KUALA LUMPUR 22 Sept. - Seiring dengan usaha meningkatkan kualiti penjawat awam, strategi pembudayaan dilihat perlu dilaksanakan bagi menjadikan inovasi sosial diaplikasikan dalam proses transformasi negara sebagai satu amalan dan budaya kerja perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, agensi itu perlu melihat inovasi dari perspektif menjalin hubungan yang lebih bersinergi dengan rakyat bagi menghasilkan penemuan-penemuan baharu yang dapat dimanfaatkan hasilnya oleh masyarakat.
"Strategi pembudayaan ini boleh dimulakan menerusi pembentukan makmal-makmal inovasi sosial untuk memupuk dan meneguhkan pengamalan serta penghayatan penjawat awam mengenai inovasi sosial.
"Makmal sebegini merupakan platform untuk para pereka inovasi sosial bekerjasama bagi membangunkan kaedah penyelesaian yang kreatif lagi inovatif kepada permasalahan sosial," katanya dalam ucaptama Seminar Inovasi Sektor Awam 2014 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.
Seminar yang dihadiri kira-kira 300 peserta daripada sektor awam dan swasta itu menampilkan enam kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh ternama termasuk pembentang berpengalaman dari Australia dan Arab Saudi bertujuan menggalakkan percambahan idea dan memberi pemahaman tentang ekosistem inovasi dalam sektor awam.
Menurut Mohamad Zabidi, jentera perkhidmatan awam yang lebih cekap mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik amat diperlukan untuk merealisasikan inovasi sosial seperti yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengangkat martabat negara ke mercu kecemerlangan.
"Dari segi pengamalan pula, saya ingin menyarankan agar semua jabatan Kerajaan sentiasa aktif dalam mewujudkan pasukan inovasi untuk melaksanakan projek-projek inovasi yang berimpak tinggi ke arah meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan.
"Hakikatnya saya yakin dan percaya bahawa kita ada prosedur-prosedur tertentu yang boleh diperkukuhkan selaras dengan transformasi yang kita lakukan ini. Jadi semua proses kerja perlu diperbaiki supaya mutu penjawat awam sentiasa berada di peringkat yang lebih baik," jelasnya.
Utusan Malaysia Online