Saturday, September 18, 2010

Berita@INTURA Ogos 2010

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar











Wednesday, August 4, 2010

Berita@INTURA Julai 2010

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar











Thursday, July 22, 2010

Berita@INTURA Jun 2010

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar







Tuesday, July 20, 2010

‘Kami pun bayar cukai’

SAYA ingin memberi komen berkaitan artikel Lagi isu curi tulang di Putrajaya yang disiarkan oleh akhbar ini pada 19 Julai 2010 di dalam ruangan Forum yang dihantar oleh seseorang yang menggelarkan dirinya Tuan Punya Pegawai, Pelabuhan Klang.

Saya berasa simpati di atas pengalaman Tuan Punya Pegawai apabila gagal berurusan dengan salah sebuah agensi kerajaan di Putrajaya. Mungkin pegawai yang ingin ditemuinya mempunyai sebab signifikan dan teknikal kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada beliau ketika itu.

Diharap Tuan Punya Pegawai dapat memahami terlebih dahulu bagaimana sesebuah jabatan kerajaan berfungsi sebelum membuat kesimpulan yang jelek terhadap keseluruhan perkhidmatan awam. Tidak semua agensi kerajaan mempunyai prosedur yang sama dalam menyelesaikan masalah pelanggan atau rakyat dan sememangnya anggota perkhidmatan awam tertakluk kepada peraturan dan pekeliling dari masa ke semasa dalam memberikan perkhidmatan.

Oleh itu tidak adil Tuan Punya Pegawai memberikan komen begitu sehingga mengaitkan cukai yang Pelabuhan Klang bayar diguna untuk membayar elaun COLA kepada kakitangan awam. Tuan Punya Pegawai jelas tidak matang dan telah menghina anggota awam keseluruhannya.

Untuk makluman kakitangan awam juga membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kakitangan awam yang berjumlah 1.2 juta orang juga merupakan pemain utama dalam membantu ekonomi negara dari segi perbelanjaan domestik mereka. Mereka juga membelanjakan anggaran minimum sekurang-kurangnya RM60 juta ringgit setahun untuk membeli baju batik bagi membantu industri batik negara jika mengambil kira sepasang batik berharga RM50. Dan lagi masa rehat bagi perkhidmatan awam di Putrajaya pada hari Jumaat adalah 12.15 tengah hari dan bukannya 12.30 tengah hari seperti yang dinyatakan.

Oleh itu Tuan Punya Pegawai harus berfikir panjang sebelum membuat kesimpulan yang boleh mengeruhkan keadaan. Sebagai tambahan saya juga mempunyai pengalaman buruk ketika berurusan dengan salah sebuah bank yang bukan dimiliki oleh agensi kerajaan.

Komen Pembaca

Utusan Malaysia Online

Monday, July 19, 2010

3,286 guru tabika Perpaduan diserap ke jawatan tetap

KANGAR 19 Julai - Semua guru dan pembantu guru tabika Perpaduan di seluruh negara yang selama ini berkhidmat secara kontrak bakal diserap ke jawatan tetap.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, cadangan menyerapkan 3,286 guru dan pembantu guru tabika itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Sudah sampai masanya mereka diberi jawatan tetap yang menjanjikan masa depan yang lebih baik. Saya harap proses penyerapan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam “Untaian Kasih” Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis di sini malam tadi.

Murugiah berkata, pada masa ini kesemua guru dan pembantu guru di 1,643 tabika Perpaduan berstatus kontrak dan ada yang telah berkhidmat selama 30 tahun

Bernama Online

Friday, July 16, 2010

Benarkah kakitangan awam curi tulang di Putrajaya?

SAYA sangat tertarik dengan tulisan Tarmizi Abd. Rahman, pemberita Utusan Malaysia yang mengatakan ramai kakitangan awam mencuri tulang dengan menjamu selera di waktu pejabat di Restoran Kak Mah Nasi Dagang di Gate 1, Putrajaya berhampiran dengan Kg. Abu Bakar Baginda di ruangan Rencana akhbar Utusan Malaysia pada 13.07.2010.

Sebagai orang lama dalam perkhidmatan awam, saya merasakan adalah tidak wajar untuk sesiapa pun menuduh sedemikian kerana kakitangan kerajaan di Putrajaya adalah terdiri daripada pelbagai tugasan yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Ada yang hanya tugas di pejabat dan ada yang banyak tugasan di luar pejabat dan di luar waktu pejabat seperti pegawai penguat kuasa dan sebagainya.

Kakitangan kerajaan di Putrajaya berjumlah puluhan ribu. Putrajaya itu sendiri merupakan Pusat Pentadbiran Negara yang juga ibu pejabat bagi semua jabatan kerajaan persekutuan di seluruh negara.

Bagi pegawai yang bidang tugasnya di luar kawasan pejabat, pada kebiasaannya mereka bersarapan dahulu sama ada di kantin kawasan pejabat atau di luar kawasan pejabat, sebelum meneruskan tugas harian mereka.

Oleh kerana restoran itu sangat popular dengan masakan Kelantannya dan berhampiran pula dengan Putrajaya, sudah semestinya ia menjadi pilihan utama kakitangan awam untuk menjamu selera sebelum berlepas ke destinasi masing-masing.

Setiap kakitangan awam biasanya mempunyai komitmen sendiri semasa bertugas. Perlu diketahui bahawa Putrajaya terletak agak jauh dari Kuala Lumpur dan adakah salah sekiranya singgah sebentar untuk bersarapan sebelum ke destinasi masing-masing.

Saya merasakan adalah tidak adil dan wajar untuk membuat tuduhan melulu dan memperlekeh kakitangan awam di Putrajaya dan penulis perlu tahu tugasan mereka terlebih dahulu dan bukan semuanya kakitangan awam di Putrajaya hanya bertugas di pejabat.

Bagi kakitangan awam yang bukan tugas luar agak sukar bagi mereka untuk keluar pejabat di waktu pejabat kerana mereka sentiasa diawasi oleh ketua masing-masing, apatah lagi jika dilihat kerusi tempat duduk pegawai kosong.

Saya tidak menafikan adakalanya kakitangan kerajaan mengambil masa yang lama untuk bersarapan dan ia sebenarnya bergantung kepada bidang tugas dan jenis pekerjaan semasa melayani klien seperti juga tugas pemberita melayani kliennya atau sumbernya di kedai makan.

Tuan Punya Pegawai
Putrajaya

Utusan Malaysia Online

Thursday, July 15, 2010

Penambahbaikan gaji Pensyarah Perubatan IPTA

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi ingin merujuk kepada luahan hati/aduan Dr. Zul Hilmi Yaakob, Pensyarah Kanan Unit Kardiologi di Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya bertajuk Pensyarah Perubatan Merayu yang telah dilaporkan di dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 12 Julai 2010.

Sejak kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebagai sistem saraan yang diguna pakai oleh pegawai awam berkuat kuasa mulai 1 November 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB), kerajaan telah pun melaksanakan kenaikan gaji secara menyeluruh bagi semua skim perkhidmatan yang ada berkuat kuasa pada 1 Julai 2007.

Adalah diakui jadual gaji permulaan Pensyarah Perubatan khususnya Gred DU51/52 dan DU53/54 adalah lebih rendah daripada gaji permulaan yang dinikmati oleh Pegawai Perubatan di gred yang sama yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan kedudukan gaji permulaan yang kurang menarik, serta mengambil kira beban tugas Pensyarah Perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam yang perlu juga melaksanakan tugas klinikal di samping tugas pengajaran dan pembelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama semua pihak yang berkenaan di IPTA telah mengambil inisiatif mengemukakan cadangan penambahbaikan Jadual Gaji Matrik Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan dan juga mencadangkan supaya Pensyarah Perubatan diberi elaun insentif khas, kepada Kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam.

Atas rasa keprihatinan terhadap kerjaya Pensyarah Perubatan, kerajaan telah meluluskan penambahbaikan kepada Jadual Gaji Matrik Pensyarah Perubatan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2010. Pelaksanaannya adalah seperti mana yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 27 April 2010.

Berdasarkan keputusan yang dibuat, adalah diperhatikan bahawa kadar kenaikan gaji permulaan adalah pada kadar 9.1% bagi Gred DU51/52 dan pada kadar 7.6% bagi Gred DU53/54. Butiran penambahbaikan Jadual Gaji Matrik Pensyarah Perubatan dapat dilihat seperti ditunjukkan di atas:

Walaupun diakui pelaksanaan Jadual Gaji Matrik Pensyarah Perubatan ini tidak memberi kelebihan kepada Pensyarah Perubatan yang telah lama berada dalam perkhidmatan, tetapi ia boleh menarik lebih ramai graduan menceburi kerjaya Pensyarah Perubatan kerana mempunyai jadual gaji permulaan yang lebih baik berbanding dengan jadual gaji asal. Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan yang lebih menarik dan bagi memastikan Pensyarah Perubatan sedia ada terus kekal berkhidmat di IPTA.

Di samping itu, mengambil kira beban tugas Pensyarah Perubatan di IPTA yang perlu melaksanakan tugas-tugas klinikal di samping tugas pengajaran dan pembelajaran dan tugas-tugas lain yang berkaitan, kerajaan juga telah meluluskan pemberian Bayaran Insentif Akademik kepada Pensyarah Perubatan. Pelaksanaan mengenai perkara ini sedang diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selain itu, kerajaan juga telah membuat keputusan supaya laluan kerjaya yang diluluskan bagi Pegawai Perubatan di KKM berdasarkan tempoh perkhidmatan dipanjangkan juga kepada Pensyarah Perubatan di IPTA dengan dibuat pengubahsuaian.

Oleh kerana keputusan tersebut sukar dilaksanakan ke atas Pensyarah Perubatan oleh kerana skim perkhidmatan yang berbeza, dan setelah berbincang dengan wakil-wakil Pensyarah Perubatan di IPTA, persetujuan telah dicapai supaya dibuat cadangan pindaan ke atas skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan sedia ada. Pada masa ini ulasan sedang diperoleh daripada semua IPTA yang berkenaan sebelum cadangan dapat dikemukakan kepada kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dakwaan pengadu bahawa kebajikan Pensyarah Perubatan tidak mendapat perhatian daripada mana-mana pihak adalah kurang tepat.

Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi memang prihatin berhubung dengan kebajikan Pensyarah Perubatan di IPTA dan sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

RAIHANAH KHUDRI
Ketua Komunikasi Korporat,
Kementerian Pengajian Tinggi


Utusan Malaysia Online