Friday, February 28, 2014

JPA4U : iLEAD-PARK Open Day @ INTURA [27 Februari 2014]

Program JPA4U : iLEAD-PARK Open Day @ INTURA telah berlangsung pada 27 Februari 2014 bertempat di perkarangan iLEAD-PARK INTAN Wilayah Utara. Program ini turut disertai oleh FAMA, JPJ Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Muda dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Kuala Muda yang mengadakan pameran daripada 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Antara aktiviti yang diadakan di sepanjang program ini ialah Pameran Pendidikan Kesihatan, Program Pemeriksaan Kesihatan, Jualan Produk FAMA, Program Skuad Muda 1 JPJ, Pammeran Bomba, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Majlis Perasmian iLEAD-PARK yang bermula pada 3.30 petang merupakan kemuncak program ini di mana majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi bin Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia. Turut hadir di dalam majlis ini ialah YBhg. Dato' Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), YBhg. Dato' Mohtar Bin Mohd Abd. Rahman, Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan YBhg. Dato’ Mazlan Yusoff, Pengarah INTAN Malaysia.

Sejurus selepas perasmian, Tan Sri KPPA turut meluangkan masa untuk meninjau dan mencuba aktiviti yang dijalankan di iLEAD-PARK. Tetamu yang hadir turut mencuba elemen yang terdapat di iLEAD-PARK dan secara tidak langsung dapat mempromosikan iLEAD-PARK di agensi masing-masing kelak. Pasukan dari Pejabat SUK Kedah dan pelatih dari Institut Perguruan Sultan Abdul Halim Sungai Petani turut menjadi peserta pada hari berkenaan.


Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Majlis Perasmian Kursus Diploma Pengurusan Awam Bil. 1/2014 bertempat di Dewan Jubli Perak, INTAN Wilayah Utara. Majlis ini turut diadakan secara sidang video (video conference) dengan INTAN Kampus Wilayah Timur dan INTAN Kampus Wilayah Selatan. Sesi video conference turut dijalankan secara dua hala di mana para peserta dari kampus lain dapat berinteraksi dan bertanyakan pandangan Tan Sri KPPA.































SPRM buka 18 siasatan penjawat awam

PUTRAJAYA 28 Feb. - Sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penjawat awam berdasarkan teguran yang dibuat di dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 sehingga 21 Februari lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kesemua siasatan terhadap 18 kes berkenaan selesai dan setiap kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, daripada 18 kes tersebut ada di antaranya yang dicadangkan oleh SPRM kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di mahkamah namun begitu terdapat juga disyorkan untuk tindakan tatatertib.

"Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 terdapat 378 teguran melibatkan 111 teguran bagi perkhidmatan awam persekutuan, 38 teguran bagi badan berkanun dan 229 teguran bagi negeri.
"Sebanyak 267 teguran audit melibatkan penambahbaikan peraturan, prosedur dan proses kerja, 
kesemua teguran itu telah dan sedang diambil tindakan oleh agensi yang terlibat, manakala 111 teguran lagi melibatkan kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Ali berkata, sebagai langkah jangka panjang, SPRM bukan sahaja memfokuskan kepada tindakan punitif (menghukum) melalui penyiasatan tetapi turut melihat aspek penambahbaikan terhadap amalan, sistem dan prosedur melalui khidmat pemeriksaan dan perundangan.
"Hal demikian adalah untuk memastikan kelemahan-kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang perlakuan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa diperbaiki.

"Setakat ini 21 khidmat nasihat pemeriksaan dan perundingan telah dijalankan bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.

Selain itu, katanya, sehingga 21 Februari juga, terdapat 24 kes melibatkan 140 pegawai telah memulakan prosiding tatatertib dan surcaj.

"Daripada jumlah tersebut 99 pegawai akan melalui prosiding di bawah tatatertib, 12 pegawai dikenakan prosiding tatatertib dan surcaj dan 29 pegawai dimulakan prosiding di bawah surcaj," katanya.
Katanya, salah laku 140 pegawai tersebut melibatkan 64 pegawai polis, 41 pegawai Kementerian Pendidikan, 19 pegawai Kementerian Kesihatan, enam pegawai pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, tiga pegawai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan dan masing-masing seorang pegawai daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Perpaduan Negara.
Daripada jumlah tersebut, jelasnya, nasib 20 pegawai telah diputuskan oleh lembaga tatatertib yang berkenaan dan 18 daripadanya didapati bersalah manakala dua pegawai dibebaskan.

"Sebanyak 16 daripada pegawai yang bersalah telah dikenakan hukuman amaran yang membawa implikasi kepada penangguhan kenaikan pangkat selama 12 bulan.

"Dua lagi pegawai yang didapati bersalah masing-masing dikenakan hukuman denda pemotongan maksimum tujuh hari emolumen dan penangguhan kenaikan pangkat selama 18 bulan dan hukuman tangguh pergerakan gaji serta penangguhan kenaikan pangkat selama 30 bulan," katanya.

Menurut beliau, bakinya yang lain iaitu 23 pegawai masih di peringkat laporan ketua jabatan, 26 pegawai dalam penentuan kes oleh pengerusi, 42 pegawai telah pun dikemukakan surat pertuduhan serta 41 pegawai dikenakan surcaj.

Utusan Malaysia Online

PENJAWAT AWAM PERLU JADI PEMACU PERUBAHAN - KP PERKHIDMATAN AWAM

SUNGAI PETANI, 27 Feb (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini perlu memainkan peranan sebagai pemacu perubahan atau 'change agent' dalam usaha menjayakan agenda transformasi negara.
 
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata sektor perkhidmatan awam Malaysia tidak terkecuali daripada arus transformasi malah 1.4 juta penjawat awam yang ada merupakan nadi penggerak dan tiang seri pembinaan negara bangsa.
 

Beliau berkata mereka akan membawa obor transformasi bagi meneraju dan merealitikan iltizam itu.
 
"Dalam konteks Merakyatkan Perkhidmatan Awam, penjawat awam perlu menjadi 'thinkers', 'planners' dan 'implementers' menerusi enam prinsip utama iaitu keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama awam-swasta-NGO (badan bukan kerajaan).
 

"Prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ini hendaklah sentiasa didakap erat dan dipugar sepanjang masa menerusi tindakan kita dalam pelaksanaan tugasan seharian," ucapnya dalam Perasmian Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Leadership Development Park (iLead-Park), di Intan Kampus Wilayah Utara, di sini Khamis.
 

Sementara itu, Mohamad Zabidi berharap iLead-Park dapat dimanfaatkan secara bersama oleh semua pihak dalam menjadikan Intan sebagai pusat kecemerlangan.
 

"Peranan iLead-Park perlu diperluas bagi melahirkan penjawat awam yang berilmu, berkemahiran, berhemah tinggi, beradab, berbudaya dan responsif, bukan sahaja dalam kalangan agensi tertentu bahkan mesti diperluas kepada agensi lain secara kreatif dan inovatif.
 

"Selaras dengan aspirasi memacu transformasi melalui pembelajaran, saya yakin pembinaan iLead-Park ini merupakan satu pendekatan baharu dalam mengenal pasti dan membangunkan kompetensi kepimpinan pasukan dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap," katanya.
 

Beliau berkata ia seterusnya melahirkan generasi baharu perkhidmatan awam yang bukan sahaja bertindak sebagai ketua yang hebat bahkan berupaya menjadi pemimpin kepada pasukan transformatif.
 

BERNAMA Online

Wednesday, February 26, 2014

JPA PERKENAL MENU JPA4U BANTU KURANGKAN KOS SARA HIDUP

Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal

PUTRAJAYA, 27 Feb  -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini melancarkan Menu JPA4U, satu daripada inisiatif yang dilaksanakan jabatan itu dalam usaha membantu penjawat awam mengurangkan kos sara hidup.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pelancaran Menu JPA4U itu turut dijayakan bersama pengendali kafeteria di Kompleks C, Putrajaya merangkumi menu untuk sarapan pagi dan makan tengah hari.

"Menu ini ditawarkan setiap hari dari Isnin hingga Jumaat selain memperuntukkan ruangan khas untuk Menu JPA4U bagi mengelakkan kekeliruan pelanggan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Menu JPA4U di sini.

Menu yang ditawarkan berbeza setiap hari dengan bayaran untuk sarapan pagi adalah sebanyak RM2 dan RM4.50 untuk makan tengah hari bagi setiap hidangan.

"Menu JPA4U ini merupakan produk ketiga yang diperkenalkan di bawah inisiatif pewujudan JPA4U selepas Karavan Tani JPA4U dan Skuad Sukarela JPA4U," katanya.

Beliau juga berharap kementerian dan jabatan lain mengambil inisiatif yang sama untuk membantu penjawat awam menghadapi tekanan kos sara hidup masa kini.

BERNAMA Online

Monday, February 24, 2014

Lawatan Kerja Pengarah INTAN Malaysia di INTAN Wilayah Utara [23 Februari 2014]

INTAN Wilayah Utara berbesar hati menerima kunjungan lawatan kerja oleh YBhg. Dato’ Dr. Mazlan Yusoff, Pengarah INTAN Malaysia pada 23 Februari 2014.

Antara pengisian lawatan kerja beliau ialah Majlis Mesra YBhg. Pengarah INTAN Malaysia bersama warga INTURA yang diadakan di Anjung Rasa, Asrama Eksekutif INTURA. Dalam majlis ini beliau menekankan tentang pentingnya transformasi dalam proses kerja seharian dan pengisian modul latihan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan imej jabatan secara keseluruhannya.

Beliau juga turut meluangkan masa untuk melawat ke iLEAD-PARK dan kemudahan di INTURA sekaligus memberi pandangan dan idea dalam meningkatkan lagi pengisian aktiviti kursus yang dijalankan di INTURA.
Pada sebelah petang pula, beliau turut meluangkan masa bersama peserta DPA bil. 1/2014 di mana sesi interaksi bersama beliau dijalankan pada pukul 5.00 hingga 5.30 petang.


Warga INTURA merasa bertuah memandangkan INTURA merupakan kampus wilayah pertama yang dikunjungi oleh beliau.













Tuesday, February 18, 2014

JPA4U : Road Safety Seminar [17 Februari 2014]

Program JPA4U : Road Safety Seminar  telah diadakan pada 17 Februari 2014 bertempat di Dewan Jubli Perak, INTAN Wilayah Utara. Seminar ini merupakan kolaborasi antara INTAN Wilayah Utara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Kedah dan Pejabat Pelajaran Deaerah (PPD) Kuala/Yan. 

Seramai 105 orang pelajar daripada 27 buah sekolah sekitar Kuala Muda/Yan telah menghadiri seminar ini. Seminar ini turut dihadiri oleh 27 orang guru daerah Kuala Muda/Yan dan petugas dari keempat-empat agensi yang menyertai kolaborasi ini.

Tujuan utama seminar ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang persekitaran dan budaya kerja dalam perkhidmatan awam. Selain daripada itu, para pelajar turut didedahkan dengan peraturan keselamatan jalanraya. Ini adalah bertujuan untuk memupuk generasi muda yang menjadikan amalan berhemah di jalanraya sebagai satu budaya.

Antara pengisian seminar ini adalah ceramah yang disampaikan oleh wakil dari agensi yang terlibat dan pameran.


Diharapkan kolaborasi sebegini dapat diteruskan dari masa ke semasa selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang ditekankan oleh kerajaan.