Monday, June 8, 2009

SPRM tahan pegawai kanan kerajaan negeri

PULAU PINANG 7 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan kerajaan negeri yang disyaki menerima sogokan bernilai RM7,000 untuk meluluskan projek mengubah suai rumah kedai kepada hotel, di Seberang Perai kelmarin.

Lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai menerima wang tersebut sebagai bayaran permulaan kepada keseluruhan wang berjumlah RM21,000 yang dijanjikan kepadanya.

Pengarah SPRM Negeri, Latifah Md. Yatim berkata, pegawai kerajaan itu yang bertugas sebagai pemeriksa bangunan ditahan di Seberang Perai kelmarin selepas dikesan oleh SPRM.

Menurut beliau, ketika ditahan, lelaki tersebut dipercayai baru saja menerima wang tunai RM7,000 daripada pengadu yang merupakan pemilik rumah kedai tersebut.

''SPRM menerima maklumat daripada pengadu bahawa pegawai kanan itu meminta wang tunai sebagai balasan terhadap permohonannya untuk mengubah suai rumah kedai kepada hotel diluluskan.

''Wang tunai RM7,000 itu adalah sebahagian daripada RM21,000 yang diminta oleh pegawai berkenaan. Baki RM14,000 lagi sepatutnya dibayar secara ansuran iaitu RM7,000 bagi setiap pembayaran,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Latifah berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda lima kali nilai suapan serta maksimum 20 tahun penjara.

Katanya, pegawai berkenaan bagaimanapun dibebaskan semalam dengan ikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamin.

''Dia akan didakwa dalam masa terdekat ini sebaik sahaja kertas siasatan terhadapnya selesai dijalankan,'' katanya.

Beliau berkata, penahanan pegawai kanan kerajaan itu menunjukkan SPRM sentiasa memantau setiap projek pembinaan bagi mengelak daripada berlaku sebarang penyelewengan.

Utusan Online

No comments: