Tuesday, January 13, 2009

CUEPACS kaji tangga gaji kakitangan awam

KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengkaji semula skim perkhidmatan kakitangan kerajaan ekoran setiap gred mempunyai tangga gaji mati yang tidak sama.

Presidennya, Omar Osman berkata, pertimbangan ini dibuat kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti dan prestasi kakitangan awam khususnya mereka yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang masih panjang.

"Ada yang tangga gaji mati awal dan mereka masih mempunyai tempoh berkhidmat lagi 20 atau 30 tahun. Kita fikir perkara ini perlu sebab kita nak jaga produktiviti. Kalau tidak ada kenaikan tahunan, ia akan menjejaskan prestasi.

"Secara tidak langsung juga, ia akan memberi manfaat kepada pertambahan tempoh persaraan 58 tahun," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Isu-isu Semasa Dalam Sektor Awam di sini hari ini.

Omar berkata, CUEPACS akan mengadakan satu bengkel khas penyemakan skim perkhidmatan dan gred untuk mengkaji tangga gaji Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Sokongan Gred 1 hingga 40 pada Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Omar menggesa Kementerian Pelajaran segera mengeluarkan surat tawaran kepada 119 anggota Kumpulan Sokongan di Terengganu sebelum 17 Januari kerana sehingga hari ini, mereka masih belum menerima sebarang surat tawaran untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan.

Pada 5 Januari lepas, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kontrak perkhidmatan anggota berkenaan akan disambung semula dalam tempoh terdekat.

Berita@Intura Januari 2009

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar




Monday, January 12, 2009

CUEPACS gesa 1.2 juta ahli sertai boikot

SUNGAI PETANI 10 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa 1.2 juta pekerja di sektor awam memboikot produk Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai tanda protes sehingga isu kekejaman yang melanda penduduk Palestin dapat diselesaikan secara saksama.

Presidennya, Omar Osman berkata, semua anggota sektor awam diminta bersama-sama menjayakan tindakan sedemikian dengan menyokong kempen membeli barang buatan Malaysia mulai esok.

"Oleh kerana CUEPACS merupakan salah satu badan terbesar yang mewakili 1.2 juta pekerja sektor awam dan melibatkan 4.5 juta ahli keluarga mereka, jadi eloklah mengambil langkah membeli barang buatan Malaysia.

"Mulai esok, semua pekerja perlu memberi perhatian serius, kita boikot barang AS dan Israel sebagai tanda simpati terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin," katanya kepada pemberita selepas majlis mesyuarat khas CUEPACS yang disertai 99 gabungan persatuan berkenaan di sini hari ini.

Omar berkata, tindakan tersebut juga merupakan salah satu usaha CUEPACS menyahut kempen memboikot produk AS dan sekutunya berikutan rejim Israel menyerang penduduk Palestin di Genting Gaza sehingga mengorbankan ratusan dan mencederakan ribuan penduduknya sejak minggu lalu.

"Kita berharap supaya anggota sektor awam dan keluarga dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada negara kuasa besar berhubung isu penganiayaan dan kekejaman ke atas penduduk Palestin oleh kuasa-kuasa besar dunia," jelasnya.

Sementara itu, CUEPACS turut bersetuju melancarkan Tabung Gaza CUEPACS bagi membantu meringankan penduduk di Genting Gaza yang menderita akibat serangan Israel.

"Sebagai permulaan, kita sudah berjaya kutip sebanyak RM1,620 dan kita akan kumpul derma kilat ini sebelum diserahkan kepada pihak berwajib," katanya.

Kata beliau, pekerja sektor awam boleh menghulurkan derma kilat berkenaan kepada Pengerusi CUEPACS negeri bermula esok.

CUEPACS tolak sebahagian pakej PTK

SUNGAI PETANI 10 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mengadakan mesyuarat khas hari ini mencapai kata sepakat tidak akan menerima keseluruhan pakej butiran pindaan ke atas Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Januari lalu.

Presidennya, Omar Osman berkata, tindakan berkenaan dibuat memandangkan kebanyakan ahli melahirkan rasa kurang senang dengan surat pekeliling bernombor 19/2009 tersebut yang didakwa tidak dibincangkan dengan kongres.

"Dalam perbincangan ini, kita hanya terima dua pekeliling iaitu melibatkan pengurangan cuti lima hari bagi kakitangan lantikan baru 1 Januari 2009 dan penambahan cuti ganjaran tahunan 165 hari.

"Sementara itu, surat pekeliling pindaan PTK 19/2009, kita tidak terima secara keseluruhan kerana 40 peratus daripada 34 perkara yang dikemukakan itu tidak memuaskan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesyuarat khas CUEPACS yang dihadiri 99 ahli gabungan persatuan di sini hari ini.

Pada 16 Disember lalu, CUEPACS menerima surat pekeliling butiran pindaan ke atas PTK setebal 27 muka surat dengan 34 perkara daripada JPA untuk diteliti dan dibincangkan dalam kalangan 120 kesatuan di bawah naungannya.

Antara butiran tersebut ialah setiap jabatan kerajaan diberi kuasa menetapkan corak peperiksaan dan penilaian ke atas kakitangan mengikut panduan pelaksanaan PTK untuk dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

Dengan pindaan itu juga, kakitangan tidak perlu menduduki peperiksaan yang tidak bersesuaian dengan pekerjaan, pengalaman dan usia, sebaliknya mengikut keperluan di jabatan masing-masing.

