Beliau memberitahu, antara alasan yang sering diberi oleh agensi kerajaan untuk melewatkan pelaksanaan projek adalah mereka perlu melakukan perancangan terlebih dahulu.
“Sepatutnya jentera pelaksanaan agensi tersebut telah bersiap sedia sementara me­nunggu kelulusan.
“Tiada ruang untuk perancangan apabila peruntukan itu diluluskan. Agensi sepatutnya merancangnya awal-awal lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.
Tegas Ali, penjawat awam tidak sepatutnya melengah-le­ngahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, sebaliknya semua dasar, projek dan program kerajaan perlu dilaksanakan segera selepas diluluskan.
Ini kerana, katanya, soal penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh dilengah-lengahkan dan langkah tersebut selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tahun ini sebagai tahun penyampaian.
“Penjawat awam diingatkan supaya mempertingkatkan daya usaha untuk penyampaian perkhidmatan. Kita tidak boleh lagi menunggu. Kadang-kadang ada projek yang diluluskan tetapi dari segi pelaksanaan berlaku kelewatan sehingga dua tiga bulan.
“Saya telah meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk memantau dari segi pelaksanaan program dan projek kerajaan supaya impaknya sampai kepada rakyat dengan serta-merta seperti yang dihasratkan oleh kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ali menjelaskan, sesi penjawat awam berkongsi pandangan mengenai gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan diadakan pada 30 Mei ini.
Beliau berkata, sesi Perdana Menteri bersama penjawat awam di Kementerian Kewangan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan berinteraksi dengan para penjawat awam dalam membentuk sektor perkhidmatan awam negara menjelang 2050.
“Penjawat awam perlu bersama-sama berpandangan jauh, tidak leka atau khusyuk dengan pencapaian masa kini,” kata­nya.

Utusan Malaysia Online