Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, perkhidmatan kaunter tersebut merupakan yang pertama dibuka di luar Putrajaya dan akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.

Katanya, pembukaan kaunter tersebut adalah bagi menggantikan kaunter di Maju Junction yang telah ditutup sebelum ini.
“Pertukaran lokasi kaunter tersebut untuk memudahkan mereka berurusan bukan sahaja berhubung persaraan, malah dalam masa sama turut boleh melakukan urusan lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perkhidmatan Kaunter 1Pesara JPA @ DBKL di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Tambah Mohamad Zabidi, kaunter 1Pesara itu menyediakan 10 perkhidmatan, antaranya kelulusan pembiayaan dialisis, permohonan tuntutan bayaran balik peralatan perubatan, tuntutan perjalanan bagi tujuan perubatan, status persaraan, permohonan pencen terbitan bagi kematian dan persaraan.

“Selain itu, kaunter itu turut menyediakan perkhidmatan pertukaran Skim B ke Skim A, permohonan kad pesara, pertukaran akaun bank, permohonan bantuan me­ngurus jenazah serta permohonan pendaftaran anak kurang upaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perancangan untuk menambah kaunter tersebut di seluruh negara akan tertumpu kepada lokasi tumpuan ramai.

“Ini bagi memudahkan pesara menguruskan hal berkaitan pencen, selain pada masa sama menguruskan hal lain seperti memperbaharui pasport, kad pengenalan dan sebagainya,” ujarnya.

Tambah Mohamad Zabidi, kakitangan yang menguruskan kaun­ter berkenaan akan diberi latihan secukupnya supaya boleh memberi perkhidmatan terbaik.

“Kaunter 1Pesara JPA adalah satu kaunter pelbagai perkhidmatan. Seperti kaunter di DBKL ini, kakita­ngan bukan sahaja boleh melaksa­nakan perkhidmatan berkaitan DBKL tetapi juga urusan berkaitan dengan kakitangan awam,” katanya.

Utusan Malaysia Online