Tuesday, June 21, 2011

SPA lulus pelarasan gaji jurulatih PLKN

JABATAN Latihan Khidmat Negara (JLKN) ingin menjawab surat bertajuk ‘Jurulatih PLKN kesal sikap JPA’ oleh ‘Pembantu Kesatria’ dari Mentakab, Pahang yang disiarkan 14 Jun lalu. Kami ingin menjelaskan agensi yang menimbang dan meluluskan pelarasan gaji permulaan bagi pesara sebagai Pembantu Kesatria Gred S17 di JLKN adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan bukannya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pihak JLKN juga sedang menyediakan dokumen untuk tujuan pembayaran dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat. JLKN ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada SPA kerana prihatin terhadap kebajikan Jurulatih PLKN.
elaras dengan kelulusan ini, JLKN berharap semua Pembantu Kesatria akan terus memberikan komitmen tinggi kepada tugas masing-masing dalam PLKN.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT,
Jabatan Latihan Khidmat Negara.


Berita Harian Online

Monday, June 20, 2011

5 tuntutan CUEPACS

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my


Prasyarat persetujui pelaksanaan PROSPEK

ALOR SETAR: CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu. Tuntutan utama adalah supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan insentif bagi setiap kali kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK, Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai |CUEPACS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan isu berkaitan serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata CUEPACS mengemukakan tuntutan baru kerana tidak bersetuju dengan beberapa terma dan syarat dalam MoU yang ditandatangani dengan JPA sebelum ini.

“Kita tidak puas hati dengan beberapa perkara dalam PROSPEK dan menuntut supaya lima perkara itu diberi perhatian oleh JPA sebelum kami bersetuju dengan pelaksanaan kaedah baru penilaian prestasi kakitangan awam yang akan dikuatkuasakan bulan depan.

“CUEPACS sudah bertemu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Khamis lalu dan beliau setuju supaya kita berbincang dengan JPA mengenai lima tuntutan itu sebelum pekeliling PROSPEK diedarkan.
“Jika pekeliling dikeluarkan tanpa perbincangan antara JPA dengan CUEPACS berhubung tuntutan itu, kita mungkin menolak pelaksanaan PROSPEK,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pekerja RISDA Kedah ke-24, di sini semalam.

Pada 19 Mei lalu, CUEPACS telah menyatakan persetujuan mengenai PROSPEK menerusi MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bersama Omar yang mewakili CUEPACS, bagi menggantikan PTK yang dimansuhkan pada Januari lalu.

Menerusi PROSPEK, kaedah penilaian kakitangan awam tidak lagi berasaskan peperiksaan, sebaliknya ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat. Panel penilai akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Pelaksanaannya akan membabitkan lapan prinsip penilaian baru, iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi. Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi, memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS berharap kerajaan memberikan dua bulan bonus kepada 1.2 juta kakitangan awam akhir tahun ini, selain Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 sebulan di seluruh negara dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

“Permintaan kami untuk dua bulan bonus tahun lalu tidak dipenuhi dan berharap kali ini ia dipertimbangkan. COLA pula wajar diperluaskan ke seluruh negara kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ini kerana dinaikkan pangkat pun, kenaikan gaji mereka hanya sedikit,” katanya.


Berita Harian Online

Sunday, June 19, 2011

Jangan asyik minta bonus

YOSRI ABU MAHSIN
Kuala Lumpur
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Sektor Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan menaikan elaun sara hidup diselaraskan kepada RM300 sebulan di semua tempat. Permintaan itu dipohon kepada Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012.
Pada hemah saya dalam keadaan sekarang pihak CUEPACS perlu menyarankan kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan negara kita muncul sebagai negara maju pada tahun 2020, berbanding tuntutan untuk mendapatkan bonus dan kenaikan elaun sara hidup.

Tuntutan pihak CUEPACS berupa peruntukan kewangan adalah sesuatu yang sensitif dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu sekarang ini. Tuntutan ini didapati boleh merendah-rendahkan imej dan reputasi kakitangan awam.

Umum akan mendakwa bahawa kakitangan awam tiada kerja lain kecuali menuntut bonus dan elaun. Bagaimana pula nasib orang yang bekerja sendiri seperti penoreh getah, pesawah, petani, nelayan, pemandu bas, kereta sewa dan teksi? Mereka ini tiada gaji dan elaun sara hidup.

CUEPACS disarankan turut memperjuangkan perkara-perkara lain seperti kebajikan untuk kakitangan awam yang lain. Kurangkan tuntutan bonus dan elaun.

Kini Kementerian Sumber Manusia pula telah mengumumkan mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 yang dijangka dapat beroperasi pada tahun ini.

Penubuhan badan itu akan memberi impak kepada golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini apabila kadar gaji minimum mereka dapat dilaksanakan akhir tahun ini.
Kini kira-kira 34 peratus atau 350,000 pekerja sektor awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak sesuai lagi dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat.

Sama ada kerajaan mahu memberi bonus atau sebaliknya adalah terpulang kepada kemampuan kewangan kerajaan dalam menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara secara berhemah.

Adalah menjadi keutamaan kerajaan pada masa kini bagi mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kakitangan awam disaran mencontohi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang berasa malu dan segan untuk meminta kepada pihak kerajaan berkaitan bonus dan tuntutan apa-apa elaun, tambahan kedudukan kewangan serta kemampuan kerajaan pada masa kini berada pada keadaan yang minimum.

Sebarang tuntutan mesti dapat dibuktikan melalui peningkatan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat di negara ini.

Tumpuan kakitangan awam sekarang ini perlu kepada meningkatkan produktiviti dan melakukan penjimatan terhadap aspek perbelanjaan harian. Sikap boros berbelanja akan mendorong kepada kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan yang akhirnya boleh membawa kepada tekanan inflasi yang tinggi.

Utusan Online

CUEPACS minta pertimbang bonus

ALOR SETAR 19 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2012, awal Oktober ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sudah menyatakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara lisan dan akan memohon perkara itu secara bertulis dalam masa terdekat.

"Dua tahun kebelakangan ini kakitangan awam seluruh negara memperoleh wang saguhati RM1,000. Namun, kali ini CUEPACS amat berharap kerajaan menimbangkan kadar bonus yang lebih baik.

"Saya tidak mahu nyatakan berapa bulan bonus yang kita pohon kepada kerajaan kerana bimbang peniaga akan menaikkan harga barang, namun jumlah yang dipohon ini bersesuaian kepada penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, CUEPACS juga menuntut kerajaan untuk menyelaraskan elaun sara hidup (COLA) bagi meningkatkan taraf hidup 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.
Omar berkata, COLA yang dinikmati ketika ini sekitar RM80 sebulan sudah diguna pakai sejak lapan tahun lalu dan sudah tiba masanya ia dinaikkan kepada RM300 sebulan.
"Kenaikan ini selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerusi pekerja pendapatan tinggi dan melahirkan pekerja yang kreatif serta inovatif.

"Harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan ke arah menuju negara maju menjelang 2020," jelasnya


Utusan Online

Naikkan pangkat penjawat awam selepas berkursus

ALOR SETAR 19 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (Prospek), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif Prospek tidak tercapai.

“Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat,” kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut agar pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan.

"Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam Prospek konsep melintang dan menegak tiada.

“Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini. – Bernama

Utusan Online

CUEPACS minta kenaikan pangkat selepas kursus

ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (PROSPEK), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman. Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan.
"Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.


Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
"Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama," katanya.

Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180.



BERNAMA

Saturday, June 18, 2011

Tindakan JPA beri gred tinggi kepada KKK tidak wajar

SAYA ingin menarik perhatian mengenai jawatan Ketua Komunikasi Korporat (KKK) di kementerian yang dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2009 lalu.
Selepas beberapa bulan ada KKK yang melepaskan jawatan kerana tidak dapat menyesuaikan diri di sektor awam serta kekangan lain. Kebanyakan KKK ini juga tidak dilanjutkan tempohnya selepas dua tahun berkhidmat.
Sebelum ini, tugas berkenaan dilaksanakan pegawai Jabatan Penerangan dengan diberi gred tingkatan biasa. Ramai yang bertanya apakah sebabnya orang ‘luar’ diberi jawatan ini dan ditawarkan Gred Terbuka (T54). Jika dibandingkan dengan pegawai awam lain, mereka memerlukan masa 25 tahun untuk naik ke Gred 54. Berbanding KKK, mereka hanya perlu mempunyai pengalaman lima tahun dalam bidang perhubungan awam dan media. Untuk menjadi seorang pegawai perhubungan awam berwibawa, seseorang itu bukan saja perlu mengetahui fungsi perhubungan awam, sebaliknya menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti tadbir urus perhubungan awam kerajaan yang mencakupi perhubungan media, penulisan, penterjemahan dan perlu memahami serta mengetahui secara mendalam berkaitan prosedur kewangan, perolehan, penyediaan belanjawan mengurus, pentadbiran memahami surat pekeliling, perbendaharaan, politik, perkhidmatan serta apa jua peraturan yang menjadi amalan sektor awam.
Saranan saya, untuk menaikkan imej dan penyampaian perkhidmatan dalam tadbir urus promosi dan publisiti, ketua di Unit Komunikasi Korporat tidak perlu diberi gred terlalu tinggi, namun yang lebih penting bilangan perjawatan di unit berkenaan perlu ditambah.

MANTAN PEGAWAI PENERANGAN,
Kuala Lumpur.


Berita Harian Online