Sunday, November 9, 2014

LEBIH 200 PENJAWAT AWAM SERTAI 'EKSPLORASI TRANSFORMASI 2014'

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Lebih 200 penjawat awam dengan 65 kereta menyertai program kembara mencari harta karun "Eksplorasi Transformasi 2014' bermula dari perkarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal melepaskan acara itu yang disertai wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
 

Menurut kenyataan JPA yang diedarkan pada majlis itu para peserta akan menguji kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing dalam kembara atau 'treasure hunt' berkenaan bertemakan patriotisme dan bahasa kebangsaan.
 

"Semangat dan persaingan sihat seumpama ini yang kita perlukan dalam kalangan penjawat awam untuk melaksanakan transformasi berterusan," menurut kenyataan itu.
 

Aktiviti anjuran Bahagian Transformasi Sektor Awam JPA dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Intan Bukit Kiara dan Kelab JPA itu bertujuan menyebarluaskan agenda transformasi negara.
 

Selain itu ia berhasrat mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penjawat awam bagi menyokong program transformasi perkhidmatan awam. Mohamad Zabidi akan menyampaikan hadiah di Kompleks di Intan, Bukit Kiara.
 

Bernama Online

Berita@INTURA Oktober 2014

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar





Thursday, November 6, 2014

PENJAWAT AWAM JADI JURUCAKAP PELAKSANAAN CBP KEPADA RAKYAT

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) -- Penjawat awam di Malaysia yang berjumlah 1.52 juta orang perlu memainkan peranan sebagai jurucakap kerajaan khususnya untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada April tahun depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha itu membolehkan penjawat awam memperluaskan peranan untuk menerangkan dasar itu kepada keluarga, masyarakat dan komuniti serta rakyat di semua peringkat.

"Apa yang penting adalah penjawat awam merupakan penggerak utama untuk melaksanakan dasar kerajaan dengan memberi pemahaman mendalam tentang CBP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah myGST4U di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, Rabui.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi percaya pemahaman di kalangan penjawat awam khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Penerangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berada di tahap lebih baik berbanding sebelum ini.

"Setakat ini, pemahaman tentang CBP dilihat lebih baik dan menyerlah berbanding sebelum penerangan ini berpandukan kepada soalan yang diutarakan, mereka faham tentang CBP dan kenapa CBP diperkenalkan berbanding cukai sebelum ini," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Sabah merupakan negeri kedua bagi program turun padang JPA dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"Sesungguhnya, pelaksanaan CBP tidak akan berjaya tanpa sokongan dan peranan yang perlu dimainkan oleh semua penjawat awam kerana mereka bertanggungjawab untuk membantu kerajaan memperbetulkan persepsi salah mengenai CBP di kalangan penjawat awam sendiri dan menyebar luas kebaikan cukai itu," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam masih mengamalkan nilai integriti yang tinggi meskipun terdapat segelintir anggota penguatkuasa yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Program itu disertai lebih 1,500 penjawat awam negeri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan berkanun negeri.

Bernama Online

Saturday, November 1, 2014

klik imej untuk paparan sebenar

Friday, October 31, 2014

MEKANISME KERAJAAN SAMPAIKAN MAKLUMAT CBP BUKAN PEMBAZIRAN - KPPA




KUALA KANGSAR, 30 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha kerajaan merangka mekanisme pemberitahuan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) menerusi seminar, kursus dan dialog kepada rakyat khususnya penjawat awam, bukanlah pembaziran.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan memperbetul persepsi salah mengenai CBP dalam kalangan penjawat awam, menyebar luas fakta sebenar mengenai kebaikan pelaksanaan CBP, mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dan berhemat dalam aspek perbelanjaan.

"Saya sebagai ketua pengarah, turun berjumpa dengan penjawat awam untuk menerangkan tentang CBP supaya mereka faham. Bila mereka faham, mereka juga akan bercerita dengan keluarga dan rakan-rakan tentang peranan CBP yang diperkenalkan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah myGST4U di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan pihak yang menganggap usaha kerajaan menyebarkan maklumat mengenai CBP menerusi program, seminar dan kursus adalah membazir.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi berkata usaha kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab itu.

Mengenai program hari ini, beliau berkata Perak merupakan negeri pertama bagi program JPA itu tahun ini dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"JPA telah diberi mandat untuk turun padang dan menyebarkan maklumat yang betul dan sahih kepada penjawat awam di seluruh negara," katanya.

Bernama Online

Wednesday, October 22, 2014

klik imej untuk paparan sebenar

KSN Mahu Penjawat Awam Terus Berintegriti

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mahu semua penjawat awam supaya terus mengamalkan integriti yang tinggi dalam perkhidmatan masing-masing.

"Penjawat awam perlu sentiasa mempunyai integriti terhadap apa yang dilakukan.

"Tugas kami dalam perkhidmatan awam ialah untuk terus menggalakkan penjawat awam menjadi pegawai-pegawai yang berintegriti tinggi," katanya.

Beliau mengulas mengenai kes-kes rasuah dan salah laku melibatkan penjawat awam termasuk anggota penguatkuasa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan akhir-akhir ini.

Pada masa yang sama Ali berkata SPRM akan terus menjalankan tugas mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang kurang berintegriti.

Ali bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) kedua di sini Selasa.

Bernama Online