Tuesday, May 19, 2009

Pengarah JPAM Kedah didakwa memperaku butiran palsu

ALOR SETAR 18 Mei - Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Kedah, Mohamad Abdullah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan memperakukan dokumen berhubung bekalan makanan yang mengandungi butiran palsu, empat tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama Mohamad, 49, didakwa memberi satu dokumen bertarikh 16 Februari 2005 yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri.

Dalam dokumen itu, dia didakwa memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd. Roshid Hussain telah menyediakan makanan dan minuman pagi, tengah hari serta malam untuk Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang pada 17 hingga 20 Mac 2005 untuk 70 orang.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengulangi perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd. Roshid telah menyediakan makanan dan minuman pagi, tengah hari dan malam bagi 80 peserta Latihan Asas Intensif Untuk Unit Giat Mara Sungai Tiang pada 19 hingga 21 Mei 2005.

Walhal tertuduh mengetahui sebenarnya tiada bekalan sedemikian dibuat dan ia dilakukan hanya untuk mengelirukan.

Kedua-dua tuduhan tersebut didakwa dilakukan di pejabat JPAM negeri, Tingkat 6, Wisma Persekutuan, di sini pada 26 Jun dan 28 Julai 2005.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Di mahkamah yang sama, Mohd Roshid, 32, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan tertuduh untuk melakukan perbuatan tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mohd. Roshid didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta serupa yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.

Hakim Nor Sharidah Awang membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi setiap tuduhan dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi.

Utusan Online

No comments: