Monday, March 31, 2014

KERAJAAN JIMAT RM12.8, JUTA MENERUSI LANGKAH PENSTRUKTURAN SEMULA JPA

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM12.8 juta kos emolumen dapat dijimatkan menerusi langkah penstrukturan semula penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pendekatan itu melibatkan kira-kira 500 anggota JPA sejak Mac tahun lalu.

"Langkah ini hanya melibatkan penempatan semula 507 kakitangan JPA ke agensi-agensi kerajaan yang lain dan tiada pekerja yang ditamatkan perkhidmatan.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak meminta saya melakukan transformasi semasa saya melaporkan diri di JPA pada 15 Mac lalu dan kini langkah itu sudah dilaksanakan di JPA dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2014, di ibu negara, Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.

Menyentuh mengenai inovasi, Mohamad Zabidi berkata setiap agensi perlu memberi fokus kepada dua faktor utama bagi menggalakkan inovasi iaitu penghasilan produk berkualiti tinggi dan proses yang lebih singkat.

"Proses inovasi kena cepat, contohnya kalau dulu ada 10 peringkat membuat keputusan, barangkali sekarang mungkin perlu ada dua atau tiga peringkat sahaja", katanya.

Pada majlis itu, MARA melancarkan Polisi Tiada Hadiah yang melarang serta-merta pemberian dan penerimaan hadiah bagi 18,000 kakitangannya di seluruh negara dengan pihak luar yang berkaitan dengan tugas rasmi.


Bernama Online

Monday, March 24, 2014

klik imej  ntuk paparan sebenar

klik imej untuk paparan sebenar

Wednesday, March 19, 2014

PENJAWAT AWAM DIINGATKAN TIDAK SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT MENGENAI MH370

KLUANG, 18 Mac (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat. 

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370 berkenaan.
 


"Banyak pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan'," katanya.
 


Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan, di sini Selasa.
 


Beliau berkata sebagai pemimpin masa hadapan, penjawat awam terutama golongan muda mesti berpegang teguh terhadap kesetiaan kepada negara lebih-lebih ketika pelbagai dugaan menimpa negara, seperti kemarau dan jerebu.
 


Mengenai wacana terbabit, beliau berkata program pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan pihak swasta, komuniti setempat serta badan bukan kerajaan itu dapat 'merakyatkan perkhidmatan awam'.
 


Beliau berkata program itu yang sudah diadakan di INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur akan diteruskan di kampus INTAN Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah; kampus INTAN Wilayah Timur di Kemaman, Terengganu, kampus INTAN Kota Kinabalu, Sabah serta kampus INTAN Kota Samarahan, Sarawak.
 


"Menerusi program wacana ini, kita bawa ikon belia yang berjaya dalam bidang masing-masing bagi berkongsi kisah dan kejayaan mereka. Kita juga mahu menarik golongan muda khususnya generasi X dan Y bersama-sama membicarakan tentang dasar-dasar kerajaan pada masa kini dan akan datang," katanya.
 


Bernama Online

Monday, March 17, 2014

klik imej untuk paparan sebenar

Monday, March 10, 2014

MERAKYATKAN PERKHIDMATAN SPA

Tan Sri Mahmood Adam

DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih sete­ngah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakita­ngan kerajaan.Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika diban­dingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013. Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ­NIZAM YATIM dan jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-­baru ini, Pengerusi SPA, TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu.

Boleh ceritakan latar belakang SPA?
MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun.Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan.Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan tatatertib.

Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA?
Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi memenuhi kehendak rakyat.Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang.
Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA.Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang. Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai titik sentuhan.

Apakah contoh transformasi yang dibuat?
Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun. Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga. SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu siang atau ketika hari bekerja.
Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik. Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja seperti sebelum ini. Kita turut menghapuskan dasar ‘One Step Lower’ bagi membolehkan calon berkela­yakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam.

Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan?
Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan mereka yang memohon pekerjaan. Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di seluruh negara.
Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti (CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia, berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF). Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan sukatan pelajaran yang kita gunakan.

Apakah transformasi paling besar?
Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian. Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan ti­dak berlaku sebarang penipuan. Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi peni­laian lain.
Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang.Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa, tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana.

Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja?
Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam.Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah.
Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain. Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000 pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod tidak memuaskan.

Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima?
Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365 permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1 juta. Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan. Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA.
Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila terdapat kekosongan jawatan.

Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu?
Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wa­kil media terbabit. SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam.

Pegawai SPA juga pergi memberi pene­rangan di institusi pendidikan yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Malaysia.

Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum?
Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain. Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang; daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang berjaya mendapat pekerjaan.Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus.

Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694 orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi. Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula, sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus.

Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019 permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum lain.Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, March 5, 2014

Berita@INTURA Februari 2014


Sila klik imej untuk paparan sebenar