Tuesday, May 31, 2011

Kabinet dijangka bincang rayuan biasiswa JPA esok

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri akan membincangkan isu mengenai pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mesyuaratnya esok termasuk mengenai rayuan supaya kira-kira 86 pelajar cemerlang 9A+ diberi tempat untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dibawa ke Kabinet bagi diputuskan memandangkan permintaan itu akan menyebabkan kuota pemberian biasiswa bagi pengajian di luar negara melebihi kuota yang ditetapkan sebelum ini, iaitu 1,500 tempat. "Mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju untuk buat rayuan kepada jemaah menteri esok supaya ditimbangkan permintaan bagi 86 pelajar ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung polemik pemberian biasiswa JPA bersama wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) di Parlimen di sini, hari ini. Pertemuan itu diadakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Mohamed Nazri sebagai menteri bertanggungjawab mengenai biasiswa JPA untuk berbincang dengan parti komponen bagi menyelesaikan isu berkenaan yang disifatkan berpunca daripada kekeliruan.

Antara wakil parti komponen yang hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden MIC, Datuk S K Devamany, Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden LDP, Liew Vui Keong.

Mohamed Nazri berkata, sekiranya rayuan itu diluluskan bermakna kuota biasiswa JPA bagi pengajian di luar negara tahun ini terpaksa dinaikkan, namun tegasnya ia tidak bermakna kuota itu akan ditambah secara tetap.

"Kita akan lihat berasaskan tahun ke tahun," katanya.
Turut dibangkitkan ialah mengenai tawaran mengikuti kursus matrikulasi yang dikatakan menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar, yang mana menurut Mohamed Nazri akan turut dibawa ke pengetahuan jemaah menteri esok.

"Tawaran untuk mengikuti kursus matrikulasi tahun ini dibuat secara terbuka, tidak dinyatakan secara khusus apa subjeknya. Ini menimbulkan kekeliruan kepada pelajar. Jadi apa yang diminta ialah untuk Kementerian Pelajaran (KPM) kembali kepada cara sebelum ini," katanya.

Mengenai saranan supaya kesemua pelajar 9A+ dan 8A+ yang tidak mendapat tempat ke luar negara ditawarkan kursus matrikulasi dan bukannya diploma, Mohamed Nazri berkata, perkara itu perlu diselaraskan dengan KPM terlebih dahulu.

"Saya dapat jaminan daripada JPA bahawa perkara itu boleh dilakukan, tetapi kita perlu bincang dengan KPM kerana pemberian tempat ini, sama ada matriks atau diploma adalah di bawah bidang kuasa KPM. Asalkan mereka kata semua matrikulasi JPA akan keluarkan biasiswa tidak ada masalah," katanya.

Selain itu, Mohamed Nazri berkata, sebagai langkah mengelak kekeliruan mengenai pemberian biasiswa di masa-masa akan datang, mesyuarat mencadangkan supaya satu taklimat diberikan kepada pihak media untuk menjelaskan mengenai pemberian biasiswa dan jenis-jenis biasiswa yang diberikan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.



BERNAMA

Isu biasiswa JPA dibawa ke Kabinet

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Mei - Isu berkenaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk rayuan supaya 86 pelajar yang mendapat 9A+ diberi ruang melanjutkan pelajaran ke luar negara akan dibawa ke Kabinet esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara tersebut perlu dibawa ke Kabinet kerana jemaah menteri sahaja yang boleh memutuskan sama ada penambahan biasiswa boleh dilakukan atau tidak.

"Selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil daripada MCA serta MIC, kami bersetuju sebulat suara untuk membuat rayuan kepada jemaah menteri supaya pemberian biasiswa kepada 86 pelajar cemerlang tersebut dapat dipertimbangkan.

"Kuota pemberian biasiswa itu sebelum ini terhad kepada 1,500 pelajar cemerlang tetapi memandangkan masih ada 86 pelajar cemerlang yang memohon, kami rasakan adalah wajar untuk membincangkan perkara ini pada peringkat Kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung pemberian biasiswa JPA di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mewakili MCA.
Menurut Mohamed Nazri, selain rayuan pemberian biasiswa kepada 86 pelajar cemerlang itu, perkara lain yang akan dibawa ke Kabinet ialah permintaan supaya pelajar yang ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dapat ditukarkan kepada biasiswa program matrikulasi.

"Selain itu, kami juga akan berbincang dengan jemaah menteri supaya mewujudkan semula pengkhususan program matrikulasi seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya supaya memudahkan pelajar untuk memohon biasiswa matrikulasi berdasarkan bidang yang diminati," jelasnya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, keputusan yang dibuat selepas mesyuarat pada hari ini seharusnya menyelesaikan kekeliruan yang timbul mengenai pemberian biasiswa tersebut.

"Sebenarnya kekecohan berlaku kerana orang ramai terutamanya golongan pelajar keliru dengan sistem pemberian biasiswa sedia ada. Jadi penjelasan mengenai sistem pemberian biasiswa ini adalah perlu supaya mereka tidak lagi keliru," katanya.

Utusan Online

Kabinet bincang rayuan biasiswa JPA esok - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR 31 Mei — Jemaah Menteri akan membincangkan isu mengenai pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mesyuaratnya esok, termasuk mengenai rayuan supaya kira-kira 86 pelajar cemerlang 9A diberi tempat untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dibawa ke Kabinet bagi diputuskan memandangkan permintaan itu akan menyebabkan kuota pemberian biasiswa bagi pengajian di luar negara melebihi kuota yang ditetapkan sebelum ini, iaitu 1,500 tempat.

"Mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju untuk buat rayuan kepada jemaah menteri esok supaya ditimbangkan permintaan bagi 86 pelajar ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung polemik pemberian biasiswa JPA bersama wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) di Parlimen di sini, hari ini. - Bernama

Utusan Online

Monday, May 30, 2011

Sokong projek di Sungai Besi

Oleh S Anand Kumar

CUEPACS minta utamakan perumahan kos rendah kakitangan awam

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja menyokong usaha kerajaan memajukan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi sebagai pusat komersial termasuk pembinaan perumahan golongan berpendapatan rendah selepas pangkalan itu dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda, berkata ketika ini kebanyakan pekerja, khususnya penjawat awam yang menerima gaji RM2,500 hingga RM3,000 belum memiliki rumah pertama mereka. “Mereka mempunyai tanggungan keluarga yang besar selain memberi tumpuan kepada kebajikan dan pendidikan anak yang kadangkala menyukarkan mereka membeli rumah. “CUEPACS melihat cadangan membina perumahan golongan berpendapatan rendah di pangkalan TUDM Sungai Besi tepat pada masanya memandangkan permintaan rumah kos rendah dikalangan penjawat awam semakin tinggi,” katanya semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Pangkalan di Sungai Besi akan dipindahkan, sendayan, manakala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan projek itu akan dibangunkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kos atau tarikh pemindahan pangkalan itu, sebaliknya menjelaskan ia dipindahkan selepas pemaju selesai membina pangkalan di Sendayan.

Azih berkata, pihaknya berharap ketika projek itu dilaksanakan, kerajaan memberi perhatian serius kepada permintaan penjawat awam.
Sementara itu, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan yang dilihat mampu mengurangkan beban pekerja sektor swasta berpendapatan rendah.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata lokasi pangkalan Sungai Besi di ibu kota amat sesuai dijadikan sebagai kawasan perumahan khususnya kepada mereka berpendapatan rendah.

“Langkah kerajaan ini akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dalam usaha mereka memiliki rumah sendiri,” katanya.



Berita Harian Online

Masalah pelajar terbaik diatasi

Oleh Fazli Abdullah dan Jalal Ali Abdul Rahim

Kerajaan tambah kursus profesional jimat kos pengajian ke luar negara

GEORGETOWN: Kerajaan akan memperkenalkan dasar baru bagi mengatasi masalah pelajar terbaik yang tidak berpeluang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Dasar baru itu akan membabitkan pertambahan kursus profesional, termasuk perubatan di universiti tempatan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu akan dapat menjimatkan kos penghantaran pelajar ke luar negara, selain dapat mengekalkan pelajar berbakat besar dalam negara. Katanya, kerajaan yakin universiti tempatan mampu memberikan peluang pembelajaran yang setanding dengan negara luar kepada pelajar berkenaan.
“Mungkin dasar kita pada masa depan kita nak perbanyak kursus dalam negara termasuk kursus profesional seperti perubatan.

“Ada baiknya untuk tujuan mengekalkan bakat kita...anak kita yang bijak pandai ini patut belaja di dalam negara dan saya percaya universiti dalam negara juga setanding dan boleh sediakan kursus yang diperlukan termasuk dalam bidang perubatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas mengenai rungutan pelbagai berhubung pengagihan biasiswa JPA apabila ada pelajar yang mendapat kelulusan cemerlang tidak mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak, menjelaskan semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 8A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira bangsa layak mendapat biasiswa JPA untuk mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan di luar negara.

DI GRIK: Muhyiddin meminta rakyat bersedia untuk menanggung sebahagian kos subsidi bahan api yang dibiayai ketika ini jika jumlah subsidi sedia ada melonjak ke paras lebih tinggi dan melangkaui kemampuan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan lega apabila maklum balas menunjukkan rakyat memuji kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana prihatin terhadap beban rakyat dengan mengekalkan harga bahan api termasuk petrol RON95, namun keputusan itu menyebabkan beban subsidi ditanggung kerajaan melebar.

“Alhamdulillah, saya dapat banyak respon menyatakan kerajaan prihatin kerana jika (harga bahan api) dinaikkan, bebannya kepada (ditanggung) rakyat tetapi dengan sebab itu juga kerajaan terbeban dengan jumlah subsidi (ditanggung kerajaan) iaitu RM10 bilion naik sampai RM18 bilion dan mungkin menjangkau RM20 bilion,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Grik di Dewan Serbaguna Grik di sini.

Pada majlis itu beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO melancarkan Skuad Sayang Wanita UMNO bahagian dan sijil penghargaan kepada tokoh UMNO bahagian berkenaan.




Berita Harian Online

Semakan semula biasiswa JPA tahun depan

PUTRAJAYA 30 Mei - Keputusan kerajaan untuk menyemak semula kursus bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, satu jawatankuasa khas yang akan membincangkan isu tersebut akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, katanya, butiran semakan semula itu masih dalam perancangan dan perlu melibatkan perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Semakan semula ini bukan perkara mudah dan perlu penelitian yang mendalam dan menyeluruh bersama pihak lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi.

"Justeru, pemberian biasiswa JPA akan berjalan seperti biasa untuk tahun ini dan selainnya akan diputuskan nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk memberi lebih banyak biasiswa JPA kepada program-program profesional di universiti tempatan.

Ia susulan isu pemberian biasiswa JPA yang mencetuskan polemik apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong mendakwa wujud salah guna kuasa di JPA sehingga menyebabkan terdapat 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat biasiswa.

Tambah Abu Bakar, JPA juga bersedia menubuhkan sebuah jawatankuasa jika masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan dalam isu pemberian biasiswa itu.

Katanya, isu tersebut perlu ditangani segera supaya penyelesaian positif dapat dicapai.
"Saya sudah dimaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersetuju untuk mempengerusikan jawatankuasa itu.
"Masalah ini timbul kerana tempat yang terhad untuk pemberian biasiswa JPA ke luar negara, namun ia boleh diselesaikan dengan menempatkan pelajar-pelajar tersebut di universiti tempatan," katanya.

Kerajaan bimbang kesan negatif - Nazri

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kerajaan bimbang kesan negatif yang mungkin dihadapi universiti tempatan sekiranya semua pelajar cemerlang dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana kerajaan juga mementingkan kualiti pendidikan tinggi yang perlu dicapai oleh universiti-universiti tempatan.

"Sekiranya semua pelajar cemerlang ini dihantar ke luar negara, apa jadi dengan universiti tempatan?

"Standard dan kualiti siswazah oleh universiti tempatan tidak akan meningkat dan itu tidak selari dengan dasar kerajaan yang mahu melihat universiti tempatan setanding dengan luar negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan menyemak semula kursus-kursus bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menyenaraikan lebih banyak program profesional termasuk perubatan yang ditawarkan universiti dalam negara.

Mohamed Nazri berkata, sama ada semakan semula itu akan mengurangkan pelajar cemerlang dihantar ke luar negara atau tidak, ia tetap mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk kesan kepada bidang pendidikan tinggi tempatan dan kos.

"Seperti yang sedia maklum, kos untuk menghantar pelajar kita melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, farmasi dan kejuruteraan memang tinggi.
"Namun, pada masa sama, ada juga universiti tempatan yang mampu menawarkan program pengajian seperti itu dan kerajaan akan fikirkan langkah terbaik," katanya.

Utusan Online

Sunday, May 29, 2011

Kursus bagi pemberian biasiswa JPA akan disemak semula

PULAU PINANG 29 Mei - Kerajaan akan menyemak semula kursus-kursus bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menyenaraikan lebih banyak program-program profesional termasuk perubatan yang ditawarkan universiti dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu wajar bagi membolehkan lebih ramai pelajar cemerlang menikmati biasiswa tersebut memandangkan kos pengajian dalam negara adalah jauh lebih murah berbanding di luar negara.

Langkah itu juga kata beliau, dapat mengekalkan tenaga mahir serta bakat tempatan untuk terus berkhidmat berada dalam negara kelak.

''Kita telah jelaskan mungkin dasar kita pada masa akan datang memperbanyakkan kursus dalam negeri termasuk kursus profesional seperti perubatan. Ada baiknya kita kekalkan keseimbangan.

''Anak-anak yang bijak pandai ini juga patut belajar dalam negeri kerana saya percaya universiti dalam negara kita juga setanding dan mampu sediakan kursus yang diperlukan.

''Kalau kita boleh buat begitu, kita mampu tampung lebih ramai pelajar kerana kos hantar (ke luar negara) sentiasa mahal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.

Isu pemberian biasiswa JPA mencetuskan polemik apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong mendakwa wujud salah guna kuasa di JPA sehingga menyebabkan terdapat 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat biasiswa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan isu tersebut.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, polemik itu wujud kerana timbul salah faham berhubung kaedah pemberian biasiswa berkenaan.

''Mungkin ada sedikit salah faham, mungkin penjelasan tidak berapa cukup. Pelajar yang dapat kesemua A+ memang ditawarkan biasiswa tetapi mereka yang menyambung pengajian di luar negara, kursus yang dikehendaki itu tidak semestinya dapat.
''Tetapi isu ini boleh diselesaikan kerana kita dimaklumkan ia hanya membabitkan sejumlah pelajar dan saya yakin jawatankuasa berkenaan akan dapat membincangkan dalam masa terdekat," katanya.

Saturday, May 28, 2011

Semua 8A+ dapat

Oleh Rohaniza Idris dan Mohd Anwar Patho Rohman


Pelajar cemerlang pelbagai kaum layak terima biasiswa JPA

KUALA LUMPUR: Semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 8A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira bangsa layak mendapat tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan di luar negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan tidak berjanji bahawa mereka yang dapat 8A+ dalam SPM ditawarkan belajar di luar negara dan ramai orang yang tidak faham perkara itu. “Ramai pelajar cemerlang ini dapat tawaran sambung belajar di dalam negara dan katalah dia dapat tawaran buat diploma oleh universiti tempatan, maka kita beri jaminan jika dia dapat kursus diploma dia boleh sambung ijazah pertama.

“Begitu juga jika pelajar cemerlang SPM ini ditawar masuk matrikulasi... apabila dia masuk universiti kita akan membiayai kos dia di universiti. Kita hanya akan biayai pelajar (SPM 8A+) dalam program ijazah pertama saja.

“Ramai bimbang jika mereka membuat diploma atau matrikulasi selepas itu tidak layak terima biasiswa, itu salah... tidak benar sama sekali,” katanya mengulas mengenai kekeliruan ramai mengenai tawaran biasiswa JPA untuk pelajar yang mendapat 8A+ dalam SPM.

Najib berkata, beliau juga sudah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyelaraskan perkara berkaitan biasiswa itu dengan JPA, mengambil kira pandangan semua pihak termasuk MCA, MIC, Gerakan dan pihak lain.
“Sekarang ini, kita kena tengok dulu, maknanya apa kita janji (adalah) semua yang dapat 8A+ akan dapat biasiswa kerajaan, tidak kira mereka dapat tawaran di dalam atau keluar negeri,” katanya.

Kelmarin, Nazri menafikan sama sekali wujud pilih kasih dan salah guna kuasa dalam isu pemberian biasiswa. Beliau menjelaskan tidak semua pelajar cemerlang berhak memperoleh biasiswa JPA berdasarkan kursus yang mereka mohon mengikut minat masing-masing.

JPA hanya menawarkan biasiswa mengikut bidang yang dikategorikan sebagai kritikal. Antaranya bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial yang diperlukan dalam perkhidmatan awam di negara ini


Berita Harian Online

Pangkalan Udara baharu Tentera Udara Diraja Malaysia di Sendayan

TAMPIN 28 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kawasan Sendayan sebagai pangkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi yang akan ditutup tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata, maklumat lengkap mengenai pemilihan Sendayan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban itu akan diumumkan kelak.

‘‘Pangkalan ini akan dibina di Sendayan dekat Seremban. Saya akan umumkan maklumat terperinci berkaitan dengan projek itu kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah bersetuju untuk menyerahkan Pangkalan Udara Kuala Lumpur itu kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk pembangunan komersial.
Pembangunan itu nanti akan melibatkan kawasan penginapan, komersial dan rekreasi yang juga meliputi perpustakaan, taman awam dan dataran riadah.

Akhbar hari ini melaporkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud sebagai berkata, lokasi pangkalan udara baharu bagi menggantikan Pangkalan Udara Kuala Lumpur telah dikenal pasti.

Rodzali berkata, bagaimanapun beliau tidak boleh mendedahkannya kerana kontrak mengenainya hanya akan ditandatangani pada pertengahan bulan depan.

Menjawab satu soalan lain berhubung pemansuhan jawatan-jawatan kosong serta pembekuan pengambilan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula Jun ini, Najib menjelaskan, ia dibuat untuk merasionalisasikan keperluan tenaga kerja tersebut.

Utusan Online

Friday, May 27, 2011

Tak setuju syor CUEPACS bersara pada usia 60 tahun

SAYA sebagai kakitangan awam tidak bersetuju dengan saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman agar usia bersara wajib penjawat awam dilanjutkan lagi daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pendapat beliau kadangkala 'menghiburkan hati' penjawat awam yang diwakilinya, tidak kurang yang menjengkelkan dengan idea yang hanya indah dalam bentuk angan-angan tetapi mengarut jika dijadikan kenyataan.

Asalnya usia bersara wajib penjawat awam 55 tahun, kemudian ditambah setahun lagi menjadi 56 tahun dan terakhir dipanjangkan pula menjadi 58 tahun mulai 2007. Kini mahu dilanjutkan pula sehingga usia 60 tahun. Faktor mentaliti, kualiti kerja dan komitmen terhadap tugas dalam kalangan penjawat awam di Malaysia sebenarnya masih jauh daripada menyamai tahap pemikiran dan keupayaan yang dimiliki negara maju, walaupun CUEPACS cuba menafikannya. Bayangkan, kakitangan awam yang baru mencecah usia 45 tahun hingga 50 tahun sudah banyak yang menjadi ‘pelupa’, ‘merasa diri sudah amat tua’ dan ‘menjadi perlahan dalam serba-serbi’. Belum diambil kira golongan yang dihinggapi pelbagai penyakit dalam kalangan rakyat Malaysia seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi, lemah tulang, sakit jantung dan sebagainya tatkala usia semakin menghampiri 50 tahun.

Apakah tuntutan itu semata-mata bersandarkan kepada alasan untuk melapangkan sedikit sumber kewangan penjawat awam yang rata-rata banyak menanggung beban hutang seperti hutang rumah, kenderaan, pendidikan anak, insurans kesihatan dan kemalangan dengan memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan mereka sekali gus memanjangkan juga tempoh bayaran balik hutang berkenaan.

Bagaimana dengan generasi muda yang baru hendak mencari penghidupan? Perlukah mereka menunggu sehingga ‘orang lama’ yang sudah lelah ini meninggal dunia baru peluang kerja akan terbuka untuk mereka.

Banyak perkara lain yang perlu difokuskan oleh CUEPACS, bukan tuntutan untuk melanjutkan usia bersara wajib sehingga 60 tahun. Jika ini dipenuhi, apakah beberapa tahun akan datang akan diminta untuk dilanjutkan sehingga 65 tahun pula?

WAN ZAFFIZZ WAN MUHAMMAD,
Taman Greenwood, Gombak.



Berita Harian Online

Gerbang Negeri: Kakitangan kontrak 'peningkan' JPA

Oleh Johari Ibrahim
bhnews@bharian.com.my


KERAJAAN adalah majikan besar di negara ini yang mengendalikan kira-kira 1.2 juta penjawat awam dalam pelbagai peringkat. Status perjawatan pula ada yang tetap, tetap dan berpencen, pekerja tidak tetap atau pekerja harian sementara (PHS) dan pekerja kontrak.

Kumpulan pekerja kontrak itu pula berada dalam pelbagai jawatan termasuk tukang kebun, juruteknik serta guru yang juga disebut Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) atau kata sesetengah orang guru sementara. Ada juga yang bertaraf pegawai. Mengikut CUEPACS, kini kira-kira 45,000 kakitangan awam kontrak di seluruh negara dalam pelbagai jabatan sama ada Persekutuan atau negeri. Seramai 13,000 GSTT pula masih menunggu tawaran Kementerian Pelajaran untuk diambil bertugas atau diberi latihan sepenuh masa sebelum diserapkan sebagai guru tetap.

Menerusi perbualan dengan pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penulis membuat kesimpulan isu penyerapan pekerja kontrak ke status tetap antara yang ‘memeningkan’ jabatan itu.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman juga sejak dulu meminta kerajaan menyerapkan mereka ke jawatan tetap atau sekurang-kurangnya menyambung kontrak sehingga ke usia 58 tahun. Kita bersyukur jika semua pekerja kontrak diserapkan ke jawatan tetap seperti diminta CUEPACS. Namun, pembaharuan kontrak mengikut budi bicara kerajaan selain perlu memenuhi keperluan semasa.

Tuntutan pekerja kontrak diserapkan ke jawatan tetap nampaknya akan berterusan manakala di pihak kerajaan, JPA sentiasa dikekang dengan pelbagai had dalam tindakan terutama kos dan keperluan.
Omar dilaporkan berkata, ada sesetengah kakitangan awam kontrak yang sudah bertugas antara 10 hingga 20 tahun. Pada hemat penulis, penyambungan kontrak secara berterusan menyebabkan petugas menganggap jawatan itu adalah haknya dan kerajaan perlu meneruskannya.

Ketika banyak pihak mempersoalkan mengapa kerajaan melanjutkan kontrak sehingga begitu lama dan dijadikan rasional kepada tuntutan supaya kontrak terus disambung, ia tidak mengubah hakikat bahawa penyambungan kontrak adalah budi bicara kerajaan sebagai majikan.

Biasanya pengalaman kakitangan kontrak dijadikan asas supaya khidmatnya diserapkan sebagai pekerja tetap kerajaan, tetapi itu bukan isu pokok.

Majikan sama ada swasta atau kerajaan, berhak mewujudkan skim kerja kontrak untuk mengisi keperluan perjawatan jangka pendek kerana pelbagai sebab seperti kakitangan tetap bercuti panjang, kakitangan cuti sakit yang berpanjangan, mengikut suami atau isteri ke luar negara atau melakukan tugas bermusim.

Tetapi hakikatnya ialah pelantikan secara kontrak itu bukan bermakna satu jaminan kakitangan diserap sebagai tetap, ini perlu difahami sejak awal apabila seseorang menandatangani tawaran kerja kontrak. Justeru, jika kontra disambung, ia wajar dianggap ‘bonus’ tetapi jika tidak disambung mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Hak dan budi bicara perlu difahami dalam isu ini. Hak pekerja kontrak mematuhi kontrak serta menikmati segala bayaran yang diperuntukkan undang-undang, manakala aspek disambung atau tidak adalah budi bicara majikan. Penyambungan kontrak bukan hak pekerja.

CUEPACS berkata, kakitangan kontrak kerajaan memerlukan jaminan seperti kemudahan membuat pinjaman rumah serta persoalan ke mana kakitangan itu mendapat kerja baru jika ketika kontrak tidak disambung sudah berusia 40 tahun ke atas.

Bagaimanapun, sesi komunikasi dan perbincangan perlu diadakan secara bersemuka dengan kumpulan berkenaan untuk menjelaskan sebab jika sesuatu kontrak tidak diperbaharui. Perbincangan mungkin ‘panas’ tetapi itulah hakikat yang perlu dihadapi JPA dan kakitangan berkenaan.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Putrajaya


Berita Harian Online

Thursday, May 26, 2011

Selangor audit kontrak MDKS

SHAH ALAM 26 Mei - Kerajaan Selangor akan menjalankan audit khas terhadap semua kontrak yang diberikan kepada kontraktor pembersihan yang menjalankan kerja-kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini menyatakan tindakan itu perlu sebab mengikut semakan awal yang dibuat, kerajaan negeri mendapati MDKS telah meluluskan perbelanjaan melebihi had yang dibenarkan untuk kerja-kerja pembersihan awam.

"Akibat dari lebihan caj tersebut, MDKS kini mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM18 juta yang tidak dibayar sejak 15 bulan lalu dan semakan itu akan mengenal pasti punca kelewatan bayaran tertunggak tersebut," menurut kenyataan itu.

Semalam, sebanyak 33 kontraktor pembersihan berkenaan meminta kerajaan negeri Selangor melunaskan bayaran perkhidmatan tertunggak yang didakwa berjumlah RM18 juta untuk kerja-kerja pembersihan awam di sekitar kawasan Kuala Selangor.

Utusan Online

GPMS minta hentikan pertikai biasiswa JPA

KUALA LUMPUR 26 Mei - Isu pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus dihentikan segera kerana dikhuatiri akan menimbulkan rasa prejudis antara kaum.
Ketua Penerangan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, isu tersebut sengaja dipolitikkan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum.

"Saya khuatir dan bimbang jika isu ini terus dijadikan polemik setiap tahun akan menyebabkan wujudnya perasaan prejudis antara kaum dan menebalnya perasaan perkauman di kalangan rakyat.

"Dalam isu ini saya kesal dengan tindakan MCA yang cuba mempertikaikan pemberian biasiswa tersebut. Sepatutnya MCA harus bersama-sama berusaha merealisasikan agenda Perdana Menteri untuk membawa pulang brain drain (rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara) bagi menabur bakti di Malaysia dan bukan cuba meraih sokongan kaum Cina dengan membangkitkan isu ini.

"Jadi, saya pohon agar semua pihak termasuk MCA mengenepikan elemen atau motif politik dalam isu biasiswa ini serta hentikan pertikaian tentangnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Irmohizam juga tidak bersetuju dengan cadangan supaya sistem temuduga bagi mendapatkan biasiswa JPA dihapuskan kerana secara realitinya setiap pemberian biasiswa mestilah mempunyai syarat serta kriteria tertentu sebagai asas untuk melayakkan seseorang menerimanya.

"Selain kecemerlangan akademik, temuduga ini juga akan menilai calon daripada aspek perwatakan, personaliti, cara berkomunikasi, latar belakang keluarga, pengetahuan am tentang jurusan yang bakal diambil serta memperlihatkan sama ada calon benar-benar berminat dengan jurusan tersebut.

"Temu duga JPA sepanjang pengalaman dan pengetahuan saya adalah sangat berintegriti serta telus. Proses ini telah lama diamalkan dan ia tidak pernah menjadi isu serta polemik di negara kita sebelum ini," jelasnya.

Menurut Irmohizam, kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemerintah-pemerintah sebelum ini tidak pernah menindas atau 'menganaktirikan' mana-mana kaum yang cemerlang terutamanya generasi muda kerana mereka merupakan aset pembangunan negara.

"Saya percaya semua pihak tidak kira bangsa dan agama berjaya merebut peluang-peluang pendidikan yang diberikan oleh kerajaan selama ini.
"Bagaimanapun usaha untuk terus memberi bantuan biasiswa ini perlulah digembleng bersama dan bukannya hanya membiarkan Perdana Menteri seorang bekerja keras merealisasikan agenda perdana negara itu," katanya.

Utusan Online

Biasiswa JPA: Tidak perlu Ka Siong, Soi Lek berlagak 'hero'

APA yang 'dok menangis' sangat?
Tidak menerima biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN), adakah bermakna berakhirnya hidup?

Adakah dengan merasakan telah memperoleh kesemua A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka sepatutnya mendapat hak keistimewaan belajar ke luar negara.

Inilah yang peliknya apabila Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek cuba untuk menjadi 'hero' dengan mendakwa wujud salah guna kuasa di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam soal pengagihan biasiswa PILN ini.

Ka Siong mahukan kesemua 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ mendapat biasiswa tersebut manakala bosnya, Soi Lek pula mendesak dibatalkan sahaja amalan sesi temu duga pelajar sebelum mereka ditawarkan biasiswa luar negara itu.

Realitinya, dalam soal pemberian biasiswa ini, mestilah ada syarat-syarat dan kuota yang perlu dipenuhi.

Temu duga pelajar jika untuk jurusan perubatan, misalnya harus dikendalikan oleh barisan panel profesional berwibawa. Ini termasuk diadili oleh doktor-doktor.
Ia perlu dilepasi pelajar. Bukannya suka-suka diadakan. Dalam temu duga yang markahnya cuma lima peratus itu, pelajar akan dinilai dari segi perawakan, cara bercakap selain latar belakang keluarga dan pengetahuan am tentang jurusan yang diambil.

Katakan bidang kejuruteraan, sudah tentu dalam SPM tidak diajar jurusan itu. Tetapi sekurang-kurangnya dia faham tentang bidang yang akan diikutinya nanti.

Kerajaan sebenarnya telah banyak berkorban dalam mengusahakan biasiswa untuk pelajar ke luar negara. Pada 3 Mei lalu, sejumlah 30 pelajar dengan kuota seimbang masing-masing 15 pelajar bumiputera dan 15 lagi bukan bumiputera yang memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran dalam SPM 2010 ditawarkan Biasiswa Nasional 2011.

Takkanlah mahu dituntut pula - atas pertimbangan mungkin tamak - biasiswa untuk hampir 400 pelajar lagi ke luar negara. Apakah dengan belajar di universiti-universiti luar negara akan lebih terhormat dan dipandang tinggi daripada belajar dalam negara?

Adakah dengan memiliki kesemua A+ dalam SPM, bermakna inilah upah yang perlu dibayar oleh kerajaan hasil penat jerih pelajar memperoleh keputusan terbaik itu.
Sepatutnya dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Mei lepas tentang pembukaan institusi pengajian dan penyelidikan perubatan Universiti Johns Hopkins di negara ini pada September ini 'membuka mata' semua pihak khususnya pelajar SPM untuk belajar dalam negara.

Tetapi ini tidak direnung sebaik-baiknya oleh Ka Siong dan Soi Lek. Johns Hopkins terkenal kerana merintis pelbagai hasil bidang perubatan.

Program perubatan Johns Hopkins itu adalah hasil kerjasama dengan Universiti Perdana yang menawarkan hospital pengajian swasta yang mempunyai kemudahan perubatan kelas pertama. Ia akan dibina di Serdang oleh kumpulan Chase Perdana.

Ketika sibuk pelajar terbaik kita mencari tempat di luar negara dengan kos mengikuti jurusan perubatan di United Kingdom dan Amerika Syarikat sahaja mencecah RM1.5 juta untuk seorang pelajar, tiba-tiba orang luar pula mengisi tempat di Universiti Johns Hopkins, Serdang itu nanti.

Dikatakan universiti itu menjadi tarikan pelajar dari Timur Tengah dan India yang mungkin bijak menilai akan kos dan suasana kondusif di Malaysia.

Kerana itu, baik Ka Siong mahupun Soi Lek dan MCA khususnya harus memberi pertimbangan wajar dalam isu ini. Bukan dengan cuba berlagak jaguh politik.
Dengan majoriti 'brain drain' daripada kaum Cina, sepatutnya MCA berbuat sesuatu untuk membawa mereka pulang berkhidmat ke tanah air.

Sokonglah usaha pentadbiran Perdana Menteri yang kini sedang bekerja keras merangka pelan untuk mencari dan menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di seberang laut untuk pulang berkhidmat di Malaysia.

Ketepikan sementara elemen atau motif politik dalam isu biasiswa luar negara ini.

Utusan Online

Wednesday, May 25, 2011

Jangan tunduk desakan parti politik

KUALA LUMPUR 25 Mei - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa supaya tidak tunduk kepada desakan mana-mana parti politik dalam urusan pemberian biasiswa.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, mana-mana parti politik termasuk MCA, MIC mahupun UMNO tidak boleh mengganggu urusan agensi kerajaan tersebut.

"Walaupun ramai pelajar Melayu tidak memperolehi biasiswa terutamanya yang ke luar negara, sepatutnya semua pihak bersyukur," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kritikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa wujud salah guna kuasa di JPA berhubung perkara itu.

Ka Siong mendakwa 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ gagal mendapat biasiswa meskipun Perdana Menteri tahun lalu bersetuju agar kesemua pelajar yang mendapat 8A+ dan ke atas mendapat biasiswa JPA.

Utusan Online

Tuesday, May 24, 2011

JPA sedia RM1.44 bilion tawar 4,000 biasiswa

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperuntukkan 4,000 biasiswa kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang memperoleh minimum 9A- bagi sesi pengajian tinggi 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,500 biasiswa diperuntukkan bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) manakala 2,500 biasiswa untuk Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).
Beliau memberitahu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.44 bilion bagi menampung jumlah biasiswa tersebut iaitu RM1.08 bilion bagi biasiswa PILN dan RM0.36 bilion bagi biasiswa PIDN.

"Daripada 1,500 biasiswa PILN itu pula, 882 daripadanya diberikan kepada pelajar bumiputera manakala 618 biasiswa kepada pelajar bukan bumiputera.

"Bagi PIDN pula, seramai 1,301 pelajar bumiputera ditawarkan biasiswa itu manakala selebihnya iaitu 1,199 kepada pelajar bukan bumiputera.

"Secara keseluruhan pula, sebanyak 2,183 tempat atau 55 peratus biasiswa diberikan kepada pelajar bumiputera manakala 1,817 atau 45 peratus kepada pelajar bukan bumiputera," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.Mohamed Nazri menambah, daripada 1,500 biasiswa di bawah PILN pula, hanya 300 diberikan berdasarkan merit kepada pelajar yang mendapat 9A+.

Bakinya kata beliau, diagihkan kepada mereka yang layak mengikut empat kategori yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Januari 2009.Kategori itu tambahnya, adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (20 peratus), populasi kaum (60 peratus), bumiputera Sabah dan Sarawak (masing-masing lima peratus) dan orang kurang upaya (OKU) sebanyak 10 peratus.

"Keutamaan biasiswa kepada PILN ini ialah dalam bidang-bidang yang difikirkan kritikal dan profesional oleh JPA seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, seni bina dan beberapa bidang lain," katanya.Jelas beliau, sebanyak 16,900 permohonan biasiswa diterima dengan 8,857 permohonan adalah dari kalangan calon yang melepasi syarat minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian.

Utusan Online

Dakwaan Ka Siong tidak berasas

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Mei – Dakwaan bahawa berlaku salah guna kuasa di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung peruntukan tempat dan biasiswa ke universiti adalah tidak berasas.

Ini kerana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pemberian biasiswa dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan dan dikendalikan oleh mereka yang profesional.

“Dalam soal pemilihan ini, JPA hanya bertindak sebagai penyelia dan sesi temu duga dijalankan oleh mereka dari latar belakang akademik yang tinggi serta pelbagai kaum.
“Malah, pemberian biasiswa ini juga terlebih dahulu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk penilaian dan kelulusan sebelum dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kritikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa wujud salah guna kuasa di JPA berhubung perkara itu.

Ka Siong mendakwa 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ gagal mendapat biasiswa meskipun Perdana Menteri tahun lalu bersetuju agar kesemua pelajar yang mendapat 8A+ dan ke atas mendapat biasiswa JPA.

Mohamed Nazri menambah, sebagai seorang timbalan menteri, Ka Siong sepatutnya mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu secara terus dengan beliau dan bukannya membuat kenyataan menerusi media.

Malah, katanya, Ka Siong juga sepatutnya membangkitkan perkara itu di Parlimen kerana mereka mempunyai wakil dalam Kabinet.

“Tindakan beliau mengkritik dari luar menimbulkan persoalan adakah beliau membangkitkan isu ini kerana keprihatinan terhadap nasib pelajar-pelajar atau kerana kepentingan politik?” soal beliau.

Utusan Online

Tidak wajar usia bersara hingga 60 tahun

WAN ZAFFIZZ WAN MUHAMMAD
Gombak, Selangor

SAYA sebagai kakitangan awam tidak bersetuju dengan saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Othman, agar usia bersara wajib penjawat awam dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Pendapat atau cadangan Omar kadang kala 'agak menghiburkan hati' penjawat awam yang diwakili oleh badan berkenaan.

Tetapi ada masanya 'agak menjengkelkan' dengan idea yang hanya indah dalam bentuk angan-angan tetapi mengarut jika dijadikan kenyataan!

Pada asalnya usia bersara wajib penjawat awam ialah 55 tahun. Kemudian ditambah setahun lagi menjadi 56 tahun dan terakhir dipanjangkan pula menjadi 58 tahun mulai 2007. Kini mahu dilanjutkan pula sehingga usia 60 tahun?

Faktor mentaliti, kualiti kerja dan komitmen terhadap tugas dalam kalangan penjawat awam di Malaysia sebenarnya masih jauh daripada menyamai tahap pemikiran dan keupayaan yang dimiliki oleh negara-negara maju, walaupun Presiden CUEPACS cuba menafikannya.

Bayangkan, kakitangan awam yang baru mencecah usia 45 tahun hingga 50 tahun sudah banyak yang menjadi 'pelupa', 'merasa diri telah amat tua' dan 'menjadi perlahan dalam serba-serbi'.

Ini belum diambil kira golongan yang telah dihinggapi penyakit 'terkenal' dalam kalangan rakyat Malaysia seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi, lemah tulang, sakit jantung dan sebagainya tatkala usia semakin menghampiri 50 tahun.
Apakah tuntutan Presiden CUEPACS tersebut hanya semata-mata bersandarkan kepada alasan untuk 'melapangkan sedikit sumber kewangan penjawat awam' yang rata-rata banyak menanggung beban hutang?

Misalnya hutang rumah, kenderaan, pendidikan anak-anak, insurans kesihatan, kemalangan dan lain-lain?

Dengan memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan mereka, sekali gus memanjangkan juga tempoh bayaran balik hutang berkenaan?

Bagaimana dengan generasi anak-anak muda yang baharu hendak mencari penghidupan?
Perlukah mereka menunggu sehingga orang lama yang sudah lelah ini meninggal dunia terlebih dahulu baharu peluang kerja akan terbuka untuk mereka?

CUEPACS sebagai badan induk yang diwujudkan untuk menyuarakan hasrat kakitangan awam, sekali gus membela nasib mereka, ada masanya kelihatan bagaikan dipengaruhi oleh 'golongan tertentu' atau pun 'isu tertentu' sahaja.

Isu pelarasan gaji kakitangan awam tanpa mengira gred yang dilaung-laungkan oleh presidennya, sebagai contoh, boleh dikatakan relevan dan dialu-alukan memandangkan kos sara hidup meningkat berkali-kali ganda hanya dalam tempoh setahun.

Harga petrol dan diesel kerap kali naik. Apabila ini berlaku, harga barangan keperluan harian secara langsung akan ikut naik.

Bayangkan bagaimanakah kakitangan awam gred bawahan terpaksa berdepan dengan keperitan hidup apabila kos barangan dan perkhidmatan melonjak naik bebarapa kali setahun, sedangkan anjakan gaji tahunan mereka tidak sampai RM50?

Perkara ini yang lebih perlu difokuskan oleh CUEPACS, bukan tuntutan untuk melanjutkan usia bersara wajib sehingga 60 tahun!

Jika ini dipenuhi, adakah pada tahun-tahun akan datang akan diminta agar usia persaraan dilanjutkan sehingga 65 tahun pula?

Utusan Online

Monday, May 23, 2011

Tindakan tegas gagal patuhi gaji minimum

KUALA LUMPUR 23 Mei - Majikan di negara ini bakal berhadapan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi penetapan kadar gaji minimum yang akan diwartakan kelak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, dengan peruntukan tertentu di dalam Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan yang bakal digubal, kerajaan berhak untuk mengambil tindakan kepada syarikat terlibat.

"Sekiranya keputusan akta tersebut telah dibuat dan diwartakan maka menjadi kewajipan kepada majikan untuk mematuhi kadar yang ditetapkan itu.

"Jika tidak, dengan peruntukan tertentu dalam akta berkenaan, kerajaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang berdegil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Kerjaya Universiti UCSI Keempat, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut meraikan rakan usaha sama yang menyediakan peluang latihan amali kepada mahasiswa universiti tersebut.

Subramaniam berkata, rang undang-undang Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan dan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Akta tersebut adalah bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 yang berperanan mengkaji isu gaji minimum sektor swasta di negara ini.

Dalam pada itu, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pihaknya menerima lebih 300 aduan daripada pelajar berketurunan India berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kebanyakan aduan, kata beliau, membabitkan pelajar yang gagal memperolehi biasiswa untuk pengajian yang sepatutnya.

Beliau mengulas mengenai permasalahan pembahagian biasiswa JPA yang disuarakan oleh MIC baru-baru ini.

Utusan Online

JPA beku pengambilan hingga Ogos

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan pemansuhan semua jawatan kosong berkuat kuasa 1 Jun ini. Berikutan keputusan tersebut semua urusan pengambilan dibekukan bermula 20 Mei hingga 31 Ogos.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Sektor Awam (JKK-MPGSA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Mei lalu.

Menurut beliau, pembekuan merangkumi semua kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan dan Badan Berkanun Negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, jawatan-jawatan pada gred kenaikan pangkat dan jawatan yang sedang dalam proses lantikan oleh pihak berkuasa melantik adalah dikecualikan.
‘‘Keputusan (pemansuhan) ini adalah selaras dengan langkah kerajaan untuk merasionalisasi dan mewujudkan perkhidmatan awam yang kejat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dikeluarkan kepada ketua setiausaha, ketua jabatan persekutuan, setiausaha kerajaan negeri, setiausaha suruhanjaya perkhidmatan, pihak berkuasa berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Pekeliling itu diperoleh menerusi laman web JPA. Abu Bakar menasihatkan semua agensi supaya tidak mengemukakan permohonan penstrukturan semula organisasi dan pengukuhan perjawatan dalam tempoh tersebut.

Katanya, jabatan itu juga akan melakukan auditan perjawatan secara komprehensif di setiap agensi kerajaan semasa pelaksanaan keputusan ini.

‘‘Sehubungan itu, semua pihak dipohon untuk memastikan pelaksanaan arahan ini dipatuhi dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jabatan ini semasa pelaksanaan auditan perjawatan itu,’’ jelasnya.

Utusan Online

Sunday, May 22, 2011

Mangsa terakhir tanah runtuh dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.

Operasi yang bermula jam 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada jam 5.05 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob, ketika memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu kepada pemberita di lokasi kejadian pagi ini berkata mangsa yang terkorban 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat.
Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Azman berkata, lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat membabitkan seramai 754 anggota daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), SMART, Tentera 4 Divisyen, dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Operasi mencari dan menyelamat dihentikan setakat ini dan akan disambung pada 8 pagi ini bagi membuat gerakan terakhir untuk pastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap," katanya.



BERNAMA

9A+ sudah cukup – Nazri

Oleh HASHIM P. MAMAT
pengarang@utusan.com.my

PADANG RENGAS 22 Mei – Kejayaan memperoleh keputusan 12A+ atau 13A+ bukan jaminan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih menyambung pengajian ke universiti di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz (gambar) berkata, beliau percaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuat penilaian terbaik dalam memilih pelajar yang layak dan pemilihan juga dibuat hanya berdasarkan keputusan 9A+.

Katanya, syarat itu ditetapkan kerana ada sekolah yang tidak membenarkan pelajarnya mengambil lebih daripada sembilan mata pelajaran.

‘‘Ada ibu bapa yang datang berjumpa saya dan menyatakan anak mereka patut dipilih melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana mendapat kelulusan SPM 12A+ atau 13A+.
‘‘Tetapi saya menegaskan, walaupun pemilihan berdasarkan 9A+ sahaja, ini tidak bermakna pelajar yang mendapat 10A+ akan mendapat kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan netbook kepada 2,490 pelajar enam buah sekolah menengah di kawasan Parlimen Padang Rengas yang bernilai RM1
juta, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mengulas dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong kononnya JPA tidak mematuhi kriteria pemilihan pelajar ke luar negara kerana ada pelajar yang mendapat keputusan lebih baik daripada 9A+ tidak terpilih.
Menurut Mohammed Nazri, JPA cuma menawarkan sebanyak 300 tempat kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mereka yang tidak terpilih mempunyai peluang di tempat lain.

‘‘Bagaimanapun, JPA akan melihat semula jika ada berlaku kesilapan seperti yang dipertikaikan oleh Ka Siong.‘‘Beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran tidak sewajarnya membuat kenyataan akhbar menuduh JPA tidak adil dalam pemilihan pelajar ke luar negara. Ka Siong sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada JPA terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan para pelajar yang menerima
netbook agar menggunakan kemudahan tersebut untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang pelajaran, bukan menyalahgunakan untuk menonton gambar atau filem lucah.
Semua pelajar berkenaan turut menerima modem jalur lebar dengan bayaran percuma sebulan dan bayaran RM25 sebulan berikutnya ditanggung oleh pelajar sendiri.

Utusan Online

MIC bantu pelajar India cemerlang mohon biasiswa JPA

KUALA LUMPUR 22 Mei - Pelajar kaum India yang cemerlang dalam peperiksaan dinasihatkan supaya mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bagi membolehkan mereka mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Presiden MIC, Datuk G. Palanivel berkata, mereka yang masih belum berbuat demikian boleh mendapatkan bantuan di mana-mana pejabat MIC.

"Mana-mana pelajar yang memohon melalui MIC, kami akan tolong dan akan cuba berbincang dengan JPA mengenai perkara ini, terutama bagi mereka daripada keluarga susah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Yayasan Telegu Malaysia oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz di sini.

Sehubungan itu, Palanivel menyeru masyarakat India supaya mengukuhkan perpaduan dan menghayati konsep 1Malaysia.

Sementara itu, seramai 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diraikan dan diberi penghargaan pada majlis hari ini. - BERNAMA

Utusan Online

Saturday, May 21, 2011

Sabarlah cikgu

TPM janji usul kenaikan gred guru akan diselesaikan

BALING: Keluhan kira-kira 400,000 guru yang mendakwa tercicir daripada kenaikan gred atau pangkat bermula 1 Januari tahun depan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu, sememangnya dalam perhatian Kementerian Pelajaran untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka bersabar kerana beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerima aduan, SMS dan tuntutan beberapa kesatuan guru yang mahukan kerajaan memberi perhatian terhadap perkara itu. “Saya akan teruskan usaha berbincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah JPA yang akan memutuskan cara untuk me-menuhi tuntutan berkenaan.

“Kita kena ambil kira keupayaan kerajaan kerana dalam keadaan sekarang kita nak jimat perbelanjaan, nak kurangkan defisit negara... dan kalau kita buat keputusan kena ambil kira keupayaan kerajaan menampung kos tambahan disebabkan kenaikan gaji dan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik, di sini, semalam.

Beliau berkata, guru terbabit tidak perlu bimbang kerana kerajaan masih mempunyai masa enam bulan lagi untuk meneliti perkara itu sebelum ia berkuat kuasa Januari tahun depan.

Sebelum ini, beberapa kesatuan dalam perkhidmatan perguruan menyatakan kekecewaan mereka kerana enam tuntutan mereka tidak diberi perhatian, termasuk kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid (SKM).
Selain itu, mereka menuntut kerajaan mewujudkan jawatan baru gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilaksanakan.

Mereka juga berharap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid, khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah diberi perhatian.

Muhyiddin berkata: "Kita masih ada masa enam bulan dan dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku... apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin beliau tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi.

"Bersabarlah... kerana bila Perdana Menteri umum tarikh kuat kuasa 1 Januari 2012, kita ada masa dan saya harap bila sampai Januari nanti dia (Perdana Menteri) akan tokok sikitlah."

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran diarah mengkaji insentif dan pengiktirafan kepada guru yang menjadi pengurus pasukan dan pegawai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi menghargai sumbangan mereka dalam meningkatkan prestasi serta pencapaian atlet dan sukan di sekolah.

Beliau berkata pengiktirafan kepada guru terbabit adalah sama seperti yang diberi kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan.
“Guru terbabit juga perlu diberi pendedahan supaya kewujudan mereka sebagai pegawai kejohanan diterima di persada antarabangsa.

"Atlet yang berjaya dan mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan tertentu harus dilatih secara intensif sebelum menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.

“Begitu juga dengan pegawai kejohanan, pendedahan harus diberi kepada mereka supaya kewujudan pegawai kejohanan ini diterima di peringkat antarabangsa seperti atlet," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-53 2011 di Stadium Perak di sini, malam tadi.



Berita Harian Online

Timbang beri kenaikan tiga tangga gaji

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan diminta mempertimbangkan memberi kenaikan tiga tangga gaji kepada kira-kira 70,000 guru yang hampir bersara dan kini berada pada kedudukan gaji mati.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, ia merupakan antara beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam perbincangan yang akan diadakan oleh Kementerian Pelajaran berhubung nasib kumpulan guru yang tidak tersenarai dalam pengumuman kenaikan pangkat baru-baru ini.

"Pada masa ini, kenaikan gaji mereka adalah RM90 setahun. Jika mereka diberi kenaikan untuk tempoh tiga tahun, itu sudah memadai. Mereka ini antara golongan yang setia dalam perkhidmatan dan kenaikan itu amat dihargai," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas jaminan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan mempertimbangkan nasib kumpulan guru yang tidak tersenarai dalam pengumuman kenaikan pangkat baru-baru ini.

Hashim turut meminta kerajaan melaksanakan pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) sebanyak RM300 kepada semua guru dan penjawat awam.

Kata beliau, amaun COLA yang berbeza-beza tidak praktikal untuk sesetengah kawasan terutama di luar bandar kerana di sesetengah kawasan harga barang di luar bandar lebih tinggi berbanding di bandar.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad pula mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kedudukan pangkat guru-guru dan guru besar sekolah rendah.

Antara tuntutan itu kata beliau, ialah kenaikan gred di kalangan guru besar sekolah kurang murid, guru besar sekolah gred A, guru besar cemerlang dan guru besar sekolah biasa.

Utusan Online

Gerakan minta JPA senaraikan calon layak dapat biasiswa

KUALA LUMPUR 21 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa supaya lebih telus dengan menyenaraikan semua nama calon yang telah berjaya dipilih mendapatkan pembiayaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian mereka sama ada di dalam atau di luar negara.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan pertikaian serta kekeliruan yang timbul di kalangan pelajar cemerlang yang layak memohon mengikut syarat dan kriteria ditetapkan kerajaan.

"Pendekatan lebih telus perlu dibuat di mana selepas pemilihan, penamaan harus disenaraikan dengan jelas selain mendedahkan kategori dan kriteria yang melayakkan calon terbabit menerusi Internet.

"Perkara seperti ini setiap tahun akan timbul dan kita berharap pihak JPA mengambil perhatian sewajarnya...lakukan penambahbaikan supaya tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di sini, hari ini.

Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, isu berkaitan JPA juga menjadi perkara hangat yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini dan parti itu meminta JPA mengatasinya kerana aduan yang diterima setiap hari menjangkau ratusan melibatkan semua kaum di negara ini.

Beliau juga meminta JPA supaya memberitahu Kabinet dan menteri yang berkaitan mengenai semua maklumat, cara pemilihan serta kriteria yang membolehkan calon itu layak mendapat atau tidak pembiayaan biasiswa berkenaan. - Bernama

Utusan Online

Friday, May 20, 2011

Bersabar guru tak naik pangkat, perbincangan masih berjalan: Muhyiddin

BALING: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kumpulan guru lepasan diploma yang tidak terbabit dengan kenaikan gred atau pangkat pada 1 Januari tahun depan supaya bersabar kerana perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masih terdapat keperluan dan kemungkinan dalam beberapa kes untuk diberi pertimbangan dan beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih tahu kedudukan perkara itu. Muhyiddin, yang Menteri Pelajaran, ditanya pemberita mengenai pengumuman Perdana Menteri sempena Hari Guru 16 Mei lalu mengenai kenaikan pangkat dan gred guru tertentu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah warga pendidik. "Saya sedar mengenai perkara ini (tidak puas hati) kerana ramai menghantar SMS. Saya akan bincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pelajaran untuk mencari jalan memenuhi tuntutan kesatuan-kesatuan guru.

"Kerana bilangan mereka ramai, dalam apa jua keadaan kita kena ambil kira keupayaan kerajaan. Dalam situasi sekarang kita hendak jimat belanja dan mengurangkan defisit," katanya selepas merasmikan Kompleks Pejabat Pendidikan Baling/Sik berharga RM4.3 juta di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut mengambil kira kemampuannya untuk menanggung kos-kos tambahan akibat kenaikan gaji dan elaun.

"Kita masih ada masa enam bulan. Dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku...apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin Perdana Menteri tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi. "Bila sampai masa mungkin dia akan tokok. Jadi kita kena bersabarlah," kata Muhyiddin.

Mengenai pendidikan, beliau berkata, strategi kerajaan adalah untuk mengecilkan jurang antara sekolah di bandar dan luar bandar supaya pencapaian pelajar tidak terlalu ketara.

Katanya, antara langkah yang diambil kementerian ialah meningkatkan infrastruktur dan kualiti sekolah luar bandar selain menambah peruntukan pembangunan dan pengurusan.

Muhyiddin berkata, guru yang dihantar ke luar bandar setanding dengan guru di bandar namun masalah dan cabaran di luar bandar tidak sama umpamanya dalam soal kehidupan, tempat tinggal, pengangkutan dan kebajikan.

"Perkara ini memberi kesan kepada mutu pembelajaran dan pengajaran," katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian akan mengenal pasti mengikut keutamaan sekolah yang perlu dibantu seperti yang daif dan jauh di pedalaman.

Sebelum itu, ketika berucap beliau berkata, pencapaian bidang pendidikan meningkat dengan ketara dalam tempoh dua tahun lalu sejak kerajaan melaksanakan bidang keberhasilan utama negara (NKRA).

"Kerajaan tidak berkompromi dalam soal pendidikan dan sebab itu lebih 26 peratus dari belanjawan negara diperuntukkan untuk sektor ini," kata Muhyiddin.



BERNAMA

Jangan ragui status halal susu UHT 1Malaysia: Muhyiddin

BALING: Orang ramai tidak perlu meragui status halal susu UHT 1Malaysia kerana ia mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bekalan susu itu, yang diimport dari Korea Selatan, mempunyai sijil halal JAKIM selain sijil negara pengeksport. Muhyiddin berkata, bekalan susu untuk diedarkan ke sekolah tidak mencukupi menyebabkan sebahagian darinya terpaksa diimport luar negara. "Bagaimanapun orang ramai tidak perlu risau kerana JAKIM terlebih dahulu mengeluarkan arahan supaya syarikat pembekal susu ini memperoleh sijil halal sebelum membekalkannya. Jadi jangan risau," katanya selepas merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Baling/Sik di Pulai di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas dakwaan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Pendang, Shaharol Niza Omar baru-baru ini mengenai susu berkenaan, yang didakwa tidak mempunyai logo halal JAKIM.

Mengulas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Muhyiddin berkata, kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin MCA bagi membincangkan isu kegagalan pelajar Cina mendapatkan biasiswa itu.

"Keputusannya biasiswa ini membabitkan Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan semua pemimpin parti komponen yang mewakili kaum masing-masing, keputusan dibuat mengikut formula ditetapkan.
"Apabila MCA membangkitkan semula perkara ini dan menyatakan ada pelajar Cina cemerlang gagal mendapat biasiswa, kita akan teliti semula," kata Muhyiddin.

Beliau berkata, mana-mana pelajar yang memenuhi kriteria merit yang ditetapkan iaitu memperoleh semua A+ tetapi gagal memperoleh biasiswa JPA wajar diketengahkan untuk diteliti semula.

"Kementerian tidak ada masalah dalam soal memperuntukan biasiswa ini kepada mereka yang layak malah ibu bapa beranggapan anak mereka layak kerana memperoleh semua A sedangkan kriteria yang ditetapkan adalah A+ bukan A atau A-.


BERNAMA

Tiada lagi ujian

Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan


PROSPEK mulai 1 Julai dinilai panel berwibawa

PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih. Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.
Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Berita Harian Online

Guru 'tercicir' diminta sabar

Oleh OPAT RATTANACHOT dan JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

BALING 20 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kumpulan guru yang tidak tersenarai dalam kenaikan pangkat mengikut kaedah baru yang diumumkan baru-baru ini supaya bersabar kerana kerajaan sedang meneliti perkara itu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, kerajaan sentiasa peka dengan nasib golongan guru terbabit dan percaya kajian mengenainya sedang dilakukan.

"Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah minta mereka sabar kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu mempunyai pertimbangan sendiri berhubung pengumuman kaedah kenaikan pangkat guru baru-baru ini.

"Lagi pun pelaksanaan kaedah baru itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012. Maknanya, sementara menunggu tempoh tersebut, mungkin ada sesuatu yang akan dilakukan.

"Saya tidak katakan perkara ini selesai, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh katakan perkara ini akan terus dibincangkan bersama Perdana Menteri," katanya selepas merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik bernilai RM4.3 juta di Batu 42, Pulai dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keluhan beberapa pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai nasib guru termasuk 400,000 guru sekolah biasa yang tidak mengalami kenaikan pangkat walaupun sudah berkhidmat lebih 15 tahun.

Muhyiddin berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memenuhi permintaan NUTP bagi menjaga kebajikan ahli-ahli mereka.

"Bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa setiap pertimbangan yang dilakukan kerajaan perlu mengambil kira keupayaan ekonomi negara.

"Sekarang kita nak berjimat bagi mengurangkan defisit. Kalau buat keputusan harus kira keupayaan kerajaan untuk tampung kos tambahan kenaikan sama ada gaji atau elaun," jelasnya.

Utusan Online

Thursday, May 19, 2011

Insentif diberi PM amat dihargai

TERIMA kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi insentif menarik kepada warga pendidik sempena sambutan Hari Guru ke-40 pada 16 Mei lalu. Guru amat menghargai insentif ini dan mengharapkan beberapa aspek lain diambil kira agar insentif ini menyeluruh dan benar-benar menyemarakkan semangat mendidik anak bangsa.

Warga pendidik di sekolah rendah berjumlah 7,900 orang juga mesti diberikan insentif sesuai seperti dimohon Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM). Sekiranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berasakan kerajaan menanggung kos besar untuk kenaikan ini, maka golongan berkenaan boleh dikecilkan dengan syarat hanya pemegang Sarjana dan PhD berkaitan dengan bidang tugas saja diberikan kenaikan.

GURU KAMPUNG, Kelantan.



Berita Harian Online

Anggota tentera perlu berdisiplin urus kewangan

KUALA LUMPUR 19 Mei – Anggota tentera diingatkan supaya bijak menguruskan kewangan keluarga agar tidak memudaratkan imej organisasi keselamatan itu.

Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi berkata, mereka yang gemar berbelanja di luar kemampuan akan menimbulkan masalah kepada pasukan keselamatan tersebut.

“Saya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap anggota yang tidak menguruskan hal kewangan peribadi dengan baik kerana ia melibatkan soal disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima tabik hormat pada perbarisan ulang tahun Markas Medan Tentera Darat Ke-30 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Staf Am Markas Medan Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar dan Ketua Staf Perkhidmatan Markas Medan Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Emran Yusoff.

Perbarisan statik itu melibatkan 33 pegawai dan 312 anggota Markas Medan Tentera Darat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Rashidin Hashimi Abdul Rashid.
Seramai 23 warga tentera dan awam menerima anugerah sijil kepujian Panglima Medan Tentera Darat Kategori Individu.

Ahmad Hasbullah berkata, penglibatan Tentera Darat dalam melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama dengan polis mendapat pengiktirafan daripada kerajaan.“Perdana Menteri juga memberi sokongan dan pujian terhadap komitmen itu,” katanya.

Utusan Online

Terlalu sedikit insentif guru lepasan Diploma

Al Zaman@ GMGBM, Kuching, Sarawak

SELAMAT Hari Guru buat semua yang bergelar pendidik. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Itulah tema perayaan Hari Guru tahun ini yang disambut dengan begitu meriah di Kuching, Sarawak.

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak yang berjaya menganjurkan perayaan Hari Guru tahun ini dengan kelainan. Pastinya ia menjadi nostalgia buat kami semua yang hadir sebagai tetamu, terutama Majlis Berambih yang diadakan sebagai meraikan tetamu warga pendidik yang hadir dari seluruh negara.

Majlis pelancaran Hari Guru yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching sekali lagi turut meninggalkan beberapa impak besar. Pastinya ramai yang ternanti-nanti apakah kejutan bakal diumumkan sebagai menghargai peranan guru selama Ini. Sambutan gilang-gemilang di pintu masuk utama amat meriah.

Sambil menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, serta dif-dif kehormat, warga pendidik disajikan klip video pengorbanan guru-guru yang bertugas di pedalaman. Juga guru-guru yang mendidik anak-anak istimewa di serata tanah air. Sungguh terharu melihat pengorbanan mereka yang kebanyakannya adalah para pendidik di sekolah rendah.

Warga pendidik secara umumnya mengetahui betapa sukarnya menjadi guru di sekolah rendah. Amanah dan tanggungjawab menjayakan KSSR, LINUS, Pendidikan Khas, Pemulihan Khas dan pelbagai lagi cabaran tugas yang datang bertimpa tanpa henti dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun terdapat banyak kekangan yang tidak perlu dijelaskan di sini.

Malahan jumlah warga pendidik daripada Kumpulan Sokongan II masih mendominasi jumlah sebenar guru-guru. Begitu juga jumlah sekolah rendah termasuk Sekolah Kurang Murid, jumlahnya jauh melebihi Sekolah Menengah. Oleh itu, tentu sekali jumlah guru Lepasan Diploma juga amat besar dari keseluruhan jumlah warga pendidik dalam perkhidmatan awam.

Guru-guru terutama warga pendidik Lepasan Diploma amat berbesar hati atas usaha kerajaan memartabatkan profesion keguruan. Usaha mewujudkan Guru Wibawa dan Pendeta Guru sewajarnya disokong. Kejayaan-kejayaan seperti NKRA Pendidikan dan LINUS secara khususnya adalah usaha guru-guru sekolah rendah. Lihat sahajalah jumlah sekolah rendah yang mendapat penghargaan New Deal yang jauh melepasi unjuran awal Kementerian Pelajaran.

Namun ramai kecewa kenapa terlalu sedikit pengumuman insentif untuk warga pendidik Lepasan Diploma dari sekolah rendah yang telah berkorban. Ramai daripada mereka tertanya-tanya kerana sudah beberapa kali pengumuman semasa pelancaran perayaan Hari Guru sejak tahun 2009, yang menerima habuan adalah warga pendidik siswazah.

Begitu jelas terpancar kekecewaan di wajah mereka yang hadir pada majlis pelancaran Hari Guru 2011. Yang kuat bertepuk adalah yang menerima habuan. Maka menjelma kembali ulasan kecewa mereka yang telah menanti sekian lama sejak tahun 2009 hinggalah 2011, termasuk kekecewaan semasa Perhimpunan Guru 1Malaysia pada tahun 2010. Kepada Kongress dan beberapa kesatuan guru yang lantang bersuara, teruskanlah usaha murni memartabatkan kaum guru terutama mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan II.

Terharu dan simpati kepada Guru-Guru Besar Sekolah Kurang Murid yang masih terbelenggu pada Gred DGA 32. Kami juga simpati kepada Guru-guru Penolong Kanan Sekolah Rendah yang sepatutnya diberi Elaun Tanggungjawab lebih tinggi daripada RM60 sebulan. Jika boleh tingkatkan gred perjawatan mereka ke DGA 34 agar dapat dibezakan dari guru-guru time-based DGA 32.

Kepada semua Guru Besar Sekolah Rendah, terpaksalah terus membuat tuntutan Elaun Keraian bulanan yang tidak seberapa itu walaupun hakikatnya belanja keraian itu melebihi dari apa yang dituntut, walaupun banyak kerenah membuat tuntutan.
Teruskanlah mendidik anak bangsa kerana Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Selamat Hari Guru.

Utusan Online

Wednesday, May 18, 2011

Ekonomi berkembang 4.6% suku pertama

KUALA LUMPUR 18 Mei - Negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih sederhana sebanyak 4.6 peratus pada suku pertama 2011 berbanding 10.1 peratus pada tahun lalu.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, keadaan itu disebabkan wujudnya risiko luaran termasuk krisis di Asia Barat dan Afrika Utara, bencana alam di Jepun serta kebimbangan hutang berdaulat dalam Kesatuan Eropah.

Selain itu, peningkatan harga komoditi dan tekanan inflasi yang berlaku hampir di seluruh dunia turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.''Meskipun keadaan ekonomi dunia mencabar tetapi BNM masih mengekalkan unjuran pertumbuhan pada tahun ini,'' katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan prestasi suku pertama 2011 di sini hari ini.

Zeti berkata, pertumbuhan ekonomi negara itu disokong oleh perbelanjaan swasta yang lebih tinggi manakala permintaan luar negeri kukuh dipacu oleh permintaan serantau keluaran komoditi dan keluaran bukan elektrik dan elektronik (E&E).

Katanya, semua sektor utama ekonomi, kecuali komoditi utama terus berkembang pada suku tersebut, meskipun pada kadar lebih sederhana.

Permintaan dalam negeri berkembang sebanyak 6.6 peratus pada suku pertama berikutan peningkatan dalam perbelanjaan sektor swasta dan penggunaan sektor awam.

Tambahnya, penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.7 peratus ekoran pasaran pekerja menggalakkan, sentimen pengguna positif dan peningkatan pendapatan berterusan.

Penggunaan awam pula bertambah sebanyak 6.1 peratus disumbang oleh perbelanjaan lebih tinggi bagi emolumen serta bekalan dan perkhidmatan.

Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan kekal mampan pada kadar 5.9 peratus dengan kebanyakan subsektor mencatat pertumbuhan menggalakkan disebabkan permintaan dalam dan luar negeri bertambah baik, ujar beliau.

Sektor perkilangan berkembang sebanyak 5.4 peratus dipacu oleh pertumbuhan industri berorientasi eksport dan prestasi baik dalam industri dalam negeri terpilih.
Sektor pembinaan mencatat pengembangan 3.8 peratus manakala sektor pertanian menguncup 0.3 peratus pada suku pertama disebabkan kemerosotan pengeluaran minyak sawit akibat cuaca yang tidak memuaskan.

Sektor perlombongan juga menguncup sebanyak tiga peratus kerana pengeluaran minyak mentah lebih rendah berikutan penyelenggaraan terjadual dan kerja-kerja naik taraf.
Beliau berkata, aliran masuk kasar pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama berjumlah RM7.8 bilion berbanding RM13 bilion pada suku keempat 2010.

Bagaimanapun, selepas pelarasan bagi aliran keluar kasar disebabkan pembayaran pinjaman antara syarikat, FDI bersih juga lebih rendah pada RM4.6 bilion.
Pelaburan langsung luar negeri oleh syarikat Malaysia pula merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM3.8 bilion pada suku pertama, sebahagian dibuat dalam sektor kewangan dan insurans, perkhidmatan perniagaan dan industri komunikasi.

Pelaburan portfolio mencatatkan aliran masuk bersih lebih nyata sebanyak RM4.7 bilion pada suku pertama, menunjukkan penyertaan asing lebih menggalakkan dalam pasaran modal terutama pasaran hutang.

Utusan Online

Tuesday, May 17, 2011

Adukan masalah pusat tuisyen kepada kementerian

JOHOR BAHRU 17 Mei - Ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pusat-pusat tuisyen dan tenaga pengajar yang dirasakan berada di bawah piawaian boleh membuat aduan kepada Kementerian Pelajaran.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pusat tuisyen sepatutnya selari dengan silibus sedia ada di sekolah dan bukan tempat pelajar menghafal soalan peperiksaan tahun-tahun lepas.

"Pengusaha pusat tuisyen sepatutnya memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran yang lebih inovatif dalam usaha memastikan pelajar menguasai sesuatu subjek.

"Saya sangat tidak setuju dengan pusat tuisyen yang hanya mengajar pelajar untuk menjawab kertas soalan peperiksaan yang sudah lepas," katanya ketika merasmikan sebuah pusat tuisyen di kawasan perumahan Setia Indah, di sini hari ini.

Jelasnya, pihak kementerian akan memantau operasi semua pusat tuisyen yang berdaftar namun ibu bapa juga harus menukar sikap dan tidak semata-mata mahu anak mereka mendapat banyak A tetapi lebih kepada berapa banyak ilmu yang mereka perolehi.
Sementara itu, Ka Siong yang mempengerusikan badan khas yang ditubuhkan oleh MCA untuk membantu pelajar Cina yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, beliau telah menerima beratus-ratus e-mel dan surat daripada ibu bapa dan pelajar.

"Saya memberi jaminan kepada mereka yang kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu namun masa diperlukan untuk memberi maklum balas terhadap setiap bantuan yang diharapkan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, pegawai kementerian terlibat bekerja siang dan malam untuk menjawab semua soalan yang diajukan dan sehubungan itu beliau berharap ibu bapa serta pelajar akan terus bersabar.

Utusan Online

Monday, May 16, 2011

Terima kasih Perdana Menteri

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUCHING 16 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili warga guru hari ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesion perguruan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengumuman mengenai nafas baru sistem kenaikan pangkat yang diumumkan hari ini membuktikan Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang berkenaan

“Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, Perdana Menteri masih bersedia menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred khususnya secara time-based.

“Insya Allah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini,” katanya ketika berucap sewaktu melancarkan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha memartabatkan profesion perguruan adalah satu proses yang berterusan antaranya penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD).

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru bagi melihat isu yang berkaitan dengan profesion perguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan kerjaya itu supaya setara dengan darjat kemuliaannya.

“Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian kementerian sebelum ini,” katanya.

Utusan Online

Tidak perlu umur bersara 60 tahun

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak perlulah melalut mahukan kakitangan awam dinaikkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pelbagai masalah akan timbul jika ia dilaksanakan juga.

Pertama, lambakan siswazah sedang mengganggur berjumlah ratusan ribu itu akan lebih parah lagi kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kerja.
Kedua, prestasi pekerja lanjut umur itu tidak akan sama dengan prestasi mereka yang muda dan segar segalanya.

Ketiga, kenapa kerajaan harus membazirkan membayar gaji maksimum apabila ditambah dua tahun lagi, sedangkan kita boleh ambil tenaga pekerja yang muda dengan gaji minimum dan lebih aktif itu?

Keempat, apabila seseorang itu berusia 60 tahun, kebanyakan kakitangan ini tidak begitu cekap dalam penggunaan pengendalian komputer dan sistem canggih lain di pejabat.

CUEPACS sepatutnya berjuang bagi kenaikan gaji untuk ahli-ahlinya, terutama sekali yang berpendapatan rendah dan bekerja pula di bandar-bandar besar, bukannya perjuangkan masalah orang hendak pencen.

SYED ABDULLAH
Ampangan, Seremban.

Utusan Online

Sunday, May 15, 2011

Lebih 150 kadet PTD tamat kursus

TAMPIN 15 Mei – Lebih 150 kadet pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang menyertai kumpulan Perajurit Muda Sukarela (Khas) Siri 1/2011 berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (Khas) di Kem Syed Sirajuddin di sini, hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mejar Jeneral (Kehormat) Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, program latihan Askar Wataniah yang julung kali disertai kumpulan itu pada tahun ini merupakan satu kurikulum Diploma Pengurusan Awam (DPA) bagi pegawai PTD di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

“Kursus yang disertai oleh kadet PTD ini dikendalikan oleh Program Pembangunan Profesional, Intan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pasukan Simpanan Tentera Darat.
“Selain modul latihannya sendiri, Intan juga akan turut menerapkan modul kursus perkhidmatan berpakaian seragam lain seperti Bomba dan Penyelamat di samping Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Abu Bakar berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (Khas) Siri1/20011, Modul Disiplin dan Ketahanan Diri (Wataniah), Diploma Pengurusan Intan Bil.2/2010 Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (Kehormat) Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad; Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad.

Kata Abu Bakar, antara aspek yang akan diberikan penekanan meliputi elemen patriotisme, ketahanan psikologi, keutuhan disiplin dan jasmani yang cergas sesuai untuk diikuti oleh kakitangan awam.

Ujar beliau, program latihan Askar Wataniah itu kelak akan diperluaskan ke kementerian lain secara berperingkat-peringkat.

Utusan Online

CUEPACS cadang sambutan Hari Pensyarah setiap tahun

MACHANG 15 Mei - Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan sambutan Hari Pensyarah pada masa akan datang selain sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, walaupun kedua- dua profesion itu bertujuan mendidik anak bangsa namun kelebihan sering berpihak kepada guru sedangkan dalam sesetengah perkara pensyarah sewajarnya mendapat perhatian lebih baik.

Sehubungan itu, katanya, telah tiba masanya kerajaan melakukan transformasi kepada golongan pensyarah agar mendapat perhatian seperti yang dinikmati oleh warga guru.
"Apabila berlaku transformasi kepada golongan pensyarah ia bukan memperkecilkan jasa guru malah sempena Hari Guru esok, CUEPACS mengucapkan terima kasih atas segala bakti yang dicurahkan, namun golongan pensyarah juga seperti guru yang selayaknya mendapat perhatian.

"Selama ini kita hanya menyambut Hari Guru, justeru mulai tahun hadapan kerajaan diminta mengadakan sambutan Hari Pensyarah atau dikenali sebagai Hari Akademik khusus untuk golongan profesional ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog dan Pembangunan Kakitangan Pentadbiran bersama Rektor dan pengurusan kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini hari ini.

Omar menambah, antara perubahan yang dicadangkan kepada golongan pensyarah termasuk mengkaji semula gred kenaikan serta insentif lain."Selalunya para guru menerima khabar gembira setiap kali sambutan dibuat dan kita minta kerajaan juga akan mengumumkan khabar yang sama kepada golongan pensyarah dan mungkin pilih hari yang sesuai untuk meraikan mereka.

"Nasib guru sebenarnya jauh lebih baik kerana mempunyai lima persatuan tetapi kebajikan pensyarah bergantung kepada inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) itu sendiri di bawah Kementerian Pengajian Tinggi," ujarnya.

Berdasarkan kepada pelbagai kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang dibangunkan oleh golongan pensyarah selama ini katanya, adalah wajar golongan itu diberi penghargaan sebaik-baiknya.

Utusan Online

Saturday, May 14, 2011

Guru syor gaji, elaun kakitangan awam diselaras

HARI Guru akan disambut dua hari lagi. Sebagai guru, saya terpanggil untuk meluahkan rasa hati berikutan beberapa isu yang hangat diperkatakan dewasa ini membabitkan kakitangan awam termasuk guru iaitu gaji dan elaun.

Berita baik yang ditunggu semua kakitangan awam berikutan tuntutan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penyelarasan gaji dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) serta Elaun Tetap Perumahan (ITP) sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Saya ingin mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan, CUEPACS dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru. Pertama, COLA dan ITP diselaraskan kepada semua kakitangan awam tanpa mengira gred gaji.

Kedua, perbezaan gred gaji antara kakitangan awam hanya berdasarkan gaji pokok dan Elaun Tetap Khidmat Awam (ITKA). Pada situasi ini, gaji pokok kakitangan awam pengurusan dan profesional (gred 41 dan ke atas) mesti lebih tinggi daripada lepasan diploma (gred 40 ke bawah).

Ketiga, semua gred gaji dan elaun di setiap kementerian diselaraskan. Sebagai contoh, gred gaji kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Pelajaran bermula daripada gred 1 hingga 40 sedangkan gred gaji bagi kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Kesihatan bermula daripada gred 1 hingga 42.

Begitu juga dengan Elaun Kritikal bagi Kementerian Pelajaran antara lima dan 10 peratus daripada gaji pokok sedangkan bagi kakitangan awam Kementerian Kesihatan mencecah 15 peratus.
Keempat, tempoh kenaikan pangkat kakitangan awam Kementerian Pelajaran amat panjang. Kenaikan daripada gred DG41 ke gred DG44 guru mengambil masa 10 tahun, sedangkan di kementerian lain antara tiga hingga tujuh tahun saja.

Ada yang menyatakan perkara ini berlaku kerana guru terlalu ramai berbanding kakitangan kementerian lain. Ada perbezaan gaji sangat ketara antara kami walaupun tempoh perkhidmatan sama.

Kami berasakan guru antara golongan paling teraniaya antara kementerian dengan 1,001 tugas, serta keputusan Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru yang belum diumumkan walaupun sudah hampir setahun berlalu.

Guru memang tepat diibaratkan seperti lilin yang menerangi kehidupan orang lain. Semoga Hari Guru 2011 ini membawa sinar ‘lilin’ yang bercahaya kepada semua kakitangan awam terutama guru. Selamat Hari Guru.

SINARAN LILIN,
Tanjung Malim, Perak.


Berita Harian Online

CUEPACS adil bela kakitangan

SAYA ingin merujuk kepada surat yang dikirimkan pada 12 Mei lalu mengenai rasa tidak puas hati pengadu terhadap Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang hanya membela kakitangan awam bergred 1 hingga 40.

Jika kita lihat CUEPACS memandang serius keadaan ekonomi yang meruncing untuk kakitangan Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan Dua. Rata-rata Kumpulan Sokongan Dua ini mempunyai pendapatan bersih bawah RM1,000. Tidak semua kakitangan dalam golongan ini mengalami kehidupan sempit, tetapi jika dibandingkan dengan Kumpulan Profesional, perbezaan pendapatan golongan bawahan ini hampir 10 kali ganda lebih rendah. Kepada siapalah golongan ini hendak meluahkan dan meminta kenaikan elaun jika tidak kepada CUEPACS? Golongan bawahan ini tidak kecewa sekalipun golongan profesional mendapat pelbagai elaun yang begitu banyak jumlahnya sementara golongan bawahan tidak mampu menyara keluarga dengan pendapatan sekarang.

Golongan bawahan juga hanya menikmati kenaikan pangkat selepas bertugas melebihi 15 tahun, manakala golongan profesional hanya perlu bertugas tiga tahun untuk menikmati kenaikan gred tinggi.

Jika soal kenaikan elaun rumah menjadi isu golongan ini, CUEPACS boleh menukar elaun perumahan kepada elaun lain untuk kumpulan sokongan. Diharap agar CUEPACS dapat memenuhi segala keluhan dan rintihan semua kumpulan.

ANGGOTA WARISAN, Sabak Bernam


Berita Harian Online

Kementerian Pelajaran kaji kelas tambahan bahasa Inggeris

KUANTAN: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan kelas tambahan bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dan menengah sekiranya penguasaan pelajar sekolah terhadap bahasa itu dilihat masih tidak memuaskan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini, Kementerian Pelajaran sedang memantau tahap pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah. "Saya akan teliti perkembangan itu dari semasa ke semasa dan jika terdapat sebahagian besar pelajar masih lemah menguasai bahasa tersebut maka kita akan wujudkan kelas tambahan atau tuisyen yang akan diadakan pada setiap hujung minggu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini, hari ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelbagai usaha dilakukan ketika ini termasuk mewujudkan program pembelajaran dengan menyediakan kurikulum, guru terlatih dan makmal bagi melihat penguasaan pelajar terhadap bahasa itu tercapai.

Beliau berkata, kementerian juga menempatkan 10,000 guru bahasa Inggeris di sekolah supaya sistem pembelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Mengulas kedudukan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Muhyiddin berkata, pihaknya masih belum mendapat kata putus daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan berhubung kedudukan mereka.

Katanya, ketika ini, kekosongan yang ditinggalkan GSTT akan diisi oleh kemasukan guru terlatih dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM) yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran. - BERNAMA



Berita Harian Online

Sambutan CCSC luar jangkaan

Oleh Mohd Azis Ngah dan Nas Norziela Nasbah

171,736 dapatkan khidmat pemulihan sejak beroperasi Februari lalu

KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) yang menawarkan khidmat pemulihan kepada penagih dan penyalahgunaan dadah secara sukarela menerima sambutan luar jangkaan dengan 171,736 klien hadir sejak beroperasi 1 Februari lalu di seluruh negara. Sehingga 6 Mei lalu, purata 50 penagih mengunjungi pusat itu setiap hari di 27 CCSC seluruh negara yang dikendalikan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO). Perkhidmatan terbaru AADK itu disediakan di kawasan tumpuan utama atau kawasan panas dengan pelbagai masalah sosial terutama penyalahgunaan dadah. Sebelum ini, agensi itu menyediakan rawatan perubatan percuma melalui program Pemulihan & Prihatin 1Malaysia (P&P1Malaysia).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rancangan itu akan diperluaskan ke kawasan FELDA menggunakan khidmat ahli RELA manakala anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) akan berfungsi di kawasan bandar.

“Masalah dadah tak kenal warna kulit, jadi semua pihak boleh bantu. Ahli politik terutama Barisan Nasional perlu lebih aktif dalam membantu konteks membina negara.

“AADK berusaha mencari pendekatan baru untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian lain untuk membina lebih banyak pusat seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan CCSC di Chow Kit, di sini semalam. Penubuhan CCSC cawangan Chow Kit itu dianggap strategik kerana mampu menarik minat ramai penagih sekitar Kampung Limau, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Tiong Nam dan Kampung Baru.

Pusat itu juga berjaya memujuk 83 pelanggan untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik P&P1Malaysia, Sungai Besi, dekat sini dan 37 yang lain dibantu mendapatkan pekerjaan.

Sejak Februari lalu, 1,858 klien mengikuti program sebagai residen di CCSC seluruh negara manakala bakinya lebih kepada mendapatkan khidmat pemulihan harian.

CCSC beroperasi dengan bantuan bekas penagih yang pulih sepenuhnya dan Yayasan Salam yang berpengalaman menyediakan kehidupan lebih baik kepada golongan terpinggir dalam bidang sosial, pendidikan, kesihatan dan kemahiran.

Hishammuddin berkata, aspek pemulihan dadah juga adalah fokus utama dalam kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah terutama jenayah jalanan yang banyak membabitkan penagih dadah.

“Bilangan penagih yang menyertai program pemulihan meningkat 50 peratus daripada 15,736 orang pada 2009 kepada 23,642 orang tahun lalu. Ini membantu mengurangkan kadar jenayah jalanan 35 peratus atau 13,193 kes,” katanya.

Pada 2009, sebanyak 38,030 kes jenayah jalanan dilaporkan dan menurun kepada 24,837 kes tahun lalu. Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Zuraidah Mohamed yakin lebih ramai penagih akan datang mendapatkan rawatan di pusat baru itu yang turut beroperasi pada hari minggu.

Katanya, penubuhan CCSC di kawasan strategik itu memberi peluang kepada penagih ke tempat pemulihan paling dekat.



Berita Harian Online

Pemeriksaan percuma

Oleh Nadia Hamid

Ahli Kad Nur Sejahtera nikmati faedah mulai 1 Jun

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh menikmati pemeriksaan kesihatan percuma menerusi keahlian Kad Nur Sejahtera di 56 klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara, mulai 1 Jun depan. Kad berkenaan yang diberikan secara percuma kepada kumpulan sasar terutama penduduk tetap iaitu wanita reproduktif berusia 15 hingga 50 tahun dan lelaki yang tidak dihadkan umurnya dengan pendapatan isi rumah kurang RM5,000 dan bilangan anak tidak melebihi empat orang. Kumpulan orang awam lain pula dikenakan bayaran keahlian seumur hidup RM10. Pemohon boleh mendapatkan kad berkenaan di klinik tersenarai antaranya di ibu pejabat Jalan Raja Laut (KL); Kuching (Sarawak); Seremban, Negeri Sembilan dan di pejabat LPPKN Perak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Noorul Ainur, berkata pemeriksaan kesihatan termasuk kaedah perancangan keluarga merangkumi IUCD, Implanon dan kondom; pakej kesejahteraan (tekanan darah, Indeks Jisim Badan (BMI), Glukos dan kolesterol, pap smear dan pemeriksaan payudara) dan perkhidmatan kaunseling keluarga atau individu.

“Nilai kad privilege percuma adalah antara RM115 hingga RM350 yang merangkumi pemeriksaan kesihatan saja. Namun, mereka perlu membayar andai memilih kaedah perancangan keluarga yang disenaraikan,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa, di sini, semalam.

Selain itu, Dr Noorul berkata, pihaknya turut meningkatkan program termasuk memberi nasihat, meluaskan perkhidmatan klinikal di enam klinik di Sabah dan Sarawak, membekalkan enam pusat keluarga bergerak LPPKN 1Malaysia, latihan susulan kepada anggota klinikal serta meningkatkan peruntukan untuk kesihatan reproduktif 44 peratus bagi tempoh 2007 hingga 2010.



Berita Harian Online