Sunday, January 11, 2009

Bayaran insentif 4,000 doktor pakar dinaikkan

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Lebih 4,000 doktor pakar di seluruh negara menerima kenaikan kadar bayaran insentif pakar antara RM300 hingga RM700 sebulan bermula 1 Januari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, kenaikan itu sejajar dengan tugas berat doktor pakar sedangkan kadar bayaran yang diterima tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu.

Beliau berkata, insentif itu diharap mampu meningkatkan motivasi mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain terus setia berkhidmat di hospital-hospital kerajaan.

''Kerajaan sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan kesihatan rakyat dan juga kebajikan pegawai serta pakar perubatan," katanya selepas merasmikan Program Citra Sihat di Dataran Shahbandar di sini hari ini.

Tiong Lai memberitahu, kenaikan itu melibatkan tambahan peruntukan kira-kira RM27.7 juta setahun.

Beliau berkata, kadar kenaikan insentif itu membabitkan pakar perubatan gred UD41 hingga Gred Utama/Khas ke atas.

Menurutnya, Gred UD41 menerima kenaikan RM300 iaitu daripada RM1,300 kepada RM1,600 sebulan, UD43 dan UD44 daripada RM1,400 kepada RM1,900 dan UD45 daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Bagi Gred UD47/U47 dan UD38/U48 menerima kenaikan dari RM1,700 kepada RM2,200, UD51/U51 dan UD52/U52 daripada RM1,800 kepada RM2,500, UD53/ U53 dan UD54/U54 daripada RM2,200 kepada RM2,800 manakala Gred Utama/ Khas ke atas menerima kenaikan RM700 iaitu daripada RM2,400 kepada RM3,100.

Beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan kenaikan elaun pegawai dan pakar perubatan terutama yang bertugas di Sabah dan Sarawak yang memerlukan pengangkutan udara apabila bertugas.

Katanya, elaun tersebut akan diseragamkan termasuk kepada pegawai perubatan, jururawat, pembantu perubatan, jururawat masyarakat dan penolong jururawat iaitu sebanyak RM30 bagi setiap penerbangan berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Menurut beliau, kementerian juga telah menghantar permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan kelulusan bagi kenaikan elaun kepada pegawai perubatan 'on call.'

Kata beliau, pada dasarnya kementerian bersetuju dengan kenaikan itu memandangkan kesukaran dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh mereka termasuk ketika hari cuti.

Saturday, January 10, 2009

Abdullah cadang tubuh Majlis Hubungan Luar Negara

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Hubungan Luar Negara bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia menubuhkan majlis tersebut bagi meningkatkan pemahaman mengenai dunia melalui perbahasan, perdebatan dan penyelidikan.

''Majlis bebas ini juga dapat merangsang pemikiran inovatif mengenai pendekatan serta isu luar negara dan oleh itu akan dapat menyumbang kepada usaha Malaysia untuk membentuk dunia yang lebih adil, aman dan makmur,'' katanya.

Beliau berucap merasmikan kampus utama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negara (IDFR) yang turut dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, majlis bebas itu yang mana anggota-anggota boleh dipilih daripada kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang berbeza dapat memberi pemikiran yang mendalam dan pemahaman objektif mengenai hubungan luar.

Katanya, ia juga dapat mewujudkan persetujuan bersama dalam pelbagai polisi luar negara.

''Ahli-ahli akademik, politik, perniagaan, diplomasi, perkhidmatan awam, penyelidik, wartawan dan masyarakat awam perlu dilibatkan dalam majlis bebas ini dalam merangka polisi-polisi luar negara yang lebih baik,'' katanya.

Perdana Menteri memberitahu, banyak negara telah menubuhkan majlis tersebut sama ada negara maju atau membangun dan Malaysia boleh belajar dari negara terbabit.

Menurut Abdullah, beliau melihat banyak faedah dapat diperoleh daripada penubuhan majlis bebas tersebut terutama dalam mempromosikan kepentingan politik, strategik dan ekonomi negara.

''Polisi hubungan luar Malaysia perlu meletakkan asas-asas menjadikan negara ini penting dalam hal ehwal dunia pada masa depan seperti mempunyai visi global pada tahun 2057 apabila negara ini telah wujud dan merdeka selama 100 tahun,'' katanya.

Abdullah memberitahu, negara ini mempunyai potensi untuk menyumbang menjadikan dunia lebih aman dan selamat pada masa depan.

Tegasnya, Malaysia sentiasa menjadi perhatian utama dunia apabila berlaku krisis antarabangsa dan kedudukan ini seharusnya dipertingkatkan bagi memastikan negara mempunyai suara serta didengari oleh masyarakat dunia pada masa depan.

Friday, January 9, 2009

Kursus Kecemerlangan Diri Domestik

Seramai 24 orang warga Domestik telah menghadiri 'Kursus Perubahan Ke Arah Kecemerlangan' yang diadakan di INTURA pada 6 hingga 8 Januari 2008. Terdapat pelbagai pengisian yang dibuat untuk merapatkan hubungan sesama warga. Antaranya perbincangan kumpulan, ceramah, gotong royong memasak bubur as-syura, senamrobik dan aktiviti LDK yang lain. Diharapkan aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa dan boleh dipanjangkan untuk semua warga INTURA.
Tn. Hj. Azhar b. Omar selaku fasilitator


Gotong-royong mengacau bubur


Acara yang memerlukan kosentrasi yang tinggi


Senamrobik