Wednesday, March 30, 2016

Budaya Integriti Penjawat Awam

Adalah penting bagi semua penjawat awam melaksanakan segala tugas
PENTING bagi semua penjawat awam melaksanakan segala tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap perkhidmatan mereka tidak terjejas. – GAMBAR HIASAN
Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti terutamanya dalam kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam yang berada di negara ini.

Adalah penting untuk diketahui bahawa tidak semua penjawat awam dalam negara ini tidak mengamalkan budaya integriti seperti yang telah ditetapkan. Kebanyakan penjawat awam masih mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat dengan sedaya upaya mereka.

Apa yang dimaksudkan dengan integriti? Integriti secara umumnya adalah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan sesebuah organisasi. Isu integriti berkait rapat de­ngan isu etika dan nilai-nilai murni dalam diri seseorang dan sesebuah organisasi.

Integriti penjawat awam pula merujuk kepada apabila seseorang menjawat apa-apa sahaja jawatan yang diamanahkan dalam perkhid­matan kerajaan, penjawat awam terbabit perlu bertindak secara ju­jur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada segala peraturan dan undang-­undang yang ditetapkan.

Apabila berlaku sesuatu konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kepentingan awam. Oleh itu, adalah penting bagi semua penjawat awam melaksanakan segala tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap penjawat awam tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan dan keharmonian negara.

Kerajaan telah lama cuba untuk menerapkan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti serta berintegriti dalam negara ini melalui pengenalan beberapa dasar dan polisi yang berkaitan mulai dengan me­lancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah pada 1982, kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 1983, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam pada 1985, Etika Kerja Islam pada 1987, Budaya Kerja Cemerlang pada 1989, Anugerah Kualiti pada 1990, Piagam Pelanggan pada 1993, e-kerajaan dan MS ISO 9000 pada 1996, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2002, petunjuk prestasi utama (KPI) dan Islam Hadhari pada 2005 dan lain-lain langkah lagi.

Segala dasar dan polisi berkaitan yang dilaksanakan seharusnya di­amalkan oleh semua penjawat awam dengan sepenuh hati supaya mereka dapat melakukan sebarang tugas yang diberikan dengan baik dan cekap.

Selain pelaksanaan dasar dan polisi, pihak kerajaan juga mengeluarkan banyak pekeliling perkhid­matan awam bagi memberi garis panduan kepada setiap penjawat untuk membudayakan sikap inte­griti dalam melaksanakan sesuatu tugas atau amanah yang diberikan kepada mereka seperti Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Bil. 1. 2008, Panduan Pengurusan Perhubungan Pelanggan, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Bil. 1 2009, Penambahbaikan Proses Pengurusan Aduan Awam, Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bil. 2, 1996, Panduan Melaksanakan ISO 9000: 2000, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5, 2007. Panduan Pengurusan Pejabat dan lain-lain lagi.

Pada 24 Julai 2013, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) juga mengeluarkan Pekeliling Perkhid­matan Bil.6/2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti di Semua Agensi Awam.

Unit Integriti (UI) adalah sebuah unit yang ditubuhkan di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau pun di peringkat negeri yang bertanggungjawab menguruskan dan melaksanakan inisiatif-inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku dan tindakan punitif dengan secara yang lebih fokus, terancang, efisien dan optimum.

Segala garis panduan yang dike­luarkan perlu diikuti dengan sebaik-baiknya supaya sesuatu tugas atau amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sikap integriti serta akauntabiliti adalah antara prinsip yang perlu ada dalam setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Pelaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan yang disertakan dengan amalan prinsip-prinsip integriti akan dapat memastikan segala peruntukan yang diberikan kepada setiap agensi, program, aktiviti atau projek dapat disalurkan kepada pihak yang sepatutnya tanpa menghadapi risiko ketirisan atau kebocoran.

Nilai-nilai integriti yang telah lama disuruh dalam Islam juga perlu dihayati serta diamalkan oleh semua penjawat awam khususnya buat penjawat awam yang beragama Islam.

Islam menegah umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang sia-sia, yang tidak membawa apa-apa faedah serta yang boleh membawa kepada kemusnahan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al - Maidah: Ayat 2 - “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran”.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Utusan Malaysia Online

Tuesday, March 29, 2016

klik imej untuk paparan sebenar

Thursday, March 24, 2016

Tambah baik prosedur perolehan kerajaan

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin menyentuh kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kelmarin yang mengesahkan seorang pegawai kanan di kementeriannya telah ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Kenyataan beliau telah menghentikan spekulasi sesetengah pihak mengenai pegawai kanan di kementerian manakah yang telah melakukan penyelewengan berkenaan?

Berikutan pengesahan itu, sudah tentu rakyat kini lebih memberi fokus terhadap hasil penyiasatan pasukan siasatan bebas yang ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompongan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.

Segala hasil siasatan perlu didedahkan kepada orang ramai sebagai bukti kerajaan sentiasa telus dalam pentadbirannya.
Dalam pada itu, satu kemusykilan orang ramai yang harus dijawab oleh pasukan siasatan terbabit ialah bagaimana penyelewengan berkenaan boleh berlaku dalam tempoh yang panjang iaitu sejak 2010 tanpa dapat dikesan?

Bagaimana seorang pegawai kanan yang bertugas sebagai setiausaha bahagian yang menduduki senarai kelapan terpenting dalam sebuah kementerian boleh hidup dengan kemewahan melampau tanpa disedari rakan-rakan yang bertugas satu pejabat dengan beliau?

Akhbar telah melaporkan lelaki berusia 56 tahun itu mempunyai kereta mewah, dua buah rumah, 40 beg tangan berjenama, barangan kemas, insurans, unit amanah bernilai jutaan ringgit dan kerap berkunjung ke luar negara bersama isteri serta dua anaknya dengan penerbangan kelas pertama yang kosnya kira-kira RM80,000 seorang.

Bukankah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, mengkehendaki kakitangan awam mengisytiharkan harta yang mereka miliki apabila mula dilantik, bila ada pertambahan harta baharu, bila melupuskan harta yang telah dilaporkan atau bila diarah oleh kerajaan?

Harta yang perlu diisytiharkan termasuk yang dipunyai oleh pegawai, harta yang dipunyai oleh isteri dan juga yang dipunyai oleh anak pegawai yang di bawah tanggungannya.

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2002 pula menghendaki pegawai awam mengisytiharkan harta setiap lima tahun sekali atau tiga tahun sekali bagi ketua jabatan atau setiap kali mula memegang jawatan ketua jabatan yang baharu.
Adakah segala peraturan ini hanya berada di atas kertas sahaja dan tidak dipraktikkan?

Satu lagi yang menjadi persoalan saya ialah bagaimana seorang setiausaha bahagian boleh mempunyai kuasa begitu besar untuk mempengaruhi proses kelulusan dana kerajaan yang bernilai lebih RM100 juta.

Seperti yang telah dilaporkan dalam media massa, penyaluran peruntukan melibatkan program pembangunan tidak memerlukan persetujuan atau tandatangan pihak atasan seperti Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian.

Dalam kes ini, kementerian tersebut telah membuat bayaran kepada kira-kira 14 syarikat kontraktor yang bersekongkol dengan lelaki terbabit untuk tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

Pengajaran daripada kes ini adalah masih wujud kelemahan dari segi proses audit dalaman kementerian pada setiap tahun dan juga yang dilaksanakan secara berasingan oleh Jabatan Audit Negara yang perlu ditambah baik dengan segera.

SENTIASA PANAS
Temerloh, Pahang
Utusan Malaysia Online

Wednesday, March 23, 2016

Tempoh khidmat pegawai awam ke Kabinet

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kerajaan akan membawa isu mengenai tempoh perkhidmatan pegawai yang memegang sesuatu jawatan strategik di sesuatu kementerian untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Ahmad Shabery
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya kejadian salah guna kuasa membabitkan pegawai di jawatan strategik terbabit, sebagaimana yang berlaku dalam Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita kena lihat semula dari aspek berapa lama tempoh seseorang pe­gawai yang me­megang jawatan strategik, mi­sal­nya menjadi Se­tiausaha Bahagian Kewangan. Perlu ditetapkan tempoh tidak melebihi dua atau tiga tahun kerana berdasarkan pe­nga­laman yang ada, sekiranya baik, patut dinaikkan pangkat atau dipindahkan ke kementerian lain.

“Ini antaranya untuk me­ngelakkan mereka yang fasih serta memahami segala selok-belok dan kaedah untuk meng­gunakan kedudukan sehingga berlakunya salah guna kuasa. Jadi, ini juga menjadi perkara yang insya-Allah akan kami timbulkan pada mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya ke­tika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan semalam mengesahkan seorang pegawai kanannya ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu, prosedur kewangan sedia ada di kementerian telah mantap dan sentiasa ditambah baik tetapi isunya di sini ialah penggiliran kakitangan.

Nur Jazlan yang sebelum ini merupakan Pengerusi Ja­watankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, masalah juga timbul apabila wujud pakatan dalam kalangan pegawai-pegawai kementerian sehingga boleh ‘menewaskan’ prosedur-prosedur yang sepatutnya menghalang berlakunya penyalahgunaan.

“Kadangkala satu pegawai duduk dalam jawatan terlalu lama sehingga boleh menjadi satu perkara yang memudahkan salah guna kuasa berlaku,” jelas beliau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak pula menegaskan bahawa wajar bagi kementerian meneliti kaedah pembahagian kuasa supaya ada akauntabiliti memandangkan yang diuruskan adalah duit rakyat dan perlu digunakan untuk tujuan sepatutnya.

“Masalahnya dalam prosedur ini banyak diserahkan kepada budi bicara, kadangkala kita bagi kelonggaran kepada mana-mana ketua untuk ikut budi bicara mereka.

“Sekiranya budi bicara ti­dak memberi interpretasi yang jelas, akhirnya boleh disebabkan salah guna kuasa. Apa yang penting, pada saya ialah perlunya sistem pentadbiran yang mengambil kira perkara seperti ini,” ujar beliau.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, March 22, 2016

KBS sahkan pegawai kanan disiasat SPRM : Isu seleweng dana kerajaan lebih RM100 juta

PUTRAJAYA 21 Mac - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengesahkan seorang pegawai kanannya ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Sehubungan itu, satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompongan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.

Kementerian itu juga akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan terhadap pegawai kanan berkenaan yang disyaki telah menyeleweng dana kerajaan sejak tahun 2010.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berhubung penubuhan pasukan siasatan bebas tersebut bagi memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam.

“Merujuk kepada kenyataan SPRM tentang isu penyelewengan oleh pegawai kanan kerajaan, saya mengesahkan bahawa individu terbabit yang dirujuk adalah pegawai di kementerian saya. Kami akan terus menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung siasatan tersebut selain satu semakan segera terhadap segala mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di kementerian juga akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2010 itu telah memperdaya kementerian tersebut bagi membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor untuk tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud. Menurut Khairy, beliau telah dimaklumkan oleh SPRM beberapa minggu lepas berhubung siasatan terhadap pegawai terbabit dan telah menyatakan kesediaan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya untuk memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

“Saya ingin jelaskan bahawa aktiviti penyelewengan yang berlaku itu melibatkan program pembangunan yang tidak memerlukan persetujuan atau tandatangan pihak atasan seperti Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian.

“Kementerian melakukan proses audit pada setiap tahun, namun kita perlu meningkatkan meka­nisme dalaman untuk memantau sebarang aktiviti yang salah se­perti penyelewengan. Melalui kes ini juga, kita berjaya mengesan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pasukan siasatan bebas, Khairy berkata, ahli pasukan siasatan bebas itu semestinya terdiri daripada pegawai yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Negara sendiri dan bukannya pegawai yang dilantik daripada kementeriannya bagi mewujudkan ketelusan.

Katanya, buat ketika ini, pegawai kanan tersebut masih lagi dalam tahanan reman dan berdasarkan prosedur perkhidmatan awam, penggantungan tugas hanya dibuat selepas pertuduhan di mahkamah.

Utusan Malaysia Online

Monday, March 21, 2016

Caj rawatan warga asing lebih mahal di hospital awam

KUALA LUMPUR 20 Mac – Perban­dingan relatif kos sebenar yang ditanggung hospital awam sebenar­nya adalah lebih tinggi berbanding hospital dan klinik swasta.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. Ashok Zachariah Phi­lip berkata, namun begitu kadar caj terlalu rendah yang dikenakan ter­hadap pesakit menun­jukkan banyak subsidi diberikan kerajaan dalam aspek kesihatan.

Katanya, apabila membuat perbandingan melibatkan rawatan untuk pesakit warga asing, caj yang dikenakan terhadap mereka boleh menjadi lebih mahal daripada swasta.

“Warganegara luar tidak menik-mati bayaran sama di hospital awam, malah cajnya adalah lebih tinggi kerana kemudahan itu adalah untuk rakyat Malaysia sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia berhubung perbezaan harga di hospital kerajaan membabitkan perkhidmatan rawatan biasa, dialisis mahupun penyakit kronik yang sangat rendah berbanding hospital swasta.

Menjelaskan tentang perbezaan yang terlalu ketara, Ashok berkata, di premis swasta perbelanjaan serta kos keseluruhan biasanya sudah dikenal pasti dan diklasifikasikan mengikut kos ubat, peralatan, kakitangan, utiliti dan pengendalian.

“Di hospital awam, kos sebenar ditanggung oleh kerajaan melalui peruntukan yang disediakan setiap tahun manakala caj yang dibayar oleh rakyat biasanya hanya sebagai ‘token’ saja.

“Contohnya caj rawatan hemodialisis pada kadar RM13, sebenarnya jumlah itu tidak cukup pun untuk membeli tiub salur darah yang berharga antara RM30 hingga RM40 sekali guna,” ujarnya.

Katanya, itu tidak termasuk kos-kos lain antaranya mesin yang berharga RM30,000 hingga RM40,000 seunit, cecair steril (RM20-RM30), peralatan dan utiliti lain.

Utusan Malaysia Online

Program 10,000 Langkah Warga INTURA

Lanjutan daripada Kempen Berjalan 10,000 Langkah yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2009, pelbagai agensi kerajaan, syarikat korporat dan NGO turut mengadakan aktiviti Berjalan 10,000 Langkah masing-masing. Antaranya termasuklah Langkah Ceria @ Putrajaya oleh Perbadanan Putrajaya, Purple Walk oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, AVON Breast Cancer Awareness Walk, TESCO Walk of Life, NESTLE World Walking Day dan lain-lain lagi.
            INTAN Wilayah Utara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda telah menganjurkan Program 10,000 Langkah untuk warga INTURA pada 20 Mac 2016.
Program bermula pada pukul 8:30 pagi di mana para peserta berkumpul di Dataran INTURA untuk melakukan aktiviti regangan sebelum memulakan aktiviti berjalan sejauh lebih kurang 6.5 km mengelilingi kawasan INTURA. Turut hadir menjayakan program ini ialah Dr. Zurina Abdul Hamid, Pengarah INTURA dan Pn. Maznah Bandee dari Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda.














Sunday, March 20, 2016

Peralatan lama masih diguna pakai

DR.  Lau Jia Him menunjukkan peralatan yang masih digunapakai
DR. Lau Jia Him menunjukkan peralatan yang masih digunapakai di Hospital Besar Kuala Lumpur kepada Mingguan Malaysia, semalam. 

KUALA LUMPUR 19 Mac – Orang ramai sering membandingkan kualiti dan teknologi antara hospital swasta dan awam yang ko­nonnya lebih terkini dan canggih, tetapi tidak memahami sebab peralatan lama masih digunapakai di hospital dan klinik kerajaan.

Pakar Perunding Neuro Intervensi dan Radiologi Jabatan Pengimejan Diagnostik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lau Jia Him berkata, kebanyakan peralatan yang digunakan di hospital awam masih digunakan sehingga berbelas tahun sedangkan jangka hayat mesin sepatutnya tidak lebih 10 tahun.

“Mesin yang dipakai bukanlah murah malah ada yang berharga jutaan ringgit dan peralatan tersebut perlu diperbaharui se­­i­ring dengan kemajuan teknologi. Tentunya banyak dana diperlukan sedangkan kita tidak membebankan pesakit dengan bayaran yang tinggi seperti di swasta.

“Di sini kita tidak mengenakan caj untuk perkhidmatan mesin imbas (scan) seperti x-ray, Magnetic Resonance Imaging (MRI) atau CT Scan kerana pesakit luar yang datang biasanya mempunyai surat rujukan sama ada daripada hospital ataupun klinik awam lain,” katanya ketika ditemui di HKL baru-baru ini.

Menurut beliau, jika diban­dingkan kos yang ditanggung kerajaan dengan kadar bayaran terhadap pesakit, sudah tentu jumlah itu menunjukkan perbezaan yang begitu besar.

“Sebagai contoh, sebuah me­sin MRI menggunakan sekurang-kurangnya 10 keping filem untuk sekali pengimejan yang setiap satu keping berharga antara RM8 dan RM10 manakala harga mesin dianggarkan RM150,000 hingga RM1 juta.

“Di hospital swasta, setiap perkhidmatan MRI dikenakan caj kira-kira RM1,300 untuk imbas kepala saja dan harganya boleh mencecah RM3,000 untuk dua bahagian pengimejan. Jika mereka membeli mesin dengan kos RM6 juta, dalam tempoh dua tahun sahaja mereka sudah dapat duit modal,” katanya.

Untuk itu, Jia Him mencadang­kan agar kerajaan menggunakan Picture Archiving Communication System (PACS) di semua hospital awam untuk mengurangkan kos cetakan selain imej boleh dipaparkan secara digital dan dapat diakses oleh doktor walaupun tidak berada di bilik berkenaan.

Utusan Malaysia Online

Hospital awam sedia perkhidmatan jauh lebih murah


KUALA LUMPUR 19 Mac – Ramai yang tidak menyedari bahawa kerajaan menyediakan banyak peruntukan dalam sektor kesihatan demi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Hal ini jelas apabila memban­dingkan harga rawatan dan ubat antara sektor awam dan swasta melalui perkhidmatan sama yang jauh lebih murah iaitu serendah RM1 untuk rawatan biasa.

Bagi rawatan lanjut dan pembedahan, harganya tidak semahal hospital swasta malah kepakaran yang ada di hospital awam adalah bertaraf antarabangsa.

Seorang pekerja swasta yang hanya dikenali sebagai Shamsuddin, 37, berkata, dia terkejut ketika melunaskan bayaran bil hospital isterinya yang disahkan mengan­dung luar rahim pada tahun lalu cuma RM19.

Menceritakan pengalaman iste­rinya, Shamsuddin tidak menyangka kos wad, rawatan, pembedahan membuang tiub dan ubat tidak sampai RM20 padahal jika diban­dingkan dengan hospital swasta tentu kosnya mencecah RM13,000.

“Pada mulanya isteri saya me­ngadu sakit perut, saya bawa dia ke klinik dan doktor beritahu mungkin senggugut biasa sahaja tetapi saya tidak sedap hati lalu pergi ke sebuah hospital sakit puan.

“Isteri saya kemudian dikesan mengalami ‘ectopic pregnancy’ atau hamil luar rahim. Doktor beri saya dua pilihan sama ada ke hospital kerajaan atau swasta, tetapi mencadangkan ke hospital awam saja,” katanya.

Tambah Shamsuddin, khuatir dengan keadaan isterinya yang be­risiko maut sekiranya tiub falopio pecah, dia terus ke sebuah hospital awam dan menyediakan wang kira-kira RM1,000 sebagai persediaan selepas membayar wang deposit sebanyak RM30.

“Isteri saya dimasukkan ke dalam wad selama tiga hari dan menjalani pembedahan. Selepas dibenarkan keluar, pihak hospital mahu memulangkan kembali baki wang deposit saya tapi saya dermakan kerana kos rawatan isteri saya amat murah dan di luar jangkaan.

“Saya amat bersyukur isteri saya sudah kembali sihat dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh hospital kerajaan,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online


Kerajaan tidak mansuh biasiswa JPA - Azalina

KUALA LUMPUR 19 Mac - Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa ia tidak pernah memansuhkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagi 2016, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.65 bilion bagi menanggung penuntut menerusi biasiswa itu.

"Jelas menunjukkan yang kerajaan tidak pernah mengetepikan soal pendidikan, justeru itu, saya berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu ini dan mengelirukan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan demikian berikutan laporan berita bertajuk "Kerajaan jimat RM240 juta setahun pembatalan biasiswa" yang mendapat reaksi banyak pihak

Bernama Online