Monday, January 19, 2009

Ada 260,700 tempat di IPT

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Sebanyak 260,700 tempat di 600 pusat pengajian tinggi di seluruh negara disediakan kepada lepasan sekolah yang berminat untuk melanjutkan pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu merangkumi 40,500 tempat bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi serta 43,200 tempat bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.

Beliau berkata, sebanyak 42,000 tempat lagi ditawarkan oleh 21 buah politeknik dan 13,000 peluang kemasukan pula disediakan melalui kolej-kolej komuniti serta 122,000 lagi terdapat di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lain.

"Negara mempunyai 20 buah universiti awam, 41 buah universiti dan kolej universiti swasta, 21 buah politeknik, 37 buah kolej komuniti dan 485 buah kolej swasta yang menawarkan begitu banyak akses kepada golongan muda negara ini untuk melanjutkan pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, daripada jumlah tempat yang ditawarkan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan biasiswa kepada seramai 10,000 pelajar cemerlang termasuk 2,000 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka luar negara dan baki 8,000 bagi meneruskan pengajian dalam negara.

Katanya, kementeriannya masih lagi mengekalkan dasar pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam yang mengguna pakai kaedah 90 peratus kecemerlangan akademik dan 10 peratus kegiatan kokurikulum.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya sedang menggiatkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan mutu sektor pengajian termasuk melalui usaha pengantarabangsaan bagi menjadikan negara sebagai hab kecemerlangan ilmu serantau.

Katanya, hasil lawatan ke Asia Barat dan Afrika baru-baru ini, kementeriannya mendapati lebih 43 juta pelajar dari rantau tersebut berpotensi untuk melanjutkan pengajian di negara ini.

"Selain mampu menyumbang kepada peningkatan pulangan ekonomi negara, usaha ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi popular perkembangan dan kecemerlangan ilmu serantau.

"Pada masa ini jumlah pelajar antarabangsa yang terdapat di sini telah mencecah 70,000 orang.

"Maklum balas yang diterima agak memberangsangkan kerana untuk mereka menyediakan sendiri prasarana universiti atau kolej memerlukan masa yang lama dan kos tinggi kerana ia bukannya satu proses sekelip mata," katanya.

Saturday, January 17, 2009

Perkhidmatan Awam Sentiasa Kaji Budaya Bermesyuarat

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Perkhidmatan awam akan sentiasa mengkaji budaya mengadakan mesyuarat agar ia tidak kaunter-produktif, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam hari ini.

Beliau memberitahu Bernama arahan tetap telah dikeluarkan kepada semua ketua jabatan dan kementerian supaya sentiasa memantau jumlah mesyuarat yang diadakan.

Ismail berkata JPA memberikan ketua-ketua jabatan budibicara mutlak dalam menentukan jenis, tempoh dan kekerapan mesyuarat.

Beliau mengulas gesaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam kepada ketua-ketua jabatan dan pegawai daerah supaya mengurangkan masa untuk menghadiri mesyuarat.

Menurut Mohamad Hasan purata seseorang pegawai daerah mempengerusikan kira-kira 78 jawatankuasa.

"Bila terlalu banyak mesyuarat, bila masanya pegawai itu dapat berkhidmat kepada orang ramai?," tanya beliau.

Bagaimanapun, kata Ismail JPA menggalakkan mesyuarat yang bertujuan mencari cara dan jalan mempertingkat produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian.

Sementara itu, Cuepacs, yang menaungi kesatuan-kesatuan sekerja perkhidmatan awam, bersependapat bahawa terlalu banyak mesyuarat diadakan oleh kakitangan awam terutama pembuat keputusan.

Setiausaha agungnya, Ahmad Shah Mohd.Zin mencadangkan agar mesyuarat dihadkan kepada dua seminggu -- pada Isnin dan Jumaat -- bagi memberi lebih banyak masa kepada pegawai-pegawai melaksanakan tugas untuk pelanggan.

Ahmad Shah juga mencadangkan pegawai-pegawai itu menggunakan sepenuhnya alat kemudahan Maklumat dan Teknologi bagi mempertingkat prestasi mereka dan mengelakkan keperluan bermesyuarat.

Beliau berkata kakitangan dalam perkhidmatan sokongan seperti kerani dan penyelia selalu menjadi sasaran awam bila kelewatan berlaku, kerana pembuat keputusan sering sibuk menghadiri mesyuarat.

Bagi mengatasi perkara ini, beliau mencadangkan jabatan melantik kakitangan tertentu untuk membantu menjalankan tugas bila pegawai berkenaan menghadiri mesyuarat agar sistem penyampaian tidak terjejas.

-- BERNAMA

Friday, January 16, 2009

Maklumat penjawat awam kontrak kena henti dikumpul

KUALA LUMPUR: Maklumat mengenai kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara yang ditamatkan perkhidmatan mereka sejak awal bulan ini akan dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya sudah menjelajah ke seluruh negara mengumpul maklumat itu berdasarkan laporan dan aduan yang diterima daripada mereka yang sudah ditamatkan perkhidmatannya, awal bulan ini.

Katanya, beliau menerima aduan hampir setiap hari berhubung kontrak perkhidmatan tidak disambung itu yang mana kebanyakannya membabitkan jabatan kerajaan pada peringkat negeri dan agensi kerajaan termasuk badan berkanun.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun pekerja kontrak bukannya ahli kesatuan ini. Kebanyakan pengadu mendakwa mereka kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat lebih lima tahun, malah ada yang sudah bekerja antara 10 dan 15 tahun.

“Apabila kontrak mereka tidak disambung, ia akan menyukarkan kehidupan tambahan pula perbelanjaan semakin bertambah dan anak-anak masih bersekolah. Lagipun, negara dijangka akan menghadapi kelembapan ekonomi,” katanya dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau sebelum ini mendedahkan kemungkinan 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak bakal ditamatkan perkhidmatan bermula awal tahun ini.

Namun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam memberi jaminan tidak akan menamatkan perkhidmatan lebih 20,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Ismail bagaimanapun menegaskan jaminan itu hanya membabitkan kakitangan kontrak yang berkhidmat dengan jabatan serta agensi di bawah kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan kerajaan negeri.

Omar berkata, terbaru beliau menerima aduan kakitangan kontrak di Jabatan Pendidikan akan diberhentikan dan lebih 20 pekerja dengan status yang sama di Kementerian Luar sudah diberhenti, baru-baru ini.

“Alasan yang diberikan Ketua Jabatan untuk tidak melanjutkan kontrak kadang kala sukar diterima, sedangkan kakitangan itu sudah berkhidmat lebih 10 tahun. Jika mereka pekerja kontrak yang berkhidmat satu atau dua tahun atau masih muda, itu tidak menjadi masalah sangat.

“Kita harap kerajaan memberikan pertimbangan supaya mereka yang bertaraf kontrak ini diserapkan ke jawatan tetap terutama yang sudah lama bekerja. Pekerja kontrak ini, tidak mendapat kemudahan seperti kakitangan tetap yang boleh mendapat pinjaman kerajaan serta elaun tertentu. Malah, ada antara kakitangan kontrak ini tidak layak menerima kemudahan kesihatan percuma seperti dinikmati pekerja tetap,” katanya.

Beliau mendakwa turut menerima aduan ada pekerja kurang upaya (OKU) tidak disambung kontrak dengan alasan tidak memberikan perkhidmatan yang baik serta sering meminta cuti sakit.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, tambahan pula dalam suasana ekonomi tidak memberangsangkan kini,” katanya.

Ditanya mengenai perbincangan Cuepacs dengan JPA berhubung isu berkenaan, katanya pihaknya masih belum berbincang dengan JPA kerana masih menunggu tarikh sesuai untuk bertemu.

“Saya jangka kemungkinan mesyuarat akan diadakan awal Februari ini dan kita harap isu berkenaan akan selesai secepat mungkin,” katanya.

Sektor awam ditegah terlibat skim cepat kaya

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Semua kakitangan awam dilarang sama sekali terlibat dalam skim cepat kaya termasuk sebagai penganjur atau pelabur berkuat kuasa semalam.

Mana-mana kakitangan yang ingkar larangan tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Larangan tersebut dikeluarkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2009 yang boleh dilayari di www.jpa.gov.my dan telah diedarkan kepada semua pihak yang berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata, dengan berkuat kuasa larangan tersebut, semua kakitangan awam yang terlibat dalam skim tersebut termasuk sebagai penganjur, pengantara dan pelabur dikehendaki menghentikan penglibatan mereka serta-merta.

“Kakitangan awam yang melabur dalam skim cepat kaya akan dikenakan tindakan tatatertib kerana boleh diertikan sebagai bersubahat atau bersekongkol dengan penganjur atau pengantara skim tersebut,” katanya dalam arahan pekeliling tersebut.

Menurut Ismail, penglibatan kakitangan awam dalam skim tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung ternyata telah menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Selain itu, katanya, pengendali skim cepat kaya turut mengeksploitasi penglibatan kakitangan awam bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh kerajaan untuk menarik pelabur lain.

“Gejala yang tidak sihat itu boleh menyebabkan pegawai yang terlibat terjebak dengan masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta akhirnya menjejaskan prestasi selaku penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, setiap ketua jawatan mesti bertanggungjawab memantau kakitangan awam di bawah seliaan masing-masing dan melaporkan sebarang tindakan tidak patuh untuk tindakan sewajarnya.

Thursday, January 15, 2009

Kalendar Perancangan untuk PC

Tugas sebagai anggota khidmat awam memerlukan pengurusan masa yang sistematik. Walaupun kita dibekalkan dengan planner untuk rujukan tarikh dan masa, kita juga boleh menggunakan software percuma ini untuk diletakkan sebagai paparan di PC. Ini secara tidak langsung memudahkan kita merancang dan menyusun aktiviti harian kita dengan mudah. Untuk memuatturun perisian ini anda boleh mengaksesnya disini : Perisian Kalendar

Contoh antaramuka perisian adalah seperti dibawah:

Paparan Tarikh



Paparan aktiviti



Paparan tugasan yang perlu dibuat

Kejohanan SAKI 2009

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah mengadakan aktiviti Sukan Antara Kampus Peringkat INTAN (SAKI) setiap tahun yang akan dianjurkan oleh INTAN Bukit Kiara dan INTAN kampus wilayah mengikut sistem penggiliran.

Untuk tahun 2009 pihak pengurusan INTAN telah bersetuju untuk memilih INTURA bagi melaksanakan SAKI bagi tahun 2009

Bersempena dengan perkara tersebut, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang program SAKI berlangsung. Antara aktiviti yang dirancang ialah Majlis Perasmian SAKI 2009, Senamrobik, Sukan antara Kampus, Ceramah Kecergasan, Sukan VIP, dan majlis Pernyampaian Hadiah.

Mesyuarat pertama pelarasan Saki INTAN 2009 telah diadakan pada 13 Januari 2009, bertempat di Dewan Bistari, INTURA. Hasil daripada mesyuarat ini, pelbagai jawatankuasa telah diujudkan untuk melicinkan lagi perjalanan program SAKI 2009 kelak. Ahli jawatankuasa yang telah dilantik di peringkat INTURA ialah :

1. Tn. Hj. Aziz bin Mohamad - Pengerusi JK Penganjur

2. Tn. Hj. Zepri bin Saad - Timbalan Pengerusi / Ketua Kontinjen

3. Tn. Hj. Mohd. Nawardi b. Saad - JK Penginapan & Makanan

4. Pn. Zahidah bt. Abd. Jalil - JK Perasmian & Penutupan

5. En. Norshuhaidy b. Shabudin - JK Pertandingan

6. Pn. Norhisham bt. Hasan - Bendahari, Logistik & Pengangkutan

7. En. Abu Bakar b. Abd. Aziz - JK Seranta

8. En. Badrulhisham b. Sulaiman - JK Hadiah & Cenderamata

9. Huzairul Hezri b. Saidin - Setiausaha

Manakala ketua pasukan pertandingan untuk pertandingan adalah :

1. En. Badrulhisham b. Sulaiman - Bolasepak

2. En. Abd. Aziz bin Yusoff - Badminton

3. Tn. Hj. Azhar b. Omar - Bowling

4. Pn. Habibah bt Samsuddin - Bolajaring

5. En. Abd. Razak b. Kasim - Tenis

6. En. Wan Rafaie Wan Hassan - Ping Pong

7. En. Ravichandran a/l Raju - Bolatampar (L)

8. Pn. Rosilah bt. Puteh - Bolatampar (W)

9. En. Abd. Manan b. Maarof - Sepaktakraw

Diharapkan agar semua warga dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dari segi latihan, persediaan dan pelaksanaan kejohanan ini.

INTURA boleh!


Wednesday, January 14, 2009

Jangan potong gaji mangsa banjir - Cuepacs

KUCHING 12 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (cuepacs) berkata, terdapat majikan yang memotong gaji pekerja mereka yang tidak datang bekerja ekoran banjir.

"Saya menerima banyak panggilan daripada mangsa banjir yang risau tentang gaji mereka dipotong. Segelintir pula mengadu mereka dipaksa mengambil cuti kerana tidak dapat hadir bertugas akibat banjir," kata Pengerusi cuepacs Sarawak, William Ghani Bina.

Beliau berkata, majikan tidak boleh memotong gaji atau memaksa pekerja mereka mengambil cuti ekoran menghadapi bencana.

Ghani yang juga Presiden Kesatuan Guru Sarawak berkata, di bawah Pekeliling Bil 1/1986 bersabit Peraturan Memberikan Kebenaran Tidak Hadir Kerja Atas Sebab Musabab Kecemasan serta Seksyen 14 A (2) Ordinan Buruh Sarawak Pindaan 2005, pekerja perlu memaklumkan kepada majikan secepat mungkin apabila tidak boleh hadir bertugas kerana bencana alam seperti banjir.

"Sehubungan itu, pekerja yang dipaksa mengambil cuti atau dipotong gaji boleh menghubungi Jabatan Buruh, kesatuan-kesatuan pekerja atau ketua jabatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Keadaan banjir di Sarawak semakin buruk apabila 104 buah sekolah ditutup sehingga hari ini manakala 9,587 penduduk daripada 1,474 keluarga terpaksa berpindah ke 37 pusat pemindahan di seluruh negeri.

Sebanyak 21 jalan yang kebanyakannya di Daerah Bau masih terputus hubungan.

- Bernama