Thursday, January 19, 2012

Perbincangan semakan gaji babitkan kesatuan sekerja, wakil kementerian

PUTRAJAYA 18 Jan. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan perbincangan pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan turut membabitkan kesatuan sekerja jabatan yang berkaitan selain wakil kementerian.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan pasukan petugas mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.

''Kalau mahu semua terlibat, rasanya tidak mungkin untuk kita dapatkan wakil semua kementerian, agensi, badan berkanun dan kesatuan sekerja.

''Tetapi tidak dihadkan perbincangan bila ada menyentuh satu-satu skim perkhidmatan, maka harus dipanggil mereka yang terbabit seperti ketua setiausaha, ketua pengarah dan kesatuan sekerja yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan ahli pasukan petugas itu di sini, hari ini.

Selain Tan Sri Ismail Adam yang dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, sembilan ahli lain termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut menganggotai pasukan tersebut.

Pasukan itu ditubuhkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas yang mahu SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Menurut Mohd. Sidek, biar pun cuba memenuhi pandangan semua pihak, namun kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu.

''Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai," katanya.

Sementara itu, Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan pengalamannya, isu-isu yang dibangkitkan menjurus kepada tiga aspek iaitu pergerakan gaji, perkhidmatan dan individu (penjawat awam).

''Kalau ada ketiga-tiga isu itu kita akan bincang dengan teliti bersama-sama wakil skim perkhidmatan dan juga kesatuan yang berkenaan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Wednesday, January 18, 2012

Mesyuarat pertama semak SBPA selepas Tahun Baru Cina

PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

''Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,'' katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Tuesday, January 17, 2012

SPRM tubuh Unit Petugas Khas

KUALA LUMPUR, 16 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentuk sebuah Unit Petugas Khas bagi mengenal pasti mekanisme sesuai untuk pelaksanaan dan pemantauan proses pengisytiharan harta para hakim seperti dicadangkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria.

Unit itu diketuai Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Shaharudin Khalid, menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM berkata, ia menyambut baik cadangan Arifin dan penglibatan unit itu kelak adalah selaras dengan Perintah-perintah Am dan Arahan Pentadbiran 1993.

Arifin membuat cadangan itu ketika berucap merasmikan Persidangan Hakim-Hakim Malaysia di Putrajaya semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa Badan Kehakiman akan bekerjasama dengan SPRM dalam perkara itu.

"Suruhanjaya ini menyambut baik dan berpandangan tindakan mengisytihar harta oleh hakim-hakim adalah satu tindakan yang dijangka dapat memperkasa integriti institusi kehakiman di negara ini.

"SPRM dari semasa ke semasa bersedia membantu mana-mana agensi awam dan swasta dalam mengkaji dan memberi nasihat ke atas sistem dan prosedur untuk penambahbaikan atau memperkenalkan sistem dan prosedur baru untuk meningkatkan integriti institusi," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hakim-hakim yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah tertakluk kepada Undang-undang dan Peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993.

"Untuk makluman, semua penjawat awam diwajibkan mematuhi Peraturan 10 Perintah-Perintah Am Peraturan-peraturan Awam yang perlu mengisytiharkan secara bertulis kepada pihak berkuasa tatatertib melalui Ketua Jabatan segala harta yang dipunyai olehnya dan keluarga.

"Ketua Jabatan jika berpuas hati hendaklah merekodkan di dalam Buku Perkhidmatan bahawa pengisytiharan tersebut telah dibuat," kata kenyataan itu.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Monday, January 16, 2012

SBPA: Usah dibuat tergesa-gesa

SAYA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kerana prihatin bagi memberikan pembelaan kepada penjawat awam melalui penangguhan pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SBPA).

Pada pandangan saya, SBPA tidak wajar dibuat tergesa-gesa kerana perkara yang dibuat secara tergesa-gesa akan mengundang banyak ketidakpuasan hati penjawat awam sebaik dilaksanakan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) wajar mengambil masa lebih lama, sekurang-kurang setahun lagi untuk membuat suatu sistem yang berupaya memberi faedah kepada kesemua penjawat awam, bukan segelintir penjawat awam. Seperti kata bidalan 'Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah'.

Kepincangan SBPA akan dapat diperbetulkan sekiranya kenaikan gaji untuk JUSA dan ke atas tidak dijadikan sasaran utama dan tidak dibuat secara melampau. Dilaporkan bahawa JUSA mendapat kenaikan gaji pokok RM5,500. Selain itu, mereka mendapat pelbagai elaun serta kemudahan lain termasuk sebuah kereta rasmi serta pemandu yang menjemput dari rumah dan menghantar pulang setiap hari (JUSA B ke atas).

Selain kereta, penyelengaraan kereta, bayaran tol serta kereta yang berusia empat tahun tersebut boleh dibeli pada harga selepas taksiran semasa sekali dalam perkhidmatan mereka.

Kakitangan awam selain gred itu menggunakan kenderaan sendiri untuk urusan rasmi serta kenderaan jabatan yang terhad bilangannya. Kerajaan hanya membayar elaun perbatuan, bayaran tol serta bayaran balik letak kereta. Kereta yang kerap digunakan sudah tentu perlu diselenggarakan serta dibaiki jika rosak ia perlu ditanggung sendiri daripada duit gaji pegawai kategori berkenaan. Ini sebagai perbandingan kakitangan JUSA dan bukan JUSA.

Pewujudan Kumpulan Premier pula dengan diberi gaji yang lumayan serta pelbagai kemudahan lain. Keberhasilan mereka disandarkan dengan KPI serta keberhasilan pencapaiannya yang mana disumbangkan daripada keberhasilan pegawai-pegawai serta kakitangannya. Ini dirasakan tidak perlu serta dilihat sebagai suatu pembaziran sumber kewangan negara.

Penjawat awam sedia ada misalnya sudah mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang. Banyak inovasi telah dilaksanakan oleh kumpulan sedia ada contohnya seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Bomba, Kesihatan serta lain-lain agensi kerajaan.

Secara perbandinganya, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara telah berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia. Ini dibuktikan melalui pungutan pingat emas dalam setiap pertandingan di peringkat antarabangsa serta banyak rekod baharu antarabangsa dicipta.

Melalui bilangan pegawai belia yang kecil juga warga Jabatan Belia dan Sukan Negara bakal menghimpun dua juta belia tahun ini di Putrajaya sebagai KPI Menteri Belia dan Sukan. Pada tahun lalu, sejuta orang belia telah berjaya dikumpulkan.

Kesemua itu dicapai dengan bilangan kakitangan awam yang tidak besar serta dengan usaha khidmat Ketua Setiausaha Kementerian yang ada. Justeru, mencadangkan pewujudan kumpulan primer perlu kajian mendalam. Setiap kementerian sudah ada menteri dibantu oleh beberapa Timbalan Menteri yang sentiasa bekerja sebagai suatu pasukan bersama penjawat-penjawat awam sedia ada. Menteri-Menteri sedia ada bekerja berteraskan KPI masing-masing yang ditetapkan PEMANDU melalui objektif Gagasan 1Malaysia bagi mendahulu dan mengutamakan rakyat.

Apatah lagi orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut (premier). Sebagai perbandingan lagi, pada tahun 2009 orang luar diberikan peluang mengisi jawatan Ketua Komunikasi Korporat dan diberikan gred Terbuka 54 di setiap kementerian. Keadaan ini meminggirkan penjawat sedia ada.

Seseorang penjawat awam yang dilantik atas gred 41 misalnya sekurang-kurangnya mengambil masa lebih 20 tahun untuk mendapat kenaikan pangkat ke gred 54 dan tidak semua sampai ke peringkat itu. Tetapi orang luar yang hanya punyai kelulusan yang sama, malah tidak ramai yang punyai kelulusan peringkat sarjana apatah lagi Doktor Falsafah (Ph.D) dilantik ke jawatan tersebut. Mereka perlu mempelajari selok belok berkhidmat dalam sektor awam semula kerana mempunyai latar belakang yang berbeza.

Malah khidmat pegawai perhubungan awam sedia ada dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugas yang sebelum inipun sudah berpuluh tahun dilaksanakan oleh pegawai perhubungan awam sedia ada. Orang luar yang dilantik mengetuai Unit Komunikasi Korporat didapati ada yang tidak berlandaskan 'blue ocean strategy', serta bukan dalam kalangan 'subject matter expert' seperti yang dicanangkan. Justeru, apa perlunya golongan ini berada dalam sektor awam serta dibayar upah yang lumayan.

