Friday, May 6, 2016

MBPJ lancar perkhidmatan e-Buku

Mohd. AZIZI MOHD. ZAIN  menunjukkan aplikasi  kepada  beberapa

MOHD. AZIZI MOHD. ZAIN menunjukkan aplikasi kepada beberapa pelajar selepas menyempurnakan pelancaran e-Buku di Petaling Jaya, Selangor, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Mei – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan perkhidmatan buku digital atau e-Book selaras dengan permintaan pengguna awam pada masa kini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, perkhidmatan peminjaman e-Buku merupakan satu inovasi kepada warga Petaling Jaya mendapatkan pelbagai maklumat di seluruh dunia melalui internet dengan cepat dan pantas.

Menurutnya, e-Buku memberi kemudahan kepada orang ramai terutama pelajar bagi mendapatkan pelbagai bahan bacaan antaranya buku-buku fiksyen, bukan fiksyen, pendidikan dan lain-lain.

“Pembaca juga mudah untuk meminjam buku secara atas talian tanpa perlu pergi ke perpustakaan ini.

“Bagi memudahkan sistem diakses di mana sahaja mereka berada dan tanpa mengira waktu, mereka perlu mendaftarkan diri sebagai ahli perpustakaan komuniti ini,” katanya selepas pelancaran perkhidmatan e-Buku di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, di sini.
Sistem e-Buku dijayakan dengan kerjasama Xentral Methods Sdn. Bhd. dan Tech Titan Sdn. Bhd.

Tambah Azizi, sistem e-Buku sangat praktikal dan memudahkan masyarakat di seluruh Petaling Jaya kerana telah membawa perpustakaan ke hujung jari pengguna.

“Sistem ini menyokong semua sistem operasi yang membolehkan e-Buku yang dipinjam dibaca menggunakan pelbagai jenis peranti pintar dan komputer.

“Hal ini adalah satu permulaan yang baik bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di bandaraya ini,” katanya.

Tambah beliau, sistem ini tidak menganggu fungsi perpustakaan yang sedia ada, sebaliknya tetap sebagai tempat untuk mengadakan perjumpaan serta perbincangan.

Utusan Malaysia Online


Pendekkan waktu rehat penjawat awam

WAKTU rehat penjawat awam perlu dipendekkan kepada setengah jam

WAKTU rehat penjawat awam perlu dipendekkan kepada setengah jam sahaja sepanjang Ramadan bagi membolehkan pejabat kerajaan ditutup lebih awal. GAMBAR HIASAN/UTUSAN


SAUDARA PENGARANG,

Seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan pada bulan hadapan.

Sebahagian besar daripada kita akan tetap mencari rezeki seperti biasa di bulan itu 
tidak kira sama ada bekerja sendiri mahupun berpendapatan tetap.

Tidak terkecuali juga penjawat awam akan hadir bertugas berdasarkan waktu anjal secara berperingkat iaitu tiga peringkat. Secara keseluruhannya pejabat-pejabat kerajaan akan dibuka bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Di sini saya ingin menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar dapat melakukan sedikit perubahan waktu bekerja terutamanya bagi kakitangan kerajaan.
Dicadangkan agar waktu rehat bagi penjawat awam dipendekkan kepada setengah jam daripada waktu biasa sepanjang Ramadan bagi membolehkan pejabat kerajaan ditutup lebih awal iaitu pada pukul 5 petang.

Waktu rehat sedia ada bermula pada pukul 1 hingga 2 petang (Isnin-Khamis) manakala 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang (Jumaat).

Saya mencadangkan agar waktu rehat Isnin-Khamis dipendekkan dari pukul 1 hingga 1.30 petang sahaja. Manakala pada hari Jumaat pula dipendekkan kepada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

Langkah ini akan membolehkan pejabat-pejabat kerajaan dibuka bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang sepanjang Ramadan.

Keadaan ini akan memudahkan penjawat awam memberi tumpuan lebih kepada persediaan bagi berbuka puasa bersama keluarga, mempersiapkan diri untuk menunaikan solat tarawih dan ibadah-ibadah yang lain.

Saranan ini selari dengan gesaan beberapa pemimpin kerajaan sebelum ini agar kita lebih memberi tumpuan kepada persiapan untuk menyambut Ramadan yang penuh keberkatan yang Allah SWT telah menjanjikan pahala yang lebih banyak.

RED ANTZ
Gombak, Selangor

Utusan Malaysia Online

Ramadan: Kerajaan pertimbang pendekkan waktu rehat penjawat awam

BATU PAHAT 5 Mei - Kerajaan sedia menimbang cadangan memendekkan waktu rehat selama setengah jam untuk penjawat awam semasa Ramadan bermula bulan depan.

Ali Hamsa
Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk diperhalusi.

"Pihak kami terbuka dan sedia menerima apa-apa cadangan...akan bawa perkara itu ke peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju menimbang cadangan pemendekkan waktu rehat kerana ia dilihat tidak menjejaskan aktiviti dan operasi perkhidmatan penjawat awam sepanjang Ramadan nanti.

Cadangan itu dikemukakan seorang penjawat awam di dalam sebuah akhbar baru-baru ini, yang meminta waktu rehat dipendekkan supaya mereka boleh pulang dari kerja lebih awal. 

Bernama Online

Thursday, May 5, 2016

Berita@INTURA April 2016

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar





Wednesday, May 4, 2016

Program MyLesen sasar 170,000 belia miliki lesen motosikal B2 tahun ini

KUALA LUMPUR 3 Mei - Lebih 170,000 belia khususnya pelajar sekolah di seluruh negara dijangka memiliki lesen motosikal kelas B2 (kapasiti enjin di bawah 250 cc) menerusi program MyLesen pada tahun ini.

jpj
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata setakat ini lebih 65,000 belia memiliki lesen berkenaan menerusi program yang dilancarkan sejak 14 Sept tahun lepas.

"Kami jangkakan permohonan untuk mendapatkan lesen menerusi MyLesen akan terus meningkat kerana bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding kadar biasa.

"Program ini akan membantu mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen di negara ini dan pastinya akan menurunkan kadar kemalangan kerana mereka akan lebih peka mengenai undang-undang dan peraturan jalan raya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya bercadang untuk melaksanakan Program MyLesen sebanyak tiga kali setahun bermula tahun depan.

Ismail menegaskan program myLesen akan diteruskan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemanduan berhemah serta risiko menunggang motosikal tanpa lesen dan perlindungan insurans yang sah.

Program MyLesen dilaksanakan bersama-sama institusi serta akademi memandu dan dilancarkan serentak di seluruh negara pada 15 Sept 2015, merupakan lanjutan komitmen kerajaan melalui JPJ berdasarkan konsep merakyatkan perkhidmatan awam.

Program dengan slogan 1 Rakyat 1 Lesen itu menyasarkan golongan belia yang belum memiliki lesen memandu sah dan terdiri daripada mereka berumur 16 tahun ke atas di bandar dan luar bandar.

Bayaran bagi mendapatkan lesen di bawah program berkenaan hanya RM299 berbanding kadar biasa iaitu dalam lingkungan RM350 dan ke atas.

Utusan Malaysia Online


Menjawab persoalan JPV senyap

SAUDARA PENGARANG, KENYATAAN akhbar ini adalah bagi menjawab isu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) senyap yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 1 Mei 2016.

JPV telah membuat maklum balas persoalan (sama) yang dibangkitkan oleh Awang Selamat pada 15 November yang lalu. Jawapan tersebut telah keluar di Utusan Malaysia bertarikh 16 November 2015.

Oleh kerana pihak Awang Selamat bukanlah mementingkan jawapan dan penjelasan, beliau gagal membaca ulasan JPV yang terdahulu.

Untuk makluman, JPV mempraktikkan dasar terbuka, iaitu sesiapa sahaja boleh memohon membawa masuk ternakan hidup dan juga daging (daging kerbau sejuk beku, daging lembu dan kambing serta keratan ayam).

Bagi ternakan hidup, negara-negara yang dibenarkan hendaklah dari negara yang mempunyai status sanitasi dan phitosanitari yang baik dan negara tersebut telah melepasi analisis risiko yang dijalankan oleh JPV.

Untuk pembekalan ternakan hidup bagi 2016, pengimport yang telah diluluskan dan bilangan haiwan import dinyatakan seperti di dalam jadual yang disertakan.

Walaupun kelulusan telah dikeluarkan, permohonan baharu masih boleh dikemukakan.

Bagi hasilan daging, hendaklah datang dari establishment yang telah diluluskan dan telah memenuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) Malaysia serta piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Senarai pengimport yang telah diberikan kelulusan mengimport daging kerbau beku India, daging lembu dan kambing serta keratan ayam juga telah dikeluarkan oleh JPV.

Menjadi tanggungjawab JPV untuk memastikan semua ternakan hidup dan daging yang akan dibawa masuk ke Malaysia adalah bebas risiko membawa penyakit yang boleh memudaratkan sektor ternakan negara dan kesihatan awam serta penyakit zoonotik.

Bagi daging pula, JPV bekerjasama dengan Jakim dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan daging yang dibawa masuk selamat, menepati piawaian halal Jakim dan tidak mendatangkan risiko penyakit kepada sektor ternakan negara dan juga kepada penduduk.

Pihak JPV sentiasa sedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pakar yang dirujuk oleh Awang Selamat.

Akhirnya, pihak JPV suka membuat penjelasan bahawa pihak jabatan bersungguh-sungguh memastikan bahawa ternakan hidup yang dibawa masuk ke negara ini tidak mengancam kesihatan ternakan dan penduduk di negara ini.

Secara kolaboratif bersama Jakim dan Kementerian Kesihatan, JPV juga bertekad untuk memastikan semua daging yang dibawa masuk ke negara ini tidak akan memberi ancaman penyakit kepada penduduk, sektor ternakan dan juga daging dibawa masuk adalah halal.

Semua maklumat berkenaan dengan jabatan, boleh dirujuk di laman web www.dvs.gov.my.

DATUK DR. KAMARUDIN MD. ISA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar


Utusan Malaysia Online

BANTERAS PENGKHIANAT SEKTOR AWAM

ISU kerugian lebih RM2.4 bilion berikutan penyeludupan wang di sempadan negara membuktikan wujud pel
ISU kerugian lebih RM2.4 bilion berikutan penyeludupan wang di sempadan negara membuktikan wujud pelbagai kelemahan di peringkat agensi penguat kuasa yang perlu diperbaiki segera. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
SEJAK kebelakangan ini, seorang demi seorang penjawat awam didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Pada masa sama media perlu terus mendedahkan pelbagai ke­lemahan di peringkat agensi pe­nguat kuasa sehingga memungkinkan pelbagai penyelewengan dan ketirisan berlaku.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia mendedahkan bagaimana kerajaan kerugian lebih RM2.4 bilion berikutan penyeludupan wang di sempadan negara. Itulah belum lagi mengambil kira pelbagai ketirisan dan salah tadbir urus wang negara yang memungkinkan kerajaan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Justeru dalam berhadapan de­ngan situasi ekonomi yang tidak menentu adalah penting bagi semua pihak memastikan ketirisan dan penyelewengan di peringkat jabatan dan agensi kerajaan tidak berterusan.

Langkah kerajaan menukarkan hampir 70 pegawai yang me­megang jawatan sensitif melebihi tiga hingga lima tahun seperti mana di­umumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada 23 April lalu adalah langkah bijak dan harus dipuji.

Bagaimanapun usaha seumpama itu tidak perlu dihentikan di situ sahaja. Sebaiknya dari semasa ke semasa pertukaran pegawai bukan sekadar tertumpu kepada 70 pegawai tersebut sahaja.

Sebaliknya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji secara keselu­ruhan penempatan pegawai dan anggota di sesuatu jabatan atau agensi yang dilihat boleh membuka ruang berlakunya penyelewengan, ketirisan dan amalan rasuah.
Pelbagai pendedahan oleh ­media khususnya melibatkan ­agensi penguat kuasa membuktikan ada sesuatu perlu dilaksanakan bagi membanteras sebarang amalan salah laku.

Kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan pihak ketiga begitu mudah memecahkan integriti mana-mana juga agensi kerajaan termasuklah agensi penguat kuasa.

Sebab itulah perhatian serius perlu diberikan khususnya dari segi pemantauan ke atas jabatan dan agensi tertentu yang dilihat terdedah kepada penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan.

“Ia perlu dilakukan secara berkala terutamanya melibatkan agensi yang dianggap boleh membuka ­ruang kepada pemberi dan penerima rasuah. Tumpuan bukan sekadar kepada pengurusan pertengahan dan sokongan tetapi juga atasan kerana banyak kes yang berlaku menunjukkan ia melibatkan golongan tersebut,’’ kata satu sumber kepada penulis.

Hakikatnya, rakyat sudah bosan apabila dari semasa ke semasa terus dipaparkan dengan berita berkaitan amalan rasuah melibatkan ­se­­­sete­ngah pegawai dan kakitangan awam khususnya agensi penguat kuasa. Kalaulah yang diberikan amanah dan tanggungjawab bersedia menjadikan kedudukan serta jawatan mereka sebagai lubuk mengaut keuntungan, apa akan jadi kepada masa depan negara?

Sama ada suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa masih ba­nyak terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dalam usaha kerajaan memperkukuhkan integriti dalam kalang­an pegawai dan kakitangan awam.

Sesuatu ketirisan dan penye­lewengan serta amalan ra­suah tidak akan berlaku jika benar golong­an tersebut mengamalkan integriti yang tinggi serta tidak meng­khianati amanah diberikan.

Tetapi malangnya, berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa sumber dalam kerajaan, mereka melahirkan kebimbangan dengan trend amalan rasuah dalam agensi kerajaan.

“Bayangkanlah kalau berjuta-juta ringgit boleh diseludup ke negara jiran dengan begitu mudah, bagaimana pula dengan pengurusan perkara-perkara lain yang dianggap berada dalam kategori sensitif seperti pembelian peralatan untuk jabatan kerajaan dan pengeluaran permit? Apakah jaminan yang boleh diberikan bahawa di situ tidak berlaku sebarang ‘kebocoran’ dan ketirisan,’’ kata sumber itu lagi.

Mungkin benar hanya segelintir sahaja individu dalam perkhid­matan awam yang melakukan perbuatan menjamah wang haram dan mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi ia perlu dibanteras habis-habisan supaya tidak menjadi ‘sakit barah’ yang tidak boleh diubati. Sebab itulah tidak boleh dibiarkan di mana-mana juga jabatan dan agensi kerajaan ada ruang berlaku­nya amalan rasuah dan penyelewengan.

Oleh itu adalah perlu kerajaan melaksanakan ‘operasi pember­sihan’ dalam kalangan kakitangan­nya di semua peringkat termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan mereka benar-benar bersih daripada amalan ra­suah.
Antara pendekatan yang boleh dilakukan seperti mana kata satu sumber ialah tidak membenarkan mana-mana individu menjadi ‘taiko’ di sesebuah jabatan atau kawasan disebabkan terlalu lama bertugas di situ.

Selain itu, bagi memastikan tidak wujud sebarang persepsi atau tohmahan adalah wajar pemantauan terhadap cara hidup ­sese­te­ngah penjawat awam dilakukan dari semasa ke semasa.

Sebenarnya banyak cerita yang penulis dengar berhubung perkara ini, ia termasuklah bagaimana sesetengah pegawai dan anggota agensi tersebut hidup dalam kea­daan yang dianggap boleh mencetuskan keraguan kepada orang ramai.

Tidak mengapa kalau mempunyai sumber pendapatan lain yang membolehkan mereka menikmati hidup mewah, tetapi apa yang dibimbangkan ada unsur-unsur tidak sihat yang berlaku. Apapun integriti penjawat awam di semua peringkat perlu dipertahan dan diperkukuh­kan bermula daripada ‘budak mencari fail’ hinggalah ke­tua jabatan.

Utusan Malaysia Online


Tuesday, May 3, 2016

SPRM didesak segera 
siasat ‘Napoleon Kecil’ JPV

KUALA LUMPUR 2 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak segera melakukan siasatan terhadap dakwaan kewujudan ‘Napoleon Kecil’ dalam Jabatan Perkhid­matan Veterinar (JPV) yang sering membuat keputusan berpihak kepada pemain-pemain besar atau dianggap juga sebagai kartel.


AZWANDDIN HAMZAH
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, isu Napoleon Kecil dalam JPV bukanlah baharu, sebaliknya telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini oleh banyak pihak.
Bagaimanapun, Azwanddin men­­­­zahirkan rasa kesal apabila tiada tindakan atau siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak bertanggungjawab terhadap dakwaan berkenaan.

“Ini bukan lagi surat layang, tetapi ‘maklumat’ yang telah dibangkitkan oleh beberapa pihak. Sewajarnya SPRM melakukan siasatan secara proaktif terhadap dakwaan yang ditimbulkan.

“Perkara sudah lama, tetapi saya hairan kerana isu ini seolah-olah cuba ditutup dan disembunyikan. Mengapa? Saya tidak tahu. SPRM kena segera lakukan siasatan terhadap apa yang berlaku dalam JPV,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Awang Selamat dalam rua­ngan Bisik-Bisik semalam sekali lagi membangkitkan soal Napoleon Ke­cil dalam JPV yang sering membuat keputusan memihak kepada pemain-pemain besar yang dianggap kartel.

Isu Napolean Kecil dalam JPV ini pernah dibangkitkan oleh Awang pada tahun lalu, sehingga turut dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada November lalu dan menarik perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melakukan siasatan.

Presiden Gabu­ngan NGO 1Malaysia (NGO1M), Mohammad Nazlee Aziz Yeop juga senada dengan Azwanddin apabila mendesak SPRM mela­kukan siasatan segera.

Mohammad Nazlee turut mengingatkan SPRM supaya tidak terlepas pandang terhadap sebarang dakwaan yang dibuat mengenai agensi ataupun jabatan.

“Tidak kiralah agensi atau jabatan kecil, sekiranya ada dakwaan yang mencurigakan, SPRM perlu siasat. Jangan hanya menumpukan kepada agensi serta jabatan besar sahaja, yang kecil juga perlu diberikan perhatian.

“Kalau sudah bertubi-tubi laporan diterima daripada orang awam, mesti ada sesuatu yang tidak kena dalam JPV itu. Jadi, SPRM perlu segerakan proses siasatan, jangan terlepas pandang perkara-perkara seperti ini,” jelas beliau.

Utusan Malaysia Online

Pemansuhan skim perkhidmatan kerana tidak relevan - JPA

ALOR SETAR 2 Mei - Pemansuhan beberapa skim perkhidmatan di bawah rasionalisasi perkhidmatan awam dilakukan kerana skop dan fungsi tugas berkenaan tidak lagi diperlukan, selain tiada penyandang dalam Perkhidmatan Awam.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pemansuhan skim seperti Operator Kamera Offset dan Peniup Kaca juga dilakukan kerana tugasnya yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
"Sebab itu kita kata rasionalisasi skim kita tambah baik dan mana relevan dengan keadaan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat Pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bil 1/2016 Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Bawah Sistem Saraan Malaysia di Wisma Darul Aman hari ini.

Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Melalui rasionalisasi itu, sebanyak 252 skim perkhidmatan awam dibawah Sistem Saraan Malaysia ditambah baik berkuatkuasa 1 Julai ini. 





Bernama Online