Sunday, April 19, 2015

PROGRAM JPA4U@INTURA : SEKOLAH ANGKAT


Program JPA4U@INTURA: Sekolah Angkat merupakan projek rintis yang julung-julung kali diadakan di INTURA.  Program ini memfokuskan kepada 50 orang pelajar tingkatan 4 yang terpilih dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda. 

            Antara objektif program ini adalah untuk membina potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, generasi yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memperkasakan keupayaan, bakat kepimpinan dan melonjakkan kecemerlangan akademik dan meningkatkan sahsiah dan jatidiri. Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tahun ini bermula Mac hingga November 2015.


Program pertama yang dijalankan ialah Kem Mentor@Guru Pembimbing Dinamik yang telah diadakan pada 17 - 18 April 2015 bertempat di Dewan Jubli Perak, INTURA. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada mentor, kaunselor, guru cemerlang, dan YDP PIBG telah menyertai program ini. Peserta didedahkan dengan gerak kerja berkumpulan dan penerangan aktiviti keseluruhan program.


            Program JPA4U@INTURA: Sekolah Angkat ini dilaksanakan bagi merealisasikan impian Merakyatkan Perkhidmatan Awam melalui konsep perkongsian pintar.  Kepakaran dan keupayaan INTAN dari segi tenaga pelatih yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan aset diharap dapat dioptimumkan. Dengan kerjasama strategik ini juga diharap dapat memberikan pulangan terbaik kepada sekolah yang terlibat.  

















Monday, April 13, 2015

LAWATAN KERJA DELEGASI KYRGYZSTAN


INTAN Wilayah Utara telah menerima kunjungan delegasi dari Republik Kyrgyzstan pada 22 April 2015. Seramai 12 orang yang diketuai oleh Ms. Baiamanova Zuura (State Secretary of the Ministry of Finance of the Kyrgyzstan), termasuk seorang pengiring dari Universiti Malaya telah menyertai lawatan kerja ini untuk mempelajari dan berkongsi maklumat tentang pengurusan pentadbiran dan latihan di NTURA.
           
Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan aluan daripada YBrs. Dr. Zurina bt. Abdul Hamid, Pengarah INTURA dan taklimat pentadbiran INTURA disampaikan oleh Dr. Muhamad Arafat b. Noordin bertempat di Bilik Mesyuarat Bestari. Pelbagai topik dibincangkan sepanjang sesi taklimat ini dan delegasi turut berkongsi pandangan dan idea tentang pengurusan latihan yang di jalankan di INTURA


            Delegasi seterusnya dibawa melawat ke tapak iLead-Park INTURA untuk mencuba elemen yang terkandung dalam sesi pengajaran pengukuhan pasukan.


























Sunday, April 12, 2015

klik imej untuk paparan sebenar

Thursday, April 9, 2015

PEMBEKUAN JAWATAN BAHARU LANGKAH RASIONALISASI PERKHIDMATAN AWAM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Pembekuan pewujudan jawatan baharu merupakan langkah pengawalan saiz perkhidmatan awam yang diperkenalkan kali ini, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

JPA dalam kenyataan hari ini berkata pengisian kekosongan jawatan berikutan persaraan, peletakan jawatan, pertukaran, kematian dan penamatan perkhidmatan masih boleh dilaksanakan seperti biasa. Menurut kenyataan itu, jumlah penjawat awam sehingga 31 Dis tahun lepas ialah sebanyak 1.61 juta, yang memperlihatkan kedinamikan sektor awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Perkhidmatan awam Malaysia merangkumi keseluruhan perkhidmatan termasuk tentera dan polis. 

Menurut JPA, pendekatan rasionalisasi perkhidmatan awam pernah dilaksanakan pada 2008, 2010 dan 2011. "Usaha rasionalisasi ini berpaksikan kepada produktiviti dan penggunaan sumber manusia secara optimum," kata kenyataan itu. JPA berkata pembekuan pewujudan perjawatan baharu dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha menambahkan peluang pekerjaan di sektor swasta. 

Menurut kenyataan itu, sepertimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 28 April lepas, sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2020. "Usaha merasionalisasikan perkhidmatan awam merupakan langkah terbaik kerajaan dalam mendepani realiti pada masa kini bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," kata kenyataan JPA itu. 

Bernama Online