Thursday, March 31, 2011

CUEPACS kemuka lima tuntutan baru

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan lima tuntutan baru kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), termasuk penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.

Tuntutan lain akan dikemukakan dalam pertemuan Majlis Tertinggi CUEPACS dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, di Putrajaya, Isnin ini ialah kenaikan pangkat berdasarkan 'time base' (tempoh perkhidmatan) kurang 15 tahun dan penjawat awam tidak dipindah atau ditukar ke negeri lain jika menerima kenaikan pangkat dalam gred yang sama. JPA juga diminta menerima sijil cuti sakit dikeluarkan doktor kepada penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya melalui pembedahan, cuti tanpa rekod ditambah daripada 14 hari kepada 30 hari serta cuti separuh gaji bagi menjaga ahli keluarga yang ditimpa musibah sehingga tiga bulan. CUEPACS juga akan membuat susulan terhadap keputusan kerajaan serta cadangan dikemukakan kongres itu kepada JPA sebelum ini, termasuk cadangan sistem penilaian kompetensi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula Jun ini serta kajian semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) iaitu gaji minum kakitangan awam RM920 sebulan.

Bercakap selepas berdialog dengan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pejabat JPJ Perak di sini, semalam, Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan penghapusan Gred 1 hingga 16 membolehkan penjawat awam berkenaan terus ditempatkan pada Gred 17 dengan gaji RM820 sebulan ketika ini atau RM920 jika cadangan gaji minimum yang dikemukakan pihaknya kepada JPA pada 1 Julai 2007, dipersetujui kerajaan dalam kajian semula SSM.

Katanya, penjawat awam Gred 1 hingga 16 perlu diberikan gaji lebih tinggi bagi membolehkan mereka menyesuaikan dengan peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Omar berkata CUEPACS meminta kerajaan menimbang pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan tahun ini bagi mengimbangi bonus diterima mereka yang berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan tertentu.


Berita Harian Online

Wednesday, March 30, 2011

Had usia pemohon PPG diluluskan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had umur pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.

Sebelum ini, syarat pemohon PPG adalah berusia tidak melebihi 45 tahun pada 1 Mac tahun ini, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan Kementerian Pelajaran. Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata pihaknya sudah menerima surat daripada JPA yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah mengenai kelulusan permohonan itu. Katanya, guru berusia 46 dan 47 tahun mulai mengikuti pengajian pada sesi pengambilan khas September ini di dua universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Alhamdulillah permohonan kita untuk melanjutkan had usia pemohon PPG diluluskan yang membantu merealisasikan sasaran melahirkan 60,000 guru siswazah,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian Pelajaran mempergiat usaha meningkatkan tahap kelulusan akademik pendidik pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) menerusi peruntukan RM1.4 bilion bagi PPG untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah.

Guru yang mengikuti PPG diberi biasiswa kerajaan dengan kontrak perkhidmatan bagi mengikuti program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) supaya mereka kekal berkhidmat pada sesi persekolahan.
Pendidik terbabit akan mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut pendidikan guru di seluruh negara mulai bulan ini dalam pelbagai jurusan meliputi tempoh tiga setengah hingga empat tahun pengajian.

Mengenai sasaran pengambilan 40,000 guru untuk mengikuti program pensiswazahan mulai bulan ini, Mohd Ghazali berkata, ketika ini seramai 31,000 guru sudah mendaftar dan jumlah itu dijangka meningkat selepas proses rayuan dan kemasukan sesi khas September 2011.

Katanya, sekiranya jumlah itu gagal dicapai, sasaran 60,000 masih boleh direalisasikan dengan meningkatkan jumlah pengambilan pendidik bagi sesi pengambilan tahun depan.

“Ramai guru yang membuat rayuan supaya diterima mengikuti program PPG dan ada yang dipertimbangkan selepas mengambil kira kelayakan dan kelewatan memperoleh maklumat mengenainya akibat lokasi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Mengenai permohonan perpindahan pusat pembelajaran akibat berpindah ke sekolah lain dan faktor jarak kediaman dari institusi yang ditawarkan, Mohd Ghazali berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat, baru-baru ini untuk tindakan lanjut.



Berita Harian Online

Monday, March 28, 2011

Kaji kenaikan pangkat guru siswazah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KEMENTERIAN Pelajaran perlu mengkaji semula kenaikan pangkat guru siswazah yang terbabit dengan peralihan daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.

Kajian itu perlu berikutan kesukaran mereka memperoleh kenaikan gred daripada DG44 kepada DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP) berasaskan tempoh perkhidmatan. SSB diperkenalkan pada 1992 manakala SSM menyusul 10 tahun kemudian sebagai penambahbaikan sistem sedia ada, namun ramai pendidik mendakwa wujud kekeliruan dan kepincangan dalam urusan dan laluan kenaikan pangkat. Kementerian dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, berkata kajian sekumpulan empat pendidik itu mendapati kakitangan yang dilantik pada 1990 dan 1991 terpaksa berkhidmat sehingga 24 tahun untuk melayakkan mereka memperoleh kenaikan gred daripada DG44 kepada DG48.

Ini berbeza dengan guru yang dilantik pada 1995 yang hanya berkhidmat 20 tahun untuk memperoleh kenaikan berkenaan sedangkan mereka memiliki kelayakan akademik dan opsyen sama.

Kenyataan itu juga menyatakan, perkara berkenaan harus diperinci supaya kakitangan awam khususnya perkhidmatan pendidikan tidak mengalami kerugian dan ketidakadilan dalam skim itu.

Katanya, dalam urusan kenaikan pangkat KUP berasaskan tempoh perkhidmatan wujud perbezaan tempoh masa ketara dalam skim yang didakwa bertentangan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR).
Beliau berkata, artikel 23 (2) jelas menyatakan semua pekerja tanpa pilih kasih mempunyai hak sama rata dalam pekerjaan dan penggajian dalam skim sama.

“Peralihan SSB kepada SSM menyebabkan ada kakitangan mencapai tangga gaji mati dua hingga empat tahun sebelum layak untuk kenaikan DG48 mengikut jadual mata gaji Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)”, katanya.

Peralihan SSB kepada SSM menyebabkan guru yang menerima pelantikan pada 1990 dan 1995 memperoleh pergerakan gaji setara dan menikmati DG48 KUP berasaskan tempoh perkhidmatan pada 2014.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana kumpulan lantikan 1990 mengalami kerugian kekananan (senioriti) dua hingga empat tahun sehingga mereka yang dilantik pada 1990 seolah-olah bekerja dalam tempoh sama dengan pelantikan 1995.



Berita Harian Online

JPA perlu lebih peka wujudkan jawatan baru

SAYA tertarik kepada berita bertajuk 'CUEPACS bantah keputusan' dalam akhbar ini bertarikh 25 Mac lalu berkaitan bantahan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman mengenai tindakan Kementerian Kesihatan menggantikan tugas Penolong Pegawai Kesihatan dengan Pegawai Teknologi Makanan.

Selaku bekas Inspektor Kesihatan (IK) yang sekarang ini dikenali sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), dengan pengalaman berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan lebih 36 tahun, saya sangat terharu dengan sokongan badan induk itu. Jika benar arahan itu, sebagai bekas PPKP saya juga hairan dan kecewa bagaimana dan atas asas apa keputusan ini diambil. Untuk sekian lama masyarakat umum tahu PPKP atau IK adalah inspektor di bawah Ordinan Jualan Makanan dan Dadah 1952, Akta Makanan 1983 dan tidak keterlaluan saya katakan ia berlaku sejak sebelum merdeka lagi. Mereka bertanggungjawab memantau kemasukan makanan import di pintu masuk utama negara, memantau kebersihan premis makanan, memantau makanan yang dijual di pasaran, menjalankan penyiasatan dan pendakwaan.

Mereka sinonim dengan keselamatan makanan. Sekarang ini saya pasti mereka bertungkus-lumus memantau kemasukan makanan di pintu masuk negara demi menjamin keselamatan rakyat akibat kebocoran loji nuklear di Jepun.

Jika arahan ini dilaksana juga, sebagai orang lama saya berpendapat banyak pihak yang akan terjejas seperti institut pengajian tinggi awam dan swasta yang sedang menganjurkan program diploma dan ijazah kesihatan persekitaran dan Malaysia Accreditation Agency (MQA).

Oleh itu, saya ingin mencadangkan pada masa akan datang pihak kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar lebih peka dalam mewujudkan jawatan baru.


BEKAS INSPEKTOR KESIHATAN,
Subang Jaya.



Berita Harian Online

1,688 kekosongan bagi latihan separa perubatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia(SPA) menawarkan Latihan Separa Perubatan bertaraf Diploma dan Sijil secara percuma dengan jaminan penempatan pekerjaan tetap untuk diisi 1,688 orang.

Menurut kenyataan SPA hari ini, ia membabitkan 13 jenis latihan dengan latihan bertaraf diploma akan dijalankan selama tiga tahun manakala sijil selama dua tahun setengah. Had umur untuk calon memohon Latihan Separa Perubatan itu ialah tidak kurang dari 17 tahun dan tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan bagi calon lantikan terus manakala bagi Pegawai Sedang Berkhidmat untuk Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) pula hendaklah berumur kurang dari 51 tahun. Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo, dalam kenyataan itu berkata pelatih yang menamatkan latihan akan dilantik secara tetap dan diberi penempatan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.

"Oleh yang demikian, calon tidak perlu risau untuk mencari pekerjaan setelah menamatkan latihan. Selain belajar secara percuma, pelatih juga akan diberikan biasiswa bulanan," katanya.

Keterangan lanjut dan borang permohonan boleh didapati dengan melayari Portal SPA di www.spa.gov.my. Tarikh akhir permohonan ialah 1 April 2011.



BERNAMA

Sunday, March 27, 2011

Syarat baru bersara pilihan

Oleh Johari Ibrahim


Datuk Yeow Chin Kiong JPA perketat permohonan berikutan kedudukan kewangan semasa, elak kekurangan pegawai terlatih

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran, sekali gus seperti sebelum ini. Katanya, baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit.

Namun, Yeow berkata, kelonggaran kakitangan menerima ganjaran penuh ketika bersara pilihan hanya diberikan bagi kes khusus, iaitu membabitkan keperluan rawatan perubatan petugas atau keluarga, perbelanjaan pendidikan sendiri atau keluarga dan kakitangan memerlukan wang untuk mengelakkan daripada tindakan bankrap yang semuanya memerlukan bukti bertulis.

Beliau berkata, kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan.

Yeow berkata, JPA perlu meminimumkan jumlah kakitangan bersara pilihan demi kepentingan jentera pentadbiran berikutan inisiatif GTP yang sedang dilaksanakan, sekali gus mengelakkan jabatan kehilangan tenaga kerja berpengalaman.
"Waktu ini adalah era perkhidmatan awam yang penuh cabaran dan kerajaan sedang melakukan pelbagai penambahbaikan dalam skim perkhidmatan awam untuk menangani keadaan semasa," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kerajaan membayar RM1.1 bilion setahun ganjaran kepada kakitangan yang bersara pilihan dan pencen wajib, tetapi dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini apabila kumpulan pertama yang usia bersara wajib dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun bersara mulai 1 Julai ini.

Yeow juga menjelaskan bersara pilihan adalah keistimewaan yang dipertimbangkan bagi kakitangan sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan dan keadaan kewangan negara.

Beliau berkata, bagi tempoh antara 1 Februari tahun ini hingga Khamis lalu, JPA menerima 426 permohonan bersara pilihan dan 200 daripadanya diluluskan dengan bayaran ganjaran 20 peratus yang membabitkan penangguhan bayaran sebanyak RM11.5 juta.

Sebanyak 121 permohonan lagi diluluskan dengan pembayaran ganjaran penuh, manakala 105 menarik balik permohonan yang membabitkan penangguhan bayaran ganjaran RM9.3 juta.

Pada masa ini, ada 1,253,026 kakitangan termasuk anggota polis dan tentera dalam perkhidmatan awam. Tahun lalu, 3,553 kakitangan awam bersara pilihan, 2,991 pada 2008, 3,331 pada 2007, 3,306 pada 2006 dan 3,033 pada 2005. Selain itu, kira-kira 15,000 kakitangan awam bersara wajib setiap tahun.

Sementara itu, dalam surat edaran JPA bertarikh 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata baki ganjaran 80 peratus akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui umur persaraan wajib kakitangan terbabit.

Bagaimanapun, wang untuk gantian cuti rehat dan pencen bulanan akan dibayar mengikut undang-undang.


Berita Harian Online

Saturday, March 26, 2011

Kenaikan gaji guru biar ikut kejujuran diri

SAYA ingin memberi pandangan berkenaan perubahan skim gaji yang dicadangkan Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), iaitu penilaian kenaikan gaji bergantung kepada pembabitan guru di luar waktu sekolah dalam bidang kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Apabila guru aktif di luar, 70 peratus pengajaran dan pembelajaran akan terabai. Guru tidak dapat menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang, tambahan lagi dengan pelbagai perkara yang perlu dibereskan di sekolah. Tugas guru yang aktif di luar terpaksa diambil alih oleh guru lain yang tidak banyak kerenah. Apabila skim baru ini terlaksana, guru aktif di luar diberi ganjaran kenaikan gaji dan ganjaran khas, manakala guru lain hanya melihat rakan mereka menerima ganjaran. Kesannya, timbul tanggapan ketidakadilan dan rasa tidak puas hati dari setiap tahun.

Justeru, saya mencadangkan pelaksanaan Sistem Kenaikan Gaji berdasarkan kejujuran guru menilai diri mereka sendiri. Pihak berkuasa hendaklah mengeluarkan Pekeliling setiap tahun bagi guru yang ingin mendapatkan kenaikan gaji tahunan.

Guru berminat yang berasakan mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik di sekolah boleh mengisi borang dan mendapat pengesahan guru besar dan pengetua tetapi bukan untuk mendapatkan sokongan.

Selepas borang diproses, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Nazir boleh memantau guru berkenaan seperti permohonan Guru Cemerlang.
Apalah salahnya prosedur ini digunakan untuk kenaikan gaji guru? Dengan cara ini pihak penilai dapat mengenalpasti adakah guru yang aktif di luar ini tidak mengabaikan kerja di sekolah.

GURU JUJUR,
Kuala Lumpur.


Berita Harian Online

Thursday, March 24, 2011

CUEPACS cadang sistem gaji sebaris

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan dalam kajian semula terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) supaya penjawat awam lebih produktif dalam menunaikan tugas mereka.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam mengambil kira pembabitan mereka dalam aktiviti luar seperti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan. Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan dalam pertemuan antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 4 April.

"Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia yang kini pun masih banyak dipertikaikan.

"Pada peringkat awal, ini antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Cuepacs kepada kerajaan untuk kajian semula terhadap SSM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kajian semula SSM sedang dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

Najib berkata, kajian komprehensif itu bukan sahaja meneliti aspek saraan semata-mata tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamis bagi menterjemahkan agenda transformasi kerajaan serta ekonomi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam, yang selain berupaya menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat, mampu pula bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sukan.

Mengulas lanjut, Omar berkata, pihaknya berpendapat banyak kelebihan bakal dinikmati penjawat awam dengan Sistem Gaji Sebaris, antaranya daripada segi pergerakan gaji dan tahap gaji maksimum mereka.

Beliau berkata, dalam Jadual Gaji Matriks yang ada dalam SSM sekarang, penjawat awam hanya memperoleh kelebihan dalam jangka pendek, misalnya akan mencapai tahap gaji maksimum dengan cepat sedangkan mereka masih ada tempoh untuk berkhidmat.

Malahan, beliau berkata, kenaikan gaji dan pangkat yang diberikan kepada penjawat awam lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kini juga menyekat dan "membunuh" semangat sebahagian penjawat awam lain.

Katanya, tidak semua yang terkandung di dalam SSM kini tidak berfaedah, namun sudah tiba masanya bagi kerajaan menilai semula beberapa perkara kerana kelebihan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Omar berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan Cuepacs itu kerana ia dapat meningkatkan lagi produktiviti dan prestasi kerja penjawat awam di negara ini.



BERNAMA

Minda Pengarang: Ganjaran bukti kerajaan ikhlas hargai komitmen tinggi penjawat awam

PENJAWAT awam adalah nadi kepada pentadbiran sesebuah kerajaan. Kakitangan awam pada setiap peringkat adalah pelaksana kepada pelbagai dasar yang dirangka kerajaan dan kepada mereka terletak keupayaan, keberkesanan dan kecekapan sesebuah sistem pemerintahan. Kejayaan atau kegagalan juga terletak kepada sejauh mana peringkat tertinggi penjawat awam memutuskan sesuatu dasar dan dapat pula dilaksanakan dengan jayanya pada peringkat pertengahan dan bawahan. Penjawat awam membentuk satu kumpulan tenaga kerja yang besar dan di Malaysia saja, ia meliputi kira-kira 1.3 juta kakitangan. Oleh itu, bagi memastikan penjawat awam sentiasa cekap, pelbagai latihan dan kursus diberikan dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan, ganjaran dan insentif tertentu kepada penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin. Antaranya ganjaran persaraan, skim perubatan dan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan serta pelbagai elaun dan insentif lain. Ini semua bagi merangsang semangat, keupayaan dan kebijaksanaan penjawat awam dalam membantu kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Justeru, kita melihat pengumuman kerajaan untuk menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari tahun lalu adalah wajar dan tepat pada masa. Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perkara itu diumumkan Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin. Kenyataan Perdana Menteri ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam.

Kita percaya ramai penjawat awam gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu. Kita juga percaya ketika penangguhan itu dibuat, ramai juga yang kecewa kerana tidak dapat menikmati wang persaraan mereka sepenuhnya berikutan keputusan itu. Apapun kita yakin keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti kedudukan kewangan negara dan pada masa sama kerajaan turut mengambil kira komitmen penjawat awam yang berjaya membantu memulihkan negara daripada kesan krisis ekonomi dunia. Kita percaya kerajaan akan mengumumkan banyak lagi berita gembira buat penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin, begitu juga dengan keluarga mereka yang turut memberi sumbangan secara tidak langsung terhadap kejayaan negara. Berikutan itu, kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil skim KWSP yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma.

Apapun, kita amat berharap penjawat awam sentiasa berusaha meningkatkan komitmen mereka untuk membantu kerajaan ketika senang mahupun susah. Kita tidak mahu penjawat awam hanya dilihat pandai ‘meminta-minta’ seperti kenaikan gaji atau bonus dengan mengemukakan pelbagai alasan tetapi gagal menunjukkan pencapaian membanggakan. Kita juga tidak mahu penjawat awam terus kekal dengan cara kerja dan pemikiran lama. Kita mahu penjawat sanggup berubah sejajar Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan. Kita percaya jika mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan sudah pasti akan ada ganjarannya. Kita yakin kerajaan sedia mendengar masalah dihadapi penjawat awam dan sentiasa mencari jalan memperbaikinya terutama melaksana kaedah terbaik menilai prestasi mereka.


Berita Harian Online

Wednesday, March 23, 2011

80% penjawat awam dibelenggu hutang

PUTRAJAYA: Lebih 80 peratus penjawat awam dibelenggu dengan hutang disebabkan gagal mengurus kewangan secara bijak terutama apabila keinginan melebihi kemampuan, ditambah kemudahan pembiayaan yang terlalu longgar.
Malah, ramai di kalangan mereka mengalami krisis kewangan yang lebih teruk sehingga jatuh bankrap, sekali gus menghadapi risiko hilang pekerjaan dan kelayakan mendapat bayaran pencen. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Omar Osman (gambar), berkata masalah itu disebabkan penjawat awam mudah mendapatkan pinjaman hingga mendatangkan masalah.

Menurutnya, memang ramai bersikap seperti itu lebih-lebih lagi apabila mendapati dirinya layak mendapat pinjaman.
“Beli kereta pun zero deposit pada penjawat awam. Ini sesiapa pun nak beli.

“Kadang-kadang ada yang menjadi penjamin kepada kawan yang hendak berniaga, sebab penjawat awam ini kalau jadi penjamin memang laku, tak kira gaji berapa, asalkan penjawat awam, boleh. “Kawan pula tak boleh buat apa-apa, perniagaan tak jalan, dia pun hilang dan yang menjadi mangsa penjamin, tak boleh lari,” katanya, kepada pemberita selepas majlis perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Kebankrapan dan Bantuan Guaman di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Berdasarkan laporan Jabatan Insolvensi ada seramai 1,086 penjawat awam bankrap pada 2009, dengan lebih 70 peratus adalah lelaki.

Omar berkata, angka berkenaan tinggi di kalangan penjawat awam, malah sepatutnya tidak berlaku kes seumpama itu.
“Kita nasihatkan penjawat awam kalau boleh kena tengoklah pendapatan bulanan kita dan berbelanja dengan kebijaksanaan.

“Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga kita bila berlaku bankrap, berlaku perkara yang tidak diingini, kerana ini yang menjadi masalah.

“Nanti produktiviti, prestasi dan integriti mereka akan terjejas, kerana masalah kewangan boleh menyebabkan masalah lain,” katanya.

Ganjaran penuh

Oleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim

Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.

Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.

Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.

Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali.

"Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.

Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.

Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan.



Berita Harian Online

Tuesday, March 22, 2011

Pesara skim KWSP nikmati perubatan percuma

PUTRAJAYA: Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.
Keputusan kerajaan yang berkuatkuasa mulai tarikh semasa itu diumumkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Majlis Perdana
Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini hari ini.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa,"
katanya.
Najib berkata pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma
kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di
bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau
Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

Ia bagaimanapun tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau
meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Harian Metro Online

Pesara skim KWSP dapat kemudahan perubatan percuma

PUTRAJAYA: Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Keputusan kerajaan yang berkuatkuasa mulai tarikh semasa itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini hari ini. "Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa," katanya. Najib berkata, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

"Ia, bagaimanapun, tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri," katanya.



BERNAMA

Wednesday, March 16, 2011

Penjawat awam, pelajar di luar negara berhak sebagai pengundi tidak hadir

KUALA LUMPUR: Hanya warganegara Malaysia yang menjadi anggota Perkhidmatan Awam yang sedang berkhidmat dan pelajar yang menuntut sepenuh masa di luar negara serta pasangan masing-masing berhak mengundi pada pilihan raya sebagai pengundi tidak hadir, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata perkara itu termaktub dalam Perkara 119(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan, Peraturan 2(c), (d) dan (e) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan 3(1)(a) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Ia memperuntukkan bahawa jika mereka terbabit sudah mendaftar sebagai pemilih, mereka berhak mengundi mengikut kaedah pengundian sedia ada dan dibuat mengikut undang-undang yang ditetapkan. "Kita beri hak kepada setiap warganegara dengan syarat berumur 21 tahun ke atas dan penduduk di kawasan pengundian, maknanya keperluan semangat dalam Perlembagaan memerlukan mereka menggunakan hak ini dalam negara untuk mengundi secara fizikal (hadir).

"Cuma kita beri pengecualian kepada pengundi tidak hadir yang ditafsir Perlembagaan iaitu mereka yang berada di luar negara bukan kerana atas kerelaan, sebaliknya terpaksa bekerja dan hanya berada di sana sementara waktu," katanya ketika menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai hak mengundi warga Malaysia di luar negara.

Menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Mohamed Nazri berkata sekiranya hak mengundi diberikan kepada mereka yang sedang bercuti semasa hari mengundi, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk masalah logistik.

"Kalau rakyat Malaysia yang duduk di luar negara itu sayangkan Malaysia... baliklah. Mereka duduk di sana atas kerelaan hati, bukan kerana pekerjaan atau terpaksa belajar," katanya.



BERNAMA

Wednesday, March 9, 2011

APMM perlu penambahan tenaga kerja

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal beroperasi sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab mengawal perairan negara mulai Ogos ini.

Bagaimanapun, dalam melaksanakan tanggungjawab dan cabaran berat menjaga kawasan perairan negara yang luas, APMM memerlukan tambahan peralatan dan tenaga kerja. Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish, berkata pada masa ini APMM hanya mempunyai 3,848 anggota. "Cabaran bagi anggota APMM ialah untuk sentiasa berada di kawasan perairan yang jauh antara 160 kilometer hingga 322 kilometer dari pantai bagi memantau perairan negara.

"Kami masih memerlukan sekurang-kurangnya 9,000 anggota untuk mengawal perairan negara yang mempunyai keluasan lebih 614,000 kilometer persegi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Mohd Amdan berkata, bagi mengatasi masalah itu, APMM bercadang menawarkan jawatan kepada anggota agensi penguatkuasa laut lain termasuk Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Jika kami membuat pengambilan baru, ia akan mengambil masa lebih setahun dan biasanya mereka ini akan jadi anggota bawahan...mereka ini tidak ada pengalaman dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, APMM akan menghadiri mesyuarat berkaitan penyerahan aset agensi penguatkuasaan laut yang lain yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya Khamis ini.

Mohd Amdan berkata, mesyuarat yang akan dihadiri semua agensi penguatkuasaan laut itu dijangka membincangkan usaha menyelaras pengambilalihan aset daripada agensi penguatkuasaan laut lain seperti kapal, bot dan tawaran kemasukan anggota agensi lain ke APMM.

"Kami mengemukakan usul kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan tangga gaji anggota agensi penguatkuasaan laut lain yang diberi opsyen untuk menyertai APMM," katanya.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi manarik minat anggota agensi penguatkuasaan laut lain yang berpengalaman menyertai APMM, sekaligus memudahkan agensi itu daripada melatih semula tenaga kerja baru.

Mohd Amdan berkata, APMM juga bercadang menambah bilangan bot dan kapal dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kemampuan agensi itu.

"Kami sedang membuat pelbagai usaha untuk menjadikan APMM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang berwibawa di rantau ini," katanya.

Selain menjalankan tanggungjawab mengawal keselamatan perairan negara, APMM juga akan mempertingkatkan aktiviti jiwa murni iaitu mendekati dan merapatkan hubungan dengan penduduk di kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata, usaha itu dibuat supaya penduduk di pesisir pantai terutamanya nelayan boleh menjadi mata dan telinga kepada APMM dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah di laut.



BERNAMA

Tuesday, March 8, 2011

1,086 penjawat awam bankrap dan berhutang

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah keterhutangan yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.
Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.
"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah
hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas
dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan
Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan
Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan
diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya
berlaku.

Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai
pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai
didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai
penjawat awam.

Harian Metro Online

Sunday, March 6, 2011

Berita@INTURA Februari 2011

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar








Friday, March 4, 2011

Perkenal modul urus kewangan penjawat awam

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan jumlah muflis di kalangan penjawat awam, Cuepacs, kesatuan yang mewakili lebih sejuta pegawai kerajaan di negara ini mahu satu modul ‘pengurusan kewangan persendirian’ diperkenalkan kepada penjawat awam baru.
Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng berkata, modul itu boleh dimasukkan ke dalam kursus induksi bagi pengambilan baru.

“Adalah penting mendidik penjawat awam baru dengan kemahiran pengurusan kewangan pada awal kerjaya mereka supaya mereka dapat mengelakkan hutang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan 1,086 penjawat awam diisytihar muflis pada 2009, dengan 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki.

Lok berkata, jika perkara ini tidak dipantau, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan kerana penjawat awam tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka.

“Hutang itu akan membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian kerajaan,” katanya.

Harian Metro Online

Ciri keselamatan MyKad akan dipertingkat

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini meneliti ciri-ciri pada MyKad bagi meningkatkan tahap keselamatan kad pengenalan pintar rakyat Malaysia itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alwi Ibrahim bagaimanapun menolak langkah itu berikutan wujud aktiviti pemalsuan MyKad yang dikesan pihak berkuasa. "Dari segi rekod, pemalsuan tidak banyak berlaku, tetapi kita hendak memastikan kualiti produk kita bertambah baik dari semasa ke semasa. "Daripada kajian yang dilakukan juga, setakat ini memang tidak ada kes pihak-pihak tertentu memalsukan maklumat-maklumat tertentu di dalam cip pada MyKad," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menerima lawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Alwi berkata antara ciri yang diteliti ialah gambar pemilik MyKad yang mungkin akan menggunakan teknologi ''laser engraving''.

Bagaimanapun katanya, sebarang proses penambahbaikan pada MyKad akan diumumkan apabila tiba masanya.
Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata langkah untuk mempertingkatkan kualiti dan ketahanan fizikal Mykad dengan menggunakan bahan "polycarbonate" (PC) sepenuhnya mulai tahun lalu telah dapat mengurangkan aduan permohonan gantian MyKad.

Katanya langkah itu juga tidak membabitkan sebarang penambahan kos oleh kerajaan.

Selain itu, JPN juga sedang berusaha mengatasi masalah kerosakan pada cip MyKad yang kadang kala berlaku selepas beberapa lama kad digunakan, katanya.



BERNAMA

Thursday, March 3, 2011

Pesara tentera terima Ex-Gratia

JASIN: Seramai 1,142 pesara tentera yang cedera ketika berkhidmat mahupun ketika latihan sebelum 1994 dijangka menerima bayaran Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja (Ex-Gratia) daripada kerajaan bernilai RM19 juta.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memberi tambahan ex-gratia kepada golongan itu.
“Ini adalah tuntutan mereka sejak sekian lama dan saya terpanggil untuk memperjuangkan tuntutan ini dan insya-Allah akan dibincangkan secara lebih terperinci dengan Perdana Menteri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.

“Malah, insya-Allah keputusan hasil rayuan veteran tentera ini akan diumumkan sendiri oleh beliau,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan Bersama Veteran Angkatan Tentera (ATM) dan Keluarga, Merlimau Inn, di sini, semalam.

Harian Metro Online

CUEPACS cadang modul pengurusan kewangan

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan jumlah muflis di kalangan penjawat awam, CUEPACS, kesatuan yang mewakili lebih sejuta pegawai kerajaan di negara ini, mahu satu modul "pengurusan kewangan persendirian" diperkenalkan kepada penjawat awam baru.

Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng, berkata modul itu boleh dimasukkan ke dalam kursus induksi bagi pengambilan baru. "Adalah penting untuk mendidik para penjawat awam baru dengan kemahiran pengurusan kewangan pada awal kerjaya mereka supaya mereka dapat mengelakkan hutang," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa 1,086 penjawat awam diisytihar muflis pada 2009, dengan 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki.

Lok berkata, jika perkara ini tidak dipantau, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan kerana penjawat awam tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka.

"Hutang berkenaan akan membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, kebanyakan kes muflis berlaku berikutan kedudukan penjawat awam sebagai penjamin bagi pinjaman yang dilakukan rakan atau anggota keluarga mereka.
"Nasihat kami adalah supaya mereka berhati-hati apabila menandatangani perjanjian sebagai penjamin kerana sebaik sahaja peminjam gagal membayar pinjaman, penjamin perlu melunaskan baki pinjaman.

"Kami mempunyai banyak kes penjawat awam yang terpaksa membayar pinjaman yang dilakukan oleh orang lain," katanya.

Lok berkata, penjawat awam perlu mengelakkan diri daripada mengambil pinjaman yang besar sehingga menyusahkan mereka melunaskan bayaran balik.

Katanya, penjawat awam juga menghadapi risiko hilang pekerjaan dan pencen jika mereka diisytiharkan muflis.



BERNAMA

1,086 penjawat awam muflis

Oleh Azrina Ahzan

Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit. “Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.
“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.


Berita Harian Online

Wednesday, March 2, 2011

11,130 naik pangkat

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Inisiatif dorong pegawai klinikal pertingkat prestasi

KUALA LUMPUR: Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) meluluskan 11,130 kenaikan pangkat pegawai Kementerian Kesihatan yang merangkumi pegawai perubatan, pergigian dan farmasi antara 9 Mac 2010 sehingga 24 Februari lalu. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata kelulusan kenaikan pangkat itu direalisasikan menerusi inisiatif laluan kerjaya yang diperkenalkan kementerian kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi. Katanya, menerusi pelan laluan kerjaya itu, pegawai kementerian yang dinaikkan pangkat itu membabitkan pegawai Gred 44, 48, 52, 54, Gred Khas C dan Gred Khas B.

Beliau berkata, insentif kenaikan pangkat berlandaskan konsep 1Malaysia itu akan mendorong pegawai klinikal untuk terus kekal berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan membantu kerajaan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Keputusan LKPPA meluluskan kenaikan pangkat dibuat berdasarkan kepada bidang kepakaran dan kecemerlangan prestasi pegawai. Ia juga satu pengiktirafan dan penghargaan kepada pegawai kementerian di atas sumbangan kepada sektor awam khususnya dalam bidang klinikal,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menjelas lanjut mengenai kenaikan pangkat itu, Mohd Sidek berkata, LKPPA meluluskan kenaikan pangkat sembilan Pegawai Perubatan Klinikal Gred Khas B pelbagai disiplin ke Gred Khas A, manakala 18 pegawai Gred Khas C ke Gred Khas B dan 13 pegawai gred 54 ke Gred Khas C.
“Pergerakan kenaikan pangkat ke Gred Khas A ini menjadikan bilangan keseluruhan Pegawai Perubatan Gred Khas A di kementerian adalah seramai 21 orang,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 3,213 orang pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dinaikkan pangkat ke gred 54, seramai 1,538 pegawai dinaikkan pangkat ke Gred 52 dan 4,182 pegawai dinaikkan ke Gred 48 manakala 2,157 pegawai pula dinaikkan pangkat ke Gred 44.


Berita Harian Online