Sunday, May 9, 2010

Bukan mudah minta cerai

SEBELUM bercerita lebih panjang, seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahagian pencen menjelaskan wanita yang bernikah dengan pesara kerajaan mendapat duit pencen hanya 12 setengah tahun dikira bermula dari tarikh lelaki itu mula bersara. Demikian juga halnya jika pasangan itu dikurniakan anak, maka anaknya hanya akan mendapat kemudahan lain untuk jangka masa yang sama.

Untuk minggu ini, Puan Ayu Shuhadah dalam e-melnya melahirkan rasa sedih dengan nasib wanita. Katanya walaupun mereka tidak disukai oleh suami tetapi bukan mudah untuk meminta cerai.

''Saya ingin menceritakan masalah saya supaya mereka yang duduk di mahkamah syariah, peguam dan hakim faham tentang masalah kami, jangan asyik menyalahkan isteri sahaja jika mereka ingin minta bercerai.

''Saya tak nafikan ada wanita minta cerai kerana ada kekasih lain. Tetapi fikirkan juga masalah isteri yang benar-benar terseksa akibat perbuatan suami sebagai pembalasan kerana mahu bercerai.

''Saya katakan demikian berdasarkan pengalaman sendiri. Saya minta cerai kerana dah tak tahan dengan perangainya yang panas baran, suka balik malam, lebih banyak buang masa bersama kawan-kawan daripada anak-anak dan isteri di rumah. Alasannya jemu dengan perangai kami anak beranak dan mahukan ruang dan masa untuk dirinya sendiri, dia tak mahu hidupnya terkongkong.

''Bermula daripada anak-anak kami masih bayi hinggalah anak pertama kami masuk darjah satu, suami saya, Mike berasakan hidupnya tersekat. Dia tak mahu bantu saya mengajar anak, menghantar anak ke sekolah kalau van rosak apatah lagi menghantar anak ke rumah pengasuh. Katanya dia bosan.

''Katanya lagi dia berkahwin kerana mahukan kesenangan hidup, ada orang uruskan makan minum, pakaian dan sebagainya, bukan diberikan tanggungjawab menguruskan anak-anak, apa guna saya sebagai isteri.

''Puas saya memujuknya supaya bekerjasama membantu menjaga anak-anak, kerana kami sama-sama bekerja. Paling tidak seminggu dua dia buatlah, lepas itu dia mula rasa bosan, nak ambil pembantu rumah saya tak mampu.

''Saya terpaksa beli kereta kecil untuk menghantar dan mengambil anak ke rumah pengasuh, ke pasar dan sebagainya, nak harapkan Mike dia sentiasa balik lewat dengan pelbagai alasan.

''Selama lapan tahun berkahwin saya berasa terlalu susah, bukan semakin senang. Duit memang sentiasa jadi masalah, biasanya emak dan ayahlah tempat saya meminta bantuan. Hinggakan nak beli kereta pun saya minta bantuan ayah untuk duit muka.

''Kalau Mike mahukan sedikit ruang, sedikit masa untuk dirinya sendiri, saya pun mahukan yang sama. Malangnya pujuk rayu saya berakhir dengan pertengkaran. Banyak pinggan mangkuk pecah bila dia marah. Banyak kali juga saya kena tampar kerana mempersoalkan kenapa dia suka balik lewat dan suka keluar malam. Lepas ditampar pandai dia pujuk minta maaf mengaku tak buat lagi, tapi benda yang sama berulang juga. Semuanya kerana sikap panas barannya.

''Puncak kemarahan saya bila nampak dia tumpangkan wanita lain balik rumah. Katanya kawan pejabat. Boleh pula balik jam 6 petang, tapi nak ambil anak sekolah dia tak ada masa. Sebelum itu pun saya dah dengar cerita dia ada kawan perempuan. Bila saya tanya, dia mengamuk pukul saya. Pernah kepala saya berjahit kerana dibaling bingkai gambar.

''Siapa boleh tahan kalau selalu kena pukul. Badan kita bukan besi, tulang kita bukan dawai. Tambah sakit hati ibu bapa yang susah payah melahirkan kita pun tak pernah pukul, kenapa suami yang ambil kita setelah kita bekerja dan berduit boleh pukul kita sesuka hati.

''Apabila saya merasakan diri tak berguna lagi saya ke mahkamah syariah mohon perceraian. Tapi faham sajalah bab turun naik mahkamah memakan masa, sedangkan Mike tak pernah ke mahkamah kalaupun dipanggil.

''Akhirnya dengan pengetahuan mahkamah saya tinggalkan rumah balik ke rumah emak. Saya ambil mana-mana barang yang saya beli seperti mesin basuh, peti sejuk, perabot. Maka rumah kosonglah. Semakin marahlah Mike. Katanya harta sepencarian. Macam mana pula saya yang beli boleh jadi hak dia. Nasib belum beli rumah, kalau ada tentu kami dah berperang pasal harta sepencarian.

''Dia mengugut tidak akan ceraikan saya sampai mati, saya digantung tak bertali, biar saya tak boleh kahwin lagi. Saya minta cerai bukan kerana nak kahwin lagi, tetapi kerana tak tahan dengan perangainya.

''Kerana marah juga dia tak bagi nafkah anak-anak. Katanya saya tak layak sebab tak bercerai, saya katakan selama ini pun bukan dia yang tanggung anak, biarlah dia jawab di akhirat kelak.

''Sebagai ayah dia akan dituntut bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi, hidupnya tak akan senang kerana dia tak menjalankan tanggungjawab seperti yang dituntut Allah. Dia tidak amanah kepada Allah. Tidak mengikut seperti apa yang dilafazkan ketika nikah dulu. Dia cuma baca lafaz nikah, baca apa yang dicatatkan oleh tok kadi tetapi tak tahu apa maksudnya, kerana itu dia tidak tahu tanggungjawabnya.

''Sebagai ibu sepatutnya kita menerangkan kepada anak-anak lelaki tentang tanggungjawab sebagai ayah dan suami. Bukan bercerita pasal senang kalau dah kahwin ada isteri jaga makan minum, siapkan pakaian. Sebenarnya tugas seorang suami itu amat besar mengikut Islam, bukan menghambakan isteri.''

Demikian cerita Ayu Shuhadah yang kini hampir tiga tahun meninggalkan suaminya dengan pengetahuan mahkamah syariah. Demikianlah nasib wanita disayang ketika diperlukan dan dipinggirkan kerana tidak mahu terikat dengan tanggungjawab sebagai seorang suami, apa lagi membantu isteri membesar dan menjaga anak-anak.

Utusan Malaysia Online

Saturday, May 8, 2010

Imbuhan pangkat bukan wang

KUALA LUMPUR 7 Mei - Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi imbuhan kepada pegawai kerajaan yang mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberi rasuah kepada mereka mampu mengurangkan kegiatan itu di kalangan kakitangan awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, cadangan itu adalah baik tetapi imbuhan itu seeloknya bukan berbentuk wang ringgit sebaliknya dalam bentuk kenaikan pangkat.

''Ini kerana pegawai yang mengambil tindakan terhadap pemberi rasuah adalah kakitangan yang mempunyai integriti dan selayaknya beliau diberi peluang kenaikan pangkat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan SPRM yang mahu memberi imbuhan kepada pegawai kerajaan yang menolak rasuah sebagai menghargai jasa mereka membanteras aktiviti tidak sihat itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed hari ini berkata, pihaknya dan kerajaan sedang menyediakan draf kaedah yang bersesuaian berhubung pemberian imbuhan tersebut.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud pula berkata, walaupun pihaknya menyambut baik cadangan itu, namun ia tidak boleh dilaksanakan secara 'ad hoc' kerana ia melibatkan implikasi undang-undang.

''Cadangan ini bagus tetapi saya khuatir ada pihak yang berkepentingan menggunakan peluang ini untuk menganiaya orang lain dengan tuduhan rasuah dan sebagainya.

''Perkara seperti ini memerlukan penelitian khusus kerana kesalahan rasuah bukan isu kecil tetapi melibatkan soal maruah seseorang,'' jelasnya.

Tambah beliau, jika SPRM ingin meneruskan cadangan tersebut, imbuhan itu hanya boleh diberikan kepada pegawai kerajaan selepas mahkamah berjaya membuktikan tertuduh bersalah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman berharap jika cadangan itu dilaksanakan, ia digunakan sepenuhnya oleh pegawai kerajaan bagi membanteras rasuah.

Katanya, inilah masanya bagi semua kakitangan awam berlumba-lumba menolak rasuah kerana imbuhan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk pahala tetapi juga turut menikmati penghargaan daripada pihak berkuasa dan kerajaan.

''Langkah ini cukup baik tetapi pengadu atau pun pegawai kerajaan yang menolak rasuah harus dilindungi identitinya demi keselamatan mereka,'' katanya.

Utusan Malaysia Online

Friday, May 7, 2010

Pelajari amalan pengurusan awam terkini

KUCHING 6 Mei - Kakitangan awam di negeri ini perlu mempelajari secara berterusan amalan dan cabaran pengurusan awam terkini bagi mewujudkan budaya inovasi dan kreativiti yang sentiasa kekal relevan pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pada masa sama penjawat awam juga perlu memberi keutamaan kepada aspek inovasi, kreativiti, kepantasan dan integriti bagi memastikan perubahan minda dan anjakan paradigma baru dapat diperkenalkan dalam jentera kerajaan.

Menurutnya, kelangsungan proses transformasi kerajaan menerusi kaedah baru yang radikal perlu diterima kakitangan awam sebagai satu cabaran besar dalam melonjakkan mutu perkhidmatan setanding dengan peringkat global.

''Dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan ini, penjawat awam harus bersama-sama dengan kerajaan merangka strategi serta melaksanakan amalan-amalan perkhidmatan awam bertaraf dunia ke arah penyampaian perkhidmatan yang berprestasi tinggi.

''Ini kerana proses transformasi yang kita laksanakan adalah penting dalam usaha kita menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian majlis penyampaian Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak (AKKMS) 2009 dan Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta menteri Kabinet negeri.

Abdul Taib memberitahu, kakitangan awam juga perlu peka dengan aspirasi dan kemahuan rakyat yang semakin hari semakin berubah dengan menerapkan amalan tadbir yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri.

Menurutnya, ini kerana penetapan aras amalan-amalan bertaraf antarabangsa adalah satu inisiatif yang boleh mempercepatkan kemajuan dan pencapaian kejayaan sesuatu organisasi selaras dengan kehendak rakyat.

''Proses transformasi yang dilaksanakan kerajaan itu juga akan mengambil kira pembangunan dan penambahbaikan secara berterusan ke atas sistem, proses dan prosedur kerja agar ia sentiasa relevan dalam dunia yang kian mencabar," katanya.

Abdul Taib turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri dalam pengurusan sistem pentadbiran, sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa hasil transformasi yang telah dilakukan.

Utusan Malaysia Online

Sijil sakit palsu: JPA beri amaran

PUTRAJAYA 6 Mei - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan buang kerja mana-mana penjawat awam yang didapati mengemukakan sijil cuti sakit palsu atau meminda apa-apa fakta dalam sijil berkenaan.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan JPA, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahaya berkata, tindakan itu diambil kerana melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan 4 (2)(f) dan (g), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Sijil cuti sakit yang diperakukan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta akan melayakkan penjawat awam mendapat kemudahan cuti sakit setelah dikemukakan kepada ketua jabatan.

"Bagaimanapun terdapat kecenderungan di kalangan penjawat awam mengemukakan sijil cuti sakit palsu atau meminda sijil cuti sakit bagi tujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat edaran JPA kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam surat edaran itu tidak dinyatakan sejauh mana keseriusan kelakuan tersebut di kalangan penjawat awam.

Utusan Malaysia Online

Rugi F41 Urus Meja Bantuan

MERUJUK kepada surat Jurutelefonis, Putrajaya dalam akhbar ini bertarikh 23 April lalu bertajuk Pegawai Gred F41, Urus Meja Bantuan.

Meja bantuan diwujudkan sebagai pusat untuk menerima aduan dan memberi bantuan teknikal berkaitan komputer di sesebuah agensi.
Kementerian atau jabatan menempatkan juruteknik komputer Gred FT17 di meja bantuan kerana kebanyakan aduan adalah berkaitan masalah teknikal seperti kerosakan, perisian dan penyelenggaraan komputer.

Jika pertanyaan adalah khusus mengenai sistem, maka pegawai di meja bantuan akan menyalurkannya kepada pegawai yang terbabit dengan pembangunan sistem atau berkaitan.

Pewujudan jawatan juruteknik komputer, Gred FT17 adalah berdasarkan tanggungjawab yang merangkumi penyelenggaraan sistem komputer, aplikasi pengkomputeran dan operasi sistem dalam sesebuah organisasi. Adalah satu kerugian jika Pegawai Teknologi Maklumat (PTM) Gred F41 atau Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (PPTM) Gred F29 ditempatkan di meja bantuan kerana PTM mempunyai skop tugas yang lebih besar.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Putrajaya


Utusan Malaysia Online

Thursday, May 6, 2010

Memerangi rasuah perlu komitmen semua sektor

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

SEPERTI najis dadah, rasuah juga musuh utama negara yang wajib diperangi. Dalam konteks ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan mencabar dalam memerangi rasuah di negara ini. Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira dalam agensi kerajaan mahupun swasta. Rasuah ada pemberi dan penerimanya.

Ia tidak akan berlaku jika salah satu pihak menolak amalan yang menjijikkan itu. Kaedah memberi rasuah juga pelbagai dan semakin licik sifatnya. Justeru, ia bukan perkara yang mudah bagi SPRM untuk membendungnya.

Namun, dengan iltizam dan kekentalan semangat yang tinggi, SPRM bersedia mendepani segala cabaran dan rintangan untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas dan bersih daripada gejala rasuah. Melalui aspirasi dan slogan SPRM 2010, iaitu 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah' yang dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed sempena ulang tahun pertama penubuhannya pada 9 Mac lalu, ia telah meningkatkan kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat tentang kesan dan bahaya rasuah.

SPRM ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada 26 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah merasmikan kempen 'Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah'. Kempen itu bertujuan mencetuskan motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam dengan menolak amalan rasuah, di samping melakukan perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi negara.

Seperti yang disebut Mohd Sidek, mesej dan matlamat kempen itu adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh dirasuah. Kempen itu juga bertujuan menyedarkan orang awam bahawa pemberi rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Dalam ucapan perasmian kempen tersebut, beliau menyebut bahawa pelaksanaan dan kejayaan kempen ini banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua agensi.

Kesedaran yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota perkhidmatan awam mengenai 'najis' dan jenayah rasuah akan menjadikan mereka lebih tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang 'mendahulukan rakyat' dan 'mengutamakan pencapaian' seperti yang terkandung dalam gagasan '1Malaysia'.

Justeru, usaha memerangi rasuah menjadi agenda utama pentadbiran beliau supaya aspirasi dan kehendak rakyat benar-benar menjadi kenyataan.

Ini terbukti apabila usaha membanteras rasuah turut dijadikan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberikan perhatian penting di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Warga perkhidmatan awam dikehendaki memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang efisien dan efektif dengan menampilkan nilai etika kerja dan tahap integriti yang tinggi.

GTP yang telah dilancarkan oleh Najib pada 28 Januari lalu bertujuan membawa perubahan perkhidmatan awam ke arah menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan semua segmen rakyat dan pelanggan. Ini membuktikan bahawa gagasan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' adalah gagasan serius yang menuntut warga perkhidmatan awam melakukan transformasi minda, etika kerja dan kaedah penyampaian perkhidmatan bagi mendukung agenda dan aspirasi negara.

Sektor perkhidmatan awam hari ini lebih menjurus kepada memudah dan mempercepat urusan pelanggan, sama ada urusan orang ramai ataupun sektor swasta tanpa banyak proses dan prosedur serta kerenah birokrasi. Cara ini didapati berupaya membendung berleluasanya amalan rasuah dalam perkhidmatan yang diberikan. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) telah berjaya membentuk kerjasama sektor awam dan sektor swasta. Melalui Pemudah, banyak proses dan prosedur lapuk dan menyukarkan telah dapat dihapuskan atau dikurangkan.

Hasilnya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan itu dipendekkan apabila berurusan di jabatan dan agensi kerajaan. Keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan, dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih efisien tanpa melalui 'jalan belakang'. Hakikatnya, banyak kemajuan sudah dirasai oleh mereka yang berurusan dengan sektor awam hari ini.

Misalnya, pendaftaran perniagaan boleh selesai dalam tempoh tiga hari, permohonan pasport selesai dalam tempoh dua jam dan pendaftaran hartanah dilakukan dalam tempoh dua hari.

Begitu juga dengan penggunaan MyID untuk semua urusan individu dengan pelbagai agensi kerajaan amat memudahkan kerana kita perlu mengingati satu nombor sahaja. Penggunaan MyCOID untuk semua urusan perniagaan telah menjadikan kerajaan lebih mesra perniagaan.

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut dimanfaatkan oleh kerajaan melalui talian dalam banyak urusan. Melalui Internet, pembayaran dan transaksi boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana. Kini, terdapat 1,277 perkhidmatan dalam talian di pelbagai agensi perkhidmatan awam bagi memudahkan urusan orang ramai menggunakannya.

Kesimpulan, pelbagai pembaharuan yang dilakukan dalam perkhidmatan awam itu mampu menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam. Rakyat kini semakin yakin dengan agensi kerajaan, terutamanya agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan. Melalui peningkatan integriti ini, maka hasrat kerajaan untuk mempertingkat daya saing negara di persada antarabangsa akan menjadi realiti.

Utisan Malaysia Online

Jangan Tangguh Kepulangan - JPA

PUTRAJAYA 5 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memutuskan pelajar-pelajar dalam semua bidang pengajian yang ditaja dengan biasiswa di luar negara tidak lagi dibenarkan untuk membuat sebarang penangguhan pulang ke tanah air atas apa alasan sekalipun.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja oleh agensi penajaan Kerajaan sama ada secara biasiswa atau pinjaman pelajaran hendaklah kembali ke Malaysia untuk menjalani housemanship setelah tamat pengajian.

Dalam aspek ini, kata beliau, para pelajar di dalam bidang kritikal akan mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran dan sub-kepakaran semasa mereka berkhidmat kelak.

“Pelbagai pihak tidak bersetuju dengan dasar penangguhan balik sedia ada yang memberi kebenaran kepada pelajar-pelajar tajaan kerajaan untuk menangguhkan kepulangan mereka selepas tamat pengajian.

“Dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara, para pelajar di dalam bidang tersebut perlu kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat pekeliling perkhidmatan bilangan 2 tahun 2010 berhubung Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, para pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja dengan biasiswa dibenarkan untuk memohon penangguhan kepulangan kerana melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran atau menunggu pasangan yang ditaja oleh agensi kerajaan untuk menamatkan pengajian.

Ismail memberitahu, kerajaan tidak pernah membenarkan pelajar tajaannya untuk berkahwin semasa di dalam tempoh pengajian masing-masing.

“Ia kecuali dengan kebenaran Kerajaan dan sebarang risiko yang dihadapi berhubung ketetapan yang disyaratkan oleh pihak penaja hendaklah dipatuhi sepenuhnya termasuklah mematuhi arahan balik ke Malaysia serta-merta.

“Makluman awal diberikan oleh agensi penajaan Kerajaan kepada semua pelajar yang telah berkahwin dan mempunyai pasangan yang masih di dalam pengajian bahawa tiada lagi kebenaran penangguhan balik untuk menunggu pasangan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, untuk pelajar yang ditaja secara pinjaman pelajaran sama ada bagi bidang kritikal ataupun bukan kritikal dibenarkan untuk membuat penangguhan balik bergantung kepada pertimbangan oleh pihak kerajaan.

“Penguatkuasaan dari segi arahan lapor diri dan memastikan pelajar membuat pembayaran balik pinjaman perlu diberi penekanan dan usaha ke atas penguatkuasaan itu dipertingkatkan,” katanya.

Utusan Malaysia Online