Tuesday, July 5, 2011

Baharui jentera pentadbiran

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 5 Julai - Pelaksanaan transformasi total di Kementerian Pelajaran perlu bermula dengan pembaharuan dalam jentera pentadbirannya sendiri yang sebelum ini bersifat 'atas ke bawah' kepada gabungan jalinan dari semua peringkat jawatan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini supaya idea baru yang boleh memberikan nilai tambah atau manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Fokus kita bukan lagi hanya kepada menyelesaikan sesuatu tugasan yang diarahkan tetapi seharusnya memikirkan 'apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan apa yang mereka perlukan apabila berurusan dengan kita.
"Oleh itu, warga kementerian perlu mempersiapkan diri untuk menjadi penjawat awam yang mempunyai kepelbagaian kemahiran dan serba boleh bagi menjayakan transformasi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran 2010 di sini hari ini.

Seramai 417 warga Kementerian Pelajaran daripada pelbagai peringkat jawatan terpilih untuk menerima penghargaan atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, ketua jabatan dan agensi perlu memberi perhatian kepada usaha meningkatkan potensi dan kompetensi kakitangan masing-masing supaya selari dengan perubahan persekitaran yang dinamik.

"Pelaburan dalam penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang sesuai dari segi lokasi yang kondusif, kurikulum kursus yang berkesan dan tenaga pengajar yang mahir dapat melahirkan warga kerja yang sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

''Malah, pelaksanaan dan perubahan itu juga hendaklah sehingga ke peringkat institusi sekolah kerana saya percaya ini akan secara terus memberikan impak besar kepada proses pembelajaran dan kemenjadian murid dalam jangka masa terdekat ini," katanya.


Utusan Online

Graduan kejururawatan perlu daftar dengan LJM

MERUJUK surat oleh 'graduan kolej jururawat menganggur' yang disiarkan dalam ruangan ini pada 28 Jun lalu. Kerjaya kejururawatan sememangnya diminati lepasan sekolah kerana peluang mendapat pekerjaan amat cerah dan luas kerana keperluan mereka meliputi sektor kerajaan dan swasta.

Pihak kami melihat kerjaya ini berdaya saing kerana peluang untuk peningkatan ke tahap yang lebih tinggi dan luas. Ketika ini belum ada kajian terperinci berkenaan dengan jururawat yang tidak memperoleh pekerjaan. Bagaimanapun, jururawat yang lulus peperiksaan dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) serta memperoleh pekerjaan dapat diketahui melalui statistik jururawat yang memohon Sijil Amalan Tahunan (APC) setiap tahun. APC ini wajib dipohon melalui majikan dan statistik menunjukkan peningkatan pada setiap tahun. Terdapat dua cara memohon jawatan jururawat iaitu melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mereka yang ingin berkhidmat dengan perkhidmatan awam. Manakala mereka yang ingin berkhidmat di sektor swasta, boleh terus memohon di hospital swasta.

LJM menyarankan agar graduan kejururawatan mempersiapkan diri dari segi ketrampilan dan ilmu pengetahuan apabila menghadiri sesi temu duga.

LJM sebagai badan profesional sentiasa berusaha dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan latihan dan perkhidmatan kejururawatan menepati piawaian kejururawatan di negara ini agar ia setaraf dengan negara maju. Adalah menjadi aspirasi LJM, jururawat yang dikeluarkan oleh kolej jururawat di negara ini adalah jururawat berpengetahuan, kompeten dan berkemahiran.

PENGARAH KEJURURAWATAN MALAYSIA, Putrajaya.

Berita Harian Online

Monday, July 4, 2011

Portal e-aduan tingkat mutu kerja

IPOH 4 Julai - Kerajaan yakin pelancaran portal e-Aduan dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan ke tahap terbaik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan aduan awam kerajaan negeri ke arah penambahbaikan pengurusan aduan awam.

Katanya, usaha itu diambil bagi memendekkan tempoh pengurusan aduan awam daripada 41 hari kepada 15 hari bekerja.

"Portal e-aduan ini yang dibangunkan itu untuk membantu Bahagian Korporat yang menerima aduan melalui Internet, e-mel, telefon dan faks daripada orang ramai.
"Maklumat yang diterima itu akan disalurkan secara elektronik kepada jabatan atau agensi kerajaan bagi tindakan susulan diambil," katanya di sini, hari ini.
Beliau berucap melancarkan Portal e-Aduan selepas perhimpunan bulanan dan Executive Talk kakitangan awam di Dewan Banquet, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini.

Katanya, portal e-Aduan boleh dilayari secara talian terus yang dipautkan dengan portal rasmi negeri Perak bagi memudahkan pengadu menghantar aduan.
Katanya lagi, pejabat SUK akan mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan dan menghantar aduan secara talian terus kepada jabatan atau agensi terlibat untuk tindakan lanjut.

Katanya, setiap pengadu perlu memasukkan maklumat diri yang wajib bagi tujuan pengesahan aduan yang tulen iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat dan maklumat aduan.

Utusan Online

Sunday, July 3, 2011

SPA sedia bantu selesai kemelut KP JKR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sedia bertemu Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyelesaikan isu pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagaimanapun, Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo, berkata setakat ini pihaknya belum dipanggil untuk terbabit dalam rundingan mengenai perkara itu. "SPA percaya perkara itu akan dapat diselesaikan di peringkat pucuk pimpinan perkhidmatan awam. Kita tiada apa-apa nak 'update' berkaitan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Bola Jaring Terbuka SPA 2011 dan Karnival Kerjaya, di sini hari ini. Isu itu tercetus apabila Ketua Pengarah JKR, Tan Sri Judin Abdul Karim, dilapor tidak bersetuju dengan arahan bertukar ke Lembaga Industri Kontraktor sedangkan tempatnya diisi Timbalan Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohd Noor Yaakob, berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Menjawab soalan, Lamien berkata SPA mematuhi semua prosedur perkhidmatan berhubung pelantikan jawatan terbabit.

Sementara itu, kira-kira 1,200 pengunjung menghadiri karnival kerjaya tersebut bagi mendapatkan khidmat nasihat, panduan dan mengetahui status pendaftaran permohonan pekerjaan melalui SPA.


BERNAMA

Jauhi perhimpunan haram: CUEPACS

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta semua 1.2 juta penjawat awam tidak terbabit dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tertakluk pada Etika Perkhidmatan Awam dan Aku Janji dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan yang tidak berdaftar. "Jangan sesekali terbabit secara langsung bahkan jangan sesekali hadir untuk menonton (perhimpunan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, Kesatuan Pekerja-pekerja Awam negeri Melaka kali ke-33 di Ayer Keroh, di sini hari ini. Katanya, perhimpunan haram itu hanya membuang masa dan tidak mempunyai faedah atau kepentingan kepada penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam yang berdegil dan engkar untuk terus menghadiri perhimpunan itu, menangggung risiko sendiri tanpa pembelaan CEUPACS sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa.

BERNAMA

Friday, July 1, 2011

Hari Berbasikal bakal diperkenalkan di Melaka

MELAKA 1 Julai - Hari Berbasikal akan diperkenalkan di negeri ini bagi mengalakkan kempen agar seluruh rakyat mengamalkan budaya berbasikal setiap minggu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan memperkenalkan Hari Berbasikal adalah salah satu usaha untuk mempromosikan negeri ini sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Bagi tujuan tersebut, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai untuk mencadangkan kawasan dan hari yang sesuai bagi merealisasikan cadangan tersebut.
Menurutnya, maklumat daripada orang ramai amat penting untuk kerajaan negeri mengisytiharkan kawasan bebas kenderaan bagi membolehkan aktiviti berbasikal beroperasi di kawasan terbabit.

''Hari Berbasikal akan diadakan sekali seminggu di mana seluruh masyarakat boleh berbasikal dari pagi hingga tengahari sama ada dari pagi hingga petang.
''Kawasan yang perlu dicadangkan pula perlu mengambil kira ia bukan menjadi laluan utama kenderaan masuk ke bandar raya ataupun boleh menghalang aktiviti harian penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai barisan Exco, ketua-ketua jabatan dan kakitangan kerajaan memulakan kempen berbasikal di sini hari ini.
Sambil berpakaian baju Melayu, Mohd. Ali disertai kira-kira 50 orang termasuk ahli kelab Basikal Tua Melaka mengiringi beliau mengayuh basikal dari kediaman rasminya di Seri Bendahara ke pejabat di Seri Negeri.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan cadangan tersebut boleh menghubungi pusat nombor panggilan setempat (ONCC) menerusi talian 06-3333333 dan nombor tersebut boleh digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu beliau berkata, aktiviti berbasikal melibatkan Exco, ketua-ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri ke pejabat akan diadakan setiap Jumaat
 

Utusan Online

JPA belum setuju lima tuntutan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my

Isu PROSPEK perlu dirunding

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) belum membuat sebarang keputusan berhubung lima tuntutan baru dikemukakan CUEPACS sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang bermula hari ini. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata JPA perlu mengadakan perbincangan dengan CUEPACS terlebih dulu sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat. “Sebarang keputusan perlu dirunding dulu. Saya memang sudah terima tuntutan berkenaan, tetapi belum menyatakan persetujuan kerana saya perlu mengadakan rundingan dengan CUEPACS terlebih dulu untuk mendapatkan penjelasan mereka mengenai tuntutan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Katanya, JPA juga dalam proses memberikan taklimat dan penerangan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan berhubung PROSPEK sebelum surat pekeliling berhubung pelaksanaannya dikeluarkan.

Bagaimanapun, hingga tamat waktu pejabat petang semalam, laman web JPA masih belum menyiarkan surat pekeliling berhubung tarikh penguatkuasaan PROSPEK.

Beliau mengulas dakwaan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman di Ipoh, semalam bahawa JPA bersetuju untuk memenuhi lima tuntutan baru yang dikemukakan persatuan itu sebagai prasyarat sebelum mempersetujui pelaksanaan PROSPEK bagi menggantikan PTK yang bermula hari ini.
Tuntutan utama kata beliau pastinya menggembirakan kira-kira 1.2 juta penjawat awam apabila JPA bersetuju mana-mana kakitangan yang mengikuti kursus kompetensi.


Berita Harian Online