Justeru penangguhan SBPA adalah sesuatu yang bertepatan dibuat oleh Perdana Menteri yang prihatin. Tempoh masa serta ruang berfikir yang mencukupi perlu diberikan kepada pihak JPA. Ciptalah suatu skim untuk kepentingan seramai 1.4 juta kakitangan awam yang menanggung hampir 10 juta rakyat Malaysia sebagai ahli keluarga mereka. Hasrat murni JPA membuat transformasi dalam SBPA amat dihargai.

TAN DEWA SAKTI
Dengkil, Selangor



UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Friday, January 13, 2012

Cuepacs: Allow civil servants to change their mind on retirement age

PETALING JAYA: Cuepacs is asking the Government to allow civil servants who have chosen not to retire at age 60 to be allowed to change their minds although the deadline to sign up has expired.

It is claiming that their failure to do so was because they were not properly briefed on the matter.

Its president Datuk Omar Osman said many did not want to extend their retirement age as they were afraid that should they decide to stop working early, they would only be eligible to draw pension upon reaching 60.

Omar said according to a circular dated April 12 1991, those employed after the said date and had signed to retire upon reaching 58 years old but later opted to do so earlier, would be given their gratuity but would only receive pension when they reach the age.

“Meaning, if a civil servant retire at the age of 56, he will have to wait till he reaches 58 before he can draw his pension.

“However, this regulation has been abolished with the introduction of the Civil Service New Remuneration Scheme (SPBA) which was not explained to them,” he said.

“After we briefed them on the new ruling, they want to sign up for the option but the deadline has passed,” he said.

“They are hoping the Government can give some leeway on this,” he added.

The closing date for the 60 years retirement option was Dec 30 while civil servants have till Sunday to sign the SPBA option.

THE STAR ONLINE

Semak semula SBPA: CUEPACS mahu jadi suara utama

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu turut terlibat dalam jawatankuasa perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar tiada lagi isu berbangkit selepas ia dimuktamadkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini berikutan pada perangkaan peringkat awal skim berkenaan, CUEPACS tidak dipanggil untuk berunding atau memberi sebarang pandangan.

“Oleh itu, kami perlu menjadi ‘suara’ utama dalam perbincangan dengan jawatankuasa semakan semula bagi memberi pandangan dan menyampaikan maklum balas daripada penjawat awam.

“Suara itu mewakili semua pengurusan dan kesatuan sekerja yang menyuarakan pelbagai persoalan dan pandangan dalam siri jelajah seluruh negara sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat CUEPACS, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan SBPA akan disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim tersebut.

Katanya, CUEPACS akan menjelajah ke seluruh negara bermula awal Februari ini bagi menerangkan kepada semua penjawat awam berhubung semakan semula skim berkenaan.

“Penjawat awam dinasihatkan bersabar dan tenang menjalankan tugas masing-masing seperti biasa kerana tempoh dua bulan semakan semula itu diyakini akan melegakan semua pihak.

“Mereka juga tidak perlu bimbang tentang tarikh pelaksanaan SBPA yang sudah berkuat kuasa kerana tunggakan pembayaran gaji akan dibuat setelah dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Osman berharap semakan semula itu nanti akan menjadikan skim tersebut dilihat lebih adil dan saksama kepada seluruh penjawat awam tidak kira aspek kenaikan gaji atau sebagainya. Kalau boleh biarlah ia dijadikan satu skim yang merangkumi segalanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Kewajaran penangguhan SBPA

AKHIRNYA pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan. Keputusan tersebut tentunya menutup dilema penjawat awam yang hanya mempunyai tiga hari saja lagi untuk mengembalikan borang opsyen.

Sememangnya sejak SBPA diumumkan pelbagai reaksi dan kenyataan dapat dilihat - hangat dan dingin. Di sebalik khabar kenaikan gaji dan penyusunan jawatan, masih ada rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam terutama yang berpangkat rendah.

Perkara itu diakui sendiri oleh CUEPACS yang mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi berunding semula terma-terma dalam SBPA.

Persoalannya, adakah keseluruhan kakitangan awam di negara ini telah diberi penerangan dan penjelasan mengenai skim itu sebelum ia dilaksanakan. Atau sekadar memberi peluang kepada mereka menatap terma-terma sebelum borang dikembalikan?

Khabarnya, ramai penjawat awam masih kabur dan keliru mengenai SBPA. Kumpulan mana yang benar-benar dapat manfaat daripada skim tersebut - gaji rendah, pertengahan atau super skil.

Sumber perkhidmatan awam memberitahu, secara pukal golongan penjawat awam selain peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya mendapat kenaikan paling tinggi RM320 dan purata memperoleh RM200. Itu mungkin di peringkat penjawat awam kategori gaji pertengahan. Bagaimana pula dengan kenaikan gaji untuk JUSA?

Khabarnya, kenaikan kategori itu paling menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga SBPA dilihat agak pincang daripada matlamat asal.

Kenaikan untuk JUSA dan ke atas dikatakan amat lumayan hampir menyamai gaji asas di tahap sedia ada (dilaporkan hampir RM5,500). Adalah diakui penjawat awam di peringkat JUSA mempunyai beban kerja yang agak besar, tetapi bagaimanapun pula dengan kakitangan rendah yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan supaya golongan atasan dilihat membuat kerja?

Bukankah kesemua kategori dalam perkhidmatan awam sama penting kerana sumbangan mereka untuk sama-sama membangunkan bidang masing-masing.

Misalnya, jika guru-guru berkhidmat dengan cemerlang maka guru besar atau pengetua bakal mendapat nama yang baik, sekolah juga akan mencatatkan keputusan gemilang. Jadi adakah wajar jika kenaikan gaji guru hanya 1 peratus daripada kenaikan gaji guru besar atau pengetua.

Satu lagi dipersoalkan di dalam SBPA adalah pengenalan Kumpulan Premier. Ada kerunsingan dan kebimbangan selain tanda-tanya yang mesti dijawab atau diperjelaskan bagi mengelak salah sangka.

Sumber perkhidmatan awam membangkitkan persoalan mengapa kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mereka walhal perkhidmatan kerajaan telah beroperasi dengan baik selama ini.

Kenapa perlu ada kumpulan baru sedangkan perkhidmatan awam di negara ini semakin cemerlang dan mampu menambah baik tanpa perlu kumpulan atau jawatan baru sebelum ini.

Apatah lagi apabila orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut biar pun menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak mengisi jawatan tersebut.

''Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier,'' katanya baru-baru ini.

Memang diakui seperti mana yang ditegaskan Abu Bakar, setiap dasar atau skim yang diputuskan kerajaan bertujuan mengatasi masalah sedia ada dan juga melihat kemungkinan pada masa akan datang.

Tetapi bagaimana pula jika skim yang diperkenalkan mencetuskan masalah baru selain menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam sehingga dibimbangi kelak akan menjejaskan mutu perkhidmatan.

Khabarnya juga, syarat-syarat perkhidmatan yang lebih rumit terkandung di dalam SBPA. Sepatutnya skim baru lebih memudahkan kakitangan. Merumitkan mengundang masalah dan ia bukan petanda yang baik untuk kakitangan awam termakan dengan mungkin satu atau dua peratus manfaat kecil yang ditawarkan di dalam skim itu.

Rata-rata kakitangan awam mengalu-alukan hasrat murni kerajaan mahu melegakan bebanan mereka tetapi janganlah kerana terdapat kecacatan dalam pelaksanaan SBPA, maka hasrat tersebut tersasar sehingga menimbulkan kekeruhan.

Daripada bilangan 1.4 juta penjawat awam, ramai merasakan cuma segelintir (mungkin kurang 1,000 orang) yang merasa nikmatnya tetapi yang lainnya terpaksa berfikir panjang apakah yang ada untuk mereka.

Maka berilah ruang untuk SPBA dikaji semula. Ambillah masa yang mencukupi untuk melihat semula kepincangan yang mungkin tidak disengajakan. Rundinglah dengan semua pihak yang terlibat, jangan cipta skim untuk kepentingan satu kumpulan sahaja lantaran perkhidmatan awam melibatkan semua.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE