Monday, February 28, 2011

15,000 pembantu am pejabat tunggu naik pangkat

IPOH: Seramai 15,000 Pembantu Am Pejabat (PAP) di seluruh negara sedang menunggu untuk dinaikkan pangkat dan gaji yang permohonan mereka telah pun dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata memorandam berkenaan dihantar ke JPA enam bulan lalu dan pihaknya sedang menunggu kelulusan permohonan yang dijangka diketahui seawal 1 Mei ini. "Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji dan menyeleras semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan ini yang sebelum ini hanya memerlukan kelulusan rendah di peringkat Penilaian Menengah Rendah berbanding kini yang memerlukan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia selain diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita. Beliau menghadiri majlis taklimat kepada anggota Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia cawangan negeri Perak.

Omar berkata sekiranya permohonan itu diluluskan, ia akan meningkatkan semangat penjawat jawatan berkenaan untuk bekerja lebih keras.

"Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat. Justeru itu, apabila adanya keselarasan (jawatan), ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja," katanya.

Beliau berkata Cuepacs turut bercadang menukarkan gelaran jawatan Pembantu Am Pejabat kepada yang lebih sesuai.
Tugas Pembantu Am Pejabat kini tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat semata-mata malah meliputi pelbagai tugasan lain di luar pejabat seperti di makmal dan bengkel, katanya.


BERNAMA

Saturday, February 26, 2011

Kursus Kenegaraan dimansuh

Oleh Nazura Ngah

Penjawat awam lulus TK1, aras IV layak dipertimbang anjakan gaji

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini. Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.



Berita Harian Online

CUEPACS minta semak gaji 5 bidang

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyemak semula skim gaji penjawat awam beruniform iaitu bomba, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pendapatan mereka setaraf anggota polis dan tentera.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim gaji bagi lima bidang penjawat awam beruniform itu tidak sesuai dengan bidang tugas dan tanggungjawab dipikul. “Jika kita lihat lima bidang penjawat awam itu, tugas mereka perlukan ketahanan fizikal dan mental di mana mereka perlu berhadapan dengan berjaga sehingga lewat malam, berkawal di sempadan negara dan semua ini berkaitan dengan risiko serta tanggungjawab mereka. “Saya berharap kerajaan semak dan menilai semula skim gaji mereka dan menyelesaikannya dalam tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina dan pertemuan pertamanya bersama Exco Kanan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di sini, semalam.

Selain itu, Omar turut mengingatkan orang ramai bahawa Koperasi CUEPACS Berhad adalah satu badan yang berbeza dengan CUEPACS dan mereka tiada hak menyentuh isu berkaitan kongres itu.

Ini berikutan aduan diterima CUEPACS berhubung koperasi itu.
“Saya ada menerima beberapa aduan orang ramai dan saya ingatkan kepada semua, koperasi itu di bawah satu badan lain dan tiada kena mengena dengan CUEPACS,” katanya.




Berita Harian Online

Sunday, February 20, 2011

RM3.8b setahun urus kakitangan awam di Kelantan

KOTA BHARU 20 Feb — Kerajaan persekutuan membelanjakan RM3.8 bilion setahun untuk perbelanjaan mengurus 74,800 kakitangan awam di Kelantan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahya Mamat.


Beliau berkata, jumlah peruntukan itu atau kira-kira RM300 juta sebulan adalah untuk memastikan kakitangan awam di Kelantan mampu memberi perkhidmatan cemerlang seterusnya membantu meningkatkan pembangunan di negeri ini.

"Peruntukan yang disalurkan itu lebih banyak, berganda-ganda daripada hasil perolehan negeri setiap tahun iaitu RM300 sehingga RM400 juta setahun,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Taklimat Keselamatan dan Isu-Isu Semasa di sini hari ini.

Selain peruntukan mengurus kakitangan awam, Yahya berkata kerajaan turut meluluskan sebanyak RM2.4 bilion dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk melaksanakan 346 projek di negeri ini.

Bernama Online

Saturday, February 19, 2011

Pekerja kontrak dibayar ganjaran

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada laporan akhbar ini bertarikh 16 Februari lalu bertajuk ‘bekas kakitangan kontrak patut dapat pampasan.’ Seramai 786 pekerja lantikan kontrak tidak disambung perkhidmatan mereka pada 2011.

Daripada jumlah itu, 34 pekerja adalah tukang masak, pekerja awam (437) dan jaga (315). Perkhidmatan mereka tidak disambung kerana program penswastaan perkhidmatan kebersihan, kawalan keselamatan dan bekalan makanan di premis mereka bertugas. Pekerja lantikan kontrak yang tidak disambung akan dibayar ganjaran kontrak oleh bekas ketua jabatan masing-masing berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan bil 2/2008: Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.


Berita Harian Online

Syor wujud juruukur bangunan

CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk melantik juruperunding bagi menilai dan mengawal selia sekolah yang daif di seluruh negara satu langkah bijak bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa pada tahap memuaskan.

Ramai yang sedia maklum profesion juruukur bangunan adalah kursus profesional yang berkelayakan untuk menjalankan tanggungjawab itu kerana kursus ukur bangunan sememangnya memberi penekanan khusus dalam bidang audit bangunan yang diiktiraf oleh Institution of Surveyors Malaysia (ISM), The Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS) dan Association of Building Engineers, United Kingdom (ABE). Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga memberikan pengiktirafan sebagai ijazah profesional di bawah skim perkhidmatan J41, J44, J48, J52 dan J54. Selain itu, profesion ini juga memenuhi keperluan industri pembinaan bagi menjamin kualiti pembinaan dan bangunan agar ia mematuhi undang-undang serta piawaian, di samping untuk mendapatkan penyenggaraan bangunan yang terbaik.

Sehingga kini lebih 2,000 graduan juruukur bangunan sudah dilahirkan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Malangnya, disebabkan ketiadaan Akta Juruukur Bangunan, khidmat juruukur tidak dapat digunakan oleh orang awam dan kerajaan terutama bagi menjalankan kerja pemeriksaan bangunan serta penyediaan laporan audit bangunan dengan lebih teratur.

Untuk tujuan pewujudan akta itu, pihak ISM berusaha selama lebih 16 tahun menerusi perbincangan, dialog, taklimat dan sebagainya, namun menemui jalan buntu.
Kesedaran perlunya profesion juru ukur bangunan ini amat dirasai apabila bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, menubuhkan Bahagian Juruukur Bangunan di Jabatan Kerja Raya pada 12 Jun 2007 iaitu selepas negara dikejutkan dengan beberapa siri kerosakan bangunan seperti siling runtuh, bumbung bocor dan sebagainya.

Susulan daripada peristiwa itu, Samy Vellu memaklumkan kepada Ahli Dewan Negara pada 19 Disember 2007 bahawa jemaah menteri meluluskan cadangan menubuhkan akta dan lembaga untuk juruukur bangunan.

Sehingga kini, tiada sebarang tindakan dan pelaksanaan oleh pegawai yang bertanggungjawab di peringkat kementerian terbabit. Keadaan ini merugikan graduan, kerajaan dan orang awam.

Banyak manfaat bakal diperoleh jika profesion juruukur bangunan diwujudkankerana mutu dan keutuhan bangunan yang dibina terjamin.

AHMAD FAUZI MD SOOD,
Bahagian Ukur Bangunan, Pertubuhan Juruukur Malaysia.


Berita Harian Online

Friday, February 18, 2011

Peniaga terkejut cepat dapat lesen

ALOR GAJAH 17 Feb. - Terkejut dan tidak pernah menjangka ia akan diberikan secepat itu! Begitulah reaksi yang diberikan oleh para peniaga berhubung usaha terbaru Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang memperuntukkan masa hanya 15 minit untuk meluluskan permohonan lesen perniagaan tidak berisiko.

Sambil memuji inisiatif MPAJ itu, mereka turut berharap agar perkhidmatan yang sama dapat diperkenalkan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

Menurut Hasbullah Mohd. Halil, 34, dia seperti bermimpi apabila dimaklumkan oleh petugas kaunter bahawa permohonan lesen perniagaan yang dipohonnya sudah siap.

Ini kerana, katanya, sebelum ini, dia sering mendengar keluhan daripada rakan perniagaan yang mendakwa sukar mendapatkan lesen perniagaan dalam masa yang singkat.

"Saya rasa, saya hanya duduk di kaunter perkhidmatan itu kurang 10 minit, petugas sudah maklumkan permohonan saya sudah diluluskan, saya sungguh tidak sangka, perkhidmatan MPAG sudah mencapai tahap efisien.

"Mungkin juga, permohonan yang dikemukakan juga lengkap jadi petugas kaunter tiada masalah untuk meluluskan segera permohonan saya mendapatkan lesen perniagaan tidak berisiko," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Hasbullah yang mengusahakan perniagaan pendawaian kabel elektrik di Masjid Tanah berkata, langkah MPAG memendekkan masa permohonan lesen perniagaan itu wajar diikuti oleh PBT lain demi memudahkan orang awam berurusan.

Ini kerana, katanya, langkah MPAG itu memberi kesenangan kepada orang awam yang berurusan di kaunter perkhidmatan tanpa perlu menunggu masa yang lama berada di majlis perbandaran tersebut.

Seorang lagi usahawan pendawaian kabel elektrik, Suhaimi Abdul Malek, 35, berkata, dia tidak menyangka permohonannya mendapatkan lesen perniagaan diluluskan dalam masa yang amat singkat.

"Saya agak terkejut tetapi pada masa yang sama gembira kerana MPAG memang memudahkan kerja saya.

"Usaha MPAG ini amat menjimatkan masa, saya tidak perlu lagi menunggu berhari-hari bagi mendapatkan lesen perniagaan," katanya.

Menurut Suhaimi, alangkah baik jika semua PBT yang berkaitan menurut langkah dan inisiatif MPAG tersebut demi memudahkan urusan orang ramai.

Utusan Malaysia Online

Lulus lesen hanya 15 minit

ALOR GAJAH 17 Feb. – Sebelum ini, kita sering mendengar keluhan dan rungutan di kalangan peniaga tentang tempoh masa yang agak lama untuk lesen perniagaan mereka diluluskan.

Menyedari kelemahan itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan usaha meluluskan permohonan lesen hanya 15 minit bagi semua jenis perniagaan tidak berisiko.

Berbanding sebelum ini, permohonan lesen tidak berisiko seperti perniagaan makanan, pakaian dan alat tulis di MPAG mengambil masa sehari untuk diluluskan manakala perniagaan berisiko seperti kilang dan bengkel memerlukan tempoh seminggu bagi kelulusan.

Langkah yang diambil oleh MPAG itu sekali gus menjadikan majlis perbandaran itu sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini melaksanakan usaha tersebut bagi memudahkan urusan orang awam.

Yang Dipertua MPAG, Kamaruddin Md. Shah berkata, usaha itu mula diperkenalkan Januari lalu dan akan diperkembangkan kepada jenis perniagaan berisiko pada masa depan.

Menurutnya, sejak diperkenalkan, pihaknya telah meluluskan 32 lesen perniagaan tidak berisiko mengambil masa hanya 15 minit.

“Usaha ini untuk memudahkan golongan peniaga berurusan dengan MPAG selain mahu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang awam yang berurusan di kaunter,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut beliau, peniaga yang hanya mengemukakan permohonan lengkap bagi mendapatkan lesen perniagaan tidak berisiko akan dijamin mendapatkan lesen mereka dalam tempoh 15 minit.

Katanya, kelulusan 15 minit juga diberikan kepada pemohon lesen perniagaan makanan di gerai atau medan selera MPAG kecuali permohonan lesen perniagaan makanan di bangunan sendiri.

Ujar beliau, pihaknya menyediakan empat kaunter perkhidmatan bagi permohonan kelulusan lesen peniagaan termasuk yang berisiko di MPAG.

Namun, katanya, perkhidmatan kelulusan perniagaan tidak berisiko selama 15 minit itu hanya dihadkan di kaunter perkhidmatan MPAG tidak termasuk di cawangannya di Masjid Tanah dan Pulau Sebang.

“Bagi permohonan lesen berisiko iaitu perniagaan yang memerlukan ulasan dan kebenaran daripada PBT, ia memerlukan masa sedikit iaitu seminggu kerana permohonan perlu dibincangkan di peringkat majlis,” katanya.

Usaha itu juga menurut Kamaruddin, sebagai mengadaptasi langkah efisien yang diambil oleh agensi kerajaan lain khususnya Jabatan Imigresen yang pada masa ini hanya mengambil masa satu jam meluluskan pengeluaran pasport.

“Kita merasakan sudah tiba masanya untuk memudahkan lebih banyak urusan dengan orang awam khususnya golongan peniaga yang sentiasa sibuk dan memerlukan banyak masa untuk melaksanakan urusan perniagaan mereka.

“Sebagai PBT yang dipertanggungjawabkan, kita mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam malah pada masa ini sudah banyak agensi kerajaan mengorak langkah memudahkan khidmat kepada orang ramai terutama Jabatan Imigresen,” katanya.

Kamaruddin berharap melalui kemudahan terbaru itu, orang awam terutama peniaga lebih berpuas hati dengan tahap kualiti perkhidmatan MPAG malah ia akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Utusan Malaysia Online

Penjawat awam jangan lengahkan kerja - Lajim

KUALA PENYU 17 Feb. - Penjawat awam digesa membuat sesuatu keputusan atau kelulusan dengan kadar segera dan tidak melengah-lengahkan kerja dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, penjawat awam khususnya ketua jabatan perlu memastikan proses kerja yang diguna pakai sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa.

Menurut beliau, hanya dengan cara itu ia dapat meyakinkan masyarakat dan memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan.

Sehubungan itu katanya, penjawat awam bukan sahaja perlu komited dalam melaksanakan tugas masing-masing, tetapi pada masa yang sama perlu memiliki daya saing dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

"Sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi, penjawat awam perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan pengetahuan bagi memastikan segala perkhidmatan yang diberikan mampu memuaskan setiap pelanggan iaitu orang ramai," katanya di sini hari ini.

Lajim berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan daerah Kuala Penyu di Dewan Masyarakat Dato' Shah Bandar Makang di sini.

Mengulas lanjut, Lajim berkata, setiap ringgit yang dibelanjakan oleh penjawat awam seharusnya dibelanjakan dengan berhemah dan boleh memberi impak positif kepada kepentingan rakyat.

Jelasnya, hanya tindakan berhemah tersebut membolehkan kerajaan berjimat dan menggunakannya untuk melaksanakan lebih banyak projek di negeri ini.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memandang berat soal integriti dalam kalangan penjawat awam.

"Kesungguhan serta kebolehan penjawat awam di semua peringkat dalam menentukan segala dasar dan program dilaksanakan dengan sempurna merupakan kunci kepada kejayaan negara," katanya.

Sementara itu, beliau yang menghargai sokongan dan serta kerjasama yang diberikan oleh penjawat awam amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan bagi memantapkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan rakyat supaya menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

"Mereka yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain. Pihak berkenaan harus sedar peranan sektor awam kerana mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar dan pembangunan negara," katanya.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, February 16, 2011

CUEPACS mahu sistem lebih baik ganti PTK

KUALA TERENGGANU 15 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memastikan sistem penilaian baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) nanti dilaksanakan dengan lebih mudah dan bersekali dengan sistem gaji.

Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Azih Muda berkata, ia bagi mengelakkan sistem baru yang dijangka diumumkan oleh kerajaan nanti menjadi kekangan kepada anggota sektor awam dalam meneruskan kerjaya mereka.

Katanya, CUEPACS turut mencadangkan agar kerajaan menyemak semula gaji jawatankuasa Kabinet yang terbukti lebih berkesan dalam sektor awam serta tidak menimbulkan banyak rungutan.

Menurutnya, sistem baru itu perlulah lebih fokus kepada tugas yang dilakukan oleh penjawat awam dan juga mengambil kira kekananan dan tidak semata-mata menggunakan kaedah merit untuk kenaikan pangkat.

"Sebab itu CUEPACS turut mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem gaji matrik yang ada sekarang diganti dengan sistem gaji selapis yang mampu memenuhi tempoh perkhidmatan seseorang sebelum bersara pada umur 58 tahun.

"Antara satu mata gaji yang sesuai nanti mungkin boleh diadakan sekatan kecekapan yang memerlukan seseorang penjawat awam berusaha meningkatkan kecekapan dan kemahiran mereka untuk tujuan anjakan ke mata gaji lebih tinggi," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi CUEPACS Bahagian Terengganu berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ahli jawatan kuasa CUEPACS Bahagian Terengganu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat sini kelmarin.

Katanya, CUEPACS tidak mahu lagi melihat kegagalan agensi pelaksana PTK berulang apabila kerajaan melaksanakan sistem baru itu nanti dan untuk itu kerajaan perlu mengambil kira pandangan agensi dan kesatuan sekerja dalam merangka sistem tersebut.

Selain itu Azih berkata, CUEPACS turut menerima cadangan daripada kesatuan sekerja yang mewakili anggota di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) agar hanya satu skim perkhidmatan diwujudkan di PBT.

Katanya, pemantapan skim perkhidmatan boleh dilakukan oleh kerajaan dengan mengambil kira keperluan yang ada di PBT itu sendiri yang berjumlah hampir 200 PBT termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Apabila ada satu skim sahaja akan memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada anggota di PBT dan cadangan ini merupakan satu yang unik kerana belum ada cadangan seumpamanya dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini,'' jelasnya.

Sementara itu kerajaan juga diminta menyelesaikan kedudukan pengajar membalak gred G17 di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan menjadikannya gred lebih terbuka untuk bertugas di agensi lain.

Pada masa ini tambahnya hanya terdapat 10 orang pengajar membalak di negara ini iaitu yang bertugas di Pusat Latihan Membalak Terengganu yang terhad dan tidak berpeluang untuk meningkatkan kerjaya mereka.

Utusan Malaysia Online

Bekas KSU diberi pengiktirafan

SHAH ALAM 15 Feb. - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Tan Sri Hashim Meon, 64, adalah antara lima penerima anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul 2011 peringkat negeri Selangor di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menerima Anugerah Umar Abdul Aziz bagi mengiktiraf sumbangannya dalam sektor perkhidmatan awam dan kemajuan negeri ini.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata, anugerah itu menaikkan semangatnya untuk terus menabur bakti ke arah pembangunan Islam.

"Walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, saya memilih untuk bergerak aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Insya-Allah, saya akan meneruskan usaha untuk membantu masyarakat di negara ini termasuk di Selangor," katanya.

Hashim menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala, sijil penghargaan dan sepersalinan.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh wakil Sultan Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan SUK Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pensyarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, 45, pula menerima Anugerah Saidatina Khadijah.

Beliau berkata, anugerah tersebut memberikan pengiktirafan kepada seluruh wanita Islam di negeri ini sekali gus membuktikan golongan tersebut juga mampu memberikan sumbangan seiring dengan golongan lelaki.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohd. Nasir Abd. Ghani, 54, menerima Anugerah Khalid Al-Walid di atas kegigihan dan keberanian melaksanakan usaha menyelamat.

Antaranya, beliau pernah mengetuai operasi menyelamat kebakaran Kompleks Campbell (1975); tragedi runtuhan kondominium Highland Tower (1993); kebakaran hutan di Sabah dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buloh (1992).

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Musa Fathullah Harun pula menerima Anugerah Imam Al-Ghazali atas sumbangan pentingnya dalam bidang dakwah dan penulisan ilmu-ilmu Islam.

Ketiga-tiga penerima anugerah itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala, sijil penghargaan dan sepersalinan.

Sementara itu, tokoh termuda, Siti Nadhira Shafei, 18, pula dipilih menerima Anugerah Saidina Ali atas kecemerlangannya dalam bidang hafazan al-Quran.

Dia merupakan johan majlis hafazan al-Quran peringkat kebangsaan kategori 30 juzuk dua tahun berturut-turut sejak 2009.

Beliau menerima wang tunai RM5,000, piala, sijil dan sepersalinan.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, February 15, 2011

Tindakan lengah angkat sumpah SUK dipersoal

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Tindakan kerajaan Selangor terus melengahkan majlis angkat sumpah rahsia Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dipersoalkan beberapa pakar perundangan.

Menurut mereka, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap majlis itu sebagai tidak penting seolah-olah memperlecehkan perkhidmatan awam selain menimbulkan keraguan sama ada terdapat sesuatu hendak disembunyikan.

Bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin menyifatkan perkara itu sebagai sejarah hitam yang amat malang untuk ditanggung rakyat Selangor.

“Jika majlis angkat sumpah tidak penting, apa sebenarnya yang penting? Adakah kepentingan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu didahulukan berbanding kepentingan rakyat?

“Inilah bukti omongan kosong kononnya mereka mengamalkan pentadbiran telus dan berintegriti. Nampak manis tetapi hakikatnya mereka gagal memahami konsep semak dan imbang yang perlu diwujudkan agar rakyat tidak menjadi mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid memberitahu, majlis itu akan tetap diadakan tetapi mengikut masa beliau memandangkan dirinya begitu sibuk kerana bertugas setiap hari termasuk Ahad.

Mohd. Roslan menambah, ada kemungkinan majlis itu dilengahkan kerana tidak mahu segala rahsia kelemahan pentadbiran kerajaan negeri diketahui Khusrin sehingga mendatangkan risiko besar kepada pembangkang.

“Mereka seboleh-bolehnya masih mahukan orang yang boleh diperkotak-katik dan mengikut selera ‘tuan politik’ agar dapat membendung sebarang kelemahan yang ada daripada diketahui umum,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Irmohizam Ibrahim menjelaskan, berdasarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri, pegawai yang belum mengangkat sumpah tidak boleh mengikuti mesyuarat exco.

“Jadi, bagaimana Abdul Khalid boleh katakan perkara ini tidak penting. Kalau Khusrin tidak masuk mesyuarat, bagaimana beliau selaku SUK hendak membawa dasar itu ke bawah untuk dilaksanakan?

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah perkenan dan Khusrin pun telah mengangkat sumpah di hadapan baginda. Apa lagi yang tidak kena?” soalnya.

Beliau dalam pada itu turut menganggap Abdul Khalid cuba memberikan alasan tidak matang kononnya teramat sibuk sehingga majlis itu tidak dapat dijalankan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya tahu membahagikan masa untuk tugasan negeri dan peribadi. Alasan tidak matang dan remeh sebegitu menampakkan beliau cuba mempermainkan institusi-institusi yang wujud di negeri dan peringkat Persekutuan,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Friday, February 11, 2011

BTN bukan badan tentu gaji kakitangan awam

KUALA LUMPUR: Biro Tata Negara (BTN) hanya menjalankan kursus kenegaraan, bukannya badan yang bertanggungjawab menaik atau menurunkan gaji kakitangan awam, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Shagul Hamid Abdullah.

Beliau berkata, agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu melaksanakan kursus kenegaraan, Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Satu selaras dengan surat pekeliling perkhidmatan Bil 1 2003 bertajuk Pelaksanaan Kursus Kenegaraan. “Bagaimanapun, kerajaan memutuskan kursus PTK dimansuhkan berkuat kuasa 1 Januari lalu seperti dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 13 2010 bertajuk ‘Pemansuhan Tahap PTK’ yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 November 2010. “Pemansuhan ini juga membabitkan kursus kenegaraan PTK Satu yang dilaksanakan BTN,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kenyataan CUEPACS yang mendakwa beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hinggga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras empat tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan BTN menghentikan kursus yang menjadi syarat wajib untuk menikmati anjakan itu.

Kelmarin, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng dilaporkan berkata, penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Shagul Hamid berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai pemansuhan kursus itu kepada semua Ketua Setiausaha kementerian pada 10 Januari lalu.
Pada masa sama, katanya, pemansuhan pelaksanaan kursus kenegaraan itu juga dimuatkan dalam laman web BTN.

Berita Harian Online

Thursday, February 10, 2011

MPHTJ berjaya kutip hasil RM26.9 juta

MELAKA 9 Feb. - Walaupun baru setahun ditubuhkan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM26.9 juta sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Sapiah Haron berkata, prestasi kewangan bagi tahun lalu itu adalah hasil daripada cukai taksiran dan pelbagai hasil kutipan sementara.

"Di segi perbelanjaan pula, kita telah membelanjakan sebanyak RM29 juta bagi tujuan perbelanjaan utama seperti penyelenggaraan, perkhidmatan dan pembangunan.

"Bagi tahun ini, anggaran hasil yang akan dikutip adalah sebanyak RM43.45 juta. Hasil itu melalui cukai taksiran dan caruman membantu kadar, bayaran lesen, sewaan dan lain-lain bayaran perkhidmatan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri anjuran MPHTJ di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurut Sapiah, kutipan cukai memberikan sumbangan besar kepada pembangunan dan sektor perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MPHTJ telah membangunkan sebanyak 25 buah modul aplikasi teknologi maklumat untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kakitangannya.

"Ia juga dapat meningkatkan sistem penyampaian MPHTJ kepada orang ramai antaranya melibatkan sistem perakaunan bersepadu, sistem sewaan gerai dan premis serta sistem kompaun.

"Kita juga akan memasang 24 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan tumpuan awam selaras dengan usaha ke arah mewujudkan sebuah bandar raya selamat," tambahnya.

Langkah itu menurut Sapiah, bertujuan mengurangkan indeks jenayah selain memantau kesesakan jalan raya.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, February 9, 2011

Beri keutamaan naik pangkat pada lulusan PTK

SAYA ingin menyentuh tentang isu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan awam yang telah dimansuhkan bermula 2011. PTK diwujudkan sebagai antara justifikasi utama dalam penilaian untuk kenaikan pangkat bagi kakitangan awam.

Walaupun ramai yang gembira dengan pemansuhan PTK tersebut (terutamanya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), tetapi hakikatnya ramai juga yang menjadi mangsa akibat perubahan mendadak sesuatu sistem yang tiada kesinambungan.

Untuk makluman, sebaik sahaja disahkan jawatan, saya pun mendaftar untuk menduduki peperiksaan PTK tersebut. Prosesnya bukan mudah, perlu lulus dua jenis peperiksaaan (umum dan khusus). Malangnya, nasib tidak menyebelahi apabila saya gagal dalam salah satu peperiksaan.

Untuk mengulang, saya perlu menunggu sehingga keputusan peperiksaan asal dikeluarkan. Calon tidak dibenarkan mengulang selagi keputusan peperiksaan asal belum dikeluarkan. Tempoh menunggu ini menjangkau masa hampir satu tahun memandangkan kementerian tempat saya bekerja lambat mengeluarkan keputusan.

Selepas menduduki peperiksaan kali kedua, perlu pula menunggu lagi hampir lapan bulan untuk mengetahui keputusan peperiksaaan kedua (ulangan) tersebut. Kalau dicongak, dari tarikh saya menduduki peperiksaan pertama hingga keputusan peperiksaan kedua diumumkan, tempohnya hampir dua tahun.

Malangnya, setelah jerih dan payah menelaah dan menduduki peperiksaan, akhirnya PTK dimansuhkan begitu sahaja!

Saya lulus kedua-dua PTK umum dan khusus pada tahun 2010 dan tidak sampai setahun kemudian, PTK dimansuhkan. Saya berasa bahawa usaha saya selama dua tahun seperti terbuang begitu sahaja.

Masih terbayang kegembiraan ketika menerima slip keputusan lulus PTK yang kini boleh 'dibakulsampahkan' kerana sudah tiada nilai. Untuk pengetahuan, pada tahun 2009, saya telah dinafikan untuk kenaikan pangkat walaupun mendapat purata markah penilaian prestasi yang tinggi hanya kerana belum lulus PTK pada waktu itu.

Dalam pada itu, ramai juga rakan-rakan seangkatan yang langsung tidak peduli untuk menduduki PTK atas alasan tersendiri (mungkin malas untuk mengulang kaji atau tiada masa belajar).

Sebelum PTK dimansuhkan, saya berada selangkah di hadapan mereka untuk tujuan kenaikan pangkat kerana saya telah lulus PTK sedangkan mereka belum pun mendudukinya. Kini, setelah PTK dimansuhkan pada tahun 2011, keutamaan kenaikan pangkat untuk saya dengan mereka sudah tiada bezanya. Sekarang mereka berkata kepada saya: "Itulah, buat apa susah-susah ambil PTK?" Soalnya, manakah keadilan?

Saya percaya ramai lagi kakitangan awam yang lulus PTK mengalami nasib seperti saya. Saya berharap, setiap perubahan yang dilakukan oleh kerajaan perlu ada kesinambungan. Janganlah memulakan sistem baru dengan menghancurkan terus sistem yang lama.

Calon yang telah lulus PTK sebelum sistem tersebut dimansuhkan perlu diberi keutamaan untuk tujuan kenaikan pangkat. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melaksanakan perkara ini sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi memberi keadilan kepada lulusan PTK.

Selepas itu, barulah sistem baru dilaksanakan seperti yang dicadangkan oleh pihak-pihak berkenaan. Selain itu, sehingga hari ini tiada pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA yang menjelaskan status atau kedudukan para lulusan PTK yang belum naik pangkat setelah PTK dimansuhkan.

Dalam hal ini, ketika CUEPACS memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan PTK, mereka juga sepatutnya memikirkan alternatif kepada lulusan PTK agar nasib mereka tidak terabai begitu sahaja. Pihak berkenaan, perhatikan dan renungkanlah.

MANA KEADILAN?
Petaling Jaya, Selangor


Utusan Malaysia Online

Mohammed bersara selepas 32 tahun berkhidmat


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud , 58, yang bersara wajib hari ini setelah berkhidmat selama 32 tahun diraikan oleh pegawai dan kakitangan dalam suasana penuh bermakna.

Beliau mengetip keluar kad perakam waktu bagi kali terakhir pada pukul 5 petang dan bersalaman dengan rakan-rakan sekerja serta kakitangan kementerian.

Mohammed yang memegang jawatan tersebut sejak 2009 menyifatkan tugas beliau mencabar dengan 10 agensi berada di bawahnya yang mempunyai skop berbeza berasaskan ekonomi dan sosial.

"Kebudayaan bukan bermaksud tarian mahupun persembahan, ia merupakan manifestasi daripada budaya.

"Kami di kementerian tidak pernah jemu menerapkan rakyat dengan mengamalkan budaya yang merupakan cara hidup kita tidak kira Melayu, Cina, India dan kaum lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohammed berkata, beliau bangga apabila terlibat dalam dasar industri muzik negara dengan membawa bakat-bakat seni negara pertama kalinya untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mempromosikan pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood.

"Penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia juga merupakan antara terjemahan kepada visi kementerian.

''Instrumen yang digunakan adalah daripada pelbagai kaum disatukan dengan kekuatan sebanyak 76 orang. Satu hari nanti saya berharap agar kumpulan itu mempunyai orkestra yang lengkap dengan 106 orang," katanya.

Beliau memberitahu, pengalaman pahitnya yang tidak dapat dilupakan adalah semasa bertugas sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Kuwait.

"Apabila berlakunya penaklukan Kuwait oleh Iraq, saya perlu menyelamatkan rakyat Malaysia dan Singapura daripada Kuwait. Perjalanan yang biasanya mengambil masa tiga ke empat jam menjadi 18 jam.

"Perjalanan yang diambil terpaksa menempuh banyak sekatan jalan, diacukan senapang dan pernah disoal berjam-jam di balai," jelasnya.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Malaya memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik generasi yang pertama pada 1978.

Mohammed yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan berkata, beliau akan mengambil kesempatan persaraannya untuk berehat terlebih dulu.

Tambahnya, beliau pasti merindui dengan alam pekerjaan dan akan terus menyumbang kepada negara dengan cadangan mahupun idea untuk membantu memartabatkan lagi perkhidmatan awam dan misi kementerian.

"Pesanan saya kepada pengganti agar memahami dengan jelas mengenai budaya. Fahami sebaik mungkin dan matlamat kementerian serta menterjemahkan. Jadilah agresif dan selalu turun padang.

"Begitu juga kepada warga kementerian, fahami tugas dan matlamat dengan jelas. Kakitangan kami sentiasa bekerja walaupun Sabtu dan Ahad sepanjang tahun bagi menjalankan program-program kebudayaan," katanya.
Utusan Malaysia Online

Tuesday, February 8, 2011

Guru tidak terbeban kerja

SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.

Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.

Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:

* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.

* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.

* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.

Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:

* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.

* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.

* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.

* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.

* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.

Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.

Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.

Mokhtar Sabah
Keningau, Sabah.


Utusan Malaysia Online

Sunday, February 6, 2011

Berita@INTURA Januari 2011

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar








Saturday, February 5, 2011

KERAJAAN SELANGOR TIDAK FAHAM

KEKECOHAN mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang baru berbangkit kerana pentadbiran Negeri Selangor tidak memahami kedudukan perjawatan tersebut.

Jawatan SUK Selangor ialah jawatan ketua pentadbir negeri di bawah peruntukan perjawatan Persekutuan, iaitu penyandangnya terdiri daripada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang dahulu dikenali sebagai MCS.

Semua jawatan SUK adalah jawatan Persekutuan kecuali bagi Johor, Kelantan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang mempunyai Perkhidmatan Tadbir Negeri (PTN) sendiri yang terletak di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) masing-masing.

Selangor tidak mempunyai PTN walaupun ada SPAN yang hanya bertanggungjawab terhadap perkhidmatan awam sokongan lantikan kerajaan negeri seperti perkhidmatan perkeranian dan yang setaraf dengannya.

Oleh itu, semua jawatan peringkat profesional dan pengurusan (iaitu jawatan Bahagian 1 perkhidmatan awam) bagi semua jabatan dalam pentadbiran Negeri Selangor dianggotai oleh pegawai Persekutuan.

Selain jawatan SUK, Pegawai Kewangan Negeri, Timbalan dan Penolong-penolong mereka, Pegawai Daerah dan Penolong-penolong Pegawai Daerah adalah terdiri daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Persekutuan.

Maka tindakan pentadbiran Negeri Selangor melantik jawatankuasa yang terdiri daripada orang-orang politik untuk memilih calon SUK itu telah menyalahi kehendak peruntukan Perlembagaan.

DATUK WAN MANSOR ABDULLAH
Bekas SUK Selangor


Utusan Malaysia Online

Thursday, February 3, 2011

Skim perkhidmatan pensyarah farmasi tidak terlibat penambahbaikan

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Pensyarah Farmasi, Pulau Pinang bertajuk Semak Struktur Kenaikan Pangkat, Gaji Pensyarah Farmasi IPTA yang disiarkan dalam ruangan ini pada 25 Januari 2011.

Surat pekeliling perkhidmatan yang dirujuk dalam surat Pensyarah Farmasi, Pulau Pinang tersebut ialah surat pekeliling perkhidmatan bilangan 5 tahun 2010, iaitu Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2010.

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah merupakan penambahbaikan Jadual Gaji Matriks (JGM) bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan gred DU51/52 dan gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian gred DUG51/52 dan gred DUG53/54. Surat pekeliling perkhidmatan ini tidak melibatkan skim perkhidmatan pensyarah universiti bidang farmasi.

Skim perkhidmatan pensyarah universiti dalam bidang farmasi, pensyarah perubatan dan pensyarah pergigian adalah merupakan tiga skim perkhidmatan yang mempunyai skop fungsi dan bidang tugas yang berbeza yang mana penetapan gaji permulaan adalah berdasarkan prinsip kadar upah untuk kerja dan kelayakan yang diperlukan.

Dalam hal ini, pensyarah universiti bidang farmasi diiktiraf sebagai perkhidmatan kritikal diimbuh dengan bayaran insentif perkhidmatan kritikal selain menerima imbuhan tetap perumahan, imbuhan tetap khidmat awam/ imbuhan tetap keraian dan bantuan sara hidup.

Kerajaan secara berterusan melihat keperluan untuk menambah baik pakej saraan pegawai perkhidmatan awam dan cadangan yang dikemukakan akan diberi perhatian dan pertimbangan.

NIK NORAINI NIK YA
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia


Utusan Malaysia Online