Wednesday, November 30, 2016

CUEPACS gesa hukum lebih berat

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman lebih berat terhadap
mana-mana individu yang menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan
penjawat awam daripada menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.

  Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, hukuman ringan yang dikenakan
terhadap kesalahan itu dibimbangi akan memberi kesan buruk pada masa
hadapan.

Harian Metro Online

Minta JAKIM kaji langkah seragam gred jawatan imam negeri, daerah

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta melakukan
kajian terhadap langkah penyeragaman gred jawatan untuk imam masjid negeri
dan daerah di seluruh negara.

  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,
berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini mencadangkan supaya
gred 48 dikhususkan untuk imam masjid negeri, manakala gred 41 bagi imam
masjid daerah.

  Jelas beliau, sekiranya syor itu belum dilaksanakan, ia perlu dilapor
dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang
dianggotai oleh menteri besar serta ketua menteri.

  "Kita mahu gred perjawatan imam negeri dan imam daerah lebih tersusun,
selain ingin mengiktiraf peranan mereka sebagai barisan utama kepemimpinan
institusi masjid," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Imam
Peringkat Kebangsaan 2016 di sini, semalam.

  Yang turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dan
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Razali
Shahabudin.

  Kenaikan elaun imam

  Dalam Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan
sebanyak 15,000 imam bawah JAKIM di seluruh negara akan menerima manfaat
kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM850 sebulan, manakala RM500 pula
akan diberikan secara bayaran sekali gus kepada hampir 16,000 bilal dan
siak di seluruh negara.

  Selain itu, elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dinaikkan
daripada RM800 kepada RM900 sebulan, bagi manfaat hampir 33,000 guru di
seluruh negara.

  Kata Jamil Khir, pelaksanaan ketetapan dalam Bajet 2017 itu wajar
dilaksanakan segera dan pihaknya juga sedang memikirkan program lain yang
bersesuaian supaya pengurusan masjid akan lebih tersusun.

Berita Harian Online

Tuesday, November 29, 2016

Penjawat awam lengkapkan diri dengan ilmu

BALING 28 Nov. – Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan tertentu yang bertunjangkan kepada ciri-ciri kendiri seperti membudayakan ilmu, mempamerkan sikap kebolehpercayaan dan ke­peribadian intergriti yang tinggi.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, mereka juga harus mempraktikkan amalan terbaik yang dinamik, progresif dan sentiasa menepati masa agar dapat mencerminkan kewibawaan sebagai seorang penjawat awam.

“Mereka juga perlu menanam semangat patriotisme yang tinggi dalam diri dan menunjukkan rasa cinta kepada negara serta memberi penekanan dari segi keberhasilan bagi meningkatkan mutu dan kualiti kerja.

“Jadikanlah berfikiran secara kritis dan konstruktif, khususnya dalam usaha mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif. Ia sebagai satu kelaziman dan sentiasa memperbaiki kualiti serta tahap penyampaian perkhidmatan sektor awam,” katanya dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Ketua Pembantu Tadbir Pendidikan Negeri Kedah Darulaman dan Anggota Kumpulan Pelaksana Pendidikan Daerah Baling/Sik di Dewan Tun Abdul Razak, di sini kelmarin.

Menurutnya, Pelan Tindakan Transformasi akan dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya setiap warga kerajaan dapat bersama-sama melaksanakan tugas di luar kebiasaan dan mencari pendekatan kreatif dan inovatif.

“Semangat kerja berpasukan yang tinggi dan semangat kekitaan mampu memaksimumkan sumber terkumpul dan mencapai hasil lebih baik dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai jenis anugerah ataupun ganjaran.

“Anugerah yang diberikan dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk memberi sepenuh perhatian dan daya usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja berkualiti,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Sunday, November 27, 2016

Usah terpengaruh viral di internet pengambilan anggota polis

Dungun: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan viral yang tersebar
di laman sosial berhubung pengambilan jawatan dalam pasukan Pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM).

  Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata pengambilan
perjawatan polis hanya dikeluarkan melalui laman web Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA).

  Berikutan itu, katanya, orang ramai perlu melayari laman web SPA untuk
kesahihan berhubung pengambilan jawatan terbabit.

  "Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu mengelirukan banyak
pihak dan ada di antara mereka pergi ke lokasi yang dimaksudkan bagi
mengisi jawatan berkenaan.

  Layari laman web SPA

  "Pengambilan seperti yang tersebar itu tidak benar. Jadi, kita minta
mereka yang berminat menyertai pasukan polis memohon dengan melayari laman
web SPA," katanya ketika menghadiri majlis Tamat Latihan Kursus Asas
Konstabel Sokongan di Pusat Latihan Polis Rantau Abang, di sini, semalam.

  Seramai 121 konstabel sokongan dari seluruh negara termasuk Sabah dan
Sarawak menamatkan latihan selama empat bulan di situ.

  Sementara itu, Rosli berkata, PDRM menyasarkan pengambilan seramai 1,781
kekuatan membabitkan pangkat Konstabel sokongan hingga inspektor, tahun
depan.

