Wednesday, August 29, 2012

SPRM mampu tingkat hasil negara

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi yang mampu meningkatkan hasil kerajaan, bukan membebankannya.

Berikutan itu, sejajar matlamat Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 untuk menjadikan SPRM sebagai badan profesional, kerajaan disaran mempertimbangkan peruntukan lebih besar dalam Bajet 2013 untuk memantapkan operasi dan perkhidmatannya.
Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kerajaan perlu yakin bahawa pelaburan tinggi dalam SPRM, menjamin pulangan berganda.

“Setiap RM1 yang dilaburkan kepada SPRM, bermakna ia boleh menyelamatkan duit kerajaan dalam bentuk rasuah, ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Pulangan tinggi

“Malah, pulangannya lebih tinggi berbanding jumlah dibelanjakan untuk menambah bilangan kakitangan profesional bagi menghasilkan kertas siasatan kukuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata SPRM wajar mendapat sekurang-kurangnya RM360 juta dalam Bajet 2013 bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang siasatan, pencegahan dan komunikasi.

Pada Bajet 2012, SPRM hanya diperuntukkan RM212 juta, kira-kira 0.0009 peratus daripada keseluruhan bajet iaitu RM230 bilion.

Jumlah rendah

Jumlah itu disifatkan rendah berbanding peruntukan diterima Biro Siasatan Rasuah Singapura iaitu 0.6 peratus daripada bajet, manakala Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong mendapat 0.27 peratus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Transparency International-Malaysia (TI-M), Josie M Fernandez, berkata bajet untuk SPRM adalah pelaburan untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.

“Negara yang berjaya mengawal rasuah, meningkatkan keyakinan pelabur asing,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, August 28, 2012

Pesara enggan terima pencen lebih

Radzuan menunjukkan surat bayaran balik Emolumen RM36,385.98 yang diterimanya dari Pejabat Kesihatan Seremban. - Foto Hazreen Mohamad


Radzuan menunjukkan surat bayaran balik Emolumen RM36,385.98 yang diterimanya dari Pejabat Kesihatan Seremban. - Foto Hazreen Mohamad
Seremban: Pencen bulanan seorang pesara ialah RM2,600 tetapi jumlah yang dikreditkan dalam akaunnya RM7,000.

Bekas Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan negeri, Radzuan Awaludin, 59, berkata perkara itu disedari ketika mahu mengeluarkan wang pencennya pada Februari lalu selepas tempoh perkhidmatan kontraknya pada jawatan sama selama dua tahun berakhir pada 30 Januari lalu.
    
Katanya, selepas bersara, dia ditawarkan bekerja kontrak selama dua tahun mulai Disember 2009 bagi jawatan sama Gred U36 dengan gaji bulanan tahun pertama sebanyak RM4,355 dan tahun kedua RM4,521.

Jumlah banyak

Ketika memeriksa akaunnya, dia terkejut kerana jumlah pencen diterima lebih daripada sepatutnya.

“Saya bertanya kepada jabatan dan tanpa membuat sebarang semakan, mereka kata ia duit saya kerana dimasukkan ke akaun saya.

“Bulan seterusnya saya terima jumlah yang sama dan menghubungi pihak jabatan lagi namun mereka masih kata wang saya. Saya beri peringatan kepada mereka jika benar mereka melakukan kesalahan, saya tidak mahu menanggung hutang," katanya di sini, semalam.

Radzuan berkata, dia menerima pencen lebih sehingga Julai lalu sebelum menerima panggilan telefon pada 8 Ogos daripada ketua kerani kewangan jabatan memaklumkan mereka tersalah memasukkan wang gaji kepada saya.

"Saya kemudian menerima surat bertarikh 9 Ogos daripada Jabatan Kesihatan negeri yang meminta membayar sebanyak RM36,385.98 dan mereka memohon maaf atas kesilapan tidak disengajakan.

