Sunday, March 28, 2010

Pelarasan gaji ATM ke PM

TELUK KEMANG 27 Mac - Kementerian Pertahanan akan mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam waktu terdekat untuk menimbangkan kenaikan dan pelarasan gaji anggota tentera.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu akan dilakukan selepas kerajaan mengumumkan kenaikan dan pelarasan gaji bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

''Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada PDRM yang memperoleh pelarasan gaji yang baru.

''Ini memudahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memohon kenaikan yang sama dalam waktu terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kerjaya, Pendidikan dan Inovasi di Bandar Tentera Darat, Port Dickson di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin serta pegawai kanan tentera dari tiga cabang ketenteraan - darat, laut dan udara.
Ahmad Zahid berkata, pelarasan gaji baru PDRM itu akan menjadi penanda aras kepada ATM untuk melihat pelarasan gaji bagi anggota lain- lain pangkat dan pegawainya.

Ditanya sama ada beliau akan mengemukakan kertas cadangan dalam mesyuarat Kabinet, Zahid memberitahu, cadangan kenaikan dan pelarasan gaji anggota tentera telah lama dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dahulu pun, beliau telah menghantar kertas cadangan kenaikan itu kepada JPA.

''Bila waktu yang sesuai, kita akan kemukakan semula kertas cadangan berkenaan dan tentulah bila ekonomi negara sudah pulih dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, kita boleh memperolehnya.

''Biarlah lambat sedikit dan kita akan mendapatkan tunggakannya. Apa yang penting asas kenaikan itu tetap ada," kata beliau.

Mengulas nahas pesawat Pilatus PC-7 MK11 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan hutan simpan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok kelmarin, beliau berkata, ketika ini pasukan penyiasat masih berada di lokasi kejadian dan bangkai pesawat akan dibawa ke bengkel untuk siasatan daripada aspek teknikal.

Ditanya kemungkinan penyelenggaraan pesawat tersebut tidak dibuat dengan sempurna, beliau menafikan dakwaan itu.

Beliau juga menolak kemungkinan pesawat itu akan dihentikan khidmatnya ekoran kejadian tersebut.

Utusan Malaysia Online

Thursday, March 18, 2010

Kakitangan awam perlu laku transformasi

RAUB 17 Mac - Kakitangan awam perlu peka dengan seruan kerajaan supaya melakukan transformasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, tugas kakitangan kerajaan kini amat mencabar terutama untuk memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat dan sektor swasta.

''Jabatan dan agensi kerajaan perlu berganding bahu untuk membela rakyat supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

''Kakitangan kerajaan perlu mengubah sikap dengan memberi layanan yang sama rata kepada rakyat tanpa mengira kedudukan sama ada orang kampung, peniaga, petani, warna kulit dan kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Semarak Kasih 1Malaysia anjuran jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan Daerah Raub di sini semalam.

Shahiruddin berkata, penjawat awam tidak boleh melihat dari segi bentuk fizikal termasuk cara berpakaian sebagai ukuran untuk memberikan layanan terbaik kepada rakyat.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memulakan usaha melaksanakan transformasi besar-besaran dalam perkhidmatan awam supaya rakyat terus mendapat pembelaan.

Katanya, transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri menjadi panduan kepada penjawat awam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

''Rakyat sedang melihat prestasi kakitangan kerajaan dan menilai sejauhmana kita menyahut dan mampu melaksanakan transformasi yang uar-uar oleh Perdana Menteri untuk memberikan perkhidmatan yang mendahulukan rakyat.

"Bagi memberikan perkhidmatan terbaik, kita perlu menganggap rakyat sebagai ahli keluarga kita dan membuang sikap acuh tidak acuh," tegasnya.

Kakitangan kerajaan juga tambahnya, perlu menyelesaikan segera masalah rakyat sebaik mungkin dengan mengetepikan kerenah birokrasi.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, March 17, 2010

Penjawat awam perlu dinamik dan berdaya saing

PENJAWAT awam yang kini berjumlah kira-kira 1.2 juta orang merupakan agen penggerak untuk merealisasikan dan menterjemahkan segala dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Peranan sektor awam amat penting untuk memastikan setiap dasar itu mampu dilaksanakan dengan berkesan, efisien, berintegriti dan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam amanatnya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) telah menyentuh pelbagai aspek dan jalur laluan kerjaya yang ditujukan khas kepada penjawat awam.

Antaranya, Najib menyatakan kerajaan akan mengkaji konsep Perkhidmatan Bukan Guna Sama (closed service) bertujuan mengelakkan penjawat awam menjadi 'jumudi' kerana penjawat awam yang terbabit mungkin sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing. Ini akan memberi kesan dan mengakibatkan kepada tidak ada peningkatan di dalam kerjaya masing-masing.

Beliau juga menyarankan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi lebih perhatian kepada hal ehwal pembelajaran berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan kejayaan dan peluang meningkatkan kerjaya.

Selanjutnya, beliau mengarahkan satu kajian komprehensif dibuat terhadap sistem 'pool' yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum, sebaliknya elemen keadilan semula jadi akan menjadi sebahagian daripada prosedur iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali.

Kenyataan PM berkaitan kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya kepada Kementerian Kesihatan, yang melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut perguruan berkaitan peluang kenaikan pangkat pastinya menggembirakan kumpulan tersebut.

Tindakan itu jelas memperlihatkan hasrat murni PM terhadap penjawat awam bagi menjadikan mereka lebih berwibawa, berdedikasi dan berdaya saing dalam laluan kerjaya masing-masing.
Jika dilihat pada aspek yang lain pula, pengumuman Najib itu menggambarkan kerjaya di dalam sektor awam mempunyai masa depan yang cerah termasuk dari segi peningkatan kerjaya dan peluang kenaikan pangkat.

Di dalam konteks aspirasi nasional kerajaan untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi, penjawat awam berperanan untuk menjadi pemangkin kepada hasrat murni kerajaan.
Ini telah dinyatakan oleh Najib di dalam Tiang Utama Kedua iaitu memastikan apa yang diaspirasikan akan menjelma dan menjadi realiti sekiranya ada pelaksanaan yang pantas, tepat dan berkesan.

Di sinilah, letaknya tugas sebenar penjawat awam di dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Program Transformasi Kerajaan hanya akan berjaya sekiranya penjawat awam bersama-sama mendokong dan sanggup melakukan perubahan daripada yang sedia ada ke arah yang lebih dinamik dan berdaya maju. Secara tak langsung, persepsi negatif di dalam sektor awam seperti antara lainnya penuh birokrasi, tidak mencabar, kroni dan siapa pandai 'bodek' cepat naik pangkat akan terhakis dengan sendirinya.

Selanjutnya, Najib menyeru penjawat awam mengikis mentaliti silo iaitu melihat kepentingan terhad kepada jabatan, agensi dan kementerian sahaja. Beliau juga menyeru penjawat awam supaya menekankan budaya kerja berpasukan dan saf yang kukuh merentasi silo atau kokun masing-masing demi kepentingan rakyat.

Budaya yang menganggap rakyat sebagai pelanggan haruslah dikikis segera. Laksanakan tugas dengan menganggap memberi khidmat seolah-olah kepada satu keluarga yang besar. Justeru, perkhidmatan akan diberikan dengan secara bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa. Ia sekali gus menghapuskan apa yang sinonim dipanggil 'budaya cincai' yang mengambil sikap endah tak endah dengan tugas yang dilaksanakan.

Sekiranya budaya dan mentaliti baru penjawat awam mampu diterjemahkan, maka Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan menjadi kenyataan.

Penjawat awam juga harus meminggirkan kepentingan diri di dalam melaksanakan amanah yang ditugaskan dan beranggapan bahawa tugas atau kerja yang dilaksanakan dengan jujur merupakan satu ibadat sekiranya kena dengan niat.

Sebagai seorang penjawat awam, mereka mestilah sentiasa bertindak tertakluk kepada Peraturan Perintah Am dan Pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa serta akujanji yang telah dipersetujui dan harus akur kepada dasar yang telah digubal oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Penjawat awam yang profesional, dinamik, progresif, berinovatif, berdaya saing dan berpegang erat dengan menjadikan lapan tonggak perdana yang merangkumi empat tiang utama dan empat nilai asas seperti mana di dalam amanat Perdana Menteri semasa MAPPA XI akan menjurus rakyat dan negara ke arah masa depan yang dicitakan bersama dengan lebih gemilang.

Secara umumnya, penjawat awam perlu menjadikan lapan tonggak yang diilhamkan oleh Perdana Menteri iaitu empat tiang utama merangkumi Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) serta empat nilai asas pelengkap iaitu Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti sebagai panduan dalam menggalas amanah dan tanggungjawab pelaksana tugas agar hasrat PM dan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan berjaya direalisasikan.

Nadzir Awang Ahmad @ Said
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Perlis


Utusan Malaysia Online

Tuesday, March 16, 2010

Lebih 40 Jabatan Tak Bayar Elaun Kerja Lebih Masa

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 kakitangan sektor awam kumpulan sokongan tidak akan melakukan kerja lebih masa bermula minggu depan kerana mendakwa elaun kerja lebih masa mereka kini digantikan dengan cuti rehat.



Sambil menyifatkan ia bukan ugutan, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan juga tidak membuat dakwaan 'kosong' sebaliknya menerima banyak aduan sejak tiga bulan lalu.



Omar berkata, walaupun cuti rehat itu salah satu usaha jabatan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, langkah berkenaan boleh memberi kesan negatif bukan saja kepada kakitangan awam terbabit, malah boleh menjejaskan sistem penyampaian kerajaan.



Beliau mendakwa aduan diterimanya daripada ahli kesatuan mendapati lebih 40 jabatan sudah tidak membayar elaun lebih masa sejak tiga bulan lalu, sebaliknya menggalakkan mereka menggantikannya dengan cuti rehat.



"Bukan itu saja, Cuepacs juga menerima aduan daripada ahli bahawa pekerja yang enggan melakukan kerja lebih masa diugut ketua jabatan masing-masing akan dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan.



"Kita melihat tindakan ini amat keterlaluan. Anggota sektor awam sentiasa berdedikasi untuk berkhidmat tetapi pada masa sama, pendapatan (bayaran lebih masa) mereka tidak seharusnya disekat kerana mereka bukannya berpendapatan tinggi.



"Kongres Cuepacs akan diadakan 25 Februari ini bagi membincangkan isu pembayaran kerja lebih masa," katanya ketika dihubungi, semalam.



Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi menghalang pembayaran elaun lebih masa kepada jabatan kerajaan.



Berita Harian Online

Saturday, March 13, 2010

Amalkan Lapan Tonggak Perdana Bagi Transformasi Negara

Oleh Normalazwa Jamaludin & Elimi Rizal

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta kakitangan tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan.

Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan mereka perlu melihat dengan sepasang mata yang baru melalui lensa yang segar bagi memastikan ia mampu menghadapi cabaran yang diletakkan di hadapan dengan penyelesaian yang tidak mempunyai cacat dan cela.Usaha itu sangat perlu khususnya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula melaksanakan transformasi besar-besaran dengan memperkenalkan lapan tonggak perdana yang melibatkan empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap di dalam pentadbirannya.

Empat tiang utama itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) manakala empat nilai asas pelengkap ialah Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti.

Lapan tonggak itu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ialah sebagai panduan kepada penjawat awam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.

Lebih signifikan lagi, cetusan idea Perdana Menteri itu diperkenalkan kepada 4,000 penjawat awam ketika hampir setahun pentadbirannya, semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa lalu.

Beliau memilih persidangan itu sebagai platform menjelas dan menekankan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor awam untuk melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan.

Gagasan 1Malaysia adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat itu adalah perpaduan nasional.

"Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia sejak dulu lagi. Sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong."Terbukti tanpa perpaduan nasional, tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya," kata Perdana Menteri.

Tranformasi kerajaan pula bertujuan menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat, seperti yang sering disebut Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan perlu bersifat sebagai pemudahcara.

Tiang utama ketiga dan keempat, iaitu MEB dan RMK-10, merupakan dua insiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek.

Empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap itu saling melengkapi antara satu sama lain dan bagi membudayakan kreativiti dan inovasi, penjawat awam mesti berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.

Peranan pantas bertindak dan membuat keputusan itu pula amat penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan "velocity of money" atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara.

Begitu juga dengan nilai untuk wang supaya mengelakkan pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat.

Aspek integriti turut ditekankan oleh Najib kerana padanya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi malah turut melibatkan kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani.

Amanat lebih sejam oleh Perdana Menteri itu disambut baik oleh para penjawat awam dan para pegawai kanan kerajaan yang sudah tentunya beriltizam untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Malah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata semua penjawat awam perlu berganding bahu demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.

Katanya, Perdana Menteri telah meletakkan kepercayaan penuh kepada anggota perkhidmatan awam untuk bersama-sama memenuhi janji dan memberikan sepenuh komitmen dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata lapan tonggak yang digariskan oleh Perdana Menteri boleh dicapai dengan kerjasama daripada penjawat awam dan anggota pentadbiran yang bekerja sebagai satu pasukan.

Beliau berkata tiada perbezaan objektif di antara penjawat awam dan anggota pentadbiran kerana matlamat akhirnya ialah untuk membantu rakyat.

"Langkah untuk merealisasikan aspirasi negara itu sedang berjalan, tetapi seperti kata Perdana Menteri sebelum ini, sekarang bukan lagi pada gear satu, tetapi gear tiga dan empat kerana cabaran yang mendatang itu begitu besar."Jika berdasarkan kepada daya saing negara, kita tidak berada pada tahap tinggi yang sepatutnya kita berada," katanya.

Beliau berkata penekanan yang dibuat oleh Najib itu bukan sahaja kepada penjawat awam malah turut membabitkan pihak swasta."Beliau menekankan sektor korporat juga perlu menyinsing tangan untuk sama-sama bergerak. Tidak ada perbezaan di antara sektor awam dan sektor swasta kerana semua mesti bergerak selari."Tahun 2020 hanya 10 tahun sahaja lagi dan jika ini tidak dilakukan, matlamat ini tidak akan dapat dicapai," katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman menyifatkan lapan tonggak perdana itu sebagai amanat yang komprehensif dan memberi visi yang jelas kepada anggota perkhidmatan awam dalam menetapkan hala tuju negara pada masa depan.

Langkah itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan selain meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata rakyat, selain memacu negara menjadi sebuah negara maju, katanya.

Omar berpendapat perubahan di dalam perkhidmatan awam perlu membabitkan pelbagai peringkat termasuk hubungan yang rapat daripada peringkat atasan hingga ke bawahan bagi mewujudkan perkongsian pintar.Kesimpulannya, sektor awam diakui sebagai nadi dan jentera sesebuah kerajaan untuk membuat pacuan ke arah pentadbiran yang dinamik, cekap dan memenuhi aspirasi seseorang Perdana Menteri.

Transformasi perlu dalam sektor awam sekarang kerana berjaya atau gagal pentadbiran Najib itu turut bergantung kepada sektor itu.Persoalannya sekarang ialah, apakah mereka mampu mengikuti gerak tindak Najib yang begitu pantas? Jentera kerajaan mesti mampu mengikut rentak Perdana Menteri, jika tidak aspirasi beliau akan tergendala.

Jika jentera kerajaan dipacu perlahan sedangkan Perdana Menteri bergerak jauh lebih pantas dan ke hadapan, maka di sini akan berlaku sesuatu yang merugikan semua pihak.

Oleh itu, jentera kerajaan mesti menyerapkan mantera kepantasan bertindak menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan pembangunan inovasi dan pembaharuan yang berterusan.

Transformasi ini, seperti yang dikatakan oleh Mohd Sidek, boleh merubah landskap sosioekonomi negara dengan pantas dan berkesan.Ia akan terus membantu visi Perdana Menteri yang jelas dalam mewujudkan sebuah negara maju yang mengutamakan rakyat, agar tiada siapa pun walau berada di pelosok mana di dalam negara akan merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada manfaat arus kemajuan.

Ini adalah masanya bagi penjawat awam untuk merealisasikan matlamat negara sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.Dengan semangat yang lebih komited, mereka tentu boleh membantu mempertingkatkan mutu pentadbiran, memperkukuhkan pengurusan serta melaksanakan khidmat penyampaian yang melambangkan keprihatinan yang tinggi di dalam negara.

Bernama Online

Thursday, March 11, 2010

Sistem "Pool" : JPA Terima Baik Teguran PM

PUTRAJAYA 10 Mac – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima baik ingatan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya satu kajian komprehensif dibuat terhadap penggunaan sistem ‘pool’ yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, arahan Perdana Menteri terhadap sistem ‘pool’ atau penempatan pegawai tertentu di Jawatan Kumpulan menunjukkan beliau prihatin terhadap kebajikan penjawat awam.

Ia, kata beliau, dapat mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap mereka yang terlibat.

“Penempatan pegawai-pegawai di Jawatan Kumpulan bertujuan menampung jawatan atau sebagai sandaran bagi menjaga faedah persaraan pegawai semasa tempoh pegawai ditempatkan secara pinjaman atau pertukaran sementara ke agensi lain atau pegawai melanjutkan pelajaran atau pegawai diberi kelulusan cuti tanpa gaji.“Bagaimanapun, atas sebab kepentingan perkhidmatan, Jawatan Kumpulan juga turut digunakan untuk menampung pegawai-pegawai bagi kategori tertentu,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk amanat Perdana Menteri pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke- 11 (MAPPA XI) semalam di sini berkaitan kedudukan pegawai yang ditempatkan dalam sistem ‘pool’ atau Jawatan Kumpulan.

Ismail berkata, Jawatan Kumpulan turut digunakan untuk menampung pegawai-pegawai bagi kategori berikut iaitu:

  • Kategori I: Pegawai yang mempunyai masalah kesihatan
  • Kategori II: Pegawai yang sedang menghadapi tatatertib/prosiding mahkamah
  • Kategori III: Pegawai yang menghadapi masalah prestasi dan kesesuaian penempatan dan masih ditempatkan di Jawatan Kumpulan
  • Kategori IV: Pegawai ditempatkan di Kementerian dan jabatan atas sebab-sebab seperti menjalankan tugas atau projek khas mengikut keperluan dan kepakaran tertentu yang tiada mempunyai kekosongan jawatan hakiki termasuk mereka yang di dalam proses mendapatkan penempatan yang sesuai.

Menurut beliau, sebahagian besar daripada pegawai yang ditempatkan di Jawatan Kumpulan atas kategori III iaitu atas sebab-sebab prestasi dan kesesuaian merupakan langkah ‘preventive’ yang diambil demi menjaga kualiti perkhidmatan dan nama baik pentadbiran kerajaan.

“Mereka kemudian ditempatkan bagi menjalankan tugas-tugas khas di bawah kategori IV,” katanya.

Kata Ismail, bagi JPA yang mengendalikan pegawai guna sama, langkah susulan terhadap pegawai-pegawai yang ditempatkan ke Jawatan Kumpulan terutama atas sebab-sebab prestasi dan kesesuaian penempatan juga dibuat.

Jelasnya, antaranya ialah mengaturkan perjumpaan dengan ketua perkhidmatan, memberikan khidmat nasihat, rujukan kaunseling, penempatan semula di jawatan-jawatan yang lebih bersesuaian serta menawarkan tawaran persaraan.

Utusan Malaysia Online

Kontrak KSN Disambung Setahun Sehingga Jun 2011

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) secara kontrak selama setahun mulai 24 Jun ini hingga 23 Jun 2011, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Khamis.

Pelantikan semula Mohd Sidek, 58, telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas kepentingan negara, kata kenyataan yang dikeluarkan di sini.

"Perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan terutama dalam meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Mohd Sidek dilantik sebagai KSN pada 3 Sept 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun 2007 kerana mencapai umur 56 tahun pada tarikh tersebut.

Seterusnya beliau dilantik semula secara kontrak sebagai KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 hingga 23 Jun 2009.

Perkhidmatan beliau kemudian dilanjutkan lagi untuk tempoh setahun mulai 24 Jun 2009 hingga 23 Jun 2010.

Bernama Online

Kakitangan, pesara awam dikecuali bayaran di hospital kerajaan mulai 1 April

KUALA LUMPUR: Kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapat rawatan di hospital kerajaan, tidak akan dikenakan bayaran wad, berkuat kuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam, pemansuhan bayaran itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi Gred 45 hingga 54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).

Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah juga berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, manakala kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ketika ini, perkhidmatan awam mempunyai 1.2 juta kakitangan dan pesara seramai 450,000 orang.

Ismail berkata, jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar dikenakan ke atas orang awam.

"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

Ismail berkata, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, ketika dihubungi merayu supaya ibu bapa golongan pesara turut diberi pengecualian kerana ia tidak membabitkan kos tinggi untuk ditanggung kerajaan.

Berita Harian Online

JPA Tidak Cadang Mansuh Sistem "Pool"

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak bercadang memansuhkan sistem ‘pool’, sebaliknya kajian komprehensif terhadapnya akan menumpukan kepada usaha memperbaiki kaedah kaunseling penjawat awam bermasalah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, juga menjelaskan tidak semua penjawat awam yang dimasukkan ke dalam ‘pool’ dihukum kerana berhadapan masalah dalam perkhidmatan.

“Sistem ini masih relevan kerana ada penjawat awam yang perlu ‘direhatkan’ sementara kerana masalah kesihatan, gangguan mental, tempoh peralihan menunggu untuk dipindahkan ke tempat kerja baru, selain tindakan tatatertib atau dihadapkan ke mahkamah.

“Jika mereka ini dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa, dikhuatiri sukar memberi tumpuan sepenuhnya, sekali gus memberi kesan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.“Sebab itu tumpuan diberikan kepada aspek kaunseling kerana menerusinya punca masalah dapat dikesan, selain meredakan tekanan yang dihadapi penjawat awam terbabit,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, mengarahkan sistem ‘pool’ yang dianggap sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum bagi penjawat awam dikaji semula secara komprehensif.

Najib mahu JPA memberi perhatian kepada pendidikan berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan penggantian dan kemajuan kerjaya penjawat awam ketika dalam ‘pool’.

Ismail berkata, ketika ini di JPA saja ada kira-kira 40 penjawat awam dengan pelbagai masalah diberikan jawatan tanpa portfolio dalam sistem ‘pool’ itu.

Berita Harian Online

Tujuan Ujian PTK Dipertikai

SAYA ialah pembantu tadbir di Kementerian Kesihatan. Kali pertama saya mengambil peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ialah pada 2005 dengan keputusan Komponen (umum) aras empat dan (khusus) aras tiga.

Selepas itu, setiap tahun saya berusaha mengambil kembali komponen (khusus) untuk mencapai aras empat agar mendapat anjakan gaji yang kini sudah sudah mencapai tahap maksimum (P1 T24).

Cuba bayangkan dengan tempoh perkhidmatan 29 tahun saya masih berada di P1 T24 dan bila-bila masa akan bersara. Bagaimana keputusan PTK dinilai. Jika kita berada aras tiga (layak untuk naik pangkat) dan apabila mengambil kembali peperiksaan itu untuk membaiki aras kecekapan, mana mungkin aras kita boleh pergi kepada aras satu atau dua?

Sepatutnya jika tidak berupaya mencapai aras empat, keputusan kekal pada aras tiga, tidak mungkin kita semakin bodoh?

Kalau beginilah keputusannya kita hanya membuang masa dengan menduduki peperiksaan yang entah apa tujuannya.

SABARIAH MUSTAFFA,
Hospital Melaka.

Berita Harian Online

MINDA PENGARANG : Laluan Kerjaya Perlu

MEMAJUKAN kerjaya kini menjadi antara elemen yang diberi tumpuan dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Pengumuman mengenai kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya membabitkan peluang kenaikan pangkat di kalangan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan serta pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perguruan pastinya amat menggembirakan golongan ini. Tindakan Perdana Menteri itu memberi realiti dan erti baru bahawa kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam mempunyai masa depan cerah termasuk dari segi imbuhan mahupun kenaikan pangkat. Persepsi terhadap perkhidmatan awam ketika ini antara lain, tidak mencabar, penuh birokrasi dan sukar mengembangkan kerjaya selain perlu ada ‘mentor’ atau menjadi kroni untuk naik. Laluan kerjaya perlu dipermudahkan supaya keseluruhan jentera perkhidmatan awam ditunjangi pegawai berwibawa. Ini bermakna mereka yang layak akan mendapat imbuhan setimpal dengan khidmat serta bakti yang dicurahkan kepada rakyat. Mungkin hasil pelaksanaan di Kementerian Kesihatan serta IPTA dan perguruan itu kelak akan dijadikan model laluan kerjaya bagi seluruh perkhidmatan awam.

Seperkara lagi yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri ialah sistem ‘pool’ dalam sektor awam. Beliau tidak mahu sistem itu dilihat sebagai ‘tempat’ atau ‘alat’ untuk menghukum penjawat awam oleh pihak pentadbiran. ‘Pool’ bukan tempat memudarkan masa depan seorang pegawai yang berkaliber kerana ‘kesalahan remeh dan kabur.’ Ketika Cuepacs mempertikaikan kewujudan sistem itu, tindakan perlu dilakukan supaya persepsi umum terhadap sistem berkenaan diperbetulkan segera. Persepsi ketika ini, sistem ‘pool’ umpama ‘peti sejuk’ untuk kalangan pegawai ‘bermasalah dan tidak sehaluan’ dengan pegawai atasan yang lazimnya berpunca daripada masalah ‘kecil dan remeh’. Contoh, pegawai yang menunjukkan daya kreatif, inovatif, berupaya melakukan penjimatan kos dan material atau menunjukkan kewibawaan memimpin mungkin antara yang akan dimasukkan ke dalam ‘pool’. Lantas Najib mengarahkan kajian terperinci dilakukan supaya elemen keadilan asasi iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlu dijadikan sebahagian prosedur. Sesungguhnya, perlu ada sistem terbuka dan berkecuali dalam proses menghukum penjawat awam. Selain menggariskan kriteria dan prosedur, ketentuan dalam proses menghukum itu bukan dimonopoli sekumpulan pegawai tetapi berdasarkan elemen bebas serta berkecuali. Amat malang jika pegawai yang hebat disisih hanya kerana percanggahan kecil dengan ketuanya sedangkan mereka bukan saja wajar menikmati imbuhan malah diletakkan di barisan depan. Jika seseorang itu memiliki kelebihan dari segi kreativiti, integriti, kepemimpinan dan komitmen maka semua elemen itu juga perlu dimasukkan dalam penilaian prestasi untuk menyokong laluan ke arah peningkatan kerjaya iaitu kenaikan pangkat dan gaji bukan dijadikan sebab dia dimasukkan dalam ‘pool’.

Berita Harian Online

Wednesday, March 10, 2010

Berita@INTURA Mac 2010


Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar

CUEPACS Saran Sistem PTK Dikaji Semula

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dikaji semula termasuk daripada segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.

Sebaliknya, Presiden Cuepacs Omar Osman berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.

Ini kerana, beliau berkata sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.

"Cuepacs menyarankan agar sistem PTK ini dikaji semula selaras dengan hasrat pentadbiran kerajaan yang mahukan penjawat awam melalui beberapa transformasi dan perubahan pada perkhidmatan mereka," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.

Beliau berkata sebelum ini, ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat.

"Jadi, kita sarankan agar kenaikan pangkat ini bukan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan PTK semata-mata."Faktor lain seperti pengalaman, pengetahuan, kemahiran serta dapat membantu meningkatkan prestasi atau produktiviti organisasi masing-masing juga perlu diambil kira. Kita mahu ada kesimbangan dalam perkhidmatan awam antara kakitangan lama dan muda," katanya.

Beliau berkata Cuepacs akan mengadakan kongres bulan depan bagi membincangkan cadangan penambahbaikan itu sebelum ianya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya walaupun peperiksaan PTK telah melalui proses penambahbaikan sebelum ini, ia perlu dikemas kini lagi selaras dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mahukan penjawat awam mempunyai budaya kreatif dan inovatif, bertindak pantas dalam membuat keputusan serta berpengetahuan luas dalam bidang masing-masing.

Bernama Online

Bekas Prebet Mahu Kerja Sektor Awam

SAYA mewakili bekas anggota tentera berpangkat prebet ingin meluahkan masalah untuk tatapan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Kami memohon agar dapat diberikan kelonggaran kepada bekas anggota tentera berpangkat prebet yang ingin menceburi sektor awam, khususnya dalam bidang beruniform.

Rata-rata jawatan beruniform yang ditawarkan dalam sektor awam memerlukan yang berpangkat koperal ke atas. Habis bagaimana dengan pangkat prebet? Kebanyakan bekas tentera dahulu tidak mempunyai kelulusan tinggi. Malah yang berpangkat koperal pun ada yang berkelulusan darjah enam sahaja, tetapi mereka diterima dalam sektor awam gred N17.

Kami prebet bukanlah tidak berdisiplin. Kami juga terlatih dan taat pada ketua, cuma rezeki pangkat dalam tentera tiada walaupun menghadiri pelbagai kursus.

Harap Perdana Menteri yang dikasihi dengarlah luahan bekas tentera berpangkat prebet.

Tambahan pula Perdana Menteri suatu ketika dahulu pernah menerajui Kementerian Pertahanan. Ketika itu Perdana Menteri amat disayangi oleh segenap lapisan warga tentera.

Kini Perdana Menteri sudah ada di tempat yang begitu tinggi dalam kerajaan. Alhamdulillah termakbul doa warga tentera agar Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.

Kami amat merayu kepada Perdana Menteri agar kami dapat menceburi sektor awam setelah meninggalkan angkatan tentera. Tidak semua anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan ada pangkat.

Semoga Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan pertimbangkan permohonan kami.

PREBET MENGANGGUR
Sungai Petani, Kedah

Utusan Malaysia Online

Elak Jawatan Jumud

PUTRAJAYA 9 Mac – Kerajaan akan mengkaji konsep Perkhidmatan Bukan Guna Sama (closed service) bagi mengelakkan penjawat awam menjadi jumud, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ini kerana para penjawat terbabit sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing akibat tidak dapat lagi meningkat dalam kerjaya masing-masing.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberi lebih perhatian kepada (hal) ehwal pembelajaran berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan kejayaan dan peluang meningkatkan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Najib berkata, para penjawat awam muda terutama yang terlibat tugas-tugas diplomasi dan rundingan antarabangsa perlu didedahkan dengan pengalaman yang secukupnya.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya dan jangan melihat sebagai satu kerugian menghantar pegawai-pegawai muda ini untuk terlibat dengan rundingan antarabangsa kerana dengan cara ini sahaja mereka dapat menimba pengalaman.“Sehubungan itu, para penjawat awam hendaklah juga dari semasa ke semasa memahirkan diri dengan menguasai pelbagai bahasa,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengarahkan supaya satu kajian komprehensif dibuat terhadap penggunaan sistem ‘pool’ yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum.

Katanya, elemen keadilan semula jadi (natural justice) iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlulah menjadi sebahagian daripada prosedur.

Utusan Malaysia Online

RRP Port Dickson Diurus Swasta Jamin Perkhidmatan Lebih Baik

BAHAGIAN Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (BPH) ingin merujuk kepada surat bertajuk 'Rumah peranginan Persekutuan tak patut diswastakan' oleh 'Insan prihatin, Kuala Lumpur' yang disiarkan kelmarin.

BPH ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas pandangan yang dikongsikan oleh 'Insan prihatin' terhadap pengurusan Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) iaitu kemudahan beristirehat disediakan kerajaan kepada penjawat awam.

Untuk makluman, sememangnya menjadi hasrat kerajaan agar kemudahan yang disediakan sentiasa mampu memenuhi keperluan istirehat penjawat awam pada harga yang amat berpatutan. RPP Port Dickson baru yang dibina dengan kemudahan seperti sebuah hotel, adalah satu inisiatif kerajaan dalam memberikan pengalaman dan suasana baru kepada penjawat awam yang menggunakan kemudahan RPP, sesuai dengan peredaran masa.

Keputusan kerajaan melantik syarikat swasta bagi menguruskan kemudahan RPP Port Dickson baru ini, yang mempunyai kapasiti sebanyak 100 unit apartmen, adalah atas dasar ingin memberi perkhidmatan berkualiti kepada penjawat awam, mengurangkan kos pengurusan dan operasi di pihak kerajaan.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan pengurusan fasiliti dilaksanakan secara efisien oleh syarikat yang kompeten dan berpengalaman dalam bidang perhotelan. Melalui perjanjian dengan syarikat, kuota penggunaan apartmen diagihkan antara kerajaan dan syarikat mengikut waktu penggunaan tetapi kerajaan memiliki kuota yang lebih tinggi pada waktu puncak (80 peratus daripada jumlah apartmen) seperti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan.

Kadar harga bilik untuk penjawat awam adalah tertakluk kepada kuota yang diperoleh. Penjawat awam yang dapat menempah apartmen menggunakan kuota kerajaan, kadar harga dikenakan adalah di antara RM63.25 (unit apartmen studio) sehingga RM172.50 (unit apartmen VIP 3 bilik).

Jika dilihat kepada kemudahan di dalam apartmen serta kemudahan tambahan lain yang disediakan seperti kolam renang, gimnasium serta gelanggang bola tampar/sepak takraw, kadar ini masih berpatutan dan jauh lebih murah berbanding kadar harga pasaran.

Walaupun RPP Port Dickson kini diuruskan oleh pihak swasta, keistimewaan untuk penjawat awam masih lagi dikekalkan. Keputusan kerajaan untuk menswastakan pengurusan Rumah Peranginan Persekutuan yang lain pada masa hadapan hanya akan dilaksanakan jika berupaya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan tidak membebankan penjawat awam khususnya kadar bayaran.

Sekiranya ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, penulis dialu-alukan untuk menghubungi pegawai perhubungan awam kami di talian 03-88800162 atau 88800161.

BAHAGIAN PENGURUSAN HARTANAH,
Jabatan Perdana Menteri,Putrajaya

Berita Harian Online

Kenaikan Gred 54 pegawai perubatan, pergigian, farmasi dipercepatkan; Skim khidmat pensyarah IPTA, perguruan dikaji

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya membabitkan peluang kenaikan pangkat pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan serta pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perguruan.

Malah, Perdana Menteri turut mengarahkan kajian komprehensif dilakukan terhadap penggunaan sistem 'pool' yang dianggap sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum penjawat awam. Kajian mengenai skim perkhidmatan pensyarah dan sistem pool itu diumumkan Najib pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, manakala pelan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diperincikan dalam satu kenyataan, petang semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah mengkaji dan menyediakan pelan laluan kerjaya untuk pegawai perubatan, pergigian dan farmasi secara komprehensif dari gred lantikan hingga ke Gred 54 yang akan membabitkan perbelanjaan tambahan RM200 juta setahun.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bertujuan menambah baik laluan kerjaya pegawai dalam kumpulan itu supaya berpeluang meningkat hingga ke Gred 54 dalam tempoh yang lebih wajar.

Berdasarkan pelan laluan kerjaya itu, pegawai perubatan dan pegawai pergigian pakar berpeluang dinaikkan ke Gred 54 dalam tempoh sembilan tahun daripada tarikh mula berkhidmat; pegawai perubatan (klinikal/pentadbiran) dan pegawai pergigian (klinikal/pentadbiran) pula 12 tahun dan 14 tahun bagi pegawai farmasi.

Najib berkata, penambahbaikan pelan kerjaya itu adalah lebih baik berbanding tempoh purata sekarang, iaitu antara 11 tahun hingga 17 tahun bagi pegawai terbabit untuk dinaikkan ke Gred 54.

Perdana Menteri berkata, melalui penambahbaikan laluan kerjaya itu, kerajaan berharap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan akan terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

"Kerajaan melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya ini sebagai mengiktiraf sumbangan dan peranan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

"Kerajaan yakin usaha penambahbaikan ini akan dapat meningkatkan komitmen dan azam mereka untuk menjayakan hasrat meningkatkan tahap perkhidmatan hospital kerajaan," katanya.Tahun lalu, 9,871 pegawai perubatan dinaikkan pangkat ke Gred UD44 apabila kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat secara terus ke gred berkenaan kepada semua pegawai perubatan yang dilantik mulai 1 Januari 2008, iaitu sebaik menamatkan 'housemanship' selama dua tahun dan berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Kini, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan urusan kenaikan pangkat ke UD48 apabila ada di kalangan 9,871 pegawai perubatan terbabit telah mempunyai ijazah Sarjana mengikut bidang kepakaran masing-masing serta tempoh perkhidmatan dan pengalaman yang lama.

Perdana Menteri berkata, urusan kenaikan pangkat itu dijangka dapat dilaksanakan sebelum 31 Mac ini.

Terdahulu, pada majlis Mappa XI, Najib berkata, kajian terhadap skim perkhidmatan pensyarah IPTA dan perguruan membabitkan peluang kenaikan pangkat seseorang profesor hingga ke tahap Turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran, berbanding Gred Khas A pada masa ini.

Beliau berkata, jawatan profesor tidak semestinya dibendung oleh jawatan yang dipegang Naib Canselor sesebuah universiti, sebaliknya profesor yang berwibawa dan tersohor boleh menerima gred yang lebih tinggi daripada Naib Canselor.

"Ini satu perubahan yang meletakkan kepada penilaian seorang itu dari segi tahap keilmuan yang ada pada dirinya, bererti bahawa tidak semestinya seorang itu nak naik pangkat mesti berebut jawatan untuk jadi Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor."

Apa yang saya lihat sekarang ini, oleh kerana tak ada peluang untuk meningkat lebih tinggi lagi melalui jawatan profesor, menjadikan jawatan Naib Canselor satu rebutan di kalangan ahli akademik," katanya pada majlis yang turut dihadiri Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, kenaikan pangkat itu perlu berdasarkan meritokrasi kerana negara memerlukan yang terbaik dan tidak boleh bertolak ansur terhadap mediokriti atau budaya 'kecincaian' dalam usaha menjadikan IPTA di negara ini sebagai model kecemerlangan.

"Jadi apabila buka peluang untuk kenaikan pangkat berdasarkan kepada keilmuan mereka, maka tidak semestinya orang itu dapat jawatan lebih tinggi dengan memburu jawatan Naib Canselor."Ini akan meletakkan nilai penguasaan ilmu itu dan kemahiran yang ada pada seorang ahli akademik yang menjadi tonggak utama penentuan jawatan lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, satu sistem 'peer review' perlu diwujudkan di kalangan mereka yang layak untuk membuat penilaian terhadap seorang bertaraf profesor supaya proses kenaikan tidak tertakluk kepada penilaian seorang individu saja.

Mengenai sistem pool, Najib berkata, beliau sudah mengarahkan satu kajian komprehensif dilakukan supaya elemen keadilan asasi, iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada prosedur.

"Saya mendengar bisikan dan suara hati penjawat awam. Saya tahu dan saya peduli.

Berita Harian Online

Monday, March 8, 2010

72 Pegawai Awam & 23 Syarikat Langgar Pengurusan Wang Awam Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Seramai 72 pegawai awam termasuk yang sudah bersara dan 23 syarikat kerajaan dan swasta yang didapati cuai atau sengaja melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, telah dan akan diambil tindakan.

Kes itu adalah sebahagian daripada 374 kes yang ditentukan tindakannya oleh Pasukan Petugas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Mohd Sidek berkata pegawai awam itu akan dikenakan tindakan tamat perkhidmatan, denda bersamaan dengan dua atau tiga hari emolumen, surcaj serta tindakan sivil dan amaran.

"Bagi syarikat pula, tindakan yang akan dan telah diambil ialah menyenaraihitamkan atau mengambil tindakan sivil terhadap syarikat-syarikat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri di sini, Isnin.

Beliau berkata Pasukan Petugas itu, yang penubuhannya diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Okt lepas dan sudah lima kali bermesyuarat, juga memutuskan tidak mengenakan tindakan terhadap 82 kes melibatkan pegawai awam setelah siasatan mendapati kesalahan tidak disengajakan atau berpunca daripada faktor di luar kawalan mereka.

Mohd Sidek berkata di peringkat negeri, sebanyak sembilan kes yang melibatkan 30 pegawai awam telah dan akan diberi amaran manakala satu syarikat kontraktor akan disenaraihitamkan.

Ini adalah antara 55 kes yang sudah disiasat dan diputuskan untuk tindakan, katanya.

Menurutnya sebanyak 91 kes lain di peringkat Kerajaan Persekutuan dan 36 kes peringkat kerajaan negeri masih disiasat SPRM, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman JPA.

Beliau berkata Jawatankuasa Siasatan peringkat kementerian dan jabatan persekutuan serta kerajaan negeri telah diminta menyiasat kes-kes berkenaan dengan terperinci yang menjurus kepada pihak yang benar-benar bertanggungjawab terhadap kes berkenaan walaupun ia melibatkan peringkat atasan.

Selain itu, katanya Pasukan Petugas itu juga meminta kementerian, jabatan dan kerajaan negeri supaya menyegerakan siasatan bagi kes-kes yang belum selesai selain menyemak semula keputusan hasil siasatan yang didapati tidak perlu dikenakan tindakan.

Mohd Sidek berkata Pasukan Petugas itu juga sedang mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan kementerian, jabatan dan kerajaan negeri bagi memastikan isu-isu yang dibangkitkan tidak berulang.

"Bagi mengatasi kelemahan dalam pengurusan syarikat-syarikat kerajaan yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus, Pasukan Petugas memutuskan supaya 'Kod Etika Tadbir Urus Korporat Malaysia' diterima pakai oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata Pasukan Petugas itu akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi menentukan semua perkara yang berbangkit dalam laporan itu dapat diselesaikan sebelum 30 April ini.

Bernama Online

Friday, March 5, 2010

Rumah Persekutuan Tidak Patut Diswastakan

KEMUDAHAN penginapan rumah Persekutuan yang disediakan kerajaan, di bawah Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri amat berpatutan dan mampu disewa semua golongan khususnya kumpulan sokongan.

Rumah tumpangan Persekutuan yang dimaksudkan seperti yang ada di Port Dickson, Negeri Sembilan, Cameron Highlands, Pahang dan Morib, Selangor.

Kemudahan diberikan kepada penjawat awam amat membanggakan untuk menghargai khidmat dan keistimewaan sebagai kakitangan kerajaan.

Dalam hal ini suatu yang amat mendukacitakan apabila diberitakan semua rumah tumpangan Kerajaan Persekutuan akan diambil alih pengurusan swasta secara berperingkat bermula di Port Dickson iaitu Rumah Tumpangan Kerajaan Persekutuan Tanjung Pia, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Apa yang menyedihkan sewa yang dikenakan tentu berkali ganda berbanding sekarang.

Ini terbukti apabila bangunan baru yang sudah diswastakan, kadarnya seolah-olah seperti hotel lima bintang yang jauh daripada kemampuan penjawat awam khususnya kumpulan sokongan.

Bangunan lama yang belum diswastakan mengandungi 20 bilik hanya menunggu masa diswastakan dan difahamkan pelaksanaannya mungkin dalam Mei atau Jun ini, yang akan menidakkan keistimewaan penjawat awam yang menikmatinya sejak sekian lama.

Kerajaan, khususnya Jabatan Perdana Menteri harus mengkaji sedalam-dalamnya hal ini.

Jangan hanya pentingkan keuntungan semata-mata dengan tidak memikirkan keperluan dan kebajikan kakitangan awam yang juga mempunyai keinginan serta naluri sama seperti juga orang lain tetapi atas kadar kemampuan yang berbeza.

INSAN PRIHATIN,
Kuala Lumpur.

Berita Harian Online

Monday, March 1, 2010

SPA Tidak Amal Diskriminasi Gender Dalam Pengisian Jawatan

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak mengamalkan diskriminasi gender dalam pengisian setiap jawatan dalam sektor perkhidmatan awam, kata Setiausahanya, Datuk Lamien Lawiyo, pada hari Isnin.

Menurutnya SPA tidak pernah membezakan gender pemohon kerana kelayakan dan kriteria pengambilan berpandukan kepada jenis jawatan yang dipohon.

Katanya pengambilan penjawat awam tertakluk kepada kesesuaian dan kelayakan berbeza mengikut kehendak dan keperluan kementerian dan agensi kerajaan.

"Mereka dilantik mengikut kehendak bidang pekerjaan. Misalnya, Jabatan Penjara meminta penjawat wanita untuk Penjara Wanita dan kami menimbang kehendak jabatan dan kementerian yang memohon," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak SPA FC yang bertanding pada Liga FAM musim ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, baru-baru ini, bahawa dominasi penjawat wanita dalam sektor awam kian membimbangkan kerana ia akan memberi impak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Ahmad Shah mendakwa semakin ramai penjawat wanita kini telah diberi tanggungjawab untuk memikul tugas yang memerlukan mereka membuat sebarang keputusan penting.

Katanya, hampir tiga suku daripada jawatan baru dalam kategori Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) telah diisi oleh kaum wanita, sekaligus bertentangan dengan dasar kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan `pembuat keputusan' untuk golongan terbabit.

Kenyataan Ahmad Shah itu turut mendapat maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berkata pencapaian dan penghasilan mutu kerja adalah perkara yang paling diutamakan oleh kerajaan, bukan persoalan mengenai jantina.

Menurut Najib, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kemasukan untuk jawatan PTD pada masa akan datang didominasi oleh wanita jika peningkatan jumlah penuntut wanita di universiti berterusan.

Lamien juga memberitahu dari 490 jawatan PTD yang diperuntukkan, 250 daripadanya diberikan kepada calon lelaki manakala selebihnya diisi oleh calon wanita.

"SPA juga masih menanti maklum balas daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan berhubung anggaran kekosongan jawatan untuk tahun ini," katanya.

Bernama Online

Pelaksanaan Perintah Am Timbulkan Ketidakseragaman

REAKSI Presiden Cuepacs, Omar Osman, yang tersentak sejenak apabila diajukan soalan mengenai Perintah Am dan pekeliling kerajaan sudah cukup sebagai petanda betapa rumitnya menangani isu berkaitannya.

Beliau sendiri mengakui permasalahan berkaitan isu itu membabitkan skop amat besar, termasuk aduan membabitkan sesetengah aspek seperti tindakan tatatertib, cuti, elaun dan kenaikan pangkat, yang banyak diterima Cuepacs.

Maklumlah, biar apa saja perkara membabitkan peraturan atau garis panduan berkaitan tata laku dan etika pekerja sudah semestinya mengundang pelbagai masalah dan perlu kerap dikemaskinikan mengikut keadaan tetapi mustahil dapat memuaskan hati semua pihak. Namun, Perintah Am dan pekeliling kerajaan ini menjadi nadi utama yang mengawal selia serta memastikan urus tadbir kerajaan daripada peringkat akar umbi hingga ke tahap tertinggi, harus berjalan lancar serta mematuhi prosedur ditetapkan.

Pada dasarnya, Perintah Am adalah rangkuman syarat, garis panduan, kod etika, disiplin dan undang-undang kecil berkaitan apa yang boleh dilakukan selain prosedur bagi melakukannya dan larangan terhadap penjawat awam.

Pekeliling kerajaan pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu pekeliling perkhidmatan, surat dan surat edaran yang lazimnya menjadi saluran untuk menerangkan bidang kuasa dan kaedah bagaimana sesuatu elemen Perintah Am disesuaikan untuk kementerian, jabatan atau sektor perkhidmatan awam tertentu.

Pekeliling bersifat lebih anjal berbanding Perintah Am kerana ia harus diterjemahkan mengikut keperluan semasa walaupun terikat kepada ruang lingkup yang ditetapkan Perintah Am.

Ini lazimnya dikeluarkan ketua pengarah di kementerian berkenaan khusus bagi kakitangan tertentu. Tetapi ada juga pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara jika membabitkan keseluruhan kakitangan awam secara umum.

Antara lain, Perintah Am merangkumi Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Perkhidmatan Badan Berkanun Persekutuan, Perkhidmatan Badan Berkanun Negeri dan Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan.

Ia meliputi perihal pelantikan, elaun, cuti, tatatertib rumah kerajaan, perubatan dan waktu bekerja selain skim pencen perkhidmatan awam, skim pencen badan berkanun dan kuasa tempatan, acara kewangan, serta penyelarasan pencen.

Perintah Am juga menggariskan tugas-tugas suruhanjaya perkhidmatan bagi melantik, mengesahkan, memberi taraf berpencen, menaikkan pangkat, menukar, kawalan tatatertib dan tugas-tugas lain.

Ia juga menetapkan kuasa melantik bagi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan awam persekutuan dan bersama, anggota pasukan polis, serta perkhidmatan pelajaran.

Selain itu, Perintah Am menetapkan tahap penggredan mengikut kelayakan akademik penjawat awam serta status pegawai (sama ada tetap, sementara, kontrak, sambilan atau berasingan). Ia juga menentukan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan tangga gaji.

Lazimnya setiap profesyen dalam sektor awam perlu ada perintah am yang khusus mengenainya dan diperincikan menerusi pekeliling yang dikeluarkan mengikut keperluan semasa oleh ketua jabatan berkenaan, tertakluk kepada bidang kuasa yang diberi.

Delegasi kuasa bagi mengguna pakai Perintah Am sering diturunkan kepada pegawai peringkat jabatan. Ini secara tidak langsung menyebabkan tiada keseragaman dari segi pelaksanaan, yang lazimnya mengikut budi bicara pegawai atasan berkenaan.

Walaupun pegawai atasan terbabit juga terikat kepada Perintah Am atau Pekeliling lain, pemantauan yang menyeluruh sukar dilakukan terhadap mereka, terutama jika jabatan kerajaan itu terletak di pedalaman.

Sehubungan itu, wujud aduan di kalangan kakitangan awam bahawa berlaku pilih kasih dalam pelaksanaan tindakan tatatertib mengikut Perintah Am kerana hukum berlainan dikenakan bagi kesalahan sama.

Selain itu, ada kakitangan mendakwa sesetengah rakan sekerja diberi layanan istimewa kerana hubungan politik sehingga membebankan kakitangan lain yang terpaksa memikul beban kerja individu berkenaan.

Kewujudan banyak kerenah birokrasi yang membantutkan pelaksanaan sesuatu prosedur yang amat mudah turut melunturkan semangat bekerja kebanyakan kakitangan awam dan tidak kurang terdorong menyertai sektor swasta di mana mereka yakin akan diberi ganjaran lebih setimpal.Umpamanya, usaha mengemas kini rekod kakitangan bagi tujuan kenaikan gred atau gaji selepas memperoleh kelulusan akademik lebih tinggi, kadang-kala mengambil masa hampir setahun sedangkan pengesahannya boleh dilakukan dalam tempoh beberapa hari di sektor swasta.

Ada dakwaan mengatakan pegawai atasan bersifat pilih kasih apabila mahu mengambil tindakan berpandukan Perintah Am. Dalam erti kata lain mereka yang baik dengannya boleh terlepas dan sebaliknya sesiapa yang tidak disukai lebih cenderung dikenakan tindakan.

Banyak peruntukan Perintah Am juga dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai lagi dengan perkembangan semasa tetapi perubahan yang dilakukan memakan masa terlalu lama kerana kerenah birokrasi atau dibiarkan kepada budi bicara ketua jabatan untuk menentukan pelaksanaannya.

Sebelum ini, ada usul bagi mengemas kini Perintah Am ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, malah perbincangan dengan Peguam Negara menjurus ke arah itu sudah dimulakan tetapi tiada perkembangan dilaporkan setakat ini.

Berita Harian Online

Kakitangan Lesap Lebih Setahun Masih Dibenarkan Bertugas

TINJAUAN Berita Harian mendapati hampir setiap kakitangan awam ditemui ada kisah peribadi mengenai permasalahan dengan Perintah Am atau Pekeliling dan rata-rata kecewa kerana tidak banyak berubah walaupun ia kerap dibangkitkan.

Malah, tidak kurang juga yang khuatir menjadi sasaran pegawai atasan mereka sekiranya membicarakan secara terbuka mengenai kepincangan pelaksanaan Perintah Am atau Pekeliling di jabatan masing-masing.

Majoriti berpendapat, apa saja perubahan atau penambahbaikan prosedur yang dilakukan tidak bermakna sekiranya budaya kerja pegawai dan kakitangan awam tidak diubah.

Paling banyak rungutan adalah berkaitan Bab D Perintah Am bagi menangani masalah disiplin dan salah laku kakitangan awam sekarang yang disyorkan dimansuh dan diganti dengan Akta Pekerja Sektor Awam yang memberi kuasa kepada Ketua Jabatan untuk mengambil tindakan disiplin kepada pekerja membuat sebarang salah laku dalam masa 14 hari seperti yang terkandung dalam Akta Pekerja 1955.

Akta Pekerja Sektor Awam hendaklah diwujudkan dengan peraturan penyediaan garis panduan pelaksanaan tindakan terhadap pekerja supaya ketua jabatan dapat melaksanakan kuasanya tanpa teragak-agak.

Ketua jabatan mempunyai kuasa mengeluarkan surat tunjuk sebab, menggantung kerja, mengadakan siasatan dan mengenakan hukuman jika sabit kesalahan. Semua proses ini perlu diselesaikan dalam masa 14 hari seperti termaktub dalam akta itu.

Proses sekarang melalui peruntukan Perintah Am dikatakan mengambil masa lama dan menjadikan kakitangan yang melakukan kesalahan tidak takut dan bimbang.

Inilah rungutan disuarakan seorang kakitangan yang sudah bertugas 20 tahun di Hospital Selama, Perak, yang hairan dengan tindakan pengurusan pentadbiran hospital itu menerima semula kakitangan yang gagal hadir bertugas tanpa sebarang kebenaran selama lebih setahun.

“Setahu saya, mengikut Perintah Am, tindakan buang kerja boleh diambil terhadap kakitangan tidak hadir bertugas selama tujuh hari berturut-turut tanpa kebenaran tetapi dalam kes ini tiada tindakan langsung walaupun beberapa aduan dibuat".

“Malah, saya dan rakan sekerja lain yang membuat aduan diberi amaran dan disuruh letak jawatan saja kalau tidak puas hati. Saya hanya kakitangan sokongan yang bergantung penuh kepada pekerjaan ini bagi menyara keluarga dan tidak berupaya menentang pegawai atasan".

“Kami juga bertindak nekad membuat laporan kepada pengurusan tertinggi selepas tiada tindakan pada peringkat jabatan tetapi kami pula menjadi mangsa dari segi kekangan kenaikan pangkat serta gaji,” katanya.

Aduan kakitangan berkenaan yang kini diuruskan pihak kesatuannya enggan mendedahkan identiti kerana akan bersara tidak lama lagi dan khuatir pencennya terjejas jika terus memanjangkan isu itu.

Berita Harian Online

Laporan Khas : Kes Tatatertib Sektor Awam Perlu Adil

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my

GABUNGAN Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan hukuman dalam Perintah Am, Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993, khususnya berkaitan pemberhentian kerja penjawat awam.

Presidennya, Omar Osman, berkata kajian semula ke arah penambahbaikan itu amat penting untuk memastikan tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam adalah adil dan saksama. Ini bagi mengelak penganiayaan atau sehingga mencetuskan perasaan ‘dendam’ terhadap kerajaan. Katanya, antara aspek utama perlu diberi penekanan dalam kajian semula itu ialah kehilangan segala hak dan faedah secara mutlak termasuk pencen, perubatan, gratuiti, ganjaran cuti terkumpul serta kemudahan lain apabila seseorang penjawat awam diberhentikan kerja akibat kesalahan tatatertib.

Beliau berkata, ada kes pemberhentian kerja membabitkan penjawat awam yang sudah berkhidmat 30 tahun malah mungkin pernah memperoleh anugerah kecemerlangan ketika bertugas serta mempunyai jumlah cuti terkumpul yang banyak.

“Apabila seseorang penjawat diberhentikan, dia mengalami kerugian besar kerana kehilangan mutlak segala hak dan faedahnya sebagai anggota perkhidmatan awam. Lebih menyedihkan, ada kes membabitkan penjawat awam yang hanya tinggal dua tahun untuk bersara wajib atau sudah mempunyai jumlah cuti terkumpul sebanyak 120 hari.

“Keadaan tanpa sebarang pampasan itu akan mengakibatkan permasalahan besar kepada keluarga, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai anak kerana beban kewangan seperti mungkin ada hutang yang masih belum selesai.

“Oleh itu, sekurang-kurangnya gratuiti serta ganjaran cuti yang dikumpulkan sepanjang tempoh berkhidmat patut dibayar dan tidak dikaitkan dengan pemberhentian kerja kerana ia adalah hasil keringat mereka sebelum berlaku kesalahan tatatertib,” katanya.

Omar berkata, Cuepacs memandang berat aspek itu kerana bimbang penjawat awam yang dibebani kesukaran mendadak akibat diberhentikan kerja akan `berdendam’ terhadap kerajaan sehingga mungkin bertindak membuat hasutan.

“Hasrat Cuepacs ialah supaya seseorang penjawat awam yang diberhentikan kerja namun masih taat setia kepada kerajaan kerana hukuman dikenakan bukanlah secara mutlak, sebaliknya masih ada pertimbangan.

“Dengan itu, penjawat terbabit akan lebih dapat menerima hakikat hukuman dan mengakui kesalahan yang dilakukan kerana kerajaan tetap menghargai perkhidmatan selama ini dengan pemberian imbuhan untuk meringankan beban.

“Bagaimanapun, kehilangan faedah pencen, perubatan dan kemudahan lain serta tidak boleh lagi berkhidmat dalam sektor awam adalah hukuman setimpal,” katanya.

Berdasarkan statistik sektor awam tahun lalu, Omar berkata, kira-kira 380 kes pemberhentian kerja akibat pelbagai kes kesalahan tatatertib, termasuk tidak hadir bertugas tanpa cuti selama tujuh hari berturut-turut.

Dalam konteks ini, beliau berkata, penjawat yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas tanpa cuti selama tujuh hari berturut-turut wajar dipanggil untuk membela diri dalam panel lembaga tatatertib sebelum penetapan keputusan memberhentikan kerja.

Katanya, ini supaya mereka berpeluang menjelaskan permasalahan atau punca sebenar kejadian itu kerana mungkin berlaku kes kecemasan tertentu yang tidak dapat dielakkan tetapi peruntukan cuti sudah habis.

Penjawat yang melakukan kesalahan tatatertib akan diberi surat tunjuk sebab dan keputusan memberhentikan kerja hanya dibuat berdasarkan jawapan dalam surat itu tanpa dipanggil berjumpa dengan panel lembaga tatatertib.

"Ini tidak adil kerana ada sebilangan penjawat yang kurang arif menjawab surat tunjuk sebab dan mungkin ada kes teraniaya. Tambahan pula, lazimnya 90 peratus kes rayuan gagal".

"Sehubungan itu, Cuepacs meminta kerajaan mengkaji semula supaya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan kerana perkara ini memang banyak dipersoalkan dan mencetus perasaan tidak puas hati".

“Cuepacs mencadangkan supaya setiap penjawat awam yang menghadapi tuduhan kesalahan tatatertib mesti dipanggil ke dalam lembaga tatatertib dan dibicarakan secara adil dan juga saksama, bukan keputusan dibuat berdasarkan surat tunjuk sebab saja. Selain itu, wajar dilantik pemerhati seperti di kalangan wakil kesatuan,” katanya.

Lebih memeritkan, Omar berkata, ada segelintir ketua jabatan menggunakan ancaman `hukuman tatatertib’ sebagai senjata gertakan untuk melakukan suatu tugas ke atas kakitangan bawahan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan dalam proses mentransformasi sektor awam ke arah kualiti kerja, produktiviti dan sistem penyampaian terbaik kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Katanya, Cuepacs sudah menetapkan dalam Sasaran Kerja Tahunan 2010 untuk meneliti semula Perintah Am, Bab D berkenaan, meliputi dari segi relevan dan kesesuaian dengan perkembangan semasa.

“Cuepacs akan mengadakan bengkel bagi tujuan ini, dijangka Februari tahun depan membabitkan penyertaan pihak seperti ahli dalam bidang perundangan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Berita Harian Online

Guru Agama Johor Rayu CUEPACS Bantu Tuntutan Naikkan Gaji

UNTUK makluman, kami Guru Agama Kerajaan Negeri Johor Gred DGA26 yang berkhidmat di bawah Jabatan Agama Johor, Bahagian Pendidikan adalah lantikan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor (SPAJ).

Kami mohon jasa baik Cuepacs menyelesaikan masalah anjakan gaji lulusan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) pada aras IV yang masih tidak dapat kenaikan itu bermula 2006 sehingga 2008.

Semua maklumat guru berkenaan sudah dihantar kepada Pengarah Jabatan Agama Johor untuk kenaikan anjakan gaji. Untuk makluman, kami sedia maklum syarat anjakan gaji seperti berikut:

4.1 Lulus PTK aras IV.
4.2 Laporan Prestasi Tiga Tahun berturut-turut.
4.3 Kelulusan Ketua Jabatan (Pengarah Jabatan Agama Johor).

Bagaimanapun, syarat ketiga menyebabkan kami tidak menerima anjakan itu dengan alasan ketua jabatan mengatakan itu haknya untuk meluluskan atau tidak.

Kami tidak puas hati kerana sudah bersungguh-sungguh mengambil peperiksaan dan lulus tetapi tidak mendapat kenaikan berkenaan. Kami juga ingin hak seperti penjawat awam lain.

Harapan kami Cuepacs dapat membantu menyelesaikan masalah ini supaya kami tidak lagi menunggu bulan jatuh ke riba.

GURU AGAMA,
Kerajaan Negeri Johor Gred DGA29.

Berita Harian Online