Thursday, June 30, 2011

8,196 kakitangan awam tidak hadir bertugas dikenakan hukuman

MELAKA 30 Jun - Sebanyak 8,196 kes kakitangan awam yang tidak hadir bertugas tanpa mengemukakan borang cuti, mendapatkan kebenaran atau memberi sebab munasabah dikesan berlaku sejak dua tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kes tidak hadir bertugas tanpa cuti, menyumbang sebanyak 40 peratus daripada kesalahan tatatertib bagi kakitangan awam.

Ekoran kesalahan tersebut, tegas beliau, mereka telah dikenakan hukuman lucut hak emolumen, buang kerja, denda dan amaran.

"Kesalahan tatatertib dalam kalangan penjawat awam (kakitangan awam) di negeri ini adalah serius khususnya kes tidak hadir tanpa cuti.

"Bagaimanapun, mereka yang terbabit telah dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kursus Perintah Awam Penjawat Awam 2011 di Dewan Konvensyen Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM), Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Mohd. Ali berkata, kesalahan disiplin yang dilakukan oleh kakitangan awam telah menyebabkan tindakan terpaksa diambil terhadap mereka bagi menggelakkan ia menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam agar tidak melakukan kesalahan disiplin sewaktu bertugas kerana pihaknya tidak akan berkompromi berkaitan perkara tersebut.
"Saya harap jangan ada antara kita yang melanggar amanah dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kerana penjawat awam menjadi duta kecil kepada kerajaan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui masih ada sesetengah kakitangan awam masih mengamalkan budaya lepak di kedai-kedai kopi atau restoran di waktu bertugas.
Ujarnya, budaya tersebut jika terus diamalkan boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap kerajaan.

Utusan Online

Penjawat awam perlu hindari politik jalanan

KUALA LUMPUR 30 Jun - Penjawat awam disaran meneruskan perkhidmatan cemerlang di bawah jabatan masing-masing dan tidak terpengaruh dengan kumpulan politik jalanan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sebagai benteng negara, penjawat awam harus berfikiran panjang dalam membuat keputusan.

"Oleh kerana kita benteng negara, kita perlu berfikiran lebih 'institusi' dengan memahami institusi kita dari semua sudut," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di Istana Budaya di sini hari ini.
Seramai 811 penjawat awam dari 18 jabatan dan agensi kementerian menerima anugerah tersebut.

Jelas beliau, golongan itu perlu bijak dalam menentukan kecenderungan mereka dan tidak memilih kumpulan yang menggunakan keganasan dan demonstrasi jalanan untuk menarik perhatian orang ramai.

"Setiap apa yang perlu kita ikut perlulah berlandaskan demokrasi kita. Dalam hal ini, (landasan) Parlimen adalah terbaik," ujarnya.

Mengulas gesaan supaya gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada Datuk A. Samad Said dilucutkan berikutan penglibatannya dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Rais beranggapan bahawa keputusan mengenai perkara tersebut perlu berdasarkan pertimbangan pihak yang memberikan anugerah itu iaitu Panel Sastera.
"Sekiranya pihak yang menganugerahkan gelaran itu mendapati tindakan beliau (A. Samad) menentang kerajaan ataupun membuat perkara di luar undang-undang itu bertentangan dengan polisi penganugerahan gelaran itu, maka gelaran itu harus ditarik balik," tambah Rais.


Utusan Online

CUEPACS bantu selesai isu JKR

IPOH 30 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhasrat mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bagi membincangkan isu berhubung dua Ketua Pengarah, Jabatan Kerja Raya (JKR).
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pertemuan itu turut melibatkan lima kesatuan sekerja yang menganggotai Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja Jabatan Kerja Raya (MBJ-JKR).

Katanya, antara kesatuan yang terlibat dalam pertemuan itu adalah Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Semenanjung Malaysia (MTSU), Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Profesional JKR, Kesatuan Kebangsaan Pekerja JKR dan Air (NUPWDE) dan Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia (KPAP).

"CUEPACS merasakan konflik ini tidak seharusnya wujud kerana kebiasaannya urusan berhubung pelantikan atau pertukaran yang membabitkan pegawai perkhidmatan awam dilaksanakan secara tertib oleh JPA.

"Sebagai kesatuan mewakili kakitangan kerajaan, kami memandang serius kemelut dalam JKR dan amat berharap ia diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung AUEGCAS cawangan Perak di sini hari ini.

Utusan Online

Rais minta penjawat awam hindar politik jalanan

KUALA LUMPUR 30 Jun — Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini menasihati penjawat awam agar terus berkhidmat dengan cemerlang di bawah jabatan masing-masing, dan tidak terpengaruh dengan kumpulan politik jalanan.

Beliau berkata, penjawat awam, yang menjadi benteng negara, harus berfikiran secara lebih menyeluruh dan berfikir panjang dalam membuat keputusan.
"Oleh kerana kita jadi benteng, kita mesti mempunyai pemikiran ”institutional”... memahami institusi kita, harus kita fahami dari A sampai Z,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan 2010 di Istana Budaya di sini, hari ini. - Bernama

Utusan Online

Jangan terlibat himpunan Bersih

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 30 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan kakitangan kerajaan negeri supaya tidak terlibat dengan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan tegas.

Menurut Ahmad, beliau sudah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah agar memastikan tindakan diambil terhadap mereka jika bersama dalam perhimpunan haram yang lebih terarah kepada mencetuskan huru-hara.

"Kerajaan tidak akan berkompromi. Kita ada syarat dan peraturan yang tertakluk di bawah perintah am pentadbiran awam yang perlu sentiasa menjaga nama baik perkhidmatan sebagai seorang kakitangan kerajaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Minum Petang Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai di sini, petang semalam.

Menteri Besar berkata, perhimpunan haram itu boleh mencetuskan suasana huru-hara kerana kegagalan mengawal emosi akan mengakibatkan mereka yang terlibat bertindak merosakkan harta benda awam serta mencederakan orang lain.

"Saya berseru kepada rakyat yang mencintai keamanan dinikmati selama ini agar menjauhi perhimpunan sedemikian yang hanya semata-mata untuk menguji kesabaran kerajaan dan menguji peraturan sedia ada.

"Usaha yang didalangi parti pembangkang mengandungi muslihat dan kehendak tertentu di luar batas perundangan dan mungkin juga ada pengaruh negara asing atau 'orang luar' yang ingin mengambil kesempatan," kata beliau lagi.

Utusan Online

JPA bersetuju lima tuntutan baru CUEPACS

IPOH: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju menunaikan lima tuntutan baru CUEPACS berhubung penilaian baru perkhidmatan awam dan pekeliling mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi, kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Beliau juga berkata, kesatuan itu tidak akan membela mana-mana kakitangan awam yang ditangkap menyertai perhimpunan haram BERSIH kerana ia melanggar etika perkhidmatan awam


Berita Harian Online

Wednesday, June 29, 2011

Cemerlang SPM hanya dapat dermasiswa

KUALA LUMPUR 23 Jun – Mulai tahun depan, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya akan mendapat dermasiswa daripada kerajaan untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana dasar sedia ada yang memberi biasiswa kepada pelajar dengan hanya mengambil kira keputusan SPM mereka bukan lagi idea yang baik untuk diteruskan.

Menurut beliau, biasiswa hanya akan diberi kepada pelajar jika mereka mendapat tempat di universiti terkemuka yang akan disenarai oleh kerajaan kelak serta mencatat keputusan cemerlang secara konsisten.

“Hanya kerana anda memperoleh keputusan cemerlang di peringkat O Level tidak bermakna anda akan lulus cemerlang di peringkat A Level,” katanya ketika ke udara secara langsung dari konti Radio One FM di Sri Pentas hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, mulai tahun depan juga, polisi sedia ada dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang akan dikaji semula secara menyeluruh, namun beliau tidak menghuraikan mengenai perincian kajian semula itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebelum ini memberitahu, kajian semula itu turut membabitkan kuota.

Menurut Najib, buat masa ini kerajaan telah membuat ketetapan bahawa semua pelajar yang mendapat 8A+ layak menerima biasiswa JPA, tetapi tidak semua mereka akan dihantar ke universiti luar negara.

Utusan Online