  "Daripada jumlah itu, 60 kekuatan membabitkan pengambilan jawatan
Konstabel lelaki dan wanita dari kalangan Orang Asli, manakala 224
membabitkan jawatan inspektor lelaki dan 1,270 konstabel awam," katanya.

Berita Harian Online

Saturday, November 26, 2016

Integriti pendidik melaksanakan amanah

Isu berkaitan pembangunan dan keselamatan sekolah di samping kesiapsagaan
meningkatkan keupayaan integriti dalam kalangan warga Kementerian
Pendidikan (KPM) antara penekanan utama yang diberi tumpuan menyeluruh
oleh Ketua Setiausaha KPM yang baharu, Datuk Seri Alias Ahmad. Ikuti temu
bual khas wartawan BH, Mohd Khairul Anam Md Khairudin bersama Alias yang
baru sahaja menerajui jawatan itu September lalu mengenai agenda yang
bakal dilaksanakan beliau ke arah mengarusperdanakan lagi sektor
pendidikan negara pada tahap terbaik.

  S: Apakah misi, matlamat serta cabaran yang perlu ditempuhi Datuk Seri
dalam menerajui KPM?

  J: Keutamaan saya adalah untuk melakukan transformasi dalam meningkatkan
lagi sistem pendidikan negara ini ke tahap tertinggi setaraf dengan negara
maju lain. Apa yang lebih penting, kami perlu melakukan penambahbaikan dan
memperbaiki sebarang kelemahan dari semasa ke semasa untuk mencapai
kejayaan. Malah, kementerian telah melaksanakan sistem pendidikan
berdasarkan standard pendidikan antarabangsa melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 20132025. Pelan ini juga adalah sebagai asas
filosopi dan dasar negara yang menjadi garis panduan untuk semua. Pada
masa sama, kementerian giat memperluaskan Latihan Teknikal dan Vokasional
(TVET) serta Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM) dalam kalangan pelajar. Kesemua ini adalah pendekatan terbaik dan
banyak lagi transformasi yang perlu dilakukan selepas ini. Kami juga
memperkenalkan 1BestariNet iaitu permulaan kita untuk menerokai suatu era
baharu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT). Kita mesti menyediakan platform. Kita harus
fahami untuk memasuki era pembelajaran berasaskan ICT perlu meletakkan
sekolah itu dengan infrastruktur yang mencukupi. Kita sudah mulakan dengan
1BestariNet. Melalui fasa pertama ini kita menyediakan infrastruktur. Jika
akses internet semakin meluas, pelajar tidak perlu lagi membawa buku teks,
sebaliknya hanya menggunakan gajet sedia ada.

  S: KPM bukan sahaja berhadapan isu berkaitan akademik pelajar,
sebaliknya masalah sosial seperti keselamatan di sekolah, gangsterisme,
kes buli dan keruntuhan moral yang semakin berleluasa. Apakah pandangan
Datuk Seri mengenai isu ini?

  J: Pengetua/Guru Besar adalah bertanggungjawab ke atas disiplin murid.
Kuasakuasa ini diperuntukkan di bawah Peraturanperaturan (Disiplin
Sekolah) 1959 di bawah Peraturan 4 dan 8. Hukuman disiplin ke atas murid
adalah dikenakan bergantung kepada beratnya salah laku dilakukan mereka.
Hukuman berbentuk nasihat, amaran keras, rotan, gantung persekolahan dan
buang sekolah melalui Surat Pekeliling 6A / 1975, proses gantung dan buang
adalah perkara yang boleh dikenakan ke atas murid oleh pihak pentadbir
sekolah. Hukuman dikenakan adalah lebih berunsur pendidikan selain untuk
memberi pengajaran kepada murid terhadap kesalahan yang dilakukan. Pada
hemah saya, ibu bapa, komuniti setempat serta pihak berkepentingan lain
seharusnya proaktif dalam usaha mengembleng tenaga membantu pihak sekolah
terutama dalam menangani isu membabitkan salah laku pelajar di sekolah.

  S: Bagaimanakah Datuk Seri melihat kualiti perkhidmatan guru itu
sendiri?

  J: KPM giat melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan lagi kualiti
kerja warga pendidik di negara ini memandangkan kementerian memiliki lebih
400,000 guru di seluruh negara. Ini termasuk menerusi Program Sekolah
Amanah iaitu sebanyak 83 sekolah ketika ini. Lebih membanggakan lagi, ada
seorang guru yang berjaya menerima Anugerah Guru Terbaik ASEAN yang
diadakan di Bangkok, tahun ini. Pencapaian membanggakan ini jelas
menunjukkan kualiti guru kita berada pada tahap yang baik. Kita berada
pada landasan yang betul bagi memperkasa sistem pendidikan di negara ini.

  S: Berkaitan soal integriti, apakah yang Datuk Seri akan lakukan untuk
memastikan semua warga kementerian bebas dari penyalahgunaan kuasa dan
rasuah?

  J: Isu integriti adalah perkara penting bagi seseorang penjawat awam
dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kami juga
meningkatkan bahagian integriti di mana kami turut menempatkan pegawai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskan berkaitan
soal pematuhan, pemahaman serta penguatkuasaan mengenai aspek integriti
kepada semua warga KPM. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa sekiranya
berlaku di dalam kementerian, saya tidak akan bertolak ansur dan akan
mengambil tindakan sewajarnya. Kami juga akan mengadakan Hari Integriti
KPM dalam masa terdekat ini di mana kita akan menobatkan dua Ikon
Integriti daripada kementerian ini sendiri. Ini secara tidak langsung
memberi pendedahan dan kesedaran kepada semua penjawat awam untuk terus
mengutamakan aspek integriti dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

  S: Apakah harapan Datuk Seri sepanjang menyandang jawatan ini?

  J: Pada hemah saya, pemikiran strategi antara aspek penting yang perlu
dimiliki oleh setiap warga kerja KPM. Keduanya, mereka perlu bekerja dalam
konteks bersamasama serta berkumpulan. Ketiganya, pendekatan Strategi
Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) perlu diperluaskan dalam setiap agensi di
kementerian ini. Keempat, saya mahu melihat kementerian ini terus bersinar
ke hadapan, di samping ramai yang bertindak sebagai penggerak dan pemimpin
untuk membantu organisasi mencapai kecemerlangan, bukan setakat menjadi
pengikut sematamata.

  INFO
  Misi KPM
  - Pelan Pembangunan Pendidikan ASEAN 2016-2020 adalah dokumen strategik
bagi memastikan hala tuju pembangunan pendidikan di rantau ASEAN

  - KPM melalui Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV)
melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) sejak tahun 2012
bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran perdana

  - Pelbagai langkah dan usaha dilakukan KPM ke arah memastikan TVET dapat
memenuhi keperluan negara serta kehendak pasaran kerja supaya tidak
bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara

  - Kemudahan prasarana ICT yang lengkap kepada sekolah termasuk kemudahan
internet dan pembelajaran maya memberi peluang kepada semua murid untuk
mendapatkan akses yang sama rata seiring pembelajaran berkualiti


Berita Harian Online

'KAMI TERANIAYA'

Shah Alam: Kira-kira 700 penuntut Universiti Antarabangsa Al Madinah
(MEDIU) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengembalikan
pengiktirafan kepada universiti berkenaan.

  Wakil penuntut, Mohd Zulnazmi Zulkifli berkata, pengiktirafan universiti
itu digantung sejak 2014 membabitkan aspek permohonan kerja di bawah
perkhidmatan awam.

  Katanya, KPT mengekalkan aspek Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
membabitkan bidang pembelajaran ijazah sarjana muda, sarjana dan
kedoktoran.

  "Kami mengetahui hal ini (penggantungan) daripada laman web
pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menunjukkan MEDIU tiada
dalam senarai dipaparkan.

  "Apa yang kami kesalkan, JPA atau KPT tidak memberi makluman berhubung
penggantungan pengiktirafan MEDIU, malah tiada siasatan dilakukan sebelum
penggantungan dilakukan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

  Menurut Mohd Zulnazmi, pada pertengahan tahun ini, KPT meminta MEDIU
menyelesaikan isu sukatan pelajaran Aqidah bersama Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jika mahu
pengiktirafan itu dikembalikan.

  "Akibatnya, penuntut yang tamat pengajian menjadi mangsa dan turut
memberi kesan kepada mereka yang masih belajar di MEDIU.

  "Kami mahu KPT menjelaskan perkara ini dan berharap ia dapat
diselesaikan segera kerana ia membabitkan masa depan penuntut," katanya.
 

Harian Metro Online

Friday, November 25, 2016

CUEPACS minta penjawat awam jangan terlalu selesa

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) meminta penjawat awam tidak berasakan karier dalam zon terlalu
selesa berikutan sudah ada pihak bersuara meminta jumlah kakitangan
kerajaan dikurangkan kepada 450,000.

  Presidennya Datuk Azih Muda berkata, ketika ini jumlah penjawat awam
seluruh negara adalah kira-kira 1.62 juta orang atau dikira sebagai 1:3
iaitu seorang penjawat awam untuk 30 penduduk.

  Kiraan itu ketika ini, katanya, berdasarkan populasi penduduk Malaysia
kira-kira 30.7 juta orang.

  "Karier penjawat awam bukan lagi boleh dianggap dominan...tidak kerana
ia akan berubah. Pihak pembangkang bersuara mengenai penjawat awam yang
ramai," katanya.

Harian Metro Online

Thursday, November 24, 2016

Home Ministry to act against two officers

PUTRAJAYA: The Home Ministry will take disciplinary action against two of
its officers in connection with Prisons Department procurement management
issues revealed in the second series of Auditor General's (AG) Report 2015
Series 2.

Its secretary-general, Datuk Seri Alwi Ibrahim, said the officers were
found to have not complied with the rules set by the Finance Ministry
relating to the purchase of computer equipment and systems in Kajang
Prison, worth RM200,000.

"The ministry accepts the warnings of the Audit Department. We have
issued a circular to inform all agencies and departments, including the
Prisons Department, to adhere to the e-Perolehan, or e-Procurement, rules,
including the procedures of procurement quotations.

"Non-compliance on the part of the (Prisons Department) officers will
harm the government. We will ensure that such things do not happen again
in the future," he said after a media session on the AG's Report,
yesterday.

Chief Secretary to the Government Tan Sri Dr Ali Hamsa had yesterday
said the Prisons Department had been issued with a punitive warning for
its procurement management.

Higher Education Ministry secretary-general Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd
Nur yesterday denied that the Jerantut Community College had bought a
digital scale for RM8,000, or 10 times the normal price.

She said the college had bought two different types of digital scales in
different prices.

"Both digital scales have different functions. The digital scale units
priced at RM8,000 have more sophisticated and comprehensive features than
the one priced at RM800. The readings are more accurate.

"Both pieces of equipment were used in the teaching and learning for
Aquaculture certificate courses. They were bought according to the rules
set by e-Procurement."

Noorul Ainur said the RM8,000 digital scale was used during the fish
growth technique module, while the one priced at RM800 was used for the
fish-breeding techniques module.

New Straits Times Online

Tiada kompromi

Putrajaya: Seramai 19 pegawai akan mula menjalani prosiding tatatertib
susulan 18 teguran daripada 42 teguran punitif (hukuman) menerusi Laporan
Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, tindakan
tatatertib atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap
pegawai sekiranya didapati wujud asas kukuh bahawa pegawai berkenaan
melakukan salah laku.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan sehingga kelmarin, tiga daripada 10
teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib membabitkan
lima pegawai iaitu tiga Gred 48 ke atas dan dua lagi Gred 44 ke atas.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sudah mengemukakan surat supaya
Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat 32 teguran punitif
membabitkan kerajaan negeri dan badan berkanun persekutuan," katanya
ketika berucap pada sesi bersama media susulan Laporan Ketua Audit Negara
Tahun 2015 Siri 2 di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi
Zainal; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar
Abdullah dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Katanya, 16 teguran masih dalam siasatan manakala, satu hasil
pengauditan akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
membabitkan kes penstabilan harga minyak masak di Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Ali berkata, berdasarkan hasil siasatan itu, beliau berpandangan teguran
yang dikenal pasti di peringkat awal ada unsur punitif dan ia hendaklah
diteliti lanjut oleh Jabatan Audit Negara bagi memastikan sememangnya
wujud penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian
pelaksanaan tugas dalam kalangan pegawai awam.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan mengambil langkah proaktif menubuhkan
enam Jawatankuasa Siasatan Khas menyiasat 10 teguran punitif membabitkan
enam kementerian bagi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2.

"Siasatan ini dibuat bagi memperoleh keterangan relevan dari aspek
kesaksian dan keterbabitan pegawai dalam kes dilaporkan," katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan terhadap teguran punitif badan berkanun
persekutuan sehingga semalam (kelmarin), 15 daripada 17 teguran sudah
selesai.

Menurutnya, bagi teguran punitif ke atas agensi peringkat negeri, tiga
daripada 15 teguran membabitkan pegawai di Perak manakala, 12 teguran
masih dalam siasatan.

Dalam laporan siri dua itu, Ali berkata, secara keseluruhan sebanyak 944
teguran membabitkan 95.6 peratus atau 902 teguran pembetulan (corrective)
dan 4.4 peratus atau 42 teguran punitif.

"Enam kementerian dengan 10 teguran punitif membabitkan isu pengurusan
perolehan dan pengurusan projek berkait Kementerian Dalam Negeri,
Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air dan Jabatan Perdana Menteri," katanya.


Harian Metro Online

19 berdepan tindakan jika wujud salah laku

Putrajaya: Sembilan belas pegawai kementerian, badan berkanun Persekutuan
dan kerajaan negeri berdepan tindakan tatatertib jika wujud salah laku
dalam pengurusan perolehan serta projek berdasarkan 18 teguran punitif
dalam Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2015 Siri 2.

  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata tiga daripadanya
adalah pegawai Gred 48 ke atas dan dua Gred 44 ke bawah kementerian,
sembilan pegawai badan berkanun Persekutuan dan lima kakitangan kerajaan
negeri.

  "Di peringkat kementerian, prosiding membabitkan tiga teguran audit,
iaitu Pengurusan Perolehan Jabatan Penjara di Kementerian Dalam Negeri dan
Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air.

  "Jumlah (yang akan menjalani prosiding tatatertib) tidak termasuk empat
pesara yang dinamakan dalam siasatan itu. Kita akan cari jalan (untuk
tindakan) kerana pesara tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib,"
katanya pada Sesi Bersama Media Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015
Siri 2 di sini, semalam.

  Ali juga mengumumkan penubuhan enam Jawatankuasa Siasatan Khas bagi
menyiasat 10 teguran punitif di enam kementerian, manakala untuk badan
berkanun dan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan
supaya Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan.

  Prosiding tatatertib

  "Pada peringkat badan berkanun, sembilan pegawai akan menjalani
prosiding tatatertib berdasarkan 10 teguran membabitkan Felda dan dua
teguran bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

  "Pada peringkat kerajaan negeri pula, lima pegawai yang akan menjalani
prosiding tatatertib bagi tiga teguran membabitkan Majlis Perbandaran
Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Selama, Perak," katanya.

  Ali berkata, siasatan ke atas 42 teguran punitif dalam Laporan Ketua
Audit Negara 2015 Siri 2, lapan didapati tiada unsur penyelewengan,
penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian, tetapi memerlukan
penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa, manakala 16 teguran
masih dalam siasatan.

  "Satu lagi hasil audit akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) berhubung skim penstabilan harga minyak masak membabitkan
Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi," katanya.

  Secara keseluruhan, terdapat 944 teguran dalam laporan audit terbaharu
itu membabitkan 902 (95.6 peratus) teguran pembetulan dan 42 (4.4 peratus)
teguran punitif (penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan
kecuaian).

  Ali turut menegur kerajaan negeri dan badan berkanun yang cenderung
mengambil tindakan secara pentadbiran terhadap pegawai terbabit
penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku dan kecuaian berdasarkan
laporan audit dari 2012 sehingga kini.

  "Tindakan menghukum penjawat awam dengan hanya memberi amaran secara
pentadbiran harus dihentikan. Semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua
Eksekutif Badan Berkanun perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai
yang bersalah," katanya.

Berita Harian Online

Rombak SOP penguat kuasa

Shah Alam: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) mencadangkan kerajaan mengkaji semula dan merombak prosedur
operasi standard (SOP) membabitkan tugas penguat kuasa.

  Presidennya Datuk Azih Muda berkata, rombakan itu perlu dibuat susulan
kemalangan tragis membabitkan penguat kuasa ketika terbabit dengan operasi
penguatkuasaan.

  "Walaupun penguat kuasa mempunyai pencen, namun ia tidak mampu menyara
dan menampung sepenuhnya.

  "Oleh itu, semua penguat kuasa perlu diberi perlindungan insurans
percuma. Jika ada skim perlindungan insurans ini ia dapat membantu
meringankan bebanan keluarga masing-masing," katanya ketika menziarahi
jenazah penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Mohd
Ridzuan Yusoff di Hospital Shah Alam di sini, semalam.

  Mengulas lanjut, Azih menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
mempercepatkan sesi pembentangan kepada kerajaan berhubung cadangan
pemberian perlindungan insurans kepada anggota penguat kuasa.

Harian Metro Online

Wednesday, November 23, 2016

Pendedahan kes rasuah buka mata umum: KSN

Sepang: Pendedahan kepada umum mengenai kes rasuah membabitkan penjawat
awam mampu memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat termasuk penjawat
awam sendiri, mengenai musibah akibat jenayah itu.  

  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata walaupun ada
beberapa kes berprofil tinggi membabitkan penjawat awam dilaporkan media
kebelakangan ini, aliran menunjukkan jumlah kes mengaitkan golongan itu
sebenarnya berkurangan.

  "Pada 2013, jumlah kes rasuah (membabitkan penjawat awam) di bawah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melebihi 190 kes tetapi pada
2015, ia susut kepada 123 kes.

  Masuk bawah kes tatatertib

  "Ini menunjukkan penurunan tetapi kadangkala, kes seumpamanya
diketengahkan dan ia bagus supaya masyarakat tahu apa yang berlaku. SPRM
perlu membuat tugasnya.

  "Kita pada peringkat perkhidmatan awam, (kes) yang tidak termasuk di
bawah jenayah, kita akan masukkan di bawah kes tatatertib," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Maklumat (CIO)
Convex Sektor Awam 2016, di sini semalam. 

  Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan
Pengurusan (MAMPU), Datuk Seri Zainal Rahim Seman.


Berita Harian Online

Patuhi, tingkat etika penggunaan media sosial

Kuala Lumpur: Penjawat awam perlu menjadikan media sosial sebagai saluran
untuk memudahkan tugasan harian mereka, bukan menyebarkan maklumat
kerajaan.

  Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata setiap jabatan perlu memperhalusi
tahap pemahaman penjawat awam terhadap keperluan media sosial yang
termaktub dalam undang-undang sedia ada bagi memastikan tidak berlaku
kebocoran maklumat sulit.

  Pastikan patuhi garis panduan

  "Ia bagi memastikan mereka (penjawat awam)  mematuhi garis panduan
ditetapkan dan arahan jabatan mereka sebagai langkah untuk mengelak
kebocoran rahsia kerajaan.

  "Mereka perlu sedar jika aspek pemeliharaan kerahsiaan dokumen
terperingkat tidak diberikan perhatian serius oleh penjawat awam ia bakal
mengundang padah kepada keselamatan negara," katanya kepada BH, semalam.

  Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu terus memperkasakan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) seiring dengan peredaran zaman.
  Mudahkan tugas harian

  "ICT menerusi media sosial membuka dunia komunikasi dengan lebih luas
tanpa sempadan dan ini menjimatkan waktu. 

  "Zaman sekarang, apa sahaja maklumat yang diperlukan menerusi aplikasi
Whatsapp dan Facebook  boleh diperoleh dengan mudah. 

  "Namun, mereka yang menggunakannya perlu mempunyai etika dengan tidak
mementingkan diri, merosakkan dan menjatuhkan individu lain, melakukan
jenayah siber serta mempermainkan isu keselamatan rakyat dan negara,"
katanya.


Berita Harian Online

Tuesday, November 22, 2016

Program INTAN Team Integration (i-TAG)

Seramai 65 orang warga INTAN dari seluruh kampus telah menghadiri Program INTAN Team Integration anjuran Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) Pejabat Pendaftar, INTAN Bukit Kiara. Program telah diadakan di INTAN Wilayah Utara pada 18 hingga 21 November 2016 dan telah dirasmikan oleh YBhg. Dr. Anessee b. Ibrahim, Pendaftar INTAN pada 19 November 2016.

Program ini melibatkan aktiviti di sekitar INTAN Wilayah Utara dan Tasik Beris, Kedah. Aktiviti di INTAN Wilayah Utara lebih memfokuskan kepada ice breaking, pembentukan kumpulan, persaingan, penggunaan elemen iLead-Park dan penyatuan kumpulan besar. Manakala aktiviti di Tasik Beris pula merupakan aktiviti berkayak sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan menghargai alam sekitar. Majlis Makan Malam turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Dr. Mazlan Yusoff, Pengarah INTAN dan isteri serta Pengurusan Tertinggi INTAN.


















Monday, November 21, 2016

Henti budaya beri amaran pentadbiran

Kuala Terengganu: Kerajaan mengeluarkan pekeliling dan amaran kepada ketua
jabatan supaya menghentikan budaya memberi amaran pentadbiran kepada
kakitangan yang melakukan kesalahan tatatertib kepada semua peringkat
jabatan kerajaan.

  Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, semua ketua
jabatan diminta menghentikan budaya itu kerana ia tidak tertakluk dalam
peraturan tatatertib perkhidmatan awam.

  Beliau berkata, tindakan ketua jabatan yang hanya mengeluarkan amaran
pentadbiran kepada kakitangan bermasalah menyebabkan kakitangan yang
melakukan kesalahan terlepas daripada dikenakan hukuman.

  "Ramai ketua jabatan hanya mengeluarkan amaran pentadbiran kepada
kakitangan yang melakukan kesalahan tatatertib kerana mereka mahu menjadi
ketua yang baik untuk pekerja di bawahnya sedangkan ia adalah satu
kesalahan.

  "Amaran pentadbiran bukan satu hukuman dan pesalahnya tidak dirujuk
kepada pihak berkuasa tatatertib. Penjawat awam yang dikesan melanggar
peraturan dan melakukan kesalahan sepatutnya dikenakan tindakan tatatertib
bukannya diberi amaran pentadbiran yang jelas tidak memberi sebarang
hukuman kepada kakitangan terbabit.

  "Berbeza dengan amaran tatatertib, kakitangan yang melakukan kesalahan
boleh dikenakan tindakan bermula daripada peringkat amaran, potongan gaji,
tidak berpeluang naik pangkat selama setahun sehingga tindakan dibuang
kerja," katanya selepas Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Terengganu
bersama Ketua Setiausaha Negara di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Harian Metro Online

Saturday, November 19, 2016

Psikometrik nilai integriti kakitangan awam

Kuala Lumpur: Kaedah psikometrik dicadang bagi menilai integriti
kakitangan awam dalam usaha meningkatkan kualiti integriti dan tadbir urus
perkhidmatan awam. 

  Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff,
berkata kaedah sama terbukti berkesan dalam menilai kakitangan di sektor
berisiko tinggi yang terbabit dalam isu berkaitan integriti.

  Katanya, IIM mempunyai program khusus bagaimana kaedah psikometrik boleh
diguna pakai dalam menilai integriti kakitangan awam.

  Enam agensi sudah laksana

  "Setakat ini, kaedah itu sudah dilaksanakan di enam agensi kerajaan yang
berkaitan dengan sektor berisiko tinggi membabitkan isu integriti.

  "Polis menjalankan kaedah sama untuk pengambilan pegawainya, bermakna
hanya yang lulus ujian itu layak dilantik dan menjawat jawatan," katanya
ketika ditemui selepas Konvensyen Integriti Nasional 2016, di sini,
semalam.

  Beliau mengulas lapan resolusi dalam konvensyen itu yang antara lain
mencadangkan kaedah psikometrik diguna untuk menilai profil integriti
individu dalam proses pelantikan pegawai baharu di sektor awam. 

  Dr Anis Yusal berkata, lapan resolusi termasuk kaedah psikomentrik itu
akan diaudit IIM sebelum dibentangkan kepada Kabinet. 
 
  Beliau berharap perkara itu dipertimbangkan kerajaan untuk memantapkan
lagi imej tadbir urus kerajaan yang tercalar dengan beberapa isu rasuah
dan salah guna kuasa dengan terbaharu membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah
(JANS). 

  INFO

  Lapan resolusi dicapai dalam Konvensyen Integriti Nasional

  - Pelaksanaan instrumen psikometrik diguna bagi menilai profil integriti
individu sebagai tapisan dalam proses pelantikan pegawai baharu di sektor
awam

  - Pemimpin politik disaran memberi fokus kepada penggubalan dasar dan
undang-undang bagi mengurangkan campur tangan dalam perkhidmatan awam

  - Disyorkan pelaksanaan proses pengesahan terhadap semua laporan
pengisytiharan harta yang meragukan dalam kalangan penjawat awam

  - Memupuk minat mendalam terhadap kerja dan pematuhan etika melalui
latihan berterusan bagi meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam

  - Mempertingkatkan jalinan kerjasama strategik dengan pihak media bagi
menjalin persefahaman lebih kukuh untuk memperkasakan imej perkhidmatan
awam

  - Menyarankan supaya latihan praperkhidmatan untuk jawatan berisiko
tinggi dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan dan penilaian rapi dibuat
sebelum dilantik dalam perkhidmatan
   
 

Berita Harian Online

Friday, November 18, 2016

PAC tegur program 1AZAM

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati
spesifikasi peralatan dibekalkan kepada peserta program 1AZAM (Akhiri
Zaman Miskin) tidak memenuhi keperluan peserta, selain berlaku kelewatan
dalam menyalurkan bantuan peralatan kepada peserta.
  Di samping itu, PAC mendapati kajian terperinci tidak dilakukan sebelum
bantuan diluluskan terutama bagi projek yang dijalankan secara
berkelompok.
  Pelaksanaan projek berkelompok yang tidak mematuhi garis panduan dan
peraturan kewangan juga antara yang dirumuskan dalam laporan PAC mengenai
Program 1AZAM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM).
  Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata secara keseluruhan,
KPWKM mengambil tindakan terhadap semua isu dibangkitkan dalam Laporan
Ketua Audit Negara dan mengemas kini status dalam Jabatan Audit Negara.
  Beliau berkata, PAC dalam empat syornya menjelaskan jawatankuasa itu
memandang serius terhadap kelemahan dalam pelaksanaan program yang
menyebabkan berlaku ketirisan.
  Kes disiasat SPRM
  Katanya, difahamkan kes itu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), namun PAC mencadangkan supaya perkara itu disiasat semula
oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
  "PAC menggesa kerajaan supaya meneruskan program seperti 1AZAM yang
membolehkan rakyat berpendapatan rendah mendapat manfaat secara terus dan
kajian terperinci perlu dilakukan sebelum bantuan diluluskan. 
  "Bagi program berkonsepkan kelompok, pematuhan ke atas garis panduan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hendaklah dipatuhi. 
  "Setiap peralatan dibekalkan kepada peserta perlu sesuai dengan
keperluan peserta dan proses bekalan bantuan kepada peserta perlu
dipercepatkan supaya mereka dapat memanfaatkan bantuan dengan segera,"
katanya dalam kenyataan semalam.
  PAC semalam membentangkan laporan mengenai program 1AZAM yang
dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 di Dewan
Rakyat pada 10 November 2014.
  Prosiding program 1AZAM yang dijalankan pada 24 Mac 2015 dihadiri Ketua
Setiausaha KPWKM, Datuk Sabariah Hassan; bekas Ketua Setiausaha MOA, Datuk
Mohd Arif Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan
Negara (YKN), Datuk Rafek Reshidullah.
  Bagi prosiding kedua pada 25 Mei 2015, PAC memanggil bekas Ketua
Setiausaha KPWKM, Datuk Seri Dr Noorul Aunur Mohd Nur dan bekas CEO YKN,
Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd.

Berita Harian Online

Thursday, November 17, 2016

Buang kerja, potong gaji jika sertai demonstrasi: KSN

Putrajaya: Penjawat awam yang menyertai perhimpunan haram boleh dikenakan
tindakan tatatertib seperti pemotongan gaji atau dibuang kerja jika
pembabitan mereka terbukti.

  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, menegaskan tindakan akan
dikenakan itu berdasarkan pada tahap penyertaan mereka.

  "Sebagai contoh, jika seseorang penjawat awam menjadi ketua dalam
perhimpunan itu, individu terbabit boleh dikenakan hukuman yang paling
berat mengikut peraturan tatatertib kakitangan awam.

  "Saya nasihatkan penjawat awam jangan sertai mana-mana perhimpunan.
Sekiranya masih ada yang berdegil, tindakan yang setimpal akan diambil.

  "Andai kata penjawat awam ini melakukan sebarang jenayah dalam
perhimpunan itu, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan, namun
perlu diingatkan bahawa tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tetap
diambil terhadap mereka," katanya pada sidang media di sini, semalam.

  Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan
Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di sini, semalam.

  Ali berkata, gambar penjawat awam yang terpampang di media massa atau
sosial menyertai sebarang perhimpunan haram akan dijadikan bukti untuk
tindakan.

  "Sekiranya kita mendapat laporan ada kakitangan awam menyertai
perhimpunan, kita akan siasat. Namun, penjawat awam yang gambarnya
terpampang di surat khabar menunjukkan mereka menyertai perhimpunan haram,
kita terus pecat mereka," katanya.

  Pada 8 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar,
berkata BERSIH 5 belum memenuhi prasyarat untuk menganjurkan sebarang
perhimpunan, Sabtu ini, kerana kedua-dua notis yang dihantar mereka tidak
mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.


Berita Harian Online

Monday, November 14, 2016

Friday, November 11, 2016

31,230 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sebanyak 31,230 penjawat awam telah dikenakan tindakan tatatertib sejak Januari 2010 hingga Julai tahun ini.

AZALINA OTHMAN SAID
AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,778 telah dikenakan tindakan buang kerja.

"Sebanyak 152 telah diturunkan pangkat dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 48 bulan, sebanyak 1,168 diturunkan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 36 bulan," katanya menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Teck Hwa bertanya mengenai bilangan kakitangan awam yang melanggar tatatertib yang telah diberikan amaran, digantung gaji dan pangkat, dilucutkan jawatan dan pencen atau ganjaran dari tahun 2010 hingga tahun ini.

Azalina berkata, daripada jumlah yang dinyatakan itu sebanyak 2,369 penjawat awam ditangguhkan pergerakan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 30 bulan.

"Sebanyak 4,370 penjawat awam dilucutkan hak emolumen dan tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat bagi tempoh 24 bulan dan 4,295 lagi dikenakan denda maksimum tujuh hari emolumen dan tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan," katanya.

Teks jawapan Azalina dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Bernama Online

Sunday, November 6, 2016

Thursday, November 3, 2016

Penjawat awam perlu 
jana idea inovatif – Nancy

Nan cy Shukri mencuba alat kawalan penglihatan Drone selepas merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlang

NANCY SHUKRI mencuba alat kawalan penglihatan Drone selepas merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2016 di Putrajaya, semalam. Turut hadir Othman Mahmood (kiri). – UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 1 Nov. - Penjawat awam terutama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) diseru supaya ber­kongsi, menjana dan menghasilkan idea-idea inovasi dan kreatif.

Menteri di Jabatan Perdana Men­teri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut pen­ting bagi menambah baik kualiti perkhidmatan serta menjadikannya titik tambah dalam mencapai visi transformasi negara.

“Perkembangan pesat teknologi maklumat, persaingan dalam iklim ekonomi yang semakin men­cabar, jangkaan rakyat semakin tinggi telah memberi ca­baran besar kepada kerajaan.

“Oleh itu, penjawat awam perlu bergerak dengan lebih pantas dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ke­tika berucap menyempurnakan Hari Inovasi dan Kecemerlangan JPM 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Setiausaha Kanan JPM, Tan Sri Othman Mahmood.

Dalam pada itu, Nancy berkata, penjawat awam perlu responsif terhadap segala aduan dan maklum balas yang diberikan oleh rakyat.

Sehubungan itu, proses ke arah memantapkan penyampaian perkhidmatan dengan pendekatan baharu memerlukan komitmen yang tinggi dalam semua pe­ringkat.

“Dalam hal ini, adalah pen­ting bagi penjawat awam me­nguasai ilmu pengetahuan yang luas dan bersikap terbuka dalam menghadapi arus perubahan,” ka­tanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa komited dalam menyu­burkan amalan inovasi dan penubuhan Agensi Inovasi Negara (AIM) iaitu salah satu agensi di bawah JPM telah menjadi pemacu kepada kejayaan amalan inovasi.

Kata beliau, pelbagai inisiatif dirancang bagi memastikan negara ini berada dalam landasan yang tepat ke arah menuju sebuah negara maju pada tahun 2020.

“Inovasi turut diperkenalkan melalui Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan negara bagi memberi pendedahan awal pembudayaan inovatif dan kreatif kepada gene­rasi muda pada hari ini,” katanya.

Utusan Malaysia Online


Tuesday, November 1, 2016

Latihan Penggunaan In-Cube oleh fasilitator INTURA

Pembinaan InCube di INTAN Wilayah Utara memakan masa selama lima bulan untuk disiapkan dan kini dalam proses penilaian dan perakuan siap kerja. InCube yang dibina dari kontena ini mengandungi empat elemen iaitu Giant Ladder, Via Ferrata, Abseiling, dan Dark Tunnel Maze. Pembinaan InCube adalah berdasarkan Adventure and Experiental Learning di mana elemen-elemen yang dibina dapat memberi peluang kepada pasukan untuk mencabar diri mereka sendiri, keluar dari zon selesa, dan bergantung kepada sokongan ahli-ahli kumpulan untuk keselamatan mereka.

            Sebelum InCube dibuka untuk kursus-kursus pengukuhan pasukan di INTURA, satu latihan penggunaan InCube untuk 24 orang fasilitator INTURA telah dijalankan pada 29-31 Oktober 2016. Latihan ini bertujuan untuk memberi pemahaman tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai pengenalan,  peralatan keselamatan, prosedur keselamatan, pemasangan tali keselamatan, jenis-jenis halangan, kaedah operasi, perancangan kecemasan, pemeriksaan dan penyelenggaraan bagi semua elemen di InCube. Latihan diberi secara teknikal dan praktikal oleh jurulatih dari Explora Malaysia Sdn. Bhd. Selain itu, ujian bertulis turut dijalankan bagi menguji kefahaman peserta mengenai InCube.