Tuesday, March 4, 2014

Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam di Putrajaya

PUTRAJAYA 3 Mac - Kebajikan penjawat awam terus mendapat perhatian apabila kerajaan menubuhkan Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam bagi memudahkan golongan tersebut melakukan sebarang ujian kesihatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, dengan adanya pusat pemeriksaan kesihatan tersebut, penjawat awam boleh menjalani pemeriksaan secara percuma tanpa perlu bersesak-sesak bersama pelanggan lain yang ingin mendapatkan rawatan di klinik biasa.

Beliau berkata, pusat pemeriksaan kesihatan yang beroperasi di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mampu menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kepada 25 orang penjawat awam sehari atau kira-kira 5,000 orang setahun.

"Pusat pemeriksaan kesihatan itu akan diseliakan oleh lima orang jururawat dan doktor, selain berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat mengenai amalan gaya hidup sihat bagi mengekalkan tahap kesihatan juga disediakan.

"Saya percaya keupayaan pusat ini boleh ditingkatkan secara berperingkat-peringkat sehingga dapat menampung pemeriksaan kesihatan susulan berkala yang lebih teratur dan efisien," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Muhamad Zabidi Zainal; Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisyam Abdullah.

Menurut Ali, penubuhan Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam merupakan satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana Kementerian Kesihatan dan PPj berganding bahu menyampaikan perkhidmatan kepada penjawat awam khususnya yang menetap di sekitar Putrajaya.

"Kesanggupan PPj membenarkan premisnya digunakan secara percuma sebagai pusat pemeriksaan kesihatan adalah tindakan yang boleh dibanggakan dan patut dicontohi, bukan sahaja menjimatkan kos kerajaan, malah dapat mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada.

"Kerajaan juga merancang untuk menubuhkan dua lagi Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam iaitu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur dan juga di Puspanitapuri, Putrajaya," katanya.

Selain itu, kata beliau, pemeriksaan kesihatan bagi penjawat awam yang berusia 40 tahun ke atas adalah satu amalan yang sangat digalakkan bagi memastikan status kesihatan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,268 penjawat awam berumur 40 tahun ke atas telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Putrajaya, daripada jumlah tersebut 456 orang atau 36 peratus dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan.

"Masalah kesihatan yang paling banyak dikesan adalah berat badan berlebihan iaitu sebanyak 20.3 peratus, diikuti tahap kolestrol yang tinggi 15.8 peratus dan diabetes 13.7 peratus," katanya.

Dalam pada itu, katanya, penjawat awam perlu sentiasa melakukan pemeriksaan bagi mengetahui perkembangan terkini kesihatan masing-masing, sekali gus membolehkan mereka mendapat rawatan awal sekiranya menghidap sebarang penyakit.

Utusan Malaysia Online

No comments: