oleh peniaga dihadapi secara bersama. Masyarakat pengguna harus terlibat dengan gerakan persatuan pengguna supaya kuasa pengguna juga boleh menyumbang kepada naik turunnya harga barangan.

Sikap pengguna atau rakyat harus berubah dan peka terhadap eksploitasi harga. Setakat mengeluh dan merungut terhadap kenaikan harga tidak memadai. Tetapi pada masa yang sama pengguna terus berduyun-duyun ke kedai dan pasar dengan punggahan barangan di luar kawalan dan keperluan.

Sikap berjimat, cermat dan prihatin terhadap harga barangan perlu ada pada kalangan pengguna. Mengharapkan subsidi, kenaikan gaji dan elaun daripada kerajaan sebenarnya tidak membantu. Belum lagi subsidi diberi, gaji dan elaun dinaikkan, harga barang sudah mula melambung.

Tindakan menyorok barangan dan bekalan, peranan orang tengah dan peniaga yang gemar melakukan eksploitasi harga perlu dipantau dan dihadapi dengan tindakan dan hukuman yang serius.

Akhirnya sikap pengguna perlu serius berubah. Selagi pengguna tidak peka dengan cara mengguna, selagi itu peniaga naik muka. Peniaga cenderung mendapatkan untung yang maksimum. Tidak ramai peniaga yang berniaga untuk mendapat berkat daripada perniagaannya, halal dan toyyib dalam pengurusannya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Wednesday, January 1, 2014

Berita@INTURA Disember 2013

Sila klik imej untuk paparan sebenar







Kursus Perintis Outdoor Leadership Development Programme (o-Lead) [29 - 31 Disember 2013]

Seramai 20 orang peserta dari INTAN Bukit Kiara telah menghadiri Kursus Perintis Outdoor Leadership Development Programme yang dijalankan sepenuhnya di INTURA. Sesi ini merupakan dry-run untuk menguji pengisian aktiviti di i-Lead Park dan impak secara keseluruhannya.