Thursday, March 5, 2009

Pencen saya hanya RM231

SAYA telah berkhidmat dengan Tentera Darat British Tempatan (LEP) di Taiping, Perak, dari 10 April 1956 hingga 10 Disember 1971 selama 15 tahun 245 hari.

Sebelum memulakan perkhidmatan, saya telah mengangkat sumpah taat setia kepada Baginda Queen dan raja-raja Melayu di Tanah Melayu. Malangnya, kini perkhidmatan saya dengan Tentera British itu telah tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Saya telah berkhidmat dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak dari 1972 hingga 1978 sebelum menjawat jawatan Pembantu Pendaftaran Rendah di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.

Jumlah perkhidmatan saya di dalam LEP dan Kerajaan Malaysia lebih kurang 33 tahun. Saya sepatutnya menerima pencen RM720 sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2009 baru-baru ini. Tapi, pencen yang saya terima sekarang hanya RM231.79. Setelah dipotong hutang, saya kini berada di bawah paras kemiskinan.

A.WAHAB KARIM
Sg. Raya, Perak

Utusan Online

Kejohanan Bowling INTURA

Kejohanan Bowling antara rumah telah diadakan pada 20 Februari 2009 bertempat di Superbowl Central Square Sungai Petani. Antara tujuan utama kejohanan ini ialah untuk merapatkan hubungan sesama ahli dan meningkatkan kerjasama berpasukan antara ahli setiap rumah sukan. Johan individu lelaki dimenangi oleh En. Roslan dan wanita pula dimenangi oleh Pn. Sabariah. Johan keseluruhan untuk rumah sukan ialah Rumah Wan Mat Saman. Tahniah kepada setiap pemenang.


Gaya seorang juara kategori lelaki

Johan kategori wanita

Rumah Arif Jauhari

Rumah Tun Sri Lanang

Rumah Abdullah Munsyi

Rumah Wan Mat Saman (Johan Keseluruhan)

Isk.. Halim, awat bola aku takdak lubang ni?

Wednesday, March 4, 2009

Sistem penyampaian ditingkatkan

KUCHING 3 Mac – Kerajaan negeri akan pertingkatkan kualiti sistem penyampaian terutamanya di bahagian kaunter supaya ia memberi imej yang baik untuk sektor perkhidmatan awam Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Wilson Baya Dandot

berkata, sehubungan itu pihaknya akan bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan beberapa agensi lain dari Kerajaan Persekutuan.

Kerjasama itu bagi membantu peningkatan kualiti sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam, kata beliau.

‘‘Kualiti dan tahap keberkesanan sistem penyampaian di kaunter-kaunter perkhidmatan harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan ini adalah prosedur biasa.

‘‘Ia tidak bermaksud

tahap kualiti di kaunter-kaunter perkhidmatan kerajaan negeri adalah lemah,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan pengambilan pekerja baru seperti biasa walaupun keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Utusan Online

Tuesday, March 3, 2009

Setiausaha DUN Perak ikut peraturan : KSN

PUTRAJAYA: Kenyataan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri, bahawa dewan itu tidak boleh bersidang tanpa mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, adalah mengikut peraturan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata, pada fahamannya, Abdullah menjalankan tugasnya sebagai mana yang dipertangungjawabkan kepadanya.

"Kalau seseorang pegawai itu mengikut peraturan itu adalah benda yang betul," katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Fellow Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Penyampaian Diploma Intan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang menyifatkan sebagai tidak sah persidangan DUN yang dipanggil oleh Speaker, V Sivakumar, tanpa mendapat perkenan Sultan Perak.

Susulan daripada kenyataan itu, Abdullah digantung perkhidmatannya berkuatkuasa serta-merta oleh Sivakumar.

Pagi ini, satu 'persidangan tergempar' DUN Perak yang dihadiri Sivakumar dan 27 anggota dewan daripada DAP, Pas dan PKR dilangsungkan di bawah pokok tidak jauh dari bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata, tiada tempat dalam perkhidmatan awam untuk mereka yang mengambil jalan singkat untuk kumpul kekayaan.

"Tumpukan perhatian dalam semua bidang tugas yang diberikan dan jangan memandang apa jua tugasan sebagai sesuatu yang remeh," katanya.

Pada majlis sama bekas KSN, Tan Sri Samsudin Osman dianugerahkan Fellow Intan 2008. - Bernama

Aduan guru KPLI tidak tepat

SAYA merujuk kepada surat 'Bakal Guru Negeri Sembilan' mengenai 'Guru KPLI kecewa kerenah birokrasi' yang disiarkan ruangan ini, minggu lalu. Saya dapati apa yang diluahkan beliau adalah tidak tepat sama sekali, jangan jadi seperti 'kacang lupakan kulit'.

Kerajaan menabur jasa dan memberi peluang kepada kita untuk bekerja. Bersyukurlah, kita akan menjadi salah seorang daripada kakitangan awam yang kurang berisiko akibat krisis ekonomi sekarang.

Untuk makluman, saya adalah pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada 2005 dan pernah terbabit dalam kes ditangguhkan penempatan.

Kini saya sudah berkhidmat di sekolah, malah sebelum menyertai KPLI saya dimaklumkan mengenai kes penangguhan penempatan, jadi ia tidak menimbulkan masalah kepada saya.

Sebagai bakal guru, pengadu sepatutnya lebih peka mengenainya dan bertanyalah kepada orang sekeliling sebelum membuat sebarang kenyataan. Jangan hanya kerana kenyataan kita yang membuta tuli, memalukan pelajar KPLI lain.

GURU BARU,
Shah Alam,
Selangor.

Berita Harian Online

Monday, March 2, 2009

Pantau projek elak penyelewengan

KOTA KINABALU 1 Mac - Ketua-ketua jabatan diingatkan supaya sentiasa memantau projek dan dasar yang dirancang oleh kerajaan negeri bagi mengelak berlaku sebarang penyelewengan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman berkata, kegagalan memantau pelaksanaan segala program itu hanya akan menyebabkan ia dinikmati oleh segelintir pihak sahaja.

''Dasar dan sesuatu pembangunan akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita berjaya melakukan agihan kemakmuran secara adil dan saksama, sehingga dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

''Oleh itu menjadi tanggungjawab kita membina satu jentera mantap dan teratur bagi merealisasikan hasrat itu," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Implikasi Dasar-Dasar Awam anjuran Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Gregory Joitol. Seminar sehari itu dihadiri oleh ketua-ketua jabatan negeri.

Sukarti berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk menambah baik dan memperkemas segala dasar sedia ada bagi membolehkan pembangunan dilakukan tanpa sebarang halangan.

Bagaimanapun katanya, jentera pelaksanaan yang efisien serta kemajuan yang dicapai tidak memberi makna jika nilai integriti tidak dipraktikkan dalam pekerjaan dan kehidupan harian.

''Kita harus menerima hakikat bahawa sesuatu dasar yang tidak memberi peluang penyertaan secara adil kepada semua golongan adalah satu dasar yang tidak boleh bertahan dalam jangka masa panjang," katanya.

Beliau menambah, pihaknya komited dalam membantu membangunkan negeri ini terutama dalam pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang merupakan satu cabaran terbaru dalam perancangan dasar kerajaan negeri.

Peranan Puspanita dipuji

PUTRAJAYA 1 Mac - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) yang mempunyai lebih 80,000 ahli hari ini mendapat pujian atas peranan besarnya menyokong dasar-dasar kerajaan selain menumpukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, Puspanita juga telah berjaya menunjukkan kemampuan dengan tidak bergantung sepenuhnya pada peruntukan kewangan daripada kerajaan.

''Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan tetapi berpayung di bawah kerajaan, saya gembira Puspanita sentiasa menyokong dasar-dasar semasa kerajaan apabila melaksanakan aktiviti dan menguruskan kewangan persatuan.

''Puspanita telah melaksanakan sebahagian aktivitinya dengan menggunakan wang perbelanjaan sendiri daripada hasil sewaan kedai, asrama, apartmen dan premis serta pakej perkahwinan di Rumah Puspanita dan Puspanitapuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku 'Citra Gemilang 25 Tahun Puspanita' di Puspanitapuri di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.

Menurut Mohd. Sidek, sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya, Puspanita berjaya menjadi organisasi yang kukuh dan dihormati selain boleh dijadikan penanda aras kepada badan sukarela lain.

Beliau berkata, segala liku perjalanan dan kejayaan Puspanita telah dirakamkan dalam penerbitan buku Citra Gemilang 25 Tahun Puspanita.

Justeru katanya, buku tersebut perlu dijadikan sumber rujukan dan inspirasi para ahli Puspanita.

''Saya percaya buku ini akan membawa nostalgia dan kenangan manis kepada para pembacanya," katanya.