Friday, January 9, 2009

Skim KWSP atau pilih pencen

Tahun 2009 mungkin dianggap sebagai tahun yang membawa kesejahteraan dan rahmat kepada 1.2 juta kakitangan kerajaan serta pesara kerajaan kerana menerima banyak faedah daripada kerajaan.

Sebagai tanda kesyukuran, kakitangan yang menerima pelbagai faedah itu sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan menjaga kebajikan pekerja yang merupakan tulang belakang kepada pentadbiran negara.

Pada masa yang sama kakitangan kerajaan tidak harus melupakan usaha berterusan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang tanpa jemu memperjuangkan hak dan kebajikan kakitangan awam bagi menampung kehidupan semasa dan waktu persaraan kelak.

Oleh itu, sangat wajar penghargaan dan ucapan terima kasih diberi kepada CUEPACS atas usaha murni yang dilakukan itu.

Semasa memberi taklimat kepada kakitangan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 6 Januari lalu, Presiden CUEPACS, Omar Osman menjelaskan banyak perkara yang diperjuangkan oleh Kongres telah ditunaikan oleh kerajaan dan menganggap apa yang diberikan itu sebagai sesuatu di luar jangkaan.

Ini termasuk tawaran opsyen semula kepada anggota yang telah memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian Ex-Gratia terbitan sekali gus kepada ibu atau bapa anggota berpencen yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan yang belum berkahwin.

Selain itu, peningkatan maksimum cuti rehat dan cuti rehat khas yang boleh dikumpul untuk pemberian wang tunai sebagai gantian cuti rehat kepada 150 hari serta, tawaran opsyen pelanjutan umur persaraan wajib kepada 58 tahun.

Salah satu yang menarik untuk diperkatakan ialah tawaran opsyen semula kepada anggota yang telah memilih Skim KWSP oleh kerajaan kepada kakitangannya.

Statistik Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan setakat ini sebanyak 66,703 penjawat awam termasuk polis berada dalam skim KWSP.

Walaupun jumlahnya hanya 5.55 peratus daripada keseluruhan kakitangan awam, tetapi tawaran itu boleh dianggap sebagai sangat tepat memandangkan banyak penambahbaikan dilakukan terhadap skim pencen yang dilihat memberi kelebihan kepada mereka yang memilih skim pencen.

Semasa memberi taklimat, Omar begitu bersemangat mendorong kakitangan awam yang hadir memilih semula skim pencen itu. Ini kerana tidak ada lagi peluang keemasan seperti ini selepas ini.

Menurut Omar, apa yang diperjuangkan oleh CUEPACS selama ini perlu direbut supaya waktu persaraan nanti mereka dapat hidup bahagia bersama keluarga. Ini kerana beliau tidak mahu nanti ada pesara yang bekerja sebagai jaga, pemandu teksi dan lain-lain pekerjaan sambilan semata-mata kerana mahu menampung hidup selepas bersara akibat memilih KWSP yang tiada pencen bulanan.

Majlis taklimat JPA Bersama CUEPACS itu dihadiri oleh Pengarah, Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA Datuk Yeow Chin Kiong. Beliau turut memberi taklimat secara panjang lebar mengenai tawaran semula skim pencen kepada kakitangan yang memilih skim KWSP serta mengendalikan sesi soal jawab daripada kakitangan yang hadir.

Menurut CUEPACS, kakitangan kerajaan di bawah skim KWSP tidak mendapat tiga perkara seperti yang dinikmati oleh rakan mereka dalam skim pencen iaitu kad persaraan, kemudahan perubatan selepas bersara dan gratuiti iaitu gajaran dalam bentuk wang tunai.

Pujian harus diberikan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA yang diketuai Yeow kerana telah mengambil inisiatif mengadakan roadshow ke seluruh negara untuk memberi taklimat mengenai penawaran opsyen itu.

Berdasarkan maklumat dalam laman web bahagian itu, sebanyak 15 tempat dipilih dan dimulakan di UKM Bangi pada 6 Januari lalu dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada hari yang sama.

Semasa memberi taklimat, Omar menyeru kepada kakitangan awam supaya menjadikan tahun 2009 ini sebagai tahun penjenamaan semula perkhidmatan awam melalui penambahbaikan supaya lebih produktif dan efisien.

Pekerja harus bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat supaya perkhidmatan yang diberikan itu memberi kepuasan kepada pelanggan.

Malah beliau mahukan supaya pada tahun ini segala rungutan dan aduan daripada masyarakat mengenai perkhidmatan awam melalui Biro Pengaduan Awam dapat mencapai apa yang dikatakan sebagai 'sifar' rungutan dan aduan.

Menurut Omar, ini semua semata-mata untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa kakitangan awam benar-benar berterima kasih atas banyak penambahbaikan yang dilakukan terhadap skim perkhidmatan awam.

Peluang

Perkembangan yang berlaku menunjukkan kerajaan telah memberi peluang kedua kepada kakitangan skim KWSP untuk membuat pilihan. Mereka mempunyai tempoh masa selama sebulan iaitu sehingga 31 Januari ini untuk mengisi borang opsyen ke skim pencen.

Gunakanlah masa yang ada itu untuk membuat keputusan yang tepat dan betul. Ini kerana sebarang keputusan yang dibuat bakal mempengaruhi dan mencorak masa hadapan kakitangan sendiri, isteri atau isteri-isteri, suami, serta anak-anak semasa sedang berkhidmat dan masa persaraan kelak.

Persoalannya, adakah wang yang dikumpul dalam KWSP yang diterima sekali gus itu mempunyai nilai yang sama pada waktu persaraan kelak? Bagaimana pula dengan bayaran perubatan terutama bagi yang menghidap penyakit kritikal yang didapati semakin mahal? Mahukah meninggalkan orang yang tersayang tanpa adanya jaminan wang bulanan untuk meneruskan kehidupan mereka? Maka, mungkin skim pencen adalah jawapan kepada persoalan-persoalan di atas.

Ingatlah, tidak ada lagi peluang ketiga selepas ini.

Thursday, January 8, 2009

Penjawat awam perlu jadi seperti 'kelasi kapal' yang cekap

SEREMBAN 6 Jan. - Kerajaan memerlukan anggota perkhidmatan awam yang mempunyai barisan tenaga kerja yang hebat untuk memastikan rakyat terbela ketika berhadapan dengan krisis ekonomi dunia yang mencabar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan, anggota perkhidmatan awam ini sebagai 'kelasi' kapal yang perlu cekap untuk mengemudi bahtera yang dihuni rakyat supaya tidak tenggelam dalam gelombang besar.

''Anggota perkhidmatan awam perlu menjalankan kerja dengan baik dan kita harus berhadapan apa juga gelombang yang datang dengan perasaan yang kuat serta memastikan kecemerlangan sentiasa mekar," kata beliau di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jika 'kelasi' tidak bermutu, kurang cekap dan tidak bersungguh-sungguh, akhirnya nanti bahtera akan tenggelam dan rakyat akan musnah dan hancur.

Sebab itulah, kata Mohamad, kerajaan negeri akan memastikan rakyat negeri ini hidup selesa sesuai dengan agenda 2009 yang menekankan kepentingan usaha pembelaan ke atas rakyat melalui Dasar Keselamatan Jaringan Sosial.

''Dasar ini hendaklah diteruskan untuk memastikan rakyat semua peringkat mendapat pembelaan. Jangan ada yang tercicir dalam agenda ini," kata beliau.

Kata Mohamad, dasar ini telah menunjukkan kejayaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2006 dan diterjemahkan dengan amat baik sekali.

Dasar Keselamatan Jaringan Sosial ini diwujudkan untuk 'menjaring' rakyat di luar bandar yang hidup dalam kemiskinan untuk bersama-sama mendapat nikmat pembangunan seperti mana penduduk di kawasan bandar selain diberi perhatian dalam semua aspek kehidupan.

Pada masa sama, beliau mahu melihat penelitian semula dilakukan pada setiap kerja supaya ia boleh dipertingkatkan dan memenuhi kehendak rakyat.

''Penjawat awam telah melaksanakan tugas dengan baik. Namun begitu masih ada ruang untuk diperbaiki supaya ia dapat memuaskan hati rakyat yang menjadi pelanggan kita," tegas Mohamad.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pentingnya amalan berjimat di semua jabatan kerajaan.

''Penjimatan ini memerlukan kerjasama semua pihak. Jika kita arahkan sekali pun tetapi tidak diikuti, hasrat dan harapan untuk berjimat itu tidak akan tercapai," kata beliau.

Wednesday, January 7, 2009

Tuesday, January 6, 2009

Belajar Berkesan Dengan Peta Minda


Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Peta minda boleh membantu anda untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran anda untuk mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri anda.

Antaranya, anda perlu memikirkan tentang maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan anda.

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan anda.

Bolehlah anda sifatkan anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda itu juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri.

Antaranya, anda perlu berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.

Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut.

Hal ini dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.

Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.

Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.

Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.

Cabang

Lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya
ingatan anda.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Anda telah ditunjukkan mengenai keperluan keseimbangan antara otak kiri dan otak
kanan dalam rencana-rencana yang terdahulu.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.

Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, m
embaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.

Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh ha
sil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.

Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting. DDi samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.

Sumber dari Utusan Malaysia Online


<> Perisian peta minda juga terdapat di pasaran untuk kemudahan pengguna dalam membuat perancangan, penyeliaan, mengorganisasi dan mengawal informasi. Kepada yang berminat untuk memuat turun perisian percuma anda boleh dapatkan disini

Monday, January 5, 2009

Majlis Perjumpaan Bersama PWU 2009

5 Januari 2009 : 8.30 pagi - Majlis Perjumpaan Bersama Pengarah Wilayah Utara (PWU) telah diadakan di Dewan Jubli Perak. Semua warga dapat meluangkan masa untuk turut bersama dalam majlis ini memandangkan tiada kursus dijalankan pada hari ini.

Majlis ini dimulakan dengan persembahan Koir INTURA yang diketuai oleh Pn. Habibah bt Samsuddin sebagai instructornya. Untuk memberkati majlis, bacaan doa telah disempurnakan Tn. Hj. Ab. Halim b. Majid.

Seterusnya PWU, Tn. Hj. Aziz b. Mohamad telah menyampaikan Ucapan Tahun Baru 2009. Antara fokus utama amanat beliau adalah mengenai kerjasama berpasukan, perubahan sikap, rasional dalam menjalankan tugas, sistem pengurusan yang baik, peranan jawatankuasa-jawatankuasa INTURA, Pengujudan coffee corner disetiap unit dan disiplin warga.Ucapan beliau berakhir pada 10.00 pagi dan diharapkan semua warga dapat mengambil perhatian diatas pandangan, cadangan, idea dan komen beliau.

Selepas itu, sessi bergambar untuk semua warga bersama PWU telah diadakan di Foyer Pentadbiran dan diakhiri dengan jamuan ringan di Balai An-Nadwah


Kumpulan Koir INTURA

Pengacara Majlis

Pemimpin Bacaan Doa PWU khusyuk memberi amanat tahun baru
Warga INTURA bergambar beramai-ramai

Friday, January 2, 2009

JPA: Taklimat tukar skim KWSP kepada pencen mulai Selasa

KUALA LUMPUR 1 Jan. — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mulai Selasa ini hingga 13 Januari depan, akan menganjurkan sesi taklimat kepada kakitangan kerajaan mengenai tawaran opsyen kepada mereka yang ingin menukar daripada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada skim pencen.

Taklimat tersebut dibuat berikutan keputusan kerajaan pada November 2008 yang membenarkan kakitangan awam yang memilih skim KWSP untuk menukar semula kepada skim pencen, yang mana akan memberikan banyak faedah kepada para pesara termasuk faedah perubatan dan kesihatan, kata JPA dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut JPA, setakat ini hampir separuh daripada 66,000 pekerja sektor awam yang membuat caruman KWSP dijangka akan menerima tawaran opsyen pencen tersebut.

Katanya, sebanyak 13 lokasi di seluruh negara telah dipilih untuk diadakan taklimat itu dan taklimat pertama akan diadakan Selasa ini untuk bahagian tengah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada pukul 9 pagi, dan di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 3 petang.

Pada Rabu pagi, sesi taklimat akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Tengah), di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan Wilayah, Labuan dan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Kuching (Sarawak) mulai 9 pagi.

Sementara untuk negeri Selangor akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 3 petang pada hari yang sama, kata JPA.

Pada Khamis, taklimat akan diadakan untuk kawasan utara, bagi negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang pada pukul 9 pagi, dan di Kedah di Dewan Sri Negeri, Blok D, Wisma Darul Aman, Alor Star pada pukul 3 petang.

Bagi Perak pula pada hari Jumaat di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak, Ipoh dan di Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu, Kedua-dua majlis taklimat itu akan bermula 9 pagi, katanya.

Untuk kawasan selatan, sesi taklimat akan diadakan di Kompleks Islam Johor, Pejabat Agama Negeri, Johor Baharu pada Sabtu mulai 9 pagi, sementara untuk kawasan Pantai Timur akan diadakan pada 12 Jan, di Dewan Utama, Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada pukul 9 pagi.

Taklimat terakhir di Perlis pada 13 Jan di Kompleks Dewan Warisan, Kangar pada pukul 9 pagi, katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesi taklimat itu boleh melayari portal JPA di www.jpa.gov.my atau di portal Bahagian Pasca Perkhidmatan di www.jpapencen.gov.my atau hubungi 03-88854906, katanya. - Bernama