Tuesday, February 28, 2017

Ubah sistem kenaikan pangkat bawah JPA


UBAH sistem kenaikan pangkat untuk mengambil kira sumbangan, pengalaman dan kecekapan kakitangan supaya prospek kerjaya mereka lebih cerah (Gambar Hiasan)
Saudara Pengarang,
SUDAH sampai masanya Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menaik taraf serta menyusun semula sistem pentadbirannya walaupun JPA dianggap salah sebuah jabatan terbaik di negara ini.
Beberapa perubahan perlu diketengahkan memandangkan urusan pentadbirannya begitu mencabar dengan peningkatan mendadak permohonan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan juga ijazah yang mencecah ratusan ribu setahun untuk merebut jawatan kakitangan awam.
Bayangkan setiap tahun pemohon jawatan sektor awam berjumlah ratusan ribu sedangkan kekosongan cuma ada beberapa ribu sahaja.
Mereka yang memohon pula bukan sebarangan kerana mempunyai kelayakan ijazah, diploma dan sijil masing-masing.
Disebabkan terlalu ramai golongan yang mempunyai ijazah menganggur, ada di antara mereka ini hanya berani memohon jawatan sebagai Pembantu Tadbir atau Juruteknik dan itu pun kalau bernasib baik jika ada kekosongan.
Begitu juga nasib mahasiswa yang mendapat segulung ijazah dalam bidang pendidikan kini ramai di antara mereka hanya mampu duduk di rumah hingga ada yang sudah bertahun-tahun menanti jawatan perguruan.
JPA dan institusi-institusi pengajian tinggi hendaklah duduk semeja untuk membincangkan cara terbaik bagaimana untuk mengatasi masalah ini.
Kalau hendak dibuat perancangan, perkiraannya mudah sahaja di mana jumlah kekosongan guru yang perlu diisi setiap tahun seperti dirangkakan oleh Kementerian Pendidikan diserahkan kepada JPA bagi menentukan jumlah pelajar di dalam kursus perguruan.
Seterusnya, JPA memaklumkan kepada pihak universiti jumlah kuota yang diperlukan agar tidak diambil muat sesuka hati bagi kursus perguruan yang akhirnya menyebabkan lambakan bakal-bakal guru yang menganggur meningkat setiap tahun.
Begitu juga di dalam menentukan kenaikan pangkat, saya cadangkan supaya kenaikan pangkat rank and file dihidupkan kembali kerana ramai di antara kakitangan dan pegawai bawahan yang mempunyai prestasi cemerlang, cekap serta boleh membuat kerja-kerja lebih mencabar.
Mereka wajar diberikan peluang kerana kenaikan pangkat tidak semestinya mengikut kelulusan sahaja sementara mereka yang berkelayakan SPM dibiarkan kekal dengan jawatan kerani.
Mereka yang mempunyai sijil SPM juga layak ditawarkan jawatan Kerani Kanan atau Juruteknik Kanan seperti juga anggota polis yang berpangkat rendah boleh ditawarkan jawatan pegawai tinggi mengikut kecekapan, sumbangan dan prestasi kerja mereka.
Bukan semuanya bergantung kepada ijazah dan pendidikan, ada sesetengah aspek jawatan memerlukan pengalaman, kecekapan dan dedikasi yang melangkaui kelayakan akademik.
Untuk memberikan semangat kepada penjawat awam, maka sudah sampai masanya JPA merancangkan sesuatu untuk meningkatkan prestasi kakitangan awam itu sendiri.
Kebanyakan sektor swasta memilih pegawai-pegawainya bermula dari bawah melalui rank and file, mengutamakan kakitangan sedia ada dan selalunya syarikat mereka ini akan lebih maju lagi dengan kaedah tersebut.
Dicadangkan juga supaya jawatan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diuruskan terus oleh JPA dan bukannya pihak PBT itu sendiri supaya lebih adil.
Sekiranya semua PBT bukan lagi sebuah jabatan tertutup, maka kakitangannya boleh ditukarkan ke mana-mana PBT lain.
Yang paling penting, bukan hanya aspek kelayakan akademik diambil kira sebagai kelayakan kenaikan pangkat. Sebab itu juga sekolah dan universiti kini turut mengambil kira aktiviti kokurikulum dalam penilaian kecemerlangan pelajar.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban, Negeri Sembilan

Utusan Malaysia Online

Banyak pemberi, penerima rasuah mula buat aduan

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Semakin banyak pembe­ri dan penerima rasuah mula tampil membuat aduan berhubung tawaran rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan.
Penolong Pesuruhjaya­ Bahagian Pendidikan Masya­rakat SPRM, Rosdi Hassan berkata, perkara itu antara­nya disebabkan tindakan ag­resif SPRM terhadap jena­yah rasuah kebelakangan ini yang turut menyaksikan penahanan dan pendakwa­an beberapa pegawai kanan kerajaan.
“Antara yang berisiko ter­li­bat rasuah adalah barisan ha­dapan penjawat awam yang berurusan dengan orang ra­mai termasuk sektor per­­o­lehan, perkhidmatan dan penguatkuasaan.

