Tuesday, May 3, 2016

SPRM didesak segera 
siasat ‘Napoleon Kecil’ JPV

KUALA LUMPUR 2 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak segera melakukan siasatan terhadap dakwaan kewujudan ‘Napoleon Kecil’ dalam Jabatan Perkhid­matan Veterinar (JPV) yang sering membuat keputusan berpihak kepada pemain-pemain besar atau dianggap juga sebagai kartel.


AZWANDDIN HAMZAH
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, isu Napoleon Kecil dalam JPV bukanlah baharu, sebaliknya telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini oleh banyak pihak.
Bagaimanapun, Azwanddin men­­­­zahirkan rasa kesal apabila tiada tindakan atau siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak bertanggungjawab terhadap dakwaan berkenaan.

“Ini bukan lagi surat layang, tetapi ‘maklumat’ yang telah dibangkitkan oleh beberapa pihak. Sewajarnya SPRM melakukan siasatan secara proaktif terhadap dakwaan yang ditimbulkan.

“Perkara sudah lama, tetapi saya hairan kerana isu ini seolah-olah cuba ditutup dan disembunyikan. Mengapa? Saya tidak tahu. SPRM kena segera lakukan siasatan terhadap apa yang berlaku dalam JPV,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Awang Selamat dalam rua­ngan Bisik-Bisik semalam sekali lagi membangkitkan soal Napoleon Ke­cil dalam JPV yang sering membuat keputusan memihak kepada pemain-pemain besar yang dianggap kartel.

Isu Napolean Kecil dalam JPV ini pernah dibangkitkan oleh Awang pada tahun lalu, sehingga turut dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada November lalu dan menarik perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melakukan siasatan.

Presiden Gabu­ngan NGO 1Malaysia (NGO1M), Mohammad Nazlee Aziz Yeop juga senada dengan Azwanddin apabila mendesak SPRM mela­kukan siasatan segera.

Mohammad Nazlee turut mengingatkan SPRM supaya tidak terlepas pandang terhadap sebarang dakwaan yang dibuat mengenai agensi ataupun jabatan.

“Tidak kiralah agensi atau jabatan kecil, sekiranya ada dakwaan yang mencurigakan, SPRM perlu siasat. Jangan hanya menumpukan kepada agensi serta jabatan besar sahaja, yang kecil juga perlu diberikan perhatian.

“Kalau sudah bertubi-tubi laporan diterima daripada orang awam, mesti ada sesuatu yang tidak kena dalam JPV itu. Jadi, SPRM perlu segerakan proses siasatan, jangan terlepas pandang perkara-perkara seperti ini,” jelas beliau.

Utusan Malaysia Online

Pemansuhan skim perkhidmatan kerana tidak relevan - JPA

ALOR SETAR 2 Mei - Pemansuhan beberapa skim perkhidmatan di bawah rasionalisasi perkhidmatan awam dilakukan kerana skop dan fungsi tugas berkenaan tidak lagi diperlukan, selain tiada penyandang dalam Perkhidmatan Awam.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pemansuhan skim seperti Operator Kamera Offset dan Peniup Kaca juga dilakukan kerana tugasnya yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
"Sebab itu kita kata rasionalisasi skim kita tambah baik dan mana relevan dengan keadaan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat Pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bil 1/2016 Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Bawah Sistem Saraan Malaysia di Wisma Darul Aman hari ini.

Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Melalui rasionalisasi itu, sebanyak 252 skim perkhidmatan awam dibawah Sistem Saraan Malaysia ditambah baik berkuatkuasa 1 Julai ini. 





Bernama Online

Monday, May 2, 2016

Anggota, pegawai ATM naik gaji Julai ini

Hishammuddin Tun Hussein bergambar bersama Abdul Amir Abd. Aziz
Hishammuddin Tun Hussein bergambar bersama Abdul Amir Abd. Aziz (kanan) dan isteri yang menerima kunci dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah ATM di Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi (kiri). UTUSAN/Farid Janudin


KUALA LUMPUR 1 Mei - Seramai 131,813 kakitangan awam Kementerian Pertahanan termasuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima manfaat satu kenaikan mata gaji tahunan mengikut Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenaikan itu dilaksanakan mengikut rasionalisasi di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), selaras dengan usaha transformasi Perkhidmatan Awam yang diumum­kan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2016.

“Bagi anggota lain-lain pangkat ATM dan Perajurit Muda yang te­lah menamatkan latihan asas akan menikmati gaji permulaan Prebet sebanyak RM1,564 berbanding RM1,137 sebulan.

“Pegawai ATM pula, gaji Pegawai Kadet berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malay­sia bermula RM1,500 berbanding RM1,104 sebulan,” katanya selepas menyerahkan kunci Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, Setiawangsa di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, pegawai berpangkat Leftenan Muda dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda (pelbagai jurusan) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang telah ditauliahkan bakal mempe­roleh gaji RM2,585 dan RM2,730.61, berbanding RM2,411.85 sebulan.

Katanya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan pula bakal memperoleh gaji baharu RM2,876.67 berbanding RM2,703.37 seterusnya pemegang Ijazah Sarjana Muda Per­ubatan Veterinar pula menikmati gaji RM3,022.13 berbanding RM2,593.94 sebulan.

“Bagi penjawat awam di bawah Kementerian Pertahanan pula, kerajaan bersetuju menetapkan gaji permulaan terendah baharu sebanyak RM1,200 berbanding RM802 melibatkan 11,813 kakitangan.

“Penetapan gaji terendah baharu ini akan memberi kesan langsung terhadap penambahbaikan Jadual Gaji Minimum - Maksimum melibatkan kenaikan gaji tahunan antara 10 hingga 41 peratus,” katanya.

Mengenai RKAT, Hishammuddin berkata, sebanyak dua blok perumah­an melibatkan 160 unit kediaman telah disediakan bagi mene­mpatkan anggota lain-lain pangkat ATM termasuk ahli keluarga mereka di Desa Tun Hussein Onn.

Katanya, pembinaan perumahan yang menelan kos RM11.2 juta itu disediakan selepas beliau meng­adakan lawatan mengejut di lokasi yang sama pada 2 Februari lalu.

Utusan Malaysia Online

Penjawat awam diseru 
terus jayakan transformasi

KUALA LUMPUR 1 Mei –Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru penjawat awam supaya meneruskan usaha tanpa berhenti bagi memastikan proses transformasi berjalan lancar dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana golongan penjawat awam merupakan agen transformasi paling hadapan antara rakyat dan kerajaan selain menjadi tulang belakang negara.

“Sesungguhnya, cabaran penjawat awam adalah amat besar dan sentiasa menjadi perhatian dan pengukuran rakyat dalam menentukan semua dasar kerajaan dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya dalam sambutan Hari Pekerja-Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan sentiasa peka dan terus menjaga kepentingan penjawat awam meskipun dalam kea­daan ketidaktentuan ekonomi.

“Penjawat awam seharusnya bersyukur kerana dalam keadaan ekonomi kini, kerajaan masih meneruskan semua kemudahan saraan penjawat awam tanpa membuat potongan gaji walaupun satu sen,” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa peningkatan kebajikan serta kesejahteraan lebih 1.6 juta penjawat awam akan terus menjadi keutamaan dalam bergerak ke hadapan.

Sejajar dengan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan membe­ritahu, kerajaan banyak menyentuh mengenai kepentingan penjawat awam dalam bajet 2016 ini termasuk memberi bantuan khas RM500, pergerakan gaji minimum bersama satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred bermula Julai ini, gaji minimum sektor awam RM1,200, pencen minimum RM950 dan menaikkan kadar pelepasan cukai individu.

Selain itu beliau memberitahu, bagi memastikan penjawat awam mampu memiliki rumah idaman, kerajaan juga memperuntukkan RM1.6 bilion bagi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membina 175,000 unit rumah yang dijual 20 peratus rendah daripada harga pasaran.

“Pada masa yang sama, kerajaan turut menyediakan peruntukkan RM200 juta untuk Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) untuk membina 20,000 rumah mesra rakyat dengan kadar subsidi RM20,000 seunit dan RM200 juta peruntukkan bagi skim pembiayaan deposit rumah pertama,” jelas beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memberi peruntukkan RM863 juta bagi membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 buah rumah teres menerusi program perumahan rakyat.

Utusan Malaysia Online

131,813 kakitangan Kementerian Pertahanan nikmati kenaikan gaji 1 Julai

KUALA LUMPUR 1 Mei - Seramai 131,813 kakitangan awam Kementerian Pertahanan termasuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai ini.
Hishammuddin Tun HusseinMenteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, kenaikan itu dilaksanakan mengikut Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

"Agenda penambahbaikan ini juga melibatkan aspek kebajikan anak-anak anggota dengan menyediakan perkhidmatan bas sekolah termasuk perumahan yang selesa," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, bagi anggota Lain-Lain Pangkat ATM, Perajurit Muda yang tamat latihan asas akan menikmati gaji permulaan Prebet sebanyak RM1,564 sebulan berbanding RM1,137 yang diterima sebelum ini.

Katanya, bagi Pegawai Kadet berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malaysia akan menerima RM1,500 sebulan berbanding RM1,104.


"Pegawai berpangkat Leftenan Muda yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda pelbagai jurusan dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang memperolehi gaji sebanyak RM2,585 dan RM2,730.61 berbanding RM2,411.85.


"Pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan akan menerima gaji sebanyak RM2,876.67 berbanding RM2,703.37, manakala pemegang ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar akan menerima RM3,022.13 berbanding RM2,593.94," katanya.

Utusan Malaysia Online

Kira-kira 960,000 penjawat awam masih tidak memilik rumah - CUEPACS

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendapati kira-kira 960,000 atau 60 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih tidak memiliki rumah.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 75 peratus merupakan mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah.

"Sempena Hari Pekerja pada hari ini, kami mahu kerajaan sentiasa mengambil perhatian terhadap keperluan penjawat awam iaitu memiliki kediaman sendiri selain kerajaan perlu memainkan peranan dalam mengawal harga dan menambah rumah mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini hari ini.

Azih berkata, ada di antara penjawat awam yang sudah bersara, masih tidak memiliki rumah dan mereka terpaksa menyewa rumah sebaik tamat perkhidmatan.

"Bayangkan ada yang sudah bersara yang sebelum ini tinggal di kuarters kerajaan tidak memiliki rumah dan ada kakitangan kerajaan terpaksa tinggal dalam satu rumah yang turut didiami oleh dua tiga keluarga yang lain.

"Tanpa campur tangan kerajaan dalam menentukan harga rumah, pejawat awam tidak akan mampu memiliki rumah," katanya.

Bernama Online

Sunday, May 1, 2016

40 tahun bekerja belum miliki rumah

KUALA LUMPUR 30 April - Isu pemilikan rumah dalam ka­langan penjawat awam di negara ini masih lagi menjadi isu utama apabila 60 peratus daripada mereka terutama pendapatan bawah RM3,000 sebulan dan telah bertugas lebih dari 40 tahun masih tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Presiden Kongres Kesatuan Pe­kerja-pekerja Di Dalam Perkhid­matan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, adalah menjadi harapan pihaknya sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini agar kerajaan segera menggubal Dasar Perumahan Negara untuk menurunkan harga rumah berbanding menyediakan pelbagai projek perumahan bagi memenuhi permintaan.

“Jika ada banyak rumah dibina tetapi harga masih terlalu tinggi, tidak sahaja kepada golongan penjawat awam, malah sektor swasta dan golongan muda masing-ma­sing menghadapi sindrom ‘rumah mampu milik tetapi hanya mampu lihat’.
“Saya juga berharap dengan Gabenor Bank Negara yang baharu, Datuk Muhammad Ibrahim dapat menyemak semula dasar skim pinjaman perumahan kepada bakal pembeli rumah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Seminar Perdana Perkhidmatan Awam Sempena Hari Pekerja 2016 anjuran CUEPACS yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem di sini hari ini.

Azih berkata, hasil lawatan kerja CUEPACS ke seluruh negara mendapati kebanyakan penjawat awam mengadu mengenai harga rumah yang disifatkan masih terlalu mahal.

“Tidak sahaja di Kuala Lumpur atau Lembah Klang tetapi di kawasan pedalaman dan bandar-bandar kecil seluruh negara termasuk Sabah Sarawak, harga rumah naik dengan begitu mendadak.

“Di Bintulu, Sarawak misalnya, tidak sahaja harga rumahnya tinggi malah untuk menyewa juga tidak mampu kerana naik sehingga RM1,500 sebulan.

“Tinggi harapan kami sempena Hari Pekerja esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil perhatian berat terhadap perkara ini demi kesejahteraan warga penjawat awam,’’ katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ismail berkata, jumlah mereka yang menganggur di negara ini adalah seramai 400,000 orang terutama dalam kalangan lepasan ijazah.

“Seramai 1.6 juta bekerja dalam sektor awam, enam juta dalam sektor swasta dengan keseluruhan tenaga pekerja seramai 13.9 juta orang dengan dua juta dari mereka adalah pekerja asing, termasuk 100,000 orang adalah dalam kalangan ekspatriat,” katanya.

Menurutnya, jumlah pengangguran tersebut melibatkan siswazah mencari pekerjaan, mereka yang berhenti dalam usaha mencari pekerjaan lebih tetap dan hanya sebilangan kecil sahaja memilih untuk tidak bekerja.

Utusan Malaysia Online