Thursday, December 31, 2009

Tindakan berkesan legakan pengguna

DARI sudut kepenggunaan, 2009 barangkali adalah tahun yang paling banyak menyaksikan pembabitan orang ramai selaku pengguna dalam beberapa isu dan dasar kerajaan. Penyertaan orang ramai secara lebih terbuka dan telus itu sebenarnya selaras dengan pendekatan pemerintahan baru yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Antara komponen utama yang ditekankan oleh Najib ialah mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti yang diumumkan pada Julai lalu.

Tumpuan NKRA itu adalah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. NKRA lain termasuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

Pertengahan Disember ini juga, beberapa inisiatif bagi mencapai matlamat NKRA itu diumumkan kepada orang ramai pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP). Program sehari itu membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat perincian program secara spesifik, agensi dan kumpulan sasaran, rangka masa pelaksanaan serta kos yang terlibat dalam NKRA itu.

Menerusi hari terbuka itu, orang ramai dapat menilai tindakan atau rancangan bagi melaksanakan setiap NKRA berkenaan dan mengemukakan cadangan untuk menambah baik perkara itu.

Pengumuman NKRA itu merupakan sebahagian daripada fasa pertama inisiatif Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu satu lagi pendekatan berani yang diperkenalkan Najib bagi membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan.

KPI itu turut merangkumi penilaian barisan menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan perkhidmatan awam yang akan diserahkan kepada Najib.

Tempoh 100 hari Najib sebagai Perdana Menteri pada 11 Julai lalu turut membawa bersama khabar gembira kepada orang ramai. Najib pada hari tersebut mengumumkan 11 insentif yang kebanyakannya memberi manfaat kepada rakyat dari sudut pengguna. Antaranya penawaran diskaun sehingga 20 peratus kepada pengguna kad prabayar Touch 'n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009.

Penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan pula dibenarkan membeli rumah yang disewa pada harga RM35,000 dengan rebat RM2,500 untuk kerja pembaikan rumah. Insentif itu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45,000 orang penyewa sedia ada untuk memiliki rumah idaman masing-masing.

Penduduk di Wilayah Persekutuan khususnya peniaga kecil sekali lagi mendapat manfaat apabila diberikan potongan sehingga 50 peratus bagi memohon dan membaharui lesen perniagaan.

Najib turut mengumumkan tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu selain mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa pada 1 September.

Peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta juga diberikan kepada TEKUN manakala RM15 juta lagi kepada program pembangunan usahawan muda kaum India.

Najib turut komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan. Dalam masa yang sama, usaha memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat dilaksanakan dengan segera.

Komitmen lain termasuk usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.

Najib turut mengumumkan peruntukan sehingga 10 billion unit saham di bawah Amanah Saham 1Malaysia yang dibuka kepada rakyat berumur 18 tahun.

Bagaimanapun di sebalik berita gembira itu, sektor kepenggunaan negara sepanjang tahun ini juga masih bergelut dengan isu basi dan lapuk. Krisis kekurangan gula yang berlaku pada Ogos lalu misalnya, adalah isu yang berulang sejak bertahun-tahun lamanya.

Percayalah, jika tiada tindakan serius daripada kementerian berwajib, kita akan berdepan dengan isu kekurangan gula ini sekali lagi pada 2010. Seperti tahun-tahun sebelumnya, krisis gula tahun ini juga berlaku ketika menjelang musim perayaan.

Di pihak pengguna, kumpulan peniaga, pemborong dan pembekal disalahkan kerana dikatakan cuba mengambil kesempatan daripada permintaan yang mendadak.

Di pihak mereka pula, pengguna yang menyebabkan bekalan gula berkurangan apabila membuat pembelian dalam jumlah yang besar kerana bimbang kehabisan bekalan.

Tidak cukup dengan itu, persatuan-persatuan pengguna pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang didakwa turut menyumbang kepada krisis kekurangan gula. Pengumuman kebarangkalian harga bekalan itu dinaikkan selepas Tahun Baru Cina misalnya, mendorong pembelian panik di kalangan pengguna.

Kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan juga menjadi sasaran rasa tidak puas hati di kalangan pengguna dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Kemelut harga barang dan pemantauan yang tidak berkesudahan menyebabkan NGO tersebut mendesak kerajaan mengasingkan Hal Ehwal Pengguna daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Hal Ehwal Pengguna sebaliknya diminta diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan hak-hak pengguna dilindungi sepenuhnya.

Seperti gula, harga ayam juga mengalami kejutan bermusim tahun ini apabila ia melonjak sekitar 40 hingga 60 sen sekilogram pada April lalu. Wabak pandemik influenza A dikatakan punca yang mendorong lonjakan permintaan ayam di pasaran secara mendadak.

Ironinya harga ayam itu meningkat selang seminggu selepas kerajaan mengumumkan harga bekalan itu diturunkan sebanyak 10 sekilogram.

Keadaan itu mendesak pelbagai pihak menyeru supaya kerajaan campur tangan dengan menentukan harga akhir bekalan itu bagi mengelak ia dimanipulasi oleh pembekal yang memonopoli pasaran itu.

Selain turun naik harga bekalan makanan, tambang baru bagi pengangkutan awam di seluruh negara yang diperkenalkan kerajaan turut memberi kesan kepada pengguna.

Kadar baru meliputi semua jenis kategori perkhidmatan iaitu bas ekspres, bas berhenti-henti, bas mini, bas pengantara, bas sekolah, teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa itu berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Dengan kenaikan itu, kadar baru bagi tambang teksi di Lembah Klang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Melaka dinaikkan dari RM2 untuk satu kilometer pertama kepada RM3. Kadar tambang bas ekspres untuk setiap kilometer pula dinaikkan dari 6.5 sen menjadi 8.05 sen setiap kilometer.

Kenaikan itu bagi kebanyakan pengguna dianggap membebankan jika diambil kira dari sudut perkhidmatan awam yang ditawarkan ketika ini.

Namun bagi kerajaan, kenaikan itu juga akan mendorong kepada transformasi perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik kerana sektor itu kini tidak lagi mempunyai alasan kerana menikmati kadar tambang baru.

Apa pun, kita juga patut mengucapkan terima kasih kepada Menteri dan warga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana berusaha mengawal harga dan kadar inflasi sepanjang tahun 2009.

Indeks Harga Pengguna berada pada kedudukan stabil dan bekalan barang makanan juga mencukupi. Pertama kali dalam sejarah Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak timbul masalah kenaikan harga barang dan bekalan tidak mencukupi.

Semua ini adalah kesan daripada tindakan pantas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang rajin turun padang dan hands on dalam menyelesaikan isu-isu barangan keperluan rakyat.

Utusan Online

Wednesday, December 30, 2009

LPKP cadang wujud sistem profil pemandu

KUALA LUMPUR 30 Dis. — Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang meneliti untuk mewujudkan satu sistem profil pemandu bas ekspres, yang menyenaraikan nama semua pemandu sama ada mempunyai rekod bersih atau disenaraihitamkan dalam usaha membendung kemalangan maut melibatkan pengangkutan awam itu.

Pengerusinya, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, sistem data itu membolehkan pengusaha-pengusaha syarikat bas ekspres mengenal pasti tahap kecekapan dan pemanduan mana-mana pemandu yang memohon untuk berkhidmat di syarikat mereka sebelum membuat keputusan menggaji pemandu itu atau tidak.

"LPKP sedang meneliti untuk mengadakan ”driver”s profiling system” (sistem profil pemandu) sebagai satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan usaha kita untuk mengelakkan tragedi bas ekspres yang boleh meragut banyak nyawa.

"Bagaimanapun, perkara ini memerlukan perincian untuk mengelakkan pertindihan tugas dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang selama ini bertanggungjawab ke atas pemandu.

Selepas penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tahun depan, lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) diletakkan di bawah badan itu,” katanya ketika dihubungi

BERNAMA Online

Tuesday, December 29, 2009

Temuduga proses pilih calon terbaik sertai perkhidmatan awam

SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) ingin merujuk kepada tulisan Rakyat Berkualiti dari Alor Setar, Kedah dalam ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 24 Disember 2009 yang bertajuk Kesal panel temuduga SPA tidak matang.

Temuduga adalah merupakan proses penting untuk mengenal pasti calon yang terbaik dan benar-benar layak sebelum dilantik ke dalam perkhidmatan awam. Temuduga bertujuan menilai kemahiran dan pengetahuan calon dalam perkara-perkara berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

Di samping itu, temuduga juga bertujuan untuk menilai sahsiah dan kompetensi calon.
Kompetensi ini meliputi sahsiah calon seperti aspek disiplin, komitmen, integriti dan lain-lain lagi yang ditentukan mengikut keperluan jawatan.

Soalan-soalan yang dikemukakan adalah untuk mendapatkan gambaran tentang kompetensi calon, termasuk penilaian dari segi emosi calon untuk memastikan mereka ini adalah sesuai untuk memasuki perkhidmatan awam.

Setiap soalan mempunyai tujuan tertentu dan penilaian dibuat ke atas jawapan yang diterima dan dibandingkan dengan calon-calon yang lain.

Berhubung dengan cadangan supaya panel temuduga SPA dilantik daripada kalangan suruhanjaya bebas, adalah dimaklumkan bahawa SPA itu sendiri adalah badan bebas yang dipertanggungjawabkan untuk melantik pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam di bawah bidang kuasanya.

Ahli suruhanjaya adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 139(4), Perlembagaan Persekutuan dan merupakan bekas pegawai kanan dalam perkhidmatan awam yang mempunyai kematangan, kepakaran, pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam perkhidmatan awam.

RADZIAH MOHD. SHARIF
Pegawai Perhubungan Awam
b.p. Setiausaha
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia


Utusan Online

Friday, December 25, 2009

Siswazah pilih sektor awam

MELAKA 24 Dis. - Para siswazah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini memilih untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jaminan masa depan.

Ini terbukti apabila sebanyak 5,000 dari kumpulan itu telah memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada Karnival Kerjaya SPA di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka yang berakhir semalam.

Rata-rata mereka yang ditemui menyifatkan bekerja dalam perkhidmatan awam lebih menjamin masa depan selain terpikat dengan kenaikan gaji, elaun dan kebajikan penjawat awam.
Seorang lepasan SPM, Abdul Rahim Abdullah, 17, berkata, dia memilih untuk mencuba nasib di jabatan kerajaan kerana banyak kebaikan yang bakal diterimanya.

''Saya sekadar mencuba nasib dan saya tahu terlalu ramai memohon untuk bekerja di sektor awam," katanya ketika ditemui pada hari terakhir pada Karnival Kerjaya (SPA) di MITC di sini semalam.

Bagi Ahmad Kharani Md. Khali, 20, bekerja di sektor kerajaan dapat menjamin pelbagai kebaikan kepada dirinya.

''Sejak dahulu lagi, saya berharap dapat bekerja di sektor kerajaan dan bagi saya banyak faedah yang disediakan termasuklah pencen.

''Pada masa ini, apa yang lebih penting adalah mencari pekerjaan yang mempunyai masa depan,'' katanya.

Bagi Wan Noor Azura Wan Fauzi, 23, dia telah lama ingin bekerja dengan kerajaan kerana ia lebih menjamin masa depan dengan gaji dan pelbagai elaun yang ditawarkan.

''Dengan peluang yang diberikan melalui karnival sebegini, saya telah memohon dan amat berharap untuk diterima bekerja.

''Saya tahu ramai yang memohon, saya hanya berserah pada nasib," katanya lagi.

Nurul Akmar Zainal Abidin, 23, berkata, pelbagai kemudahan yang disediakan sebagai penjawat awam mendorongnya memohon jawatan di SPA.

''Pada masa ini kakitangan kerajaan memperoleh gaji, elaun dan beberapa kemudahan lain yang saya lihat sudah cukup menjamin masa depan berbanding bekerja dengan syarikat swasta.

''Dalam kegawatan ekonomi global tidak banyak tawaran pekerjaan di syarikat swasta maka saya mencuba nasib untuk memohon bekerja dalam perkhidmatan awam," katanya.

Mohd. Faiz Roslan, 22, yang kini berniaga secara kecil-kecilan turut mengambil peluang memohon pekerjaan di sektor kerajaan.

''Bekerja di sektor kerajaan banyak membantu di masa hadapan dan di hari tua nanti dari segi gaji, elaun, kebajikan dan beberapa kemudahan lain," katanya.

Utusan Online

Perkemaskan sistem pemantauan jabatan

KEHILANGAN dua enjin jet tempur F-5E dari inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memang menghairankan.

Kalau hendak dikira secara logiknya adalah sesuatu yang tidak masuk akal enjin jet yang hanya boleh dibawa dengan kontena boleh lesap begitu sahaja kerana prosedur kawalan yang begitu ketat dan rapi setiap pintu masuk ke pangkalan TUDM. Ia berfungsi 24 jam. Bagaimanapun oleh kerana ia masih dalam siasatan, maka tidak perlu kita membuat andaian yang bukan-bukan.

Sementara itu, amatlah diharapkan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil iktibar dengan peristiwa kehilangan barang-barang berharga daripada inventori TUDM itu.

Ini kemungkinan ada di antara jabatan kerajaan juga kehilangan barang-barang yang mempunyai nilai tinggi. Mungkin banyak lagi yang turut lesap daripada inventori kerajaan lain.
Ia termasuk juga yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan lain.

Sepatutnya pemeriksaan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali atau lebih baik lagi jika dapat membuat pemantauan seminggu sekali oleh pegawai yang diberikan tanggungjawab ke atas setiap barang-barang milik kerajaan.

Janganlah mengambil masa sehingga bertahun untuk mengesannya. Itu pun jika kehilangan itu disedari oleh mereka yang bersikap amanah dan rasa bertanggungjawab untuk dibawa ke atas.
Jangan terlalu bergantung dan serah bulat-bulat kepada jabatan audit untuk memantau kerana mereka hanya melakukan setahun sekali.

Saya syorkan segala sistem yang berkaitan dengan inventori kerajaan perlu dikaji semula segala prosedur dan cara pengendalian yang lebih canggih dan lebih baik. Ini kerana bukan sahaja kerajaan akan rugi ratusan juta ringgit tetapi juga keselamatan negara boleh tergugat jika sekiranya musuh-musuh kita dapat maklumat akan setiap inci kelemahan kita melalui dokumen rahsia kerajaan.

Ini perkara serius dan perlu diambil tindakan sewajarnya dengan segera. Setiap orang yang berakal tidak akan tergamak untuk khianat kepada tanah tumpah darahnya walaupun mengambil sebatang pen mata bola hak kerajaan tanpa kebenaran kerana kita telah melanggar etika sumpah taat setia semasa menerima jawatan yang ditawarkan itu.

Utusan Online

Tuesday, December 22, 2009

39 staf JKR terlibat bekerja dari rumah

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Kementerian Kerja Raya yakin program perintis bekerja dari rumah yang dilancarkan hari ini akan berjaya dan dapat diteruskan sebagai satu amalan baru dalam sektor perkhidmatan awam.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, program perintis bermula Januari hingga Mac tahun depan itu memberi banyak kelebihan kepada kerajaan dan kakitangan awam terutama soal penjimatan kos sara hidup yang semakin meningkat.


"Program ini bukan dibuat untuk suka-suka. Saya amat percaya ia akan dapat diteruskan setelah projek perintis ini selesai," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program tersebut di sini hari ini.


Seramai 39 kakitangan yang berkhidmat di kementerian itu terutama mereka yang bertugas sebagai Penolong Juruukur Bahan, Pelukis Pelan dan Juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) terpilih untuk menjalani program perintis itu selama tiga bulan.


Kesemua mereka yang bertugas di Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan dipilih berdasarkan skop tugas secara langsung yang hanya melibatkan penggunaan komputer dan Internet.


Mereka yang dipilih juga terdiri daripada kakitangan berprestasi tinggi, bebas tindakan tatatertib, hanya memerlukan pengawasan minimum dan sanggup menerima semua tugasan.


Shaziman berkata, program tersebut akan membolehkan mereka yang terpaksa berbelanja sehingga RM1,300 sebulan untuk ke tempat kerja berjimat, selain dapat menumpukan masa yang lebih berkualiti di rumah dan mengurangkan tekanan di tempat kerja.


Katanya, di pihak kerajaan, ia akan dapat mengurangkan kos operasi seperti sewa pejabat, bangunan, tempat letak kereta, bil utiliti dan penyelenggaraan.


Beliau berkata, program itu akan dapat melatih dan membudayakan kakitangan JKR untuk memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti Internet selaras dasar kerajaan mempertingkatkan penggunaannya pada tahun depan.


Begitupun, katanya, cabaran besar yang perlu dihadapi kementerian dalam melaksanakan program itu adalah memastikan integriti kakitangan yang bertugas dapat dijaga dengan baik.


"Apa yang kita harapkan mereka yang terpilih ini bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Bagaimanapun, kita sentiasa memantau tugas-tugas yang mereka lakukan," katanya.
Jelasnya, antara mekanisme yang dirangka bagi mengukur produktiviti peserta sepanjang program itu termasuk menilai hasil kerja berdasarkan sasaran yang ditetapkan.


"Misalnya jika purata hasil kerja semasa adalah 10 helai lukisan sebulan bagi seorang pelukis pelan, maka sasaran untuk program ini adalah dia perlu menghasilkan 13 lukisan baru dalam sebulan," katanya.


Sementara itu, seorang peserta program itu, Norhayati Zakaria, 49, yang sudah 29 tahun bertugas sebagai Pelukis Pelan di JKR berpendapat, program itu amat fleksibel dan memudahkan urusan hariannya.


Katanya, jadual kerja hariannya sekarang mengambil masa yang banyak terutama apabila terpaksa menghabiskan tiga hingga empat jam di atas jalan raya untuk ke tempat kerja.


Ujarnya, setiap hari dia terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk petrol, tol dan makan selain membayar tempat letak kereta di pejabatnya yang terletak di Mid Valley Megamall.


"Saya lega kerana apabila program ini dilaksana kelak, ia akan dapat meringankan bebanan yang saya hadapi terutama kos sara hidup dan menjaga keluarga setiap hari," katanya.


Menurutnya, program itu amat sesuai diamalkan bagi sesetengah kakitangan kerajaan sepertinya yang tidak memerlukan pengawasan pihak atasan dengan kerap.


