Saturday, October 31, 2009

Cuepacs perlu realistik

PUTRAJAYA 31 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diharap bersikap lebih realistik dalam tuntutannya agar kerajaan memberikan dua bulan bonus bagi tahun ini.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya berkeyakinan sekiranya kerajaan mempunyai kemampuan, segala permintaan kakitangan awam akan dapat ditunaikan.

"Saya sudah berbincang dengan Omar Osman (Presiden Cuepacs) sebelum saya berjumpa Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) berkaitan isu bonus.

"Bagaimanapun, Cuepacs tetap mahu dua bulan bonus, saya bolehlah memberikan bantuan (membawakan isu bonus kepada kerajaan) tapi mereka kena bersikap realistik,'' katanya.

Utusan Online

Jabatan Penerangan Sabah tidak keluar iklan di Internet

KOTA KINABALU 30 Okt. - Jabatan Penerangan Sabah menafikan ada mengeluarkan iklan jawatan kosong dalam Internet seperti disiarkan oleh beberapa laman web.
Pengarahnya, Azizan Din berkata, iklan yang dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu merupakan satu penipuan serius dan jenayah berat.

''Kita hanya menawarkan jawatan kosong melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sahaja. Oleh itu kita berharap orang ramai berhati-hati dan tidak tertipu dengan tawaran iklan di Internet itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azizan menegaskan, penipuan itu serius kerana ia bukan sahaja melibatkan nama baik jabatan tetapi melibatkan wang.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminta duit sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, penipuan itu terbongkar apabila seramai 13 pencari pekerjaan datang ke pejabat bertanyakan tarikh temu duga.

''Setakat ini, tiga daripada pencari kerja tersebut mengakui telah mendepositkan wang sebanyak RM500 ke akaun individu tertentu seperti diarahkan iklan dalam Internet itu," katanya.

Azizan berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dan sedia memberikan kerjasama penuh bagi menangkap individu yang tidak bertanggungjawab itu.

"Apa yang kita kesalkan, kebanyakan mangsa penipuan itu datang dari jauh seperti dari Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna," katanya.

Utusan Online

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

RAKYAT pastinya lega apabila kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi yang diketuai Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas penyelewengan yang didedahkan dalam laporan itu.

Ini kerana apabila Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan setiap tahun, ada sahaja tanda-tanda jelas wujudnya unsur penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa, walaupun ia bukanlah sesuatu yang berada pada tahap di luar kawalan.

Sungguhpun laporan perlakuan sedemikian tidak berleluasa, adalah amat memalukan jika sesuatu barang boleh diperoleh di pasaran terbuka dengan harga murah tetapi laporan audit sebaliknya mendedahkan ia dibeli dengan kos yang sungguh tidak masuk akal.

Orang ramai sudah tentu mengharapkan tahap tadbir urus yang benar-benar mencerminkan kebertanggungjawaban menyeluruh, selaras dengan matlamat kerajaan mahu melihat budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

Awang percaya rakyat Malaysia mengharapkan Laporan Ketua Audit Negara yang akan datang jauh lebih bersih.

Awang – Buat analisis.

Utusan Online

Laporan audit disiasat

PUTRAJAYA 30 Okt. – Jemaah Menteri hari ini memutuskan supaya satu jawatankuasa petugas ditubuhkan untuk menyiasat unsur penyelewengan dan rasuah yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2008.

Mengumumkan demikian, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Ia dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Audit Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sambil menekankan bahawa kerajaan begitu serius mahu memperhebatkan budaya prestasi tinggi di kalangan penjawat awam, Perdana Menteri menegaskan, sebarang salah guna kuasa yang berlaku seharusnya tidak terlepas daripada tindakan tegas.
‘‘(Mesyuarat) Jemaah Menteri (hari ini) memandang berat Laporan Audit Negara (2008) yang telah pun dibentangkan di Parlimen.

“Sayugia dinyatakan kita bukan hendak mencari salah sesiapa tetapi untuk tentukan pihak-pihak yang sengaja melakukan kesalahan secara terang-terangan tidak seharusnya terlepas daripada tindakan tegas.

‘‘Kita nak menjurus pada budaya prestasi tinggi, maknanya penjawat awam yang tunjukkan prestasi cemerlang mendapat ganjaran dan pengiktirafan sebaliknya yang lakukan salah guna kuasa, tindakan pasti diambil,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya petang ini.

Minggu lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan kerajaan mungkin terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh.
Laporan itu mendapati wujud beberapa kelemahan pihak kontraktor seperti kelewatan, perolehan peralatan dan tren melebihi keperluan atau tidak diselaras dengan pembangunan struktur.

Dalam laporan lain, Ketua Audit Negara turut mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang ‘tidak masuk akal’ bagi tahun 2008.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan yang didedahkan laporan itu tidak semestinya dari segi undang-undang.

‘‘Tetapi tindakan yang wajar, mungkin kena bayar balik, turun pangkat, tahan pangkat atau setidak-tidaknya berpindah ke tempat lain.

‘‘Tindakan akan diambil berdasarkan pertimbangan yang adil dan saksama. Ia tidaklah dalam bentuk tindakan yang keras sehingga tidak ada pertimbangan kemanusiaan,” katanya.

Kata Najib, Jemaah Menteri percaya tindakan tegas perlu dilakukan memandangkan Laporan Audit Negara didedahkan setiap tahun, justeru sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan tidak seharusnya berulang.

Dalam hubungan ini juga, Perdana Menteri berkata, dalam usaha memupuk budaya prestasi tinggi, maka anggota pentadbiran yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diumumkan tidak lama lagi.

‘‘Ganjarannya kita akan umumkan bila tiba masanya nanti,” katanya.

Utusan Online

Tuesday, October 27, 2009

'Lebih kuah daripada sudu'

APA yang ingin saya luahkan ialah rasa tidak puas hati terhadap golongan penjawat awam dan juga CUEPACS. Pada pengamatan saya, mereka ini semua sudah lebih kuah daripada sudu!

Sepatutnya mereka harus sedar dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana kerajaan masih prihatin terhadap tuntutan mereka, dengan memberikan RM500 kepada hampir semua lapisan perkhidmatan awam walaupun negara dalam peringkat pemulihan ekonomi.

Kepada kumpulan-kumpulan yang pandai meminta-minta ini, haruslah sedar sebagai penjawat awam, kerajaan sudah sekian lama memberikan pelbagai insentif untuk kesenangan mereka. Janganlah kerana Bajet 2010 kerajaan tidak memberikan bonus, mereka tetap tegas hendak meminta lagi. Pernahkah mereka berfikir sejenak, sudah berapa banyak kerajaan habiskan untuk kemudahan mereka? Tidak perlulah saya senaraikan di sini kerana terlalu banyak faedah jika bekerja dengan kerajaan.

Pernahkah CUEPACS terfikir pemberian bonus itu datangnya daripada wang rakyat juga, daripada pembayar cukai? Di mana hasil kutipan kebanyakannya datang dari sektor swasta? Mengapa pula hendak dimanja-manjakan sangat penjawat awam?
Pernah terfikir, kami yang bekerja sendiri atau di sektor swasta tidak pernah merasakan bonus tetapi kami tidak berani untuk merungut sampai ke dada akhbar?

Isu kualiti kerja ialah satu lagi, sudahlah boleh dikatakan hampir setiap minggu ada sahaja rungutan tentang etika dan kualiti kerja penjawat awam yang kurang memuaskan dan lambat.

Sampai bila harus jadi begini? Kerja tidak seberapa tetapi hendak dimakan hidangan sebesar gajah di meja.

Renung-renungkanlah teguran saya ini.

Lepas Geram,
Kuala Lumpur


Utusan Online

Monday, October 26, 2009

Tetap mohon bonus 2 bulan gaji

KUALA LUMPUr 25 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memutuskan untuk tetap memohon supaya kerajaan memberi dua bulan bonus kepada 1.2 juta penjawat awam pada tahun ini.
Pada masa sama, kesatuan itu juga meminta supaya bayaran khas RM500 yang diberi kepada semua penjawat awam sehingga gred 54 dan pesara wajib, diperluaskan kepada pesara pilihan.
Presidennya, Omar Osman berkata, ahli majlis kongres CUEPACS telah memutuskan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.
Menurutnya, tuntutan dua bulan bonus itu telah dinyatakan sebelum Bajet 2010 dibentangkan dan ia dikemukakan semula apabila tiada pengumuman mengenainya dalam belanjawan berkenaan.
“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri esok untuk bincang mengenai tuntutan bonus dua bulan gaji dan juga perluasan bayaran khas RM500 kepada pesara pilihan selewat-lewatnya minggu hadapan.
“Pesara pilihan sepatutnya turut menerima bayaran itu memandangkan mereka telah sama-sama berkhidmat memajukan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai isu-isu melibatkan kakitangan sektor awam di Wisma CUEPACS di sini hari ini.
Kira-kira 120 ahli kongres hadir dalam mesyuarat itu yang membincangkan isu-isu berhubung Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Omar menjelaskan, pembayaran bonus dua bulan itu dan perluasan bayaran khas kepada pesara pilihan adalah wajar bagi menghargai kegigihan kakitangan awam selama ini.
“Kita berharap dua tuntutan kami ini dapat dipertimbangkan bagi membolehkan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih komitmen dan motivasi,” katanya.

Utusan Online

Sunday, October 25, 2009

NKRA jadi paradigma baru

KERAJAAN telah melancarkan paradigma baru prestasi dan pencapaian hasil melalui pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
Ia merupakan satu inisiatif utama untuk melakukan transformasi Malaysia ke arah penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia.

NKRA akan memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan awam berasaskan hasil selaras dengan kehendak rakyat.

Penyampaian NKRA adalah berdasarkan kepada empat prinsip utama iaitu:
1. Rakyat didahulukan - memberi tumpuan kepada kehendak kepentingan rakyat.
2. Kerjasama antara sektor awam dan swasta - membangunkan keupayaan bagi pelaksanaan NKRA secara tetap dan berkesan.
3. Penggunaan sumber secara berhemat - memaksimumkan produktiviti melalui penggunaan sumber secara berkesan.
4. Tahap penghasilan yang tertinggi - menanda aras berdasarkan piawaian antarabangsa.

Bagi mencapai NKRA tersebut, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk:-

Jenayah
Meningkatkan kehadiran polis di tempat awam
Memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mencerahkan kawasan yang kerap berlaku jenayah.

Rasuah
Pengisytiharan harta
Dasar 'Whistleblower'.

Pendidikan
Prasekolah diwajibkan

Isi Rumah Berpendapatan Rendah
Jaminan infrastruktur asas

Pengangkutan Awam di Bandar
Landasan kereta api baru
Penyeragaman tambang dan tiket tanpa tunai

Di samping NKRA, setiap kementerian telah ditugaskan untuk mengenal pasti dan melaksanakan KRA Kementerian (MKRA). MKRA tersebut adalah sejajar dengan NKRA serta merupakan tanggungjawab utama kementerian berkenaan.
Sejumlah 110 MKRA telah dikenal pasti di semua 24 kementerian, yang mana 49 peratus berteraskan rakyat, 28 peratus ekonomi, 22 peratus fokus terhadap masa depan dan satu peratus lain-lain.

Unit Penyampaian Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang dibentuk di bawah Menteri Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi untuk memacu, mengurus dan memastikan kejayaan pencapaian NKRA.

Unit itu menyediakan garis panduan dan memantau pematuhan dan pencapaian MKRA dan struktur PEMANDU adalah berdasarkan kepada 'Hybrid Resourcing Model', merangkumi tenaga kerja terbaik daripada sektor awam dan swasta.

Satu Goverment Transformation Programme (GTP) Lab bagi setiap NKRA telah dilancarkan dan lab tersebut akan menganalisis NKRA dengan lebih terperinci bagi membangunkan rangka kerja pelaksanaan.

NKRA akan menyegerakan momentum bagi transformasi Malaysia daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi ke arah pencapaian matlamat sebagai negara maju menjelang 2020.

Utusan Online

Saturday, October 24, 2009

CUEPACS diminta kekal hubungan baik dengan kerajaan

KUANTAN 23 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlu mengamalkan pendekatan saling hormat-menghormati dengan kerajaan bagi membolehkan pelbagai tuntutan yang diperjuangkan dapat diselesaikan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pendekatan konfrontasi atau bermusuhan dengan kerajaan bukan sahaja tidak mendatangkan faedah malah menimbulkan pelbagai masalah kepada kesatuan.
Beliau berkata, adalah mustahil untuk kerajaan memuaskan hati semua pihak termasuk pemberian bonus dan kenaikan gaji ketika ekonomi dunia berdepan dengan ketidaktentuan.
"Yang mustahak ialah kepimpinan CUEPACS terus menjalin hubungan baik dengan kerajaan di samping menasihatkan ahli-ahli supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Banyak masalah seperti tuntutan bonus dan kenaikan gaji yang diperjuangkan oleh kesatuan itu dapat diselesaikan jika hubungan harmoni dengan kerajaan dapat dikekalkan,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Seminar Presiden-Presiden Kesatuan Gabungan CUEPACS di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir Presiden CUEPACS, Omar Osman dan Pengerusi CUEPACS Pahang, Kamarozaman Abd. Razak.
Adnan menjelaskan, gaji yang benar-benar memuaskan hati semua pihak hanya akan dapat dinikmati apabila kedudukan kerajaan dan ekonomi negara kukuh.
"Oleh itu ahli-ahli CUEPACS perlu membantu kerajaan bagi memastikan ekonomi negara dalam keadaan baik,'' ujarnya.
Beliau turut meminta pemimpin kesatuan meningkatkan ilmu di kalangan ahli supaya mampu berfikir dan bertindak secara rasional serta reda menghadapi masalah.
Beliau juga meminta CUEPACS memberi peluang dan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjayakan gagasan 1Malaysia yang memberi penekanan kepada perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum sebagai asas pembangunan dan kemajuan negara.
"Ini penting kerana tanpa perpaduan yang kukuh, segala rancangan pembangunan yang dibuat oleh kerajaan tidak akan dapat dilaksanakan,'' katanya.

Utusan Online

Friday, October 23, 2009

Naik gred kakitangan hampir pencen - CUEPACS

KUANTAN 22 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kakitangan awam yang hampir bersara diberi peluang kenaikan gred tanpa perlu lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Presidennya, Omar Osman berkata, mereka yang merupakan kakitangan senior perlu dinilai berdasarkan prestasi dan produktiviti sepanjang perkhidmatan.
''Mereka yang nak bersara lagi tiga tahun sudah agak susah nak menghadapi peperiksaan ini, bagilah pengecualian daripada lulus PTK, cukup dengan prestasi yang baik,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Seminar Presiden-Presiden Kesatuan Gabungan CUEPACS di sebuah hotel di sini malam tadi.
Seminar tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Turut hadir, Pengerusi CUEPACS Pahang, Kamarozaman Abd. Razak.
Omar berkata, perkara tersebut telah dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan.
''Bilangan kakitangan terlibat tidak ramai dan kita berharap ia diluluskan supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih bersemangat,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Omar memberitahu, CUEPACS akan membincangkan cadangan semakan gred gaji semua kakitangan awam pada seminar kali ini.
Menurutnya, ia berikutan terdapat kira-kira 400,000 penjawat awam kebanyakannya kumpulan sokongan satu dan dua, sudah mencapai tangga gaji maksimum.
Beliau berkata, kebanyakan kakitangan awam terbabit masih mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang antara lima, enam dan 10 tahun lagi.
Katanya, kedudukan tangga 'gaji mati' itu sekiranya tidak ditangani akan menjejaskan perkhidmatan dan prestasi mereka yang mewakili kira-kira 45 peratus daripada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.
''Mesti ada satu penambahbaikan di mana tangga gaji selaras dengan peningkatan umur persaraan,'' katanya.
Menurut Omar, peserta seminar akan memperincikan kertas cadangan semakan gred gaji itu pada sesi bengkel sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
Beliau memberitahu, berdasarkan memorandum yang diserahkan kesatuan kepada kerajaan sebelum ini, gred gaji setiap kakitangan awam perlu disemak lima tahun sekali mengambil kira kos sara hidup semasa.

Utusan Online

Thursday, October 22, 2009

Mohon penjawat awam hampir bersara dikecualikan PTK

KUANTAN 22 Okt. — Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam yang hampir bersara diberi peluang kenaikan gred tanpa perlu lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Presidennya, Omar Osman berkata, mereka sebaliknya perlu dinilai berdasarkan prestasi dan produktiviti sepanjang perkhidmatan.
"Mereka yang nak bersara lagi tiga tahun sudah agak susah nak menghadapi peperiksaan ini, bagilah pengecualian dari lulus PTK, cukup dengan prestasi yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Seminar Presiden-presiden Kesatuan Gabungan Cuepacs di sini.
Seminar itu dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau berkata, perkara itu telah dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan.

