Thursday, September 29, 2016

Kursus Pengukuhan Pasukan Pelajar UKM Masterclass “Entrepreneurship” : Program CEO@Faculty

Kursus Pengukuhan Pasukan bagi pelajar UKM Masterclass “Entrepreneurship”: Program CEO@Faculty telah dijalankan di INTAN Wilayah Utara pada 23 hingga 25 September 2016. Seramai 15 orang pelajar UKM yang terdiri dari pelbagai fakulti telah dipilih untuk mengikuti program ini. Program ini bertujuan untuk melahirkan usahawan muda yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan kreatif dalam memasarkan produk mereka.
Program di INTAN Wilayah Utara pula lebih menitikberatkan kaedah memupuk semangat camaraderie di kalangan para pelajar sekaligus merapatkan hubungan sesama mereka agar memudahkan mereka untuk menjalankan tugasan yang akan diberikan secara berperingkat kelak. Selain daripada itu, kursus pengukuhan pasukan ini juga bertujuan untuk mengaplikasikan kemahiran dalam kaedah pemikiran strategik dan penyelesaian masalah secara kreatif untuk mengatasi isu-isu serta konflik dalam pasukan secara berkesan.
Kursus ini melibatkan aktiviti Eksplorasi Diri, Sinergi Kumpulan dan Persaingan antara ahli kumpulan. Selain daripada itu, para pelajar turut didedahkan dengan aktiviti i-Lead Mission dimana setaip ahli perlu mahir dalam merancang aktiviti, melaksana dan mengorganisasi tugasan untuk mencapai misi yang telah ditetapkan.
Penyempurnaan penutupan kursus telah dibuat oleh YBhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Siregar bin Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia. Di dalam amanatnya YBhg Tan Sri telah memberi idea-idea baru kepada pelajar untuk menjadi usahawan yang berjaya. Beliau turut menekankan tentang pentingnya penggunaan teknologi dalam memasarkan produk dan memberi contoh bagaimana kaedah promosi melalui atas talian dapat meningkatkan jualan produk. Beliau juga turut meminta setiap pelajar yang mengikuti program ini agar dapat membantu satu sama lain agar semua pelajar dapat mencapai kejayaan yang sama di akhir program.

            Kursus ini dilihat dapat memberi pendedahan asas keusahawanan kepada para peserta dan dapat memberi banyak pengetahuan dan pengalaman berharga  di samping memupuk semangat berpasukan yang tinggi. 






























Sunday, September 25, 2016

CUEPACS rayu tidak beku pengisian perjawatan

KUANTAN 24 Sept. – Kongres Kesatuan Pe­kerja-Pekerja di Da­lam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mera­yu ke­rajaan supaya tidak membekukan pengisian perjawatan dalam pembentangan Bajet 2017.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerajaan kena melihat keperluan agensi-agensi penguatkuasaan seper­ti bomba, polis dan imigresen yang perlu memperluas perkhid­matan mereka untuk me­menuhi kehendakemasa.

“Bagaimana mereka hendak memenuhi perkara itu jika tenaga kerja tidak ada. Ketika ini harapan pelanggan kepada agensi penguatkuasaan terutama bomba begitu tinggi sehingga mereka bukan sahaja mela­kukan tugas di udara, malah di laut, sungai dan di daratan termasuk memadam kebakaran hutan.

“CUEPACS mempunyai banyak cadangan yang hendak dibawa kepada kerajaan untuk persediaan Bajet 2017, tetapi pada peringkat pertama ini kami telah turun ke pelosok negara dan rungutan yang kami terima daripada agensi kerajaan adalah kekurangan kakitangan soko­ngan iaitu dari segi pelaksana yang hendak memenuhi tugas dan tanggungjawab di peringkat bawahan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Ke-19 Kesatuan Pekerja Bomba dan Pe­nyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) negeri, di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online


Saturday, September 24, 2016

Don’t ill-treat civil servants just because you pay tax

RECENTLY, I saw a government servant being insulted for closing a service counter at 4.30pm. Though the obedient civil servant explained the reason for closing the counter at that specific time, the person, a patient in a government clinic, made some very uncalled-for statements: “I am paying income tax to the Government and your salary is actually paid by me, therefore you must serve me. You don’t talk big.”
This really irked me as all working people in this country with chargeable incomes have to pay income tax regardless of whether they are in the government or private sector.
There are many people out there who think that since they are paying income tax, they expect government servants to dance to their tune. Little do they realise that government servants also pay income tax and therefore also contribute to the progress of the country. Please do not ill-treat civil servants.
DR MAHENDRAN MANIAMSeri Kembangan, Selangor
The Star Online

Tuesday, September 20, 2016

Lagi siri operasi SPRM tahan kakitangan awam terlibat rasuah dalam waktu terdekat


Datuk Azam Baki

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siri operasi di beberapa buah negeri bagi menahan kakitangan sektor awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya memandang serius gejala rasuah khususnya dalam agensi kerajaan dan akan terus menggunakan segala keupayaan serta kekuatan yang ada bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. Menurut beliau, SPRM dijangka akan memanggil dan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan terlibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masa terdekat. 

Bernama Online

Monday, September 19, 2016

Friday, September 16, 2016

MRT: Impak besar 
kepada penjawat awam

PUTRAJAYA 15 Sept. – Projek laluan kedua Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT Laluan SSP) bakal memberi impak besar kepada para penjawat awam yang ber­ulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, projek laluan kedua MRT itu akan memberi kemudahan dan keselesaan perjalanan kepada penjawat-penjawat awam terlibat.
“Laluan MRT SSP yang meng­hubungkan Sungai Buloh melalui Serdang ke Putrajaya amat bermanfaat kepada warga Lem­bah Klang terutama penjawat-penjawat awam kerana mereka akan mempunyai akses pengangkutan yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembinaan MRT Laluan SSP yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Projek pembinaan laluan rel sepanjang 52.2 kilometer dan meliputi 37 buah stesen itu akan memudahkan perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dengan mengambil masa hanya 30 minit.

Projek bernilai RM32 bilion itu apabila siap sepenuhnya pada 2022 dijangka mampu menampung 530,000 orang penumpang sehari.

Ali yang juga Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) berkata, beliau sentiasa menyokong penuh pemodenan sistem pengangkutan awam demi kemudahan orang ramai dan kakitangan kerajaan.

“Kerajaan juga telah meluluskan pembinaan 12,000 unit rumah untuk penjawat awam di sini (Putrajaya), saya rasa ini (MRT Laluan SSP) akan memudahkan pergerakan penjawat awam sekiranya mereka diperlukan untuk bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, September 14, 2016

Kekalkan waktu kerja

SAUDARA PENGARANG,

SAYA sangat tertarik membaca laporan berita mengenai cadangan ‘waktu bekerja rasmi’ kakitangan awam dikurangkan daripada lapan jam kepada enam jam sehari.

Antara alasan untuk memendekkan tempoh bekerja adalah bagi mengurangkan ‘tekanan’ di tempat kerja.
Berasaskan pengalaman sebagai pesara perkhidmatan awam, tekanan sedemikian biasanya berlaku kerana beban kerja yang banyak sedangkan masa rasmi untuk berada di pejabat tidak mencukupi.

Lebih tertekan lagi apabila pada waktu sama ada kerja-kerja lain perlu disiapkan dalam satu tempoh waktu yang kadang kala tidak munasabah dan terlalu singkat.

Bagi setengah pegawai pula, menghadiri mesyuarat juga adalah sebahagian daripada tugas mereka dan sama penting seperti tugasan-tugasan lain.

Tempat menghadiri mesyuarat pula kadang kala bukan di pejabat sama tetapi di tempat lain dan mungkin mengambil masa kerana jarak perjalanan yang jauh mencecah ratusan kilometer.

Ini semua memakan masa bekerja. Biasanya, setiap mesyuarat juga akan memakan masa sehingga dua jam atau lebih.
Berkaitan elaun lebih masa, sistem di negara kita secara umumnya membahagikan kepada dua kategori utama iaitu yang ‘layak’ dan ‘tidak layak’ membuat tuntutan.

