ALOR GAJAH 17 Feb. - Terkejut dan tidak pernah menjangka ia akan diberikan secepat itu! Begitulah reaksi yang diberikan oleh para peniaga berhubung usaha terbaru Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang memperuntukkan masa hanya 15 minit untuk meluluskan permohonan lesen perniagaan tidak berisiko.
Sambil memuji inisiatif MPAJ itu, mereka turut berharap agar perkhidmatan yang sama dapat diperkenalkan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.
Menurut Hasbullah Mohd. Halil, 34, dia seperti bermimpi apabila dimaklumkan oleh petugas kaunter bahawa permohonan lesen perniagaan yang dipohonnya sudah siap.
Ini kerana, katanya, sebelum ini, dia sering mendengar keluhan daripada rakan perniagaan yang mendakwa sukar mendapatkan lesen perniagaan dalam masa yang singkat.
"Saya rasa, saya hanya duduk di kaunter perkhidmatan itu kurang 10 minit, petugas sudah maklumkan permohonan saya sudah diluluskan, saya sungguh tidak sangka, perkhidmatan MPAG sudah mencapai tahap efisien.
"Mungkin juga, permohonan yang dikemukakan juga lengkap jadi petugas kaunter tiada masalah untuk meluluskan segera permohonan saya mendapatkan lesen perniagaan tidak berisiko," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Hasbullah yang mengusahakan perniagaan pendawaian kabel elektrik di Masjid Tanah berkata, langkah MPAG memendekkan masa permohonan lesen perniagaan itu wajar diikuti oleh PBT lain demi memudahkan orang awam berurusan.
Ini kerana, katanya, langkah MPAG itu memberi kesenangan kepada orang awam yang berurusan di kaunter perkhidmatan tanpa perlu menunggu masa yang lama berada di majlis perbandaran tersebut.
Seorang lagi usahawan pendawaian kabel elektrik, Suhaimi Abdul Malek, 35, berkata, dia tidak menyangka permohonannya mendapatkan lesen perniagaan diluluskan dalam masa yang amat singkat.
"Saya agak terkejut tetapi pada masa yang sama gembira kerana MPAG memang memudahkan kerja saya.
"Usaha MPAG ini amat menjimatkan masa, saya tidak perlu lagi menunggu berhari-hari bagi mendapatkan lesen perniagaan," katanya.
Menurut Suhaimi, alangkah baik jika semua PBT yang berkaitan menurut langkah dan inisiatif MPAG tersebut demi memudahkan urusan orang ramai.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment