Sunday, June 27, 2010

Pertukaran 5,000 staf diteruskan

KUANTAN 26 Jun – Kerajaan negeri akan tetap meneruskan proses pertukaran pegawai dan kakitangannya antara jabatan di negeri ini walaupun ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail menegaskan, langkah pertukaran tersebut bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai dan kakitangan terbabit.

Menurutnya, pertukaran itu juga merupakan prosedur biasa bagi kakitangan awam dalam mana-mana jabatan kerajaan negeri atau Pusat.

‘‘Pertukaran ini adalah untuk kebaikan mereka juga kerana bukan sahaja boleh memperbaiki kelemahan diri tetapi dapat mempertingkatkan mutu kerja masing-masing serta menimba pengalaman baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti MS ISO 900: 2008 dan anugerah perkhidmatan cemerlang Majlis Daerah Bera (MDB) serta Pejabat Tanah dan Daerah Bera di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Daud, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Zahid Mohd. Noor Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman dan ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman.

Pada 19 Jun lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan negeri menangguhkan arahan pertukaran kira-kira 5,000 pegawai dan anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

Utusan Malaysia Online

Thursday, June 24, 2010

CUEPACS desak bonus dua bulan

MELAKA 23 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mendesak kerajaan mempertimbangkan semula permohonannya mendapat dua bulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam tahun ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, berdasarkan tahap pemulihan ekonomi negara ketika ini, CUEPACS percaya kerajaan dapat memberi pertimbangan terhadap permohonan yang dikemukakan pada tahun lalu itu.

Menurut beliau, keseluruhan kakitangan awam benar-benar mengharapkan kerajaan mengumumkan pemberian bonus dua bulan gaji sewaktu pembentangan Bajet 2011, Oktober ini.

"Ekonomi negara sudah pulih dan saya mewakili seluruh kakitangan awam berjumlah 1.2 juta orang ini meminta kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk pemberian bonus dua bulan gaji tahun ini.

"Tahun lalu, CUEPACS dapat menerima hakikat kegawatan ekonomi yang bukan sahaja melanda negara tetapi juga di peringkat global hingga memaksa permohonan yang kita kemukakan ditangguhkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada forum anjuran Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Sewaktu membentangkan Bajet 2010 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan membayar bantuan khas sebanyak RM500 diberi kepada kakitangan awam dan pesara.

Mengulas lanjut, Omar mengakui pembahagian bonus tersebut adalah hak mutlak kerajaan namun ia wajar dipertimbangkan.

Beliau menambah, pemberian bonus kepada kakitangan awam perlu bagi mengurangkan beban kakitangan kerajaan terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya permintaan ini ditunaikan kerajaan, kita anggap bajet yang akan diumumkan Oktober ini adalah yang terbaik untuk seluruh kakitangan awam," katanya.

Selain itu, ujarnya, pemberian bonus juga akan menjadi motivasi kepada penjawat awam dalam menghadapi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk lebih berfikiran kreatif, inovatif dan berintegriti tinggi.

Di samping itu, juga Omar menambah, CUEPACS turut memohon kepada kerajaan agar bantuan kewangan menguruskan jenazah penjawat awam dapat dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM3,000.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, June 23, 2010

Kesedaran rasuah rendah

Sejak pelancarannya pada 26 April 2010 sehinggalah rencana ini ditulis, seramai 144 orang telah ditangkap di seluruh negara atas kesalahan menyogok pegawai awam. Tempoh dua bulan ini memperlihatkan purata tangkapan ke atas pemberi rasuah dianggarkan dua orang setiap hari.

Statistik ini menunjukkan bahawa masyarakat masih lagi belum sedar bahawa perbuatan memberi atau menawarkan suapan rasuah merupakan satu perbuatan jenayah yang serius. Sekiranya didapati bersalah hukuman berat termasuk penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan menanti pelakunya.

Media massa banyak membantu menyebarluaskan maklumat atau mesej berhubung Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini. Masyarakat didedahkan mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi sekiranya terjebak dengan perlakuan ini. Berita-berita berhubung tangkapan, pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas pemberi rasuah hampir setiap hari dipaparkan di kaca televisyen mahupun di dada akhbar-akhbar utama.

Namun, pertambahan jumlah perangkaan yang semakin bertambah ini memperlihatkan isu berkaitan kesalahan memberi rasuah ini masih dianggap remeh oleh segolongan besar masyarakat.

Berdasarkan jumlah tangkapan keseluruhannya iaitu sebanyak 144 kes, hampir 40 peratus atau 57 tangkapan melibatkan individu yang melakukan kesalahan jalan raya. Kenapa harus kita memperjudikan nasib dengan memberi sogokan rasuah atas kesalahan yang boleh di kompaun. Akibatnya, bagi mengelakkan saman trafik yang bernilai RM300 kita terpaksa berhadapan pula dengan suatu kesalahan yang lebih serius iaitu berhadapan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi.

Masyarakat harus mengubah persepsi negatif mereka terhadap penjawat awam khususnya anggota penguat kuasa. Zaman telah berubah, begitu juga semangat dan iltizam penjawat awam. Maruah perkhidmatan awam bukan untuk digadai atau dijual. Wang ringgit bukan galang gantinya. Kewujudan anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya keseluruhannya.

Segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri dengan melanggar peraturan yang ditetapkan wajar dihukum sebagai tanda pengajaran untuk menjadi lebih disiplin. Sikap cuai, gopoh, memandu secara melulu dan tidak sabar membuatkan individu menjadi pembunuh di atas jalan raya.

Atas sebab-sebab inilah, maka kemalangan maut sering berlaku sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa. Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kajian yang dijalankan oleh pihak berwajib menunjukkan kemalangan yang berlaku hampir 75 peratus disebabkan faktor kecuaian manusia.

Selain kesalahan jalan raya, satu lagi kesalahan yang menjadi punca kepada perlakuan rasuah ialah kesalahan yang melibatkan pendatang tanpa izin. Penjawat awam sekali lagi cuba disogok untuk melindungi pendatang tanpa izin yang bukan sahaja memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah malahan terbabit dengan lain-lain kegiatan jenayah termasuk merompak, melacur, menyamun, dadah dan sebagainya.

Seramai 38 orang pendatang tanpa izin yang ditangkap kerana menyogok anggota penguat kuasa. Sudahlah memasuki negara ini tanpa sah, cuba pula membeli penguat kuasa bagi menutup kesalahan mereka. Jangan sesekali samakan anggota penguat kuasa kita seperti di negara mereka.

Sekali lagi masyarakat harus sedar, kesan dan akibat sekiranya PATI dibiarkan berleluasa menjalankan kegiatan mereka di negara ini. Kita bukan tidak biasa mendengar tumpasnya kegiatan samun, pembunuhan, penculikan, rompakan, pengedaran dadah, kegiatan samseng dan pelacuran yang melibatkan warga negara asing.

Hampir setiap hari dilaporkan dalam akhbar-akhbar berhubung jenayah berat yang dilakukan warga asing di negara tercinta ini. Adakah kita sebagai warganegara Malaysia mahukan kedamaian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini diragut begitu sahaja dek kegiatan jenayah warga asing?

Sungguh memalukan jika diteliti dari segi jumlah wang rasuah yang cuba disogok kepada penjawat awam. Dari nilai RM3 hinggalah puluhan ribu ditawarkan untuk melindungi kegiatan mereka. Apakah nilai maruah dan harga diri seorang anggota keselamatan sekadar RM3 sahaja?

Terdapat juga kata-kata nakal di kalangan kita yang mengatakan RM3 tangkap kalau RM30,000 lepas. Ingin ditegaskan bahawa penjawat awam pada hari ini sebenarnya telah banyak berubah baik dari segi sikap, nilai integriti mahupun budaya kerjanya.

Buktinya, seramai 10 orang anggota penguat kuasa yang ditawarkan rasuah bernilai melebihi RM10,000.00 menolak sogokan tersebut dan menangkap si pemberi rasuah. Secara keseluruhannya, jumlah suapan yang terlibat sepanjang dua bulan ini melibatkan sebanyak hampir RM350,000.

Wang ringgit bukan lagi menjadi keutamaan yang dikejar. Sebaliknya, amanah dan perjuangan menegakkan undang-undang menjadi perjuangan. Jenayah dan permasalahan sosial yang berlaku di sekeliling membuatkan penjawat awam semakin muak dengan ragam dan tingkah laku penjenayah yang semakin tidak menghormati kedaulatan undang-undang negara ini.

Kesannya, rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Keharmonian dan kesejahteraan hidup yang dikecapi semakin digugat. Ia bukanlah kata-kata retorik, sebaliknya suatu kenyataan atau realiti yang harus diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini akan diteruskan sehinggalah keseluruhan masyarakat sedar bahawa perbuatan memberi dan menawarkan suapan rasuah adalah kesalahan yang serius.

Berdasarkan kepada statistik tangkapan ke atas pemberi rasuah, Polis Diraja Malaysia harus diberikan pujian kerana telah berjaya menangkap lebih dari 50 orang pemberi rasuah, diikuti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi-operasi khasnya sebanyak 10 tangkapan, RELA 9 tangkapan, JPJ 8 tangkapan, Imigresen 5 tangkapan, Perhutanan 2 tangkapan, Tenaga Nasional 1 tangkapan dan PTG 1 tangkapan.

Tumpuan di fasa kedua adalah serbuan mengejut secara bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa di seluruh negara ke atas sarang-sarang pelacuran, pengedaran dadah, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, kilang-kilang haram, pembalakan haram, kecurian pasir dan premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan jenayah.

Strategi pendekatan serampang dua mata ini sekiranya dijalankan secara telus bukan sahaja akan memberi pengajaran ke atas pelaku-pelaku rasuah malahan turut menghapuskan pelbagai kegiatan jenayah lain.

Datuk Ahmad Khusairi Datuk Yahaya
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Utusan Malaysia Online

Saturday, June 19, 2010

CUEPACS minta kerajaan negeri tangguh arahan tukar penjawat awam

KUANTAN 19 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan negeri supaya menangguhkan arahan pertukaran pegawai dan anggota perkhidmatan awam di negeri-negeri.

Presidennya, Omar Osman berkata, sistem pertukaran pegawai dan staf sokongan pihak berkuasa tempatan serta beberapa jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri perlu dikaji semula kerana pertukaran dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

"Sepatutnya sistem pertukaran perlu sistematik dan bukannya dalam keadaan tergesa-gesa supaya mereka yang terbabit tidak menghadapi kesukaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, antara perkara utama yang perlu dinilai sebelum mengeluarkan arahan pertukaran ialah lokasi perpindahan, tempoh masa diperuntukkan selepas mendapat surat pertukaran serta bidang tugas seharusnya bersesuaian dengan gred jawatan petugas terbabit.

"Apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu pertukaran dilakukan dengan tergesa-gesa iaitu dua hari selepas mendapat surat dan tugas yang diamanahkan tidak setaraf dengan gred jawatan seperti pegawai Gred 52 menjalankan tugas pegawai Gred 48 dan pegawai Gred 41 jalankan tugas pegawai Gred 48 dan sebagainya," katanya.

Bernama Online

Friday, June 18, 2010

Jawatan pembantu tadbir MDB belum diisi?

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) banyak memberi kelulusan permohonan perjawatan kepada Majlis Daerah Bera (MDB) untuk diisi oleh pegawai dan kakitangan serta orang awam yang berkelayakan.

JPA juga memberi peluang yang besar kepada pegawai dan kakitangan dalaman MDB untuk kenaikan pangkat dan gred.

Bagaimanapun sehingga kini, jawatan paling kritikal yang masih belum diisi di MDB ialah pembantu tadbir (kesetiausahaan) gred N17 sejak lapan tahun lalu.

Apa yang mendukacitakan saya ialah mengapa kekosongan jawatan itu tidak diisi dan tidak diiklankan.

Adakah MDB hendak memberi jawatan itu kepada ahli keluarga atau waris terdekat sahaja?

Pada April tahun lalu, MDB mengadakan sesi temu duga bagi jawatan pembantu tadbir, pekerja rendah awam dan pemandu.

Senarai nama calon yang berjaya ditapis dan disenarai pendek dihantar ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang untuk mendapat kelulusan dan pertimbangan selanjutnya.

Selepas lebih setahun menunggu, barulah jawapan diketahui siapa yang berjaya atau sebaliknya.

Beberapa calon yang berjaya mendapat surat panggilan untuk menjawat jawatan yang ditawarkan oleh Bahagian Perjawatan MDB.

Apa yang dipersoalkan sekarang ialah mengapa ada nama calon yang berjaya dan disenarai pendek oleh Pejabat SUK tidak dipanggil untuk bekerja sebaliknya nama calon tidak tersenarai di Pejabat SUK dipanggil bekerja oleh MDB.

Ini merupakan satu kelemahan dan diharap Yang Dipertua serta Setiausaha MDB menyiasat dan mengambil tindakan dengan segera supaya pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu lebih mantap lagi.

Utusan Malaysia Online