“Surat itu turut disertakan dengan salinan slip gaji bagi membuktikan kesalahan mereka yang tersalah memasukkan wang ke akaun saya,” katanya yang mahu jabatan menyiasat perkara itu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Radzuan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
 
BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, August 14, 2012

Bajet 2013 ada ‘ole-ole’ rakyat

NAJIB bersama (dari kiri) Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Bersekutu NSTonline, Fauziah Ismail;  Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid  dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP, Mohammad Azlan Abdullah (kanan) di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin
NAJIB bersama (dari kiri) Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Bersekutu NSTonline, Fauziah Ismail; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP, Mohammad Azlan Abdullah (kanan) di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin                                       

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak optimis terhadap unjuran ekonomi negara bagi tempoh separuh akhir tahun ini dan tahun depan kerana berdaya tahan, terutama sejak kerajaan melaksanakan program transformasi.

Sambil menjelaskan inisiatif itu meliputi Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Program Transformasi Ekonomi (ETP), Perdana Menteri bagaimanapun berkata tetap berhati-hati berikutan risiko ekonomi global menguncup yang perlu diberi perhatian. Beliau berkata, usaha kerajaan meningkatkan kekayaan negara menerusi program transformasi akan memanfaatkan seluruh rakyat antara lain dapat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik, termasuk bagi warga emas.

“Sebagai contoh perkhidmatan kesihatan, faedah persaraan serta faedah jangka pendek lain yang lebih baik,” katanya menjawab soalan peserta pada sesi sembang secara langsung melalui laman web New Straits Times (NST), NSTLive, di Balai Berita di sini, semalam.

Beliau yang ceria sebaik tiba di Balai Berita, tenang memberi tumpuan kepada soalan dalam talian pada sesi sejam itu dengan pada ketika tertentu, kelihatan serius berfikir dan ada kala tersenyum lebar, malah ketawa mesra.

Seterusnya menjawab soalan Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini bakal memberi ‘ole-ole’ kepada segenap penduduk negara ini, Najib berkata, kerajaan sentiasa menyediakan sesuatu untuk rakyat dalam belanjawan.

“Tapi anda perlu menunggu pembentangan bajet itu,” katanya kepada KFTANG. Katanya, kerajaan juga dalam proses memformulasi Bajet 2013 bagi menentukan sama ada mampu meneruskan program bantuan baucar buku RM200 untuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pada masa depan.

Ditanya adakah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua bakal diberi dan jumlah itu melebihi RM500, Najib yang menyifatkannya sebagai soalan popular berkata, beliau akan meneliti aliran tunai kerajaan tidak lama lagi bagi menentukan kemampuan berbuat demikian.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan China untuk membenarkan Malaysia menerima sepasang beruang panda dari negara itu adalah satu simbol besar hubungan mesra dan rapat antara kedua-dua negara kerana panda adalah haiwan berharga bagi China.

Menjawab pandangan seorang peserta supaya kerajaan melabur dalam pembangunan jangka panjang bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan, daripada berbelanja besar memberi bantuan tunai kepada golongan miskin, Najib berkata, kerajaan berusaha melakukan kedua-duanya.

Katanya, kerajaan mengenal pasti pengurangan kos sara hidup adalah keutamaan rakyat, justeru, bantuan itu diumum sebagai langkah jangka pendek, namun bagi jangka panjang, ia ditangani melalui usaha seperti meningkatkan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus, memperkenalkan gaji minimum untuk sektor swasta dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan menerusi program ETP.

Ditanya mengenai insentif untuk pekerja swasta yang menerima gaji peringkat sederhana, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji struktur percukaian dan insentif boleh disediakan untuk golongan kelas pertengahan.

Najib berkata, keupayaan kerajaan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan kekayaan, akan turut memberi manfaat kepada golongan kelas pertengahan, bersama insentif lain seperti program perumahan, penambahbaikan pengangkutan awam serta program kesihatan.

Menjawab soalan lebih santai seperti warna beliau untuk Hari Raya tahun ini dan apa yang akan dilakukan sekiranya benar-benar susah hati, beliau berkata:
“Baju biru untuk Barisan pun boleh ... warna merah untuk UMNO pun boleh ...”

BERITA HARIAN ONLINE

Tangani kos sara hidup kekal

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa menangani isu kenaikan kos sara hidup kekal sebagai satu komitmen utama kerajaan.

"Ini merupakan isu paling hangat yang sentiasa disampaikan oleh rakyat ketika saya membuat walkabout sama ada di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung seluruh pelosok negara.

"Hakikatnya, sejak kerajaan menjadikannya sebagai sebuah bidang utama GTP (Program Transformasi Kerajaan), pelbagai langkah telah diambil untuk meringankan beban rakyat, antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan lain-lain lagi," katanya dalam entri terbaru menerusi blog www.1Malaysia. com.my hari ini.

Najib berkata, inisiatif ini akan diperkembangkan lagi sebelum akhir tahun tetapi jelas bahawa terdapat banyak yang perlu dilakukan dan kerajaan memberi jaminan akan mengambil berat semua pendapat serta cadangan yang disumbangkan.

Beliau berkata, sejumlah 4,175 cadangan dan komen dikumpul dari Google Moderator dan laman web peribadi beliau mengenai cara terbaik bagi kerajaan menyediakan Bajet 2013.

Beliau berkata jumlah cadangan dan pendapat ini hampir lima kali ganda daripada jumlah cadangan perbincangan bajet tahun lepas.

"Saya sentiasa menghargai input rakyat dalam proses membuat keputusan yang mempunyai pengaruh terhadap negara kita dan sama seperti anda apabila anda meluangkan masa untuk memberi pendapat, saya berbesar hati untuk berkongsi bersama anda pandangan saya tentang Bajet 2013 ini," katanya.

Najib berkata, topik kedua terhangat adalah berkenaan kos perumahan dan ini merupakan satu lagi isu berpanjangan dan kerajaan telahpun melakukan beberapa langkah untuk menanganinya.

"Secara khusus, dasar perumahan kita telah dikhaskan untuk golongan perlu dengan adanya Program Rumah 1Malaysia (PR1MA) yang menyediakan perumahan buat mereka yang berpendapatan sederhana dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat mereka yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata kedua-dua isu itu jelas terbukti berada dekat di hati rakyat namun kerajaan tidak akan mengabaikan isu lain yang turut disuarakan.

Ini termasuk keprihatinan tentang keselamatan awam, peranan belia dalam pembangunan negara, penghasilan makanan serta hiburan dan industri kreatif — semuanya akan diberi pertimbangan sewajarnya, katanya.

Najib berkata, sumbangan rakyat akan dapat membantu kerajaan membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat.

"Pada saat ini hinggalah 28 Sept. nanti (Bajet 2013), kami akan berusaha keras untuk menghasilkan sebuah bajet yang dapat kita semua berasa bangga," katanya.

BERNAMA

Monday, August 13, 2012

Bajet 2013 berkonsepkan mesra rakyat

BACHOK 12 Ogos - Bajet 2013 yang dijangka dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini lebih berkonsepkan mesra rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ia memandangkan kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi fokus utama terhadap keperluan rakyat selaras dengan gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Beliau berkata, kementerian tersebut sedang melakukan persiapan rapi untuk Bajet 2013 dan ia meliputi semua aspek berkaitan.

"Bagi memastikan persiapan untuk Bajet 2013 tidak terjejas, kita terpaksa mengawal cuti Hari Raya Aidilfitri pegawai yang terlibat kerana bajet lebih penting untuk diselesaikan.

"Pegawai yang berkaitan memang menjalankan tugas siang dan malam bagi menyiapkan laporan lengkap dan kerja-kerja pembaikan lain yang menjadi nadi penggerak negara selepas pembentangan nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan zakat kepada golongan miskin, warga tua dan ibu tunggal di Sekolah Menengah Teratak Pulai, dekat sini hari ini.

Zakat tersebut disumbangkan Uda Holding Sdn Bhd. dan syarikat Percetakan Nasional (M) Bhd.. Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, Bajet 2013 adalah lebih kompeten kerana mengambil kira keseimbangan antara pembelaan nasib rakyat, usaha meningkatkan ekonomi negara, peningkatan hasil negara dan produktiviti serta usaha menarik pelaburan yang pastinya akan memberi impak positif kepada rakyat dan negara.

UTUSAN ONLINE

Sunday, August 12, 2012

RTC ditambah seimbangkan pembangunan - TPM

PAGOH 11 Ogos - Kerajaan akan menambah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara bagi memajukan kawasan luar bandar sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi dan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan serta taraf hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewujudan lebih banyak RTC akan merapatkan jurang selain memberi keseimbangan antara pembangunan di bandar dan luar bandar.

"RTC bertujuan memberi segala bentuk bantuan dan sokongan untuk membolehkan masyarakat luar bandar dimajukan, baik dalam usaha-usaha melibatkan peningkatan kemahiran atau apa bidang sekali pun. Pusat itu akan diwujudkan lagi di seluruh negara dalam tempoh tahun-tahun akan datang.

"Ini perlu kita lakukan supaya pembangunan di negara kita lebih seimbang, tidak dikatakan nanti yang sedia maju di bandar terus maju tetapi kawasan-kawasan luar bandar ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis khatam al-Quran, penyerahan bantuan raya dan majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin.

Muhyiddin berkata, selain RTC antara usaha yang dilakukan kerajaan untuk mewujudkan era baru pembangunan kawasan luar bandar ialah melalui bidang pertanian kerana ia masih lagi merupakan sektor terpenting bagi masyarakat desa.

UTUSAN ONLINE

Bajet 2013 fokus kurang hutang negara

Ipoh: Draf pertama Bajet 2013 memberi fokus mengurangkan hutang negara, selain melonjakkan ekonomi pada peringkat lebih tinggi dan meringankan beban rakyat berikutan kenaikan kos hidup.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata usaha mengurangkan hutang negara antara perkara utama kerajaan dalam komponen perbelanjaan mengurus, sekali gus dapat mengurangkan beban negara.
    
“Kos mengurus kita semakin meningkat kerana dalam perbelanjaan mengurus ada perbelanjaan tetap seperti emolumen, pembayaran pencen dan pembayaran hutang negara. Hutang negara sekarang sudah capai kepada 53 peratus daripada GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar), jadi kita melihat bagaimana kita nak mengurangkan hutang negara ini". - Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua

Kurang hutang negara

“Hutang negara sekarang sudah capai kepada 53 peratus daripada GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar), jadi kita melihat bagaimana kita nak mengurangkan hutang negara ini"

Cari kaedah berkesan

“Kita ada beberapa kaedah yang sedang dilihat. Jika kita dapat kurangkan hutang bermakna dalam konteks perbelanjaan tetap membabitkan hutang ini akan dapat dikurangkan,” katanya di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun sebelum itu meraikan 230 anak yatim daripada lima pertubuhan kebajikan memilih pakaian raya disumbangkan Pejabat Ahli Parlimen Tambun di pasar raya besar Mydin di Manjoi.

Ahmad Husni berkata, pihaknya akan terus mengemaskini draf Bajet 2013 dari segi input yang diperoleh hingga ke peringkat akhir iaitu beberapa hari sebelum tarikh pembentangan bajet.

“Kita mahu Bajet 2013 ini dapat melonjakkan ekonomi negara pada peringkat lebih tinggi, di samping membantu rakyat terutama dalam konteks kenaikan harga yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE