Saturday, February 5, 2011

KERAJAAN SELANGOR TIDAK FAHAM

KEKECOHAN mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang baru berbangkit kerana pentadbiran Negeri Selangor tidak memahami kedudukan perjawatan tersebut.

Jawatan SUK Selangor ialah jawatan ketua pentadbir negeri di bawah peruntukan perjawatan Persekutuan, iaitu penyandangnya terdiri daripada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang dahulu dikenali sebagai MCS.

Semua jawatan SUK adalah jawatan Persekutuan kecuali bagi Johor, Kelantan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang mempunyai Perkhidmatan Tadbir Negeri (PTN) sendiri yang terletak di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) masing-masing.

Selangor tidak mempunyai PTN walaupun ada SPAN yang hanya bertanggungjawab terhadap perkhidmatan awam sokongan lantikan kerajaan negeri seperti perkhidmatan perkeranian dan yang setaraf dengannya.

Oleh itu, semua jawatan peringkat profesional dan pengurusan (iaitu jawatan Bahagian 1 perkhidmatan awam) bagi semua jabatan dalam pentadbiran Negeri Selangor dianggotai oleh pegawai Persekutuan.

Selain jawatan SUK, Pegawai Kewangan Negeri, Timbalan dan Penolong-penolong mereka, Pegawai Daerah dan Penolong-penolong Pegawai Daerah adalah terdiri daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Persekutuan.

Maka tindakan pentadbiran Negeri Selangor melantik jawatankuasa yang terdiri daripada orang-orang politik untuk memilih calon SUK itu telah menyalahi kehendak peruntukan Perlembagaan.

DATUK WAN MANSOR ABDULLAH
Bekas SUK Selangor


Utusan Malaysia Online

Thursday, February 3, 2011

Skim perkhidmatan pensyarah farmasi tidak terlibat penambahbaikan

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Pensyarah Farmasi, Pulau Pinang bertajuk Semak Struktur Kenaikan Pangkat, Gaji Pensyarah Farmasi IPTA yang disiarkan dalam ruangan ini pada 25 Januari 2011.

Surat pekeliling perkhidmatan yang dirujuk dalam surat Pensyarah Farmasi, Pulau Pinang tersebut ialah surat pekeliling perkhidmatan bilangan 5 tahun 2010, iaitu Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2010.

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah merupakan penambahbaikan Jadual Gaji Matriks (JGM) bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan gred DU51/52 dan gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian gred DUG51/52 dan gred DUG53/54. Surat pekeliling perkhidmatan ini tidak melibatkan skim perkhidmatan pensyarah universiti bidang farmasi.

Skim perkhidmatan pensyarah universiti dalam bidang farmasi, pensyarah perubatan dan pensyarah pergigian adalah merupakan tiga skim perkhidmatan yang mempunyai skop fungsi dan bidang tugas yang berbeza yang mana penetapan gaji permulaan adalah berdasarkan prinsip kadar upah untuk kerja dan kelayakan yang diperlukan.

Dalam hal ini, pensyarah universiti bidang farmasi diiktiraf sebagai perkhidmatan kritikal diimbuh dengan bayaran insentif perkhidmatan kritikal selain menerima imbuhan tetap perumahan, imbuhan tetap khidmat awam/ imbuhan tetap keraian dan bantuan sara hidup.

Kerajaan secara berterusan melihat keperluan untuk menambah baik pakej saraan pegawai perkhidmatan awam dan cadangan yang dikemukakan akan diberi perhatian dan pertimbangan.

NIK NORAINI NIK YA
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia


Utusan Malaysia Online

Saturday, January 29, 2011

Sektor awam diminta beri peluang kepada OKU

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta agar golongan kurang upaya diberi peluang yang lebih luas untuk memegang jawatan dalam sektor berkenaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, setakat ini sasaran satu peratus orang kurang upaya (OKU) berkhidmat dalam sektor berkenaan masih belum dicapai.

Menurutnya, golongan tersebut sepatutnya diberi peluang untuk bekerja di dalam sektor awam kerana ada antara mereka merupakan golongan bijak pandai dan lulusan universiti.

"Kami mendapat banyak aduan daripada golongan OKU bahawa mereka banyak kali gagal pada sesi temuduga pekerjaan dalam sektor awam walaupun memenuhi kriteria yang diperlukan.

"Kami yakin mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik sekiranya ditawarkan jawatan dan pekerjaan di dalam sektor awam seperti kerani, pengurus fail dan sebagainya yang tidak membabitkan tugasan fizikal kerana ada antaranya berkelulusan tinggi seperti ijazah dari universiti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan cek saguhati perpindahan kepada penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood; Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengurus Besar Pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Roslan Abu Talib.

Menurut Omar, setakat ini golongan OKU yang bekerja dalam sektor awam berpuas hati dengan kemudahan disediakan.

Katanya, rata-rata golongan tersebut memuji usaha kerajaan menyediakan tempat bekerja yang selesa untuk mereka.

"Tiada masalah dari segi kemudahan OKU di tempat kerja dalam sektor awam, cuma masalahnya kekurangan pekerja daripada golongan itu. Saya berharap perkara ini dapat diberikan perhatian," jelasnya.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan beberapa kesatuan sekerja lain seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia pada 8, 11 dan 12 Februari ini mengenai isu pelaksanaan gaji minimum.

"Sebagaimana yang umum ketahui, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk pengenalan gaji minimum, tetapi kami masih tidak mendapat bayangan bahawa ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

"Jadi, satu perbincangan akan diadakan pada tarikh tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengetahui status terkini pelaksanaan gaji minimum di negara ini," katanya.

Utusan Malaysia Online

Kuarters Cochrane: Penghuni lama diutama

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Seramai 500 keluarga yang sebelum ini menghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini akan diberi keutamaan untuk mendiami kuarters baru di tapak berkenaan yang pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood berkata, mereka terpaksa berpindah bagi memberi ruang pembinaan kuarters baru itu untuk menampung lebih ramai kakitangan awam di sekitar ibu negara.

Katanya, projek pembinaan melibatkan kos RM220 juta itu diuruskan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dijangka siap 30 bulan selepas projek itu dimulakan.

"Kuarters baru itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kenderaan dan juga stesen sistem transit aliran massa (MRT).

"Ia juga lebih besar dan luas sehingga boleh menampung 1,000 keluarga kakitangan awam dari sekitar ibu negara. Kami telah membuat keputusan bahawa sebahagiannya akan dikhaskan kepada penghuni kuarters yang lama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian cek saguhati perpindahan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman; Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengurus Besar Pelaburan LTAT, Roslan Abu Talib.

Menurut Othman, sementara menunggu projek tersebut siap, penghuni kuarters berkenaan akan dipindahkan ke kuarters kerajaan di Putrajaya, Jalan Duta dan Jalan U-Thant.

Bagaimanapun beliau difahamkan, ramai yang tidak mahu berpindah ke Putrajaya kerana faktor jarak ke tempat kerja dan penempatan sekolah anak-anak.

"Jadi, kami sedang dalam perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menyelaras serta membenarkan sebahagian penghuni kuarters tersebut berpindah ke penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota.

"Selain itu, kami juga berbincang dengan Kementerian Pelajaran supaya dapat menyelaras perpindahan anak-anak kakitangan ini ke sekolah yang lebih dekat dengan kediaman baru mereka supaya tidak timbul isu sekolah jauh dari rumah," jelasnya.

Othman berkata, kerajaan turut menyediakan perkhidmatan logistik untuk membantu proses perpindahan penghuni kuarters tersebut yang diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk berbuat demikian.

Utusan Malaysia Online

Thursday, January 27, 2011

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

TAHNIAH kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mensyaratkan borang aduan diedarkan kepada penumpang bas ekspres sejak awal bulan lepas bagi membolehkan tahap pemanduan bas yang dinaiki dinilai.

Sekurang-kurangnya setiap pemandu bas eskpres sedar bahawa setiap penumpang yang dibawanya mempunyai hak untuk membuat aduan mengenai caranya memandu sepanjang perjalanan.

Awang percaya ia akan membantu mengurangkan pelanggaran peraturan lalu lintas oleh pemandu pengangkutan awam, walaupun mungkin ia berlaku kerana ‘tekanan di pihak penumpang’ atau lebih mudah kerana terpaksa.

Awang juga tertarik dengan langkah penyamaran pegawai JPJ menaiki bas eskpres sebagai penumpang bagi sepanjang Ops Sikap ke-23 sempena Tahun Baru Cina iaitu sehingga 10 Februari ini.

Maknanya, pegawai yang menyamar itu akan mengesan setiap kesalahan pemandu kenderaan awam yang terlibat seperti memandu melebihi had laju. Apabila tiba ke destinasi, tindakan sewajarnya boleh diambil terus ke atas pemandu terbabit.

Awang yakin, ia antara kaedah untuk mendisiplinkan para pemandu terutama yang terlibat dengan perkhidmatan pengangkutan awam.

Sudah tentu, kita juga mengharapkan para pemandu kenderaan persendirian juga menjadi semakin baik dalam usaha menjadikan jalan raya kita selamat untuk semua.

Setiap daripada kita sudah pasti tidak inginkan ada ahli keluarga yang disayangi menjadi korban di jalan raya.

Awang – Marilah berubah.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, January 25, 2011

Promosi program hantar ubat melalui pos


KUCHING 24 Jan. - Hospital Umum Sarawak (HUS) akan memperhebatkan promosi program Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP 1Malaysia) yang diperkenalkan sejak Ogos lalu bagi memastikan orang ramai sedar tentang kewujudannya dan memanfaatkan perkhidmatan itu.

Timbalan Pengarah Farmasi HUS, Mardziah Suhaili berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad untuk mempromosikan UMP 1Malaysia termasuk mengadakan pameran di perkarangan hospital serta menghebahkan kewujudan program tersebut melalui media cetak dan elektronik.

Menurutnya, setelah lima bulan diperkenalkan, masih ramai yang tidak tahu mengenai UMP 1Malaysia walaupun program itu mendapat maklum balas positif daripada para pesakit terawal yang menggunakan perkhidmatannya.

"Setakat ini, hanya 38 pesakit HUS mendaftarkan diri untuk menggunakan perkhidmatan ini.

"Oleh itu, kita harap melalui promosi yang diperhebat serta hebahan media, lebih ramai pesakit sedar tentang kewujudannya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran UMP 1Malaysia peringkat HUS di sini hari ini.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Pengarah HUS, Dr. Junaidi Diki.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melancarkan perkhidmatan UMP 1Malaysia serentak di hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Junaidi berkata, sejak beberapa tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh HUS, khususnya Jabatan Farmasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Selain UMP 1Malaysia, katanya, pihak HUS telah memperkenalkan beberapa perkhidmatan yang mempermudahkan urusan pesakit seperti perkhidmatan faks, e-mel, SMS dan telefon (FEST); sistem pendispensan ubat bersepadu (SPUB); Program Pemulangan Ubat serta kempen Go Green.

Program UMP 1Malaysia adalah perkhidmatan pembekalan ubat susulan dari hospital terus ke lokasi pilihan pesakit melalui pos laju dengan caj kiriman serendah RM5 mengikut berat ubat serta lokasi penghantaran.

Ia merupakan salah satu daripada perkhidmatan tambah nilai yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di hospital-hospital dan klinik awam dengan kerjasama Pos Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi kaunter Farmasi Pesakit Luar HUS atau menghubungi talian 082-276057.
Utusan Malaysia Online

Saturday, January 22, 2011

Usaha MPS beri imbuhan disambut baik

SEREMBAN 21 Jan. - Rata-rata masyarakat di bandar ini menyahut baik inisiatif pemberian imbuhan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kepada orang ramai yang membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menurunkan iklan haram di sekitar bandar ini.

Usaha itu bukan sahaja diyakini dapat membantu pihak PBT untuk membanteras gejala berkenaan yang dilihat menjurus kepada perbuatan vandalisme, malah menggalakkan orang ramai untuk turut serta memelihara persekitaran bandar ini.

Apa tidaknya, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu menjadikan kemudahan awam sebagai sasaran untuk menampal iklan haram seperti di papan-papan tanda, dinding bangunan, jejambat, pondok telefon, tiang lampu, pokok serta kotak suis elektrik awam mencacatkan pemandangan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar mendapati, selain iklan peminjam wang haram (ah long), perkhidmatan lain yang turut diiklankan sewenang-wenangnya ialah rumah sewa, membaiki bumbung atau paip, urut, pajak gadai, kelas tuisyen serta lelongan rumah.

Menurut seorang pelajar, Nadia Ashikin Abd. Wahab, 19, pemberian imbuhan itu akan menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama membanteras gejala menampal iklan haram.

''Ia dianggap sebagai perangsang kepada umum untuk bersatu hati menjaga kebersihan bandar ini dari dicemarkan perbuatan vandalisme.

''Langkah tersebut juga diharap dapat memupuk kesedaran orang ramai tentang kebanjiran iklan yang menyakitkan mata kerana sebelum ini mungkin ramai yang tidak menghiraukannya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi Rohayu Shamsudin, 19, imbuhan itu sememangnya baik kerana ia akan membuatkan orang ramai lebih peka dalam usaha menangani perbuatan yang mencemarkan imej bandar ini.

''Orang ramai mungkin berebut-rebut untuk menurunkan iklan haram lebih-lebih lagi jika wang tunai dijadikan imbuhan nanti. Tetapi kalau diikutkan, tanggungjawab menjaga kebersihan ini sebenarnya merupakan tanggungjawab kita bersama," ujarnya.

Seorang lagi pelajar, M. Guuhan, 17, berpendapat, langkah itu dilihat dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan usaha mempromosikan bandar ini kepada pelancong.

''Ini kerana kebanjiran iklan haram hanya akan mendatangkan kesan negatif kepada industri pelancongan negeri ini dan secara tidak langsung menghasilkan persepsi yang tidak baik kepada pelancong asing.

''Jika mereka melaksanakan pemberian insentif, bandar kita mungkin akan jadi lebih bersih dan bebas daripada iklan haram," katanya.

Sementara itu bagi seorang penduduk, Azmi Abd. Aziz, 52, pengumuman itu amat baik tetapi mungkin ada segelintir pihak yang khuatir jika menurunkan iklan berkenaan mereka akan diburu pihak tidak bertanggungjawab.

''Saya menyokong jika ia dilaksanakan tetapi saya juga bimbang tentang keselamatan kami," tambahnya.

Utusan Malaysia Online