Saturday, January 29, 2011

Sektor awam diminta beri peluang kepada OKU

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta agar golongan kurang upaya diberi peluang yang lebih luas untuk memegang jawatan dalam sektor berkenaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, setakat ini sasaran satu peratus orang kurang upaya (OKU) berkhidmat dalam sektor berkenaan masih belum dicapai.

Menurutnya, golongan tersebut sepatutnya diberi peluang untuk bekerja di dalam sektor awam kerana ada antara mereka merupakan golongan bijak pandai dan lulusan universiti.

"Kami mendapat banyak aduan daripada golongan OKU bahawa mereka banyak kali gagal pada sesi temuduga pekerjaan dalam sektor awam walaupun memenuhi kriteria yang diperlukan.

"Kami yakin mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik sekiranya ditawarkan jawatan dan pekerjaan di dalam sektor awam seperti kerani, pengurus fail dan sebagainya yang tidak membabitkan tugasan fizikal kerana ada antaranya berkelulusan tinggi seperti ijazah dari universiti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan cek saguhati perpindahan kepada penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood; Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengurus Besar Pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Roslan Abu Talib.

Menurut Omar, setakat ini golongan OKU yang bekerja dalam sektor awam berpuas hati dengan kemudahan disediakan.

Katanya, rata-rata golongan tersebut memuji usaha kerajaan menyediakan tempat bekerja yang selesa untuk mereka.

"Tiada masalah dari segi kemudahan OKU di tempat kerja dalam sektor awam, cuma masalahnya kekurangan pekerja daripada golongan itu. Saya berharap perkara ini dapat diberikan perhatian," jelasnya.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan beberapa kesatuan sekerja lain seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia pada 8, 11 dan 12 Februari ini mengenai isu pelaksanaan gaji minimum.

"Sebagaimana yang umum ketahui, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk pengenalan gaji minimum, tetapi kami masih tidak mendapat bayangan bahawa ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

"Jadi, satu perbincangan akan diadakan pada tarikh tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengetahui status terkini pelaksanaan gaji minimum di negara ini," katanya.

Utusan Malaysia Online

Kuarters Cochrane: Penghuni lama diutama

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Seramai 500 keluarga yang sebelum ini menghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini akan diberi keutamaan untuk mendiami kuarters baru di tapak berkenaan yang pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood berkata, mereka terpaksa berpindah bagi memberi ruang pembinaan kuarters baru itu untuk menampung lebih ramai kakitangan awam di sekitar ibu negara.

Katanya, projek pembinaan melibatkan kos RM220 juta itu diuruskan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dijangka siap 30 bulan selepas projek itu dimulakan.

"Kuarters baru itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kenderaan dan juga stesen sistem transit aliran massa (MRT).

"Ia juga lebih besar dan luas sehingga boleh menampung 1,000 keluarga kakitangan awam dari sekitar ibu negara. Kami telah membuat keputusan bahawa sebahagiannya akan dikhaskan kepada penghuni kuarters yang lama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian cek saguhati perpindahan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman; Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengurus Besar Pelaburan LTAT, Roslan Abu Talib.

Menurut Othman, sementara menunggu projek tersebut siap, penghuni kuarters berkenaan akan dipindahkan ke kuarters kerajaan di Putrajaya, Jalan Duta dan Jalan U-Thant.

Bagaimanapun beliau difahamkan, ramai yang tidak mahu berpindah ke Putrajaya kerana faktor jarak ke tempat kerja dan penempatan sekolah anak-anak.

"Jadi, kami sedang dalam perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menyelaras serta membenarkan sebahagian penghuni kuarters tersebut berpindah ke penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota.

"Selain itu, kami juga berbincang dengan Kementerian Pelajaran supaya dapat menyelaras perpindahan anak-anak kakitangan ini ke sekolah yang lebih dekat dengan kediaman baru mereka supaya tidak timbul isu sekolah jauh dari rumah," jelasnya.

Othman berkata, kerajaan turut menyediakan perkhidmatan logistik untuk membantu proses perpindahan penghuni kuarters tersebut yang diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk berbuat demikian.

Utusan Malaysia Online

Thursday, January 27, 2011

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

TAHNIAH kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mensyaratkan borang aduan diedarkan kepada penumpang bas ekspres sejak awal bulan lepas bagi membolehkan tahap pemanduan bas yang dinaiki dinilai.

Sekurang-kurangnya setiap pemandu bas eskpres sedar bahawa setiap penumpang yang dibawanya mempunyai hak untuk membuat aduan mengenai caranya memandu sepanjang perjalanan.

Awang percaya ia akan membantu mengurangkan pelanggaran peraturan lalu lintas oleh pemandu pengangkutan awam, walaupun mungkin ia berlaku kerana ‘tekanan di pihak penumpang’ atau lebih mudah kerana terpaksa.

Awang juga tertarik dengan langkah penyamaran pegawai JPJ menaiki bas eskpres sebagai penumpang bagi sepanjang Ops Sikap ke-23 sempena Tahun Baru Cina iaitu sehingga 10 Februari ini.

Maknanya, pegawai yang menyamar itu akan mengesan setiap kesalahan pemandu kenderaan awam yang terlibat seperti memandu melebihi had laju. Apabila tiba ke destinasi, tindakan sewajarnya boleh diambil terus ke atas pemandu terbabit.

Awang yakin, ia antara kaedah untuk mendisiplinkan para pemandu terutama yang terlibat dengan perkhidmatan pengangkutan awam.

Sudah tentu, kita juga mengharapkan para pemandu kenderaan persendirian juga menjadi semakin baik dalam usaha menjadikan jalan raya kita selamat untuk semua.

Setiap daripada kita sudah pasti tidak inginkan ada ahli keluarga yang disayangi menjadi korban di jalan raya.

Awang – Marilah berubah.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, January 25, 2011

Promosi program hantar ubat melalui pos


KUCHING 24 Jan. - Hospital Umum Sarawak (HUS) akan memperhebatkan promosi program Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP 1Malaysia) yang diperkenalkan sejak Ogos lalu bagi memastikan orang ramai sedar tentang kewujudannya dan memanfaatkan perkhidmatan itu.

Timbalan Pengarah Farmasi HUS, Mardziah Suhaili berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad untuk mempromosikan UMP 1Malaysia termasuk mengadakan pameran di perkarangan hospital serta menghebahkan kewujudan program tersebut melalui media cetak dan elektronik.

Menurutnya, setelah lima bulan diperkenalkan, masih ramai yang tidak tahu mengenai UMP 1Malaysia walaupun program itu mendapat maklum balas positif daripada para pesakit terawal yang menggunakan perkhidmatannya.

"Setakat ini, hanya 38 pesakit HUS mendaftarkan diri untuk menggunakan perkhidmatan ini.

"Oleh itu, kita harap melalui promosi yang diperhebat serta hebahan media, lebih ramai pesakit sedar tentang kewujudannya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran UMP 1Malaysia peringkat HUS di sini hari ini.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Pengarah HUS, Dr. Junaidi Diki.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melancarkan perkhidmatan UMP 1Malaysia serentak di hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Junaidi berkata, sejak beberapa tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh HUS, khususnya Jabatan Farmasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Selain UMP 1Malaysia, katanya, pihak HUS telah memperkenalkan beberapa perkhidmatan yang mempermudahkan urusan pesakit seperti perkhidmatan faks, e-mel, SMS dan telefon (FEST); sistem pendispensan ubat bersepadu (SPUB); Program Pemulangan Ubat serta kempen Go Green.

Program UMP 1Malaysia adalah perkhidmatan pembekalan ubat susulan dari hospital terus ke lokasi pilihan pesakit melalui pos laju dengan caj kiriman serendah RM5 mengikut berat ubat serta lokasi penghantaran.

Ia merupakan salah satu daripada perkhidmatan tambah nilai yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di hospital-hospital dan klinik awam dengan kerjasama Pos Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi kaunter Farmasi Pesakit Luar HUS atau menghubungi talian 082-276057.
Utusan Malaysia Online

Saturday, January 22, 2011

Usaha MPS beri imbuhan disambut baik

SEREMBAN 21 Jan. - Rata-rata masyarakat di bandar ini menyahut baik inisiatif pemberian imbuhan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kepada orang ramai yang membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menurunkan iklan haram di sekitar bandar ini.

Usaha itu bukan sahaja diyakini dapat membantu pihak PBT untuk membanteras gejala berkenaan yang dilihat menjurus kepada perbuatan vandalisme, malah menggalakkan orang ramai untuk turut serta memelihara persekitaran bandar ini.

Apa tidaknya, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu menjadikan kemudahan awam sebagai sasaran untuk menampal iklan haram seperti di papan-papan tanda, dinding bangunan, jejambat, pondok telefon, tiang lampu, pokok serta kotak suis elektrik awam mencacatkan pemandangan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar mendapati, selain iklan peminjam wang haram (ah long), perkhidmatan lain yang turut diiklankan sewenang-wenangnya ialah rumah sewa, membaiki bumbung atau paip, urut, pajak gadai, kelas tuisyen serta lelongan rumah.

Menurut seorang pelajar, Nadia Ashikin Abd. Wahab, 19, pemberian imbuhan itu akan menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama membanteras gejala menampal iklan haram.

''Ia dianggap sebagai perangsang kepada umum untuk bersatu hati menjaga kebersihan bandar ini dari dicemarkan perbuatan vandalisme.

''Langkah tersebut juga diharap dapat memupuk kesedaran orang ramai tentang kebanjiran iklan yang menyakitkan mata kerana sebelum ini mungkin ramai yang tidak menghiraukannya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi Rohayu Shamsudin, 19, imbuhan itu sememangnya baik kerana ia akan membuatkan orang ramai lebih peka dalam usaha menangani perbuatan yang mencemarkan imej bandar ini.

''Orang ramai mungkin berebut-rebut untuk menurunkan iklan haram lebih-lebih lagi jika wang tunai dijadikan imbuhan nanti. Tetapi kalau diikutkan, tanggungjawab menjaga kebersihan ini sebenarnya merupakan tanggungjawab kita bersama," ujarnya.

Seorang lagi pelajar, M. Guuhan, 17, berpendapat, langkah itu dilihat dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan usaha mempromosikan bandar ini kepada pelancong.

''Ini kerana kebanjiran iklan haram hanya akan mendatangkan kesan negatif kepada industri pelancongan negeri ini dan secara tidak langsung menghasilkan persepsi yang tidak baik kepada pelancong asing.

''Jika mereka melaksanakan pemberian insentif, bandar kita mungkin akan jadi lebih bersih dan bebas daripada iklan haram," katanya.

Sementara itu bagi seorang penduduk, Azmi Abd. Aziz, 52, pengumuman itu amat baik tetapi mungkin ada segelintir pihak yang khuatir jika menurunkan iklan berkenaan mereka akan diburu pihak tidak bertanggungjawab.

''Saya menyokong jika ia dilaksanakan tetapi saya juga bimbang tentang keselamatan kami," tambahnya.

Utusan Malaysia Online

Friday, January 21, 2011

Transformasi pembersihan gejala korupsi sektor awam

PROSES transformasi dan penambahbaikan dalam sektor awam sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa bagi menjamin kestabilan, kesejahteraan dan kelancaran proses pentadbiran negara. Ideologi perjuangan dan sistem tadbir urus dan pembanterasan korupsi merupakan matlamat perjuangan yang dominan dalam kepimpinan politik pada hari ini.

Amalan korupsi ini merupakan tarikan utama dalam pentadbiran Tun Hussein Onn bagi memastikan urus tadbir sektor awam berjalan dengan lebih efektif dan berwibawa. Begitu juga dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan pelbagai dasar dalam kerajaan dengan menyempurnakan dasar-dasar pembangunan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, seperti Dasar Ekonomi Baru.

Tun Mahathir tampil memperkenalkan dasar baru seperti Dasar Pembangunan Nasional atau dikenali sebagai Wawasan 2020. Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pula menekankan aspek yang sama dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada awal tahun 2010.

Jika disingkap sedikit sebanyak pentadbiran barisan Perdana Menteri Malaysia yang lepas sangat menitikberatkan 'pembersihan gejala korupsi' dalam sektor awam. Sewaktu Tun Mahathir memulakan tempoh awal pentadbiran, beliau telah melancarkan kempen Kepimpinan Melalui Tauladan pada 19 Mac 1983 yang menggalakkan pekerja sektor awam memotivasikan diri mereka sebagai manusia yang mempunyai keperibadian dan mutu kerja yang sentiasa baik.

Manakala pada tahun 1998, Tun Mahathir telah melancarkan Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia tentang sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang berkhidmat dalam kerajaan. Elemen integriti yang ditekankan oleh beliau sangat berkait rapat dengan etika yang baik. Elemen yang mengukuhkan lagi integriti dalam sektor kerajaan ini adalah sifat amanah dalam pengurusan.

Sekiranya pekerja awam tidak memiliki sifat-sifat ini, mereka lebih cenderung terlibat dalam gejala korupsi dan lebih sinonim dengan perbuatan mengambil rasuah.

Pembaharuan politik sebagaimana yang ditekankanTun Abdullah Ahmad Badawi dilihat dari sudut keterbukaan politik yang diperkenalkan olehnya menerusi pelbagai transformasi yang dilakukan sama ada terhadap badan kehakiman, pasukan polis, keterbukaan dan pengamalan media serta penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengikut corak pendekatan Abdullah yang tersendiri dan sebagainya.

Melalui pendekatan-pendekatan yang digunakan, ia telah merintis ke arah pembaharuan politik yang lebih ideal dan rasional sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dalam menilai keupayaannya memimpin negara, tidak dinafikan bahawa nilai demokrasi yang menjadi praktis dalam sistem politik Malaysia mula menampakkan keberkesanannya.

Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengendalikan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional adalah untuk mempertahankan dan memperkukuh sistem politik yang dilihat begitu signifikan bagi kestabilan, keharmonian dan pembangunan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama di Malaysia.

Bahkan dari satu sudut, Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan turut mensasarkan matlamat untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang timbul dalam jentera pentadbiran negara. Antara kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti melibatkan unsur politik wang, politik cantas mencantas, politik kronisme, politik nepotisme dan sebagainya (Saifuddin 2007: 172).

Secara tidak langsung, pelaksanaan Pelan Integriti Nasional ini dirasakan tepat sebagai wadah bagi menangani sebarang permasalahan yang timbul dengan memupuk pengamalan politik atau aspek-aspek lain dengan lebih berintegriti serta mengembangkan satu budaya politik yang sihat, matang dan beretika mengikut acuan sendiri.

Bahkan, penekanan kepada aspek integriti telah membuka peluang kepada beberapa perkara untuk dilaksanakan dengan lebih telus, demokratik dan terbuka. Antara situasi yang paling ketara adalah langkah pembasmian rasuah besar-besaran sehingga beberapa kes berprofil tinggi telah dibawa ke muka pengadilan, integriti badan kehakiman bagi mengendalikan kes-kes mahkamah tanpa wujudnya kepentingan konflik, integriti Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menganjurkan siri pilihan raya dengan nilai etika dan ketelusan yang tinggi, peningkatan mutu perkhidmatan awam bagi mengurangkan kerenah birokrasi, pengamalan media yang bersifat berkecuali serta lebih liberal dan sebagainya.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia sedikit sebanyak menjadi pengimbang dan penyemak kepada pekerja-pekerja awam dan masyarakat Malaysia daripada terjerumus dalam kancah korupsi ini.

Perkara yang membimbangkan bukanlah angka atau peratusan rasuah yang dilaporkan kepada pihak SPRM, mahupun pihak polis. Pendekatan yang perlu diambil oleh semua pihak ternyata dapat mempengaruhi indeks persepsi rasuah itu.

Antaranya, kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin politik dan tokoh korporat dihebahkan secara meluas, dasar-dasar kerajaan yang telus, kesedaran masyarakat tentang rasuah dan peningkatan kes-kes aduan rasuah banyak menyumbang kepada gejala ini daripada menjadi parasit negara.

Malah kempen-kempen yang dijalankan oleh SPRM perlu diberi kepujian dalam usaha menyedarkan rakyat tentang dosa terjebak dengan rasuah. Sejajar dengan Pelan Transformasi Negara yang diperkenalkan oleh Najib, ia memfokuskan beberapa program, pelan dan strategi untuk menghapuskan budaya korupsi ini dalam sektor awam dan swasta dengan berorientasikan kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Di samping itu juga, matlamat ini dapat membentuk sebuah masyarakat 1Malaysia yang lebih berhemah tinggi, bermaruah, berilmu dan mengamalkan amalan hidup yang lebih berakhlak dan mulia. Tanpa kerjasama semua pihak, gejala korupsi ini akan menular sehingga menjadi makanan rutin yang menjana kepada ekonomi negara kita. Laporkan kes rasuah di tempat anda demi maruah dan masa depan anak bangsa Malaysia!

DR. NOOR SULASTRY YURNI AHMAD ialah Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi,Universiti Malaya.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, January 19, 2011

Usah pertikai pelantikan Abu Bakar Hakim Syarie Kelantan

KOTA BHARU 19 Jan. - Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad mengingatkan pihak tertentu jangan mempertikaikan pelantikan Abu Bakar Abdullah Kutty sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia telah diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Tidak ada pihak yang boleh mempersoalkan keputusan yang dibuat kerana pelantikan itu dibuat berdasarkan syarat-syarat perjawatan dalam SPN dan diperkenankan oleh sultan,” katanya ketika diminta mengulas bantahan Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan Kelantan terhadap pelantikan itu dengan alasan Abu Bakar tidak mempunyai pengalaman sebagai hakim sebelum ini.

Penyelaras persatuan itu, Che Rosmah Mohd. Zain berkata, pihaknya meminta agar calon yang dicadangkan persatuan itu iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah sekarang, Che Hashim Deraman, dilantik bagi mengisi kekosongan itu.

Daud berkata, pengalaman sebagai hakim di mana-mana mahkamah bukan menjadi syarat pelantikan sebagai hakim kerana jawatan Abu Bakar sebelum ini sebagai Ketua Pendakwa dan Ketua Pendaftar setaraf dengan kedudukan seorang Hakim Syarie.

Malah katanya, mana-mana penjawat awam yang dilantik sebagai pegawai syarie di Kelantan layak menjadi hakim mana-mana mahkamah walaupun tidak pernah menjadi hakim.

Bernama Online

Laksanakan projek tahun ini mengikut jadual

KOTA KINABALU 18 Jan. - Anggota perkhidmatan awam Sabah digesa melaksanakan segala projek yang dirancangkan pada tahun ini mengikut jadual, selain meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Muhammad Hatta Ab. Aziz berkata, segala Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan projek-projek yang diputuskan untuk dilaksanakan harus mematuhi jadual dan selaras dengan prosedur serta peruntukan ditetapkan.

Beliau menegaskan, persoalan seperti 'kenapa apa yang sepatutnya berlaku tidak berlaku' perlu dicari punca dan dirungkai segera, supaya pelaksanaan sesuatu projek atau program dijayakan dengan mudah.

Menurutnya, proses yang bermula dengan idea bernas mesti disusuli perancangan cemerlang dan pelaksanaan tanpa cacat cela, sekali gus mampu memastikan mutu perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Selain itu, amalan berbelanja secara berhemah hendaklah diteruskan oleh anggota perkhidmatan awam sebagai sumbangan untuk membantu kerajaan mengurangkan defisit negara," katanya ketika berucap pada perhimpunan awam persekutuan, bilangan pertama 2011 di sini hari ini.

Menurutnya, perbelanjaan yang diurus secara baik dan mendapat pulangan maksimum itu sebaiknya disusuli dengan perkara paling penting iaitu integriti.

Jelas beliau, perkhidmatan yang diberikan seharusnya berintegriti dan telus, meskipun perlu melakukan perubahan-perubahan drastik, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu penjawat awam harus berani melakukan perubahan.

Mengenai peruntukan yang disediakan, Muhammad berkata, jabatan-jabatan yang diberi peruntukan untuk perancangan pusingan dua tahun pertama di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), ia harus dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Selain itu katanya, pemantauan sebaik mungkin terhadap proses pelaksanaannya supaya ia tidak tersasar daripada maklumat atau objektif asal.

"Perlu diingat bahawa kita kini berada dalam era pecut untuk memastikan matlamat Visi 2020 iaitu Malaysia sebagai negara maju tercapai.

"Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (NEM) adalah agenda nasional yang memerlukan komitmen daripada seluruh penjawat awam, tanpa mengira jawatan yang disandang," katanya.

Sementara itu, ujar beliau, pemikiran dan cara bekerja anggota perkhidmatan awam juga perlu berubah supaya segala perancangan dan objektif jabatan dapat direalisasikan.

Jelasnya, segala perubahan dan penambah baik yang telah dilakukan seharusnya dihebahkan kepada masyarakat, supaya perkhidmatan yang terdapat di jabatan kerajaan boleh dimanfaatkan.

"Tidak dinafikan, banyak penambah baik dilakukan oleh perkhidmatan awam, tetapi ia kurang diketahui oleh masyarakat.

''Oleh itu, ketua jabatan dan pegawai perhubungan awam perlu lebih aktif menyebarkan maklumat kepada orang ramai," katanya.

Utusan Malaysia Online

Tingkatkan kepercayaan rakyat

DUA minggu lalu, saya membawa cucu saya yang berumur satu setengah tahun ke KLCC. Asraf namanya. Di sana, cucu saya tunjukkan satu permainan. Saya kata, “Tok tak ada duit”. Dia kemudiannya tunjukkan jarinya ke poket saya, di mana dia tahu wallet saya tersimpan.

Saya keluarkan pula wallet itu, nak buktikan yang saya tidak berduit. Dia tunjukkan pula poket berzip di dalam wallet saya. Saya terpaksa membuka zip itu. Bila dia melihat wang kertas di dalam, tersenyum lebar cucu saya.

Sekarang ini, bukan orang dewasa sahaja tidak lagi puas dengan jawapan semudah Yes atau No, malah kanak-kanak berumur setahun setengah pun sudah mahu penjelasan yang lanjut, membantah jika jawapan yang diterima tidak menepati apa yang diinginkan. Saya terpaksa akur, the days of grandfather knows best are over.

Terdapat dua tujuan utama kerajaan melaksanakan sistem ePerolehan. Tujuan pertamanya adalah praktikal – untuk meningkatkan tahap kecekapan (efficiency) Kementerian Kewangan dalam mengendalikan proses perolehan Kerajaan. Peningkatan ini adalah perlu memandangkan jumlah tender-tender yang di keluarkan setiap tahun adalah besar.

Tujuan utama kedua adalah lebih strategik. Dengan adanya sistem ePerolehan, ketelusan dalam proses pembelian barangan dan perkhidmatan kerajaan diperkukuhkan.

Ini secara langsung menjalin dan menebalkan keyakinan rakyat dalam pengamalan tata etika sektor awam secara keseluruhannya.

Suasana hubungan antara kerajaan dengan yang ditadbir telah berubah, perubahan itu akan terus berubah.

Jika dahulunya kerajaan boleh tidak mengambil endah, kurang mengambil kira suara badan-badan bukan kerajaan (NGOs), sekarang telah terbukti terdapat badan-badan ini yang memiliki pengetahuan dan maklumat yang lebih mendalam dan terperinci dalam hal ehwal bidang kemahiran mereka.

Dahulu, kerajaan boleh menolak sesuatu rayuan ataupun permohonan tanpa memberi apa-apa sebab. Dahulu, kita boleh bertahan di bawah naungan Akta Rahsia Rasmi (OSA), sekarang adalah lebih sukar.

Kita telah pun membentangkan The Whistleblower Act. Saya tidak akan hairan jika pada suatu masa depan terdapat pula Freedom of Information Act.

Trend ini adalah sesuatu yang pastinya akan berlaku, di setiap negara yang penduduknya berpelajaran dan berpengetahuan tinggi. Jika kita berhasrat untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, trend ini adalah satu-satunya fenomena yang kita harus bersedia menghadapinya.

Saya akui juga dengan penyebaran maklumat dan pengetahuan yang meluas pada zaman ini, buruk-baiknya, persepsi adalah realiti. Jika sesuatu disebut dan dibicarakan dengan cukup kerap perkara tersebut ke dalam minda masyarakat, ia akan di anggap sebagai betul dan sahih.

Dengan mempamerkan keputusan pemenang tender-tender dengan sebut-harganya sekali dilaman portal ePerolehan, kita boleh melenyapkan tanggapan dan persepsi bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa dalam proses pemberian tender-tender kerajaan.

Dalam cara kita bekerja, etika tingkah laku kita seharusnya berada di tahap yang tertinggi sekali. Sesungguhnya, tanggungjawab kita bukan terhad kepada mendukung integriti organisasi majikan kita sahaja. Pada hemat saya, lebih penting daripada itu, kita berpegang teguh memelihara integriti diri kita sendiri.

Dalam hal ini, pihak sektor awam perlu meningkatkan kepercayaan orang ramai, rakyat Malaysia secara keseluruhannya, dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan.

Perkhidmatan awam negara adalah “the Goverment’s machinery”. Jentera kerajaan yang seharusnya menyampaikan perkhidmatan dengan telus dan tepat.

Setiap individu yang berurusan dengan mana-mana kementerian dan agensi kerajaan seharusnya mempunyai keyakinan bahawa proses ataupun prosedur yang ditetapkan akan dituruti dengan tatacara yang telah ditentukan – by the book.

Sebagai seorang pelanggan, seseorang yang berurusan dengan kita berhak untuk dilayani dengan adil dan saksama. Dengan cara ini, rakyat akan memperolehi kepercayaan dalam tata cara kita bekerja.

Sejak kebelakangan ini juga kita telah melihat peningkatan dalam kegiatan sosial atau civic activism di kalangan rakyat Malaysia.

Saya masih ingat pada suatu masa di United Kingdom di mana cadangan bagi membina terminal tambahan untuk Lapangan Terbang Heathrow tergendala bertahun-tahun lamanya dek kerana bantahan-bantahan yang dikemukakan oleh badan-badan bukan kerajaan termasuklah persatuan-persatuan penduduk setempat. Buruk-baiknya aktivisme sosial ini, saya fikir, terpulanglah di sebelah mana seseorang itu berpihak.

Namun begitu, secara jangka panjang, kesedaran semangat tanggungjawab sosial ataupun sivik yang diperlukan untuk menjana aktivisme sosial ini adalah suatu perkembangan positif untuk masyarakat kita.

Aktivisme sosial ini boleh merupakan satu mekanisme check and balance dalam hal ehwal pengurusan negara, mahupun sebagai rakan runding kita, terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal tempatan seperti pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam. Kehendak orang ramai untuk ketelusan dan persekitaran terbuka akan meningkat.

Saya mengucapkan syabas kepada Unit ePerolehan di atas langkah-langkah yang telah diambil, mempromosikan ketelusan di Kementerian Kewangan selama sepuluh tahun ini. Adalah jelas Unit ePerolehan ini berada di barisan hadapan dalam memperalatkan teknologi untuk manfaat kerajaan dan rakyat bersama.


ARTIKEL ini dipetik daripada ucapan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sempena Malam Apresiasi 10 tahun ePerolehan, Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Utusan Malaysia Online

Kementerian Kerja Raya perkenal NeTI proses bida tender

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Selepas kejayaan program bekerja dari rumah untuk kakitangannya, Kementerian Kerja Raya terus mengorak langkah dalam penggunaan teknologi maklumat apabila memperkenalkan National e-Tendering Initiatives (NeTI) atau e-Tender untuk proses pembidaan tender.

Menerusi pelaksanaan NeTI, proses penilaian tender dibuat secara dalam talian dan kontraktor tidak perlu lagi datang untuk membeli borang di pejabat kementerian di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, apa yang perlu dilakukan kontraktor ialah mengisi maklumat syarikat menerusi laman sesawang www.tender.gov.my.

Katanya, sebagai permulaan, projek perintis itu hanya membabitkan kontraktor kelas A yang memohon untuk mendapatkan projek membina bangunan yang bernilai RM10 juta ke atas.

Menurutnya lagi, program NeTI yang pertama kali diperkenalkan itu akan memastikan ketelusan dalam proses pemberian tender kerajaan kepada kontraktor kerana ia dibuat tanpa membabitkan pertemuan mana-mana pihak.

''Kita akan laksanakan program perintis ini selama enam bulan sehingga Jun ini sebelum ia dinilai semula kementerian secara terperinci.

''Ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan sekiranya tidak ada masalah, kita akan teruskan program ini terhadap projek-projek infrastruktur dan kontraktor kelas lain," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Puan Sri Zaiton Mhad Ali dan Datuk Nasir Mat Dam serta Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Dalam pada itu Shaziman memberitahu, program NeTI akan mendatangkan kebaikan kepada kontraktor di mana mereka boleh membuat penilaian terhadap kemampuan syarikat masing-masing dari segi sumber kewangan dan tenaga kerja sebelum membuat sesuatu proses bidaan tender.

Manakala bagi kerajaan pula jelasnya, ia merupakan sistem yang telus di samping menjimatkan dari segi proses penyimpanan maklumat.

''Namun, saya ingin memberi amaran kepada syarikat kontraktor jika didapati memalsukan maklumat mengenai syarikat, mereka boleh disingkirkan daripada proses bidaan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Shaziman mahu JKR mengkaji semula Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) sesuatu projek daripada 24 bulan kepada lima atau 10 tahun.

Menurutnya, ini kerana beliau mendapati kebanyakan projek kementerian seperti jalan raya akan mengalami kerosakan selepas tamat tempoh DLP iaitu dua tahun.

''Keadaan ini mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dan sekiranya dikaji ia akan membuatkan kontraktor lebih berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu projek sekali gus dapat meningkatkan kualitinya," katanya.

Beliau juga meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menyegerakan proses penilaian berhubung program bekerja dari rumah yang dilaksanakan kementerian ke atas beberapa kakitangan sokongannya.

Tambah beliau, program itu terbukti telah berjaya meningkatkan produktiviti kakitangan berkenaan sehingga 80 peratus daripada sebelum ini.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, January 12, 2011

Kematangan KDN tempohi cabaran

Tahun 2010 merupakan tahun yang begitu sukar dan amat mencabar bagi kita semua. Ia juga satu tahun yang tidak pernah sunyi dengan perkara baru dan isu besar yang perlu ditangani.

Namun dengan kerjasama yang erat, seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuktikan bahawa kita mampu memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas dengan baik. Misalnya, aspek Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian ini, prestasi yang ditunjukkan cukup memberangsangkan.

Semua pelan transformasi tidak mungkin tercapai jika kita tidak dapat mewujudkan persekitaran politik yang stabil dan keamanan di dalam negara. Tidak mungkin rakyat dapat tidur lena dan tenang bekerja jika keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka diancam. Tidak mungkin pelabur dan masyarakat antarabangsa akan yakin dengan potensi ekonomi negara sekiranya negara sentiasa kacau-bilau akibat kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di dalam negara, apatah lagi jika negara menjadi sarang membiaknya kegiatan keganasan atau lebih buruk lagi dijadikan sasaran serangan kumpulan pengganas.

Tugas kita semakin berat kerana hari ini isu keselamatan sudah menjadi semakin kompleks. Jika dulu ancaman terhadap negara dapat dilihat melalui serangan tentera musuh yang ramai lengkap dengan peralatan perang, tetapi hari ini sejumlah individu yang mempunyai rangkaian dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara, mempunyai kepakaran menggunakan teknologi dan berkeupayaan mempengaruhi persepsi awam melalui penipuan, fitnah, hasutan dan manipulasi, mampu menyebabkan kerosakan, kekacauan dan kerugian besar di dalam negara.

Kita perlu segera melaksanakan transformasi dan perlu berubah. Tidak seperti bidang lain, Keselamatan Nasional adalah bersifat 'zero sum'. Tidak ada senario menang-menang. Jika kita kalah, manusia yang tidak bersalah akan mati atau ditimpa kecelakaan. Justeru, kita tidak boleh kalah. Kita tidak boleh sekali- kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan, kemusnahan menggantikan kemakmuran.

Atas keinsafan ini, sepanjang tahun 2011, saya ingin menggariskan tujuh komitmen utama KDN yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan dalam semangat 1KDN. Komitmen-komitmen ini adalah seperti berikut:

MEMANTAPKAN PELAKSANAAN NKRA MENGURANGKAN JENAYAH

KDN akan memantapkan lagi komitmen untuk mengurangkan kadar jenayah seperti yang disasarkan di dalam NKRA menerusi 55 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah. Pendekatan bersepadu dari segi fungsi setiap jabatan dan agensi dalam KDN akan diteruskan dan dipertingkatkan.

Bagi merealisasikan matlamat ini, pada tahun 2011, PDRM telah merangka strategi membanteras jenayah secara menyeluruh melalui program Pengukuhan Modal Insan, meningkatkan kemahiran setiap warga PDRM dan meningkatkan omnipresence PDRM.

Bermula dengan gelombang pertama, gelombang demi gelombang penempatan anggota polis di jalanan akan diumumkan sepanjang tahun ini bagi memastikan kehadiran seramai mungkin anggota keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, Rela dan JPAM di kawasan hot spots yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Kerjasama strategik dengan pihak Kementerian Pertahanan juga telah dirangka bagi membolehkan lebih ramai anggota keselamatan berada di kawasan hot spots dan untuk melatih lebih ramai anggota polis.

Sebagai contoh dan sesuatu yang belum pernah diumumkan sebelum ini, kita telah mula menempatkan semula seramai 8,140 anggota PGA di sempadan Semenanjung Malaysia ke empat negeri hot spots mengikut giliran. Bagi memantapkan lagi inisiatif ini, dua kem tentera akan digunakan bagi melatih rekrut polis melalui kerjasama strategik ini kita akan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat. Ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah kerana tidak pernah sebelum ini kita melihat PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama begitu rapat dan erat sekali.

Kita menyedari bahawa kebanyakan mangsa jenayah adalah wanita. Atas kesedaran ini, salah satu inisiatif yang akan saya bentangkan pada tahun ini adalah usaha untuk melindungi golongan wanita dari terus menjadi mangsa penjenayah.

KDN akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan NGO-NGO yang berkaitan untuk mencari jalan bagaimana golongan wanita yang menjadi mangsa boleh digalakkan untuk membuat laporan tentang perbuatan jenayah ke atas diri mereka dan mencari langkah pencegahan jenayah yang boleh mengelakkan wanita terus-menerus dijadikan mangsa.

BERI NILAI TAMBAH KPI KEMENTERIAN

Langkah meneruskan dan menambah nilai KPI 2009 ini adalah bagi memastikan rakyat berbilang kaum di Malaysia mendapat akses yang terbaik melalui perkhidmatan yang disediakan oleh KDN. Usaha ini sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam agenda kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Model Ekonomi Baru (MEB).

Pada 2011, kita akan menggerakkan usaha untuk menambah nilai KPI 2009 dengan perancangan untuk menggerakkan agenda-agenda berikut:

i. Menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran,

ii. Meningkatkan fungsi dan ciri-ciri keselamatan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dan imigresen, dan

iii. Membantu mempermudahkan kemasukan ke dalam negara golongan berpendapatan tinggi (high net worth) dan pekerja berpengetahuan tinggi (knowledge workers).

Mengambil kira KPI yang telah digariskan telahpun berjaya dicapai sepenuhnya, maka sudah tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada perkara-perkara yang digariskan dalam Tambah Nilai KPI. Sehubungan itu, bagi tahun ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa usaha dan gerak kerja kita akan ditumpukan untuk melaksanakan tiga agenda Tambah Nilai yang telah dirancang pada tahun 2010. Tahun 2011 adalah masa untuk kita melihat pelaksanaan setiap satu agenda tersebut sekali gus memastikan inisiatif-inisiatif yang digerakkan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan golongan sasar.

MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGURUSAN ISU WARGA ASING

Suatu ketika dahulu, isu warga asing yang kompleks ini dilihat amat sukar untuk ditangani. Bukan sahaja kita berhadapan dengan beberapa masalah seperti isu pemantauan dan penguatkuasaan, penglibatan pelbagai kementerian dan agensi yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai kategori warga asing menyukarkan tindakan yang komprehensif digerakkan secara berkesan. Bagaimanapun kita telah merintis usaha yang signifikan dalam menangani isu pengurusan warga asing di negara ini.

Susulan daripada cadangan KDN, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan Makmal Pengurusan Warga Asing untuk mengenal pasti strategi dan pendekatan terbaik dalam memantapkan pengurusan dan pemantauan warga asing di negara ini. Makmal ini disertai oleh wakil daripada 14 kementerian dan 11 jabatan serta agensi. Selain para pegawai yang akan menjadi ahli tetap, makmal ini akan turut disertai wakil daripada lebih 30 organisasi dan pertubuhan yang berkepentingan dalam isu warga asing.

MENANGANI ANCAMAN JENAYAH MERENTASI SEMPADAN

Globalisasi bukan sahaja mempermudahkan aliran maklumat dan modal merentasi sempadan negara, tetapi apa saja dan di mana saja termasuk buruh, barangan, perkhidmatan, ideologi, seni budaya dan kepakaran. Walaupun mempunyai kebaikan, globalisasi telah membuka ruang dan peluang yang luas untuk kegiatan jenayah sedia ada beroperasi selain menjadi pemangkin kepada kewujudan jenayah baru, termasuk keganasan.

Pada tahun 2010 sahaja, kita telah menahan sejumlah 22 orang yang dikategorikan sebagai pengganas. 13 daripada mereka adalah dari kumpulan Al-Qaeda, lima dari Jemaah Asharut Tauhid dan empat dari Jemaah Islamiah.

Kemajuan dalam teknologi siber juga menjadi ancaman yang nyata kepada keselamatan negara. Penjenayah siber menggodam sistem kerajaan dan bank, mencuri maklumat penting, termasuk identiti individu, maklumat kad kredit dan juga wang dalam akaun. Dalam tahun 2010 sahaja, pihak polis menyiasat sebanyak 3,279 kes jenayah melibatkan kerugian sebanyak RM26.7 juta dan membawa kepada tangkapan seramai 4,276 orang penjenayah siber.

Serangan terhadap kerajaan melalui berita palsu, hasutan, fitnah, dakyah dan manipulasi melalui ruang siber juga mampu menyebabkan kacau-bilau dan gugatan keselamatan di dalam negara. Penggodam juga boleh menguasai sumber-sumber yang boleh mengancam keselamatan negara, selain memperolokkan sistem kita dengan potensi kemusnahan yang tidak terbayangkan.

Semua ini menunjukkan jenayah rentas sempadan adalah ancaman utama global pada masa kini. Lebih buruk lagi, sindiket jenayah yang beroperasi melangkaui sempadan negara sering mempunyai perkaitan dengan aktiviti- aktiviti seperti keganasan, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta jenayah siber. Ancaman-ancaman jenayah melangkaui sempadan ini boleh berlaku dalam pelbagai kaedah, bentuk dan samaran, menyebabkan kerajaan sukar mencegah dan membanteras jenayah-jenayah tersebut.

Perkaitan rapat di antara jenayah-jenayah ini menuntut kerajaan menanganinya secara holistik, sistematik dan terancang. Saya berpandangan masanya sudah tiba untuk menubuhkan sebuah institusi di Langkawi bagi menangani jenayah melangkaui sempadan ini. Institusi yang dicadangkan ini akan menggunakan tapak sedia ada di Langkawi International Shooting Range (LISRAM) dan merupakan platform terbaik bagi menggabungkan kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat bagi merangka dan merencana dasar, operasi, risikan dan kajian serta meruntuhkan sindrom working in isolation di kalangan agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

Enam bidang yang akan menjadi fokus institusi ini adalah Keganasan, Pemerdagangan Manusia, Penyeludupan Dadah, Jenayah Siber, Penggubahan Wang Haram dan Pengurusan Krisis dan Risiko. Melalui pengetahuan dan set kemahiran baru dalam bidang-bidang ini, negara dapat dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan jenayah rentas sempadan sesuai dengan misi yang dicadangkan bagi institusi tersebut iaitu Prepare, Prevent and Response (Bersedia, Cegah dan Bertindak balas).

Institut yang akan ditubuhkan ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan kita memerangi jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan, malah bakal membuka ruang dan peluang yang luas untuk menjalin hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kesudian kerajaan United Kingdom untuk menandatangani MoU dengan Malaysia pada bulan ini, Arab Saudi dan Vitenam pada Mac, Belanda pada Mei 2010, dan Australia yang sentiasa bertemu kita dari semasa ke semasa membuktikan keyakinan mereka terhadap kita.

MEMERANGI PENGEDARAN DAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Dadah merupakan musuh nombor satu negara. Kerajaan sedar usaha membanteras jenayah tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa usaha memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Malaysia adalah sebuah negara yang tidak bertoleransi dengan dadah dan mempunyai peruntukan undang-undang yang ketat untuk memerangi dadah.

Ketegasan Malaysia dibuktikan melalui lima akta yang digubal bagi tujuan mencegah pengedaran dan penagihan dadah, iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.

Walaupun begitu terbukti bahawa mempunyai undang-undang yang ketat semata-mata masih tidak cukup untuk menakutkan pengedar dadah dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah. Sama seperti keganasan dan jenayah, dadah juga tidak mengira warna kulit, agama, darjat, kedudukan dan sebagainya.

Justeru wawasan, hala tuju, strategi, pendekatan dan iltizam baru dalam memerangi ancaman dadah. Pendekatan yang lebih segar diperlukan dalam empat aspek utama usaha memerangi dadah, iaitu dari aspek berikut:

i. Pencegahan

ii. Pemulihan

iii. Penguatkuasaan undang-undang, dan

iv. Kerjasama di peringkat antarabangsa.

Pada 2011, KDN akan meneliti semula pernyataan dasar anti dadah negara yang sedia ada. Pernyataan dasar ini telah dirangka pada 1996 dan kali terakhir ia disemak semula adalah pada 2004. Sudah tiba masanya dasar anti dadah negara dan segala langkah memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah dikaji semula.

Selain mencari jalan untuk meningkatkan keberkesanan program pencegahan dan pemulihan, KDN akan menggiatkan lagi penguatkuasaan terhadap pengedar dadah dan operator makmal dadah. Pada tahun 2010, jumlah tangkapan berkaitan kesalahan dadah adalah seramai 146,942; 137,241 melibatkan penagih dan 9,701 melibatkan pengedar.

Sejumlah 31 buah makmal telah ditumpaskan sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 melibatkan rampasan dadah bernilai RM226.75 juta. Nilai keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan sepanjang 2009 dan 2010 adalah sebanyak RM658 juta.

Pada 2011, KDN akan meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan dan tidak akan bertolak ansur sama sekali dalam perang terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini.

MENINGKATKAN KEBERKESANAN PROGRAM PEMULIHAN

Sekiranya sistem hukuman, penahanan dan pemulihan berkesan, maka peluang bagi seseorang melakukan jenayah berulang berkurangan, seterusnya ini akan mengurangkan kadar jenayah di dalam negara. Visi Jabatan Penjara adalah untuk menjadi sebuah institusi koreksional bertaraf dunia menjelang 2020.

Sasaran Jabatan Penjara adalah untuk memastikan jumlah residivis, atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara, tidak melebihi 17 peratus dari jumlah kemasukan setahun. Alhamdulillah, setakat ini Jabatan Penjara yang masih dapat mengekalkan kadar residivis di bawah paras 17 peratus (16.8 peratus).

Sebagai langkah kepada penyelesaian koreksional yang lebih holistik, beberapa pendekatan baru dan penambahbaikan telah diperkenalkan oleh Jabatan Penjara secara proaktif. Pertama, dengan menambah baik program pengasingan banduan dan mengasingkan mereka mengikut umur, tahap dan jenis kesalahan. Kedua, melalui pengkategorian semula penjara. Pada tahun 2010, sebanyak 11 buah penjara terlibat dalam usaha ini dan pada tahun 2011, ia akan diperluaskan ke 17 penjara yang lain.

Seperti Jabatan Penjara, transformasi program rawatan dan pemulihan juga merupakan agenda utama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kita sedar, selepas 27 tahun trend, metodologi dan teknologi terapi rawatan dan pemulihan penagihan dadah sudah banyak berubah. Melalui AADK, beberapa pendekatan baru yang diperkenalkan pada 2010 dan akan diperkemaskan lagi pada tahun ini.

Pendekatan baru AADK ini adalah dengan menjadikan program rawatan dan pemulihan lebih terbuka. Melalui Klinik Rawat dan Prihatin (Cure & Care) 1Malaysia, AADK telah membuka ruang kepada masyarakat untuk memilih perkhidmatan program rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa perlu melalui proses tangkapan dan perintah mahkamah.

MENGGERAKKAN GELOMBANG KESUKARELAAN

Ketika ini, KDN termasuk semua jabatannya mempunyai sekitar 160,000 orang warga kerja. Dari jumlah itu, PDRM sahaja mempunyai kekuatan sekitar 120,000 orang. Kekuatan anggota Imigresen pula adalah sekitar 11,000 orang. Untuk memastikan semua komitmen tahun baru 2011 terlaksana, kita memerlukan sebanyak mungkin bantuan di dalam dan di luar kementerian.

Jumlah anggota Rela sehingga 31 Oktober 2010 adalah seramai 2.04 juta orang. Jumlah ini adalah peningkatan lebih daripada 350 peratus berbanding 556,000 anggota pada waktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke kementerian ini.

Jumlah anggota terlatih JPAM pula adalah sekitar 178,000 orang berbanding 63,670 orang semasa April 2009. Jumlah ini tidak termasuk sejumlah 73,400 orang kadet pertahanan awam dan 217,400 orang awam yang dilatih dengan ilmu pertahanan awam. Jumlah sukarelawan AADK pula adalah seramai 101,000 orang berbanding hanya 11,768 orang pada April 2009.

Jika dihitung, jumlah keseluruhan sukarelawan yang boleh digerakkan oleh KDN adalah berjumlah 2.6 juta orang. Jumlah ini adalah satu jumlah yang besar dan boleh menyokong dan membantu tugas 160,000 warga kerja KDN. Menyedari akan kelebihan ini, pada tahun 2011, kita akan berusaha untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan yang lebih besar lagi di seluruh negara.

Jumlah yang besar ini sudah pasti boleh digerakkan bukan sahaja untuk memantapkan pelaksanaan NKRA, tetapi juga untuk membantu KDN melaksanakan enam lagi komitmen tahun 2011.

PELAKSANAAN AMAT PENTING

Belajar dari pengalaman Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pelaksanaan dan penyampaian adalah amat penting. Tidak ada toleransi terhadap mereka yang tidak efektif dan efisien, tiada integriti, menyalah guna kuasa dan rasuah dalam melaksanakan RMK-10. Saya akan meminta penjawat jawatan dan bahagian yang berisiko dipantau, bukan sahaja melalui KPI yang ditetapkan, tetapi juga melalui bantuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tahun 2010 sedikit tercalar dengan beberapa insiden berkaitan integriti. Walaupun pepatah menyatakan bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk, tetapi nila yang setitik boleh mencemarkan susu sebelanga.

Jangan kerana perbuatan segelintir habis semua terpalit lumpurnya. Menyedari hakikat ini, usaha meningkatkan integriti warga KDN dan kesemua jabatan merupakan salah satu agenda penting dalam tahun 2011. Bagi memulakan tahun baru 2011 ini, KDN akan melancarkan slogan anti rasuah iaitu "Khidmat Tanpa Rasuah". Sama-samalah kita berusaha meningkatkan integriti dan menggandakan produktiviti; mencari keberkatan, memberi khidmat tanpa rasuah.

KDN merupakan benteng terakhir untuk memastikan survival kita. Kuasa yang ada mungkin menyebabkan ada kalanya kita rasa kesunyian dan bersendirian untuk membuat keputusan yang sukar, namun mahu tidak mahu seseorang mesti melakukannya. Buatlah keputusan itu dengan berani, hati yang bersih, jujur, ikhlas dan sebagai satu pasukan; sebagai satu keluarga.

Ingatlah! rakyat perlu merasa setiap perubahan yang kita bawa. Rakyat perlu nampak kesungguhan kita di dalam melaksanakan apa yang mereka perlukan tepat mengikut masa, tidak menyalah guna kuasa, tidak rasuah dan mengelakkan pembaziran. Lakukannya bukan untuk saya, tetapi untuk rakyat, untuk anak- anak kita dan untuk negara kita. Lakukannya demi menjaga maruah agama dan kepercayaan kita. Lakukannya demi maruah anak-anak, ibu bapa dan keluarga kita.

Rencana ini adalah sedutan ucapan Perutusan Tahun Baru 2011, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Putrajaya pada 7 Januari 2011.

Utusan Malaysia Online




Tuesday, January 11, 2011

MPSJ sasar taraf 5 bintang

SUBANG JAYA 10 Jan. - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mahu menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf lima bintang pada tahun ini menerusi peningkatan kualiti dan produktiviti perkhidmatan mereka.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, untuk mencapai sasaran itu, pihaknya perlu mencapai tahap minimum iaitu 90 peratus dalam Sistem Rating Bintang PBT yang dinilai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, pada masa kini, MPSJ berada pada tahap empat bintang dengan markah 84.4 peratus iaitu 0.1 peratus di belakang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan 84.5 peratus.

Beliau menambah, sehingga kini, masih belum ada lagi mana PBT yang menerima penarafan lima bintang dan beliau berharap MPSJ dapat mencapai tahap itu pada tahun ini.

"Ini bukan atas dasar bersaing tetapi untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.



"Usaha yang kami lakukan untuk mencapai taraf lima bintang ini ialah dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti seperti layanan kepada pelanggan.

"Selain itu, kelemahan aspek dalaman juga akan diperbaiki kerana selain markah daripada tahap perhubungan dengan orang awam, kualiti perkhidmatan juga penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan MPSJ di Kompleks Sukan MPSJ di sini, hari ini.

Sementara itu, Adnan berkata, MPSJ telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini bagi membentuk hubungan strategik antara kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, MPSJ dan UPM akan mengadakan program perkongsian bestari yang melibatkan sembilan bidang utama iaitu khidmat komuniti, alam sekitar, kejuruteraan, bandar raya hijau, sumber maklumat, bandar selamat, pembangunan modal insan, perkhidmatan perbandaran dan pengindahan persekitaran.

"Perkara yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan pada masa terdekat adalah latihan industri pelajar UPM ke MPSJ, program pembangunan biotenaga, perancangan pembangunan taman rekreasi di tasik bekas lombong, program penilaian pokok bandar dan sambutan Hari Hutan Sedunia.

"MPSJ berharap agar usaha ini akan menghasilkan impak yang positif dan memberi manfaat kepada semua pihak serta memastikan visi dan misi kami untuk mengekalkan kawasan ini sebagai sebuah perbandaran bestari, kota niaga dan kediaman idaman akan tercapai," jelasnya

Tambahnya, kerjasama perkongsian bestari antara MPSJ dengan agensi kerajaan serta bukan kerajaan kerajaan sudah lama dijalankan, bahkan MPSJ sudah beberapa kali menjalinkan usahasama dengan UPM.

Utusan Malaysia Online

Monday, January 10, 2011

2,000 ditamatkan bukan PRA

Oleh HAMDAN TAWADI
pengarang@utusan.com.my


BATU PAHAT 9 Jan. - Dakwaan bahawa Kementerian Pelajaran yang menamatkan kontrak kira-kira 2,000 pekerja rendah awam (PRA) di bawahnya adalah sesuatu yang kurang tepat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjelaskan para pekerja tersebut sebenarnya bertugas di dalam perkhidmatan yang telah diswastakan oleh kementeriannya seperti pengawal keselamatan, penyediaan makanan dan pembersihan.

"Apa yang berlaku adalah syarikat yang mendapat kontrak penswastaan itu tidak dilanjutkan tempoh kontrak atas sebab-sebab tertentu termasuk gagal menepati kualiti dan piawaian ditetapkan.

"Apabila kontrak syarikat ini tamat dan tidak dilanjutkan, secara tidak langsung, pekerja-pekerja juga kehilangan kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Pada program itu, Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat dan Ketua UMNO Bahagian menyampaikan sumbangan makanan kepada 125 penduduk kurang berkemampuan di kawasannya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 34 murid sekolah rendah dan sembilan pelajar sekolah menengah.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Ayub Jamil bersama Naib Ketua UMNO Bahagian, Ja'affar Hashim dan Pegawai Daerah, Norizan Kulob.

Mohd. Puad bagaimanapun berkata, bagi menangani masalah pekerja-pekerja itu, pihaknya meminta mereka memohon kekosongan jawatan dalam kementeriannya berdasarkan kelayakan.

"Kita akan beri keutamaan kepada pekerja-pekerja ini dengan syarat memenuhi kelayakan ditetapkan. Permohonan juga boleh dibuat menerusi online," katanya.

Beliau turut menyarankan agar pekerja-pekerja tersebut memohon pekerjaan dengan syarikat baru yang menggantikan syarikat lama ekoran tidak dilanjutkan tempoh kontrak.

"Saya juga menyarankan agar syarikat yang mendapat kontrak ini memberi keutamaan kepada pekerja-pekerja ini kerana mereka mempunyai pengalaman," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membantu kira-kira 10,000 bekas pekerja kontrak yang tidak dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka dalam sektor awam sejak hujung tahun lalu.

Dianggarkan kira-kira 2,000 PRA di bawah Kementerian Pelajaran ditamatkan kontrak bermula 31 Disember lalu sementara ramai lagi menerima nasib sama di peringkat agensi atau pejabat negeri-negeri.

Utusan Malaysia Online

Sunday, January 9, 2011

CUEPACS bantu pekerja kontrak

Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membantu kira-kira 10,000 bekas pekerja kontrak yang tidak dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka dalam sektor awam sejak hujung tahun lalu.

Presiden CUEPACS, Omar Osman (gambar) berkata, pihaknya akan cuba berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran secepat mungkin bagi membantu kira-kira 2,000 bekas pekerja rendah awam (PRA) yang tidak disambung perkhidmatan mereka.

“Kita akan mulakan dengan Kementerian Pelajaran kerana ia melibatkan sejumlah besar kakitangan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“CUEPACS juga akan berjumpa dengan beberapa agensi kerajaan dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang terlibat dengan penamatan kontrak pekerja dianggarkan berjumlah lebih 10,000 orang di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan isu semasa kakitangan awam di sini, hari ini.

Antara yang ditamatkan kontrak termasuk 77 bekas PRA di Kangar, Perlis yang menceritakan nasib mereka selepas ditamatkan kontrak kepada Utusan Malaysia pada hari tahun baru lalu.

Dianggarkan kira-kira 2,000 PRA di bawah Kementerian Pelajaran ditamatkan kontrak bermula 31 Disember lalu sementara ramai lagi menerima nasib sama di peringkat agensi atau pejabat negeri-negeri seluruh Malaysia.

Omar bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak dapat memastikan jumlah sebenar pekerja yang tidak dilanjutkan tempoh kontrak mereka daripada keseluruhan 50,000 kakitangan kontrak perkhidmatan awam di seluruh negara.

“Kita masih menyiasat jumlah sebenar yang terlibat dan masih mendapat maklum balas dari negeri-negeri. CUEPACS akan cuba membantu bermula dengan agensi yang paling banyak menamatkan kontrak pekerja.

“Ada kakitangan kontrak yang diambil sebagai pekerja sambilan yang bekerja mengikut hari tertentu tetapi kita akan cuba membantu terutamanya mereka yang sudah berusia dan sukar mendapat pekerjaan lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan pertama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Rabu ini mengenai sistem baru yang akan menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai Julai 2011.

“Kita tidak mahu sistem PTK diserap ke dalam sistem baru ini kerana mahu prestasi kerja, senioriti dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) menjadi penentu kenaikan pangkat dan gaji kakitangan awam.

“Perbincangan dengan JPA ini diharap dapat memfokuskan sistem baru kepada tugas kakitangan berkenaan. Kita akan melihat sistem baru ini secara menyeluruh bersama JPA sebelum sistem PTK dimansuhkan sepenuhnya Jun ini,” katanya.

Selain itu, Omar menyatakan CUEPACS juga akan membincangkan usaha menaik taraf gred skim perkhidmatan dengan JPA bagi menyelaraskan semua gred sedia ada mengikut kelayakan, kemampuan dan tugas hakiki setiap kakitangan awam.

Utusan Malaysia Online

'Bukan saya sengaja diam diri'

SHAH ALAM 8 Jan. - Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak terlibat mengaturkan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai penggantinya.

Malah beliau menolak dakwaan kerajaan negeri bahawa pihaknya sengaja mendiamkan diri dan tidak memaklumkan keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pelantikan SUK baru itu.

''Semalam saya sudah cakap bahawa saya tidak berhak untuk mengumumkan tentang keputusan pelantikan Mohammed Khusrin.

''Bayangkan kalau saya mengumumkan perkara itu dalam mesyuarat Exco dan kemudian timbul keadaan seperti sekarang, maka ramai akan 'menjerit' dan saya akan dipersalahkan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan bahawa bekas SUK dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memaklumkan kepadanya mengenai pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK yang baru.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dipetik sebagai berkata, sebaliknya KSN telah menyerahkan senarai nama calon SUK kepada Sultan Selangor melalui Ramli tanpa memaklumkannya kepada Abdul Khalid.

Katanya, Menteri Besar menegaskan bahawa beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke istana sebelum 17 Disember 2010 dan cara ini ternyata tidak menepati prosedur serta membelakangkan Menteri Besar selain mengetepikan amalan telus dan profesional.

Dalam satu kronologi versi kerajaan negeri, Ramli didakwa tidak memaklumkan kepada Menteri Besar tentang pelantikan Mohammed Khusrin dalam mesyuarat Ecxo dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) antara 8 Disember sehingga 16 Disember lalu.

Semalam, Ramli dalam kenyataannya berkata, beliau hanya menyenaraikan lapan nama yang layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan SUK berdasarkan kekananan individu dan mempersembahkan nama-nama tersebut kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Ramli berkata, hanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Menteri Besar mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pengumuman dan bukannya beliau.

''Kalau dengan JPA saya mungkin boleh dikenakan tindakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekiranya membuat pengumuman tentang pelantikan itu, berbeza dengan Menteri Besar beliau mempunyai kekebalan.

''Saya menganggap Menteri Besar sudah mengetahui tentang keputusan Sultan Selangor memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin memandangkan Abdul Khalid setiap minggu menghadap baginda.

''Kerana sebelum itu, beberapa kali saya bertanya kepada Exco Datuk Dr. Hassan Ali tentang senarai nama itu tetapi katanya pemilihan itu belum selesai," katanya.

Beliau berharap perkara tersebut tidak dipanjangkan malah bersedia bersemuka dengan Abdul Khalid dalam mesyuarat Ahli Dewan Diraja Selangor bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Utusan Malaysia Online

Saturday, January 8, 2011

Warga perkhidmatan awam negeri dipuji tunjuk prestasi cemerlang


SEREMBAN 7 Jan. - Daripada ketua jabatan hingga pemandu, semuanya telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, sekali gus membuktikan bekerja dalam satu pasukan telah melonjakkan kecemerlangan perkhidmatan awam di negeri ini.

Pujian itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam perhimpunan awal tahun 2011 warga perkhidmatan awam di pekarangan Wisma Negeri di sini, hari ini.

Katanya, buku Sasaran Kerja Tahunan Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri pada tahun lalu telah mencapai purata 91.26 peratus dari sasaran yang ditetapkan.

''Peratusan ini mewakili pelaksana kerja oleh 29 jabatan dan agensi utama kerajaan negeri termasuk pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, sasaran kerja tahunan itu merangkumi 97 aktiviti meliputi tujuh sektor utama iaitu perindustrian, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perumahan serta kemiskinan.

''Dengan peratus pencapaian keseluruhan ini, 78 peratus telah mencapai pelaksanaan sebanyak 100 peratus manakala 13 peratus lagi telah mencapai di atas 85 peratus," ujarnya.

Katanya, pencapaian cemerlang itu perlu diteruskan dan dipertingkatkan agar limpahan juga dapat dirasai rakyat pada tahun ini.

Pada ucapan itu, Mohamad juga memuji kejayaan beberapa agensi yang memperoleh penarafan bintang agensi kerajaan selain pencapaian dalam bidang akademik, pengurangan kadar jenayah, kelas agama petang selain dasar jaringan keselamatan sosial.

Mohamad juga memberitahu, pada tahun ini adalah diharap pusat Komuniti Jalur Lebar dapat diperluaskan selain projek kerajaan 1NS City dimantapkan serta Hot Zone dikembangkan ke kawasan utama awam.

''Pada tahun lalu, kadar penembusan Internet di negeri ini ialah 65.9 peratus berbanding sasaran nasional iaitu 50 peratus. Manakala kadar liputan telefon selular pula telah mencapai 98.26 peratus," ujarnya.

Dalam keghairahan penjawat awam melaksanakan dasar, Mohamad mahu mereka tidak mengulangi kesilapan sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini.

Pada perhimpunan itu, Mohamad turut memperkenalkan Ketua Hakim Syarie, Mohd. Shukor Sabudin menggantikan Datuk Hussin Harun yang bertukar ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Utrusan Malaysia Online

Ramli sangkal tuduhan Khalid

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
ainuddin.salehuden@utusan.com.my


SHAH ALAM 7 Jan. – Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Ramli Mahmud menafikan dakwaan kononnya beliau bertanggungjawab dalam memastikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi dilantik sebagai penggantinya.

Katanya, beliau hanya menyenaraikan lapan nama yang layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan itu dan ia dibuat berdasarkan faktor kekananan individu tersebut.

Tambahnya, beliau telah mempersembahkan senarai nama itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta memberinya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, beliau telah meminta Abdul Khalid supaya berbincang dengan sultan mengenai senarai nama tersebut.

“Satu salinan senarai nama calon turut diberi kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) supaya ia dapat memastikan SUK Selangor dilantik di kalangan rakyat negeri ini dan mempunyai pengalaman kerja di Selangor. Senarai itu diserahkan lebih tiga bulan sebelum saya bersara.

“Daripada senarai itu, JPA telah menyenarai pendek tiga nama yang dipilih berdasarkan integriti, kredibiliti dan pengalaman lalu dipersembahkan kepada sultan. Datuk Khusrin berada dalam senarai teratas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menuduhnya sebagai dalang dalam isu pelantikan SUK baru itu.

Menurut Ramli, beliau juga telah beberapa kali bertanya kepada Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hassan Ali tentang senarai nama itu tetapi pemilihan tersebut dikatakan masih belum selesai.

“Ini menyebabkan saya beranggapan perkara ini telah dibincangkan oleh beliau (Menteri Besar) dengan sultan dan tiada sebarang masalah timbul,” jelasnya.

Beliau menganggap isu itu timbul kerana kurangnya komunikasi di antara pihaknya dengan Menteri Besar.

“Saya berpendapat keadaan disebabkan kegagalan berkomunikasi di pihak saya dengan Menteri Besar menyebabkan timbul banyak salah tanggapan,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Friday, January 7, 2011

Hormat lantikan Khusrin - Alumni PTD

KUALA LUMPUR, 7 Jan. - Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) meminta pentadbiran negeri Selangor menghormati keputusan Lembaga Kenaikan Pangkat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi pelantikan Datuk Mohd. Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru.

Presidennya, Tan Sri Salehuddin Mohamed berkata, kerajaan Selangor juga perlu memberi peluang kepada Mohd. Khusrin berkhidmat dengan jujur dan cemerlang sebagai SUK menggantikan Datuk Ramli Mahmud.

"Kami yakin beliau akan berbuat demikian kerana adalah menjadi tradisi dan budaya yang diamalkan dan dimegahkan di kalangan pegawai PTD untuk berkhidmat dengan setia di bawah kerajaan yang memerintah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Alumni PTD, yang mengikuti dengan teliti perkembangan pelantikan Mohd. Khusrin yang dipertikaikan dan ditolak kerajaan dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berasa dukacita dan berasa bimbang terhadap impak negatif yang akan berbangkit.

Salehuddin berkata, impak berkenaan membabitkan integriti dan moral Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik khasnya dan perkhidmatan awam amnya.

Bernama Online

NUTP cadang sistem penilaian baru untuk tujuan naik gaji

KUALA LUMPUR, 7 Jan. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar sistem baru untuk menilai prestasi kerja penjawat awam kelak hanya melibatkan soal pergerakan gaji kakitangan dan bukannya untuk tujuan kenaikan pangkat.

Presidennya Hashim Adnan berkata, urusan kenaikan pangkat perlu diserahkan sepenuhnya kepada ketua jabatan yang membuat penilaian berdasarkan prestasi dan pengalaman.

Menurut beliau, cara begitu akan memberi peluang kepada guru terutamanya untuk naik pangkat setelah lama berkhidmat tanpa perlu memikirkan soal perlu lulus sebarang peperiksaan awam seperti sebelum ini.

"Ada guru yang sudah lama berkhidmat tetapi masih gagal dalam peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebelum ini dan gagal menerima kenaikan pangkat selama bertahun-tahun,” katanya di sini hari ini.

Bernama Online

MPAG antara 10 PBT perintis laksana sistem OSC


MELAKA 6 Jan. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menjadi majlis perbandaran pertama di negeri ini melaksanakan Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) yang dilancarkan serentak bersama sembilan majlis perbandaran lain oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung kelmarin.

Sistem OSC diwujudkan bagi memudahkan permohonan pembangunan tanah, kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan kejuruteraan oleh orang awam & syarikat.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, MPAG dipilih antara 10 PBT perentis bagi melaksanakan sistem tersebut sebelum ia diperluaskan kepada PBT lain.

Menurutnya, penggunaan sistem OSC online dilihat mampu memantapkan keberkesanan pemantauan dan ketelusan sistem perancangan di peringkat PBT.

"Sistem ini ternyata berkesan kerana pelbagai hal berkaitan urusan perniagaan dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran OSC online di 10 PBT oleh Chee Heung secara sidang video dari Putrajaya kelmarin yang turut dihadiri Yang Dipertua MPAG, Kamarudin Md. Shah.

OSC online beroperasi 24 jam dan merupakan platform terdiri daripada lapan sub modul iaitu meliputi e-permohonan, e-perkhidmatan, e-rujukan, e-panduan, e-pertanyaan, e-bayaran, e-aduan dan e-kad laporan.

Menurut Latiff, orang ramai yang berminat untuk mengetahui latar belakang dan operasi OSC, boleh mendapatkannya dengan melayari laman web www.kpkt.gov.my.

Melalui perlaksanaan usaha itu, kata beliau, mampu membantu usaha kerajaan negeri menarik lebih ramai tumpuan pelabur luar menanam modal di negeri ini pada masa depan berdasarkan keupayaan kualiti pentadbiran PBT.

"Ini kerana, urusan berkaitan kelulusan permohonan lesen atau bangunan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu orang awam menunggu lama dan ia pasti menggembirakan golongan ini," ujarnya.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif awal menubuhkan Bahagian OSC sejak lima tahun lalu dengan pengendalian pegawai Jabatan Teknikal Dalaman MPAG.

Katanya, unit itu berperanan menyelaras, mengawal dan memantau proses permohonan meliputi pelan bangunan, pelan kerja tanah, pelan jalan dan parit, pelan lampu awam dan sijil kelayakan pendudukan oleh pemaju atau perunding.

"MPAG mengambil inisiatif mewujudkan unit OSC lebih awal iaitu setahun daripada arahan kementerian yang mahu PBT melaksanakan unit ini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam," katanya.
Utusan Malaysia Online

Thursday, January 6, 2011

Berita@INTURA Disember 2010

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar










MPKK lulus pelan permohonan pemajuan melalui OSC Online

IPOH 5 Jan. - Semua permohonan pelan pemajuan yang dibuat melalui Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) berjaya diselesaikan melalui kemudahan portal Sistem Pusat Setempat Dalam Talian (OSC Online).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, jumlah itu memperlihatkan kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu dalam memberikan perkhidmatan berkualiti dan efisien kepada orang ramai.

Katanya, melalui OSC Online itu, ia akan menjadi satu saluran yang membolehkan PBT menerima maklum balas secara tepat dan cepat selain boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Tahun lalu, sebanyak 96.1 peratus daripada 22,859 permohonan pelan-pelan pemajuan di negeri ini berjaya diselesaikan melalui OSC Online dan melalui MPKK pula kita mencatatkan 100 peratus kelulusan permohonan.

"Jadi kita mengharapkan prestasi ini akan berterusan dan menjadi contoh kepada PBT lain dalam melaksanakan kemudahan seumpama itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran OSC Online secara serentak kepada 10 PBT melalui persidangan video yang dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Cheung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini semalam.

Sepuluh PBT terlibat adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Kuantan, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Nilai.

Hang Soon berkata, OSC Online adalah satu usaha kementerian untuk memberikan perkhidmatan yang telus sekali gus mempertingkatkan penyampaian kepada pelanggan dengan cara yang lebih berkesan.

Menurutnya, melalui kemudahan itu, ia dapat memodenkan proses mengemukakan pelan menjadi lebih cepat dan rekod-rekod pembangunan dapat disimpan secara lebih teratur.

"OSC Online diharap dapat menarik ramai pelabur termasuk pelabur dari luar negara dan menyakinkan mereka bahawa urusan melalui perkhidmatan ini tidak akan mengambil masa yang lama," katanya.

Beliau menyasarkan lebih banyak PBT di negeri ini untuk menubuhkan OSC Online sendiri dan Majlis Perbandaran Manjung menjadi PBT selepas MPKK yang mempunyai kemudahan itu.

Utusan Malaysia Online

RMK10: Tumpu pembangunan luar bandar

SEREMBAN 5 Jan. - Jangka masa dua tahun pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan dimanfaatkan bagi melaksanakan projek pembangunan luar bandar demi mengurangkan permasalahan yang selama ini membelenggu kehidupan penduduk di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangunan itu termasuk penyediaan pengangkutan awam yang baik, kemudahan asas serta meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar.

''Dua tahun pertama dalam RMK-10 ini penting bagi mendahulukan projek yang tidak bermasalah di kawasan luar bandar dan ia perlu diselesaikan dalam tempoh berkenaan supaya realiti kehidupan mereka dapat disejahterakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Mohamad menegaskan, jika projek yang diputuskan itu dapat disegerakan, maka rakyat bakal mendapat manfaat sekali gus merasai kesan daripada pembangunan yang sedang dilakukan ini.

''Bagi negeri ini, saya melihat tahun ini satu titik penting, bukan sahaja menguruskan strategi, tetapi diterjemahkan dengan gerak kerja yang lancar tanpa sebarang gangguan.

''Projek naik taraf jalan, memperbaiki jambatan, kemudahan asas dan apa sahaja yang boleh mendatangkan kebaikan kepada penduduk luar bandar, hendaklah dilaksanakan supaya tempiasnya dapat dirasakan secara bersama," kata Mohamad.

Selama ini, tambah beliau, banyak pembangunan dibuat di kawasan bandar dan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan RMK-10, negara kini memberikan tumpuan utama mensejahterakan rakyat di luar bandar.

''Dalam dua tahun pertama ini juga, saya dapati peruntukan yang amat besar disalurkan kepada Jabatan Pertanian negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, diharap ia dapat memberikan impak kepada penduduk luar bandar meningkatkan ekonomi mereka.

''Penambahan projek di luar bandar ini perlu dibuat, begitu juga membekalkan haiwan ternakan seperti lembu tenusu kepada penternak desa. Semua ini juga termasuk dalam pembangunan RMK-10," katanya.

Mohamad memberitahu, bermula tahun ini juga, penyelenggaraan jalan di luar bandar tidak lagi diuruskan oleh Pegawai Daerah melalui Pejabat Tanah Daerah, sebaliknya ia diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR).

''Selepas ini tiada lagi istilah 'Jalan DO' kerana Pejabat Tanah Daerah tidak mempunyai peruntukan yang banyak untuk menyelenggara jalan di luar bandar.

Utusan Malaysia Online

MB jelas punca tolak Khusrin

SHAH ALAM 5 Jan. – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan kerajaan negeri mempertikaikan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bukan kerana beliau tidak layak menduduki jawatan tersebut.

Sebaliknya kata beliau, proses pelantikan itu tidak mengikut amalan konvensional iaitu Menteri Besar diberikan ruang mengemukakan senarai pendek calon bagi jawatan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebelum pelantikan dibuat.

“Pada asalnya kami memang menyenaraikan nama Mohammed Khusrin dalam senarai lapan calon yang akan dipanggil untuk ditemuduga tetapi dia tidak terpilih dalam senarai tiga calon teratas untuk dicadangkan menduduki jawatan SUK.

“Sebaliknya, ada pihak lain terlebih dahulu menyerahkan nama kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah), saya tidak mahu sebut siapa pihak itu, masalahnya Menteri Besar dibelakangkan dalam proses pemilihan, ini kes main belakang MB,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat Exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid terus berdolak-dalik mengenai kehadirannya ke upacara angkat sumpah taat setia di hadapan Sultan Selangor melibatkan pelantikan SUK esok apabila tidak mengatakan ya atau tidak.

Sebaliknya beliau berkata, “Anda tunggu dan lihat,”

Abdul Khalid turut menyatakan, kerajaan negeri memutuskan tidak akan mengadakan majlis mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar bagi Mohammed Khusrin sebagai SUK sehinggalah pindaan perlembagaan negeri berhubung perkara itu selesai dibuat.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Exco hari ini yang mahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Katanya, ia adalah untuk mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam pelantikan SUK termasuklah Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri sebagai mana sebelum pindaan dibuat terhadap undang-undang itu pada 1993.

Katanya, notis memanggil sidang itu telah dihantar kepada Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim hari ini dan ia dijangka diadakan dalam bulan ini.

‘‘Exco tidak menjemput Mohammed Khusrin untuk mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar sehingga selesai sidang DUN yang dipersetujui diadakan dalam bulan ini,’’ jelasnya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga melantik pengamal undang-undang, Datuk Param Cumaraswamy dan pakar Perlembagaan Persekutuan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari untuk membantu membuat draf cadangan pindaan undang-undang itu.

‘‘Selepas itu sudah tentu kita akan membawa draf pindaan tersebut kepada Sultan Selangor untuk perkenan baginda sebelum dibentangkan dalam sidang DUN,” katanya.

Kelmarin, Abdul Khalid menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan sidang tergempar DUN bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang dijangka dibuat sebelum penghujung bulan ini.

Ia dilihat sebagai satu usaha untuk menyingkirkan Mohammed Khusrin yang telah diumumkan sebagai SUK baru oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, 27 Disember lalu.

Utusan Malaysia Online

Penjelasan sultan dipertikai

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 5 Jan. – Kemelut pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) terus merumitkan apabila Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mempertikaikan penjelasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani semalam.

Abdul Khalid menganggap, kenyataan akhbar tersebut adalah penafsiran peribadi Mohamad Munir dan ia tidak mewakili baginda termasuk penjelasan kenyataan Menteri Besar itu bahawa Sultan Selangor tidak mempunyai kuasa menerima dan menolak calon Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Beliau berkata, Sultan Selangor memahami cadangan kerajaan negeri mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Perlembagaan Negeri untuk memperjelaskan lagi kuasa sultan dan Menteri Besar berhubung pelantikan SUK, Pengawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.

‘‘Dalam pertemuan dengan Sultan Selangor, ada dibincangkan mengenai situasi sebelum pindaan Perlembagaan Negeri pada 1993 berkaitan dengan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar membabitkan pemilihan tiga jawatan tersebut.

‘‘Tidak ada pertikaian, kita (beliau dan Sultan Selangor) bincang mengenai sebelum 1993, sebelum pindaan melibatkan kuasa pelantikan SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar.

‘‘Mengikut logik, sebelum pindaan Perlembagaan Negeri tahun 1993, sultan dan Menteri Besar ada hak dalam pemilihan tiga pegawai kanan kerajaan negeri berkenaan. Saya harap Datuk Munir jangan tidak setuju dengan saya, kalau dia tak setuju banyak orang kena balik (belajar) di sekolah undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Semalam, dalam kenyataan akhbarnya, Mohamad Munir berkata, kenyataan Abdul Khalid pada 3 Januari lalu menyatakan Sultan Selangor berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat.

Menurut Mohamad Munir, apa yang berlaku sebenarnya, nama-nama calon untuk jawatan SUK telah disembahkan kepada baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjalankan kuasa SPA Persekutuan selaras dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri.

Beliau menyatakan, baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan dan selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh SPA Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh JPA dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Jelasnya, perkara tersebut juga telah menjadi amalan di Selangor.

Abdul Khalid bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK dibuat tanpa pengetahuannya selaku Menteri Besar.

Katanya, pelantikan itu tidak dilakukan berdasarkan manual pemilihan SUK, Pengawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang mana calon untuk jawatan itu harus dibuat oleh jawatankuasa pemilihan peringkat negeri.

Katanya, bagi calon SUK, mereka seharusnya terdiri daripada pegawai kerajaan yang berkelayakan sama ada di peringkat JUSA A, B dan C serta Gred 54.

‘‘Kita ada calon-calon yang ada kelayakan itu untuk mengisi jawatan sebagai SUK, itu senarai prosesnya.

‘‘Menteri Besar pilih tiga daripadanya dan serahkan kepada Sultan Selangor untuk pertimbangan, lepas itu kita serah kepada JPA dan kemudiannya calon yang dipilih diserahkan kembali kepada negeri sebelum diperkenankan oleh Sultan Selangor. Inilah yang ada dalam manual pemilihan SUK negeri,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online

Siapa itu Khusrin?

KEMELUT pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang kian meruncing membuat saya terpanggil memberi pandangan mengenai perkara itu. Jawatan SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri adalah antara pelbagai jawatan yang terdapat dalam pentadbiran sesebuah negeri.

Sebagai penjawat awam, seseorang pegawai adalah bersikap profesional dan berkecuali serta tidak mengambil bahagian dalam politik tetapi adalah patuh dan setia kepada government of the day.

Datuk Mohammed Khusrin Munawi telah saya kenali sejak berkhidmat di Selangor pada tahun 1992. Sepanjang tempoh perkhidmatan, Datuk Khusrin mempunyai pengalaman berkhidmat di pelbagai peringkat di Negeri Selangor seperti di pejabat daerah, pejabat majlis daerah, majlis perbandaran dan jabatan negeri.

Antara sifat-sifat beliau adalah seorang pegawai yang berdedikasi, workaholic (kuat kerja), mengamalkan sistem FILO (First In Last Out - datang awal ke pejabat dan balik lewat ke rumah), tegas, menjalankan tugasan penguatkuasaan tanpa memilih darjat. Ringkasnya Datuk Khusrin adalah seorang pegawai yang menjadi ‘aset utama’ kepada kerajaan Selangor.

Negeri Selangor telah diisytiharkan sebagai negeri maju pada tahun 2005, iaitu 15 tahun lebih awal daripada hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menjadi negara maju pada 2020.

Untuk menjadi sebuah negeri maju, bukanlah mudah. Gandingan mantap antara ahli-ahli politik dan penjawat awam amat penting bagi memastikan pencapaiannya.

Oleh itu, gandingan 2K (Khalid dan Khusrin) merupakan satu gandingan mantap; Menteri Besar mempunyai ketokohan dan pengalaman dalam bidang korporat manakala Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam.

Apabila digandingkan ia akan menjadi satu pasukan yang kuat untuk memastikan Selangor akan terus maju pada masa akan datang dan faedahnya akan dapat dinikmati oleh rakyat.

Kesediaan Datuk Khusrin untuk bekerjasama dengan MB Selangor dan Exco mencerminkan keikhlasan beliau untuk meneruskan tugasnya. Adalah menjadi satu kerugian besar kepada kerajaan Selangor jika Datuk Khusrin tidak dapat menjalankan tugas seperti mana ditetapkan.

MANTAN PEGAWAI KERAJAAN
NEGERI SELANGOR

Utusan Malaysia Online