Thursday, April 29, 2010

Hadkan tempoh khidmat penjawat awam

PUTRAJAYA 28 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengehadkan tempoh khidmat penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai di satu-satu tempat tidak lebih dari lima tahun.

Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan tempoh khidmat yang terlalu lama akan mendedahkan penjawat awam itu kepada amalan rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Menurutnya, ia juga sejajar dengan matlamat CUEPACS sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini untuk mencapai sasaran sifar rasuah sebelum hujung tahun.

''Kadang-kadang ada penjawat awam di satu-satu tempat itu berkhidmat sehingga 10 tahun dan bila sudah sampai tempoh itu, dia mesti sudah dikenali oleh mereka yang berkepentingan.

''Jadi bagi kita, JPA kena ada had iaitu antara tiga hingga lima tahun sahaja bagi penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai termasuklah bahagian penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed di sini hari ini.

Pada 2007, seramai 303 penjawat awam ditangkap atas kesalahan rasuah dan pada 2008 pula membabitkan 282 orang manakala tahun lepas, ia menurun kepada 194 orang.

Sehubungan itu, Omar memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berhubung cadangan tersebut secepat mungkin.

Ini kerana, tambah beliau, pihaknya mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling berhubung cadangan itu kepada semua jabatan dan agensi kerajaan.

''Kita tidak mahu lagi penjawat awam dituduh seolah-olah meminta rasuah tetapi kita mahu jadi pelapor utama kepada SPRM jika wujud amalan rasuah di tempat kerja masing-masing.

''Walaupun amalan rasuah di negara ini tidaklah begitu tinggi berbanding negara lain tetapi ia perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turun padang bertemu ahli kongres CUEPACS di setiap negeri bagi memastikan kempen memerangi rasuah di kalangan penjawat awam itu berkesan.

''Kita mahu jadikan kempen itu sebagai satu gerakan massa yang akan mendapat sambutan setiap ahli kesatuan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Utusan Malaysia Online

Pakar Forensik Awam Akan Diserap Ke PDRM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pakar forensik di kalangan petugas awam akan diambil untuk berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat bagi membantu usaha memantapkan lagi siasatan serta menangkis tangkapan buruk terhadap siasatan polis terutama dalam kes-kes yang kontroversi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menegaskan penyerapan itu antara lain dapat membuktikan polis seniasa bersikap adil dan telus dalam penyiasatan forensik.

"Dengan adanya 'orang luar', saya amat berharap agar siasatan akan diiktiraf orang ramai kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan ceperas baru dan penyerahan kenderaan forensik PDRM.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Musa berkata polis sentiasa telus dan tidak menghalang mana-mana peguam atau hakim untuk melihat bagaimana siasatan forensik dijalankan dalam mendapatkan bukti.

"Apa salahnya kalau dia (peguam) nak tau. Sekurang-kurangnya mereka akan percaya pada polis dan dengan cara ini juga mereka akan tahu tentang kepakaran dan teknologi baru yang dimiliki dalam membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Musa melancarkan ceperas baru Makmal Forensik PDRM dengan slogan "Justice Via Forensics".

Musa berkata penjenamaan semula makmal forensik akan memberi sinergi dan ketrampilan yang lebih dinamik yang mencerminkan kesiapsiagaan dalam memberikan perkhidmatan ke tahap profesionalisme sejajar dengan perkembangan masa dan teknologi.

"Logo baru itu yang lebih dinamik adalah seiring dengan kemampuan dan kepakaran yang dimilikinya sebagai salah satu pasukan penyiasatan elit," katanya.

Selain itu, bahagian forensik turut menerima 16 kenderaan pancuan empat roda yang dilengkapi dengan kit forensik yang bernilai RM200,000 setiap satu.

Empat belas daripada kenderaan itu akan diedar ke setiap kontinjen manakala dua lagi untuk kegunaan Forensik Bukit Aman di sekitar Lembah Klang.

Bernama Online

Tuesday, April 27, 2010

SPRM beri tumpuan terhadap pemberi rasuah

PUTRAJAYA 26 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempergiatkan usaha memerangi jenayah rasuah dengan memberi tumpuan kepada pihak pemberi, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull.

Beliau berkata, ini kerana SPRM berpendapat tanpa pihak pemberi, maka jenayah rasuah tidak akan berlaku terutamanya yang membabitkan agensi-agensi penguatkuasaan.

"Orang ramai selalu berkata kenapa SPRM seolah-olah hanya tumpukan tangkapan kepada penerima rasuah sahaja tetapi sekarang ini kita akan perangi habisan-habisan pemberi rasuah pula.

"Usaha tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan menerusi Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu taklimat dengan pihak media di sini, baru-baru ini.

Mohd Shukri memberitahu, kempen itu antara lain bertujuan meningkatkan intergriti penjawat awam, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memperbaiki imej agensi penguaktkuasaan.

Dalam masa yang sama, beliau menambah, ia juga bertujuan untuk mewujudkan sikap "menolak rasuah" dan melaporkan setiap cubaan sogokan kepada SPRM.

"Kita mahu masyarakat menjadi tunjang sokongan padu kepada SPRM dalam tanggungjawab bersama membanteras rasuah.

"Ia juga diharapkan dapat menjadi titik perubahan kepada orang ramai untuk tegas mengatakan 'TIDAK' kepada rasuah," katanya lagi.

Mengenai statistik tangkapan dan pertuduhan oleh SPRM di bawah Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009 dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Mohd. Shukri berkata, 142 tangkapan telah dibuat dengan 51 pertuduhan.

"Daripada jumlah tangkapan itu, 76 membabitkan penjawat awam, 12 pihak swasta dan 54 orang awam,'' katanya.

Utusan Malaysia Online

Kerajaan tanggung kos RM10b setahun

PUTRAJAYA 26 April - Kerajaan dianggarkan terpaksa menanggung kos sebanyak RM10 bilion setahun atau satu hingga dua peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika berlaku amalan rasuah di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, perkara itu terjadi jika keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya dilakukan dengan tujuan yang tidak betul.

"Gejala rasuah yang dikatakan banyak berlaku di kalangan agensi penguatkuasaan merupakan suatu yang salah dan menjijikkan yang telah memberi imej buruk kepada perkhidmatan awam.

"Ia hendaklah dihentikan sama sekali bagi merealisasikan perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan berintegriti dan ini akan menyumbang kepada pemantapan daya saing negara di persada antarabangsa," katanya.

Beliau berucap merasmikan Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Mohd. Sidek memberitahu, keberkesanan usaha memerangi amalan rasuah itu banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua jabatan termasuk agensi penguatkuasaan yang ada.

"Selaku Pengerusi Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008, saya perhatikan kita lazimnya sangat bertimbang rasa.

"Kita lebih suka memberi peluang atau tidak suka mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati cuai atau sengaja melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam.

"Ketua-ketua di peringkat kementerian, jabatan dan kerajaan negeri lebih cenderung memberi maklum balas bahawa tiada tindakan yang boleh diambil kerana ia dibuat di luar bidang kuasa pegawai-pegawai," katanya.

Mengenai kempen tersebut beliau berkata, ia memberi satu petunjuk atau sebagai amaran kepada masyarakat bahawa anggota perkhidmatan awam tidak mudah disogok dengan rasuah.

"Ini bermakna kita perlu sentiasa memastikan atau memeriksa diri kita sesama sendiri agar tidak terlibat dengan rasuah.

"Ini akan memberikan mesej penting bahawa agensi penguatkuasaan tidak boleh dan tidak mudah untuk digula-gulakan dengan wang ringgit bagi melepaskan pesalah yang telah melanggar undang-undang," katanya.

Utusan Malaysia Online

Banyak jawatan kosong tahun ini

IPOH 26 April - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan lebih banyak kekosongan jawatan akan berlaku berikutan kumpulan pertama kakitangan yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan ke usia 58 tahun mula bersara pada Julai ini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, kekosongan tersebut merupakan sebahagian daripada lebih 50,000 jawatan perkhidmatan awam yang akan diisi sepanjang tahun ini.

''Tahun ini, pada bulan Julai mungkin kebanyakan mereka yang dilanjutkan perkhidmatan ke umur 58 tahun akan mula bersara, kita jangka ada banyak kekosongan jawatan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA di Greentown Square, di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online

Monday, April 26, 2010

Jawapan JPA 'kelulusan tinggi tetapi gaji setaraf SPM'

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Juruteknik Malang dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk Berkelulusan tinggi tetapi gaji setaraf SPM bertarikh 9 April 2010 dan Juruteknik berkelulusan tinggi, gaji setaraf lulusan SPM bertarikh 21 April 2010.

Penetapan gred gaji sesuatu jawatan adalah berdasarkan kadar upah untuk kerja dan kelayakan minimum yang diperlukan dalam melaksanakan skop fungsi tugas yang ditetapkan.

Dalam hal ini, skim perkhidmatan Juruteknik (J17) menetapkan kelayakan masuk ke jawatan tersebut ialah sijil dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada politeknik tempatan atau yang setaraf dengannya. Gaji permulaan yang ditetapkan adalah di P1T9 - RM1,254.50.

Pegawai yang tidak menepati syarat lantikan seperti dinyatakan di atas akan ditawarkan gaji permulaan P1T1 sebanyak RM843.06. Syarat-syarat ini telah dijelaskan di dalam laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) iaitu www.spa.gov.my dan perlu dirujuk oleh calon sebelum memohon jawatan tersebut.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JPA Malaysia


Utusan Malaysia Online

Pengarah JKR Kelantan Maut Selepas Lawat Tapak Projek

JELI, 26 April (Bernama) -- Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Datuk Zulkifli Ahmad, 56, terbunuh manakala tiga yang lain cedera ringan apabila pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 98 jalan Kota Baharu-Machang-Grik, petang Isnin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang ketika mangsa dan rakan-rakan dalam perjalanan pulang ke Kota Baharu selepas melawat Projek Kampung Baru Sungai Satan dekat sini.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas terpelanting keluar dari kenderaan terbabit.

"Tiga lagi yang cedera ringan ialah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bisnes), Datuk Paduka Ir Mohamad Hussin, Ketua Pengarah Projek Jalan, Wan Mohamad Husni Abdullah dan pemandunya Mohd Sharif @ Abdul Rahman Ismail.

"Ketiga-tiga mangsa yang mengalami cedera ringan dikejarkan ke Hospital Jeli (HJ) untuk menerima rawatan kecemasan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tiga yang lain dalam perjalanan pulang ke Kota Baharu selepas singgah makan tengah hari di sebuah kedai berhampiran dengan stesen minyak Shell dekat Jeli.

Menurutnya, ketika pemandu kenderaan itu membuat pusingan U untuk pulang ke Kota Baharu, sebuah treler yang datang dari arah Tanah Merah tiba-tiba merempuh bahagian kanan kenderaan yang dinaiki mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terpelanting keluar dari kenderaan berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. Tiga yang lain, hanya cedera ringan dan telah dibenarkan pulang," katanya.

Amir Hamzah berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke HJ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di Kampung Paya Senang, dekat sini.

Difahamkan jenazah mangsa akan dibawa balik ke rumah ibu bapanya di Labok, Machang untuk dikebumikan.

Amir Hamzah berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di BACHOK, seorang tukang masak wanita maut apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah lubang di tengah jalan semasa hujan di sini pagi ini.

Rokiah Ismail, 52, ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar nasi goreng di dalam periuk kira-kira 10 pagi ke sebuah pusat jagaan harian di Kampung Pohon Tanjung, Perupok.

"Terdapat satu lubang di jalan kecil berturap menuju ke Kampung Pohon Tanjung yang digenangi air, menyebabkan mangsa tidak nampak lubang berkenaan lalu melanggarnya sehingga terbalik motosikalnya," kata Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Saleh.

Beliau berkata mangsa meninggal di tempat kejadian ekoran cedera teruk di kepala.

Mangsa mempunyai 11 anak dan enam daripada mereka masih bersekolah sementara suami mangsa merupakan seorang nelayan.

Mayat Rokiah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panjang, Perupok malam ini.

Bernama Online