Friday, April 29, 2016

Seminar Kepimpinan Muda 2016 : Nurturing Future Leaders

Seminar Kepimpinan Muda 2016: Nurturing Future Leaders telah diadakan di Dewan Jubli Perak, INTAN Wilayah Utara pada 28 April 2016. Seminar ini menghimpunkan lebih 215 penjawat awam pelbagai jabatan dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
            Antara objektif seminar ini adalah untuk menjadikan INTAN sebagai platform utama dalam merangsang keupayaan generasi muda sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa hadapan. Ia juga bertitik tolak daripada usaha untuk merapatkan jurang pengetahuan dan pengalaman yang kini menjadi satu senario penting dalam  organisasi di Malaysia. Selain itu, seminar ini juga dapat memperkasa perkhidmatan awam dengan memberi peluang kepada pegawai-pegawai muda memberi pandangan dan idea baharu demi untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berjiwa besar, dan menambah baik pembangunan kepemimpinan sektor awam untuk membina kemahiran kepimpinan dan keupayaan yang sesuai mengikut fungsi tugas bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan awam yang sentiasa berubah.
            Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dr. Mohd Bakhari Ismail, Ketua Kluster, Kluster Kepimpinan dan Pembangunan Eksekutif INTAN. Sesi Bicara Tokoh telah menampilkan YBhg. Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Elyas Omar, Bapa Arkitek Pembangunan Kuala Lumpur, YBhg. Prof Datuk Razali Mahfar, Chief Consulting Officer MYiLEAP dan Rita Dato’ Sosilawati, Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd.

            Seminar ini diharap dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu untuk menjana kepimpinan sektor awam melalui transformasi diri, membentuk bakat kepimpinan muda dan melahirkan pemimpin-pemimpin muda tanpa mengira rupa dan umur bagi memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan.












Sunday, April 24, 2016

Hampir 70 pegawai jawatan 'sensitif’ ditukar

Ali HAMSA membuat balingan semasa merasmikan Pertandingan Boling

ALI HAMSA membuat balingan semasa merasmikan Pertandingan Boling Puspanita Kebangsaan Piala KSN dan Boling Persahabatan Pesara anjuran Puspanita Kebangsaan di Alamanda, Putrajaya, semalam. mingguan/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 23 April – Hampir 70 pegawai yang memegang jawatan sensitif melebihi tiga hingga lima tahun di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan telah ditukarkan setakat ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 pegawai telah ditukarkan secara dalaman di jabatan masing-masing manakala selebihnya telah bertukar jabatan dan kementerian.

Kata beliau, pertukaran seumpama itu akan dijadikan sebagai amalan bagi kerajaan mulai sekarang dalam usaha memastikan seseorang pegawai itu tidak memegang jawatan ter­tentu dalam tempoh yang lama.

“Saya ingin menegaskan bahawa pegawai-pegawai yang ditukarkan ini berprestasi cemerlang, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Apa yang penting adalah sumbangan mereka diberikan kepada agensi-agensi yang lain.

“Pertukaran ini berlaku dari se­ma­sa ke semasa, apabila seseorang mencapai tiga hingga lima tahun ke atas, kalau jawatan itu terlalu sensitif lebih elok tukarkan mereka. Pegawai-pegawai ini juga seme­mangnya faham tentang garis panduan yang dikeluarkan oleh perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Boling Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kebangsaan Piala KSN dan Pertandingan Boling Persahabatan Pesara di sini hari ini.

Sebelum ini, Ali mengumumkan sebanyak 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif dalam kerajaan akan ditukarkan secara dalaman atau ke kementerian lain bermula bulan ini.

Katanya, semua pegawai itu telah dikenal pasti dan melibatkan­ mereka yang berkhidmat dalam lingkungan dan melebihi lima tahun di beberapa bahagian termasuk Bahagian Perolehan, Kewangan dan Kontrak.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan ketika ini, Ali memberitahu, kekangan tersebut tidak memberikan impak negatif kepada kebajikan penjawat awam di negara ini.

