Saturday, September 28, 2013

Terapkan budaya penambahbaikan dalam setiap organisasi

MOHAMAD Ridzwan Mohd. Tahar (berdiri, lapan dari kiri) bersama johan setiap kategori iaitu Bahagian Pengurusan Kualiti dan Latihan MPK dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPK pada majlis Konvensyen KIK Peringkat Negeri Pahang di Bukit Gambang Resort, Kuantan, Pahang, kelmarin.
KUANTAN 27 Sept. - Semua ketua jabatan di negeri ini disaran menerapkan kaedah 'Pengurusan Lean' yang menggalakkan budaya penambahbaikan dan inovasi di dalam organisasi.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pelaksanaan 'Pengurusan Lean' akan mencetuskan budaya kerja baharu yang seterusnya akan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan jabatan dan dalam masa sama dapat memenuhi kehendak pelanggan.

"Antara jabatan yang boleh dijadikan contoh dalam 'Pengurusan Lean' ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka.
"Selain pelaksanaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), kaedah pengurusan ini dilihat lebih berkesan sebagai penggerak kepada inisiatif-inisiatif baharu kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Mohamad Ridzwan Mohd. Tahar sempena penutupan Konvensyen KIK Peringkat Negeri Ke-29 2013 di Bukit Gambang Resort City di sini semalam.

Sebanyak 27 kumpulan iaitu 13 kumpulan kategori pengurusan dan bakinya kategori teknikal membentangkan kertas kerja masing-masing sempena penganjuran kali ini.

Menurut Muhammad Safian, segala usaha perlu dilipatgandakan kerana hasrat kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam memerlukan perubahan berskala besar dan drastik.

"Kita harus menggunakan momentum sedia ada untuk mencipta inovasi yang strategik, unik dan berkesan.
"Lebih penting lagi, kita harus keluar daripada budaya 'silo' masing-masing ke arah transformasi perkhidmatan awam yang menyeluruh dan berlestari," ujarnya.

Tambahnya, sebagai peneraju inovasi, setiap penjawat awam mestilah berani mencari penambahbaikan yang baharu, berani mempersoalkan amalan yang lazim diamalkan, malah berani mencabar status quo.

"Segala cetusan idea yang baharu atau pemikiran alternatif sebenarnya lahir daripada keyakinan ilmu yang kita bina dan amalkan.

"Di sinilah letaknya keunggulan dan martabat ilmu. Sesungguhnya kayu ukur kejayaan inovasi bergantung rapat dengan kekuatan ilmu dan setakat mana kita memanfaatkan ilmu tersebut," jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: