Sunday, April 2, 2017

Berita@INTURA Mac 2017

Sila klik imej untuk paparan sebenar





Friday, March 3, 2017

Rasuah: Pegawai kanan TLDM dipenjara lapan bulan, denda RM80,000

IPOH 2 Mac. - Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihukum penjara lapan bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menerima seutas jam tangan Rolex bernilai RM57,071 dan satu unit telefon bimbit jenama Vertu bernilai RM37,145 tiga tahun lalu.
Hakim S.Indra Nehru memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Kepten Abdul Aziz Gaffor, 56, yang merupakan Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut berkuatkuasa mulai hari ini.
Indra Nehru turut memerintahkan Abdul Aziz dipenjara selama 10 bulan lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Bernama Online

SPRM terima 28 maklumat babitkan kastam Selangor

KLANG 2 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menerima kira-kira 28 maklumat berkaitan ra­suah membabitkan pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri itu bagi tempoh lima tahun bermula 2011.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, kebanyakan maklumat diterima membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia 2009, iaitu menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil sebarang tindakan.
“Oleh itu, kita berharap JKDM Selangor dapat memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi masalah ini.
“Selain agensi penguatkuasaan seperti JKDM, dua lagi sektor yang diberi fokus dan berada di bawah radar SPRM adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan pengawal seperti syarikat milik kerajaan.
“Maklumat yang diterima akan dipantau dari semasa ke semasa dan laporannya dihantar terus kepada Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya,” katanya dalam sidang akhbar majlis Ikrar Bebas Rasuah JKDM Selangor di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, lebih 300 orang terdiri daripada ketua bahagian, ketua cawangan dan pegawai serta kakitangan JKDM Selangor mengangkat ikrar akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan secara telus dan menjauhi rasuah.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) Kastam Malaysia, Datuk Zulkifli Yahya dan Pengarah JKDM Selangor, Datuk Sarip Ismail.


Utusan Malaysia Online

35.6 peratus wanita pembuat dasar – KSN

Ali Hamsa berbual mesra dengan pegawai-pegawai wanita JUSA C dan pegawai khas di Dewan Perbendaharaan Malaysia, Putrajaya, semalam. 
PUTRAJAYA 2 Mac - Kerajaan sudah melepasi sasaran kuota 30 peratus untuk meletakkan golo­ngan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi apabila 1,419 pegawai wanita atau 35.6 peratus golongan itu kini berada dalam peringkat pembuat dasar di dalam sektor awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, jumlah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan dalam perkhidmatan awam kerana pera­nan wanita diiktiraf di negara ini dalam pentadbiran negara.
“Berdasarkan statistik semasa, pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5 peratus dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kumpulan pelaksana dan peratusan ini tidak termasuk polis dan tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis amanat Ketua Setiausaha Negara kepada pegawai wanita perkhidmatan wanita jawatan utama dan jawatan gred khas sektor awam (JUSA) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 pegawai wanita itu merupakan idea Ali untuk merapatkan jalinan hubungan dan berkongsi idea mengenai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Dalam ucapannya, Ali menyeru pegawai kanan wanita dalam perkhidmatan awam agar fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rak­yat, menyokong kerajaan dalam mempertingkatkan produkti­viti dan mengukuhkan imej sektor awam sebagai sektor utama dalam memacu pembangunan negara.
Mengulas lanjut mengenai TN50, Ali berkata, golongan wanita telah dikenal pasti sebagai salah satu fokus utama dalam TN50 kerana peranan mereka dalam sektor awam perlu diteliti menjelang 2050.
“Kerajaan percaya pegawai-pegawai wanita dalam perkhidmatan awam akan terus mendukung aspirasi kepemimpinan negara dan memberi sumbangan berkesan dalam pembangunan negara,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada 14 pegawai wanita.
Utusan Malaysia Online

Thursday, March 2, 2017

Berita@INTURA Februari 2017

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar





Tuesday, February 28, 2017

Ubah sistem kenaikan pangkat bawah JPA


UBAH sistem kenaikan pangkat untuk mengambil kira sumbangan, pengalaman dan kecekapan kakitangan supaya prospek kerjaya mereka lebih cerah (Gambar Hiasan)
Saudara Pengarang,
SUDAH sampai masanya Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menaik taraf serta menyusun semula sistem pentadbirannya walaupun JPA dianggap salah sebuah jabatan terbaik di negara ini.
Beberapa perubahan perlu diketengahkan memandangkan urusan pentadbirannya begitu mencabar dengan peningkatan mendadak permohonan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan juga ijazah yang mencecah ratusan ribu setahun untuk merebut jawatan kakitangan awam.
Bayangkan setiap tahun pemohon jawatan sektor awam berjumlah ratusan ribu sedangkan kekosongan cuma ada beberapa ribu sahaja.
Mereka yang memohon pula bukan sebarangan kerana mempunyai kelayakan ijazah, diploma dan sijil masing-masing.
Disebabkan terlalu ramai golongan yang mempunyai ijazah menganggur, ada di antara mereka ini hanya berani memohon jawatan sebagai Pembantu Tadbir atau Juruteknik dan itu pun kalau bernasib baik jika ada kekosongan.
Begitu juga nasib mahasiswa yang mendapat segulung ijazah dalam bidang pendidikan kini ramai di antara mereka hanya mampu duduk di rumah hingga ada yang sudah bertahun-tahun menanti jawatan perguruan.
JPA dan institusi-institusi pengajian tinggi hendaklah duduk semeja untuk membincangkan cara terbaik bagaimana untuk mengatasi masalah ini.
Kalau hendak dibuat perancangan, perkiraannya mudah sahaja di mana jumlah kekosongan guru yang perlu diisi setiap tahun seperti dirangkakan oleh Kementerian Pendidikan diserahkan kepada JPA bagi menentukan jumlah pelajar di dalam kursus perguruan.
Seterusnya, JPA memaklumkan kepada pihak universiti jumlah kuota yang diperlukan agar tidak diambil muat sesuka hati bagi kursus perguruan yang akhirnya menyebabkan lambakan bakal-bakal guru yang menganggur meningkat setiap tahun.
Begitu juga di dalam menentukan kenaikan pangkat, saya cadangkan supaya kenaikan pangkat rank and file dihidupkan kembali kerana ramai di antara kakitangan dan pegawai bawahan yang mempunyai prestasi cemerlang, cekap serta boleh membuat kerja-kerja lebih mencabar.
Mereka wajar diberikan peluang kerana kenaikan pangkat tidak semestinya mengikut kelulusan sahaja sementara mereka yang berkelayakan SPM dibiarkan kekal dengan jawatan kerani.
Mereka yang mempunyai sijil SPM juga layak ditawarkan jawatan Kerani Kanan atau Juruteknik Kanan seperti juga anggota polis yang berpangkat rendah boleh ditawarkan jawatan pegawai tinggi mengikut kecekapan, sumbangan dan prestasi kerja mereka.
Bukan semuanya bergantung kepada ijazah dan pendidikan, ada sesetengah aspek jawatan memerlukan pengalaman, kecekapan dan dedikasi yang melangkaui kelayakan akademik.
Untuk memberikan semangat kepada penjawat awam, maka sudah sampai masanya JPA merancangkan sesuatu untuk meningkatkan prestasi kakitangan awam itu sendiri.
Kebanyakan sektor swasta memilih pegawai-pegawainya bermula dari bawah melalui rank and file, mengutamakan kakitangan sedia ada dan selalunya syarikat mereka ini akan lebih maju lagi dengan kaedah tersebut.
Dicadangkan juga supaya jawatan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diuruskan terus oleh JPA dan bukannya pihak PBT itu sendiri supaya lebih adil.
Sekiranya semua PBT bukan lagi sebuah jabatan tertutup, maka kakitangannya boleh ditukarkan ke mana-mana PBT lain.
Yang paling penting, bukan hanya aspek kelayakan akademik diambil kira sebagai kelayakan kenaikan pangkat. Sebab itu juga sekolah dan universiti kini turut mengambil kira aktiviti kokurikulum dalam penilaian kecemerlangan pelajar.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban, Negeri Sembilan

Utusan Malaysia Online

Banyak pemberi, penerima rasuah mula buat aduan

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Semakin banyak pembe­ri dan penerima rasuah mula tampil membuat aduan berhubung tawaran rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan.
Penolong Pesuruhjaya­ Bahagian Pendidikan Masya­rakat SPRM, Rosdi Hassan berkata, perkara itu antara­nya disebabkan tindakan ag­resif SPRM terhadap jena­yah rasuah kebelakangan ini yang turut menyaksikan penahanan dan pendakwa­an beberapa pegawai kanan kerajaan.
“Antara yang berisiko ter­li­bat rasuah adalah barisan ha­dapan penjawat awam yang berurusan dengan orang ra­mai termasuk sektor per­­o­lehan, perkhidmatan dan penguatkuasaan.

“Justeru, kedua-dua pihak yang berpotensi ini perlu berjaga-jaga kerana pemberi atau penerima rasuah juga boleh melaporkan kegiatan rasuah untuk melepaskan diri,” katanya semasa Sesi Dia­log Bersama SPRM anjuran Koordinator Dewan Un­da­ngan Negeri (DUN) Gom­bak Setia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Tambah Rosdi, dalam me­mastikan budaya rasuah dapat dibendung, golongan pendidik di semua peringkat harus memainkan peranan untuk membentuk pelajar tentang jenayah itu.
“Selitkan pengetahuan me­ngenai jenayah rasuah dalam sesi pembelajaran dan sematkan nilai-nilai integriti dalam aktiviti di dalam atau di luar kelas.
“Kita tidak mahu kes se­perti pelajar universiti menyogok pensyarah untuk lu­lus peperiksaan menjadi bu­daya dan ini perlu diben­dung daripada awal iaitu sejak di sekolah,” katanya.

Utusan Malaysia Online