Bagi Noorsam Samsuddin yang telah 18 tahun bertugas sebagai Pelukis Pelan di JKR, percubaan melaksanakan program bekerja dari rumah itu amat memberi faedah kepadanya.


Katanya, masalah utama yang dihadapi oleh golongan pekerja sepertinya adalah terpaksa menggunakan masa yang begitu banyak hanya untuk pergi dan pulang dari kerja.


Sementara itu, Mustaffa Kamal Nordin yang telah 31 tahun bertugas di pejabat cawangan arkitek JKR gembira dengan langkah kementerian memulakan program tersebut.


Katanya, ia masa yang sesuai untuk kerajaan mula memikirkan langkah yang lebih fleksibel dan memudahkan golongan pekerja melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.


Selain itu, katanya, program tersebut memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara.

Monday, December 21, 2009

Lantik wakil CUEPACS dalam Angkasa - Omar

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diminta mempertimbangkan pelantikan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggotai Jawatankuasa Tadbir pertubuhan itu secara automatik.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, langkah itu sebagai menghargai sumbangan kakitangan awam yang majoritinya juga adalah ahli Angkasa.

Beliau berkata, 80 peratus daripada 7 juta ahli Angkasa ialah anggota perkhidmatan awam yang masih berkhidmat atau bersara.

''Oleh itu, Angkasa perlu mempertimbangkan pelantikan wakil CUEPACS dalam pertubuhan itu secara automatik.

''Wakil CUEPACS itu hendaklah terdiri daripada Presiden atau sesiapa sahaja yang menjadi presiden kesatuan ini pada masa depan. Wakil CUEPACS tidak perlu bertanding ,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Yang Dipertua Angkasa pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke- 26 hari ini bagaimanapun menarik diri di saat akhir.

Beliau memberi alasan untuk memberi tumpuan penuh bagi memantapkan lagi kesatuan berkenaan.

Menurut Omar, dengan kehadiran wakil CUEPACS dalam kepimpinan Angkasa kerjasama dua hala boleh dipertingkat demi kebaikan ahli.

Utusan Online

Saturday, December 19, 2009

NKRA bukti kesungguhan kerajaan

PETALING JAYA 18 Dis. – Segala maklumat mengenai Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) tidak mungkin didedahkan kepada umum jika kerajaan tiada keinginan politik dan kesungguhan untuk mencapai matlamatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang bersungguh-sungguh ingin mencapai matlamat tersebut.

“Kalau kerajaan tidak mempunyai keinginan politik, semua maklumat dalam enam bidang NKRA seperti jenayah dan rasuah tidak akan didedahkan kepada orang ramai.

“Apabila maklumat-maklumat ini diberi secara terbuka bermakna kerajaan bersedia melaksanakan bersama-sama dengan rakyat,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar hari terakhir Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di JPM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala serta semua Ketua Makmal NKRA.

Soalan itu diajukan berikutan maklum balas daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengenai NKRA.

Kit Siang mempersoalkan sama ada kerajaan berkeinginan politik untuk melaksanakan setiap maklumat yang didedahkan pada hari terbuka GTP terutama berkaitan rasuah dan jenayah.

Ditanya mengapa menteri-menteri utama yang bertanggungjawab dalam enam bidang NKRA tidak hadir, Tsu Koon menjelaskan, hari terbuka GTP ini bukan mengenai menteri tetapi pegawai dan kakitangan awam yang bertanggungjawab melaksanakan GTP.

“Menteri-menteri telah memberi komitmen dalam NKRA dan hari ini bukan untuk mereka tetapi mengenai pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta rakyat,” katanya.

Mengenai ketidakhadiran Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam program ini, beliau memberitahu mereka telah diberi taklimat mengenai NKRA dan GTP.

Menjawab rungutan pengunjung mengenai makmal-makmal NKRA mengutamakan bahasa Inggeris, Tsu Koon memberitahu, Bahasa Kebangsaan tidak diketepikan sebaliknya hari terbuka itu dilaksanakan dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, beliau bersetuju memperbaiki kekurangan hari terbuka GTP ini terutama soal bahasa bagi membolehkan komunikasi dua hala terutama penduduk luar bandar untuk mendapatkan maklumat.

Utusan Online

Thursday, December 17, 2009

Berita@INTURA Disember 2009

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar











Timbang nasib pekerja kontrak

DALAM keadaan politik dan ekonomi yang stabil, sektor awam merupakan cabang pekerjaan yang menjadi rebutan. Ia ditambah dengan pelbagai kelebihan lain yang dalam kebanyakan sudut jauh lebih baik berbanding sektor swasta.

Ketika ini dianggarkan terdapat seramai 1.2 juta orang pekerja yang berkhidmat di sektor awam. Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 60,000 lagi pekerja yang berkhidmat secara kontrak. Bagi sebuah pentadbiran negara yang kukuh, jumlah pekerja kontrak itu boleh dianggap tinggi.

Kerana itu, timbul desakan supaya kerajaan mengkaji semula kedudukan pekerja kontrak itu dan menyerap mereka ke jawatan tetap. Antara yang lantang bersuara sudah semestinya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Kebimbangan CUEPACS itu sebenarnya lebih kepada kedudukan ekonomi pekerja. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang suram ketika ini. Persaingan untuk mendapatkan kerja baru sudah semestinya sangat sukar apatah lagi dianggarkan sekurang-kurang 500,000 orang memasuki dunia pekerjaan saban tahun.

Lebih malang, ada pekerja kontrak itu yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen kewangan yang besar. Hilang pekerjaan dalam tempoh-tempoh yang sukar seperti ini pastinya lebih menyulitkan kehidupan mereka.

Bagi CUEPACS penyerapan pekerja kontrak ke jawatan tetap perlu diutamakan demi menjamin manfaat yang sewajarnya kepada kumpulan pekerja tersebut. Ia terutamanya kemudahan pencen apabila bersara yang diperlukan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

CUEPACS juga bimbang dengan nasib pekerja kontrak yang boleh diberhentikan kerana gagal dalam penilaian prestasi meskipun selepas lama berkhidmat. Apatah lagi apabila terdapat ketua yang bertindak secara tidak profesional dan menggunakan jawatan kontrak itu untuk mengugut pekerja.

Diskriminasi lain terhadap pekerja kontrak yang dilaporkan juga termasuk bayaran yang tidak sama dan tidak memberikan bonus seperti yang dinikmati oleh pekerja tetap. Selain itu mereka juga tidak diberikan latihan secara formal dan penafian lain terhadap hak-hak pekerja.

Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk menimbangkan tuntutan CUEPACS itu dengan menyerap pekerja kontrak supaya nasib mereka dibela seadilnya. Lebih daripada itu, penyerapan tersebut juga memberi manfaat kepada kerajaan kerana kebanyakan daripada mereka adalah pekerja terlatih dan berpengalaman.

Cadangan menghapuskan sistem pekerjaan kontrak dalam sektor awam dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan. Seperti yang dikongsi oleh pemerhati sosial, Mohd Na'eim Ajis, kumpulan pekerja itu juga sudah mahir dengan struktur organisasi kerajaan.

Kerajaan juga katanya, dapat berjimat dalam soal kos latihan dan pembangunan staf di sesebuah agensi.

"Jangan disebabkan pelaksanaan yang dilakukan oleh sesetengah pihak tidak betul, sistem kontrak ini hendak dihapuskan," ujar pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Bagaimanapun di pihak kerajaan juga ada alasan yang munasabah. Sistem kontrak baik di sektor awam mahupun swasta dapat mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Majikan mempunyai liabiliti yang tinggi jika mengambil pekerja tetap terutamanya dari sudut faedah pekerjaan yang perlu disediakan berbanding pekerja kontrak.

Ini sudah tentu akan meningkatkan kos operasi sesebuah organisasi atau syarikat. Faktor bajet ini jugalah yang menjadi punca kepada ketidaktentuan nasib sebilangan pekerja kontrak di agensi kerajaan yang dilaporkan akan ditamatkan perkhidmatan mereka awal bulan depan.

Malah, dalam hal ini juga kerajaan sudah memainkan peranan sewajarnya apabila terdapat pekerja kontrak itu merupakan pekerja yang terjejas sewaktu krisis ekonomi awal tahun lalu. Justeru perkara ini menuntut kepada persefahaman yang tinggi dan adil, baik di pihak pekerja mahu pun kerajaan.

Bagaimanapun untuk jangka masa panjang, sistem perkhidmatan kontrak wajar diperhalusi supaya hak pekerja dapat dilindungi dan produktiviti sektor awam juga dapat dipertingkatkan. Bagi Naem, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan kerajaan dalam mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Pertamanya kata beliau, kerajaan boleh mewujudkan unit mengambil, mengurus, memantau dan mengkoordinasi sistem pekerjaan kontrak. Ini bertujuan menguruskan sektor itu secara telus dan adil.

Kuasa mutlak kepada ketua jabatan juga ujar beliau, wajar dipertimbangkan. Ini termasuk dalam soal menentukan dan mempertimbangkan seseorang pekerja diserap ke jawatan tetap, dilanjutkan kontrak atau sebaliknya.

"Pengurangan kuasa ini akan memberi ruang kepada pekerja untuk bersaing secara sihat dan ketua jabatan juga tidak dipersalahkan jika sistem ini mempunyai masalah," katanya.

Kedua, tempoh kontrak yang ditawarkan juga tidak boleh kurang dari tiga tahun. Ini bagi mengelakkan pekerja kontrak tidak diperkotak-katikkan oleh ketua jabatan terutama dalam aspek kenaikkan gaji. Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan jika pekerja kontrak disambung perkhidmatannya, gaji yang dalam kontrak sebelumnya diambil kira.

Ketiga, perkhidmatan seseorang pekerja berstatus kontrak perlu mempunyai tempoh matang tertentu supaya dapat diserap ke jawatan tetap jika menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Sebagai contoh, kerajaan boleh menetapkan lima tahun bagi tempoh matang pekerja kontrak dan selepas itu ia perlu dipertimbangkan untuk diserapkan ke jawatan tetap. Dengan syarat ia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut.

"Tempoh matang ini perlu supaya seseorang pekerja kontrak itu tidak terus dianiaya oleh ketua jabatannya yang tidak mahu mengesahkan jawatannya sampai bila-bila," ujar Naem.

Keempat, setiap perjanjian kontrak yang melibatkan pekerjaan sama ada di sektor swasta atau kerajaan perlu ada badan yang pemantau. Jika di sektor awam pihak yang lebih berhak ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disektor swasta pula Kementerian Sumber Manusia.
Pemantauan dan penilaian terhadap dokumen kontrak pekerjaan itu jelas Naem, bagi memastikan majikan tidak sewenang-wenangnya menganiaya pekerja yang diambil dengan meletakkan syarat-syarat yang boleh menyusahkan pekerja.

Kerajaan juga perlu memastikan tidak berlaku diskriminasi terhadap pekerja-pekerja sektor awam yang bekerja di organisasi yang telah diswastakan.

"Ini kerana ada antara mereka mendapat layanan tidak adil dan faedah dikurangkan oleh majikan baru," katanya. Justeru dalam hal ini, pendekatan terbaik ialah satu resolusi mengenai layanan yang adil perlu ditandatangani di antara pihak majikan dan pekerja sebelum pertukaran hak milik dilakukan.

Ini bagi membolehkan ia menjadi bukti komitmen kedua-kedua belah pihak terutama dalam menangani isu-isu pekerjaan yang timbul.

Utusan Online

UM perlu jelaskan pelantikan dua kakitangan

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon perlu menjelaskan isu pelantikan dua kakitangan atasan universiti itu yang tidak memenuhi syarat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ahli Parlimen Pas dari Padang Terap, Mohd. Nasir Zakaria mendakwa menerima beberapa aduan bahawa Profesor dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM, Dr. David Ngo Chek Leng tidak mempunyai kelayakan minimum iaitu kepujian Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, selain itu, pelantikan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) UM, Dr. David Asirvatham pula dilakukan tanpa melalui proses temuduga.

"Dr. Ngo dikatakan tidak mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik sehingga beberapa mesyuarat fakulti terpaksa ditangguhkan kerana itu.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana amalan biasa dalam mesyuarat agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan bahasa Malaysia.

"Selain itu, bagaimana Dr. Asirvatham boleh menjawat jawatan Pengarah PTM sedangkan mengikut rekod universiti, beliau tidak melalui proses temuduga sama ada oleh universiti mahupun JPA," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussain dan Pengerusi Biro Kepimpinan, Kerohanian dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam UM, Mohd. Aizat Mohd. Saleh.
Mohd. Nasir seterusnya mempersoalkan adakah Dr. Gauth mengamalkan kronisme dengan melantik Dr. Ngo dan Dr. Asirvatham kerana kedua-duanya bekas kakitangan Universiti Multimedia (MMU).

"Saya juga meragui tawaran gaji Dr. Asirvatham iaitu RM18,000 sebulan, satu angka di luar kebiasaan tangga gaji kakitangan universiti dan JPA sendiri," ujarnya.

Utusan Online

Tuesday, December 15, 2009

Jakess terima pensijilan MS ISO 9001:2008

SHAH ALAM 15 Dis. — Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (Jakess) muncul sebagai jabatan kehakiman syariah negeri pertama dianugerahi sijil MS ISO 9001:2008 kerana menyediakan sistem pengurusan dan pentadbiran terbaik dalam mengendalikan kes mal, jenayah, rayuan dan pembahagian faraid.

Ia menerima sijil itu daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd dan IQ-Net.
Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Datuk Zohdi Toha berkata, pengiktirafan bertaraf dunia itu menunjukkan Jakess menyemarakkan lagi usaha-usaha untuk merealisasikan wawasan menjadikan perkhidmatan awam sebagai terbaik dan terunggul di dunia, meskipun bilangan pendaftaran kes meningkat setiap tahun.

"Pengiktirafan ini menunjukkan Jakess melaksanakan sistem pengurusan kualiti terbaik bersama wakil pengurusan, serta sayap-sayap peneraju utama dalam pelaksanaan ISO jabatan iaitu Jawatankuasa Pemandu, Pasukan Dokumentasi, Pasukan Kualiti, Pasukan Audit Dalam serta Juruaudit.

"Kejayaan ini secara tidak langsung mencerminkan betapa tingginya komitmen kakitangan Jakess,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

BERNAMA Online

Monday, December 14, 2009

Pekerja kontrak ditamatkan 31 Disember?

SHAH ALAM 13 Dis. - CUEPACS sudah menerima aduan daripada kakitangan kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini, antaranya Kementerian Pelajaran, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan Jabatan Pertanian.

Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS menerima aduan hampir setiap hari berhubung kebimbangan kakitangan kontrak yang tidak disambung perkhidmatan itu dan kebanyakan mereka kini semakin tertekan dan terhimpit dengan keadaan tidak pasti berkenaan.

"Setakat ini sahaja, kami terima aduan daripada kira-kira 200 pekerja kontrak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri... atas alasan bajet tidak mencukupi, dan kami anggarkan jumlah itu akan meningkat.

"CUEPACS merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk menamatkan perkhidmatan kakitangan terbabit demi masa depan mereka," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Kursus Bola Tampar Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Omar berkata, kebanyakan pekerja kontrak terlibat merangkumi golongan muda berusia antara 25 hingga 30 tahun dan sudah berumah tangga.

"Pekerja kontrak yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tidak menghadapi masalah kontrak mereka dilanjutkan," katanya yang menambah terdapat kira-kira 60,000 kakitangan awam kontrak di negara ini.

BERNAMA Online

Saturday, December 12, 2009

Kakitangan MTPN perlu diserap ke Jabatan Pelancongan

KOTA BHARU 11 Dis. - Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Kelantan, Datuk Abdul Aziz Derashid berharap kakitangannya yang berkhidmat di majlis tersebut diserapkan ke Jabatan Pelancongan Negeri (JPN) secara automatik apabila ia dibubarkan hujung Disember ini.

Beliau berkata, pengalaman dan kepakaran anak buahnya dalam memajukan sektor pelancongan negeri tidak wajar diketepikan dalam mengisi tempat di JPN nanti.

Sehubungan itu, katanya, beliau sedang berusaha melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerapkan kesemua kakitangan terbabit secara tetap dan berpencen ke dalam jabatan baru tersebut terutama bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik.

"MTPN Kelantan dan juga di negeri-negeri lain secara rasminya akan dibubarkan pada 31 Disember ini. Bermula 1 Januari ini, JPN akan ditubuhkan di setiap negeri dengan pegawai-pegawai dari atas ke bawah akan diisi oleh kakitangan kerajaan.

"Saya minta mereka diserap ke JPN ataupun Kementerian Pelancongan kerana mereka ini sebenarnya cukup faham tentang industri pelancongan, mereka sudah lama terlibat sejak MTPN beroperasi di negeri ini tujuh tahun lepas," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan Majlis Bicara Eksekutif Budaya 2009 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Kelantan di Dewan Kuliah Taman Budaya di sini semalam.

MTPN Kelantan dibarisi seramai 10 tenaga penggerak.

Oktober lalu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen mengumumkan pembubaran semua MTPN di seluruh negeri pada 31 Disember ini dan digantikan dengan JPN mulai tahun hadapan.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan pembubaran itu dilakukan kerana MTPN didapati kurang berkesan dalam mencapai matlamat penubuhannya.

Melalui JPN yang akan ditubuhkan pada 1 Januari 2010, pihak kementerian berharap boleh berurusan secara langsung untuk membangunkan industri pelancongan di peringkat negeri.

MTPN yang diwujudkan di seluruh negara sejak 2002 mempunyai lebih 150 kakitangan keseluruhannya yang berkhidmat secara kontrak.

Utusan Online

Friday, December 11, 2009

Inovasi organisasi pemangkin kecemerlangan

SETIAP organisasi harus sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Jika ia masih di takuk lama tanpa ada perubahan ke arah kecemerlangan, nescaya ia akan tewas dalam persaingan.
Lambat-laun organisasi berkenaan akan menjadi "hidup segan mati tak mahu" dan mungkin terus terkubur.

Justeru, inovasi berterusan diperlukan dalam mempelbagaikan dimensi bukan hanya mencakupi prosedur kerja tetapi juga dalam cara berfikir, bertindak dan sanggup berubah. Ia perlu supaya terus relevan dan selari dengan keperluan semasa.

Inovasi ini merupakan agenda utama negara yang disentuh dalam Bajet 2010 lalu.
Salah satu inovasi yang ditekankan adalah menerusi tadbir urus dalam sektor awam dan sektor swasta.

Sehubungan itu, inovasi adalah satu ciri penting dalam memastikan perkhidmatan kepada pelanggan sentiasa berada pada tahap cemerlang dan memuaskan mereka.

Bahkan usaha menjadikan elemen inovasi sebagai pemangkin kecemerlangan perkhidmatan perlulah diterapkan kepada semua kakitangan di pelbagai peringkat bermula daripada pengurusan tertinggi hinggalah kepada kumpulan sokongan.

Namun harus diingat bahawa melakukan inovasi tidaklah semudah yang disangka.
Kerap kali pelaksanaan inovasi menemui kegagalan kerana budaya organisasi tidak secocok dengan keperluan untuk melakukan perubahan.

Pelaksanaan inovasi menuntut warga kerja organisasi berfikiran lebih terbuka, tidak jumud dan sentiasa dinamik.

Mereka perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi melakukan pembaharuan.
Kegagalan untuk bergerak cepat bersama perubahan ini akan menutup peluang besar yang menyebabkan kakitangan awam akan ketinggalan jauh.

Keadaan yang sama akan berlaku sekiranya kakitangan awam tidak berupaya menguruskan perubahan mendadak ini dengan bijak.

Antara contoh terbaik penerapan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan, adalah menerusi penggunaan secara meluas aspek perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Perkembangan ICT kini secara langsung telah mengubah cara bekerja dalam organisasi. Sebagai contoh, ketua-ketua jabatan perlu memahami dan mengikuti perkembangan ICT dan bagaimana kecanggihan dan potensinya dapat digunakan secara paling produktif.

Sesungguhnya penggunaan ICT yang betul dan strategik akan meningkatkan keupayaan untuk mencorak dasar, strategi dan programprogram pembaharuan dalam perkhidmatan awam.
Langkah-langkah ke arah ini sebenarnya telah pun dimulakan tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan.

Apa yang lebih penting ialah ke mana arah tuju organisasi? Apakah agenda masa depan dan bagaimana dapat mengisi masa depan dengan agenda tersebut?

Hakikatnya, teknologi ini membolehkan sesuatu keputusan dibuat dengan pantas dan maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat.

Oleh itu, dalam memenuhi tuntutan pengguna, inovasi dalam sistem penyampaian perlu diberi keutamaan untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

Sebagai contoh, pelaksanaan kerajaan elektronik merupakan satu daripada tuntutan tersebut.
Bagaimanapun, sejauh manakah kecemerlangan perkhidmatan awam menerusi teknologi ini dapat memenuhi tuntutan rakyat?

Tidak dapat dinafikan bahawa revolusi ICT dalam perkhidmatan awam telah wujud sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996.

Kewujudan teknologi ini dikatakan dapat meningkatkan akses penyampaian perkhidmatan awam. Ia bukan sahaja dapat memperbaiki perkhidmatan antara kerajaan dan rakyat malah meningkatkan lagi ketelusan dan mengurangkan birokrasi.

Satu ciri utama kerajaan elektronik di Malaysia ialah melalui portal perkhidmatan untuk orang ramai yang dikenali sebagai MyGovernment.

Portal ini turut menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan hampir semua agensi kerajaan antaranya e-perkhidmatan, e-syariah, e-perolehan dan sebagainya.

Menerusi e-perkhidmatan, rakyat dapat membuat bayaran seperti lesen memandu, saman, elektrik, telefon dan bil-bil Internet.

Begitu juga menerusi portal e-syariah yang diperkenalkan pada 2005. Ia bukan hanya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan pengurusan dalaman malah ia mudah untuk bertindak seperti memfailkan pelbagai kes guaman sivil, faraid dan jenayah.

Apa yang lebih menarik, portal ini boleh merentasi negara.

Ia membenarkan para peguam, pendakwa, plaintif dan defendan memfailkan afidavit dalam talian, mendapat tarikh perbicaraan dan lanjutan status kes-kes mereka.

Portal itu juga bertindak sebagai kaunter sehenti pada badan kehakiman. Ia turut membolehkan orang ramai merujuk semua enakmen pentadbiran mahkamah.

Semua ini memudahkan rakyat membuat segala urusan dengan cepat dan pantas.

Sehubungan itu, inovasi dalam sektor awam terutama dalam meningkatkan penggunaan ICT di kalangan kakitangan dan pegawainya adalah penting sebagai proses inovasi atau pembaharuan dan juga bertindak sebagai pemangkin kecemerlangan masa depan negara dan sektor awam khasnya.

Tanpa adanya inovasi terutama dalam penguasaan dan kemahiran ICT ini, kualiti perkhidmatan awam negara akan terus di takuk lama dan hasrat untuk menjadi antara 10 negara paling cekap di dunia menjelang 2020 tentu sukar tercapai.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik,
Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Utusan Online

Thursday, December 10, 2009

CUEPACS mahu perkhidmatan kontrak ditamatkan

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan diminta menamatkan skim perkhidmatan kontrak di kalangan penjawat awam mulai tahun 2011 sebaliknya mereka perlu diserapkan ke jawatan tetap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, penamatan itu perlu dibuat secara berperingkat-peringkat memandangkan terdapat 60,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam ketika ini.

"Kita mahu semua pekerja kontrak untuk tahun 2010 diberi jawatan tetap walaupun mereka masih baru, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada orang yang telah lama berkhidmat.
"CUEPACS memang memandang serius perkara ini kerana banyak generasi muda, kebanyakannya masih berumur bawah 30 tahun sudah seronok bekerja tetapi perkhidmatan mereka tidak disambung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Perwakilan Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia Sesi 2009/2011 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan sesetengah ketua jabatan yang terlalu mudah memberhentikan pekerja dengan menggunakan alasan tidak cukup peruntukan.

"Memang mereka ini kontrak, tetapi kalau sudah berkhidmat sehingga 10 tahun, tak kan senang-senang hendak berhenti.

"Sebagai ketua, janganlah jadi diktator. Pendatang asing pun kita tidak boleh memberhentikan mereka, inikan pula rakyat kita sendiri," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Omar berkata, pihaknya akan memohon penambahan lima tangga gaji bagi setiap gred perkhidmatan yang telah mencapai tangga gaji mati.

Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan secara terperinci dalam mesyuarat CUEPACS bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya minggu pertama bulan Januari tahun hadapan.

"Sebanyak 45 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam di negara ini sudah mencapai gaji maksimum.

"Sekiranya tiada kenaikan gaji, kita bimbang ia akan menjejaskan prestasi dan produktiviti," katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya akan mengutarakan pembelaan penjawat awam yang telah dikenakan tindakan tata tertib melibatkan pemberhentian kerja, untuk mendapatkan bayaran pampasan perkhidmatan dan gantian cuti rehat yang telah dikumpul.

Katanya, kesalahan yang dilakukan itu tidak ada kena-mengena dengan bayaran pampasan yang dituntut.

Utusan Online

Wednesday, December 9, 2009

Jangan kerja kerana duit – Taib

KUCHING 8 Dis. – Kakitangan perkhidmatan awam diingatkan supaya tidak menjadikan wang sebagai dorongan kerja dan kebahagiaan tetapi menjadikan tugas menyelesaikan masalah rakyat sebagai satu amanah dan kepuasan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memberi nasihat itu berkata, wang ringgit sebenarnya seperti dadah yang boleh menyebabkan ketagihan yang melampau dan merosakkan diri sendiri.

Sambil menasihatkan kakitangan awam mempertahankan integriti, beliau memberi contoh kepuasan dalam kerjayanya sebagai Ketua Menteri ialah apabila berjaya menyelesaikan masalah rakyat.

‘‘Wang ringgit ini macam dadah, timbul ketagihan. Kita tidak pernah puas, makin banyak lagi yang kita mahukan.

‘‘Apa yang saya rasa dalam bekerja apabila dapat mengatasi masalah rakyat. Saya akan rasa puas hati dan ia menyerap dalam hati,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Penutupan Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) 2009 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

JKP kali ini bertemakan Tadbir Urus Baik Penentu Pembangunan Mampan yang membabitkan lebih 300 peserta dari jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang berlangsung selama dua hari bermula 7 Disember.

Abdul Taib berkata, mereka yang bahagia dengan tugas dan tanggungjawab akan menikmati istilah sebenar erti sebuah kehidupan yang bukan berdasarkan kepada faktor kebendaan semata-mata.

Faktor kebendaan tegas beliau, akan menjadikan kakitangan awam terdedah kepada rasuah dan menyebabkan kehilangan kepercayaan daripada rakyat yang menyokong kerajaan.
‘‘Semenjak kita merdeka, rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap jabatan kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah mereka sehingga menukar corak pentadbiran jabatan kerajaan,” jelas beliau.

Tambahnya, kakitangan perkhidmatan awam kini menanggung amanah yang besar daripada rakyat dengan bidang tugas yang semakin besar dan masalah yang semakin rumit.

Bagaimanapun katanya, semakin besar jentera pentadbiran, maka akan bertambah sukar untuk saling lengkap melengkapi dan menyebabkan kemungkinan timbul kerenah birokrasi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengadakan latihan setiap tahun untuk kakitangan perkhidmatan awam supaya mereka dapat menyuarakan masalah dan membantu mencari penyelesaiannya.

Utusan Online

CEUPACS optimis dapat bayaran khas RM500 kedua

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) optimis kerajaan akan memenuhi permintaan mereka untuk memberikan bayaran khas RM500 yang kedua bagi menggantikan bonus yang dituntut sebelum ini.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, daripada beberapa pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau cukup positif lebih satu juta kakitangan awam di negara ini bakal menerima khabar gembira tersebut tidak lama lagi.

Kata beliau, ini berikutan reaksi meyakinkan yang ditunjukkan Perdana Menteri apabila menyentuh tentang permintaan CUEPACS itu setelah kerajaan memutuskan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam.

''Misalnya, baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi, apabila ditanya mengenai tuntutan itu, beliau memberi reaksi positif.

''Cuma kita pohon, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum bermulanya musim persekolahan tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan yang kerajaan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam tahun ini memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu.
Bagaimanapun kerajaan memutuskan untuk membayar bantuan khas sebanyak RM500 diberikan kepada kakitangan awam dan pesara.

Pada perkembangan berasingan, Omar meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menilai semula Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selepas penambahbaikan dilakukan ke atas sistem itu baru-baru ini.

Menurutnya, ini perlu kerana selepas penambahbaikan dilakukan, ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan terbabit tidak lulus.

''Oleh itu, CUEPACS mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu, sehingga semakan semula dilakukan.

''Memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikkan gaji, apakah elemen yang diguna pakai dalam peperiksaan ini.

''Apakah kakitangan awam itu di nilai melalui produktiviti dan prestasi ataupun peperiksaan semata-mata," jelasnya.

Selain itu, Omar berkata, pihaknya juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, bagi memastikan pekerja kontrak yang akan ditamatkan tempoh perkhidmatannya pada akhir bulan ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Utusan Online

Sunday, December 6, 2009

Jangan pandang sepi aduan awam

KOTA KINABALU 5 Dis. – Semua jabatan kerajaan di negeri ini diminta memberi perhatian serius terhadap aduan dan rungutan orang ramai kerana ia mampu mewujudkan pentadbiran yang kemas dan cekap.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, rungutan tersebut walaupun negatif, tidak harus dipandang sepi kerana ia membolehkan pembetulan dilakukan bagi mengelak masalah berpanjangan.

“Kebanyakan teguran orang ramai ialah mengenai kerenah birokrasi. Dari beberapa sudut, saya bersetuju dengan teguran itu kerana masalah yang dibangkitkan memang berlaku walaupun terdapat Piagam Pelanggan yang terpampang di dinding pejabat masing.

‘‘Oleh itu, kita perlu bertindak membetulkan keadaan bagi memastikan rungutan itu tidak berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri di sini malam tadi.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan dan Datuk Musbah Jamli serta Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Ujang Sulani.

Menurut Yahya, teguran-teguran itu amat berharga untuk meningkatkan lagi kecemerlangan perkhidmatan awam dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Justeru, katanya, semua jabatan kerajaan harus memperkemaskan jentera pentadbiran masing-masing bagi memastikan perkhidmatan yang diberi mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.

Beliau menambah, langkah itu penting kerana sistem pentadbiran yang kemas dan cekap merupakan faktor kritikal dalam menjayakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan merealisasikan Wawasan 2020.

Utusan Online