Memendekkan masa bekerja rasmi ertinya menambahkan masa untuk elaun lebih masa kepada golongan yang layak.
Di sini ada kebaikannya tetapi keburukannya pula adalah dari segi pemikiran sebahagian kakitangan awam tertentu yang sengaja mahu mengambil kesempatan menambah jumlah tuntutan bulanan mereka.

Selain itu, ada lagi faktor lain yang saya rasa tidak kurang juga pentingnya untuk diambil kira, misalnya dari sudut iklim, agama dan cara hidup.

Sejak sekian lama tempoh bekerja kakitangan awam adalah lapan jam. Ini memang sesuai dengan iklim geografi negara ini yang tempoh waktu siang dan malam tidak berubah dan tiada perbezaan ketara seperti sesetengah negara lain di Barat.
Secara amnya, waktu bekerja kakitangan awam di negara ini bermula pada pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Ini termasuk waktu rehat satu jam iaitu kira-kira pukul 1 petang hingga 2 petang tetapi tidak mengambil kira ‘waktu anjal’ yang diamalkan oleh sesetengah agensi kerajaan.

Oleh kerana kebanyakan kakitangan awam beragama Islam, maka penetapan waktu rehat yang ada sekarang sangat sesuai dan tepat kerana waktu ini juga waktu yang diwajibkan ke atas mereka untuk laksanakan solat.

Bagaimanapun, jika waktu kerja dipendekkan dan kakitangan awam ditetapkan waktu pulang pada pukul 3 petang misalnya, maka tumpuan kepada kerja selepas waktu itu besar kemungkinan sudah pudar.

Meskipun tidak berlaku kepada semua kakitangan awam tetapi faktor ini perlu diberi perhatian juga.

Pada pandangan saya, waktu bekerja rasmi yang ada sekarang ini sudah cukup sesuai dan wajar dari beberapa sudut seperti dinyatakan di atas.

Perkara paling utama bagi kakitangan awam adalah menyiapkan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

Sekiranya berasa pengurangan masa bekerja kakitangan awam satu keperluan yang tidak boleh dielakkan, elok kiranya dibuat kajian lebih mendalam daripada beberapa sudut agar sistem penyampaian serta perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta berjalan lancar dan berkesan.

Lagipun, dari satu sudut sebenarnya waktu bekerja ketika ini hanya tinggal tujuh jam sahaja selepas ditolak satu jam waktu rehat.

SALLEH SAAD
Kepala Batas, Pulau Pinang

Utusan Malaysia Online

Perkukuhkan dahulu sistem tadbir urus

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN waktu kerja enam jam sehari ada pro dan kontra. Bagusnya, rakyat ada lebih masa untuk diri sendiri dan keluarga, pada akhirnya mereka gembira dan menjadi pekerja yang lebih produktif. Yang tidak bagusnya, waktu kerja lebih singkat secara tidak langsung mengurangkan produktiviti jabatan kerajaan dan sektor swasta.

Isunya, mampukah pengurangan waktu bertugas kepada enam jam berbanding lapan jam sehari dilaksanakan jika sesetengah masyarakat Malaysia masih berdepan dengan masalah sikap dan etika kerja mereka?

Ketika ini pun pelbagai isu timbul berhubung produktiviti perkhidmatan awam dan sekiranya waktu bekerja menjadi lebih singkat, pasti banyak urusan akan terbantut. Sedangkan waktu perkhidmatan yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pun ada urusan yang tidak sempat dibuat, inikan pula dihadkan urusan sehingga pukul 2 petang!

Dalam tempoh enam jam itu apalah sangat yang boleh dibuat jika banyak masalah berkaitan etika kerja dan sikap pekerja kita masih belum ditangani. Apatah lagi kebimbangan disuarakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan bahawa ada jabatan atau agensi kerajaan yang ‘tutup’ seawal pukul 4 petang! Itu belum lagi ditolak masa panjang yang diluangkan oleh kakitangan untuk waktu rehat, minum kopi dan sebagainya.

Pada hemat saya, ada perkara yang lebih penting daripada mengkaji cadangan tersebut yang mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan. Tatkala imej agensi dan jabatan kerajaan tercalar akibat sikap sesetengah penjawat awam yang tidak bertanggungjawab, seharusnya penyelesaian kepada permasalahan ‘pokok’ diutamakan.

Apa yang saya nampak keperluan kerajaan untuk memperbaiki dan memperkasakan sistem tadbir urus di semua agensi dan jabatannya, sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai negara maju menjelang Wawasan 2020. Maju yang saya maksudkan termasuklah pekerja yang berminda kelas pertama.

Berkaitan hal itu, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah menswastakan jabatan-jabatan tertentu bagi membolehkan kakitangan memberi perkhidmatan yang lebih optimum. Dengan cara ini, pengisian jawatan dapat disaring iaitu hanya kakitangan bertanggungjawab, amanah dan memberi komitmen tinggi sahaja dikekalkan. Ini kerana sistem tadbir urus sedia ada menunjukkan banyak pembaziran dengan mengambil kakitangan yang pendapat saya tidak ada keperluan pun.

Pernah saya tengok kakitangan kerajaan yang kurang kerjanya, dan hal itu membolehkan mereka berbual dan membuat kerja-kerja peribadi. Ada kalanya mereka bersikap tidak acuh dengan kerja-kerja mereka. Misalnya, urusan yang hanya memerlukan beberapa jam untuk diselesaikan tetapi disimpan berbulan-bulan lamanya sebelum fail atau rekod diedarkan untuk tindakan lanjut.

Hakikatnya banyak lagi kerja yang harus dilakukan bagi memperbaiki imej kakitangan awam khususnya berkaitan integriti. Gejala rasuah umpamanya banyak disinonimkan dengan penguat kuasa sesebuah jabatan. Apatah lagi mutakhir ini banyak laporan media berkaitan rasuah membabitkan pegawai dan top ranking dalam sesebuah organisasi.
Rasuah yang berleluasa adalah cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Banyak bukti menunjukkan negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, sekali gus menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.

Selain itu, gejala rasuah juga menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara. Kesan paling besar akibat gejala rasuah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir dan menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Justeru, usaha-usaha untuk meningkatkan tahap integriti dan memperkukuhkan sistem tadbir urus mesti dipergiatkan. Tidak dinafikan, usaha-usaha sebegini sememangnya memakan masa, namun perlu dimulakan dari sekarang jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 nanti.

Hanis

Putrajaya

Utusan Malaysia Online

Monday, September 12, 2016

Sampai bila penguat kuasa berleluasa?

MUKADIMAH: “Saya tidak lihat apa-apa kajian tentang kejayaan pelan integriti terdahulu sebelum buat pelan integriti baharu.

" Pelan Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2015-2020 bukanlah idea dan falsafah yang baru diilhamkan tetapi sekadar kesinambungan daripada Pelan Integriti PDRM 2010-2015," kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) DATUK YAACOB MD. SAM kepada wartawan Mingguan MalaysiaHAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI ketika ditemui di pejabat beliau di Putrajaya Jumaat lalu.

Dalam wawancara yang berlangsung lebih sejam itu, Yaacob turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pengangkutan mengisytiharkan tahun ini sebagai tahun integriti bagi kementerian itu dan agensi-agensi di bawahnya tetapi sehingga kini, tidak ada sebarang pelan atau program integriti yang khusus disusun kementerian atau dua agensi penguatkuasaan di bawahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Beliau juga meminta Jabatan Imigresen (JIM) membuat kajian semula ke atas Pelan Strategik JIM 2015-2020 berikutan rancangan tersebut tercemar dengan teruk pada tahun ini dengan isu rasuah, sabotaj ke atas sistem myIMMS dan kekurangan bekalan pasport.

DATUK YAACOB MD. SAM


MINGGUAN: Pada pandangan Datuk sejauh manakah keberkesanan pelan-pelan tindakan dalam mengatasi isu-isu ketirisan integriti dan jangan ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau retorik semata-semata?

YAACOB: Saya melihat terdapat iltizam yang tinggi ditunjukkan oleh beberapa agensi penguatkuasaan dalam mengenal pasti ketirisan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan kelemahan ke atas sistem kerja atau penyampaian perkhidmatan oleh agensi itu sendiri. Maka agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mempunyai Pelan Strategik Maritim Malaysia 2040 yang merangkumi bukan sahaja perkara-perkara berkaitan pembangunan logistik tetapi juga sumber manusia yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan berintegriti dengan pelaksanaannya dibahagikan kepada tujuh fasa setiap satu fasa selama lima tahun bermula dari 2006 hingga 2040.