Pada masa sama katanya, beberapa perkara yang telah dijanjikan kerajaan kepada penjawat awam sebelum ini akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula Julai depan.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, April 19, 2016

Senamrobik Perdana INTAN Wilayah Utara

Selepas penganjuran Program 10,000 Langkah pada 20 Mac lalu, sekali lagi INTAN Wilayah Utara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda telah menganjurkan Senamrobik Perdana pada 18 April 2016 bertempat di Astaka INTURA.
 Seramai hampir 150 orang peserta yang terdiri daripada warga INTURA dan peserta kursus hadir menjayakan sesi senamrobik ini. Sesi senamrobik ini telah dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Amy Studio, Sungai Petani. 
Senamrobik ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan diharapkan program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi menggalakkan penjawat awam khususnya peserta kursus supaya lebih aktif dan pembelajaran tidak terhad di dalam kelas sahaja serta membudayakan gaya hidup sihat.











Friday, April 15, 2016

Gaji permulaan terendah RM1,200

PUTRAJAYA 14 April – Pelaksanaan Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menunaikan janji untuk memberi kenaikan gaji kepada penjawat awam sebagaimana yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2016.


Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Ne­gara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (gambar) berkata, sehu­bung­an itu, semua penja­wat awam di negara ini diminta meningkatkan pro­duktiviti dan daya usaha mereka dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rak­yat berikutan pe­laksanaan rasionalisasi berkenaan.

“Walaupun kita lihat hasil yang kita peroleh berkurangan kerana penurunan harga minyak dan lain-lain, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016 lalu.

“Oleh itu, saya meminta semua penjawat awam untuk melihat ia sebagai satu berita yang baik kepada mereka dan saya berharap semua penjawat awam meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pemberian Hadiah Pertandingan Mencipta Logo Korporat MyHSR Corp di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ali berkata, pada keseluruhannya, pengumuman pekeliling yang melibatkan 252 skim perkhidmatan tersebut menunjukkan berlaku penambahbaikan yang menyebabkan peningkatan gred dan kelayakan mengikut gred.

“Salah satu penambahbaikan adalah kita perkenalkan gaji minimum yang sebenarnya lebih tinggi daripada yang diumumkan bagi keseluruhannya. Ini adalah untuk gred terendah iaitu Gred 11 dan kalau diambil kira elaun diterima, kita anggarkan mereka menerima sebanyak RM1,500 pendapatan bersih ,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kos perbelanjaan kerajaan berikutan langkah tersebut, Ali menjelaskan, kerajaan secara kese­luruhan akan menanggung hampir RM1 bilion dari segi perbelanjaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengumumkan Peke­liling Perkhidmatan Bilangan 1 Ta­hun 2016: Rasionalisasi Skim Perkhid­matan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia berkuatkuasa 1 Julai ini.

Menerusi pekeliling tersebut, Gaji Permulaan Terendah (GPT) dalam Perkhidmatan Awam adalah RM1,200 sebulan selain melaksanakan penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM).

Serentak dengan itu, pegawai awam turut menerima faedah pemindahan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kecuali yang terlibat dalam pemindahan ke gaji permulaan yang baharu di JGMM baharu.

Dalam pada itu, rasionalisasi yang dilakukan turut memperluaskan peluang pemegang kelayakan kemahiran untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan memasukkan kelayakan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam skim perkhidmatan tertentu.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, April 12, 2016

Rasuah dalam kalangan penjawat awam: Di mana silapnya?

Tahun lalu, seramai 398 penjawat awam ditangkap kerana rasuah. Jumlah itu meningkat 173 orang berbanding tahun 2014. Peningkatan hampir sekali ganda.


Ali Hamsa
Untuk dua bulan pertama tahun ini sahaja 98 kakitangan kerajaan di peringkat paling tinggi sehinggalah ke staf sokongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Statistik itu belum termasuk kes seorang penjawat awam berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 Juta. Kes rasuah yang dianggap paling teruk dalam permulaan tahun ini.
Nilai suapan yang dihadapi pegawai yang menduduki senarai kelapan terpenting dalam sebuah kementerian itu boleh menyamai nilai hampir 300 buah rumah mampu milik.

Gejala ini amat serius. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah sektor penting yang diberi tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat.

Ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.

Jika tidak diben­dung, penyakit sosial ini yang mungkin dianggap amalan biasa oleh sesetengah pihak boleh menjadi barah yang sukar diubat. Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu.

Pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa baru-baru ini misal­nya, untuk menukar pegawai yang menyandang jawatan sensitif ke bahagian atau kementerian lain, antara tindakan drastik yang boleh dipuji.

Semua pegawai ter­sebut merupakan mereka yang telah berkhidmat dalam lingkungan dan melebihi lima tahun di beberapa bahagian termasuk Bahagian Perolehan, Kewangan dan Kontrak.

Sebenarnya pekeli­ling berkaitan tindakan itu telah pun wujud sejak tahun 2004. Tetapi mengapa ia tidak diguna pakai?

Jika dilihat, pegawai KBS itu pun telah memegang jawatan tersebut sudah lapan tahun sejak 2008 lagi - melebihi yang sepatutnya.

Sebelum ini pun, CUEPACS pernah mencadangkan sejak 2014 untuk mewajibkan setiap agensi penguat kuasa terutamanya, tidak menempatkan seseorang pegawai atau anggota di satu-satu kawasan melebihi lima tahun.

Langkah tersebut bertujuan mengelak mereka berasa ‘selesa’ di sesuatu tempat sehingga mendedahkan mereka kepada gejala ra­suah dan salah guna kuasa.

Tetapi tidak mengapalah. Mungkin pekeliling ini terlepas pandang. Namun sekurang-kurangnya ada tindakan tegas diambil selepas kes rasuah paling jijik itu.

Kita harap ada sinar di hujung terowong untuk membetulkan yang biasa. Bagaimanapun ‘sinar’ itu tidak akan bercahaya jika tidak ada kerjasama daripada semua pihak.
Baik di peringkat pemimpin ter­tinggi - (menggariskan dasar dan kaedah untuk membanterasnya), mahupun pihak pengurusan di sektor awam dan swasta perlu serius menggunakan kaedah yang digariskan itu untuk menanganinya.

Orang awam juga tidak terke­cuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada mereka ini. Sogokan di peringkat bawahan inilah yang membuka jalan kepada gejala itu.

Kita yakin jika setiap orang bertanggungjawab dan berintegriti, sasaran Malaysia untuk memastikan negara berada dalam kalangan 30 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2020 pasti tercapai.

Utusan Malaysia Online

Pekeliling tambah baik 252 skim perkhidmatan awam diedar 14 April ini

GEORGETOWN 11 April - Pekeliling mengenai penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia akan diedarkan pada 14 April ini.

Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, langkah rasionalisasi skim perkhidmatan itu adalah bersifat menyeluruh yang diharap akan disambut baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam.

“Pekeliling mengenai penambahbaikan skim ini akan didedahkan kepada orang ramai dan dimuat naik ke laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pada 14 April ini,” katanya semasa menyampaikan syarahan Transformasi Perkhidmatan Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan skim itu merupakan usaha baik kerajaan dalam meningkatkan mutu sektor awam yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Katanya, selepas pekeliling itu diumumkan, sesi penerangan mengenai penambahbaikan skim berkenaan akan dilakukan oleh pihak JPA.

Bernama Online

Monday, April 11, 2016

Kaji undang-undang penguatkuasaan JPJ

Liow TIONG LAI menyematkan Anugerah Pingat Unggul Ketua Pengarah

LIOW TIONG LAI menyematkan Anugerah Pingat Unggul Ketua Pengarah JPJ di dada Pengarah Kejuruteraan Automotif JPJ, Datuk Ir. Mohamad Dalib sambil di perhatikan Ismail Ahmad (kiri) dalam majlis sambutan Hari JPJ Ke-70 di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 10 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan mengkaji semula undang-undang sedia ada dalam usaha memastikan kerja-kerja penguatkuasaan jabatan tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah tersebut penting memandangkan kerja-kerja penguatkuasaan yang dijalankan JPJ ketika ini dilihat kurang mendatangkan kesan dalam menurunkan kadar kemalangan di negara ini.

Beliau berkata, langkah tersebut juga dapat memastikan pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang akan diperkenalkan kelak dapat dijalankan dengan berkesan.

“Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila kita melaksanakan penguatkuasaan, tidak nampak keberkesanannya jadi, kita perlu mengkaji semula segenap sudut penguatkuasaan yang dilakukan selama ini.

“Sebagai contoh, apabila dahulu kita laksanakan sistem penguatkuasaan automatik (AES), berlaku permasalahan apabila terdapat banyak daripada mereka yang tidak membayar saman tersebut.

“Selain itu, Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) dahulunya tidak berkesan kerana kita membolehkan sesiapa yang membayar kompaun tidak perlu dipotong markah mereka. Ini menyebabkan wujud kelonggaran dan permasalahan dari segi pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-70 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, ketika berucap, Tiong Lai berkata, dalam usia 70 tahun, kerajaan sedar bahawa peranan JPJ amat besar dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta berintegriti.

Sehubungan itu, kata beliau, pelbagai transformasi telah dan akan dilaksanakan terhadap jabatan tersebut bagi memastikan perkhidmatan kerajaan yang cepat serta telus.

Beliau memberitahu, JPJ telah melaksanakan beberapa transformasi perkhidmatan selaras dengan kehendak Program Transformasi Ekonomi yang menyasarkan semua agensi kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus transaksi dalam talian menjelang 2020.

“Perkhidmatan dalam talian JPJ merupakan salah satu perkhidmatan yang digemari rakyat. Kita telah pun melaksanakan penambahan mesin-mesin tersebut di kios-kios JPJ.

“Kita seterusnya merancang untuk meletakkan mesin-mesin tersebut di pasar raya supaya mereka yang keluar membeli-belah boleh dalam masa sama menggunakan perkhidmatan disediakan JPJ,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa tiga bulan lagi bagi menaik taraf dan menambah baik struktur pentadbiran dan pengurusan JPJ.

“Penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk memastikan JPJ terus diperkasakan dan diperkukuhkan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Saturday, April 9, 2016

Jangan kalah lawan rasuah dalam perkhidmatan awam

Hakikatnya kakitangan yang menjunjung tinggi budaya integriti

Hakikatnya kakitangan yang menjunjung tinggi budaya integriti lebih besar jumlahnya dibandingkan dengan pelaku-pelaku rasuah. GAMBAR HIASAN


Kes-kes rasuah, penyelewengan dana dan pemalsuan dokumen dalam kalangan penjawat awam bukan perkara baharu malah menjadi bahan percakapan masyarakat yang tidak berkesudahan. Persepsi kakitangan kerajaan perlu ‘dibalas’ dengan ‘sesuatu’ bagi menyelesaikan satu-satu urusan telah menjadi satu perkara biasa walaupun tidak semuanya benar.

Tanggapan semua kerja boleh ‘dipermudahkan’ atau diselesaikan dengan pemberian sedikit ‘duit kopi’ di peringkat budak pejabat, peon, kakitangan perkhidmatan kaunter dan anggota penguat kuasa selalu kedengaran.

Beberapa siri tangkapan dan pendakwaan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah membenarkan lagi persepsi ini. Imej penjawat awam tidak pernah ‘bersih’ daripada pandangan sedemikian walaupun hakikatnya kakitangan yang menjunjung tinggi budaya integriti lebih besar jumlahnya dibandingkan dengan pelaku-pelaku rasuah.

Pada bulan lalu ada dua kes ­rasuah yang menjadi tumpuan ramai melibatkan kakitangan kerajaan atau agensi awam. Kedua-duanya adalah kes penyelewengan dana kerajaan yang melibatkan jumlah jutaan ringgit. Ekoran daripada kes tersebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian. Beberapa kakitangan sebuah agensi kerajaan turut ditahan dalam minggu yang sama bagi membantu siasatan kes penyelewengan melibatkan pembelian satu hartanah di luar negara.

Dua kes tersebut serta kes-kes yang berlaku sebelum ini mahu tidak mahu terus menguatkan persepsi tidak baik orang ramai bahawa budaya rasuah sudah berakar umbi dan sukar dibendung. Malah apabila ‘jerung-jerung besar’ jabatan kerajaan mula ditangkap dan didakwa, sangka buruk segelintir masyarakat membesar bahawa amalan rasuah berlaku di semua peringkat dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat tertinggi. Begitu dahsyat dan berat sekali tuduhan sedemikian!

Sudah tentu pandangan buruk seumpama itu kalaupun tidak banyak, sedikit pun tetap menjejaskan moral dan imej kakitangan dan perkhidmatan awam yang selama ini sudah dipandang serong. Mereka yang bekerja di bahagian-bahagian yang melibatkan hubungan terus dengan pelanggan seringkali dipandang ‘semacam’ walaupun sebahagian besar daripada mereka bekerja dengan jujur dan penuh dedikasi bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pandangan sedemikian mungkin disebabkan ada sahaja kes-kes baharu melibatkan jenayah rasuah dilaporkan setiap hari. Meskipun yang ditangkap itu lebih banyak ‘ikan bilis’ dan sekali sekala ‘ikan jerung,’ keadaan tersebut tetap tidak mengubah persepsi negatif mereka.

Ini belum lagi ditambah dengan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh ahli-ahli politik berhubung perkara yang sama. Walaupun perkara itu tidak benar atau separuh benar, tokok tambah dengan ramuan berperisa politik menjadikannya seolah-olah betul. Ramai yang percaya meskipun sebahagian kes yang dibawa ke mahkamah membuktikan sebaliknya atau tidak benar.

Sebenarnya kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk mencegah amalan buruk yang sudah menjadi barah dalam masyarakat ini. Banyak program, pendekatan dan mekanisme bagi memupuk budaya integriti, jujur dan bertanggungjawab dalam bertugas sudah disemai sejak dari hari pertama setiap penjawat awam menerima aku janji sebagai kakitangan awam. Bagaimanapun tidak semua mampu bertahan memegang sumpah yang dilafazkan sehingga ke hari terakhir berkhidmat. Sebahagian yang terlibat cepat kelabu mata lebih-lebih lagi setelah memegang jawatan penting dan sensitif.

Lantas, pendekatan menukar, mengehadkan atau menggilirkan para pegawai yang menyandang jawatan sensitif di bahagian-bahagian sensitif atau dengan bahasa mudah ‘lubuk duit’ satu langkah yang amat tepat.

Semua orang tahu apa peranan Bahagian Perolehan, Bahagian Kewangan dan Bahagian Kontrak dalam sesebuah kementerian. Bahagian ini memang dikenali sebagai bahagian ‘paling sensitif.’ Cabaran bekerjanya sungguh besar dan petugas-petugasnya perlu memasang benteng integriti dan keimanan yang paling kukuh.

Pendekatan sebegini menunjukkan kerajaan serius untuk memben­dung ketirisan, penyelewengan atau perbuatan rasuah. Mengehadkan setiap pegawai bertugas di satu-satu bahagian kepada tiga hingga lima tahun adalah wajar. Membiarkan mereka bertugas di bahagian-bahagian yang sama sehingga berpuluh tahun boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai ‘ancaman integriti.’

Dalam masa yang sama, amalan mengekalkan seorang pegawai bertugas sehingga berpuluh tahun lamanya di satu bahagian sahaja juga tidak adil kepada penjawat awam itu sendiri dan kakitangan lain. Mereka perlu diberi pen­dedahan menjadi pegawai serba boleh. Langkah yang mula dikuatkuasakan bulan ini mungkin tidak disenangi oleh segelintir pegawai terlibat. Bagi kakitangan kerajaan yang sentiasa bekerja penuh integriti, pertukaran atau penggiliran seperti itu bukan satu isu apatah lagi satu masalah.

Kerajaan tidak boleh mengalah dalam perjuangan menjadikan per­khidmatan awam dan penjawat awam satu perkhidmatan yang bersih dan berintegriti. Perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu per­khidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama dalam setiap praktisnya.

Utusan Malaysia Online

JPA selesai proses penambahbaikan 252 skim perkhidmatan sedia ada

KUALA LUMPUR 9 April - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyempurnakan proses penambahbaikan 252 skim perkhidmatan sedia ada di bawah langkah rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menjelaskan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan itu bukan merupakan semakan Sistem Saraan, sebaliknya ia adalah penambahbaikan 252 skim perkhidmatan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

"JPA juga telah mengadakan 87 rundingan melibatkan sesi libat urus yang begitu menyeluruh bagi mencapai hasrat ini.
"Saya berharap seluruh warga perkhidmatan awam akan menyambut baik usaha kerajaan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan penjawat awam," kata beliau dalam catatan di laman Facebooknya pada Khamis lepas.

Mohamad Zabidi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam membantu menyempurnakan proses penambahbaikan itu.

Bernama Online