“Justeru, kedua-dua pihak yang berpotensi ini perlu berjaga-jaga kerana pemberi atau penerima rasuah juga boleh melaporkan kegiatan rasuah untuk melepaskan diri,” katanya semasa Sesi Dia­log Bersama SPRM anjuran Koordinator Dewan Un­da­ngan Negeri (DUN) Gom­bak Setia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Tambah Rosdi, dalam me­mastikan budaya rasuah dapat dibendung, golongan pendidik di semua peringkat harus memainkan peranan untuk membentuk pelajar tentang jenayah itu.
“Selitkan pengetahuan me­ngenai jenayah rasuah dalam sesi pembelajaran dan sematkan nilai-nilai integriti dalam aktiviti di dalam atau di luar kelas.
“Kita tidak mahu kes se­perti pelajar universiti menyogok pensyarah untuk lu­lus peperiksaan menjadi bu­daya dan ini perlu diben­dung daripada awal iaitu sejak di sekolah,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Friday, February 24, 2017

Berhenti ‘cucuk’ penjawat awam

Saudara Pengarang,
SAYA menyokong kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bahawa kiraan kakitangan awam di negara ini tidak sama dengan negara lain.
Seperti yang beliau jelaskan, jumlah 1.6 juta penjawat awam Malaysia nampak ramai kerana empat cabang perkhidmatan lain dimasukkan sekali dalam pengiraan iaitu tentera, polis, pendidikan dan kesihatan.
Negara-negara maju pula tidak mengambil kira tentera, polis, guru dan kesihatan sebagai kakitangan awam malah Azih mendakwa jumlah sebenar kakitangan awam di Malaysia cuma sekitar 500,000 orang jika ditolak empat cabang tersebut.
Sedangkan, kita masih tidak cukup anggota polis dan guru, masih cuba memenuhkan keperluan kakitangan perubatan dan tidak boleh mengurangkan bilangan anggota tentera, adakah 500,000 penjawat awam itu perlu dicantas untuk mengurangkan kos?
Mudah bagi orang yang sudah bersara dan hidup dengan pencen bersamaan setahun gaji pekerja bawahan untuk membuat cadangan mengurangkan kakitangan kerajaan tetapi fikirkan sama nasib mereka yang masih bekerja.
Mungkin ada agenda politik menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi atau cuma pandangan peribadi tetapi cadangan ini terlalu umum dan tidak sepatutnya dibuat secara terbuka.
Sepatutnya dicadangkan penapisan lebih ketat supaya kakitangan awam bukan terdiri daripada kaki ponteng yang suka melepak di kedai kopi sepanjang hari, tingkatkan pemeriksaan mengejut dan buat penilaian berkala.
Elakkan juga mencipta jawatan-jawatan baharu yang bertindih tugas dan tanggungjawab, umpama seorang buat kerja dan seorang lagi gaji buta.
Cegah kronisme sama ada melibatkan ahli keluarga mahupun mengikut bangsa dan agama tertentu dalam satu-satu jabatan di samping menukar lokasi tugas pegawai penguatkuasaan yang mudah terdedah kepada umpan rasuah khususnya di sempadan negara.
Ini bukan kali pertama dan pastinya bukan kali terakhir cadangan tersebut dikemukakan malah ada parti politik sudah nyatakan rancangan untuk cantas bilangan kakitangan awam, termasuk dalam empat cabang tadi sekiranya mereka menang pilihan raya.
Ada orang mainkan isu kakitangan awam kerana hasad dengki majoritinya orang Melayu tetapi mereka lupa kaum lain juga ramai bekerja mahupun ‘cari makan’ dengan kerajaan dan pasti terjejas sama jika ada berlaku perubahan drastik.
Ingatlah isu pekerja ini melibatkan hidup orang, bukan benda boleh dibuat bahan berpolitik atau mainan orang berfikiran sempit.
KERANI MISKIN
Putrajaya


Utusan Malaysia Online

Tuesday, February 21, 2017

KKLW jadikan integriti pegangan kakitangan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa komited dalam usaha menjadikan aspek integriti sebagai pegangan utama dalam mendidik kakitangannya tentang bahaya dan kesan daripada kegiatan rasuah.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai sebuah badan kerajaan, pihaknya perlu menunjukkan imej bebas rasuah, sekali gus menarik kepercayaan rakyat terhadap peranan kerajaan dalam membangunkan negara.
“Sehubungan itu, pada 8 Mac ini, kementerian akan mengadakan program Sehari Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi pendedahan kepada semua kakitangan tentang bahaya rasuah dan bagaimana untuk mengelak daripada terlibat.
“Program itu menunjukkan kementerian serius dalam isu melibatkan rasuah, terutama jika ada kakitangan yang terlibat dan tiada sebarang kompromi jika sesiapa yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah 2016 di sini hari ini.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan seramai 2,926 kakitangan kementerian berkenaan menerusi agensi dan anak syarikat di seluruh negara menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan, program bersama SPRM itu juga dapat dijadikan garis panduan oleh semua warga kementeriannya untuk berurusan dengan pelbagai pihak.
“Mungkin ada kakitangan yang kurang jelas mengenai apa itu rasuah dan menerusi program tersebut, mereka akan diberi penera­ngan yang lebih jelas oleh pihak yang berkaitan.
“Tidak mahu ambil tahu dan tidak tahu bukanlah alasan terbaik untuk melibatkan diri dalam gejala rasuah dan perkara itu harus disedari oleh semua pihak termasuk penjawat awam yang melambangkan integriti negara,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online

Madinah Ketua Audit Negara baharu

Tan Sri Dr. Madinah Mohamad

PUTRAJAYA 20 Feb. - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Audit Negara bermula Khamis ini menggantikan Tan Sri Amrin Buang yang tamat tempoh perkhidmatannya lusa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Madinah akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh dua tahun sehingga 22 Februari 2019.
“Adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan perlantikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Utusan Malaysia Online

Sunday, February 19, 2017

Bilangan penjawat awam kekal 1.6 juta

KUALA SELANGOR 18 Feb. - Kerajaan tidak akan menambah atau mengurangkan bilangan penjawat awam, malah mengambil pendekatan redeployment jika ada keperluan mewujudkan perjawatan baharu pada masa depan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, jumlah 1.6 juta penjawat awam kini dilihat sudah memadai memandang­kan golongan itu dilatih untuk bertugas secara multitasking, termasuk ke arah menghapuskan jawatan yang tidak lagi relevan sesuai dengan perubahan semasa.
Beliau berkata, ia adalah langkah yang diambil kerajaan sejak 2012 untuk mengurangkan perbe­lanjaan pengurusan bagi sektor itu dan ia masih dilaksana hingga ke hari ini.
“Semua penjawat awam sedia ada atau yang baharu perlu sentiasa bersiap sedia dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan.
“Kita tidak kurangkan perjawatan awam, mungkin ada beberapa jawatan dahulu hilang peranannya namun diganti dengan tugas baharu yang mengikut keperluan semasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ali berkata, pihaknya turut menerima banyak permintaan untuk menambah perjawatan baharu dalam agensi kerajaan termasuk sektor kese­lamatan, namun ia akan diteliti dan dipertimbang kewajarannya terlebih dahulu.
Dalam soal ini, beliau berkata kerajaan akan melihat sama ada penggunaan konsep redeployment adalah lebih sesuai atau sebaliknya bagi mengelak wujud kembali perjawatan yang tidak perlu.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) mencapai sasaran sepatutnya selaras dengan hasrat kerajaan yang menjadikan tahun 2017 sebagai tahun penyampaian perkhidmatan.
Bernama Online

Saturday, February 18, 2017

Johari nafi keluar kenyataan jumlah penjawat awam sebabkan kejatuhan hasil kerajaan

Datuk Seri Johari Abdul Ghani 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jumlah penjawat awam menyebabkan kejatuhan hasil kerajaan.

Johari berkata, beliau juga tidak pernah mengeluarkan statistik perbandingan dengan negara-negara lain mengenai jumlah kakitangan kerajaan.
"Apa yang saya nyatakan pada surat khabar Oriental Daily (akhbar harian bahasa Cina) hanyalah jumlah kakitangan kerajaan serta jumlah emolumen tahun 2016 yang dibayar oleh kerajaan.
Kenyataan fakta saya telah dimanipulasi oleh pihak pembangkang," katanya dalam kenyataan hari ini

Bernama Online

Wednesday, February 15, 2017

Beberapa agensi kerajaan negeri dipantau SPRM


Datuk Shaharom Nizam Abd Manap (kiri) bersama Datuk Sazali Salbi (kanan) melihat paparan laman web SPRM selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Sprm di Kompleks Kerajaan Persekutuan di sini hari ini. 


KOTA KINABALU 14 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sedang memantau beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri yang didapati terdedah dengan unsur-unsur rasuah serta penyelewengan.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Sazali Salbi berkata, pemantauan itu memberi fokus kepada jabatan dan agensi kerajaan yang berinteraksi secara langsung dalam pembangunan serta perkhidmatan kepada rakyat negeri ini.
Malah jelasnya, pemantauan itu juga berdasarkan daripada aduan atau maklumat terdahulu dan sekarang, laporan audit, laporan biro pengaduan awam serta maklumat daripada pegawai SPRM sendiri.
“Untuk enam bulan pertama tahun ini iaitu fasa pertama, kita akan membuat kajian menerusi Penilaian Risiko Rasuah (CRA) dengan menganalisis maklumat tahun-tahun terdahulu dan sekarang sesebuah agensi tersebut.
“Ada beberapa agensi dan kementerian di negeri ini yang berkaitan dengan perkhidmatan kepada rakyat Sabah menjadi tumpuan SPRM. Kita akan melihat sama ada peruntukan yang disalurkan kepada agensi itu oleh kerajaan Persekutuan dan negeri sampai kepada rakyat,” katanya dalam majlis serah terima tugas antara beliau dengan Shaharom Nizam Abdul Manap di sini hari ini.
Sazali yang sebelum ini berkhidmat di Bahagian Siasatan Ibu pejabat SPRM Putrajaya ditukarkan bagi menggantikan Shaharom Nizam yang dipinjamkan ke Prasarana Malaysia Berhad dengan menjawat jawatan Ketua Pegawai Integriti.
Tambahnya, bagi fasa kedua pula, pihaknya akan menggempur dan mengambil tindakan jika wujud unsur-unsur rasuah dan penyelewengan ke atas agensi serta kementerian terbabit berdasarkan kajian fasa pertama.
“Enam bulan pertama iaitu fasa pertama, fasa kedua tahun ini juga, kita akan mengambil tindakan ke atas kementerian atau agensi kerajaan negeri terbabit jika wujud unsur-unsur rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, Sazali memaklumkan pihaknya akan mempergiatkan pendekatan turun padang ke setiap agensi kerajaan dan swasta bagi bertemu para pelanggan untuk mendapatkan input dan pandangan mereka mengenai kecekapan pengurusan jabatan tersebut.
Ujarnya, langkah itu merupakan inisiatif pengurusan tertinggi SPRM dalam menambah baik keberkesanan pengurusan sesuatu jabatan, sekali gus terhindar daripada salah laku rasuah.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, February 14, 2017

Lambakan kakitangan awam perlu dikurangkan

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Penstrukturan semula Malaysia Airlines yang menyaksikan pembuangan pekerja seramai 6,000 orang disifatkan dibuat pada waktu yang tepat ketika kedudukan ekonomi kukuh dan kerajaan mampu menyediakan pakej pampasan yang mencukupi.
Bekas Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd Kassim berkata, walaupun tindakan menyebabkan kerajaan menanggung kos yang tinggi tetapi langkah itu wajar dilaksanakan berdasarkan kemampuan kewangan yang ada.
“Kita tidak perlu menunggu seperti apa yang menimpa Greece apabila berlakunya krisis kewangan.
“Oleh sebab itu, pembuangan pekerja perlu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan menawarkan pelbagai insentif berbanding melakukannya secara tiba-tiba (memotong gaji dan pencen) apabila dilanda krisis,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi penceramah sesi panel yang membincangkan Evolusi Perkhidmatan Awam di Malaysia - Dahulu, Sekarang dan Akan Datang pada Forum MEA: Tadbir Urus Ekonomi - Tadbir Urus Sektor Awam di sini hari ini.
Forum kali ketiga itu diadakan bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kerangka kerja tadbir urus untuk sektor awam.
Mohd. Sheriff yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk mengurangkan lambakan kakitangan dalam perkhidmatan awam sekiranya mahu mencapai kadar defisit pada tiga peratus.
“Untuk melaksanakan perkara ini secara berperingkat, Parlimen boleh mewujudkan jawatankuasa untuk memantau prestasi pegawai atasan kerajaan dan memberi mereka keupayaan untuk memberhentikan pegawai-pegawai ini jika gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Setakat ini, Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah penduduk yang tertinggi di Asia Pasifik, seramai 1.6 juta orang mewakili 11 peratus daripada tenaga kerja di negara ini.
Malaysia dijangka membelanjakan sebanyak RM76 bilion untuk gaji dan elaun bagi perkhidmatan awam pada tahun ini, dengan RM21 bilion untuk bayaran pencen.
Sementara itu, Presiden MEA, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, terdapat beberapa sektor yang memerlukan jumlah pekerja lebih ramai terutama dalam sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Untuk sektor yang perlu dikurangkan ialah kakitangan pentadbiran kerana mempunyai sistem teknologi maklumat yang lebih efisien dan kita juga perlu ke arah kerajaan elektronik pada masa depan,” katanya.

Utusan Malaysia Online


Monday, February 13, 2017

Doktor paling ramai ponteng, dibuang kerja – Ali Hamsa


Tan Sri Dr. Ali Hamsa

KLANG 13 Feb. – Doktor merupakan kakitangan awam yang pa­ling ramai dikesan ponteng kerja dan ada antara mereka ‘hilang’ selama 200 hari tanpa dapat dikesan.
Pendedahan serius itu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sendiri dan kata beliau, kebiasaannya mereka yang ponteng kerja adalah doktor pelatih.
Menurut Ali, sikap tidak amanah itu menjadi penyebab utama mengapa bidang perubatan menjadi sektor yang pa­ling ramai kakitangannya diberhentikan kerja
Jelasnya, disebabkan masa­lah disiplin tersebut, negara rugi besar kerana kos untuk melahirkan seorang doktor tidak murah iaitu mencecah RM1 juta seorang.
“Punca sebenar masih belum dikenal pasti, tapi kemungkinan besar mereka ini tidak tahan dengan tekanan kerja atau tidak mampu memikul tanggungjawab untuk menjadi seorang doktor.
“Mungkin juga semasa latihan mereka tidak mendapat kemahiran dengan bagus atau mungkin juga ada silap di pihak universiti menyebabkan mereka tiada kepakaran yang sepatutnya sehingga berasa tertekan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ali membe
ritahu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diminta untuk melihat dan memperbaiki situasi tersebut.
“Mereka ini ditaja oleh kerajaan, keluarga dan badan-badan tertentu dengan kos sehingga RM1 juta, jadi rugi mereka tidak hadir tugas dan tidak mahu kerja.
“Sebab itu kita perlu cari jalan untuk galakkan mereka te­rus berkhidmat dan kalau benar puncanya adalah tekanan, saya akan bincang dengan Kementerian Kesihatan termasuk memberi program tertentu kepada mereka,” jelasnya.

Utusan Malaysia Online

Pusat Latihan RELA Lundu termahal, terbesar di Malaysia

LUNDU 12 Feb. - Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bernilai RM165 juta yang diluluskan pembinaannya di sini, bakal menjadi pusat latihan baharu yang terbesar bagi jabatan itu di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan pusat latihan termahal itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Santubong yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa masih memegang jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini.
Katanya, cadangan tersebut telah disokong oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem kerana projek dirancang itu terletak di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.
“Sebagai tanda sokongan, Adenan telah memberikan sebidang tanah di sini, untuk dijadikan tapak pembinaan pusat latihan itu.
“Apabila siap pembinaannya nanti, Pusat Latihan RELA Lundu akan menjadi pusat latihan termahal dan terbesar bagi RELA di Malaysia,” katanya berucap dalam Majlis Bersama RELA Daerah Lundu di Dewan Masyarakat Lundu di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang turut hadir, bersetuju memberi peruntukan RM16 juta kepada RELA Sarawak untuk membiayai pembelian uniform 345,000 anggotanya.
Katanya, RM16 juta itu adalah baki wang peruntukan dijanjikan diberi kepada RELA oleh Adenan pada tahun lalu.
Menurutnya, Allahyarham berjanji membantu RELA Sarawak membeli uniform dengan meluluskan peruntukan RM20 juta tetapi hanya sempat menyerahkan RM4 juta sebelum pemergiannya.
Pada tahun lalu, kerajaan Pusat bersetuju memberikan peruntukan RM20 juta, manakala kerajaan negeri melalui Adenan meluluskan jumlah sama kepada RELA Sarawak untuk membeli uniform bagi anggotanya.

Utusan Malaysia Online

Sunday, February 5, 2017

Berita@INTURA Januari 2017

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar