Saya ingin memetik kata-kata Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim, bekas Ketua Hakim Negara yang tersohor, seperti yang dirakamkan dalam kes Kerajaan Malaysia lawan Rosalind Oh Lee Pek Inn pada 1973 yang menyatakan seperti berikut:

“It is true that the origin of Government service is contractual. There is an offer and acceptance in every case. But once appointed to his post or office, the Government servant acquires a status and his rights and obligations, are no longer determined by consent of both parties, but by statute or statutory rules, which may be framed and altered unilaterally by Government... the hall-mark of status, is the attachment to a legal relationship of rights, and duties imposed by the public law, and not by mere agreement of the parties”.

Prinsip ini diraikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Rajion Sulaiman lawan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975, di mana saya suka memetik kata-kata Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah semasa baginda menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan seperti berikut:

“The argument that Government, cannot unilaterally amend the conditions of service of a person, in the public service of a State by administrative rules and regulations overlooks and negatives the tenure at pleasure laid down in Art 132(2A) of the Constitution. In my view, the rules and regulations relating to the public services under the Constitution are directory, liable to be changed to suit the public policy of the State”.

Kes yang saya petik ini penting kerana amat relevan dengan perihal Saya Yang Menurut Perintah dalam perkhidmatan awam. Dalam hal ini, apa yang diharapkan kerajaan bukan ketaatan yang membuta tuli sehingga penjawat awam bekerja tanpa berfikir. Jika prinsip ini disalahfaham, maka akan terbantutlah kreativiti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam.

Pada masa kini, kita pula berhadapan dengan liku-liku yang penuh cabaran di mana kadang-kala kita barangkali terlupa tentang asas-asas dan fundamental yang mendasari tugasan kita seharian khususnya yang termaktub dalam Rukun Negara di bawah frasa ‘Keluhuran Perlembagaan’

Dalam konteks perkhidmatan awam, nilai-nilai kebersamaan de­­ngan kerajaan, berkeupayaan menterjemahkan dasar-dasar kerajaan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam berasaskan pembudayaan nilai integriti dan patriotisme adalah penting. Hal ini kerana penjawat awam bertanggungjawab sepanjang masa untuk melindungi kepentingan kerajaan.

Sehubungan itu, dalam konteks Saya Yang Menurut Perintah, frasa ini menuntut penjawat awam untuk sentiasa mengakui bahawa sebarang perkataan dan tindakan mereka haruslah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Ungkapan Saya Yang Menurut Perintah ini tidak sekali-kali sama dengan ungkapan ‘Yes! Bos!’, melainkan dalam ruang lingkup kepatuhan kepada semua peraturan-peraturan yang telah mengikat perkhidmatan seseorang pegawai awam itu.
Semasa di awal penjawat awam menyertai perkhidmatan, mereka sudah pun mengangkat sumpah. Maka, mereka diingatkan untuk tidak bermain-main dengan sum­pah. Sebab tanggungjawab menjaga rahsia kerajaan itu adalah untuk kebaikan negara kita.

Saya mengajak semua penjawat awam untuk melihat lebih jelas perkara-perkara dalam Perintah-perintah Am Bahagian II (Kelakuan) iaitu di bawah Peraturan 4(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang menyebut seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan. Kita sudah mengangkat sumpah kesetiaan, solidariti, amanah dan sebagainya. Oleh itu, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk menjaga rahsia kerajaan.

Sehubungan dengan semangat Perlembagaan yang kita dokong ini, kepatuhan kepada undang-undang negara khususnya yang berkaitan perkhidmatan awam menonjolkan nilai-nilai sebenar Saya Yang Menurut Perintah dalam kalangan penjawat awam.

Penekanan kepada aspek kepatuhan terhadap undang-undang dalam kalangan penjawat awam, dapat dilihat dalam Peraturan 4(2) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang pegawai awam membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan diri atau berkelakuan yang boleh membawa kepada kepentingan diri yang bercanggah dengan tugas awamnya, sehingga menjejaskan atau memburukkan nama baik perkhidmatan awam.

Oleh itu, perbuatan mengingkari perintah atau arahan dengan melakukan sesuatu perkara yang boleh ditafsirkan sebagai melanggar perintah atau undang-undang tidak boleh diterima dan dimaafkan sama sekali. Hasilnya, selepas 58 tahun negara mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Negara kita masih kukuh dan utuh, ia bukti kesetiaan penjawat awam kepada negara.

Dalam hal menyentuh isu ke­tegasan dan kepatuhan yang jitu kepada semua aspek perundangan tersebut, sebagai pegawai awam kita juga tidak boleh lupa tanggungjawab kita untuk sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa seperti yang digagaskan dalam Rukun Negara ini. Ia adalah penerapan nilai-nilai penyayang, suka membantu, hormat- menghormati, bertolak ansur dan peramah kerana kita sentiasa berurusan secara langsung de­ngan pelanggan atau orang ramai.
Ini juga adalah antara intipati dalaman dalam memelihara etika profesionalisme yang bersifat berkecuali agar tidak berlaku masalah perpecahan, pertelingkahan dan konflik dalam melaksanakan tugas.

Dalam konteks penjawat awam dan media sosial pula, tidak dapat dinafikan keghairahan kita mendepani teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang pesat. Aplikasi Facebook dan WhatsApp, membawa kita untuk sentiasa tergoda bagi meluahkan dan melahirkan rasa hati dan pandangan terhadap sesuatu perkara.

Namun begitu, kita harus menggenggam hati dan akal kita untuk menahan godaan itu kerana sebagai anggota perkhidmatan awam di bawah Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan, kita sentiasa tertakluk kepada semua Perintah Am dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam khususnya berkaitan kelakuan dan tatatertib tanpa sebarang pengecualian. 

Dalam hal ini, kita juga hendaklah mematuhi antara lain kepada larangan memberikan apa-apa penyataan umum untuk apa-apa tujuan seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Jika tidak, kita bukan sahaja membocorkan rahsia kerajaan atau mendedahkan diri kita untuk diperalatkan, malah mewujudkan suatu bentuk provokasi dan debat yang tidak bijaksana dalam kalangan masyarakat yang sebegitu mudah percaya pada setiap perkataan kita atas merit kita sebagai pegawai awam yang sentiasa dilihat knows better what is inside the office. Budaya negatif ini perlu dielak.

TAN SRI MOHAMAD ZABIDI ZAINAL ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Artikel ini adalah ucaptama beliau sempena Kursus ‘Saya Yang Menurut Perintah’ 
di Jabatan Peguam Negara.

Utusan Malaysia Online