Kementerian Pengangkutan Malaysia pula telah mengisyitiharkan Tahun 2016 sebagai tahun integriti bagi kementerian tersebut dan agensi-agensi di bawahnya. Dalam hal ini dua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan yang termasuk di bawah kawal selia EAIC ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Bagaimanapun sejak pengisytiharan tersebut dibuat pada bulan Januari 2016 hingga tarikh ini, saya tidak melihat sebarang pelan atau program integriti yang khusus disusun baik oleh pihak kementerian atau dua agensi yang saya sebutkan tadi bagi menyambut dan mengisi pengisyitiharan tahun integritiri tersebut.

Mungkin ada agensi lain turut sama bersikap sebegini?

YAACOB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah melancarkan Pelan Strategik JIM 2015-2020 yang mengandungi empat teras utama, iaitu Pertama: Keselamatan dan Kawalan Diutamakan; Kedua: Pemantapan Sistem Pengkomputeran Imigresen; Ketiga: Merakyatkan Perkhidmatan Imigresen; dan Keempat: Perekayasaan JIM dalam visi memberi perkhidmatan yang memenuhi ekspektasi semua pihak yang berurusan dengan JIM.

Pihak JIM pun telah melancarkan pelan strategik mereka pada tahun 2015, tetapi rancangan tersebut tercemar dengan teruknya pada tahun 2016 apabila terdapatnya kejadian-kejadian seperti perlakuan amalan rasuah, salah guna jawatan atau kuasa dan perlakuan sabotaj ke atas sistem pengkomputeran myIMMs di pintu masuk utama negara KLIA sehingga memerlukan campur tangan Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan tindakan tegas diambil terhadap pegawai terlibat dalam sabotaj tersebut. Imej tercemar yang sedia dialami oleh Jabatan tersebut menjadi lebih terganggu apabila isu kekurangan bekalan pasport baharu pula berbangkit baru-baru ini sehingga orang ramai terpaksa beratur dari jam 3.00 pagi semata-mata untuk membaharui dan mendapatkan pasport baharu.

Seperti keadaan ketirisan kelemahan sistem MyIMMs, tuding menuding jari juga berlaku dalam isu kekurangan bekalan pasport tersebut antara pihak berkuasa dan pembekal terlibat. Melihat kepada isu-isu yang berlaku selepas pelancaran pelan strategik JIM tersebut, saya berpendapat satu kajian semula ke atas Pelan Srategik JIM 2015-2020 perlu dilakukan bagi mengambil langkah-langkah tambahan yang perlu bagi penambahbaikan jangka pendek dan jangka panjang berkaitan sistem kerja, sistem penyampaian perkhidmatan dan sumber manusia yang ketika ini jelas melihatkan suatu tindakan yang drastik sangat diperlukan di samping membina semula semangat dan moral pegawai imigresen serta keyakinan orang ramai kepadanya. Saya percaya pelantikan Ketua Pengarah JIM yang baru dari perkhidmatan SPRM baru-baru ini akan dapat mempertingkatkan program dan akiviti pengukuhan integriti JIM.

Antara agensi kerajaan yang sering mendapat perhatian utama dalam soal integriti adalah PDRM. Mungkin Datuk boleh hurai tentang hal ini?

YAACOB: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang terbesar serta institusi penguatkuasaan tertua juga telah memperlihatkan iltizam tinggi bagi peningkatan integriti PDRM menuju tahun 2020. Bagi tujuan tersebut PDRM dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) telah membangunkan dan melancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020. Pelan integriti tersebut bertujuan memastikan visi dan misi PDRM yang ingin mencapai perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia direalisasikan dan ditambah baik dalam penumpuan kepada peningkatan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM. Pelan tersebut mempunyai enam elemen nilai teras termasuk Integriti, Bermoral, Keagamaan, Kerohanian dan Profesionalisme.

Bagi menjayakan pelan tersebut, terdapat lima strategi telah dirangka untuk dilaksanakan dari peringkat pegawai atasan hingga ke pegawai bawahan, meliputi Strategi Pertama: Memantapkan pengurusan pentadbiran dan pematuhan standard; Kedua: Meningkat keberkesanan sistem penyampaian; Ketiga: Memantapkan pengurusan sumber manusia; Keempat : Memperkasakan imej PDRM ke arah kepolisian moden; Kelima: Mensejahterakan institusi kekeluargaan.
Berdasarkan kepada strategi ketiga, PDRM telah membangun dan melancarkan kod etika PDRM. Saya melihat pelan tersebut sebagai komprehensif dan holistik. Pun begitu, perlu saya katakan bahawa Pelan Integriti PDRM 2015-2020 tersebut bukan idea dan falsafah yang baru diilhamkan. Pelan tersebut lebih merupakan kesinambungan daripada Pelan Integriti PDRM 2010-2015 yang telah wujud.

EAIC melihat dengan positif dan menyokong penuh inisiatif dan iltizam besar yang diperlihatkan oleh PDRM. Saya sendiri bersama pegawai-pegawai kanan EAIC telah hadir semasa majlis pelancaran Pelan Integriti PDRM 2015-2010 tersebut yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low. Bagaimanapun perkara lebih mencabar selepas itu adalah untuk memastikan setiap warga PDRM menghayati keperluan membudayakan integriti, mengamalkan budaya kerja yang sihat serta mematuhi standard yang ditetapkan.

Ada yang berkata bukan mudah untuk membudayakan integriti berbanding hanya bercakap kosong apatah lagi jika melibatkan agensi penguatkuasaan yang besar?

YAACOB: Saya memetik peringataan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Pengarah Pengurusan PDRM yang mengatakan ketika ini keanggotaan beruniform dalam PDRM adalah sejumlah 100,000 orang. Kesemua mereka tidak kira sama ada daripada ketegori pegawai kanan iaitu berpangkat inspektor ke atas atau pegawai berpangkat rendah daripada sub-inspektor ke bawah telah menjalani latihan sebelum ditugaskan di lapangan masing-masing dalam pelbagai bahagian dan cabang dalam PDRM. Apa yang pasti, jumlah anggota bawahan adalah jauh lebih besar daripada jumlah pegawai atasan. Bagaimanapun saya tidak mempunyai statistik pembahagian jumlah tersebut.

Dan satu fakta lagi bahawa anggota bawahan adalah mereka yang paling kerap berurusan dengan orang ramai berkaitan penguatkuasaan undang-undang, daripada undang-undang berkaitan jalan raya sehingga kepada jenayah lain yang terletak di bawah tugas polis untuk menguatkuasakannya.EAIC mempunyai kebimbangan ke atas tahap pengetahuan yang dimiliki oleh pegawai dan anggota peringkat bawahan PDRM ke atas Standard Tetap Operasi (SOP) dan Perintah-Perintah Tetap Ketua Polis Negara, atau Perintah Tetap Ketua Polis Negeri atau Perintah Tetap Ketua Polis Daerah sama ada benar-benar diketahui untuk dipatuhi dan dihayati oleh warga PDRM. Pada bulan Jun 2016, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, memberikan statistik jumlah tindakan tatatertib yang telah diambil ke atas warga PDRM kerana salah laku atau kesalahan jenayah serta rasuah. Dari tahun 2013 hingga setakat bulan Jun 2016, seramai 607 orang dibuang kerja dan 240 orang yang lain ditahan kerja sehingga selesai kes tatatertib atau pertuduhan jenayah terlibat dengannya. Dalam tahun 2016 sahaja sejumlah 25 orang dibuang kerja. Dari jumlah yang sedang disiasat kerana perlakuan salah laku, seramai 38 orang adalah terdiri daripada pegawai kanan.

Dari tahun 2013 sehingga bulan Mei 2016 seramai 275 warga PDRM telah disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh mahkamah. Dari bulan Julai 2014 hingga Februari 2016, JIPS telah menerima sejumlah 677 laporan daripada lapan agensi berkaitan salah laku warga PDRM dan dari jumlah itu sejumlah 409 adalah daraipada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bukit Aman juga membuka sejumlah 9,227 kertas siasatan ke atas warga PDRM dari tempoh Julai 2014 hingga bulan Mei 2016. Dari jumlah warga PDRM yang disiasat itu, sejumlah 1,968 orang adalah daripada pegawai yang berpangkat Inspektor hingga kepada Pesuruhjaya Polis.Saya memberikan statistik di atas sebagai gambaran fakta masalah ketirisan integriti yang dihadapi oleh PDRM selaku agensi penguatkuasaan terbesar di negara ini.

Ada pegawai kerajaan sendiri takut berkhidmat di tempat-tempat tertentu contohnya di Cameron Highland kerana berhadapan ancaman pihak yang berkepentingan. Apa yang boleh dilakukan?

YAACOB: Isu pembangunan dan penerokaan tanah tinggi di Cameron Highlands sepatutnya isu yang perlu dikendalikan oleh pihak berkuasa negeri Pahang. Segala hal yang berhubung dengan tanah sama ada yang telah diberi milikan atau masih merupakan tanah kerajaan negeri (state land) adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri khususnya Pejabat Tanah Galian Negeri dan Pejabat Tanah Daerah seperti mana kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Dalam hal pembangunan dan pembinaan apa-apa struktur di atas tanah terlibat, ia di bawah bidang kuasa Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran bagi mengawalnya. Maka itu pihak berkuasa negeri melalui Pejabat Tanah dan Majlis Daerah adalah pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan pendudukan dan aktiviti di atas tanah. Sekiranya tanah yang diduduki atau dikerjakan maka ia merupakan tanah kerajaan negeri, maka pendudukan dan aktiviti tersebut adalah merupakan kesalahan pencerobohan ke atas tanah kerajaan yang boleh diambil tindakan pendakwaan.

Walau bagaimanapun lanjutan daripada peristiwa banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands sekitar Disember 2014 yang menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda teruk akibat penerokaan tanah yang berleluasa, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara terpaksa campur tangan bagi menangani masalah yang berlaku termasuk dalam membanteras kebanjiran pendatang asing sama ada yang mempunyai permit atau masuk secara tidak sah daripada meneruskan aktiviti penerokaan dan pertanian di sana.

Perlu saya terangkan juga bahawa di peringkat negeri terdapat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Kerajaan negeri telah memberikan alasan ketiadaan pegawai yang mencukupi bagi menguatkuasakan undang-undang dan kekurangan logistik telah menghalang pihak berkuasa negeri daripada bertindak dengan efektif ditambah lagi kuasa dalam mengawal pendatang asing adalah Jabatan Imigresen (JIM) selaku agensi penguatkuasa Persekutuan.

Keadaan penerokaan menjadi lebih teruk apabila dikatakan terdapat pegawai-pegawai tertentu telah menerima rasuah daripada mengambil apa-apa tindakan ke atas peneroka haram tanah kerajaan atau mereka yang telah secara salah meluaskan kawasan tanah milikan mereka atau mendudukinya secara lesen pendudukan sementara (TOL). Di atas campur tangan MKN, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu yang disertai oleh pelbagai agensi penguatkuasaan telah dijalankan termasuk memusnahkan tanaman dan bangunan di kawasan yang diceroboh, memulihkan tanah kawasan diceroboh dan operasi menangkap pandatang tanpa izin (PATI) atau mereka yang melanggar permit masuk. Baru-baru ini dalam bulan Mei 2016, MKN telah menggerakkan “Ops Gading II” bagi menghentikan kegiatan yang mendatangkan kerosakan ke atas tanah di Cameron Highlands setelah didapati berlaku aktiviti pencerobohan semula oleh pengusaha-pengusaha haram.

Saya yakin dengan usaha berterusan dan konsisten oleh pihak berkuasa Persekutuan bersama pihak berkuasa negeri Pahang dan pengawasan yang lebih efektif oleh SPRM, kegiatan haram di Cameron Highlands akan dapat dibendung daripada terus berleluasa. Pegawai awam yang diberi kuasa oleh undang-undang tidak sewajarnya lari daripada menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka, walau dalam apa keadaan kerana negara yang tunduk kepada penjenayah akan menuju kepada kehancuran.

Dalam isu ketirisan terutama melibatkan agensi penguat kuasa seakan-akan wujud satu sindiket terancang mengawal perjalanan kegiatan ini, malah ada yang sanggup bertindak kejam seperti membunuh dan mengugut keluarga penguat kuasa. Apa yang boleh dilakukan EAIC dalam menjamin keselamatan mereka?

YAACOB: EAIC mempunyai kaedah dan sistemnya sendiri dalam menyimpan maklumat-maklumat yang diterima daripada orang awam dan maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai maklumat sulit yang tidak boleh didedahkan kepada umum kecuali bagi perbicaraan jenayah atau prosiding sivil di mahkamah. Ini diperuntukkan oleh Seksyen 52 Akta 700. Di samping itu EAIC adalah salah satu daripada tujuh badan penyiasatan yang diberi kuasa untuk mengguna pakai Akta Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) bagi melindungi pemberi maklumat daripada pendedahan indentitinya atau bagi mendapatkan perkhidmatan perlindungan kepada saksi yang tampil membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah.

Oleh sebab itu orang ramai sewajarnya mempunyai keyakinan dalam membantu membasmi perlakuan salah laku atau rasuah dengan membuat laporan kepada EAIC atau SPRM. Di dalam EAIC sendiri kita mempunyai beberapa orang pegawai kanan SPRM yang dipinjamkan sepenuh masa bagi membantu kerja-kerja penyiasatan EAIC selain daripada beberapa orang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara yang juga dipinjamkan secara sepenuh masa untuk membantu EAIC dalam penyiasatan kes-kes salah laku dan yang bersifat jenayah.

Saya sendiri adalah bekas Pengarah Bahagian Siasatan dan Perundangan SPRM dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara sebelum lantikan saya awalnya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 yang kemudiannya dinaikkan jawatan kepada Hakim Mahkamah Rayuan pada bulan Mac 2016 dan terus kekal menerajui Suruhanjaya ini.

Dengan pengalaman luas yang saya ada hampir 14 tahun sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan 12 tahun sebagai penasihat undang-undang di pelbagai kementerian dan jabatan serta negeri, ia membantu saya dengan berkesan dalam menjalankan tugas-tugas EAIC.

Utusan Malaysia Online

Friday, September 9, 2016

Jangan wujud sindrom nafi kelemahan perkhidmatan - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA 8 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu wujud sindrom penafian dalam jabatan atau agensi kerajaan terhadap kelemahan operasi dan perkhidmatan kepada rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jabatan dan agensi kerajaan perlu berani serta jujur mengakui kelemahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan sekiranya benar.

Memberi contoh rungutan berhubung perkhidmatan Jabatan Imigresen seperti isu pengeluaran pasport dan pelanggan terpaksa beratur panjang di kaunter, beliau berkata, keadaan itu sememangnya wujud dan perlu diakui dengan jujur.

"Saya juga mahu rakyat faham bahawa masalah tersebut bukan sepenuhnya disebabkan kelemahan jabatan tetapi turut melibatkan faktor luaran seperti pembekal dan vendor yang gagal menyediakan item memenuhi spesifikasi serta masa yang ditetapkan Imigresen," katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustaffar Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, situasi sebenar di sebalik permasalahan perlu dimaklumkan kepada rakyat agar mereka memahami situasi selain menyelesaikan segera masalah yang timbul.

Ahmad Zahid turut membidas 'kacang hantu' dalam jabatan di bawah KDN yang sanggup bertindak membelakangkan integriti sehingga memberi persepsi buruk kepada imej dan perkhidmatan kementerian.

Sebagai kementerian yang menawarkan banyak perkhidmatan kepada orang awam, beliau tidak boleh berkompromi untuk menyimpan atau memiliki individu seperti itu di bawah pentadbirannya.

"Bagi mereka yang merasakan sudah tidak boleh bekerjasama dengan KDN, carilah organisasi lain di luar sana yang dia selesa bekerjasama," katanya. 

Bernama Online