Friday, October 31, 2014

MEKANISME KERAJAAN SAMPAIKAN MAKLUMAT CBP BUKAN PEMBAZIRAN - KPPA




KUALA KANGSAR, 30 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha kerajaan merangka mekanisme pemberitahuan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) menerusi seminar, kursus dan dialog kepada rakyat khususnya penjawat awam, bukanlah pembaziran.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan memperbetul persepsi salah mengenai CBP dalam kalangan penjawat awam, menyebar luas fakta sebenar mengenai kebaikan pelaksanaan CBP, mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dan berhemat dalam aspek perbelanjaan.

"Saya sebagai ketua pengarah, turun berjumpa dengan penjawat awam untuk menerangkan tentang CBP supaya mereka faham. Bila mereka faham, mereka juga akan bercerita dengan keluarga dan rakan-rakan tentang peranan CBP yang diperkenalkan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah myGST4U di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan pihak yang menganggap usaha kerajaan menyebarkan maklumat mengenai CBP menerusi program, seminar dan kursus adalah membazir.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi berkata usaha kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab itu.

Mengenai program hari ini, beliau berkata Perak merupakan negeri pertama bagi program JPA itu tahun ini dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"JPA telah diberi mandat untuk turun padang dan menyebarkan maklumat yang betul dan sahih kepada penjawat awam di seluruh negara," katanya.

Bernama Online

Wednesday, October 22, 2014

klik imej untuk paparan sebenar

KSN Mahu Penjawat Awam Terus Berintegriti

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mahu semua penjawat awam supaya terus mengamalkan integriti yang tinggi dalam perkhidmatan masing-masing.

"Penjawat awam perlu sentiasa mempunyai integriti terhadap apa yang dilakukan.

"Tugas kami dalam perkhidmatan awam ialah untuk terus menggalakkan penjawat awam menjadi pegawai-pegawai yang berintegriti tinggi," katanya.

Beliau mengulas mengenai kes-kes rasuah dan salah laku melibatkan penjawat awam termasuk anggota penguatkuasa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan akhir-akhir ini.

Pada masa yang sama Ali berkata SPRM akan terus menjalankan tugas mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang kurang berintegriti.

Ali bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) kedua di sini Selasa.

Bernama Online

Perkhidmatan Awam Perlu Berinovasi Untuk Penuhi Harapan Rakyat - KSN

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Terdapat keperluan untuk memasukkan lebih banyak pendekatan secara muafakat dan berinovasi bagi memperkukuhkan sistem penyampaian khidmat awam dalam memenuhi harapan rakyat yang semakin meningkat, kata Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata penyampaian khidmat awam masa kini harus menjangkaui kecekapan dan keberkesanan, dan ke arah menangani dengan jayanya cabaran itu, pemahaman meluas daripada setiap peringkat perkhidmatan awam diperlukan. "Kita tidak hanya ditugaskan dengan penyelesaian masalah dasar yang amat rumit, tetapi kita juga mesti mempertimbangkan tuntutan pemegang kepentingan kita, laungan mereka terhadap ketelusan, untuk dimasukkan dalam proses pembuatan dasar dan kita memberi jawapan kepada kebimbangan mereka dalam 'masa nyata'," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Presiden CAPAM dan Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA) di sini pada Selasa.

Ali menegaskan tidak ada sebarang "penyelesaian yang pantas." "Inovasi bukanlah suatu fasa atau berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya berperanan melengkapkan mekanisme biasa kerajaan kita," katanya. Ali, yang juga Ketua Setiausaha Negara, menegaskan bahawa para pemimpin semakin memahami bahawa kejayaan terletak pada pernyataan strategi yang jelas, di samping pembabitan pekerja dan rakyat. Menyentuh tentang anugerah berkenaan, beliau berkata CAPAM menyampaikan anugerah kepada IIA untuk mengiktiraf serta menyanjung semangat inovasi dalam perkhidmatan awam.

"Ia bertujuan menggalakkan pembawa pembaharuan dalam sektor awam untuk mencabar trend semasa dan melonjakkan idea baharu serta berinovasi bagi menambah baik perkhidmatan awam. "Sehubungan itu, sektor awam yang melalui transformasi dan berdaya tahan perlu memanfaatkan strategi pengurusan bakat untuk mengembangkan kualiti sedemikian bagi menambah baik transformasi sektor awam," katanya.

Bernama Online

Saturday, October 18, 2014

KERAJAAN LAKSANA PROGRAM TINGKATKAN PERJANA KERAJAAN TEMPATAN DALAM RMK-11

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan pelbagai program melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dalam usaha menempatkan kerajaan tempatan yang mesra alam serta pembangunan dan pengurusan berlandaskan masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program itu turut bertindak mewujudkan persekitaran yang mapan bagi mengurangkan kesan bencana alam dan kemusnahan alam sekitar.

Katanya hasrat kerajaan melalui strategi yang digubal adalah untuk mencapai teras pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata terdapat juga sasaran dalam RMK-10 yang belum dicapai berikutan keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakannya amat terbatas disebabkan kekurangan tenaga atau peruntukan.

"Dalam tempoh RMK-11, isu-isu ini akan dikaji dan diperincikan terutamanya demi memperkasakan mutu penyampaian yang berkesan," katanya pada majlis makan malam bersempena Sambutan Jubli Emas Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) di sini, Jumaat malam.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden ANULAE merangkap Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Muhyiddin berkata penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam kawasan PBT adalah inisiatif kerajaan bagi melaksanakan transformasi sosial pengurusan bandar memandangkan hampir 70 peratus penduduk Malaysia masa kini tinggal di bandar.

Kewujudan JPP itu setelah meneliti penglibatan penduduk bandar yang bersifat 'ad-hoc', tidak teratur seperti di luar bandar yang mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedar banyak fungsi kerajaan Persekutuan pada peringkat tempatan serta isu perbandaran seperti kesihatan, pengangkutan, keselamatan awam, perumahan, pendidikan, alam sekitar, kepenggunaan, pengurusan strata, penyenggaraan rumah kos rendah, tidak ditangani dengan menyeluruh, segera dan sempurna.

"Dengan penubuhan JPP ini, pihak kerajaan akan mempunyai lebih banyak ruang dan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk dan membawa isu untuk ditangani secara bersama," katanya.

Muhyiddin turut memberi jaminan supaya Ahli Majlis PBT tidak berasa tergugat dengan penubuhan JPP kerana selain kedudukan mereka terpelihara dalam Akta 171, penubuhan JPP akan mengukuhkan kesepaduan penduduk.

Berkaitan usaha meningkatkan keberkesanan PBT, Muhyiddin berkata kerajaan telah melaksanakan Sistem Penggredan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan bertujuan mengemas kini ciri-ciri PBT berprestasi tinggi.

Bernama Online

Thursday, October 16, 2014

Bonus Kakitangan Awam Akan Dibayar Bersama Gaji Januari - KSN

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Bonus kakitangan awam yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2015 minggu lalu akan dibayar bersama gaji Januari 2015, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Beliau berkata bonus berkenaan tidak boleh diawalkan atau dibayar pada tahun ini atau tahun sebelumnya.
 

"Bonus ini diluluskan dalam Bajet 2015. Jadi kalau kita lihat dari segi peraturan kewangan ia sepatutnya bermula (dibayar) pada 1 Jan 2015.
 

"Bonus akan masuk dalam gaji bulan Januari," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
 

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Isnin supaya kerajaan membuat pembayaran bonus kepada penjawat awam pada 15 Dis, dan bukannya Januari depan.
 

Presiden Cuepacs Azih Musa berkata langkah itu bagi membolehkan penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak sekaligus meringankan beban kewangan mereka.
 

"Memandangkan musim baharu persekolahan bermula pada Januari, kita minta supaya bayaran bonus dibuat lebih awal iaitu pada 15 Dis untuk membantu ibu bapa menyediakan persiapan persekolahan anak-anak," katanya.
 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 pada Jumaat lepas, mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada Januari.
 

Pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.
 

Bernama Online

Wednesday, October 15, 2014

MAS Lancar Kad "Enrich GOM" Untuk Penjawat Awam

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia Airlines (MAS) melancarkan kad kesetiaan baharu, Enrich 'Government of Malaysia' (GOM), khusus untuk penjawat awam bagi membolehkan mereka menikmati keistimewaan dan faedah perjalanan yang dipertingkat. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melancarkan kad berkenaan, yang mempunyai lambang kerajaan, di sini pada Selasa.
 

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Group Ahmad Jauhari Yahya berkata pemegang kad berkenaan akan menikmati lebih banyak ganjaran dan pengiktirafan berbanding anggota lain.
 

"Manfaat eksklusif termasuk bonus jarak perjalanan bagi anggota baharu GOM atau apabila mereka menukar daripada kad Enrich biasa, diskaun Program Keistimewaan Golden Lounge dan kelayakan segera kepada peringkat Elite seterusnya yang memberikan lebih banyak ganjaran," katanya pada majlis pelancaran kad itu.
 

Ahmad Jauhari berkata pada masa ini, Enrich GOM mempunyai 25,000 anggota dan MAS berharap dapat meningkatkan bilangan berkenaan dengan mengadakan pameran bergerak di pelbagai kementerian.
 

"Kerajaan, sebagai pelanggan korporat, telah bersama MAS untuk sekian lama dan kad ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih," katanya.
 

Bernama Online

Monday, October 13, 2014

Penjawat Awam Sebagai Pelaksana Perlu Fahami Bajet 2015 - KSN

KUCHING, 12 Okt (Bernama) -- Penjawat awam perlu memahami dan memberi perhatian kepada setiap perkara dalam Bajet 2015 kerana mereka adalah pelaksana dasar dan program yang digubal dan dirancang kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Beliau berkata ini kerana Bajet 2015 yang dibentangkan Jumaat lepas memperkenalkan konsep baharu iaitu 'ekonomi modal' dan 'ekonomi rakyat', satu hubungan simbiotik yang mempunyai kaitan dan perlu selari agar rakyat turut merasai pencapaian yang diraih negara pada peringkat makro.
 

"Ekonomi modal antaranya bermaksud menjana pendapatan dan membawa pertumbuhan menerusi pelaburan asing, pelaburan dalam negeri, perdagangan antarabangsa dan juga kekuatan ringgit.
 
"Ekonomi rakyat pula antaranya berkaitan dengan pendapatan isi rumah, kesejahteraan, kemiskinan, dan semua perkara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan rakyat," katanya.
 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan dan Dialog dengan Pegawai-pegawai Awam Persekutuan, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin.
 

Ali berkata menerusi konsep dipanggil 'pertumbuhan dengan pengagihan', ekonomi modal dan ekonomi rakyat adalah penting dan perlu bergerak bersama-sama.
 

"Kalau modal tidak bergerak macam mana nak tingkatkan pendapatan rakyat?. Jadi saya berharap selepas ini anda (penjawat awam) boleh terangkan apakah yang cuba disampaikan dalam Bajet 2015 itu," katanya.
 

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara berkata beliau mewakili semua penjawat awam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana disebalik isu seperti defisit fiskal, kerajaan tidak melupakan penjawat awam menerusi pemberian bonus, kemudahan perumahan serta beberapa inisiatif lain.
 

Sementara itu ketika ditanya mengenai elaun penjawat awam dan isu-isu penjawatan, Ali berkata perkara tersebut akan tetap dibincangkan secara berkala.
 

"Isu seperti elaun memang dikaji secara berkala, sebaik pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) April 2015, kita akan lihat semula apakah keperluan sektor awam.
 
"Tetapi apa yang penting kita laksanakan CBP dengan sebaik-baiknya," katanya.
 

Bernama Online

Program Kecergasan INTAN (Festival i-Fit) 2014 [10 - 12 Oktober 2014]

Program Kecergasan INTAN (Festival i-Fit) merupakan aktiviti sukan yang melibatkan penyertaan setiap kampus INTAN. Program ini dijalankan secara berkala setiap tahun dimana penganjuran di buat mengikut turutan kampus. Untuk tahun ini INTURA selaku tuan rumah telah menganjurkan Festival i-Fit yang pertama kalinya bagi menggantikan Sukan Antara Kampus INTAN (SAKI) yang dianjurkan setiap tahun sebelum ini.

Festival i-Fit telah dijalankan pada 10 hingga 12 Oktober 2014. Bertemakan “Ke Arah Transformasi Kecergasan”, Festival i-Fit telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan, Timbalan Pengarah Kanan INTAN. Antara intipati ucapan YBhg. Dato’ dalam program tersebut ialah beliau amat menekankan tentang perlunya aktiviti sukan sebegini diamalkan secara berterusan. Acara sebegini boleh diteruskan dari masa ke semasa walaupun diperingkat kampus untuk melahirkan warga INTAN yang cergas dan secara tidak langsung mengujudkan budaya mementingkan kesihatan dikalangan warga.

Antara pengisian Festival i-Fit kali ini ialah Seminar Kecergasan, Acara Sukan VIP, Acara Sukan Padang & Sukan Permainan Tradisional. Festival kali ini melibatkan penyertaan seramai 350 orang warga dari setiap kampus. Secara keseluruhannya setiap warga mempamerkan semangat juang dan semangat kesukanan yang tinggi dalam memastikan pasukan masing-masing berjaya dalam setiap acara yang dipertandingkan.

Majlis penutup telah dibuat pada 12 Oktober 2014, jam 8.00 malam bertempat di Dataran INTURA. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mazlan bin Yusoff, Pengarah INTAN Malaysia. Di dalam ucapan penutup berkenaan, YBhg. Dato’ melahirkan rasa gembira beliau kerana Festival i-Fit kali ini berlangsung dengan meriah kerana kesungguhan kesemua warga INTAN yang bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan bekerjasama dalam satu pasukan yang besar. 

Beliau juga menekankan bahawa Festival i-Fit merupakan medium untuk semua warga INTAN bertukar-tukar pandangan dan merapatkan lagi hubungan sesama warga. Beliau juga berharap agar warga INTAN dapat mengasah skil sukan sedia ada agar dapat mewakili sukan di peringkat yang lebih tinggi.

Di dalam Majlis Penutup ini juga, majlis penyampaian hadiah turut diadakan di mana johan keseluruhan bagi Festival i-Fit 2014 diungguli oleh Kontinjen Kiara View, manakala naib johan pula dimenangi oleh Kontinjen INTURA dan tempat ketiga dimenangi oleh Kontinjen Kiara Point.


Penyerahan bendera Festival i-Fit juga dibuat pada majlis penutup ini, di mana IKWAS selaku tuan rumah bagi tahun 2015 menerima simbolik penyerahan bendera festival.

Acara karom berpasukan 

Warga INTAN yang ceria

Pertandingan ping-pong

Pertandingan dart

YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan menunjukkan 'focus skil'

Sekitar majlis perasmian Festival i-Fit 2014

Pengurusan INTAN

Kontinjen dari setiap kampus

Kontinjen dari setiap kampus

Ucapan aluan oleh YBrs. Dr. Zurina binti Abdul Hamid, Pengarah Wilayah Utara

YBrs. Dr. Zurina binti Abdul Hamid, selaku tuan rumah mengalu-alukan kehadiran kontinjen

Ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan

Perasmian Festival i-Fit 2014

Gimik perasmian

Gimik perasmian

Penyerahan bendera kejohanan Festival i-Fit 2014

Bacaan ikrar kejohanan

Bergambar bersama kontinjen

Satu INTAN, Satu Pasukan, Satu Wawasan

Sesi senamrobik

Sesi senamrobik

Acara Sukan VIP (Parut kelapa)

Acara Sukan VIP (Lenyek pisang)

Acara Sukan VIP (Mengaul adunan)

Acara Sukan VIP (Proses memasak)

Warga yang ceria

YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan menunjukkan bakat terpendamnya

Hampir siap pek-nga (makanan tradisi kedah)


Acara Sukan VIP (Proses memasak)

Acara Sukan VIP (Proses memasak)

Acara Sukan VIP (Proses memasak)

Seminar kecergasan

Antara pengisian Seminar Kecergasan

Bolajaring


Bolatampar

Dam Aji

Badminton

Congkak

Bolatampar wanita

Tenis

Bolasepak

Gelagat warga INTAN

Majlis Penutup Festival i-Fit 2014

Hadiah cabutan bertuah

Hadiah cabutan bertuah

Hadiah cabutan bertuah

Hadiah cabutan bertuah

Hadiah cabutan bertuah

Dr. Awaluddin bin Sidal mewakili Kiara View menerima Piasa Pusingan Johan Keseluruhan

Ucapan penutup oleh YBhg. Dato’ Dr. Mazlan bin Yusoff, Pengarah INTAN Malaysia

Gimik majlis penutup

Penyerahan bendera kejohanan kepada tuan rumah kejohanan tahun hadapan (IKWAS)

Pertunjukan bunga api sejurus selepas selesai majlis penutup