Bernama Online

Elaun guru KAFA masih di bawah paras miskin

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Elaun yang dibayar kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perak tidak memuaskan serta masih meletakkan mereka di bawah paras kemiskinan walaupun kerajaan negeri menaikkan elaun kepada RM575 pada Januari lepas.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu, semakan audit mendapati semua guru-guru KAFA mengajar 60 jam sebulan iaitu tambahan sebanyak 36 jam.
‘‘Tambahan masa mengajar sebanyak 36 jam adalah melebihi tempoh 24 jam dalam sebulan yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan elaun sebanyak RM500 adalah tidak seimbang dengan jumlah masa tambahan mengajar.
‘‘Guru KAFA berkenaan sepatutnya menerima elaun tambahan berjumlah RM749.88 untuk 36 jam masa tambahan mengajar dan mereka sepatutnya menerima elaun sebanyak RM1,249.88 sebulan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan kelmarin.
Ambrin memberitahu, siasatan audit yang dijalankan di Pulau Pinang pula mendapati elaun perjalanan penyelia KAFA sebanyak RM3,000 setahun tidak mencukupi bagi membolehkan mereka melakukan penyeliaan terhadap 100 orang guru.
Katanya, jumlah tuntutan perjalanan penyelia yang dibenarkan adalah amat terhad dan ini menyukarkan penyelia terbabit untuk membuat pemantauan dengan lebih berkesan.
‘‘Sehubungan itu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang perlu memohon kepada Jakim agar elaun perjalanan penyelia ditambah had melebihi RM3,000 setahun agar penyelia dapat melaksanakan tugas lawatan dengan lebih menyeluruh,’’ katanya.
Sementara itu Ambrin memberitahu, di Perlis kebanyakan guru, penyelia dan ibu bapa berpuas hati dengan perjalanan KAFA.
Katanya, soal selidik yang dilaksanakan bagi menilai jumlah elaun sebanyak empat penyelia KAFA berpuas hati.
‘‘Soal selidik kepada 60 guru KAFA, sebanyak 60 peratus atau 36 orang guru berpuas hati dengan dengan jumlah elaun manakala 24 lagi tidak berpuas hati,’’ katanya.
Ambrin memberitahu, soal selidik ke atas ibu bapa juga mendapati mereka berpuas hati terhadap kurikulum yang disediakan serta pencapaian anak mereka.
Katanya, di Johor pula kesemua guru KAFA tidak menikmati imbuhan tahunan kakitangan awam walaupun mereka berhak menerimanya seperti diumumkan kerajaan melalui pekeliling pada 2006 dan 2008.
‘‘Ini boleh menjejaskan motivasi guru-guru terlibat sehingga mengganggu perjalanan sistem KAFA,” katanya.
Beliau berkata, di Kedah pula, para penyelia KAFA langsung tidak diberikan latihan atau kursus sepanjang 2006 dan 2008 bagi melengkapkan diri menghadapi situasi tugas diamanahkan.
Menurutnya, para penyelia terlibat hanya menyertai Kursus Kemahiran ICT serta Kursus Pengurusan dan Kewangan Penyelia KAFA pada 2007.
‘‘Pada pendapat Audit, latihan dan kursus kepada penyelia KAFA adalah tidak memuaskan (di Kedah),” tegasnya.
Ambrin menambah, program KAFA di Pahang pula kerap berhadapan dengan masalah peletakan jawatan para penyelia.
Keadaan ini, katanya, disebabkan taraf jawatan penyelia yang tidak tetap serta kadar elaun bulanan yang rendah.
‘‘Ia mengakibatkan proses penyeliaan kelas KAFA terganggu kerana proses lantikan penyelia baru mengambil masa yang lama,’’ jelasnya.
Sementara itu di Selangor, secara keseluruhannya program KAFA adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan ketara yang jika dibiarkan boleh menjejaskan imej kerajaan negeri dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Antara kelemahan yang perlu diambil perhatian serius oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah:
*Perjanjian pelantikan penyelia dan guru KAFA yang tidak ditandatangani dan bilangan penyelia yang tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nisbah bilangan guru.
*Terdapat guru KAFA yang menerima elaun daripada sumber Jakim mengajar di Sekolah Rendah Agama Negeri dan Sekolah Rendah Agama Integrasi.
*Elaun guru KAFA terlebih bayar, penempatan murid melebihi 40 orang dalam satu kelas, prasarana dan kemudahan asas tidak lengkap dan kondusif.
*Jawatankuasa Pengurusan Akaun Amanah KAFA peringkat negeri tidak ditubuhkan.
*Sijil Ujian Pencapaian Kelas KAFA tidak diiktiraf bagi tujuan memasuki Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri.
*Jawatankuasa Pelaksana KAFA peringkat negeri tidak bermesyuarat dan tidak memantau aktiviti KAFA.
Bagi Selangor, pada 2008 terdapat 283 buah KAFA Integrasi dan seramai 86,858 murid berdaftar dengan bilangan guru sebanyak 6,260 orang yang diselia oleh seramai 16 orang penyelia.
Dalam pada itu, di Melaka, antara masalah utama yang dikenalpasti ialah kegagalan mematuhi garis panduan yang disediakan menyebabkan wujudnya ketidakseragaman dalam pelaksanaan program KAFA secara berkesan.
Antara Kelemahan lain adalah:
*Prosedur pelantikan tenaga pengajar tidak mematuhi prosedur nisbah yang ditetapkan hingga menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung perbelanjaan elaun.
*Begitu juga dengan kurikulum yang digunakan tidak mematuhi dasar yang ditetapkan oleh Jakim, pengurusan perbelanjaannya juga gagal mematuhi garis panduan jabatan itu.
*Permohonan bantuan pembangunan dan pembaikan sekolah KAFA tidak dirancang dengan baik sehingga bertindih dengan agensi lain.
Bagi Negeri Sembilan, terdapat beberapa buah sekolah KAFA tidak mempunyai Sijil Menduduki (CF) dan kewujudannya juga tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Selain itu, terdapat beberapa sekolah KAFA tidak mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan dalam garis panduan Jakim.
Menurut laporan itu, bilangan pelajar Islam yang tidak mengikuti kelas KAFA adalah tinggi dan ia perlu dipertingkatkan.

Utusan Online

Friday, October 16, 2009

Cuepacs tuntut 2 bulan bonus

KUALA LUMPUR 16 Okt — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memutuskan untuk menuntut dua bulan bonus bagi 1.2 juta penjawat awam.
Presidennya Omar Osman meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan perkara ini semasa mengumumkan pembentangan belanjawan bagi 2010 pada 23 Okt depan.
Keputusan Cuepacs itu dicapai pada mesyuarat Kongres Cuepacs yang dihadiri oleh kira-kira 120 ahlinya hari ini.
Omar berkata Cuepacs banyak mendapat laporan dan aduan ketidakpuasan hati selepas kerajaan mengumumkan bantuan khas bulan lepas sebanyak RM500 hanya untuk penjawat sokongan sahaja dan bukan semua.
"Kita berharap pengumuman pembentangan bajet pada Oktober ini memberikan berita yang baik kepada anggota perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Cuepacs di Bangunan Puspanita di Jalan Hose, di sini.

Bernama Online

Kes tatatertib penjawat awam meningkat 36.2 peratus

SEREMBAN 15 Okt. - Kes-kes tatatertib melibatkan penjawat awam atas pelbagai salah laku meningkat sebanyak 36.2 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, sejumlah 3,383 kes tatatertib direkodkan pada tahun lalu berbanding 2,159 kes pada 2007.
"Perkhidmatan awam negeri mencatatkan pertambahan paling tinggi iaitu 57.62 peratus, pihak berkuasa tempatan (PBT), 30 peratus dan perkhidmatan awam Persekutuan 27.43 peratus," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ke-4 Pengerusi-Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.
Pada sidang akhbar selepas itu, Mohd. Sidek menjelaskan, kes-kes tersebut membabit pelbagai salah laku seperti tidak hadir bertugas yang melibatkan semua kumpulan anggota awam.
Katanya, senario itu memberi gambaran bahawa tahap integriti dan disiplin penjawat awam semakin menurun.
"Peningkatan kes tersebut boleh ditangani oleh kesedaran meluas di kalangan ketua jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang melanggar peraturan," tambahnya.

Utusan Online

Thursday, October 15, 2009

Kekalkan hubungan intim sektor awam

PUTRAJAYA 14 Okt. - Perdana Menteri mahu hubungan erat antara pentadbiran dan perkhidmatan awam yang terjalin sejak merdeka lagi dapat dikekalkan agar kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara ini terus terjamin.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana negara perlu berdepan dengan banyak cabaran pada masa depan dan hubungan istimewa tersebut merupakan antara kemampuan serta kekuatan yang dimiliki oleh sektor awam.
''Kalau kita melihat dan mengimbau kembali sejarah negara kita, kita berjaya sebagai sebuah negara kerana hubungan ini amat intim antara satu sama lain.
''Perkhidmatan awam sentiasa bersedia untuk membantu menterjemahkan keputusan dan dasar kerajaan serta menentukan pelaksanaannya dapat berjalan dengan sebaik-baiknya.
''Jadi harap-harap, kita sentiasa berganding tangan dan bahu dalam satu ikatan untuk terus menentukan kesejahteraan rakyat dan negara kita membangun sebagai sebuah negara yang berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Pada majlis itu, kira-kira 3,000 kakitangan JPM hadir memeriahkan acara tahunan tersebut yang menyediakan lebih 50 buah gerai dengan pelbagai jenis juadah.
Najib juga menyampaikan hadiah kepada Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish selepas agensi berkenaan diisytiharkan sebagai johan pertandingan gerai terbaik.
Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan duit hari raya kepada 28 orang kanak-kanak Tadika Pentadbiran Am JPM.

Utusan Online

Wednesday, October 14, 2009

Hubungan intin kerajaan-penjawat awam penting - Najib

PUTRAJAYA 14 Okt. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan intim antara sektor pentadbiran dan penjawat awam merupakan ramuan yang sangat penting bagi mewujudkan sebuah negara yang berjaya.
Berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata, sejarah negara telah membuktikan bahawa kejayaan yang dikecapi selama ini adalah hasil tautan erat kedua-dua pihak itu.
"Kalau kita imbas kembali sejarah negara, kita berjaya kerana mengekalkan hubungan intim antara satu sama lain,” katanya.
Najib berkata, sektor perkhidmatan awam selama ini sentiasa membantu menterjemahkan dasar kerajaan sekaligus menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
"Semoga hubungan istimewa ini dapat dipertahankan kerana lebih banyak cabaran harus dihadapi dengan segala kemampuan dan kekuatan yang kita ada,” katanya.

Bernama Online

Monday, October 12, 2009

Wednesday, October 7, 2009

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

DARI semasa ke semasa aduan diterima oleh Biro Pengaduan Awam terhadap perkhidmatan awam. Media massa turut menjadi saluran orang ramai mengadu mengenai perkhidmatan yang mereka peroleh.
Aduan-aduan yang diterima itu turut memberi sekurang-kurangnya gambaran betapa pergantungan orang awam terhadap perkhidmatan awam; dan betapa kakitangan kerajaan tidak boleh berpuas hati dengan apa yang mereka tawarkan.
Mereka tidak boleh selesa dengan tahap pencapaian perkhidmatan mereka sekarang walaupun ia sudah dilihat sempurna. Itulah juga yang mahu dilihat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Mereka sebaliknya perlu lebih komited ke arah menawarkan perkhidmatan yang lebih baik, bermutu, cekap dan pantas. Kreativiti adalah mustahak dalam usaha memperbaiki tahap perkhidmatan.
Akhirnya, penjawat awam perlu menjadikan sasaran aduan sifar daripada orang ramai yang sebenarnya para pelanggan mereka. Benar, para pelanggan bagi perkhidmatan awam adalah terlalu besar dan sifatnya kompleks tetapi itulah antara cabaran utama penjawat awam.
Justeru, kakitangan awam memerlukan kemahiran untuk berkomunikasi dengan pelanggan mereka.

Awang – Tempat mengadu.

Utusan Online

Perkhidmatan awam sasar aduan sifar

PUTRAJAYA 6 Okt. - Sektor perkhidmatan awam menyasarkan sifar aduan dalam usaha meningkatkan mutu sistem penyampaiannya kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, kakitangan sektor itu perlu melihat semula undang-undang, peraturan, prosedur dan cara untuk mengubah birokrasi daripada yang menyusahkan rakyat kepada menyenangkan atau memudahkan.
''Kakitangan awam tidak harus berasa selesa dengan tahap perkhidmatan sekarang ini dan harus mencari jalan untuk memperbaiki dan menambah baik sistem penyampaian," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Pengurusan Aduan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, imej dan prestasi sektor awam boleh dinilai menerusi media massa apabila orang ramai lebih memilih untuk melontarkan aduan melalui saluran tersebut.
''Media menjadi salah satu perantaraan dan saluran komunikasi untuk mempromosi dan meningkatkan imej agensi kerajaan yang boleh membantu ke arah mencapai matlamat itu," katanya.
Tambah beliau, kakitangan sektor awam perlu sentiasa meletakkan diri sebagai pelanggan sekali gus dapat mengetahui keperluan dan kehendak sebenar orang ramai.
Pada majlis berasingan di Shah Alam, Mohd. Sidek berharap media tempatan tidak terlalu memberi tumpuan kepada perkara-perkara negatif sehingga boleh memberi kesan terhadap pembangunan serta karakter rakyat.
Menurut beliau, media kini merupakan sebahagian daripada komponen terpenting dalam mendidik rakyat selain menjadi sumber maklumat sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan pandangan rakyat terhadap sesuatu bidang atau isu.
''Setiap pagi, semua orang akan merujuk media untuk mengetahui maklumat serta perkara yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Tahunan Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Utusan Online

JPN nafi pegawai di Manjung biadab

IPOH 6 Okt. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan seorang pegawainya di cawangan Manjung memberi layanan buruk kepada seorang pelanggan ketika menguruskan dokumen kematian anaknya pada 29 September lalu.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Jainisah Mohd. Noor berkata, pengadu, Zainal Abidin Abdul Wahab, 52, sebenarnya yang telah 'menyerang' pegawai bertugas terlebih dahulu.
Menurutnya, kejadian itu disaksikan oleh kakitangan kaunter lain dan tindak balas pegawai berkenaan semata-mata untuk mempertahankan keselamatan dirinya.
''Petugas kaunter JPN cuba menjelaskan prosedur pendaftaran berdasarkan Akta Pendaftaran kematian malangnya pengadu tidak berpuas hati dengan prosedur tersebut.
''Pihak kami kesal dengan insiden yang berlaku itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan dakwaan seorang bapa, Zainal Abidin yang terkilan dan kesal dengan tindakan seorang pegawai JPN Daerah Manjung yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika menguruskan pendaftaran kematian dua anaknya pada Selasa lalu.
Dia mendakwa, selain mengeluarkan kata-kata kesat, pegawai terbabit turut bertengkar dengannya.
Perbalahan timbul kerana pegawai berkenaan enggan membetulkan masa kematian dua anaknya yang terbabit dalam kemalangan di laluan dekat Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, dua hari sebelum umat Islam menyambut Syawal.
Mengulas lanjut, Jainisah menjelaskan, proses pendaftaran yang dibuat oleh JPN adalah berdasarkan pada maklumat dokumen Permit Menguburkan yang dikeluarkan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, katanya, pengadu meminta masa kematian salah seorang anaknya dicatatkan berdasarkan masa yang tercatat pada Sijil Perubatan bagi punca kematian iaitu 12.15 tengah hari dan ia telah pun dilakukan oleh jabatan berkenaan.
Katanya, ketidakpuasan hati pengadu telah menyebabkannya bertindak kasar terhadap petugas kaunter JPN.
''Pihak polis Daerah Manjung juga telah dihubungi bagi membantu mengawal keadaan tersebut dan JPN turut membuat laporan polis atas nasihat polis.
''Jabatan ini ingin menjelaskan sebagai pegawai perkhidmatan awam kami sentiasa mengambil pendekatan untuk berkhidmat dengan sebaiknya kepada orang ramai dan sedar bahawa segala perlakuan kami akan menjadi perhatian," katanya.
Menurutnya, penjelasan itu diharapkan dapat menerangkan situasi sebenar insiden yang berlaku.

Utusan Online

Monday, October 5, 2009

CUEPACS minta selaraskan kemudahan kakitangan badan berkanun

KUALA LUMPUR 5 Okt. — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menimbangkan untuk menyelaras kemudahan lebih 60,000 kakitangan tujuh badan berkanun supaya kebajikan mereka terjamin.
Presidennya, Omar Osman berkata, pada masa ini kemudahan serta kebajikan kakitangan ketujuh-tujuh agensi berkenaan berbeza sedangkan mereka juga merupakan penjawat awam.
Beliau berkata, perbezaan kemudahan tersebut adalah daripada segi kenaikan gaji dan pangkat, pampasan perkhidmatan dan perubatan.
Tujuh badan berkanun berkenaan ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Hal Ehwal Tentera (Perhebat), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Utusan Online

Saturday, October 3, 2009

Sikap biadab pegawai JPN dikesali

IPOH 2 Okt. – Seorang bapa terkilan dan kesal dengan tindakan seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Manjung yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika menguruskan pendaftaran kematian dua anaknya kelmarin.
Zainal Abidin Abdul Wahab, 52, dari Bandar Seri Manjung mendakwa, selain mengeluarkan kata-kata kesat, pegawai terbabit turut bertengkar dengannya.
Katanya, perbalahan timbul kerana pegawai berkenaan enggan memperbetulkan masa kematian dua anaknya yang terbabit dalam kemalangan di laluan dekat Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, dua hari sebelum umat Islam menyambut Syawal.
‘‘Sebenarnya, masa kematian dua anak saya berbeza. Menurut laporan doktor, Zainuddin, 24, meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari, manakala kakaknya, CT Zubaidah, 25, pula pada pukul 10.45 pagi.
‘‘Bagaimanapun, laporan yang dikeluarkan pegawai JPN menyatakan kedua-duanya meninggal dunia pada masa yang sama iaitu pada pukul 10.45 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata, beliau meminta pegawai terbabit mengubah masa tersebut bagi mengelakkan sebarang masalah atau pertikaian pada masa akan datang berhubung waktu kematian itu.
Bagaimanapun, dakwanya lagi, pegawai terbabit enggan berbuat demikian, malah mengeluarkan kata- kata kesat terhadapnya.
Menurutnya, sikap pegawai terbabit yang enggan menerima teguran dan melayannya yang baru kematian dua orang anak amat mengecewakan.
‘‘Sepatutnya, kalau dia tidak faham, rujuk kepada pegawai atasan, bukannya bertindak sesuka hati dan mengeluarkan kata-kata kesat.
‘‘Pegawai seperti ini tidak sepatutnya ada dalam perkhidmatan awam kerana dia hanya akan mencemarkan nama baik kerajaan,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Utusan Online

Friday, October 2, 2009

Kementerian Luar Masih Kurang Penjawat Awam Bukan Bumiputera - Lee

IPOH, 2 Okt (Bernama) -- Kementerian Luar menganjurkan pelbagai program dan ceramah mengenai kerjaya di kementerian itu dalam usaha menarik minat orang ramai menyertainya khususnya bukan Bumiputera, kata Timbalan Menterinya Datuk Lee Chee Leong.Beliau berkata masalah kurang minat di kalangan kaum bukan Bumiputera untuk menyertai sektor awam telah menjejaskan usaha kementerian untuk merapatkan jurang komposisi kaum di kementerian itu."Masalah ini berpunca dari kurangnya maklumat mengenai kerjaya di kementerian ini dan mungkin kerana mereka tidak mengetahui cara untuk menyertai kami."Oleh itu, kita (kementerian) mengadakan siri ceramah dan berbagai-bagai program untuk menarik minat kaum belia dan pelajar sekolah mengenai kerjaya di kementerian ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Diplomasi Awam kementerian itu di sini Jumaat.Lee berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai peluang kerjaya dengan kementerian itu yang memberi peluang kepada penjawat awam bertugas di luar negara.Beliau berkata secara keseluruhannya progam berkenaan bertujuan meyakinkan orang awam untuk menyertai Wisma Putra dalam usahanya meningkatkan imej dan tanggapan yang baik mengenai negara di mata dunia."Kepada sesiapa yang berminat menyertai kami diminta melayari laman web di www.kln.gov.my untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat dan masa temuduga terbuka diadakan,"katanya.Selain kelulusan akademik, Lee berkata, calon yang fasih dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa lain mempunyai kelebihan untuk diterima menyertai kementerian yang mempunyai pejabat perwakilan di seluruh dunia.Program Diplomasi Awam itu yang kedua dianjurkan selepas diadakan di Membakut, Sabah pada Ogos lalu yang bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan Wisma Putra.

Bernama Online