ALOR GAJAH 17 Feb. – Sebelum ini, kita sering mendengar keluhan dan rungutan di kalangan peniaga tentang tempoh masa yang agak lama untuk lesen perniagaan mereka diluluskan.
Menyedari kelemahan itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan usaha meluluskan permohonan lesen hanya 15 minit bagi semua jenis perniagaan tidak berisiko.
Berbanding sebelum ini, permohonan lesen tidak berisiko seperti perniagaan makanan, pakaian dan alat tulis di MPAG mengambil masa sehari untuk diluluskan manakala perniagaan berisiko seperti kilang dan bengkel memerlukan tempoh seminggu bagi kelulusan.
Langkah yang diambil oleh MPAG itu sekali gus menjadikan majlis perbandaran itu sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini melaksanakan usaha tersebut bagi memudahkan urusan orang awam.
Yang Dipertua MPAG, Kamaruddin Md. Shah berkata, usaha itu mula diperkenalkan Januari lalu dan akan diperkembangkan kepada jenis perniagaan berisiko pada masa depan.
Menurutnya, sejak diperkenalkan, pihaknya telah meluluskan 32 lesen perniagaan tidak berisiko mengambil masa hanya 15 minit.
“Usaha ini untuk memudahkan golongan peniaga berurusan dengan MPAG selain mahu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang awam yang berurusan di kaunter,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau, peniaga yang hanya mengemukakan permohonan lengkap bagi mendapatkan lesen perniagaan tidak berisiko akan dijamin mendapatkan lesen mereka dalam tempoh 15 minit.
Katanya, kelulusan 15 minit juga diberikan kepada pemohon lesen perniagaan makanan di gerai atau medan selera MPAG kecuali permohonan lesen perniagaan makanan di bangunan sendiri.
Ujar beliau, pihaknya menyediakan empat kaunter perkhidmatan bagi permohonan kelulusan lesen peniagaan termasuk yang berisiko di MPAG.
Namun, katanya, perkhidmatan kelulusan perniagaan tidak berisiko selama 15 minit itu hanya dihadkan di kaunter perkhidmatan MPAG tidak termasuk di cawangannya di Masjid Tanah dan Pulau Sebang.
“Bagi permohonan lesen berisiko iaitu perniagaan yang memerlukan ulasan dan kebenaran daripada PBT, ia memerlukan masa sedikit iaitu seminggu kerana permohonan perlu dibincangkan di peringkat majlis,” katanya.
Usaha itu juga menurut Kamaruddin, sebagai mengadaptasi langkah efisien yang diambil oleh agensi kerajaan lain khususnya Jabatan Imigresen yang pada masa ini hanya mengambil masa satu jam meluluskan pengeluaran pasport.
“Kita merasakan sudah tiba masanya untuk memudahkan lebih banyak urusan dengan orang awam khususnya golongan peniaga yang sentiasa sibuk dan memerlukan banyak masa untuk melaksanakan urusan perniagaan mereka.
“Sebagai PBT yang dipertanggungjawabkan, kita mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam malah pada masa ini sudah banyak agensi kerajaan mengorak langkah memudahkan khidmat kepada orang ramai terutama Jabatan Imigresen,” katanya.
Kamaruddin berharap melalui kemudahan terbaru itu, orang awam terutama peniaga lebih berpuas hati dengan tahap kualiti perkhidmatan MPAG malah ia akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment